Integriti Membina Modal Insan Yang Cemerlang
Integriti bermaksud bahawa seseorang individu itu bertingkah laku berdasarkan
prinsip moral dan nilai etika. Perbendaharaan kata integriti ialah kejujuran dan
kebenaran atau ketetapan tindakan seseorang tanpa kompromi terhadap prinsip dan
nilai moral serta etika yang kuat. Menurut Oxford English Dictionary pula,
perkataan ini yang berakar umbi daripada kata adjektif Bahasa latin ‘integer’ yang
diguna pakai asalnya untuk menggambarkan keutuhan sesuatu struktur atau binaan
(structual integrity). Pada tahun 1659, kosa kata ini diperluaskan penggunaannya
untuk membezakan konsep benar dan salah dalam kehidupan manusia. Pelbagai
definisi integriti mula diketengahkan antaranya sebagai kualiti kejujuran dan
ketinggian prinsip-prinsip moral yang didampingi oleh seseorang individu dalam
kehidupan sehariannya. Selain itu, integriti turut ditakrifkan sebagai tahap
konsistensi antara nilai moral yang dipegang seseorang individu dengan cerminan
tingkah laku (perkataan atau perbuatan ) yang ditunjukkan kepada orang lain.
Namun, pada hari ini nilai sebuah kejujuran sudah semakin jarang ditemukan
dalam kalangan individu. Oleh hal yang demikian, cara-cara untuk menerapkan
nilai integriti dalam kehidupan akan menjadi fokus perbincangan kita.
Persoalannya kini, apakah cara-cara untuk menerapkan integriti dalam diri
individu?
Pembudayaan integriti seharusnya disemai dalam diri sejak kecil bagi
membentuk pembangunan modal insan masyarakat yang benci akan rasuah.
Langkah ini bukan sahaja dapat mewujudkan disiplin serta akhlak yang baik malah
bakal melahirkan generasi dan pemimpin yang boleh memacu negara dengan lebih
berdaya maju tanpa amalan rasuah. Presiden Keilmuan Nasional, Zambri Mohd Isa
berkata, seawal di sekolah rendah lagi isu bahaya rasuah dan pentingnya integriti
perlu didedahkan supaya pelajar celik dengan kesan perbuatan yang tidak
beramanah ini.
Antara cara bagi menerapkan nilai integriti pada diri seseorang individu
ialah dengan didikan agama yang teguh . Tidak dapat dinafikan bahawa
pengetahuan ilmu agama yang mendalam dan kuat amat penting untuk
menerapkan nilai integriti. Hal ini dikatakan demikian kerana hanya dengan
didikan agama yang teguh, seseorang itu dapat membezakan antara kaca dan
permata dan antara yang hak dan yang batil. Sebagai contoh, bersikap jujur dalam
setiap perkara yang dilakukan seperti menjawab peperiksaan, dengan adanya nilai
integriti mereka tidak akan meniru walau dengan apa-apa cara sekalipun kerana
sedar bahawa perbuatan itu sesuatu yang salah dari segi agama. Sememangnya
tidak dinafikan lagi didikan agama merupakan perisai paling ampuh untuk
menjamin integriti seseorang. Jelaslah bahawa dengan didikan agama yang teguh
dapat menerapkan integriti dalam sanubari seseorang insan .
Seterusnya, perbincangan kita beralih pula pada tugas sebagai pelajar iaitu
sentiasa mempelajari, menghayati nilai-nilai murni yang diterapkan dalam
pembelajaran terutamanya dalam subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.
Bertitik tolak daripada itu, sebagai pelajar kita perlu fokus semasa sesi
pembelajaran. Oleh itu, sekiranya subjek-subjek ini diberikan fokus, sudah pasti
kita dapat mempraktikkan integriti dalam kehidupan kita. Izharlah, cara untuk
menerapkan integriti adalah dengan mempelajari subjek-subjek tersebut dengan
lebih mendalam ketika di dalam kelas. Pelajar yang berintegriti juga hendaklah
menghormati guru dan menjalan tanggungjawab kepada guru dan juga ibu bapa
iaitu dengan menimba ilmu dengan sebaiknya. Nilai integriti perlu diterapkan
kepada pelajar sama ada di rumah mahupun di sekolah.
Selain itu, seseorang yang bergelar sebagai pekerja juga memerlukan nilai integriti
yang kuat dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pekerja. Demikian itu,
integriti akan mempengaruhi kejayaan emosi, kejayaan kerjaya dan kewangan,
kejayaan kerja, kejayaan perhubungan dan kejayaan fizikal staf. Kejayaan emosi
merupakan pengaruh untuk menjadi gembira, puas hati atau tenang dan sebaliknya
risau, cemas, kecewa, marah atau tidak berpuas hati. Hal ini dikatakan demikian
kerana kakitangan, staf atau penjawat awam yang berkualiti tinggi merupakan aset
penting terhadap kejayaan sesebuah organisasi pekerjaan . Para cendekiawan
pernah berkata bahawa integriti ialah asas kepada sebuah tadbir urus yang baik.
Sifat amanah, telus, bertanggungjawab dan berkhidmat demi kepentingan awam
merupakan inti pati kepada istilah integriti dan etika. Dengan kata lain integriti dan
etika dalam pekerjaan dan organisasi bukan sekadar penglibatan diri individu
untuk menyediakan keperluan dirinya sahaja sebaliknya melibatkan tindakan baik
yang dilakukan dalam kerja dan semua ini mempunyai kaitan erat dengan ajaran
agama dan tanggungjawab sebagai manusia.
Hakisan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam akan mengakibatkan
kepincangan pentadbiran dan salah laku dalam organisasi. Justeru, pengamalan dan
pemahaman terhadap integriti dan etika amat perlu dilaksanakan. Kerajaan telah
pun memberi perhatian serius terhadap masalah integriti dan etika dalam kalangan
kakitangan awam dengan melancarkan Pelan Integrasi Nasional untuk
membangunkan negara secara seimbang. Menyedari kepentingan integriti sebagai
teras pembangunan kakitangan berkualiti, kajian ini membincangkan definisi,
kerangka konseptual integriti dan etika kerja dalam memantapkan penggunaannya
terhadap individu dan organisasi. Majoriti masyarakat di Malaysia memperakui
bahawa integriti dan etika kerja perlu diketengahkan oleh semua pekerja dan
penjawat awam dalam sesebuah organisasi demi meningkatkan mutu perkhidmatan
yang unggul dan berkesan.
Setiap individu bertanggungjawab terhadap pembentukan integriti diri
mereka. Menurut Aristotle, individu adalah bermoral apabila melakukan tindakan
yang betul kerana mengetahui tindakan itu adalah betul secara konsisten dan sebati
dengan dirinya. Oleh itu, adalah sangat penting untuk membentuk nilai moral yang
baik melalui kebiasaan dan latihan yang dipraktikkan dalam kehidupan. Individu
juga perlu mempunyai keberanian untuk menentukan sempadan dan
mempertahankan diri daripada perkara yang merosakkan dirinya sendiri dan nilai
murni dijadikan pegangan. Individu perlu menyerlahkan kreativiti, tidak terlalu
serius sehingga kehilangan pemikiran, melakukan perkara yang betul, tidak bersifat
taasub kepada peribadi tertentu dan mendengar pendapat orang lain untuk menjana
integriti diri mereka.
Bukan itu sahaja, setiap pihak perlulah memainkan peranan yang utuh dalam
menerapkan nilai integriti dalam kalangan masyarakat di negara kita . Sebagai
contoh, sokongan daripada pihak kerajaan amatlah penting iaitu dengan
mengadakan Hari Integriti Nasional yang disambut setiap tahun pada 5 November
sejak tahun 2005.Terdapat pelbagai program dan aktiviti yang dianjurkan bagi
tujuan memantapkan lagi nilai integriti dalam diri penduduk di Malaysia. Hari
Integriti Nasional ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Integriti Malaysia
iaitu Puan Nor’afiza Salim. Beliau menyatakan bahawa ciri individu yang
berintegriti ialah individu yang amanah, penyayang dan individu yang
bertanggungjawab terhadap tugasnya.
Jika nilai integriti diabaikan ia dapat menjejaskan individu seseorang
malahan juga dapat menjejaskan institusi negara .Terdapat banyak faktor yang
boleh menjejaskan nilai integriti seseorang . Dari segi individu ,manusia akan mula
bersikap tamak terhadap peluang yang ada di depan mata. Selain itu, individu
bertingkah-laku tidak jujur kerana mahu mendapatkan sesuatu demi kepentingan
diri. Seterusnya, mula bertindak tidak cekap dalam melakukan tugasan harian
mahupun pekerjaan. Hal ini akan menjejaskan reputasi kerjanya. Tanpa
penghayatan nilai integriti ,munculnya masyarakat yang mula mengamalkan
budaya rasuah .Hal ini kerana, tiada nilai baik yang menjadi pegangan yang
menyebabkan individu tersebut tidak berfikir dengan baik . Kelemahan kerajaan
dalam mengetengahkan nilai integriti juga akan melemahkan pentadbiran negara
kerana terdapat individu yang kurang koordinasi pentadbirannya. ini tidak boleh
dipandang sebelah mata ,kerana ia akan memberi impak yang negatif pada masa
akan datang kelak.
Sebagai menggulung perbincangan di atas, sudah terang lagi bersuluh
terdapat pelbagai cara untuk menerapkan nilai integriti dalam diri. Integriti
perlulah diterapkan dalam diri setiap individu kerana nilai ini akan semakin
berkubur jika tidak dipraktikkan secara berterusan, Tokoh ilmuan iaitu Albert
Eisten pernah berkata bahawa ‘integrity without knowledge is weak and useless,
and knowledge without integrity is dangerous and dead full ‘.Oleh itu, kita perlulah
berusaha dalam menjadikan nilai integriti ini sebagai pedoman dalam kehidupan
seharian dan menolak nilai -nilai yang negatif dalam diri. Adalah menjadi
tanggungjawab kita bersama untuk memperkasa dan membudayakan amalan
integriti dalam semua aspek kehidupan bagi memastikan negara Malaysia akan
sentiasa ditunjangi oleh ahli-ahli masyarakat madani sedunia yang memiliki
integriti diri yang tinggi, insya-Allah. Jika semua pihak berganding bahu ibarat ke
bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, sudah pasti nilai integriti akan dapat
diterapkan. Sebelum nasi menjadi bubur, sebelum visi dan misi menjadi kabur,
sewajarnya kita melakukan anjakan paradigma untuk menerapkan nilai integriti
dalam diri masing-masing.