Kisah Anak Beruang
Seekor anak beruang tinggal di hutan bersama ibu bapanya. Keluarga beruang tinggal di dalam hutan yang banyak pohon merimbun. Setiap hari, ibu dan bapanya akan keluar mencari makanan. Tetapi, anak beruang hanya tahu bermain-main. Ia tidak berusaha mencari makanan seperti anak-anak beruang yang lain.
Sebelum keluar mencari makanan, ibu bapanya berpesan supaya anak beruang tidak ke mana-mana. “Marilah ikut kami mencari makanan, ajak kawan-kawan anak beruang. “Tidak mahu. Ayah dan ibuku akan membawa makanan untukku," kata anak beruang.
“Jangan terlalu berharap kepada ayah dan ibumu sahaja. Kita hendaklah belajar hidup berdikari,” nasihat kawannya. “Aku tidak mahu berdikari,” jawab anak beruang dengan sombong. Kawan-kawannya saling berpandangan. Seekor anak beruang lain berkata, “Beginilah jadinya jika terlalu dimanjakan. Nanti sampai besar tidak tahu mencari makanan sendiri.”
Anak beruang tidak peduli dengan kata-kata itu. Pada suatu hari, bapa beruang mengajak anak beruang mencari makanan di sungai. Anak beruang kehairanan. “Selalunya ayah dan ibu mencari makanan untuk saya. Mengapa pula kali ini mengajak saya mencari makanan?” Tanya anak beruang.
“Ayah dan ibu semakin tua. Apabila kami sudah tiada nanti, kamu hendaklah mencari makanan sendiri.” Anak beruang tidak mahu mendengar nasihat bapanya. Ia mahu ibu bapanya mencari makanan selagi masih hidup. Bapa beruang tidak berputus asa. Ia memujuk anaknya supaya mengikutnya.
Mereka pun pergi ke sungai. Bapa beruang menunjukkan cara menangkap ikan dengan mulut kepada anaknya. “Tengok ini cara menangkap ikan,” kata bapa beruang. Anak beruang hanya melihat sahaja. Akhirnya, bapa beruang memberi ikan tersebut kepada anak beruang.
Pada suatu hari, ibu bapa beruang pulang lewat. Anak beruang berasa lapar. Anak beruang mahu mengajak kawan-kawannya keluar mencari makanan. Ia mendapati mereka telah pun pergi mencari makanan. Anak beruang terpaksa pergi sendirian mencari makanan. Ia terjumpa sebuah sarang lebah di atas sebatang pokok. Anak beruang
ingin makan madu lebah namun ia tidak tahu cara mendapatkan madu lebah itu. “Aku akan goncang pokok ini supaya sarang lebah jatuh ke tanah. Mudahlah untuk aku makan madunya,” kata anak beruang. Beberapa ekor anak lebah terbang keluar apabila sarang mereka bergoncang. Anak beruang tidak takut kepada sengatan anakanak lebah itu kerana kulitnya tebal.
Kemudian, beribu-ribu lebah dewasa keluar dari sarang. Mereka berasa sangat marah lalu menyerang anak beruang. Anak beruang berlari menuju ke sungai. Beberapa ekor lebah sempat menyengatnya. “Susahnya mencari makanan. Aku patut belajar daripada ibu bapaku,” kata anak beruang sambil mengaduh kesakitan. Lalu, dia pun berjalan pulang dengan kecewa.
Pengajaran: Kita perlu belajar berdikari dan tidak bergantung kepada sesiapa.