Kisah Anak Tupai
Pada suatu pagi, seekor anak tupai sedang mencari jalan pulang. Ia terlalu leka bermain. Ia tidak menyedari telah berjalan jauh meninggalkan keluarganya. Walaupun telah lama berjalan, ia masih belum menemui jalan pulang. Perutnya mulai terasa lapar. Tupai kecil itu bercadang mengisi perutnya terlebih dahulu sebelum mencari
keluarganya. Ia membayangkan betapa sedapnya jika dapat makan pisang ketika itu. Anak tupai melompat lincah dari satu pohon ke pohon yang lain dan kadang kala ia turun ke tanah menyelusuri semak belukar. Tupai itu menemui buah nanas tetapi ia tidak dapat mendekati buah bermahkota yang dikelilingi daun berduri itu.
Anak tupai terus bergerak mencari makanan. Ia naik ke atas pohon besar lalu hidungnya terhidu bau harum. Tupai itu menemui buah durian namun ia kecewa kerana tidak dapat mengupas buah yang dipenuhi duri itu. Tidak lama kemudian, anak tupai menemui pula buah berwarna hijau. Anak tupai hanya memandang buah besar itu. Ia ragu-ragu untuk memakannya. Ia teringat ibunya pernah
berkata bahawa buah-buahan yang selamat dimakan hanya yang berwarna kuning dan merah. Perut tupai semakin lapar, maka ia terus berusaha mencari makanan. Kali ini, ia menemui buah belimbing yang telah masak berwarna kuning. “Pasti buah ini lazat,” fikirnya. Anak tupai terus memakan buah tersebut. Namun ia segera memuntahkan kembali kerana rasanya
sangat masam. Anak tupai melompat meninggalkan pohon belimbing. Anak tupai semakin pantas bergerak mencari makanan. Ia baru sahaja menemui pohon limau yang lebat buahnya tetapi batang pohonnya berduri. Sang tupai mendapat satu akal. Ia menggunakan kayu panjang untuk menjatuhkan limau. Ia berhasil mendapatkan buah limau tetapi hanya makan sedikit sahaja kerana rasa
buahnya yang masam-masam manis terasa aneh di lidahnya. Anak tupai yang tidak berputus asa itu terus mencari makanan dan akhirnya berhasil. Ia menemui pohon betik berdekatan dengan pohon manga dan pohon jambu. Anak tupai memakan buah betik dengan lahap sehingga kenyang. Setelah perutnya terisi penuh, anak tupai duduk santai untuk berehat.
Setelah tenaganya pulih, ia pun bergerak untuk mencari jalan pulang. Dalam perjalanan, ia melihat beberapa ekor kura-kura sedang berkumpul di bawah pohon pisang. “Saya harus menolong mereka,” kata tupai dalam hatinya. Anak tupai memanjat pohon pisang dan menjatuhkan banyak pisang untuk kura-kura. Setelah itu, ia menyambung perjalanannya. Setelah lama berjalan, ia menemui tempat
tinggalnya. Ayah dan ibunya menyambut gembira kepulangan anak kesayangan mereka. Mereka tidak menyangka tupai kecil boleh pulang dengan selamat.