TEMA 2:PEMBANGUNAN DAN PENEROKAAN
SOALAN 6 :BINCANGKAN FAKTOR-FAKTOR KEMUNCULAN ACHEH SEBAGAI PUSAT KEILMUAN DI
NUSANTARA DARI ABAD KE-16 HINGGA 17 MASIHI.
Pendahuluan.
Selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, Kerajaan Acheh telah
mengambilalih peranan Melaka sebagai pusat perdagangan di Nusantara Bahkan, kerajaan
Acheh juga turut menjadi pusat perkembangan ilmu dan penyebaran Islam.Zaman kekuasaan
Acheh berlangsung antara awal abad ke-16 hingga pertengahan abad ke-17 Masihi iaitu dari
zaman pemerintahan Sultan Ali Mughayat Syah (1520-1539m) hinggalah ke zaman pemerintahan
Sultanah Shati'atuddin Tajul Alam(1641-1675m). Sultan-sultan terkemuka yang lain termasuklah
Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam dan Sultan Iskandar Thani.Pada zaman keagungannya,
Acheh bukan sahaja muncul sebagai sebuah empayar politik yang luas bahkan juga berjaya
menjadi pusat perkembangan ilmu terpenting di Nusantara.Terdapat pelbagai faktor yang
mempengaruhi kemunculan Acheh sebagai pusat di Nusantara pada abad ke-16 hingga 17M.
Isi-isi utama
1. Peranan pemerintah
Sultan-sultan Acheh memainkan peranan penting dalam perkembangan ilmu pengetahuan. Para
sultan mengambil berat tentang pelaksanaan pendidikan dari peringkat rendah hingga
tinggi.Istana sultan juga menjadi pusat perbincangan dan perkembangan ilmu.Sebagai
contohnya,Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam dan Sultan Iskandar Thani meminati dan
menaungi kegiatan keilmuan dan dakwah. Kecintaan para sultan terhadap ilmu mempengaruhi
minat rakyat jelata terhadap pengajian ilmu dan perkembangan intelektual.Sultan Iskandar Muda
Mahkota Alam juga telah menubuhkan Lembaga Pelaksana Pendidikan yang terdiri daripada Balai
Setia Hukama, Balai Setia Ulama dan Balai Jama'ah Himpunan Ulama. Lembaga ini berfungsi
membahas, membincang dan menguruskan isu-isu yang berkaitan dengan ilmu dan
pendidikan.Pendek kata, peranan pemerintah-pemerintah Acheh yang amat meminati ilmu telah
menyumbang kepada kemunculannya sebagai pusat keilmuan di Nusantara.
2.Hubungan diplomatik.
Para pemerintah Acheh telah mengadakan hubungan diplomatik dengan negara-negara Islam
bagi menggiatkan lagi perkembangan ilmu.Pada zaman pemerintahan Alauddin Mansur
Syah(1579-1585) beberapa buah negara di Timur Tengah dan India telah menghantar beberapa
ulama ke Acheh. Di antaranya ialah Syeikh Abdul Kadir Ibnu Hajar dan Syeikh Muhammad Yamani
dari Makkah serta Syeikh Muhammad Jailani Ibnu Muhammad ar-Raniri dari Gujerat,
India.Dengan kepakaran ulama-ulama dari luar negeri ini telah merangsangkan lagi
perkembangan ilmu dan berjaya menjadikan Acheh sebagai pusat aktiviti keilmuan bertaraf
antarabangsa.
3.Institusi pengajian dan sistem pendidikan yang lengkap dan teratur
Di Acheh,terdapat satu sistem sekolah agama yang teratur berdasarkan tahap pengajian rendah,
menengah dan tinggi.Institusi pengajian Islam di peringkat rendah dikenali sebagai 'Muenasah',
di peringkat menengah dikenali sebagai 'Rangkang' dan 'dayah' serta peringkat tinggi dikenali
sebagai 'Jami'ah'. Masjid juga merupakan institusi pengajian ilmu yang popular di Acheh.Di
peringkat rendah, mata pelajaran yang diajar ialah membaca dan menulis huruf Arab, membaca
al-Quran dan mempelajari fardu ain seperti Rukun Iman dan Rukun Islam.Di peringkat menengah,
mata pelajaran yang diajar ialah Feqah, Tauhid, Ibadat, Tafsir dan Bahasa Arab.Di peringkat tinggi
yang setaraf university diajar mata pelajaran hukum Islam dan pelajaran ilmu lain seperti mana
yang diajar di pusat pengajian tinggi di Mesir, Turki dan Baghdad. Terdapat 17 fakulti di jami'ah
Baitul Rahman termasuklah Fakulti ilmu Tafsir dan Hadis, Fakulti Kimia, kedoktoran dan
sebagainya.Sistem pendidikan yang lengkap dan teratur ini menjadikan Acheh tumpuan pencinta
ilmu, khasnya ilmu Islam dan secara tidak langsung membawa kepada kemunculan Acheh sebagai
pusat perkembangan ilmu.
4. Peranan ulama dalam dan luar
Golongan ulama turut memainkan peranan penting dalam perkembangan ilmu di
Acheh.Golongan ini bertindak sebagai tenaga pengajar dan penasihat sultan yang nayak
menyumbang kepada kemajuan ilmu di Acheh. Sultan-sultan Acheh sentiasa menggalakkan
kedatangan para ulama dari luar negara khasnya dari Arab, Turki dan Parsi. Golongan pemerintah
juga mendapat nasihat dan pandangan para ulama dalam urusan pemerintahan dan
pentadbiran.Umpamanya, ulama Nuruddin al-Raniri menjadi penasihat kepada Sultan Iskandar
Thani.Selain itu, mereka juga giat mengarang kitab-kitab agama dalam pelbagai disiplin ilmu.
Syeikh Nuruddin al-Raniri direkodkan telah menghasilkan 25 buah kitab agama, antaranya ialah
Hujjatus Siddiq mengenai ilmu tauhid.Ulama-ulama tempatan berganding bahu bersama ulama-
ulama luar dalam memajukan ilmu pengatahuan dan system pendidikan di Acheh. Antara ulama
tempatan ialah Bukhari al-Jawhari, Abdul Rauf Singkel, Hamzah fansuri dan lain lain.Gabungan
ulama-ulama tempatan dan luar negara ini telah menyemarakkan lagi perkembangan ilmu di
Acheh.
5. Perkembangan ilmu tasawuf dan tarekat
Perkembangan ilmu tasawuf dan tarekat merancakkan lagi perkembangan keilmuan di Acheh.
Ilmu-ilmu ini dihurai dan diperdebatkan oleh tokoh-tokoh ulama. Acheh menjadi pusat
penyebaran ilmu tasawuf seperti Satariyah, Qadiriyah dan Naqshbandiyah.Antara tokoh tasawuf
yang terkenal ialah Hamzah Fansuri dari tarekat Wahdatul Wujud dan Nuruddin al-Raniri dari
Wahdatul Syuhud. Jelaslah perkembangan pesat dalam ilmu tasawuf dan tarekat merancakkan
lagi kegiatan keilmuan di Acheh.
Kesimpulan
Pada zaman kegemilangan Acheh, para Sultan mewujudkan institusi dan system pendidikan yang
sistematik bagi memastikan agama Islam dan bidang ilmu pengetahuan dapat berkembang
maju.Kedatangan pelbagai lapisan masyarakat ke Acheh untuk mendalami dan mengajar ilmu-
ilmu Islam menyebabkan Acheh digelar sebagai 'Serambi Makkah'.Kegiatan keilmuan ini Berjaya
meletakkan Acheh sebagai pusat perkembangan ilmu yang utama di Nusantara pada abad ke-16
hingga 17 Masihi.