Anteseden
KATEGORI : CERPEN
GENRE : DRAMA
KONSEP : KERJA SOSIAL
BERDASARKAN
KISAH SEBENAR
YANG DIBANTU DI SEBUAH DAERAH
DI NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM.
(hasil pengalaman penulis sendiri)
2022
1
2
Anteseden
Nukilan : Sha’ib Ismail
“Pak Kob! Pak Kob! Assalamualaikum Pak Kob! Ooh Pak Kob! Mak Tam! Mak Tam!
Pak Kob!” suara Nani memecah keheningan dinihari. Nani termengah mengah sambil
menjerit jerit memanggil nama Pak Kob dan Mak Tam. Jam sudah 3 pagi. Dingin. Dada Nani
berombak-ombak menahan mengah dan sesak nafas dek berlari-lari anak ke rumah Pak Kob.
Jarak rumah Pak Kob dengan tempat tinggal Nani dalam sepelaung sahaja. Terhincut hincut
Nani melangkah kerana selipar getah yang dipakainya terputus ketika bergegas ke rumah
Pak Kob. Dari luar jelas kedengaran oleh Nani bunyi dengkur namun tidak pasti milik siapa.
Mungkin Pak Kob, mungkin anak lelaki bujangnya Si Sani.
“Waalaikumussalam! Siapa tu?” Nani terdengar suara Mak Tam dari dalam rumah.
Dalam tercungap-cungap Nani hendak menjawab, tiba tiba daun tingkap rumah papan
rekabentuk jawa/melayu berusia lebih 50 tahun itu terkuak. “Kreookkkk” bunyinya. “Eh…
Nani, kenapa?? Apa hal termengah-mengah ni?” gumam Mak Tam sambil menggenyeh
genyeh matanya yang tidak gatal. “Mak Tam! Emak saya pengsan, Mak Tam” jawab Nani.
“Endi to bapak ee?” tanya Mak Tam lagi dalam loghat jawa. “Abah ada, tapi dia suruh Nani
datang sini mintak tolong dengan Mak Tam berdua, mintak tolong hantar emak ke klinik.
Mak pengsan.” Nani menjelaskan. “Pengsan? Astaghfirullaaahhhh, macam mana boleh
pengsan?!” tanya Mak Tam sambil terus berpaling dan bergegas ke dalam rumah. Terdengar
oleh Nani suara Mak Tam mengejut suaminya Pak Kob. Empat lima kali suara Mak Tam
mengejut Pak Kob barulah terdengar suara Pak Kob tersedar. “Apahal lagi lah Bang Usin
ni???” dengus Pak Kob sambil bingkas bersiap-siap bersama Mak Tam. Terdengar tauk kaki
mereka berdua bila berjalan memijak lantai papan rumah berusia 50 tahun itu.
“Usin, apahal lagi ni Sin! Aku nak tidur pun tak aman!” Pak Usin bagai terkedu
dengan mata sedikit berkaca-kaca. Usia Pak Usin dan Pak Kob tak jauh beda. Sekitar 10
tahun. Pak Usin berusia 90an. Isterinya Mak Nah berusia 80an. Tubuh Pak Usin secara
fizikalnya kelihatan tegap, tidak bercermin mata. Kekurangannya hanya dapat dilihat apabila
3
berjalan terpaksa menggunakan tongkat ketiak. Yang anehnya Pak Usin masih mampu
menunggang motorsikal untuk ke pasar di Pekan Sanggar Bahtera membeli keperluan harian.
Mak Tam mengusap-usap wajah Mak Nah dengan tangannya yang dibasahi air dari
bekas minuman yang dibawanya. Mulut Mak Tam terkumat kamit membaca sesuatu.
Namun Mak Nah seakan terus dibuai lena, tak nyedar, tapi nadi dan jantungnya masih
berdenyut walau lemah. Nani cemas, mula menangis, tanpa esak, tanpa raung. Hanya air
matanya yang mengalir jernih di pipinya yang gebu persis seorang wanita yang baru
kematian suami tersayang di malam pertama pernikahan. Sememangnya Nani seorang
janda anak dua. Masih cantik. Sekilas pandang macam anak dara. Dua orang anaknya masih
nyenyak tidur. Mereka tinggal bersama Pak Usin dan Mak Nah sejak suaminya meninggal
dunia akibat ditimpa tandan sawit 2 tahun lalu. Tetiba keheningan pagi itu disentak oleh
bunyi dentuman di atas bumbung zing rumah oleh dua ekor kucing yang bercekak. Sudah
pasti Si Cumi, kucing jantan kesayangan Pak Usin. Berebut kawasan gamaknya. Pantang Si
Cumi kawasannya dicerobohi kucing lain. Namun ianya masih tidak membantu untuk
menyedarkan Mak Nah yang seakan tidak lagi mahu bangkit untuk selamanya.
Terang benderang halaman rumah Pak Usin disinari kilauan lampu limpah dari
sebuah ambulan yang berhenti di hadapan rumahnya. Lampu amaran yang berkelap kelip
itu sesekali melekakan dua orang anak Nani yang sudah terjaga dan masih tidak memahami
situasi yang berlaku. Tiada orang kampung yang datang. Mungkin kerana jarak rumah
mereka berjauhan dan ambulan pula tidak membunyikan siren ketika masuk ke kampong.
Mungkin menghormati warga desa yang sedang lena dibuai mimpi.
“Dahlah bang! Saya letih ni! Ya Allaaaaahh bang! Kasihanilah saya bang!” masih
terngiang ngiang di pendengaran Pak Usin rayuan Mak Nah. Tetapi Pak Usin merasakan dia
jauh lebih muda dari usianya. Pak Usin mahu mengekalkan momentum usianya, seakan
tidak mengizinkan ia berkompromi walau sedikit pun. Setiap kali bersama Mak Nah, itulah
juga rintihan yang sering kedengaran oleh Pak Usin. Sesekali Pak Usin bermonolog, “Kenapa
tak macam dulu-dulu, macam enam puluh lima tahun dulu?”.
4
Lamunan Pak Usin terhenti apabila Deman menyapa, “Abah! Kenapa macam ni
abah?! Abah tak kesian mak ker? Tak sayang mak ker?” sambil menggelang-geleng kepala.
Pak Usin hanya mendiamkan diri. Tunduk seperti akur. Seperti malu malu pun ada. Hasil
perkahwinan Pak Usin dengan Mak Nah mereka dikurniakan 9 orang anak. 6 lelaki dan 3
perempuan. Dua darinya meninggal dunia sejak kecil lagi. Semuanya telah berumah tangga
dan tinggal berasingan kecuali Nani dan 2 anaknya yang masih kecil tinggal bersama mereka.
Merekalah yang menjadi penyeri dan pengarang jantung Pak Usin dan Mak Nah. Kesemua
anak Pak Usin tak berani “angkat muka” dengan Pak Usin kecuali Deman yang seorang ini.
Hampir dua hari Mak Nah dimasukkan ke Hospital. Baru pagi ni di dipindahkan ke
wad biasa setelah sehari berada di wad ICU. Lima jam Mak Nah pengsan. Doktor
melaporkan, Mak Nah menghidap tekanan darah rendah dan sedikit dehidrasi. “Makcik
boleh keluar harini ya! Kena banyak berehat, dan jangan lupa makan ubat ya makcik!” kata
doktor Lin sambil tersenyum, sedikit menampakkan giginya yang jongang, memberi tahu
Mak Nah. Mak Nah hanya tersenyum. Walau masih lemah, terpancar keceriaan di wajahnya
apabila memandang anaknya Deman. Namun apabila sesekali merenung ke siling wad dia
seakan resah bagai melihat sesuatu. “Mak jangan risau ya! Nanti Man cakap ngan abah,
taulah Man nak buat apa nanti”, janji Deman kepada Mak Nah tanpa dipinta.
“Johan! Awak ambil kes ni dan siasat” Arah Cik Nor kepada Johan. Cik Nor baru satu
tahun berkhidmat di PKMD Santan Bertapis. Johan membelek-belek fail yang diberikan
kepadanya. Jelas Laporan Sosial tersebut di rujuk oleh pegawai kerja sosial Hospital. Johan
tersandar di kerusinya. Kerusi yang dah uzur. Jika bersandar terpaksa bertopangkan dinding
pejabatnya bagi mengelak dari terlentang ke belakang. Pernah sekali dia terlentang. Sangga
kerusi itu telah lama patah. Namun itu sedikitpun tidak menjadi halangan bagi Johan. Johan
tidak kisah. Yang bermain-main di benaknya ialah persoalan mengapa Laporan Sosial itu
perlu dirujuk ke JKM. “Bukankah Hospital boleh melakukan sendiri initervensi hingga selesai?
Bukankan Hospital punyai Pegawai Kerja Sosial yang terlatih? Jika demikian mengapa perlu
merujuk kes ni ke sini? Aku nak buat bayaran bantuan! Nak tender kes di mahkamah lagi!,
nak gi siasat kes rumah dihempap pokok tumbang lagi!” Johan bermonolog sambil tangan
kanannya memegang dahinya yang luas dan sedikit jendul itu. “Ya Allaaaaah, berikan aku
5
kekuatan untuk melaksanakan semua amanah ini”, getus Johan sambil menarik nafas
panjang.
Setibanya di rumah, Mak Nah dipapah oleh Deman masuk ke rumah. “Tak payah
Man! Mak dah boleh buat sendiri” ujar Mak Nah sambil Deman membantu mengangkat beg
berisi pakaian dan keperluan Mak Nah lalu diserah kepada Nani yang sedari tadi setia
menunggu kepulangan emaknya. Selepas bersalam dan memeluk emaknya Nani terus ke
dapur membawa beg Mak Nah. Mungkin kain baju kotor untuk dibasuh.
“Esok aku nak bawak emak gi pejabat JKM Santan Bertapis. Nak bincang apa patut
untuk kebaikan emak dan abah”, ujar Deman bercakap di telefon bimbit dengan salah
seorang adik beradik lelakinya. Kelihatan dua orang cucu Mak Nah berlari-lari mendapatkan
Mak Nah dan memeluknya dengan penuh manja. Sambil Mak Nah mengusap lembut kepala
mereka berdua. Sekonyong konyong terdengar bunyi deruan motorsikal menghampiri
rumah. Rupanya Pak Usin baru balik dari pasar. Terkial kial dia menongkat motorsikal Honda
C70 lama mentol bulat miliknya itu. Sambil mencapai tongkat ketiak dan berjalan masuk ke
rumah. Di tangannya kelihatan bungkusan dipercayai lauk dan sayur untuk dimasak sebagai
hidangan tengahari itu. Begitulah rutin Pak Usin setiap hari akan ke Pasar Sanggar Bahtera
mencari keperluan keluarga. “Dah balik Nah?! Dah baik?” tegur Pak Usin bila terpandang
Mak Nah yang sedang duduk di kerusi dapur. Mak Nah bertubuh layu dan lesu hanya
mendiamkan diri. Di sisinya anak lelakinya Deman sedang berbual sesuatu di telefon
bimbitnya berbisik bisik, mungkin dengan adik beradiknya yang lain. Reaksi Pak Usin seperti
tiada perasaan. Seolah-olah tiada apa berlaku.
Johan merasa berat mulut untuk berterus terang akan maksud kedatangannya
bertemu Pak Usin. Air yang dihidang oleh anak Pak Usin sebentar tadi telah dua cawan habis
dihirup. Kuih lompang yang dibeli Nani dari warong berdekatan juga dah tiga biji dimakan
Johan. Sesekali Johan menjeling ke dalam rumah di sebalik langsir yang memisahkan ruang
tamu dan dapur dengan harapan dapat melihat anak Pak Usin, Si Nani janda tu. Tetapi bila
teringatkan sempadan profesional, Johan jadi akur dan kembali fokus. Johan masih tercari
cari peluang dan perkataan yang sesuai untuk menyatakan maksudnya. Segala maklumat
6
yang diperolehi dari Mak Nah dan Deman sehari sebelum itu masih segar tersemat kukuh di
ingatannya. Namun mungkin masih ada seribu satu lagi persoalan yang perlu dirungkai.
Johan beberapa kali menarik nafas panjang. “Aku mesti profesional, aku mesti profesional”,
getus hatinya. Namun Johan masih tertahan. Dilema perasaan bimbang dituduh tidak sopan,
kurang ajar dan sebagainya. Sementelahan lagi beda usia dengan Pak Usin bagaikan datuk
dengan cucu!
Rapo nampak berjalan lancar. Kehadiran Johan diterima seadanya oleh Pak Usin.
Kemesraan terserlah dengan sekali sekala diselangi jenaka. Pak Usin banyak berkongsi
pengalaman istimewanya. Beliau rasa bertuah kerana dapat bekerja di era lima zaman
pemerintahan. Zaman Inggeris, zaman Jepun, zaman komunis, kembali ke zaman Inggeris
dan pasca kemerdekaan. Pernah menganggotai tentera Jepun dan menjadi warden penjara.
Tanpa diminta habis semua jawapan dan cerita tanpa disoal, telah diberikan oleh Pak Usin
dengan penuh ikhlas dan semangat. Hampir sahaja Johan terpesong dari maksud sebenar
kedatangannya dibuai asyik hikayat silam si wargatua itu. Jika Mak Nah seorang pakar
mengurut wanita, Pak Usin pula pakar di dalam mengurut lelaki. Mereka mengambil upah
mengurut di rumah. Ramai yang akan datang ke rumah khasnya pada hari Khamis setiap
minggu untuk mendapatkan khidmat mereka dengan bayaran seikhlas hati!
Pak Usin sesekali menawarkan petua petua dan amalan mistik tertentu kepada
Johan namun Johan menolak dengan sopan. Di wajah Pak Usin kelihatan sedikit hampa
apabila Johan menolak. “Terima kasih Pak Usin, kalau saya nak nanti insyaAllah lain kali saya
datang lagi ya!”, jawab Johan lembut menolak tawaran Pak Usin untuk menurunkan ilmunya.
Bukan apa, Johan sentiasa ingat pesan ibunya agar jangan terlalu mudah mengambil petua
atau ilmu dari orang lain tanpa usul periksa.
“Tapi saya datang ni untukkkkkk…..” kata kata Johan terhenti buat sekian kalinya.
Membuatkan Pak Usin merenung tajam ke wajah Johan. Johan sedikit gusar mengingatkan
latar belakang Pak Usin yang merupakan 3 kali johan pertandingan Silat Pencak. Di dalam
hati Johan berkata-kata, “persetankan semua itu, dia johan 3 kali, tapi aku johan sampai bila
bila, sebab nama aku dah memang Johan”. “Haah kenapa? Apa tujuan datang ni
7
sebenarnya?” tersentak Johan bila tiba-tiba Pak Usin melontarkan pertanyaan. “Awak nak
saya urut? Kalau saya setakat kelapa sawit 3 tandan tu biasa jerrr!” sambung Pak Usin lagi.
Anak lelaki Pak Usin yang turut berbual bersama Johan tadi tiba-tiba bergegas masuk ke
rumah setelah diarahkan Pak Usin dengan isyarat ekor matanya. Beliau berusia 53 tahun
dan abang kepada Deman. Beliau baru sampai untuk melawat emaknya. Dia tidak pernah
langsung menentang arahan Pak Usin. Sama seperti anak-anak yang lain.
Johan bertekad untuk berterus terang kali ini. Jika tidak sekarang bila lagi. Sesekali
rangkapan senikata lagu “its now or never” nyanyian Elvis Presly bermain di fikirannya.
Akhirnya, “Pak Usin, kami dari JKM. Kami datang ni fasal Mak Nah yang masuk wad tu. Kami
nak tahu lah cerita sikit dari Pak Usin sendiri, macam mana boleh sampai pengsan?!” Johan
berasa lega seumpama terlepas beban batu besar di kepalanya setelah soalan tersebut
berjaya diluahkan. Itulah kali pertama Johan melihat Pak Usin tertunduk sambil matanya
melirik ke kiri dan ke kanan. Susuk tubuh yang kelihatan masih tegap itu membuatkan
sesiapa sahaja yang tidak mengenalinya, tidak akan menyangka usianya sudah melewati 90
tahun.
“Sebenarnya…. Sebenarnya saya tak boleh tengok ….. Rasa tu datang secara tiba-
tiba”. Jelas Pak Usin bersuara dan berterus terang. Dalam hati Johan mengucap panjang. Dia
minta dijauhkan agar tidak jadi macam Pak Usin suatu hari nanti. Johan faham apa yang
dimaksudkan Pak Usin. Semuanya telah diceritakan oleh Mak Nah dan Deman yang ditemui
sebelum itu. “Pak Usin nak kahwin lagi ker?” Johan memberanikan diri bertanya. Pak Usin
melemparkan pandangan jauh ke depan dan sejenak kemudian berpaling menoleh kepada
Johan yang menunggu setia apa saja jawapan darinya. “Aku pernah nak kahwin dengan
sorang ni. Umur dalam 52. Tapi akhirnya dia menolak dengan pelbagai alasan”, ujar Pak Usin.
Johan mengetahui juga hal ini dari Mak Nah sendiri. Menurut Maknah dia redha dan
menurut sahaja jika Pak Usin berkahwin lagi. Menurut Mak Nah lagi, anak-anak ada juga
berusaha mencari calon yang sesuai untuk Pak Usin tetapi belum ketemuan.
Johan telah juga merujuk kes Mak Nah ni ke pejabat agama dan kaunselor keluarga
dan warga tua. Namun Mak Nah dan anak-anak keberatan untuk bertindak melibatkan
8
jabatan jabatan dan agensi tersebut selain JKM. Apatah lagi yang melibatkan prosedur
perundangan. Mereka lebih selesa dengan JKM. Malangnya ketika itu JKM masih belum ada
Pegawai Kaunselor atau Pegawai Psikologi. Johan juga telah berbincang dengan pegawainya
namun atas faktor kepercayaan, kes tersebut diserah bulat-bulat atas kebijaksanaan Johan
menguruskannya. Pegawainya pula seorang wanita, masih muda dan belum berumah
tangga.
Walaupun gusar, Johan berbangga diberi kepercayaan mengendalikan kes
seumpamanya yang begitu ideal dan unik baginya. Johan merasakan dirinya amat bertuah
diberi peluang begitu. Nama Johan yang dimilikinya diharap membawa tuah dalam
menjadikannya johan di dalam membantu klien-klien yang dirujuk kepadanya.
“Kalau gitu Mak Nah dan En Deman nak saya bantu macam mana ya?” Tanya Johan
kepada Mak Nah dan Deman. “Tolonglah nasihatkan bapak saya tu agar lebih bertimbang
rasa dengan emak saya ni encik!” Rayu anaknya Deman. “Ada tak apa-apa cara supaya
bapak saya tak buat emak saya macam tu lagi, encik?” Tanya Deman lagi. Johan telah
menjelaskan tentang Perintah Perlindungan Sementara yang boleh dikeluarkan oleh
mahkamah ke atas bapanya dan penjelasan implikasi yang mungkin terlibat sekiranya
berlaku perlanggaran. Dengan panjang lebar dan penuh tertib Johan menerangkan kepada
mereka berdua. Mak Nah sekali sekala mengangguk anggukkan kepala tanda faham.
“Bagaimana pendapat Mak Nah dan En Deman?” Soalan Johan terpacul memohon
kepastian.
“Takpelah encik, kami tak sampai ke peringkat nak buat repot polis bagai, nanti kami
juga yang malu anak beranak. Kami nak hal ini diselesai cara baik. Kalau boleh kami nak JKM
saja yang bantu kami. Ibarat menarik rambut dari tepung. Rambut tak putus, tepung pula
tak berselerak” jawab Mak Nah. Deman hanya mendiamkan diri. “Memanglah JKM akan
bantu tetapi dengan IPO lah kan senang!” Johan berkata-kata dalam hati. “Beginilah encik.
Saya rasa encik pun akan bertemu bapa saya. Kami adik beradik akan bergilir gilir menjaga
dan memantau emak saya ini. Sebelum ini hanya adik perempuan saya sahaja yang ada di
rumah bersama dua orang anaknya dan emak saya. Kami adik beradik akan terus mencari
9
pasangan yang sesuai untuk bapa kami. Kami akan cuba step ni dulu boleh tak?”, panjang
lebar Deman seakan menzahirkan komitmentnya yang selama ini terpendam.
“Assalamualaikum ustaz, saya Johan dari PKMD Santan Bertapis. Saya mohon
bantuan ustaz sebagai kaunselor berdaftar untuk tengok tengokkan satu kes saya ni…”,
Johan dengan penuh semangat dan dedikasi memohon kerja sama ustaz Zul seorang
kaunselor pakar dalam ehwal keluarga dan warga tua. Banyak kes-kes seumpama ini telah
berjaya diselesaikannya. Sementara Mak Nah dan Pak Usin semakin selesa menerima
lawatan dari Ustaz Zul.
Dua minggu kemudian Johan pergi ke rumah Pak Usin. Seperti biasa hari Khamis
ramailah pelanggan datang bagi mendapatkan rawatan mengurut dari mereka berdua.
Suasana seakan hari raya. Johan mendapati situasi mereka berdua bertambah baik. Mak
Nah sendiri memberitahu Johan yang Pak Usin semakin “bertimbang rasa”.
Tiga bulan kemudian Johan melawat sekali lagi setelah hampir dua bulan berhubung
melalui telefon dengan Mak Nah dan anak-anaknya. Pak Usin pula seakan terkawal
perlakuannya kerana mungkin ia menyedari bahawa ehwalnya turut dikongsi oleh dua orang
pegawai dari dua agensi iaitu JKM dan Pejabat Agama. Sedikit sebanyak ia telah membantu
Pak Usin kembali ke “real life” dan “congruent” dalam perlakuannya khasnya terhadap Mak
Nah. Menurut Deman pula, mereka telah menemukan calon yang sesuai untuk bapanya.
Seorang ibu tunggal, berusia 54 tahun, berbangsa Indonesia tetapi telah memiliki status
penduduk tetap. Tidak lama kemudian merekapun diijab kabulkan.
Tiga tahun kemudian Johan menerima berita Pak Usin meninggal dunia akibat sakit
tua. Dalam hati Johan berkata, “patutlah! orang tua tu buang tebiat rupanya!” “Oh,
tidak…tidak. Aku mesti positif. Aku tak boleh melabel apatah lagi menghukum. Aku tak
boleh prajudis. Kerana adanya merekalah maka aku di sini!” getus hati Johan. Cuma ada satu
perkara yang pernah diberitahu Mak Nah kepadanya sejak lama dahulu, “Dia tak jumpa
tingkap!”. Ungkapan tersebut terus menjadi teka teki yang sukar untuk dirungkai dan penuh
makna yang tersirat.
10
Empat tahun kemudian Johan berjaya menamatkan ijazah pertama di dalam bidang
Kerja Sosial dari sebuah universiti tempatan. Menyedari terlalu banyak kesilapan yang dia
lakukan di dalam mengintervensi klien sebelum ini membuatkan Johan bertekad untuk
membantu lebih ramai orang mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik. Kini Johan
merasakan dirinya seperti baru dilahirkan semula ke dunia ini sebagai johan yang sebenar.
Seorang johan yang “generalist” dan “person-in-environment”. “Terima kasih guru-guruku.
Hanya Allah sebaik-baik pembalas jasa antum” bisik Johan sambil menghirup secawan kopi.
INTERVENSI
Intervensi perlu dilakukan di peringkat mikro dan makro.
Di peringkat mikro, keutamaan perlu difokus kepada Pak Usin. Segala unsur anteseden yang
yang menjadi “triggers” kepada isu yang dihadapi perlu dikenalpasti. Dalam kaedah
Gerontologi, dalam kes ini Pak Usin yang telah lanjut usia tergolong dalam kategori “tua-
tua” yang memerlukan pekerja sosial menelusuri setiap aspek biologikal, psikologikal dan
sosial klien terbabit. Dari hasil penelitian didapati Pak Usin seorang yang terkenal di dalam
bidang persilatan dan rawatan mengurut serta mahir juga di bidang amalan-amalan petua
tradisional Melayu/Jawa.
Dengan merujuk kepada hiraki keperluan asas individu oleh Abraham Maslow pula, dari
perbualan dapat dikenal pasti tahap “self actualisme” yang pernah dikecapi beliau suatu
masa dahulu. Klien masih berbangga dengan pencapaian dahulu dan berharap di usia kini
beliau masih dapat memenuhi keperluan fisiologi terutama seksual seperti mana beliau
ketika muda. Menurut teori humanistik Maslow – didapati tiada keseimbangan di antara Id
dan Super Ego klien ini. Kaedah “solution focus” amat sesuai untuk lebih fokus kepada klien
dalam membantu menyelesaikan masalahnya. Ini memandangkan usianya yang telah tua,
situasi keparahan kes ini dan “significant others” khasnya isteri beliau yang cenderung untuk
menjadi mangsa.
11
Ianya memerlukan penglibatan pakar seperti terapi seksual yang berfokus kepada rawatan
libido seksual yang dialami. Seterusnya beliau juga memerlukan rawatan menyusun dan
membina semula perlakuan atau “behavioural modification” dan juga membentuk
keseimbangan tingkah laku pemikiran iaitu “rational thinking”. Untuk ini beliau boleh
mengikuti terapi “rational emotive behavioural therapy (REBT)” dari individu yang diiktiraf
dalam bidang ini.
Kaedah naratif juga agak sesuai memandangkan klien ini gemar bercerita dan dari
penceritaan tersebut pekerja sosial boleh menta’akul cerita beliau, memahami buah
fikirannya, keputusan tindakan, hasratnya dan individu yang ada kaitan langsung dengan
beliau.
Berhubung dengan corak hubungan sesama ahli keluarga yang agak rigid dan autokratik,
dan kuasa membuat keputusan hanya oleh bapa (Pak Usin) cukup “symetrical” itu perlu
diperhatikan keperluan setiap ahli keluarga berkaitan menurut teori Interaksionisme di
mana dalam konteks bertingkah laku dan bagaimana pula individu memahami orang lain
dalam persekitaran sosial mereka. Dalam konteks ini anak-anak Pak Usin yang telah dewasa
perlu menjalani sesi kaunseling keluarga secara berkelompok agar mereka dapat lebih
memahami situasi ibu bapa mereka dan lebih bersikap assertif dan preventif di dalam
berhadapan masalah berkenaan. Sekiranya budaya rigid dan autokratik ini tidak dibendung
maka sistem keluarga akan “dysfunction” di mana menurut Emile Durkheim akan
mewujudkan keadaan “chaotic” yang lebih serius. Perlunya perubahan ke arah orientasi
keluarga yang “high coversation + high conformity = Consensual”. Komunikasi
berorientasikan perbualan dikaitkan dengan keterbukaan dan keputusan bersama,
manakala yang berorientasikan pematuhan (conformity) dilihat sebagai sejauh mana ibu
bapa mempunyai kuasa dan kawalan dalam keluarga (McLeod and Chaffee, 1972).
Di dalam kes ini anak anak dilihat sedia bermuafakat untuk menghadiri sesi kaunseling
keluarga dan bersedia untuk menjadi sebahagian “support system” kepada bapanya. Justeru
memberi ruang dan peluang proses pemerkasaan terhadap bapa khasnya dan ibu serta
anak-anak yang lain amnya ke arah membina dimensi kejelekitan keluarga yang harmoni.
12
Di peringkat makro pula, suatu pengubahsuaian atau pembentukan polisi baru perlu
dilaksanakan bagi mengenal pasti kaedah dan pengukuran untuk menilai tahap suai aktif
warga emas agar mereka tidak terpinggir dari keadilan sosial khasnya yang berkaitan
dengan tahap keperluan seksual mereka dan kebajikan psikososial mereka. Pewujudan
pusat aktiviti sosial untuk wargaemas seperti PAWE perlu diperbanyakkan agar kejelekitan
sosial khasnya di kalangan wargaemas dapat dipelihara. Justeru, mereka dapat berkongsi
buah fikiran dan masalah sesama mereka di samping memenuhkan kehidupan mereka
dengan aktiviti yang berfaedah dan dapat pula berkongsi pengalaman dan kebolehan
mereka dengan generasi yang lebih muda.
TIPS BAGI MENGATASI
1. Bagi orang Islam sentiasalah kembali kepada amalan cara sunnah nabi s.a.w. Tinggalkan
amalan yang bertentangan.
2. Yaqinlah bahawa tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh agama (Islam)
3. Berkongsi masalah dengan orang yang dipercayai (akhlak dan aqidah)
4. Corak amalan pemakanan “Makan bila lapar, berhenti sebelum kenyang”. Namun
berhenti sebelum kenyang tu ramai yang gagal.
5. Berikan kepercayaan dan bukalah ruang/peluang kepada pekerja sosial untuk
membimbing anda membantu diri sendiri.
6. Merujuk kepada kaedah REBT yang digunakan oleh Dr Hj Abdullah Ismail (KB, PA), yang
memetik dari Al Quran, Ayat ke 8 Surah Asy Syams, “Maka (Allah) mengilhamkan
kepada manusia (samada) untuk membuat keburukan atau kebaikan (ketakwaan)”. Di
mana manusia telah diberikan neraca aqal untuk memilih tindakan dan berperilaku
“congruent” dengan tuntutan agama ataupun sebaliknya.
Sekian, terima kasih.
13
BARISAN WATAK DI DALAM CERPEN INI
NO WATAK PERHUBUNGAN
1 Pak Kob Suami Mak Tam, jiran Pak Usin dan Mak Nah
2 Mak Tam Isteri Pak Kob, jiran Pak Usin dan Mak Nah
3 Nani Janda anak dua, anak perempuan Pak Usin dan Mak Nah
4 Sani Anak Pak Kob dan Mak Tam
5 Pak Usin Jiran Pak Kob dan Mak Tam
6 Mak Nah Isteri Pak Usin
7 Cumi Kucing kesayangan Pak Usin
8 Deman Anak lelaki Pak Usin dan Mak Nah, abang kepada Nani
9 Dr Lin Doktor yang merawat Mak Nah
10 Johan Pekerja Sosial di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Santan
Bertapis
11 Cik Nor Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Santan Bertapis
12 Ustaz Zul Kaunselor keluarga dan warga emas
**digarap dari sebuah kisah benar pada tahun 2005 di sebuah Pejabat Kebajikan
Masyarakat Daerah di Negeri Johor. Namun nama dan tempat telah diubah demi
memelihara sensitiviti dan kerahsiaan individu terlibat.
14