“Saya” terpaku apabila terdengar suara tua di hujung talian meluahkan rasa hatinya kerana kehabisan makanan. Dia juga berterima kasih kepada “Nana” orang yang disangka sedang menelefonnya. Dia juga memberitahu bahawa abang Nana, Nubhan langsung tidak menjenguknya walaupun duduk dekat dengannya. “Saya” sedar bahawa dia telah tersalah mendail nombor telefon. Setelah meletak telefon, “Saya” dapat membayangkan kesulitan yang terpaksa dilalui oleh mangsa-mangsa banjir. Perasaan simpati dan risau bersarang di hatinya. Oleh itu, dia menelefon semula nombor tadi tetapi tidak berjawab. Persoalan demi persoalan bermain di kepalanya.“Saya” berasa agak terganggu apabila panggilannya tidak berjawab. Dia teringat suara tua itu tadi memberitahu jiran-jirannya semua sudah pindah. “Saya” terpaku dan tertanya-tanya sebab dia tidak berpindah ke pusat pemindahan dan sanggup tinggal bersendirian di situ. “Saya” menelefon nombor itu sekali lagi. Kali ini penggilannya berjawab dan suara di hujung talian memberitahu bahawa sebelumnya dia sedang solat Zuhur. Dia meminta agar Nana yang disangkanya sedang bercakap dengannya tidak terlalu bimbang akan dirinya. Buat masa ini, dia masih ada ikan kering dan cili kering. Jika sudah habis, dia akan makan nasi dengan garam.
“Saya” berasa terkilan kerana dia tidak sempat menjelaskan siapa dirinya kepada suara tua itu. Dia berasa sangat sedih mengenangkan nasib ibu tua itu. Pada masa yang sama, dia berdoa agar Allah memberinya peluang merasai kenikmatan untuk menyenduk nasi ke pinggan seorang ibu sebelum ke pinggannya sendiri. Oleh sebab perasaan ingin berbakti kepada ibu tua yang tidak dikenali malah tidak diketahui di mana tempat tinggalnya, “Saya” nekad untuk mencarinya. Dia percaya bahawa rumah ibu itu tidak jauh dari rumah rakannya, Ameera yang terletak tidak sampai enam kilometer dari rumahnya.“Saya” menanam tekad di hati untuk mendekati ibu tua itu. Dia ingin meredakan kerinduan yang menyiksa ibu tua itu terhadap anak-anaknya. Dia berdoa agar Allah memberi perlindungan kepada ibu tua itu. Rindu ibu tua itu sama sarat seperti dia merindui emaknya yang telah meninggal dunia. “Saya” sekali lagi berdoa agar Allah mensejahterakan pertemuan dua kerinduan yang amat tidak tertanggung itu. “Saya” berasa bersyukur apabila dia dapat mencari alamat ibu tua itu melalui buku panduan telefon. Dia menarik nafas lega dan bertanyakan dirinya andai dia telah bersedia untuk menghadapi pertemuan itu.
Apabila tiba di kampung itu, dua orang remaja sedang bermain sampan hingga ke jalan besar memberitahu bahawa Nek Piah memang tidak pindah. Mereka bersetuju untuk menghantarnya ke rumah ibu tua itu, yang kini diketahui namanya sebagai Mak Piah. Setelah memberi salam kali ketiga, barulah ibu tua itu membuka pintu. Mak Piah kelihatan bingung kerana didatangi wajah yang tidak pernah dikenalinya. “Saya” membiarkan ibu tua itu menyelongkar mencari jawapan sendiri. Ketika sedang menghidangkan makanan, Mak Piah bertanya sama ada Nana yang menghantar “Saya” untuk datang ke rumahnya. “Saya” terpaksa meneruskan pembohongannya kerana tidak mahu menghampakan keyakinan di hati ibu tua itu. Mak Piah terus bertanya tentang Nana dan anak-anak serta suaminya. “Saya” bertanya sebab Mak Piah tidak mahu berpindah ke pusat pemindahan. Mak Piah menjelaskan bahawa dia kerap kencing dan kadang-kadang tidak sempat ke bilik air. Dia tidak mahu lagi menghadapi keadaan yang sama dan menjadi bahan caci dan umpat orang lain seperti tahun sebelumnya.
Mak Piah memeluk ”Saya” dan mengucapkan terima kasih kepadanya. “Saya” dapat melihat sinar kebahagiaan pada mata ibu tua yang sarat dengan kerinduan itu. “Saya” meleraikan keadaan dengan mengajak Mak Piah untuk makan. “Saya” hanya mampu tersenyum dan mengangguk-angguk apabila Mak Piah membuat andaian sendiri bahawa makanan itu dimasak oleh Nana. Mak Piah tetap beranggapan bahawa Nanalah yang menyuruh “Saya” untuk menghantar makanan itu kepadanya. “Saya” membiarkan hati ibu tua itu dipenuhi kebahagiaan. Selesai makan, “Saya” membantu mencuci dan menyimpan daging, ayam, ikan, sayur dan buah-buahan ke dalam peti sejuk Mak Piah. Dia meminta diri dan berjanji akan datang lagi untuk melawatnya. Mak Piah meminta “Saya” mengirim salam kasihnya kepada Nana. Malam itu, “Saya” diserang demam panas. Setelah lima hari berlalu, barulah “Saya” boleh bangun. Dia hendak menunaikan janjinya selepas menonton berita banjir yang kembali surut di kaca televisyen.
Apabila tiba diperkarangan rumah Mak Piah, “Saya” berasa sangat risau apabila melihat orang ramai membanjiri perkarangan rumah Mak Piah. Tanda soal itu terjawab apabila melihat usungan jenazah dibawa keluar dari rumah itu. “Saya” mengikutinya sampai ke tanah perkuburan. Setelah semua orang beredar, “Saya” merapati Nana, anak bongsu Mak Piah yang persis raut ibunya. Dia meluahkan kekesalan kerana abangnya dikongkong oleh isterinya. Dia pula tidak diizinkan oleh suaminya untuk membantu emaknya membersihkan rumah selepas banjir. Ibu tua itu dikhabarkan tergelincir dan kepalanya tercedera. Setelah tubuhnya kaku, barulah jenazahnya ditemui tetangga. Nana dilanda sebak yang tidak tertanggung, berbeza dengan arwah Mak Piah yang penuh kebahagiaan semasa ditinggalkan “Saya” sebelum ini. Nana memberitahu dia tidak pernah mengirim apa-apa kepada emaknya malah tidak pernah menelefonnya kerana Mak Piah tidak berapa dengar. Nana mengakui betapa mulianya hati emaknya kerana menjulang namanya, padahal dia anak yang tidak bertanggungjawab. Dia mengakui bahawa dia tidak pernah menghantar makanan, apatah lagi barang dapur kepada emaknya. Nana terus meraung kesedihan. Dalam keterharuan mengenang kebahagiaan Mak Piah di hujung usianya, “Saya” memimpin Nana keluar dari kawasan perkuburan.