Edisi 1: Sesi 2 2021/2022
BAB 2: BERSUCI DALAM KEHIDUPAN MUSLIM
____________________________
OBJEKTIF PEMBELAJARAN:
Setelah mempelajari topik ini, pelajar sepatutnya dapat:
1. Menyebutkan konsep bersuci dari hadas dan bersuci dari najis.
2. Menghuraikan perkara membatalkan wudhuk dengan lengkap.
3. Mempraktikkan wudhuk dan tayammum dengan sempurna rukun dan sunatnya.
_______________
2.1 KONSEP TAHARAH
‘Taharah’ adalah kalimah Arab yang bermaksud bersuci. ‘Bersuci’ pula membawa maksud bersih
dan bebas daripada segala kekotoran sama ada dalam bentuk yang zahir (hissi) seperti najis,
atau bentuk yang maknawi seperti perkara yang mengaibkan atau sifat-sifat keji.
‘Bersuci dengan air’ bermaksud bersih daripada kotoran, manakala bersuci daripada
hadas bermaksud bebas daripadanya. ‘Bersuci’ pada sudut istilah ialah perbuatan yang
mengharuskan solat atau seumpamanya seperti berwudhuk kepada sesiapa yang belum
berwudhuk; mandi kepada sesiapa yang belum mandi; dan menghilangkan najis daripada
pakaian, badan dan juga tempat.
Hukum bersuci ini adalah wajib kepada semua umat Islam yang telah diwajibkan ke
atasnya solat dan amalan Islam yang lain. Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda:
لاَ تُْقبَ ُل َصلاَةٌ بِغَِْْي طُُهوٍر
Maksudnya: Allah tidak akan menerima solat tanpa bersuci. Riwayat Muslim; status
hadis adalah sahih.
22 | 1 1 5
Edisi 1: Sesi 2 2021/2022
2.2 BAHAGIAN BERSUCI
Taharah (bersuci) terbahagi kepada dua iaitu:
▪ Bersuci dari hadas; iaitu dengan berwudhuk, mandi dan tayammum. Wudhuk dan mandi
ini disempurnakan dengan menggunakan air mutlak, manakala tayammum
disempurnakan dengan menggunakan debu tanah yang suci tatkala situasi darurat.
Tayammum adalah alternatif kepada perbuatan wudhuk dan mandi wajib yang tidak
dilakukan akibat ketiadaan air atau kecederaan.
▪ Bersuci dari najis; iaitu dengan membersihkan air kencing, kotoran tahi dan lain-lain lagi.
Ia perlu dilakukan dengan mengalirkan air mutlak ke atas najis sehingga hilang ain (zat)
najis tersebut pada sudut baunya, warna dan rasa (dengan jari). Jika tidak berjaya
menghilangkan sifat najis tersebut, maka ia boleh dianggap sebagai kemaafan Syarak
kerana sukar.
2.3 KONSEP SUCI DARIPADA NAJIS
Bersuci daripada najis ini mestilah dilihat pada kehilangan najisnya itu. Jika zat dan sifat najisnya
sudah tiada setelah disucikan, maka ia sudah dikira suci. Menurut mazhab Syafie, setiap najis
mestilah disucikan dengan air mutlak sahaja, tanpa menggunakan campuran bahan lain.
Bersuci dari Najis Mukhaffafah:
- Contoh najis mukhaffafah: Air kencing bayi lelaki yang belum berumur dua tahun dan
hanya minum susu ibunya. Ini saja termasuk najis mukhaffafah.
- Cara basuhan:
o Hilangkan ain (zat) najis terlebih dahulu jika ada.
o Memadai direnjiskan air mutlak ke atas najis beberapa kali hingga hilang bau,
warna dan rasa.
o Jika masih wujud sifat najis tersebut setelah usaha beberapa kali, maka ia
termasuk dalam kemaafan Syarak kerana berlaku kesukaran.
23 | 1 1 5
Edisi 1: Sesi 2 2021/2022
Bersuci dari Najis Mutawassitah
- Contoh najis mutawassitah: Najis selain mukhaffafah dan mughallazah; iaitu arak;1 darah
dan nanah; bangkai2 (termasuklah anggota yang terpotong daripada seekor haiwan yang
masih hidup)3, air kencing, tahi dan muntah manusia dan binatang; susu haiwan yang
tidak dimakan dagingnya seperti keldai dan baghal4; dan air wadi dan mazi.5
- Cara basuhan;
o Hilangkan ain (zat) najis terlebih dahulu jika ada.
o Dialirkan air mutlak ke atas najis beberapa kali (memadai 3 kali) hingga hilang bau,
warna dan rasa.
o Jika masih wujud sifat najis tersebut setelah usaha beberapa kali, maka ia
termasuk dalam kemaafan Syarak kerana berlaku kesukaran.
Bersuci dari Najis Mughallazah
- Contoh najis mughallazah: Anjing dan Khinzir, dan keturunan daripadanya. Hanya
sentuhan yang basah sahaja perlu dibasuh tujuh kali, tetapi jika sentuhan kering, maka
itu tidak mengapa. Inilah pegangan mazhab Syafi’i dan Hanbali.
- Cara basuhan:
o Hilangkan ain (zat) najis terlebih dahulu jika ada.
o Alirkan air mutlak bercampur tanah pada tempat terkena najis itu.
o Kemudian alirkan sebanyak 6 kali air mutlak.
o Jika masih wujud sifat najis tersebut setelah usaha beberapa kali, maka ia
termasuk dalam kemaafan Syarak kerana berlaku kesukaran.
1 Majoriti ulama (mazhab empat) menganggap ianya najis, manakala minoriti ulama (aliran hadis) menganggap ianya
suci. Ianya diharamkan bukan sebab najis, tetapi sebab mabuk. Namun, majoriti ulama ada hujahnya tersendiri.
2 Bangkai: Dikecualikan kenajisan bangkai pada tiga; iaitu mayat manusia, bangkai belalang dan bangkai ikan (hidupan
laut).
3 Ia dikira bangkai dan najis, kerana Nabi s.a.w. bersabda: “Apa yang terpotong daripada haiwan yang masih hidup,
adalah bangkai.” [Riwayat Abu Daud]
4 Susu dikira sebahagian daripada dagingnya. Maka, hukum susu sama dengan hukum dagingnya.
5 Air mazi dan wadi adalah najis. Manakala air mani adalah suci menurut pandangan mazhab Syafi’i dan Hanbali, tetapi
najis menurut mazhab Hanafi dan Maliki. Menurut hadis; ‘Aisyah r.a. mengikis air mani yang sudah kering pada pakaian
Baginda sa.w., dan membasuh kesan air mani yang masih basah. Baginda solat dengan pakaian itu, walaupun terdapat
kesan mani padanya. [Riwayat Muslim]
24 | 1 1 5
Edisi 1: Sesi 2 2021/2022
2.4 KONSEP SUCI DARIPADA HADAS
Seseorang yang tidak mengambil wudhuk dikira sebagai berhadas kecil, manakala seseorang
yang tidak mandi wajib dan telah berlaku perkara yang mewajibnya mandi, maka ia dikira
berhadas besar. Hadas ini tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Hanya diri sendiri sahaja
mengetahui dirinya sedang dalam keadaan berhadas. Hadas kecil boleh diangkat (dihilangkan)
dengan berwudhuk, manakala hadas besar hanya diangkat (dihilangkan) dengan mandi.
Seseorang yang berada dalam keadaan hadas dilarang dari melakukan amalan ibadat tertentu.
Seterusnya, marilah kita mempelajari fekah wudhuk.
2.4.1 Pengertian Wudhuk
Wudhuk berasal dari perkataan wadha’ah (َ)َوضاءة.
• Dari segi bahasa ia bererti elok dan berseri.
• Dari segi syarak ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu
beserta dengan niat.
Amalan yang diwajibkan wudhuk ialah:
• Solat, termasuk sujud syukur dan sujud tilawah
• Tawaf keliling kaabah
• Menyentuh al-Quran dan menanggungnya
2.4.2 Cara Berwudhuk Rukun, Sunat dan Makruh Wudhuk
Amalan wudhuk ini disebutkan oleh Allah dalam al-Quran:
اوَأ ْر ُجلاُُ ْك ِب ُر ُءو ِسُُ ْك اوا ْم اس ُحوا الْ ام ارا ِف ِق ِا اَل اوَأيْ ِدياُُ ْك ُو ُجو اهُُ ْك فاا ْغ ِسلُوا ال ذص اَل ِة ِا اَل قُ ْم ُُ ْت ِا اذا اأ امنُوا اَي َأُهّ ايا اَذِّلي ان
ِا اَل ا ْل اك ْع اب ْ ِي
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengerjakan
sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudhuklah dengan) basuh
muka kamu, dan kedua belah tangan kamu hingga ke (meliputi) siku, dan sapulah
(sebahagian) dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu hingga
(meliputi) buku lali... Al-Ma’idah [5]: 6
25 | 1 1 5
Edisi 1: Sesi 2 2021/2022
Rukun Wudhuk
Daripada ayat al-Quran di atas, Ulama Syafi’iyah merumuskan 6 RUKUN WUDHUK iaitu:
1. Niat
2. Membasuh keseluruhan muka (sekali)
3. Membasuh kedua-dua belah tangan hingga ke siku (sekali)
4. Menyapu sebahagian kepala (sekali)
5. Membasuh kedua-dua belah kaki hingga ke buku lali (sekali)
6. Tertib
Sunat Wudhuk
1. Menyebut nama Allah (baca ) ِب ْس ِمَالَل
2. Membasuh pergelangan tangan - 3 kali
3. Berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung dengan satu cedukan tangan kanan, dan
mengeluarkan air dengan tangan kiri – 3 kali
4. Menyapu keseluruhan kepala.
5. Menyapu telinga bahagian luar dan dalam.
6. Menyelati jari tangan, jari kaki, misai dan janggut.
7. Mendahului membasuh yang kanan daripada yang kiri, kecuali telinga (sekaligus).
8. Membasuh / menyapu setiap anggota - 3 kali.
9. Muwalat (berturutan tanpa diselangi perbuatan lain)
10. Doa selepas wudhuk disebut dalam hadis:
Makruh Ketika Wudhuk
Perkara makruh adalah disebabkan terdapat larangan Baginda s.a.w. yang kelihatan tidak tegas
(seperti haram), dan juga amalan itu bertentangan dengan sunnah. Antaranya ialah:
• Menggunakan air secara berlebihan.
• Mengelap anggota wudhuk tanpa keuzuran.
• Mendahulukan basuhan tangan dan kaki kiri daripada kanan.
• Meminta bantuan orang lain membasuh anggota wudhuk untuknya, tanpa uzur.
• Membasuh atau menyapu anggota wudhuk lebih daripada 3 kali (dengan yakin).
• Melampau berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika sedang berpuasa.
• Menyimbah air ke muka kerana perbuatan itu bertentangan dengan kemuliaan muka.
26 | 1 1 5
Edisi 1: Sesi 2 2021/2022
2.4.3 Perkara Membatalkan Wudhuk
Perkara membatalkan wudhuk dalam mazhab Syafi’i hanya melibatkan lima perkara ini, iaitu:
1. Sesuatu yang keluar daripada qubul dan dubur seperti kencing, tahi, darah, angin dan
lain-lain.
2. Tidur dalam keadaan baring, telentang, mengiring dan seumpamanya. Jika tidur secara
duduk, ia tidak membatalkan wudhuk. Namun, ulama menggalakkan (sunat) supaya
berwudhuk. Mengantuk tidak membatalkan wudhuk.
3. Hilang akal disebabkan mabuk, pitam, gila dan seumpamanya, walaupun disebabkan
makan ubat. Ia diqiyaskan kepada tidur, bahkan ianya lebih utama dari tidur (qiyas awla).
4. Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain (yang halal kahwin) tanpa
berlapik. Batal wudhuk ke atas orang yang menyentuh dan yang disentuh. Menyentuh
kanak-kanak yang belum baligh (tiada syahwat) tidak membatalkan wudhuk.6
5. Menyentuh kemaluan manusia (qubul dan dubur) tanpa lapik dengan perut tapak tangan
sama ada secara sengaja atau tidak, sama ada menyentuh kemaluan sendiri, orang lain,
kanak-kanak dan seumpamanya membatalkan wudhuk.
2.5 PENGERTIAN MANDI WAJIB
Pengertian mandi secara Bahasa ialah mengalirkan air ke atas apa-apa sahaja. Pengertian mandi
secara istilah ialah mengalirkan air ke atas badan dengan niat yang tertentu. Mandi telah
disyariatkan oleh Allah sama ada untuk kebersihan ataupun menghilangkan hadas, dan sama
ada ia menjadi syarat sah ibadat ataupun tidak. Firman Allah s.w.t:
Maksudnya: Jik.a..k(a6m)uرواbُ eطهذr ذjuفااnuًباbُن, ُجbeُ ْتrُ نsْ ُكucْنilaاوِاh (iaitu dengan mandi).
Surah al-Ma’idah [5]: 6
6 Mazhab syafi’i mengatakan ia membatalkan wudhuk. Mazhab Hanbali dan Maliki mengatakan menyentuh dengan
syahwat membatalkan wudhuk (sentuhan biasa tidak membatalkannya). Manakala mazhab Hanafi mengatakan
semua itu (sentuhan biasa dan sentuhan syahwat) tidak membatalkan wudhuk melainkan bersetubuh barulah
membatalkan wudhuk. Dr. Abdul Karim Zaidan memilih pendapat yang kuat adalah pendapat mazhab Maliki dan
Hanbali. Lihat: Al-Mufassal (1/90).
27 | 1 1 5
Edisi 1: Sesi 2 2021/2022
Seseorang itu dianggap dalam keadaan hadas besar (dan mewajibkannya mandi) apabila
berlaku padanya perkara berikut, iaitu:
• Keluar mani sama ada sengaja atau tidak.
• Persetubuhan, walaupun persetubuhan itu tidak mengeluarkan mani.
• Haid dan nifas; juga menyebabkan ia wajib mandi selepas tempohnya tamat.
• Wiladah: iaitu melahirkan anak, bagi sesiapa yang tidak keluar darah nifas.
• Orang kafir masuk Islam, wajib baginya mandi jika ia pernah melakukan sesuatu yang
mewajibkan mandi. Jika belum baligh, sunat sahaja untuk mandi.
• Orang mati (kecuali mati syahid), wajib bagi kaum muslimin memandikannya.
2.5.1 Cara Mandi Wajib
Mandi wajib yang sempurna meliputi perkara rukun dan sunat. Setiap orang mesti mengutamakan
rukun supaya sempurna, dan seharusnya menyempurnakan yang sunat kerana mengikut cara
mandian Rasulullah s.a.w. Rukun mandi wajib ada dua (2) sahaja, jika tidak sempurna dua
perkara ini, tidak sah mandi wajib tersebut.
Rukun mandi wajib ialah:
• Berniat dalam hati (ingin mandi untuk mengangkat hadas besar) ketika mula mandi, iaitu
ketika air mula mengenai badan (tidak mengapa air kena dahulu badan, atau niat dahulu
sebelum airnya terkena badan).
• Membasahkan semua anggota badan yang zahir, kulit dan rambut serta meratakan air
pada rambut hingga ke pangkalnya.
Cara mandi wajib ini meliputi perkara wajib dan sunat. Inilah yang sepatutnya menjadi amalan
kebiasaan kita:
1. Membaca basmalah, dan seterusnya niat mandi wajib.
2. Membasuh kedua-dua belah tangan di luar bekas air, kemudian membasuh kemaluan
dan kotoran di badan dengan tangan kiri.
3. Berwudhuk dengan sempurna, namun boleh membasuh kaki di akhir mandi.
4. Menyelati rambut dengan air kemudian membasuh kepala sebanyak tiga kali.
5. Menjirus bahagian kanan badan diikuti sebelah kiri badan.
6. Meratakan air dengan menggosok badan.
28 | 1 1 5
Edisi 1: Sesi 2 2021/2022
7. Sempurnakan basuhan pada lipatan anggota badan, seperti dua telinga, lipatan kulit
perut, ketiak dan di dalam lubang pusat. Perbuatan ini wajib sekiranya kuat sangkaan
bahawa air tidak akan sampai ke tempat-tempat tersebut melainkan dengan cara
demikian. Disunatkan berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung.
8. Mengulangi basuhan sebanyak tiga kali, berdasarkan qiyas kepada basuhan ketika
berwudhuk.
Apabila seseorang itu berada dalam keadaan hadas besar, ia dilarang melakukan amalan berikut:
• Solat fardhu atau sunat.
• Menyentuh dan membawa dan membaca al-Quran.
• Tawaf mengelilingi kaabah, sama ada tawaf fardhu atau sunat.
• Berhenti atau duduk (iktikaf) dalam masjid. Sekadar melaluinya tidak mengapa.
2.5.2 Darah Wanita
a) Darah Haid
Haid ialah darah kotor yang keluar dari rahim perempuan (yang sudah baligh), yang bukan darah
penyakit. Haid berwarna merah kehitaman, kuning tua atau berwarna coklat. Sekiranya yang
keluar itu berwarna putih, maka tidaklah dipanggil haid dan perempuan itu bukannya
mengandung.
Tempoh minimum haid sehari semalam. Paling lama 15 hari 15 malam. Tempoh
kebiasaannya adalah 6 hari, atau 7 hari 7 malam.7 Sekiranya darah yang keluar melebihi daripada
tempoh kebiasaan haid (6 atau 7 hari), atau melebihi maksimum haid 15 hari (bagi mereka yang
sukar mengenali sifat darah), maka darah yang lebih dari tempoh itu dikira istihadhah (darah
penyakit). Orang yang berdarah penyakit ini wajib menunaikan solat dan amalan-amalan lain
sebagaimana orang biasa juga.
7 Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan tempoh mula dan berakhirnya haid dan serta tempoh biasa. Ini
mungkin kerana tempoh haid ini bergantung kepada keadaan individu yang berbeza berdasarkan saiz badan, bangsa,
umur dan iklim setempat. Justeru, pendapat-pendapat yang dikeluarkan oleh imam-imam mazhab ini semuanya adalah
ijtihad berdasarkan kajian dan pemerhatian masing-masing. Imam Malik berpendapat tidak ada had maksimum dan
minimum untuk haid, tetapi semuanya berdasarkan kepada kebiasaan seorang wanita. Lihat: Ensiklopedia Solat (hlm.
85).
29 | 1 1 5
Edisi 1: Sesi 2 2021/2022
b) Darah Nifas
Nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan disebabkan melahirkan anak. Mazhab
Syafi’i mengatakan bahawa darah nifas itu ialah darah yang keluar selepas selesai melahirkan
anak, tetapi sekiranya bayi masih belum keluar kesemuanya, maka belum lagi dikatakan darah
nifas tetapi darah yang keluar itu dikira darah penyakit. Maka ia wajib solat, dan jika tidak mampu,
wajib diqadha’ selepas suci daripada nifas.
Darah daripada rahim perempuan yang keguguran anak juga dipanggil nifas. Tempoh
sekurang-kurangnya satu lahzah (sedetik). Kebiasaannya 40 hari dan tempoh maksimum 60 hari.
Maka, tidaklah wujud tempoh pantang (dalam tempoh nifas) 44 hari sebagaimana kepercayaan
orang Melayu. Sabda Nabi s.a.w.:
ًَكانَ ْت الُنَّف َساءُ َعلَى َع ْه ِد َر ُسوِل الله تَْقعُ ُد بَْع َد نَِفا ِسَها أَْربَعِيَن يَْوًما أَْو أَْربَعِيَن لَْيلَة
Maksudnya: Perempuan nifas pada zaman Rasulullah s.a.w. menunggu nifasnya
selama 40 hari atau 40 malam. Riwayat Abu Daud; status hadis hasan.
Perkara yang HARAM dilakukan oleh orang haid dan nifas ialah:
▪ Solat, termasuk sujud tilawah dan sujud syukur.
▪ Puasa, sama ada wajib atau sunat.
▪ Bersetubuh, adapun berseronok dengan isteri selain itu diharuskan.
▪ Tawaf kaabah.
▪ Iktikaf (berhenti) dalam masjid.
▪ Membaca, menyentuh dan membawa al-Quran.
▪ Bercerai, tetapi talaknya jatuh.
c) Darah Istihadhah
Istihadhah ialah darah yang keluar dari kemaluan perempuan bukan semasa haid atau nifas. Ia
disifatkan sebagai darah penyakit. Semua mazhab fekah sepakat perempuan istihadhah ini dikira
mengalami hadas berterusan seperti orang yang kencing tidak lawas, air mazi, tahi atau angin
yang keluar, (semua keadaan ini) mereka yang mengalaminya tidak dapat mengawalnya. Dalam
satu hadis, diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA, ia berkata:
30 | 1 1 5
Edisi 1: Sesi 2 2021/2022
َجاءَ ْت فَا ِط َمة بنت أب ُحبَيْش إََِلَ ر ُسوِل اللهِ صلى الله عليه وسلم فََقالَ ْت إِِني اْمَرأَةٌ أُ ْستَ َحا ُض فَلَا
َوإِذَا َال مصلَاة فَ َدعِي ُاْْلَيْ َضة أَقْبَلَ ِت فَِإذَا بِاْْلَيْ َضِة َولَيْ َس ِعْرٌق قَا َل َلا إِنممَا ذَلِ َك أأََْدطْبَُهَرُرْتأَفَفَأَاَدْغعُِسالِليمصلَعَاْنةَ؟ِك
.ال مدَم َو َصلِي
Maksudnya: Fatimah binti Abu Hubaisy datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata:
Aku perempuan yang istihadhah dan tidak pernah suci, apakah perlu aku
tinggalkan solat. Baginda s.a.w. bersabda: Jangan! Ia darah keluar dari salur
darah, bukan darah haid. Jika kamu didatangi haid, tinggalkan solat. Jika telah
kering, basuh darah tersebut dan solat. Riwayat Abu Daud, status hadis sahih.
LIMA (5) keadaan darah istihadhah ialah:
• Darah yang keluar daripada perempuan yang belum baligh (9 tahun qamariyah).
• Darah yang keluar daripada perempuan hamil (menurut mazhab Hanafi & Hanbali).
• Darah yang keluar dalam tempoh yang kurang daripada tempoh paling singkat HAID iaitu
sehari semalam (24 jam).
• Darah yang keluar melebihi tempoh haid paling lama (iaitu 15 hari).
• Darah yang keluar melebihi tempoh paling lama darah NIFAS iaitu 60 hari.
Perempuan yang mengalami istihadhah dikira seperti perempuan suci dan tiada larangan
melakukan ibadat seperti larangan terhadap orang haid dan nifas. Apabila perempuan istihadhah
hendak solat, ia mesti melakukan perkara berikut:
1. Menunggu masuk waktu solat kemudian barulah boleh beristinjak.
2. Menyumbat sesuatu di tempat keluar hadas jika tidak menyukarkan. Darah yang
berterusan keluar adalah dimaafkan. Terus berwudhuk selepas beristinjak.
3. Niat wudhuk bagi mengharuskan melakukan sesuatu yang dihalang oleh hadas tersebut,
dan bukannya dengan niat mengangkat hadas. Ini kerana dalam mazhab Syafi’i, wudhuk
seumpama ini tidak boleh menghilangkan hadas seperti juga tayammum.
4. Setelah berwudhuk, hendaklah menunaikan solat serta merta dan tidak mewujudkan
ruang pemisah antara wudhuk dan solat kecuali sesuatu yang diperlukan oleh keadaan
darurat.
31 | 1 1 5
Edisi 1: Sesi 2 2021/2022
Bagi ulama mazhab Syafi’i, wudhuk seperti ini tidak boleh digunakan kecuali untuk satu solat
fardhu sahaja, tetapi boleh digunakan untuk menunaikan apa saja solat sunat, termasuk solat
rawatib (qabliyah dan ba’diyah).
Cara Mengenali Keadaan Istihadhah Selepas Haid
Jika seseorang perempuan dapat membezakan darah yang keluar sama ada haid atau istihadhah
melalui pemerhatian terhadap kebiasaannya, dia boleh menggunakan kaedah ini untuk
menentukan hukum. Terdapat tiga kaedah untuk mengenal pasti darah istihadhah dan
membezakannya daripada haid atau nifas, iaitu:
Kaedah 1: Meneliti ciri-ciri darah
• Ciri darah yang lain ialah warna, kepekatan dan bau.
• Warna: Jika darah tersebut kehitaman, ia adalah darah haid. Jika tidak, ia darah
istihadhah.
• Kepekatan: Darah haid pekat, manakala darah istihadhah cair.
• Bau: Darah haid berbau kuat, manakala darah istihadhah tidak berbau.
Kaedah 2: Berdasarkan keadaan seseorang perempuan
• Jika kebiasaan haid seseorang itu 7 hari, tiba-tiba pada suatu bulan haid datang melebihi
daripada 7 hari. Maka darah yang keluar lebih daripada 7 hari itu dikira istihadhah.
Kaedah 3: Berdasarkan kebiasaan perempuan lain
• Wanita yang tidak memiliki masa (tempoh & putaran) haid yang tetap dan tidak memiliki
sifat-sifat darah yang dapat dibezakan antara haid dan istihadhah, maka baginya masa
haid diukur berdasarkan kebiasaan kaum wanita terdekat, waktu selebihnya dikira
istihadhah. Jika mereka kebiasaannya didatangi haid 6 atau 7 hari, maka demikianlah
ukuran ke atas dirinya.
Jika ketiga-tiga kaedah di atas sukar dikenalpasti, maka perempuan tersebut hanya perlu
mengikut 15 hari haid dan hari selepasnya dikira sebagai istihadhah. Wallahu a’lam.
32 | 1 1 5
Edisi 1: Sesi 2 2021/2022
2.6 KAEDAH BERSUCI KETIKA KEUZURAN
2.6.1 Pengertian Tayammum
Definisi dari segi bahasa: Qasad (maksud atau sengaja). Definisi dari segi syarak: menyampaikan
tanah ke muka dan tangan sebagai ganti (alternatif) kepada wudhuk atau mandi atau anggota
kedua-duanya, dengan syarat-syarat yang khusus.8 Ulama fiqh membincangkan apakah
tayammum secara sepenuhnya boleh menggantikan wudhuk dan mandi wajib, atau hanya
mengharuskan ibadat sahaja.
Firman Allah s.w.t. dalam al-Quran berkenaan tayammum:
َِت ُدوا فَلَ ْم َل)نِ َساء6ُم ا:ُْو(الَلماائَمدْسةت.َأ.ط.ُِفَُكتَْنيَتُممْمُمَمواْر َضَصىِعيأًَْدوا َعلَطَيِبًىا َفسَاَفْمٍر َسأَْوُحواَجابِءَُوأَُج َوحِهٌد ُكِمْمْن ُكَوأَْميْ ِدِميَنُكاْملْغَِمانْئِه َوإِ ْن
ًَماء
Maksudnya: Jika kamu sakit (tidak boleh kena air) atau dalam musafir, atau salah
seorang daripada kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh
perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwudhuk dan mandi), maka
hendaklah kamu bertayammum dengan tanah – debu yang bersih,9 iaitu sapulah
muka kamu dan kedua-dua belah tangan kamu dengan tanah-debu itu.
Surah Al-Ma’idah [5]: 6
Dalil daripada hadis ialah:
ِا اَل ِل ْل اي اديْ ِن او اَ ْضبا ٌة ,لِ ْل او ْج ِه اَ ْضبا ٌة ااَّذلِل ار ُسو ُل قاا ال :قاا ال ار ِِ اض ااَّذلُل ُُ اع ار او اع ِن ِاْب ِن
اَ ْضباتاا ِن التذ اي هم ُم اع ْْ ُن اما االذدا ارقُ ْط ِ هن ار اوا ُه .االْ ِم ْرفاقا ْ ِي
Maksudnya: Daripada Ibn Umar, ia berkata Rasulullah s.a.w. bersabda:
Tayammum dua kali tepukan (ke tanah). Satu tepukan untuk muka, satu lagi
tepukan untuk tangan hingga ke siku. Riwayat al-Daraqutni, status khilaf antara hasan
dan dhaif.
8 Tayammum pengganti mandi wajib apabila tiada air. Memadai sekali tayammum untuk menghilangkan hadas kecil
dan besar. Selain itu, tayammum hanya untuk setiap solat fardhu. Sekalipun tidak berhadas, ia wajib bertayammum
semula apabila masuk waktu solat seterusnya. Lihat: al-Fiqh al-Manhaji.
9 So’id (debu tanah) dalam ayat di atas ditafsirkan kepada dua pendapat:
a) Permukaan bumi secara mutlak sama ada pasir, bukit, batu ataupun tanah. Ini adalah mazhab Abu Hanifah,
Abu Yusuf, Malik dan pendapat dipilih Ibn Taimiyah. Pendapat ini lebih luas dan mudah.
b) Hanya tanah dan tidak sah dengan selain itu. Ini adalah mazhab al-Syafi’i, Hanbali, Abu Thaur dan pendapat
yang dipilih Ibn al-Munzir. Lihat: Sahih Fiqh al-Sunnah.
33 | 1 1 5
Edisi 1: Sesi 2 2021/2022
2.6.2 Rukun dan Sunat Tayammum
a) Rukun Tayammum
• Niat dalam hati untuk melakukan tayammum, disunatkan melafazkan dengan lisan.
Contoh niat: [ ] َن َو ْي ُتََالتَّ َي ُّم َمَ ِِل ْس ِت َبا َح ِةَ ال َّص َلاةَِ المـَ ْكتُو َب ِةَ للهَ تعالىbermaksud: Aku bertayammum untuk
mengharuskan solat fardhu kerana Allah Ta’ala.
• Menyapu seluruh wajah dengan debu. Memadai menyapu zahir muka tanpa perlu
memastikan sampai debu ke seluruh muka.
• Menyapu tangan hingga ke siku dengan debu.
• Tertib, iaitu mendahulukan menyapu muka daripada tangan.
b) Sunat Tayammum
• Sunat tayammum adalah sebagaimana dalam wudhuk seperti membaca basmalah
sebelum tayammum, menyapu sebelah kanan dahulu, dan membaca doa selepas
tayammum.
• Merenggangkan jari-jari tangan ketika menepuk tanah.
• Menipiskan debu dengan mengibas kedua-dua belah tapak tangan atau meniupnya.
c) Sebab Diharuskan Tayammum
• Ketiadaan Air: Air benar-benar tidak ada; atau (jika cukup) ia hanya untuk minuman
sahaja, atau untuk binatang ternakan sahaja; atau airnya ada tetapi jarak tempat air
tersebut sangat jauh.
• Ada Halangan: Iaitu terhalang menggunakan air seperti bimbangkan keselamatan dan
kehormatan diri; atau adanya musuh atau binatang buas menghalang untuk mengambil
air dari tempatnya.
• Ada Mudarat: Contohnya sakit yang tidak boleh menggunakan air, atau cuaca yang
sangat sejuk sehingga boleh memudaratkan badan.
2.6.3 Perkara Yang Membatalkan Tayammum
• Semua perkara membatalkan wudhuk (5 perkara).
• Terdapat air yang sebelumnya tidak ada.
• Sudah tiada halangan seperti sakit sudah sembuh, atau keadaan yang darurat sudah
pulih.
34 | 1 1 5
Edisi 1: Sesi 2 2021/2022
2.6.4 Sapu atas Balutan
Pesakit yang ditimpa luka atau patah, kadang-kadang berhajat kepada meletakkan ikatan atau
balutan serta ubat di atas tempat luka atau patah. Sekiranya perlu kepada balutan, maka ia wajib
melakukan tiga perkara berikut:
1. Membasuh bahagian anggota yang selamat (tidak sakit) pada anggota yang luka atau
patah.
2. Menyapu seluruh balutan atau ikatannya.
3. Bertayammum sebagai ganti membasuh bahagian yang sakit apabila sampai kepada
anggota tersebut ketika berwudhuk.
Jika balutan di atas anggota yang luka atau patah tidak diperlukan, maka dia wajib
membasuh bahagian anggota yang sihat dan bertayammum bagi menggantikan bahagian luka
sekiranya dia tidak boleh membasuh tempat sakit (luka) tersebut. Dia wajib mengulangi
tayammum pada setiap kali solat fardhu sekalipun dia tidak berhadas. Manakala anggota yang
lain, ia tidak wajib dibasuh semula melainkan sekiranya dia berhadas.
Orang yang memakai balutan, wajib mengqadha’ solat sekiranya balutan tersebut berada
salah satu daripada tiga keadaan berikut:
1. Apabila dia meletakkan balutan itu dalam keadaan tidak suci (iaitu berhadas) dan dia uzur
(tidak dibenarkan) membukanya.
2. Balutan itu berlaku pada anggota tayammum iaitu muka dan kedua tangan.
3. Apabila kawasan yang sihat dibalut melebihi kadar balutan pada tempat sakit.
Pendapat mazhab Syafi’i ini kelihatan agak sedikit sukar kerana perlu bersuci dengan air
dan debu sekaligus, padahal orang yang sakit sepatutnya dapat kemudahan. Ia kelihatan lebih
berat dengan menggunakan dua alat bersuci (air dan debu tanah), sedangkan orang sihat hanya
satu alat bersuci (iaitu air). Berbeza dengan mazhab Hanafi dan Maliki yang hanya menggunakan
air sahaja. Pendapat ini sesuai dengan maqasid Syariah yang membawa taisir (kemudahan)
dalam agama. Justeru, tiada salahnya bertaklid (berpegang tanpa tahu dalil) kepada pendapat
mazhab Hanafi dan Maliki ini. Hanya mengenakan air ketika berwudhuk atau mandi pada anggota
sihat sahaja, manakala bahagian yang sakit atau dibalut hanya disapukan air di atasnya. Bahkan
solat yang ditunaikan ketika tempoh sakit ini sah dan tidak perlu diulang kembali apabila sihat.
35 | 1 1 5
Edisi 1: Sesi 2 2021/2022
2.6.5 Solat tanpa Bersuci
Pesakit yang tidak boleh menggunakan kaedah berwudhuk dan bertayammum, kerana boleh
memudaratkan badannya seperti pesakit yang terbakar (melecur) seluruh badan atau dalam
keadaan terikat, atau tersangkut di pokok tinggi, maka ia tidak perlu menggunakan air dan debu
sebagai alat bersuci. Dalam kes begini, majoriti ulama’ mewajibkan ia solat tanpa wudhuk dan
tanpa tayammum. Ini adalah pendapat yang kuat dalam mazhab Syafie dan Hanbali.
Mereka berhujah dengan hadis tentang pensyariatan tayammum di mana para sahabat
Nabi ketika musafir menunaikan solat tanpa wudhuk sebelum pensyariatan tayammum dan Nabi
s.a.w. tidak mengarahkan mereka mengulangi solat tersebut. Namun begitu, hendaklah
dipastikan betul-betul situasi tidak mampu berwudhuk dan tayammum sebelum mengambil
rukhsah ini. Apabila mendapati kemudahan untuk berwudhuk atau bertayammum, dalam
keadaan waktu solat masih ada, wajib bersuci dengannya dan mendirikan semula solat tersebut.
2.7 KESIMPULAN
Pelajaran pada bab ini merangkumi topik bersuci yang mana ia merupakan syarat sebelum
tertunainya amalan solat. Seseorang muslim mestilah mengetahui perihal najis, hadas, masalah
haid, nifas dan istihadhah kerana ia melibatkan perkara yang berlaku seharian hidup kita.
Ketidaksempurnaan mengenainya akan menyebabkan solat yang akan ditunaikan tidak sah.
Begitu juga topik wudhuk dan mandi wajib perlu dihadam dengan baik oleh seorang muslim
kerana ia merupakan antara syarat sah solat.
Di akhir topik ini dibincangkan mengenai kaedah bersuci apabila berdepan dengan situasi
sukar atau darurat. Di sana sudah pasti ada kemudahan dalam Islam kepada penganutnya dan
dibincangkan secara terperinci oleh para ulama’ silam dan ulama semasa. Terkadang sesuatu
isu tidak kuat hujahnya di suatu zaman, kemudiaannya di zaman terkini menjadi pendapat yang
kuat untuk diamalkan. Justeru, teruskan belajar dan kembangkan ilmu agama dengan lebih
matang.
36 | 1 1 5