ISI KANDUNGAN
2.0 Nilai Universal Masyarakat Malaysia dan Global
2.1 Nilai Diri dan Keluarga
2.2 Nilai Masyarakat
2.3 Nilai Agama dan Kepercayaan
2.0 Nilai Universal Masyarakat Malaysia dan Global
Pendahuluan
Nilai universal merupakan nilai murni yang diterima oleh masyarakat Malaysia dan
menepati anutan agama atau kepercayaan masyarakat Malaysia. Penanaman nilai universal adalah
bertujuan membentuk insan berakhlak mulia dan berintegriti untuk membantu manusia membuat
keputusan yang rasional dalam menyelesaikan masalah (Dokumen Standard dan Kurikulum
(DSKP) Pendidikan Moral Tahun 3,2016). Negara Malaysia yang berbilang kaum sepatutnya
mengamalkan pelbagai nilai-nilai universal supaya tidak berlaku perselisihan faham antara kaum.
Nilai-nilai universal yang dipilih dalam DSKP ialah kepercayaan kepada Tuhan, hemah
tinggi, baik hati dan keadilan, hormat. Perbincangan di bawah akan memberi fokus kepada sejauh
manakah nilai-nilai universal diamalkan dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
2.1 Nilai Diri dan Keluarga
a) Konsep Nilai Diri dan Keluarga
Manusia semestinya menyedari bahawa dirinya adalah satu anugerah daripada tuhan.
Justeru itu setiap individu wajibnya menjaga diri dengan sebaik mungkin selagi mana terdaya.
Proses menjaga dan mendidik diri adalah berasaskan kepada nilai-nilai yang telah sedia ada dalam
semua agama. Sekiranya proses pendidikan diri dilaksanakan mengikut prinsip-prinsip agama dan
nilai-nilai sejagat yang murni, semestinya setiap individu akan mencapai tahap keselesaan hidup
di tahap yang terbaik.
Antara tindakan terpenting dalam memupuk nilai diri ialah menyayangi diri sendiri
dengan menjadikan nilai-nilai murni sebagai tonggak dalam amalan kehidupan seharian. Dengan
adanya kesedaran begini, kejadian-kejadian kearah merosak dan memusnahkan diri akan dapat
dihindarkan daripada kehidupan manusia. Dewasa ini kejadian membunuh diri, melacurkan diri,
merosakkan diri dengan arak dan pil khayal berlaku dengan berleluasa dan semakin meningkat.
Apakah punca yang menyebabkan keadaan ini berlaku? Jawapannya ialah kita sebagai ahli
masyarakat semakin lupa tentang hal kita sebagai yang memiliki diri, dan kewajipan menjaga diri.
Justeru itu kewajipan kita sekarang ialah menyedari menjaga diri dengan nilai-nilai murni adalah
satu kemestian kepada semua manusia.
Perlu diyakini dan disedari dengan memiliki nilai-nilai murni setiap individu akan lebih
bersikap rasional dalam melakukan sesuatu tindakan. Nilai-nilai tersebut adalah satu suruhan
dalam melakukan perkara kebaikan dan ia bertindak pula sebagai satu penghalang ketika perasaan
individu ingin melakukan perkara keburukan.
Aspek kedua yang perlu difahami oleh ahli masyarakat ialah aspek pengurusan diri yang
lebih kemas dan tersusun tanpa menyusahkan orang lain. Dalam konteks ini setiap individu perlu
lebih memahami diri sendiri dan juga perlu memahami bahawa kehidupan mereka adalah berkait
rapat dengan orang lain. Oleh itu setiap tindakan terhadap diri, sama ada dari segi kebersihan,
pakaian, solekan, tingkah laku dan tutur kata akan memberi kesan kepada individu lain yang
berada di persekitaran. Sekiranya semua perkara ini diambil kira dan dijadikan sebagai keutamaan
dalam kehidupan, sudah pasti individu berkaitan akan menghadapi kehidupan yang penuh dengan
keselesaan. Keselesaan utama yang akan dirasai nya ialah ia kepuasan terhadap diri sendiri dan
kepuasan merasai dirinya dihargai. Kepuasan ini adalah sesuatu akan menterjemahkan maksud “
Kebahagiaan Diri dan Kebahagiaan Kehidupan ” .
b) Nilai diri dan keluarga dalam masyarakat Malaysia dan global
Hubungan kekeluargaan yang erat adalah perkara utama ke arah membentuk masyarakat
yang harmoni dan keamanan negara. Perhubungan kekeluargaan yang erat akan memberi kesan
kepada perasaan kebertanggungjawaban di antara ahli keluarga tanpa mengira dia “ anak siapa ”
dan pepatah “ menjaga tepi kain orang ”. Apabila wujudnya perasaan bertanggungjawab ini,
sesuatu perkara yang boleh membawa kepada rosaknya warga negara, seperti budaya lepak,
hubungan sejenis, penyalahgunaan dadah dan perlumbaan haram akan dapat dicegah dan
dihindari daripada terus menjadi masalah negara. Sekarang ini permasalahan sedemikian sudah
berada di tahap yang kritikal dan sudah dianggap sebagai musuh utama negara. Kesannya banyak
peruntukan negara yang sepatutnya digunakan untuk tujuan pembangunan terpaksa dipindahkan
kepada perbelanjaan pencegahan masalah berkaitan.
Justeru itu, sebagai rakyat Malaysia yang inginkan kemakmuran dan keharmonian hidup,
wajibnya berusaha untuk membina ikatan kekeluargaan yang kukuh dan jitu bersandarkan kepada
nilai-nilai murni. Ikatan kekeluargaan yang kuat dan harmoni bukanlah suatu perkara yang sukar
dan memerlukan perbelanjaan yang banyak. Keharmonian dalam keluarga boleh dibentuk melalui
pelbagai kaedah yang mudah dan menggembirakan, antaranya:
Kaedah Agama :
Mewujudkan satu hari atau masa yang mewajibkan semua ahli keluarga atau keluarga beribadah
bersama-sama. Adakan sesi penjelasan atau penerangan kitab-kitab agama. Majlis kemudiannya
di akhir dengan jamuan dan sesi soal jawab atau penyelesaian masalah di kalangan ahli keluarga.
Kaedah Permainan.
Rancangkan beberapa jenis permainan yang boleh disertai oleh semua ahli keluarga tanpa
mengira usia, tetapi pastikan ia tidak bercorak perjudian dan keuntungan atau kerugian.
Pastikan juga setiap ahli keluarga terlibat dan boleh menyertai sama dalam setiap permainan.
Kaedah Majlis Keraian.
Majlis boleh diadakan bersempena dengan tarikh tertentu, contohnya bersempena dengan hari
lahir, sambutan ulangtahun perkahwinan, ulang tahun kejayaan dan hari- hari peringatan yang
lain. Majlis tidak semestinya dengan perbelanjaan yang besar. Cukup sekadar kemampuan
sahaja. Ini kerana tujuan utamanya adalah untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan
perkenalan antara ahli keluarga.
Kaedah Ucap Tahniah dan Takziah.
Kaedah ini tidak perlu kepada jamuan dan mengadakan majlis. Ia boleh dilaksanakan apabila
seorang anak atau cucu atau bapa mendapat kejayaan dalam bidang yang diceburi samada
dalam bidang pelajaran, sukan, perniagaan, menyambut kelahiran dan sebagainya. Ucapan
boleh disampaikan dengan pelbagai cara sama ada dengan telefon, pesanan ringkas, kad ucapan
atau dengan cara bersalaman dan ucap tahniah.
Berdasarkan contoh yang ada membentuk keluarga yang bahagia dan harmoni bukanlah
sesuatu yang sukar dan mustahil. Apa yang perlu ialah setiap individu dan ahli keluarga perlu
menilai apakah nilai atau perkara yang disukai atau tidak gemari oleh individu atau keluarga
terbabit. Justeru itu kita hendaklah melakukan sesuatu berdasarkan apa yang disukai dan
mengelak daripada melakukan apa yang tidak digemari. Kesannya lahirlah individu dan
keluarga yang harmoni berteraskan nilai-nilai murni yang dipersetujui bersama.
2.2 Nilai Masyarakat
a) Nilai Universal dalam Masyarakat Malaysia dan Global
Nilai-nilai universal dalam masyarakat adalah satu topik terpenting yang perlu
dibincang dengan terperinci dalam membentuk sebuah negara yang harmoni dan bebas
merdeka.
Tanpanya sesebuah negara khususnya negara yang berbilang kaum akan terdedah
kepada pelanggaran hak asasi kaum yang berstatuskan warganegara. Kesannya sudah tentu
akan membawa kepada huru hara yang menyebabkan kepada ketidakselesaan kehidupan dan
seterusnya kepada keruntuhan sesebuah negara.
Nilai hormat-menghormati , bertoleransi dan bekerjasama adalah nilai atau amalan yang
dapat menjaga keharmonian dalam masyarakat sejagat. Masyarakat Malaysia realitinya adalah
gabungan pelbagai masyarakat yang pelbagai kaum. Dalam pelbagai kaum pula terbahagi
kepada pelbagai etnik keturunan. Antara kaum dan etnik bangsa yang menjadi warganegara
Malaysia sekarang ialah:
Bil Kaum Etnik / Keturunan
1 Melayu Melayu, Jawa, Minang, Bugis, Rawa,Aceh, Kerinci,Siam.
2 China Hokkien, Hakka, Foo Chow, Kantonis, Hailam, Tow Chew.
3 India Tamil, Telugu, Malayalam,Sikh, Hindu, Hindustan, Kerala
4 Natif Sabah Kadazan, Dusun, Bajau, Murut.
5 Natif Sarawak Iban, Melanau, Kedayan, Kayan, Orang Ulu, Kelabit,Kenyah,Penan.
Kewujudan pelbagai kaum dan bangsa dalam sebuah negara yang berdaulat sepertimana
Malaysia adalah sesuatu yang unik. Keunikan adalah berdasarkan kepada keamanan dan
keharmonian antara kaum yang sehingga hari ini masih lagi terpelihara dan dapat dikekalkan.
Berkekalan keamanan ini adalah berteraskan kepada prinsip mentaati Rukun Negara. Rukun
Negara inilah yang memiliki nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang perlu dipegang dan
dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia. Nilai kasih sayang dan bertanggungjawab kepada
masyarakat adalah suatu kewajipan untuk mengekalkan kehidupan harmonis. Sebarang
tindakan ke arah mengingkari Rukun Negara adalah dianggap sebagai mengkhianati dan
menderhaka kepada negara. Tindakan menderhaka kepada negara adalah satu kesalahan besar
dan boleh menyebabkan seseorang dilucutkan hak kewarganegaraannya.
b) Kepentingan Nilai Universal dalam Masyarakat Malaysia dan Global
Setiap masyarakat perlu menghayati dan mengamalkan nilai-nilai universal dalam
masyarakat Malaysia adalah satu kewajipan dan keutamaan. Nilai keharmonian dan keamanan
sesebuah negara menjadi tunjang atau kekuatan terutama Malaysia yang mempunyai pelbagai
bangsa, kaum, adat dan agama.
Kepentingan kepada masyarakat global adalah membentuk tingkah laku masyarakat global
yang berperikemanusiaan, dengan itu dapat mengukuhkan persefahaman masyarakat dan
bertingkah laku mengikut peraturan dan undang-undang antarabangsa. Dari segi sosiobudaya
pula hendaklah menyantuni, menerima, menghormati dan mengurus kepelbagaian tradisi serta
adat demi kesejahteraan masyarakat global.
Kepentingan berkomunikasi dalam masyarakat global juga adalah memainkan peranan
utama mengikut kesesuaian dalam hubungan antara budaya dengan memahami silang budaya
masyarakat tersebut. Contohnya ketika perayaan, sambutan keagamaan dan adat resam bangsa
tersebut.
c) Nilai Universal dalam Masyarakat Malaysia dan Global yang berbeza bangsa,
agama dan budaya
Sebagai rakyat Malaysia semua individu diwajibkan untuk berpegang dengan prinsip dan
nilai- nilai murni. Ianya adalah bertujuan untuk memastikan keharmonian negara terus
terpelihara dan ekonomi terus berkembang. Antara peranan semua warganegara dalam
membentuk kemakmuran dan keharmonian negara ialah;
Mewujudkan perasaan saling memahami dan menghormati di antara sesama kaum.
Perasaan saling menghormati yang diperlukan ialah dalam pelbagai aspek kehidupan, antaranya
aspek kebudayaan, amalan agama, adat istiadat, pantang larang, perayaan dan apa sahaja
perkara yang berkaitan dengan kehidupan. Kewujudan perasaan sedemikian akan memberi
kesan yang besar kepada perkembangan politik dan ekonomi negara. Kesannya sudah terbukti
di mana negara Malaysia sekarang adalah salah sebuah negara membengun yang termaju dan
sering menjadi contoh kepada negara lain. Malaysia bukan sahaja menjadi idaman para pelabur
tetapi sudah menjadi negara yang boleh menjadi pendamai atau orang tengah kepada negara
yang bersengketa, contohnya dalam perbalahan di Timur Tengah dan masalah di Asia Tenggara
sendiri.
Rakyat Malaysia juga perlu menambahkan lagi perasaan kekitaan sebagai warga Malaysia.
Kesannya juga boleh dilihat kebersatuan rakyat Malaysia berganding bahu dalam meletakkan
nama Malaysia di arena antarabangsa, contohnya dalam bidang sukan. Atlet Malaysia
bertungkus lumus berusaha untuk mendapatkan kejayaan dengan melalui pelbagai pengorbanan
sama ada segi masa, tenaga, dan kewangan. Begitu juga dengan rakyat yang terlibat dalam
memberi sokongan. Sokongan yang dimaksudkan adalah dalam pelbagai aspek, antaranya aspek
kewangan, kemudahan tempat latihan, motivasi, sokongan sorakan dan menghantar ucapan
tahniah dan sebagainya. Ini juga dianggap sebagai satu kesepaduan dan gambaran perasaan
kekitaan sebagai “ Satu Warganegara Satu Negara”.
Sebagai ahli komuniti setiap rakyat juga semestinya menanam perasaan dan keazaman
untuk maju bersama-sama. Perasaan sedemikian akan merangsangkan setiap warganegara
untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai wawasan yang telah disasarkan oleh
negara. Justeru itu setiap wawasan kerajaan akan dapat dicapai. Kesannya kekayaan negara
akan dapat dikongsi bersama dalam erti kata yang sebenar. Suasana ini akan mengelakkan
berlakunya ketidakseimbangan pemilikan kekayaan yang boleh menyebabkan kepada kekayaan
dan kemiskinan kaum tertentu.
2.3 Nilai Agama dan Kepercayaan
a) Nilai Agama dan Kepercayaan dalam Masyarakat Malaysia dan Global
Agama secara pengertian mudah bermaksud, kepercayaan kepada Tuhan yang
menentukan segala yang baik dan buruk, betul-salah, manfaat atau mudarat dan yang boleh dan
tidak boleh dilakukan. Agama berperanan membentuk peraturan hidup manusia agar lebih
terurus dan bermakna. Matlamat yang ingin dicapai adalah kebahagiaan dan kesejahteraan
hidup. Agama tidak boleh dipisahkan dari kehidupan global dan merupakan nilai utama dan
pegangan hidup manusia.
Etika keagamaan berasaskan panduan yang sudah termaktub dalam agama. Ia
diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi. Panduan ini terdapat dalam dua
bentuk iaitu suruhan dan larangan. Suruhan mengandungi segala perkara yang dibenarkan
manakala larangan melibatkan semua hal yang tidak dibenarkan. Jadi dalam agama, etika
memberi perhatian sepenuhnya kepada perkara yang berkaitan suruhan dan larangan.
a) Kepentingan Nilai Agama dan Kepercayaan Pembentukan Sahsiah, Moral
dan Jati diri
● Memperjelaskan hubungan manusia dengan pencipta
● Membentuk peraturan hidup manusia
● Mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan hidup
● Menentukan keseimbangan di dunia dan akhirat
● Mengawal nafsu manusia
● Menentukan tingkah laku yang baik dan bermoral/beretika
● Menjadikan manusia berakhlak mulia
● Mengetahui tanggungjawab terhadap tuhan dan semua makhluk/ benda ciptaanNya
● Membentuk jiwa/rohani yang bersih
● Menidakkan ajaran sekularisme yang jauh terpesong