Azolla
Nama Saintifik : Azolla sp
Pengenalan :
Merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Azollaceae iaitu tumbuhan akuatik yang
terapong diatas permukaan air berwarna hijau yang sering kita jumpa dalam sawah padi atau
kolam. Terdapat 7 jenis tumbuhan Azolla ini dan kita boleh bahagikan kepada 3 kategori iaitu
yang tumbuh di kawasan Asia (Azolla japonica, Azolla filliculoides dan Azolla pinnata), Kawasan
Afrika (Azolla nilotica) dan Kawasan Amerika (Azolla caroliniana, Azolla mexicana dan Azolla
microphylla). Jenis azolla yang banyak tumbuh sendiri di kawasan Asia Tenggara adalah dari
jenis Azolla pinnata yang kaya dengan kandungan protin (diantara 25 - 30%) dari kandungan
berat kering. Tumbuhan ini kurang mendapat perhatian di negara kita kerana tidak ramai yang
mengusahakan tumbuhan ini kecuali untuk di letakkan dalam akuarium ikan dan dibiarkan
dalam sawah padi.
Azolla yang sering kita jumpa di sawah padi adalah tumbuh sendiri yang mana benihnya
masuk kedalam sawah melalui sistem bekalan air. Apabila mendapat baja dan cahaya matahari,
azolla akan membiak dengan cepat dan memenuhi ruangan air didalam sawah sehingga
menjadi permukaan air yang hijau. Azolla sebenarnya mampu bersimbiosis dengan sejenis
bakteria Biru-Hijau yang dikenali dengan nama Anabaena azollae yang boleh mengikat Nitrojen
terus dari udara. Kejadian ini membolehkan tumbuhan ini sesuai dijadikan baja asas hijau
kepada sawah padi sama ada sawah berair atau sawah kering. Walau pun di negara kita kurang
diperkatakan akan menafaat azolla, beberapa negara jiran telah mengaplikasikan dengan lebih
sesuai.
Azolla dalam keadaan persekitaran yang sesuai (Optimum condition) mampu tumbuh
dan membiak dengan cepat iaitu sekitar 35% setiap hari. Kajian saintis mendapati azolla
mengandungi kandungan zat makanan tinggi dengan protin (25-30%), Asid Amino seperti Lisin
(0.42%) iaitu jauh lebih tinggi daripada jagung, dedak dan byproduk beras. Ini menjadikan
tumbuhan ini sangat sesuai untuk dijadikan bahan makanan kepada aktiti ternakan dan
ternakair. Dalam penanaman padi ianya memang tidak dinafikan sangat memberikan kesan
baik. Di beberapa negara seperti di China dan Vietnam, penggunaan amalan agronomi
kombinasi azolla terbukti memberikan hasil yang tinggi kepada tanaman padi mereka. Azolla
yang sesuai dipanggil sebahaj 'Baja Hijau Semulajadi' ini memberikan baja N tambahan kepada
padi.
Walaupun kita hanya kenal akan Azolla pinnata di sawah, kajian oleh para saintis
mendapati jenis Azolla microphylla lebih baik digunakan kerana jenis ini tumbuh lebih tebal,
bertompok-tompok dan ianya mengandungi nitrisi yang lebih tinggi . Jenis ini sanat sesuai untuk
ditanam dan dijadikan bahan makanan untuk ternakan seperti ternakan ikan, lembu, ayam,
kambing dan sebagainya. Cara menghasilkan tanaman azolla mudah sahaja iaitu dengan
menyediakan kolam asas atau induk diisi dengan air. Pastikan ianya terdedah kepada cahaya
metahari dan bubuh baja tahi kambing yang dibancuh didalamnya. Masukkan benih azolla
didalamnya. Ianya akan membiak dengan cepat dan kutip hasilnya untuk diberi makan kepada
ternakan.