MPU2372: Sesi 3 2021/2022
بسم الله الرحمن الرحيم
DINAMIKA ISLAM DI MALAYSIA
MPU 2372
اللهم افتح علينا حكمتك.الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه آجمعين
رب اشرح لي صدري ويسرلي أمري واحلل عقدة من لساني.وانشر علينا من خزائن رحمتك يا أرحم الراحمين
. رب زدني علما وارزقني فهما والحمد لله رب العالمين.يفقهوا قولي
Penyusunan Modul ini dihasilkan bagi memudahkan pelajar untuk mempelajari kursus Dinamika
Islam di Malaysia. Ia adalah hasil perkongsian buah fikiran beberapa pensyarah Pendidikan Islam di
Kolej Profesional MARA. Justeru, jutaan terima kasih diucapkan kepada pensyarah Pendidikan Islam
KPMBP, KPMIM, KPMAM, KPMBM, KPMSI dan KPMB atas curahan idea yang diberikan bagi
menyiapkan modul yang ringkas ini.
Jika modul ini terdapat kesilapan fakta, mohon diberitahu kepada penyusun.
Penyusun,
Afif bin Mamat @ Yusof
Pensyarah Pendidikan Islam KPM Bandar Penawar.
Emel: [email protected]
Maklumat Pemilik:
Nama
Kelas
Program
Kolej
No. Bilik
Edisi Terkini: Nov 2021
1
MPU2372: Sesi 3 2021/2022
ADAB MENUNTUT ILMU
Sebelum Belajar:
▪ Datang awal ke kelas
▪ Berwudhuk sebelum ke kelas
▪ Tekad dan semangat untuk belajar
▪ Menutup telefon bimbit sebelum kuliah bermula
▪ Meminta maaf kepada guru jika terlewat hadir ke kelas
▪ Pastikan pelajaran yang akan dipelajari sudah dibaca di asrama
▪ Bersedia fizikal dan mental untuk menerima ilmu daripada guru
▪ Pastikan buku dan pen sudah tersedia di atas meja sebelum guru masuk ke kelas
Ketika Belajar:
▪ Menulis dan mencatat apa yang diajar
▪ Tidak menaikkan suara terhadap guru
▪ Bertanya guru jika tidak memahaminya
▪ Mendengar kuliah dengan tekun dan semangat
▪ Menghafaz dan memahami pelajaran dengan baik
▪ Berdoa memohon ditambahkan ilmu, kefahaman dan hidayah
▪ Bertanya dengan niat yang ikhlas, bukan kerana hendak menguji guru.
▪ Meminta izin dengan guru untuk bertukar tempat duduk atau hendak ke tandas jika
mengantuk.
2
MPU2372: Sesi 3 2021/2022
ISI KANDUNGAN
DINAMIKA ISLAM DI MALAYSIA (MPU 2372)
MINGGU TOPIK & HALAMAN PENILAIAN
1 BAB 1: ISLAM AGAMA PERSEKUTUAN [5] UJIAN 1 (15%)
2 BAB 2: ASAS-ASAS ISLAM [15] PEPERIKSAAN AKHIR
(30%)
3 BAB 3: MAQASID SYARIAH DAN TASAWWUR ISLAM [24]
UJIAN 2 (15%)
4
BAB 4: TAMADUN DAN PERADABAN [35] PEPERIKSAAN AKHIR
(30%)
5
6 BAB 5: PEMBENTUKAN KELUARGA [52] TUGASAN BERTULIS
(15%)
7 BAB 6: PEMBENTUKAN MASYARAKAT [65]
PROJEK (15%)
8 BAB 7: PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN [76]
9 BAB 8: PERUNDANGAN [84]
10 BAB 9: EKONOMI DAN KEWANGAN [99]
11 BAB 10: SENI DAN KEINDAHAN [107]
12 BAB 11: CABARAN ISLAM SEMASA [119]
SINOPSIS KURSUS:
Kursus ini memberi penjelasan tentang asas-asas Islam dengan sifatnya yang tetap dan anjal untuk
disesuaikan dengan konteks Malaysia. Kursus ini menjelaskan agama Islam yang dianggap sebagai
agama Persekutuan dan asas Tamadun manusia bertindak sebagai rujukan dalam bidang-bidang utama
kehidupan seperti sosial, politik, ekonomi, dan kesenian. Di akhir kursus ini, pelajar akan mampu
menyelesaikan masalah-masalah semasa berdasarkan kepada prinsip-prinsip asas dalam agama Islam
dan menjadikan agama Islam sebagai cara hidup sempurna.
HASIL PEMBELAJARAN KURSUS:
Di akhir kursus ini, pelajar sepatutnya mampu untuk:
CLO 1: Membincangkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan syariat Islam sebagai panduan
kehidupan. (C2, PLO1)
CLO 2: Mengaplikasi konsep Islam dalam bidang ekonomi dan kesenian. (C3, PLO2)
CLO 3: Mewajarkan solusi terhadap isu-isu semasa yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat
Malaysia. (A3, PLO9)
3
MPU2372: Sesi 3 2021/2022
Penilaian: Kursus Dinamika Islam di Malaysia (MPU 2372)
COURSE LEARNING BENTUK PENILAIAN PERINCIAN
OUTCOME (CLO)
Ujian 1 [15%] Bab 1: Islam Agama Persekutuan
CLO 1 Ujian 2 [15%] Bab 2: Asas-asas Islam
(CLO ini akan dicapai
melalui bentuk penilaian ini Bab 5: Pembentukan Keluarga
Bab 6: Pembentukan Masyarakat
→)
Peperiksaan Akhir [30%] Bab 3, 4, 7 & 8 sahaja
CLO 2
Tugasan Bertulis [15%] Tugasan Penulisan Akademik (berkumpulan):
CLO 3 Pembentangan [10%] Bab 9 & 10
Projek [15%] Projek (10%) & Refleksi (5%)
Bab 11: Cabaran Islam Semasa
Kemahiran Ingin Dicapai
1. Pengetahuan dan Kefahaman [CLO1]
2. Kemahiran Kognitif [CLO2]
3. Kemahiran Interpersonal [CLO3]
4
MPU2372: Sesi 3 2021/2022
[ BAB 1: ISLAM AGAMA PERSEKUTUAN ]
1.1 PENDAHULUAN
▪ Islam merupakan agama yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi-nabi sebelum
Nabi Muhammad s.a.w. Kemudiannya Baginda s.a.w. meneruskan dakwah Islam kepada
kaum Arab yang hidup di zaman jahiliyah.
▪ Seterusnya dakwah diteruskan oleh generasi Sahabat r.a. dan selepasnya hingga ke hari ini.
Ketika empayar Kerajaan Islam meliputi 2/3 dunia, penyebaran Islam sampai ke Tanah
Melayu.
▪ Di Tanah Melayu ketika itu, dengan majoriti penduduk asal Tanah Melayu berbangsa
Melayu, pemimpinnya juga Melayu, boleh menerima agama Islam yang selari dengan adat
tempatan, akhirnya Islam diangkat sebagai agama persekutuan dalam perlembagaan
Malaysia sehingga kini.
1.2 SEJARAH KEDATANGAN ISLAM KE TANAH MELAYU
Terdapat pelbagai teori yang disebutkan oleh sejarawan mengenai kedatangan Islam ke Tanah
Melayu, iaitu:1
ᵆ Teori Islam dibawa dari India (Abad 13 hingga 14 Masihi)
ᵆ Teori Islam dibawa dari China dan Champa (Abad 9 Masihi)
ᵆ Teori Islam dibawa dari Tanah Arab (Abad 7 Masihi)
1.2.1 Islam dibawa dari India
• Kebanyakan pendukung teori ini ialah golongan Orientalis Barat yang mengkaji tentang
perkembangan Islam di Timur.
• Mereka mengaitkan kedatangan Islam ke alam Melayu dengan India berdasarkan berlakunya
hubungan perniagaan dan kebudayaan antara masyarakat Nusantara dengan pedagang-
pedagang India Muslim di sekitar abad ke-13.
1 Ahmad Zaki Abd. Latif, Azam Hamzah & Azhar Mad Aros (2015), Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Oxford
Fajar Sdn. Bhd., hlm. 82-84.
5
MPU2372: Sesi 3 2021/2022
• Persamaan amalan mazhab Syafi’i antara masyarakat Nusantara dan India (di Banggala atau
di Malabar) menyebabkan beberapa tokoh Orientalis berpendapat Islam di Tanah Melayu
dibawa dari India.
• Namun, pendapat mereka ditolak ahli sejarawan lain kerana lebih cenderung mengatakan
Islam sudah bertapak di rantau Melayu sejak abad ke-7 Masihi, berbanding Orientalis yang
mengatakan pada abad ke-13 Masihi.
1.2.2 Islam dibawa dari China dan Champa
• Teori ini berdasarkan laporan orang China Islam; bahawa orang Arab-Islam telah datang ke
China pada zaman pemerintahan Maharaja T’ai Tsuing dari Dinasti Pang (627 – 650
Masihi).2
• Pada tahun 878 Masihi, tercetus satu pemberontakan besar di Canton yang dikaitkan dengan
rasa tidak senang hati dengan kemajuan ekonomi yang dicapai oleh orang Islam di China.
Akibatnya seramai 100 000 orang asing terbunuh dan sebahagian besarnya ialah orang Arab
(yang berdakwah ke China), mendorong orang Arab-Islam yang berada di Canton mencari
perlindungan di Nusantara. Ada yang melarikan diri ke Kedah dan Palembang.
• Jika kejadian di atas dikaitkan dengan bukti-bukti tempatan, memang ada kemungkinan
agama Islam di Nusantara juga datang melalui negara China. Ini kerana mereka bukan sahaja
lari menetap di Kallah (Kedah) dan Palembang, malah mereka turut menetap di Champa,
Brunei, pesisir Pantai Timur Tanah Melayu (Patani, Kelantan, Terengganu dan Pahang) dan
Jawa Timur. Antara bukti-bukti tempatan adalah penemuan inskripsi (berupa batu nesan) dan
prasasti yang menunjukkan kehadiran mereka ke kawasan ini:3
▪ Batu nisan seorang berketurunan Arab di Pekan, Pahang (bertarikh 1028 Masihi)
▪ Batu bersurat di Kuala Berang (bertarikh 1303 Masihi)
▪ Duit syiling emas di Kubang Labu, Kelantan (bertarikh 1082 Masihi)
• Menurut R. A. Kern, orang-orang Islam di Nusantara berasal dari Indo-China. Dalam kurun
ke-7 Masihi, dikatakan orang Melayu telahpun mengadakan hubungan dengan penduduk
2 Dikatakan bahawa Rasulullah telah mengutuskan pendakwah Wahab Abi Kabsyah ke China dan akhirnya
meninggal dunia di Canton. Khalifah Uthman bin Affan juga mengutuskan Saad bin Abi Waqqas ke China
untuk berdakwah. Beliau telah mengasaskan sebuah masjid di Canton yang diberi nama Wan Shin-Zi (Masjid
Kenangan Nabi).
3 Ahmad Jelani Halimi. 2008. Sejarah dan Tamadun bangsa Melayu. Hlm. 171. Inskripsi ialah sesuatu (kata,
ungkapan, lambang, dsb) yang ditulis atau diukir pada permukaan sesuatu (tugu, duit syiling dll), prasasti –
Kamus Dewan.
6
MPU2372: Sesi 3 2021/2022
Champa (Kemboja). Ini menunjukkan juga Islam datang ke Pantai Timur Semenanjung
Tanah Melayu dari Champa.
• Antara sarjana yang menyokong teori Islam dibawa dari China dan Champa ialah S.Q. Fatimi
dan R.O. Winstedt.
1.2.3 Islam dibawa dari Tanah Arab
• Teori kedatangan Islam dari Arab mendapat sokongan kebanyakan ahli sejarah, dan inilah
yang lebih mendekati kebenaran. Teori ini dipertahankan dan disokong oleh sarjana tempatan
iaitu Syed Muhammad Naquib al-Attas dan HAMKA.
• Para pedagang Arab yang berdagang di Alam Melayu melalui pelabuhan Yaman. Pelabuhan
Hadramaut menjadi tempat persinggahan para pedagang seluruh dunia termasuklah para
pedagang Melayu. Antara barang dagangan pedagang Melayu ialah rempah-ratus dan kapur
barus.
• Beberapa hujah yang dikemukakan untuk menyokong teori ini:
o Pengaruh Asia Barat dalam tulisan Jawi, yang mana tulisan jawi menggunakan
hurufhuruf yang sama dengan huruf Arab.
o Cara tatabacaan al-Quran di Nusantara sama dengan cara tatabacaan di Asia Barat (atau
timur tengah); tidak mirip bacaan ala penganut Islam di India mahupun China.
o Bukti daripada catatan sejarah dengan jelas menyatakan pengislaman raja-raja di alam
Melayu dilakukan oleh pendakwah dari Timur Tengah.4
o Bukti-bukti lain ialah pengaruh Arab dalam perkataan-perkataan Melayu seperti kitab,
surat, kertas, ilmu dan lain-lain lagi. Pengaruh juga terdapat dalam sukatan pengajian
agama tradisional yang menunjukkan unsur-unsur pengajian Timur Tengah seperti
penghuraian akidah melalui pengajian Sifat 20, aliran mazhab (Syafie), tasawuf dan
tarekat.
4 Contohnya Maharaja Derbar II yang memerintah Kedah pada 1136 Masihi telah memeluk Islam daripada
Syeikh Abdullah b. Syeikh Ahmad dari Yaman dengan memakai nama baharu Sultan Muzaffar Shah.
Parameswara (1414 M) pula memeluk Islam daripada Syeikh Abdul Aziz dari Jeddah serta menukar nama
kepada Sultan Muhammad Shah.
7
MPU2372: Sesi 3 2021/2022
1.3 ISLAM AGAMA PERSEKUTUAN
1.3.1 Sejarah dan Kedudukan Islam dalam Perlembagaan
Umum menerima Islam mempunyai hubungkait yang sangat rapat dengan kehidupan dan tamadun
Melayu. Syed Naquib al-Attas menyebut; Islam mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam
sejarah dan kebudayaan Melayu. Di bawah ini adalah kronologi agama Islam boleh termaktub di
dalam perlembagaan persekutuan di Malaysia:
Umat Islam mengamalkan ajaran Islam sejak 500 tahun lalu hingga menjadi budaya masyarakat.
Rakyat sanggup berperang menentang kuasa-kuasa kolonial Eropah (antaranya Portugis dan
Belanda) demi mempertahankan agama dan tanah air mereka.
Negara diambil alih oleh British (sebagai penasihat), namun soal agama tidak diganggu.
Selepas perang dunia ke-2, British menukar peranan mereka daripada menjadi penasihat kepada
mentadbir negara ini. Namun, soal agama Islam masih tidak diganggu.
British memperkenalkan Perlembagaan Malayan Union dalam tahun 1946 dan Perjanjian
Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1948, yang memperuntukan adat istiadat orang
Melayu dan Agama Islam tidak disentuh oleh kuasa mereka.
Perkara 3 Perlembagaan Malaysia diisytiharkan “Islam ialah agama bagi persekutuan”. Ini
membayangkan dengan jelas apa yang telah dipertahankan oleh orang Melayu sepanjang masa,
malah sebelum kuasa British masuk ke Tanah Melayu lagi, iaitu agama Islam dan adat istiadat.
1.3.2 Kemasukan Agama lain ke Tanah Melayu
▪ Semasa pentadbiran penjajahan British, British membawa masuk agama Kristian, sementara
kaum yang mendatang membawa masuk agama lain seperti Hindu dan Buddha. Oleh yang
demikian, menjadikan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan mestilah juga memberi
pertimbangan kepada agama-agama lain.
▪ Oleh itu, perkara 3 memperuntukkan suatu fasal imbangan yang menyebut “…tetapi agama
lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian
Persekutuan.”
8
MPU2372: Sesi 3 2021/2022
1.3.3 Peruntukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan5
Perkara 3: Agama bagi Persekutuan
▪ Islam ialah agama bagi persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan
aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
▪ Kedudukan Raja-raja adalah sebagai ketua agama di negeri-negeri,6 melainkan negeri
yang tidak mempunyai raja. Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi
negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
▪ Bersamaan dengan Perkara 3 ini, semua negeri dalam persekutuan kecuali Sarawak juga telah
menjadikan Islam sebagai agama negeri.
Perkara 8: Kesamarataan
Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang
sama rata di sisi undang-undang. Maka tiada perbezaan boleh dibuat berdasarkan agama, kaum,
keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau perlantikan bagi sesuatu
jawatan di bawah pihak berkuasa awam; kecuali sebagaimana dibenarkan dengan nyata dalam
perlembagaan ini.
Perkara 11: Kebebasan Beragama
▪ Setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agama masing-masing, dan
mengembangkannya - Tertakluk kepada Fasal (4)
▪ Tiada sesiapa pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai jika diperuntukkan bagi maksud
yang lain dari agamanya sendiri.
▪ Setiap kumpulan berhak menguruskan hal ehwal agamanya sendiri termasuklah menubuh,
menyelenggara atau memiliki harta atau institusi.
▪ Fasal (4): Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal dan
menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang
Islam.
5 Abdul Aziz Bari (2005), Islam dalam Perlembagaan Malaysia.
6 Dalam hal pentadbiran Agama Islam, Raja / Sultan dibantu oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang
merupakan pihak berkuasa agama negeri yang utama selepas Sultan.
9
MPU2372: Sesi 3 2021/2022
Perkara 12: Pengurusan Pendidikan
▪ Setiap kumpulan agama berhak menubuh dan menyelenggara yayasan untuk pelajaran
kanak-kanak mengenai agama masing-masing.
▪ Undang-undang persekutuan dan undang-undang negeri boleh mengadakan bantuan
kewangan khas bagi menubuh dan menyelenggara yayasan Islam atau bagi mengajar
mengenai agama Islam kepada orang Islam.
▪ Fasal (3): Tiada sesiapa dipaksa mengambil bahagian dalam upacara sembahyang sesuatu
agama selain agamanya sendiri.
▪ Bagi maksud fasal (3) di atas; agama bagi seseorang yang berumur kurang dari 18 tahun
ditentukan oleh ibu bapa atau penjaganya.
Perkara 121 (1A): Kuasa Mahkamah Syariah
▪ Mahkamah Tinggi Sivil tidak boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa
perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
▪ Ini kerana sebelum pindaan itu dibuat terdapat beberapa kes (seperti wakaf, penjagaan anak,
mungkir janji untuk berkahwin dan lain-lain) di mana Mahkamah Sivil telah membuat
keputusan mengenai perkara yang termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah dan
adakalanya telah mengubah keputusan yang telah dibuat di Mahkamah Syariah.
Perkara 150 (6A): Keadaan Darurat
▪ Peruntukan ini memelihara hal ehwal Islam walaupun dalam keadaan darurat yang
memberi kuasa kepada pihak eksekutif untuk membuat undang-undang yang pada keadaan
biasa, undang-undang hanya boleh dilakukan di Parlimen dan kerajaan pusat boleh
mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri.
▪ Walaupun kuasa darurat yang sangat luas tetapi tidak termasuk perkara yang berhubung
dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Ini menunjukkan hal yang berkaitan
dengan agama Islam diberi status yang tinggi dalam perlembagaan.
10
MPU2372: Sesi 3 2021/2022
1.4 KEPENTINGAN PERLEMBAGAAN
Perlembagaan memainkan peranan untuk:
• Menjamin kestabilan politik dan sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan.
Perlembagaan menentukan corak pemerintahan, pembahagian kuasa antara pelbagai badan
kerajaan serta prinsip-prinsip umum cara kuasa tersebut dilaksanakan.
• Menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Perlembagaan menentukan hak asasi
rakyat seperti kebebasan bercakap, kebebasan beragama dan pemilikan harta. Perlembagaan
dapat mengelakkan penyalahgunaan kuasa pemerintahan.
• Perlembagaan juga menentukan tanggungjawab rakyat dan batasan atau larangan seperti
hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang tidak boleh
dipersoalkan. Hal ini adalah penting untuk mengelakkan persengketaan kaum.
• Memudahkan perpaduan nasional dan pembangunan negara. Perlembagaan melindungi
kepentingan semua kaum. Perlembagaan juga menjamin keadilan sosial antara kaum. Hal ini
dapat memupuk perpaduan nasional dan mempertingkatkan pembangunan negara.
Kepentingan perlembagaan di sesebuah negara itu juga mempunyai haluan tertentu. Hal ini kerana,
perlembagaan mempunyai undang-undang dasar yang menentukan arah politik negara tersebut.
Menerusi perlembagaan, arena politik negara dapat ditentukan dan parti-parti politik pula mengetahui
hala tuju semasa memegang kuasa dan mentadbir negara.
1.5 ISU-ISU DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Isu-isu ini sering menjadi perbahasan antara tokoh akademik, ahli politik malah antara orang awam
yang terpelajar. Antara isu-isunya ialah:
(i) Malaysia Negara Islam atau Negara Sekular
o Malaysia pada hakikatnya bukan negara Islam kerana terdapat beberapa sebab seperti hukum
Islam tidak dilaksanakan dan perlembagaan yang tidak berlandaskan kepada al-Quran dan
al-Sunnah.
11
MPU2372: Sesi 3 2021/2022
o Walaupun begitu, tidak pula bermakna Malaysia menjadi negara sekular.7 Malah, terdapat
bukti jelas yang menunjukkan Malaysia adalah negara Islam, antaranya ialah:
▪ Perkara 3 (1) mengatakan bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan.
▪ Undang-undang negeri menyekat penyebaran agama lain selain Islam kepada
penganut Islam, menunjukkan kesungguhan menjaga agama Islam.
▪ Akta-akta bersifat Islamik seperti Akta Perbankan Islam 1983 dan Akta Takaful 1984
menunjukkan aktiviti kewangan Islam dikawalselia menurut lunas Syarak.
▪ Syiar-syiar agama Islam seperti solat berjemaah di masjid, sambutan perayaan, dan
sebagainya boleh disambut dengan aman dan dizahirkan.
▪ Wujud institusi agama seperti JAKIM, IKIM, Majlis Agama Islam Negeri dan
Pejabat Mufti, yang menguruskan hal ehwal umat Islam.
(ii) Kebebasan Beragama dan Masalah Murtad
o Jika Islam (dan perlembagaan) mengamalkan kebebasan beragama, kenapa menghalang
orang Islam untuk bebas keluar Islam (murtad)? Ini persoalan yang sering dilontarkan oleh
golongan liberal seperti Sisters in Islam (SIS).
o Merujuk kepada Perkara 12, perlembagaan hanya boleh melindungi umat Islam daripada
murtad pada umur kurang 18 tahun. Selepas umur tersebut, perlembagaan tiada lagi hak
melindunginya, dan mereka yang ingin murtad akan menggunakan pelbagai bentuk
pentafsiran untuk membolehkan mereka murtad.8
o Menurut perlembagaan, hak kebebasan beragama bermaksud Islam tidak memaksa orang
bukan Islam menerima atau menganut Islam. Pada masa yang sama, ajaran agama selain
Islam bebas untuk diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan.
o Ia bukanlah bermaksud umat Islam bebas keluar daripada Islam; atau bebas untuk tidak mahu
mengamalkan ajaran agama.
7 Negara sekular bermaksud negara yang tidak memberikan pengiktirafan kepada mana-mana agama sebagai
perlembagaan. Jika diteliti, ciri-ciri negara sekular secara umumnya adalah seperti berikut:
▪ Tiada agama rasmi bagi sebuah negara.
▪ Tiada peruntukan melalui dana negara untuk pembangunan institusi agama dan pendidikan agama.
▪ Undang-undang negara dibuat tanpa melibatkan badan penasihat agama.
8 Dalam isu murtad, Mahkamah Syariah akan mengambil alih kes ini berdasarkan kepada peruntukan undang-
undang negeri yang ada.
12
MPU2372: Sesi 3 2021/2022
(iii) Kebebasan Penyebaran Agama selain Islam
o Kebebasan “mengamalkan” ajaran agama adalah berbeza dengan kebebasan “menyebarkan”
ajaran agama. Penyebaran agama selain agama Islam dalam kalangan orang Islam adalah
tidak dibenarkan, dan ia menjadi satu kesalahan di bawah enakmen negeri.
o Kebebasan beragama juga tidak boleh diertikan bahawa seseorang itu bebas mendirikan kuil
atau tokong di mana-mana sahaja yang ia suka, melainkan dengan keizinan pemerintah.
o Walaupun ianya seolah berlaku ketidakadilan dalam kebebasan beragama, namun ia harus
dilakukan kerana menghormati Islam sebagai agama persekutuan dan majoriti rakyat
Malaysia beragama Islam.
(iv) Kewajipan Pelaksanaan Hukum Islam
o Kini di Malaysia hanya ada undang-undang sivil dan undang-undang syariah. Mahkamah
Syariah akan mengendalikan kes-kes melibatkan undang-undang syariah.
o Undang-undang syariah di Malaysia hakikatnya tidak mengamalkan hukum hudud, qisas dan
takzir secara sepenuhnya.
o Semua sarjana Muslim tidak menafikan kewajipan menghukum dengan hukum Islam. Tetapi
mereka berbeza pandangan tentang perlukah ia dipraktikkan segera, atau perlu ditangguhkan
atas alasan kefahaman agama majoriti rakyat masih cetek, kepentingan kepada penyelesaian
masalah yang lebih penting seperti homeless, kemiskinan dan sebagainya. Pendek kata,
syarat wajib perlaksanaannya belum tiba.
1.6 KESIMPULAN
Agama Islam telah dijadikan agama rasmi negara, namun Malaysia tetap meraikan kebebasan
beragama. Perlembagaan yang digubal masih lagi menjadi perdebatan sehingga kini apabila berlaku
kes yang sukar diselesaikan mengikut syariat seperti kes murtad. Namun, secara kasarnya Malaysia
mempunyai perlembagaan yang utuh untuk menjamin kehidupan yang aman dalam masyarakat
majmuk.
13
MPU2372: Sesi 3 2021/2022
SOALAN LATIHAN
1. Senaraikan tiga (3) teori kedatangan Islam ke Tanah Melayu?
2. Nyatakan tiga (3) bukti menguatkan teori kedatangan Islam ke Tanah Melayu melalui India.
3. Bincangkan empat (4) isu semasa agama Islam yang menjadi polemik dalam perlembagaan
persekutuan.
4. Bincangkan apakah Malaysia sebuah negara Islam atau negara sekular. Berikan hujah anda.
5. Nyatakan empat (4) langkah atau kronologi agama Islam boleh termaktub di dalam
perlembagaan persekutuan di Malaysia.
6. Sebutkan tiga (3) kepentingan perlembagaan kepada negara kita
14