Y A MT U A N A N T A H
Yamtuan Antah ibni Almarhum Yamtuan Radin merupakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang keenam.
Memerintah dari 1869 hingga 22 Oktober 1888.
Perjuangan di negeri itu bermula pada Mac 1872 apabila Datuk Kelana Sungai Ujong, Datuk Laksamana Syed Abdul Rahman membuat perjanjian membenarkan seorang Inggeris, Henry Velge membuka lombong biji timah di Sungai Ujong (kini Seremban).
Kedatangan British itu seolah-olah mencabar kedaulatan Seri Menanti lalu Yamtuan Antah mengerahkan pasukannya seramai kira-kira 4000 orang supaya bersedia untuk menghadapi peperangan.
Pasukan perang Yamtuan Antah segera mendaki dan menyeberang Bukit Putus untuk memasuki Paroi.
Pada Disember 1875, pasukan Yamtuan Antah yang seramai 200 orang berjaya menawan Paroi dan mereka membina kubu di situ tetapi di Sungai Ujong, bantuan British dari Melaka yang terdiri daripada 20 askar diketuai Leftenan Peyton tiba untuk menentang kebangkitan penduduk.
Tentera Yamtuan Antah berjaya menduduki dan bertahan di sebuah rumah di tepi Sungai Linggi.
British menggunakan meriam milik Datuk Kelana untuk membedil tentera Yamtuan Antah.
Selepas satu jam berbalas tembakan, askar British akhirnya berjaya menyeberangi paya yang terbentang di hadapan kubu pertahanan Yamtuan Antah walaupun beberapa jasad askarnya ditembak.
Kekalahan dalam pertempuran sebelum itu, menyebabkan British memperkuatkan serangan terhadap tentera Yamtuan Antah di Paroi.
Kali ini, menggunakan beberapa pucuk meriam, mereka membedil kubu Yamtuan Antah.
Selepas melepaskan 10 das meriam, pasukan Yamtuan Antah terpaksa berundur.
Selepas pertempuran hebat itu, mengorbankan 37 askar British dan Arab selain mencedarakan ramai pihak, akhirnya Paroi dapat dirampas semula oleh British.
Berlaku pertempuran antara British dan pejuang tempatan di Bukit Putus dan akhirnya kawasan itu berjaya ditawan British.
Selepas menawan Bukit Putus, pihak British menuju ke Seri Menanti.
Menyedari kehadiran musuh, Yamtuan Antah dan keluarganya terpaksa berundur meningggalkan Seri Menanti dan bergerak mencari perlindungan di Johor.
Di negeri itu, Yamtuan Antah bertemu Sultan Johor, Sultan Abu Bakar.
Sultan Abu Bakar kemudian menasihati baginda supaya berdamai dengan British.
Kerajaan British bersetuju melantik Yamtuan Antah sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti. Daerah lain dalam Negeri Sembilan akan diserahkan di bawah kekuasaan Ketua Daerah masing-masing manakala daerah Sungai Ujong di bawah kekuasaan British.
Selepas dua tahun berundur ke Johor, akhirnya Yamtuan Antah kembali ke tanah airnya, Seri Menanti. Beliau hanya sempat tinggal di bandar diraja itu hanya 11 tahun apabila pada 1888 beliau meninggal dunia dan beliau dimakamkan di Seri Menanti.