R E N T A P
Rentap merupakan seorang pahlawan Dayak (Iban) terkenal dalam sejarah Sarawak.
Lahir sebagai Libau anak Ningkan, juga dikenali sebagai Libau Rentap.
Nama pujiannya, "Rentap Tanah, Runtuh Menua" , diterjemahkan dari bahasa Iban sebagai "Bumi-gegar, Penggoncang-dunia" .
Slogan beliau yang paling terkenal dan sering digunakan adalah "Agi idup, Agi ngelaban" yang bermaksud "Masih hidup, masih melawan" .
Rentap adalah seorang panglima perang orang Iban yang tinggal di ulu Sungai Sekrang.
Rentap yang menjadi ketua orang Iban telah menentang pemerintahan Brooke kerana Brooke merancang membanteras amalan kutipan cukai oleh ketua-ketua tempatan yang dianggap lanun olehnya, sedangkan ia merupakan sumber pendapatan tradisi ketua-ketua tempatan.
Pada tahun 1853 Rentap telah mengetuai pasukan orang Iban yang menyerang pasukan British di Skrang yang diketuai oleh William Brereton.
Dalam pertempuran itu pihak British berundur ke pangkalan Merak dan ini menyebabkan Rentap semakin dihormati oleh pengikutnya.
Walau bagaimanapun pengikut Brooke telah membinasa dan membakar 20 buah rumah panjang tempat kediaman Rentap.
Dengan itu Rentap terpaksa berundur dan membina tempat kediaman di sungai Lang iaitu di ulu Sungai Skrang.
Namun angkatan Brooke berjaya menyerang rumah panjang Rentap dan ia dengan sebilangan pengikut berundur dan membina kubu di sebuah bukit bernama Bukit Sadok.
Kubu Bukit Sadok ini sukar untuk ditakluki kerana diperkuatkan oleh sebatang meriam yang dikenali sebagai “Bujang Timpang Berang” .
Mulai dari tahun 1875, kerajaan Brooke telah membuat tiga percubaan untuk menangkap Rentap.
Namun pada tahun 1861 barulah mereka berjaya menguasai Bukit Sadok setelah membawa beberapa buah meriam yang dikenali sebagai “Bujang Sadok” .
Kubu-kubu dan rumah-rumah tempat kediaman Rentap dan orang-orangnya habis dibakar oleh kerajaan Brooke pada 20 Oktober 1861.
Rentap kemudian berundur ke Ulu Entabai.
Kemudian Rentap dan pengikutnya berpindah ke Bukit Sibau iaitu kawasan yang terletak di Ulu Wak, Pakan.
Beberapa tahun kemudian, pada tahun 1863, Rentap meninggal dunia di situ pada usia lebih kurang 70 tahun.
Rentap merupakan pejuang sejati kerana beliau tidak pernah untuk tunduk kepada pemerintahan Brooke sehingga ke akhir hayatnya.