ISI KANDUNGAN
1.0 Pengenalan Pendidikan Moral
1.1 Konsep Dalam Pendidikan Moral
1.2 Nilai Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan
1.0 PENGENALAN PENDIDIKAN MORAL
Manusia selalunya mudah tertarik kepada kehidupan yang bebas dan longgar. Dia bebas
berbuat sesuka hati dan payah untuk mengikut peraturan. Keadaan ini menyebabkannya mudah
untuk jatuh dan sukar untuk bangun serta berjalan tegak. Sejarah memperlihatkan banyak
tamadun silam runtuh lantaran perbuatan manusia sendiri kerana mereka bertindak mengikut rasa
dan tidak patuh kepada norma kemanusiaan dan peraturan yang wujud.
Pendidikan Moral ialah satu program yang mendidik pelajar supaya menjadi insan yang
bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran moral,
perasaan moral dan tingkah laku moral. Terdapat pelbagai pandangan tentang konsep moral dan
konsep pendidikan moral yang juga bersifat “multidimensional” (Sugarman, 1973). Seseorang
yang berpegang pada pandangan yang tertentu akan mempengaruhi pemikiran dan kehidupannya
seterusnya melahirkan insan yang berbeza dari aspek kemoralan. Moral merupakan satu nilai
hidup yang amat penting dipertahankan supaya tindakan dan pemikiran manusia tidak
bercanggah dengan fitrah kejadian manusia, alam dan segala kehidupan di muka bumi ini.
1.1 Konsep-konsep Dalam Pendidikan Moral.
a) Definisi Moral, Etika dan Nilai
Moral, etika dan nilai merupakan perkara yang saling berkaitan dalam pembentukan
keperibadian seseorang insan. Straughan, R (1982) berpendapat bahawa Pendidikan Moral
adalah satu bidang yang kabur. Damon, W (1988) mengatakan bahawa tiada satu definisi yang
universal bagi ‘kemoralan’ yang diterima oleh semua pihak. Terdapat banyak pengertian tentang
moral, etika dan nilai. Perbezaan pengertian istilah-istilah ini telah membawa kepada pendapat
yang berlainan, perselisihan faham dan juga pertelingkahan tentang konsep pendidikan moral.
Definisi Moral
Terdapat berbagai - bagai pengertian yang merujuk kepada maksud moral. Di antaranya
moral merujuk kepada standard sesuatu perlakuan baik atau buruk, keadilan, amanah dan
sebagainya yang diyakini seseorang berbanding undang-undang atau standard-standard yang
lain.
“ Moral relates to the standards of good or bad behavior, fairness, honesty etc. which each person
believes in rather than to laws or other standards”
Menurut Bahasa Latin moral (moralis) berasal daripada perkataan mos, moris yang bererti
kebiasaan, perangai dan tingkah laku. Moral adalah tingkah laku yang sejajar dengan tatasusila
dan peraturan masyarakat.
“Morality is a personal or social set of standards for good bad behaviour and character, or the
quality of being right, honest or acceptable”. (Moraliti ialah satu set standard peribadi atau
masyarakat yang digunakan untuk mengukur perlakuan baik atau buruk atau untuk mengukur
kualiti sesuatu yang betul, benar atau boleh diterima.
Definisi Etika
Etika boleh ditakrifkan sebagai kajian falsafah tentang moral, iaitu tentang kelakuan yang
baik, kewajipan moral, sikap moral, tanggungjawab moral, keadilan sosial dan ciri-ciri
kehidupan yang baik (Grassian, V. 1981).
Maksud etimologi bagi perkataan ”etika” (ethics) yang berasal daripada perkataan Yunani
”Ethos”, ialah adat resam (customs), hukum, adat, tradisi, budi pekerti, kesusilaan, sopan santun
dan sebagainya.
Dari segi istilah pula etika merupakan prinsip-prinsip moral/ akhlak atau nilai-nilai akhlak
yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Etika merupakan peraturan
masyarakat biasa yang melibatkan tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kod, nilai dan pantang
larang masyarakat.
Etika ialah satu sistem kepercayaan yang diterima yang mengawal perlakuan manusia
khususnya sistem yang berasaskan moral ( Ethic is a system of accepted beliefs which control
behaviour, especially such a system based on moral). Ilmu etika ialah kajian mengenai apa yang
betul dan salah dari sudut moral (Ethics is the study of what is morally right and is not)
Menurut Frankena, W. K. (1973), etika ialah falsafah moral atau pemikiran falsafah tentang
kemoralan, masalah moral dan pertimbangan moral.
Definisi Nilai.
Menurut Kamus Dewan (Edisi Baru 1995), antara erti ” nilai” termasuklah ”taksiran
harga”, ” harga sesuatu dibandingkan dengan harga benda yang lain”, darjat, kualiti, mutu, taraf”
dan ”sifat ketinggian” (pemikiran, agama, kemasyarakatan dan lain-lain). Erti nilai yang lebih
hampir dengan ”kemoralan” dan ”nilai moral” boleh didapati dalam penerangan Webster’s New
World Dictionary (1991), yang menjelaskan ”nilai” sebagai ” that quality of a thing according to
which it is thought of as being more or less desirable, useful, estimable, important, etc. worth or
the degree of worth”; ” that which is desirable or worthy of esteem for its own sake; thing or
quality having intrinsic worth”; dan “the social principles, goals, or standards held or accepted by
an individual, class, society, etc”. (Nilai dihuraikan sebagai satu benda atau perkara yang boleh
dilihat, pertamanya dari segi harga yang boleh dikira dengan aritmetik dan keduanya dari
kualiti yang intrinsik iaitu sesuatu yang boleh dirasai secara dalaman atau dalam pemikiran
kita. Oleh itu nilai boleh wujud dalam banyak aspek, perkara dan bidang).
Nilai juga boleh diertikan sebagai satu bentuk pegangan, kepercayaan dan keyakinan yang
diaplikasikan untuk membuat sesuatu pilihan. (Najder, 1975).
Allport (1961) berpendapat bahawa nilai ialah kepercayaan yang mengakibatkan manusia
memilih sesuatu corak tingkah laku. Williams (1968) pula mengatakan bahawa nilai yang
dipegang oleh seseorang merupakan kriteria bagi individu itu membuat keputusan memilih
cara bertingkah laku untuk mencapai hasrat atau keinginannya.
b) Perbezaan antara moral, etika dan nilai
Moral Etika Nilai
Segala tingkah laku Ilmu yang mempelajari Sistem kepercayaan dalaman
mencakupi baik dan mana yang baik dan buruk yang dipegang oleh individu
buruk (piawai tingkah yang memandu tingkah laku
laku) mereka.
Bersifat praktikal Bersifat teoritikal Bersifat peribadi dan
subjektif
Dinilai oleh tradisi
masyarakat sebagai alat Meletakkan akal sebagai Nilai boleh berubah
pengukur. kayu pengukur atas berdasarkan kepercayaan
perbuatan tersebut
Moral membicarakan persoalan yang betul atau salah, apa yang perlu dilakukan dan
ditinggalkan atas sebab-sebab tertentu dan dalam keadaan tertentu Moral merupakan cara melihat
sesuatu isu berhubung dengan sesuatu tingkah laku berdasarkan pandangan jagat dan budaya
sesuatu masyarakat. Moral digunakan untuk perbuatan yang sedang di nilai. Moral dirujuk atau
dikaitkan dengan tingkah laku yang benar- benar dilakukan
Etika merupakan ilmu pengetahuan yang berhubung dengan keupayaan menentukan
perbuatan yang dilakukan manusia Bersifat relatif yakni dapat berubah-ubah sesuai dengan
tuntutan zaman. Etika digunakan untuk sistem nilai yang ada, merujuk kepada pengajian tentang
perangai dan tingkah laku dan juga merujuk kepada sejumlah sistem ataupun peraturan yang
dikaitkan dengan sesuatu kerjaya
Nilai dihuraikan sebagai sesuatu benda atau perkara boleh dilihat dari segi harga yang boleh
dikira dengan aritmetik dan kualiti intrinsik. Huraian tokoh-tokoh : George Lundberg – semua
objek mempunyai nilai dan manusia bertindak terhadap objek itu supaya dapat mengekalkan atau
menambah hak kepunyaan individu.
Tujuan nilai adalah menanamkan semangat cintakan nilai-nilai suci dalam Islam.
Menghormati kebaikan dan membenci keburukan. Menghasilkan perkhidmatan yang bermutu.
Melatih diri dengan disiplin. Menjalankan amanah dengan dedikasi.
Fungsi nilai sebagai piawai yang konsisten dalam tindakan manusia, panduan
menyelesaikan konflik moral manusia dan sebagai batasan terhadap perbuatan dan kelakuan
individu atau masyarakat. Penerapan nilai-nilai murni ini haruslah bersifat menyeluruh dan
melibatkan setiap orang kerana tingkah laku / nilai individu mencerminkan nilai keseluruhan rakyat
Malaysia
1.2 Nilai Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pengenalan
Dalam kehidupan seharian falsafah memainkan peranan yang penting dalam
menentukan prinsip-prinsip dan matlamat hidup kita. Istilah falsafah adalah terdiri dari dua
perkataan Yunani iaitu phileo yang bermaksud cinta dan sophia yang bermaksud hikmah.
Falsafah yang dimaksudkan di sini ialah usaha yang dilakukan untuk mencari kebenaran
melalui pemikiran yang analitis.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) telah diwujudkan seawal 1980an lagi.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berusaha untuk menterjemahkan konsep
pembangunan kemanusiaan di dalam penggubalan kurikulum. Ia menekankan perkembangan
individu secara menyeluruh iaitu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah
bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan
negara."
a) Nilai dalam FPK
Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia
dikenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya
menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip
dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat
yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan
dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk
melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan
menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk
pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan
saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.
Salah satu nilai utama dalam FPK adalah keyakinan terhadap unsur dan nilai yang berasaskan
kepercayaan kepada Tuhan dan agama . Perkara ini dapat memantapkan lagi Rukun Negara yang
menjadi wadah perpaduan yang sangat penting di Malaysia. Matlamat pendidikan adalah untuk
membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan
fitrah diri manusia terpelihara, berilmu dan berpendidikan, berbudi pekerti baik dan akhlak yang
mulia yang sekaligus menjadi ciri-ciri asas dalam membentuk seorang ahli keluarga, masyarakat
dan warganegara yang baik dan terdidik.
Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu
dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang
berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu,
tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat
manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan
sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidikan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat.
Selain dari itu pengalaman juga antara perkara yang boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu .
Fungsi pendidikan adalah memperkembang dan meningkatkan potensi individu supaya
mencapai tahap cemerlang. Di dalam hasrat FPK, unsur intelek memberi tumpuan kepada ciri-
ciri daya berfikir, seperti menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira),
menguasai kemahiran untuk memperoleh,meningkat dan menyebarkan ilmu dan dapat berfikir
secara kritis dan kreatif (KBKK) serta dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran untuk diri dan
orang lain, termasuk kemajuan negara. Dari segi perkembangan unsur jasmani pula, penekanan
tumpuan adalah kepada kesihatan tubuh badan individu, seperti memperkembang kepada tahap
keupayaan seperti menjaga kesihatan tubuh badan diri ataupun melakukan riadah dengan
sempurna.
Perkembangan unsur emosi memberi tumpuan kepada perasaan jiwa yang sihat dan kuat iaitu
memperoleh tenaga dan tingkah laku yang terkawal, memiliki perasaan kasih sayang, memiliki
semangat kerjasama dan perpaduan serta mempunyai kemahiran menilai dan menghargai
keindahan dan kesenian. Dalam perkembangan unsur rohani, penekanan tumpuan ialah kepada
sifat kejiwaan dan kebatinan, iaitu mempunyai perasaan menyedari dan mengingati adanya
Pencipta, menghargai dan mensyukuri pemberian Pencipta dan dapat memupuk dan membina
disiplin kendiri serta membentuk akhlak yang mulia.
Untuk membentuk insan yang berilmu pengetahuan, bertenaga mahir serta berakhlak mulia
dengan sempurna, aktiviti kokurikulum harus juga diberi penekanan, di samping kurikulum
akademik yang dilaksanakan dalam bilik darjah. Potensi yang ada pada diri individu hendaklah
diperkembangkan ke peringkat optimum dengan cara mengintegrasi bakat dan kebolehannya
yang saling berkaitan di antara satu sama lain. Selain itu, elemen seterusnya yang ditekankan
ialah membentuk insan yang seimbang dan harmonis. Seperti yang diketahui umum, insan yang
seimbang dan harmonis merupakan insan yang berilmu pengetahuan, bertenaga mahir, berakhlak
mahir, mempunyai kepercayaan kepada Tuhan, mempunyai jiwa dan fikiran yang tenteram,
tubuh badan sihat dan cergas, serta kematangan emosi dan sosial. Selain itu, insan yang seimbang
dan harmonis merupakan potensinya, iaitu intelek, jasmani, emosi, sosial dan rohani, telah
diperkembangkan secara menyeluruh, bersepadu dan dalam tahap optimum.
Antara nilai yang lain dalam FPK ialah memiliki sikap suka membaca, cintakan ilmu
pengetahuan serta akan menggunakannya untuk manfaat diri dan orang lain. Rakyat Malaysia
yang berilmu pengetahuan merupakan rakyat yang memiliki ciri-ciri seperti mencintai ilmu
pengetahuan iaitu gemar membaca, sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan dan
berusaha meningkatkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan di samping memanfaatkan ilmu
untuk kebaikan diri dan orang lain serta berfikiran terbuka luas dan mendalam.
Rakyat Malaysia yang berketerampilan juga adalah elemen yang ditekankan dalam FPK.
Hal ini disebabkan kerana rakyat yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran sentiasa
rela memberi sumbangannya demi kemajuan negara dengan cekap dan sempuma.
Rakyat Malaysia yang berketrampilan merupakan rakyat yang memiliki ciri-ciri seperti
berilmu pengetahuan dan berkelayakan yang sesuai dengan tugas yang
dipertanggungjawabkan dan mempunyai kemahiran yang sesuai dalam perlaksanaan tugasnya
secara cekap dan sempuna.
Seterusnya, rakyat Malaysia yang berakhlak mulia perlu memiliki tingkah laku yang
bersopan santun, berdisiplin dan bersepadu, dan mengamalkannya dalam kehidupan harian.
Secara umumnya, rakyat Malaysia yang berakhlak mulia ialah rakyat yang memperoleh
ciri-ciri seperti mengetahui yang mana nilai baik dan mana yang buruk atau menyedari kesan
dan akibat daripada perbuatan baik dan buruk, mempunyai keyakinan terhadap nilai murni dan
dapat menghayati nilai kerohanian kemanusian serta kewarganegaraan serta mengamalkan
perlakuan baik dan mengelakkan perbuatan buruk.
Selain itu, nilai bertanggungjawab juga ditekankan kerana rakyat yang mempunyai
tanggungjawab yang sempurna terhadap Tuhan, bangsa dan negara, akan melaksanakan
tugasnya dengan cekap, bersih dan amanah. Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab ialah
rakyat yang memiliki ciri-ciri seperti menyedari tugas dan tanggungjawab harus dilaksanakan
dengan sempurna, sentiasa berusaha meningkatkan daya pengeluaran dengan mematuhi
peraturan dan undang-undang negara dan berusaha memajukan diri, keluarga, masyarakat,
bangsa, negara dan agama.
Fokus Utama Dalam FPK
1. Perkembangan potensi individu dan
2. Perkembangan menyeluruh dan bersepadu
3. Insan yang harmonis dan seimbang
4. Unsur intelek
5. Unsur rohani dan jasmani
6. Kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan
7. Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan
8. Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia
9. Rakyat Malaysia yang berkeupayaan menikmati kesejahteraan
memberi sumbangan
10. Keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara
b) Cara- cara menghayati Nilai Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam
kehidupan bermasyarakat
● Mengamalkan nilai-nilai bertanggungjawab, berakhlak mulia dan berilmu
pengetahuan secara berterusan.
● Sentiasa berdaya saing untuk menghasilkan produktiviti yang berkualiti.
● Pendidikan sepanjang hayat untuk meningkatkan kualiti kehidupan
● Merealisasikan usaha-usaha pendidikan berterusan ke peringkat global.
● Memberi sumbangan dalam kemajuan dan pembangunan negara
● Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.