BAB 5: IJTIHADIK
5.1 PENDAHULUAN
Komponen ijtihadik ini memfokuskan kepada penerangan mengenai pengertian ijtihad, konsep ijtihad,
skop ijtihad dan kedudukan ijtihad dalam syariat Islamiyyah. Seterusnya, terdapat juga perbincangan
secara terperinci mengenai beberapa contoh ijtihad yang telah dikemukakan berdasarkan isu-isu
semasa yang berlaku dalam arus pembangunan dan pemodenan ini seperti isu pengguguran janin, isu
pengklonan manusia dan binatang serta isu berkaitan dengan pendermaan organ.
5.2 KONSEP IJTIHAD
Dalam konsep Islam, terdapat dua perkataan yang berasal dari satu kata nama yang mempunyai
pengaruh besar dalam kehidupan Islam dan umatnya sepanjang sejarah. Kedua perkataan tersebut
adalah, “ijtihad” dan “jihad”, keduanya berasal dari huruf-huruf ( )ج هـ دyang mengandungi erti;
mencurahkan kemampuan atau menanggung kesulitan.
Perkataan ijtihad bersasaran untuk mengenal petunjuk dan agama Allah yang dibawa oleh
utusan-Nya, sedangkan perkataan jihad bersasaran untuk menjaga agama Allah dan
mempertahankannya.
Perkataan ijtihad bergerak di bidang pemikiran dan penelitian sedangkan kata-kata jihad
bergerak dalam ruang lingkup perbuatan dan tingkah laku. Kalau kita renungkan, kita akan
mengetahui bahawa kedua pengertian tersebut saling melengkapi dan saling menumpang, di mana
ijtihad sebagai jihad di bidang ilmiah dan jihad adalah sebagai suatu ijtihad yang berbentuk
perbuatan.
5.3 PENGERTIAN IJTIHAD
Ijtihad menurut bahasa berasal dari kata: جهدertinya; “mencurahkan segala kemampuan” atau
“menanggung beban kesulitan”. Bentuk kata yang mengikut wazan; ) (اِفتِعالmenunjukkan erti:
berlebih-lebihan (mubalaghah) dalam perbuatan. Kerana itu, kata iktasaba ( )اِكتسبmempunyai erti
“lebih” dari kata kasaba ()كسب.
Erti ijtihad menurut bahasa adalah mencurahkan semua kemampuan dalam segala
perbuatan. Kata-kata ijtihad ini tidak dipergunakan kecuali pada hal yang mengandungi kesulitan
dan memerlukan banyak tenaga.
51
Dari segi istilah syarak, ijtihad adalah mencurahkan kemampuan untuk mendapatkan
hukum syarak yang bersifat operasional dengan cara istinbat (mengambil kesimpulan)
hukum. Ini merupakan tafsiran Imam as-Syaukani yang dipilih oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
5.4 HUKUM BERIJTIHAD
Ulamak sepakat mengatakan harus ijtihad dalam mengeluarkan hukum apabila cukup syarat
tertentu. Hukum harus ini dan sejarah bermulanya ijtihad ulamak dengan berdasarkan hadith Mu’az
bin Jabal ketika beliau diutuskan menjadi wakil di Yaman:
Maksudnya: “Bagaimanakah nanti engkau akan memutuskan hukum apabila dibawa
kepada engkau sesuatu permasalahan? Mu’az menjawab, ‘Saya akan memutuskan
hukum berdasarkan Kitab Allah’. Nabi bertanya lagi, ‘Sekiranya kamu tidak dapati di
dalam Kitab Allah?’ Jawab Mu’az, ‘Saya akan memutuskan berdasarkan Sunnah Rasul-
Nya?’ Tanya Nabi lagi, ‘Sekiranya engkau tidak menemui di dalam Sunnah?’ Mu’az
menjawab, ‘Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan perkara tersebut.
Nabi pun menepuk dada sambil bersabda, ‘Segala puji bagi Allah yang telah memberi
taufiq kepada utusan Rasulullah ke arah sesuatu yang diredhai oleh Rasulullah” (Riwayat
Abu daud).
5.5 SYARAT SEORANG MUJTAHID
Mengetahui dan memahami al-Quran dan ilmunya8 secara mendalam, terutama ayat-ayat
yang melibatkan hukum.
Mengetahui dan memahami as-Sunnah (hadis-hadis Nabi) dan ilmunya9, terutamanya Hadis
Hukum.
Mengetahui Bahasa Arab.
Mengetahui ijmak ulamak atau hukum yang disepakati para ulamak.
Mengetahui ilmu usul fiqh.
Mengetahui maqasid (objektif) syari’ah.
Mengenal manusia dan kehidupan sekitarnya.
Bersifat adil dan taqwa.10
8 Ayat-ayat hukum ada lebih kurang 500 ayat menurut Imam al-Ghazali dan Ibn al-‘Arabi. Ilmu lain yang wajib
diketahui oleh mujtahid adalah ilmu sebab turunnya ayat, mengetahui nasakh dan mansukh, dan lain-lain.
9 Hadis hukum ada dalam lingkungan 1200 menurut Imam Ahmad. Ilmu hadis yang wajib diketahui oleh mujtahid
adalah ilmu dirayah hadis, mengetahui hadis yang nasakh dan mansukh, mengetahui sabab wurud hadis, dan
selainnya.
52
5.6 KEDUDUKAN IJTIHAD DALAM SYARIAT
Ijtihad adalah suatu perkara yang dibenarkan dan digalakkan dalam ajaran Islam. Lebih-lebih lagi
pada zaman moden pada hari ini di mana terdapat pelbagai masalah baru yang tidak berlaku pada
zaman Rasulullah S.A.W. Pada zaman sahabat, mereka telah menggunakan ijtihad sebagai salah satu
sumber dalam perundangan Islam memandangkan terdapat sesetengah perkara yang tidak pernah
berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. Selain daripada itu, ijtihad juga dibolehkan kerana pada
asasnya tidak semua negara khususnya di bawah pemerintahan sahabat Rasulullah S.A.W
mempunyai sumber hadis yang banyak dalam menghadapi pelbagai masalah yang berlaku.
Lantaran itu, wujudnya sahabat yang menyelesaikan suatu permasalahan dengan
menggunakan hujah Al-Quran dan hadis, manakala terdapat juga para sahabat yang menggunakan
cara berijtihad dalam menyelesaikan permasalahan kerana kekurangan sumber hadis. Oleh itu, jika
diteliti melalui sirah para sahabat, wujudnya dua golongan iaitu pertamanya golongan ahli tafsir
dengan menggunakan hujah hadis dan keduanya golongan yang menggunakan cara berijtihad
melalui akal fikiran (bi al-ra’yi). Dalam hal ijtihad ini, Rasulullah S.A.W pernah bersabda:
Maksudnya: Dari Amr bin al- ‘As r.a, bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah s.a.w
bersabda: “Apabila si hakim memutuskan hukum dengan berijtihad dan ia memperolehi
kebenaran dalam ijtihadnya, maka ia mendapat dua pahala. Jika ia tidak memperolehi
kebenaran dalam ijtihadnya, maka ia memperoleh satu pahala.” (HR. Al-Bukhari dan
Muslim)
5.7 KEPENTINGAN IJTIHAD
Secara teknikalnya, ijtihad merupakan usaha penyelidikan ilmiah hukum Islam yang diaplikasi untuk
mengetahui jawapan atau kehendak Allah terhadap sesuatu persoalan hukum yang timbul. Ianya
tidak boleh digunakan sembarangan oleh seseorang yang bukan pakar dalam perundangan Islam.
Memandangkan ijtihad ini bukan setakat membabitkan elemen teori semata-mata, bahkan turut
membabitkan elemen aplikasi, maka dalam kupasan fuqaha ianya sering dihubungkaitkan dengan
institusi fatwa (mujtahid).
Secara mudahnya, kita dapat memperincikan beberapa kepentingan utama konsep ijtihad ini
dalam perundangan Islam, kesemuanya berkaitan secara langsung dengan institusi fatwa. Ijtihad
merupakan alat utama yang menghubungkan antara sumber wahyu dengan kepentingan akal
serta perubahan masyarakat. Walaupun ijtihad dihasilkan oleh akal manusia yang bersifat relatif,
ianya dianggap sebagai unsur yang tidak dapat dielakkan dalam sistem fiqh Islam.
10 Al-Qaradhawi menambah beberapa lagi syarat yang diperselisihkan iaitu mengetahui ilmu usuluddin,
mengetahui ilmu mantiq, dan mengetahui cabang-cabang fiqh.
53
Antara kepentingan lain ijtihad dalam perkembangan fiqh Islam:
a) Al-Quran dan Sunnah hanyalah sumber asas untuk sistem fiqh Islam, manakala sumber
sebenarnya adalah penggunaan akal dipimpim oleh kedua sumber tersebut.
b) Teks kandungan Quran dan Sunnah yang berkaitan dengan soal perundangan amat terbatas
dari segi jumlahnya, sedangkan permasalahan masyarakat yang sentiasa timbul dalam
kehidupan manusia pula tidak terbatas. Atas sebab ini, ijtihad diperkenalkan dan dianggap
sebagai mampu untuk bertindak menyelesaikan masalah.
c) Dakwaan bahawa sistem fiqh Islam yang syumul dan sesuai untuk semua tempat, keadaan
dan zaman. Bagi memperkukuhkan dakwaan ini, ijtihad wajib digunakan bagi menyediakan
jawapan hukum yang bakal menisbahkan sifat kesyumulan syariah Islam.
5.8 IJTIHAD DAN FATWA SEMASA
PERUBATAN MODEN
(i) Pemindahan Organ
Hukum pemindahan organ menimbulkan perselisihan di kalangan para ulama’. Ada yang mengatakan
harus, dan ada pula yang mengatakan sebaliknya. Di sini, dikemukakan hukum yang diputuskan oleh
Akademi Fiqh Islami di dalam muktamarnya kali ke-4 yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi
daripada 18-23 Jamadil Akhir 1408 H bersamaan 6-11 Februari 1988 M, yang berdasarkan ijtihad
jama’i, iaitu:
i. Harus memindahkan organ dari tubuh badan seseorang manusia kepada manusia yang lain,
tetapi perlu dipastikan pemindahan tesebut menghasilkan manfaat yang lebih besar
berbanding dengan kemudaratan yang timbul, dengan syarat bertujuan mewujudkan semula
anggota yang hilang atau mengembalikan semula bentuknya atau fungsinya sebagaimana
biasa atau untuk menghilangkan kecacatan yang boleh menimbulkan kesan kepada psikologi
dan fizikal pesakit.
ii. Harus memindahkan organ dari tubuh badan seorang insan kepada insan yang lain, sekiranya
organ yang dipindahkan itu boleh membina dengan segera seperti darah dan kulit. Tetapi
disyaratkan penderma mestilah seorang yang layak menderma dan memenuhi syarat yang
diambilkira oleh syarak.
iii. Harus mengambil manfaat daripada organ yang dipotong daripada tubuh badan seseorang
dan diberikan kepada pesakit lain seperti kornea, kerana penyakit yang menimpa pesakit
tersebut.
54
iv. Haram memindahkan organ yang menjadi pergantungan hidup manusia seperti pemindahan
jantung.
v. Haram memindahkan organ daripada insan hidup yang mengganggu tugas utama dalam
kehidupannya, walaupun keselamatan nyawanya tidak bergantung kepada kepada organ itu
seperti dua kornea.
vi. Harus memindahkan organ daripada orang yang meninggal kepada orang hidup, walaupun
organ tersebut organ yang menjadi pergantungan hidup manusia dan melaksanakan tugas-
tugas utama, dengan syarat hendaklah mendapat persetujuan terlebih daripada si mati
sebelum meninggal atau warisnya selepas meninggal atau persetujuan daripada pihak
berkuasa, jika si mati tidak dikenali identitinya atau tidak mempunyai waris.
(ii) Pengguguran Janin dengan alasan kukuh
“Dilarang ke atas seseorang doktor untuk menggugurkan kandungan seorang perempuan setelah
sempurna 120 hari sejak menjadi segumpal darah, kecuali untuk selamatkan nyawa perempuan (si
ibu) dari bahaya yang diakibatkan oleh kandungan itu.
Pengguguran boleh dilaksanakan atas izin kedua suami dan isteri apabila kandungan itu
belum sempurna 40 hari sejak menjadi segumpal darah. Apabila kandungan itu telah sempurna 40
hari dan belum sampai 120 hari, tidak boleh digugurkan kecuali dalam dua keadaan:
i. Apabila tetapnya kandungan itu akan membahayakan kesihatan ibu sehingga diperkirakan
(zann) tidak mungkin boleh menanggung bahaya tersebut, atau bahaya tersebut akan
berlangsung terus setelah bayi dilahirkan.
ii. Apabila diketahui dengan pasti bahawa janin yang akan dilahirkan akan cacat jasmani atau
kurang waras akalnya yang tidak boleh disembuhkan.
Dan hendaklah proses pengguguran itu dilaksanakan bukan dalam keadaan darurat mendadak
dalam hospital, dan tidak dilakukan proses pengguguran yang setelah 40 hari kecuali dengan
keputusan dari badan ilmiah yang terdiri dari tiga doktor pakar. Sekurang-kurangnya salah seorang
mereka adalah pakar penyakit wanita dan kandungan, serta syarat keputusannya dipersetujui oleh
dua orang doktor Muslim yang jelas keadilannya.”
[Lajnah Fatwa Kuwait dikeluarkan pada 29 September 1984]
55
(iii) Pengklonan manusia, binatang dan tumbuhan
Berhubung dengan pengklonan manusia, Akademi Fiqh Islam di dalam muktamarnya kali yang ke-10,
yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi, bermula dari 23 hingga 28 Safar 1418 H bersamaan dengan
28 Jun 1997 Masihi, memutuskan antara lain:
i. Haram melakukan pengklonan manusia berdasarkan cara yang disebutkan di atas atau
dengan apa-apa cara sekalipun yang boleh memperbanyakkan bilangan manusia.
ii. Haram di dalam semua keadaan, penglibatan pihak ketiga di dalam hubungan suami isteri,
sama ada di dalam bentuk sewa rahim, telur, sperma atau sel badan untuk tujuan
pengklonan.
iii. Harus dari segi syarak menggunakan teknik pengklonan dan kejuruteraan genetik di dalam
lapangan penyelidikan tentang mikrob, hidupan halus, tumbuh-tumbuhan dan juga binatang,
di dalam batasan yang dibenarkan oleh syarak, asalkan ia boleh mendatangkan kemaslahatan
kepada manusia dan menolak kemudaratan daripada mereka.
5.9 KESIMPULAN
Kesimpulannya, ijtihadik yang ingin dilahirkan dari generasi Ulul Albab ini membawa maksud
kebolehan untuk mengutarakan pendapat dan pandangan dalam menyelesaikan masalah-masalah
yang dihadapi oleh masyarakat Islam, memaksimumkan potensi akal dan keupayaan berfikir secara
kreatif dan inovatif. Generasi ijtihadik adalah orang yang boleh memberikan pandangan dan
menyelesaikan masalah, mempunyai keupayaan berfikir dan juga seorang yang kreatif dan inovatif.
Aktiviti / Tugasan
1. Membincangkan ‘fatwa-fatwa kebangsaan berkaitan masalah kontemporari’ secara
berkumpulan, dan membentangkan hasil perbincangan. Menjadikan www.e-fatwa.gov.my
sebagai rujukan utama.
2. Bincangkan bersama rakan-rakan anda mengenai produk perbankan Islam yang menjadi teras
dalam bank-bank Islam di Malaysia. Dapatkan pamplet di bank-bank sekitar tempat anda dan
kongsikannya bersama rakan-rakan yang lain.
3. Rujuk Fatwa Kebangsaan mengenai isu bioteknologi moden dan analisis bagaimana mufti
mengeluarkan fatwa berkenaan dengannya.
56
UJI MINDA
1. Maksud ijtihad dari segi istilah ialah _____.
A. membaca dan tadabbur al-Quran dan hadis
B. operasi mengeluarkan hukum syarak tentang perbuatan mukallaf
C. berusaha gigih melawan musuh Islam dengan berhujahkan al-Quran dan hadis
D. berusaha gigih mengeluarkan hukum syarak daripada sumber al-Quran dan Hadis
2. Apakah susunan yang betul dalam mengeluarkan hukum syarak sebagaimana hadis Nabi s.a.w.
memuji Muaz bin Jabal sebelum menjadi wakil dakwah ke Yaman?
A. Al-Quran -> Hadis -> Ijtihad
B. Usul Fiqh -> Hadis -> bahasa Arab
C. Al-Quran, Hadis dan ijtihad sekaligus
D. Bahasa Arab -> Fekah -> Ilmu manusia dan persekitaran
3. Apakah yang dimaksudkan dengan fatwa?
A. sumber hukum Syarak
B. aplikasi hukum syarak berasaskan sumber agama (al-Quran dan Hadis)
C. ilmu hukum moden yang dibincangkan di peringkat negara meliputi pelbagai bidang
kehidupan
D. jawapan/ keputusan tentang sesuatu hukum daripada seorang atau ramai mufti terhadap
soalan yang ditanya kepadanya
4. Berikut adalah situasi diharuskan membuat pemindahan organ kecuali
A. wasiat daripada si empunya diri
B. mendapat izin daripada empunya diri
C. waris memberi keizinan derma organ
D. pihak berkuasa mengizinkan organ orang tertentu diambil
5. Manakah berikut situasi yang diharuskan Syarak untuk menderma organ
I. menderma sebahagian hati kepada bakal tunang
II. menderma 1 buah pinggang kepada isteri
III. menderma 1 kornea mata kepada suami
IV. menderma ovari kepada adik
A. I, II dan III C. I, III dan IV
B. I, II dan IV D. II, III dan IV
6. Salah satu daripada kaedah fekah yang digunapakai untuk mengharuskan derma organ ialah
A. manfaat yang lebih besar didapati mendahului mudarat yang kecil
B. apabila bertembung dua mudarat, pilih mudarat yang lebih ringan
C. apabila bertembung antara mudarat dan manfaat, pilih manfaat
D. apa yang membawa kepada haram, maka ia adalah haram
7. Apakah hukum menggugurkan janin sebelum ditiupkan roh?
A. harus C. makruh
B. haram D. sunat jika perlu
57
8. Berikut adalah syarat diharuskan pengguguran kandungan kecuali
A. apabila kandungan membahayakan nyawa si ibu
B. apabila kandungan itu didapati cacat jasmani atau akalnya
C. minta izin daripada ulama agar mengesahkan situasi tersebut
D. pengesahan tiga doktor pakar bahawa nyawa ibu terancam bila meneruskan kandungan
9. Menurut majoriti ulama, janin ditiupkan roh pada usia ______ kandungan.
A. 40 hari C. 100 hari
B. 3 bulan D. 4 bulan
10. Manakah berikut situasi yang diharuskan dalam pengklonan
I. pengklonan dan kejuruteraan genetik tumbuhan dibenarkan Syarak
II. pengklonan binatang diharuskan Syarak kerana demi kemaslahatan manusia
III. pengklonan manusia dibenarkan jika tidak berniat meniru dan menandingi ciptaan Allah
IV. pengklonan bergantung kepada niat yang baik semata tanpa menilai cara penghasilannya
A. I dan II C. III dan IV
B. II dan III D. I dan IV
58