Tun Hussein Onn
Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Onn (12 Februari 1922 - 29 Mei 1990) merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981. Beliau diperlihatkan sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun
Hussein Onn telah dikenang sebagai "Bapa Perpaduan". Beliau dilahirkan di Johor Bahru dan merupakan anak kepada Dato' Onn Jaafar yang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946. Ibunya bernama Datin Halimah Hussein.
Hussein Onn menerima pendidikan awalnya di Telok Kurau School Singapura. Hussein Onn menyertai Pasukan Tentera Johor sebagai kadet pada tahun 1940. Setahun kemudian, beliau dihantar ke Maktab Tentera Sandhurstdi Dehradun, India. Selepas ditauliahkan, beliau menyertai Regimen Hyderabad ke-19 (Tentera India) dan berkhidmat di Timur Tengah sewaktu peperangan.
Selepas peperangan, kerajaan British melantik beliau sebagai pengajar di "Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya" di Rawalpindi. Beliau pulang ke Malaya (kemudian Persekutuan Tanah Melayu; kini Semenanjung Malaysia) pada 1945 dan dilantik sebagai Komandan Depot Polis Johor Bahru Beliau kemudiannya bersara dari perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat kapten, satu
pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang bumiputera semasa penjajahan British. Semangat Dato' Onn Jaafar menentang Malayan Union turut mengapikan semangat Tun Hussein untuk bersama bapanya menentang Malayan Union. Beliau kemudiannya menyertai bapanya dalam bidang politik apabila bapanya menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung.
Apabila UMNO ditubuhkan, beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO dan kemudiannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama pada usia 28 tahun Beliau kemudiannya menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Tun Abdul Razak pula mengambil alih sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Pada tahun 1950, beliau dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan di samping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor. Penglibatan beliau dalam bidang politik mulai pudar apabila cadangan bapanya untuk membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu tidak dapat diterima oleh orang Melayu.
Apabila bapanya menarik diri dari UMNO, beliau kemudiannya menyertai bapanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara. IMP tidak menerima sambutan yang baik, beliau meninggalkan bidang politik apabila menukar arah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang undangundang di Lincoln's Inn, England dan lulus sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958.
Beliau membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur. Pada masa itu, beliau sudah pun berkahwin dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Mohammad Noah dan mempunyai enam orang anak. Beliau kembali menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak yang ketika itu memegang
jawatan sebagai Yang Di-Pertua UMNO pada tahun 1964. Pada Jun 1969, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO). UMNO telah mencalonkannya sebagai calon Perikatan bagi kawasan Parlimen Johor Bahru Timur. Beliau memenangi kerusi Parlimen ini pada Mei 1969 dan dilantik sebagai Menteri Pelajaran.
Penyertaannya dalam kabinet Malaysia bermula pada September 1970 apabila dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak. Di bawah pentadbiran beliau, Kementerian Pelajaran terus meningkat maju. Beliau maju setapak lagi apabila dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 1972. Di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 8 Ogos 1973, beliau dilantik menjadi Timbalan Presiden UMNO menggantikan Tun Dr. Ismail yang meninggal dunia pada 2 Ogos 1973.
Beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos 1973 sekaligus merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Pada 15 Januari 1976, beliau dilantik untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga selepas kematian Tun Abdul Razak. Beliau telah disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO
Pada hari Khamis, 15 Januari 1976, beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga di Istana Negara. Pada tahun 1978, beliau menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden UMNO. Beliau telah meneruskan agenda pembangunan yang telah digariskan oleh Tun Abdul Razak khususnya dalam menggerakkan Dasar Ekonomi Baru.
Beliau arif tentang hal ehwal keselamatan. Beliau juga memberi penekanan kepada konsep Rukun Tetangga dan perjuangan terhadap ancaman dadah. Angkatan bersenjata Malaysia telah diperbesarkan dan dipermodenkan apatah lagi pada ketika itu, rantau di Asia Tenggara telah menjadi gempar ekoran jatuhnya kerajaan Vietnam Selatan ke tangan komunis dan terbinalah cita-cita "Teori Domino" komunis.
Usaha membenteras pengganas komunis di hutan dan bandar telah diperhebatkan malah golongan yang bersimpati dengan aliran komunis dipulihkan menerusi gerakan-gerakan pengintipan yang dikatakan berjaya. Ekonomi negara terjejas oleh kemelesetan ekonomi dunia, beliau berjaya untuk mengawal keadaan dan membantu Malaysia berkembang dari segi ekonomi dan sosial.
Beliau juga telah berjaya melancarkan Rancangan Malaysia Keempat pada bulan April 1981. Beliau juga telah mengikuti jejak langkah bapanya yang sentiasa mencuba untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain terutamanya dari segi ekonomi. Dengan itu, pada 20 April 1981, beliau melancarkan pula Skim Amanah Saham Nasional (ASN) yang merupakan satu dana amanah
bumiputera yang membantu peningkatan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara. Amanah negara yang diperkukuhkannya telah menarik pelabur luar untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dari segi politik dan ekonomi. Sumbangan beliau yang terbesar ialah menegakkan tiang keamanan yang kukuh. Beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei 1981 atas sebab kesihatan.
Jawatannya diambil alih oleh timbalannya, Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad (kini bergelar "Tun") pada 18 Julai 1981. Walaupun beliau telah meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri, beliau masih aktif dalam pertubuhan-pertubuhan kebajikan seperti Tabung Mata dan ISIS semasa hayatnya.
Disebabkan perkhidmatannya kepada negara, Hussein Onn dikurniakan dengan gelaran Tun yang merupakan anugerah diraja yang tertinggi di Malaysia. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, 29 Mei 1990, sewaktu berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung, dan disemadikan pada hari Jumaat di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur