INSTITUT PENDIDIKAN GURU
KAMPUS BAHASA MELAYU
PENGHASILAN PRODUK :
KESANTUNAN BERBAHASA
(1144)
DR. IZANI BIN IBRAHIM
BIODATA PELAJAR
Air Yang Dicincang Tidak Akan Putus
Di dalam sebuah kampung terdapat ramai
penduduk yang hidup dalam suasana aman dan
damai. Mereka hidup saling tolong-menolong
antara satu sama lain bagai aur dengan tebing.
Mereka rajin bekerja setiap hari pada waktu pagi
dan juga petang. Contoh aktiviti yang dilakukan
oleh penduduk kampung setiap hari adalah
bertani, berniaga dan memancing. Aktiviti di
kampung sentiasa sibuk kerana masing-masing
membantu antara satu sama lain.
Di hujung kampung terdapat sepasang budak
kembar yang berlainan jantina bernama Aizat dan
Izzati. Mereka tinggal di sebuah rumah kecil bersama
keluarga mereka. Ayah mereka merupakan seorang
pekebun kecil yang bernama Pak Mail. Di tepi rumah
mereka terdapat sebidang tanah yang kecil dijadikan
sebagai kebun untuk Pak Mail bercucuk tanam. Tanah
tersebut merupakan sumber pendapatan Pak Mail
untuk mendapatkan wang bagi menyara hidupnya
sekeluarga. Pak Mail menanam pelbagai jenis sayur-
sayuran seperti tomato, terung, timun batang dan juga
buah-buahan seperti jagung, tembikai serta buah
pisang. Hasil tanaman tersebut akan dijual oleh Pak
Mail di kota setiap hujung minggu. Pak Mail menyara
anak-anaknya dengan penuh kasih sayang bagai
menatang minyak yang penuh. Pak Mail
mempunyai seorang isteri bernama Mak Cik Zainab.
Mak Cik Zainab hanya seorang suri rumah dan tidak
bekerja. Dia gemar membantu suaminya bercucuk
tanam di kebun.
Aizat dan Izzati merupakan pelajar di sebuah sekolah
di kampung mereka iaitu Sekolah Kebangsaan
Tanjung Permai. Sekolah itu berhampiran dengan
rumah kembar tersebut lebih kurang lima ratus meter
sahaja. Aizat dan Izzati ke sekolah hanya dengan
berjalan kaki sahaja kerana terlalu dekat dengan
rumah mereka. Mereka berumur sembilan tahun dan
belajar di kelas yang sama iaitu kelas 3 Arif. Kedua-
duanya merupakan pelajar yang rajin dan baik di
sekolah mereka.
Tiga tahun kemudiannya, Aizat dan Izzati telah pun
berada di tahun enam dan bakal menduduki Ujian
Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Mereka akan
menduduki peperiksaan tersebut selama seminggu
pada akhir tahun. Semasa berada di tahun enam,
mereka berdua belajar dengan bersungguh-sungguh
untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dan
ingin membanggakan kedua-dua ibu bapa mereka
suatu hari nanti. Bak kata pepatah “hendak seribu
daya, tak hendak seribu dalih”. Semangat mereka
semakin berkobar-kobar apabila Pak Mail berjanji
untuk tunaikan permintaan mereka berdua.
“Ayah berjanji akan tunaikan segala permintaan anak-
anak ayah jika kamu berdua mendapat keputusan
yang cemerlang dalam peperiksaan nanti” kata Pak
Mail kepada Aizat dan Izzati.
Apabila tibanya di hari peperiksaan, Aizat dan Izzati
sungguh berdebar kerana mereka tidak pernah lagi
menduduki peperiksaan besar seperti itu. Bukan
mereka sahaja, malah rakan-rakan yang lain juga turut
merasakan perkara yang sama. Mereka melangkah
masuk ke dalam dewan peperiksaan berbekalkan
dengan ilmu pengetahuan yang telah dipelajari dari
tahun satu hingga tahun enam. Apabila kertas soalan
telah diagihkan, semua pelajar mula menjawab
dengan penuh tekun dan memberikan tumpuan yang
sepenuhnya. Dewan peperiksaan tersebut sunyi sepi
kerana semua pelajar sibuk menjawab soalan. Hanya
kedengaran bunyi kipas berpusing memecahkan
suasana sunyi di dalam dewan tersebut.
Seminggu telah berlalu, Aizat dan Izzati telah berjaya
mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran semasa
menjawab soalan peperiksaan. Kini mereka dapat
bercuti dengan sepuas-puasnya kerana keputusan
peperiksaan UPSR akan diumumkan dua bulan
kemudian bermula dari tarikh mereka selesai
menduduki peperiksaan. Oleh itu, mereka
menghabiskan masa cuti mereka dengan menolong
ibu bapa bercucuk tanam di kebun.
Waktu berlalu sangat pantas, masa yang ditunggu-
tunggu oleh pasangan kembar tersebut dan rakan-
rakan yang lain telah pun tiba. Debaran di dada
mereka kian terasa kerana keputusan peperiksaan
bakal diumumkan tidak lama lagi. Hanya ada satu
persoalan di kepala Aizat dan Izzati iaitu adakah
mereka mampu mendapatkan keputusan yang
cemerlang dan dapat membanggakan kedua ibu
bapa mereka?
Pada hari keputusan peperiksaan diumumkan, ibu
bapa diwajibkan untuk hadir bersama-sama dengan
anak mereka bagi menerima keputusan peperiksaan.
Tidak ketinggalan juga Pak Mail dan Mak Cik Zainab
juga hadir untuk mendengar keputusan peperiksaan
anak-anak mereka. Semua yang hadir berkumpul di
dalam sebuah dewan sambil menunggu keputusan
yang bakal diumumkan oleh guru akademik sekolah
tersebut.
Beberapa minit kemudian, guru akademik tersebut
melangkah masuk ke dalam dewan dengan membawa
sehelai kertas yang merupakan keputusan peperiksaan.
Debaran di hati pelajar-pelajar kian terasa. Tanpa
melengahkan masa, keputusan telah pun diumumkan
dengan jayanya. Kelihatan ramai pelajar yang berjaya
mendapatkan keputusan cemerlang namun terdapat
juga segelintir pelajar yang mendapat keputusan yang
kurang memuaskan. Ada pelajar yang melompat-
lompat kegembiraan dan ada juga yang mengalirkan
air mata kerana tidak mendapat keputusan yang baik.
Aizat dan Izzati juga telah mendapatkan keputusan
peperiksaan. Aizat telah berjaya mendapat keputusan
yang cemerlang iaitu 5A manakala Izzati kurang
bernasib baik dan mendapat keputusan yang tidak
memuaskan. Dia hanya mendapat 2A sahaja. Aizat
sungguh gembira kerana berjaya mencapai targetnya
tetapi Izzati merasa sangat sedih kerana tidak dapat
membanggakan ibu bapanya. Air mata Izzati mengalir
laju kerana sungguh sedih dengan keputusannya. Pak
Mail dan Mak Cik Zainab mengucapkan tahniah
kepada Aizat atas keputusan yang diperoleh manakala
Izzati ditinggalkan tanpa sebarang kata.
Pulang sahaja dari sekolah, Pak Mail terus sahaja
membawa Aizat ke bandar untuk menunaikan segala
permintaannya. Aizat merasa sangat gembira kerana
semua permintaannya bakal ditunaikan oleh bapanya.
Izzati pula terus dihantar pulang ke rumah dan
ditinggalkan begitu sahaja. Sejak daripada peristiwa
itu, segala-galanya telah berubah. Pak Mail tidak
seperti dahulu lagi. Perangainya telah berubah. Dia
lebih mengutamakan Aizat berbanding Izzati kerana
dia mendapat keputusan yang lebih cemerlang
berbanding Izzati. Izzati sungguh terkilan dengan
perbuatan ayahnya.
Sebulan kemudian, mereka akan masuk ke alam
remaja yang mana pelbagai cabaran bakal diharungi.
Pak Mail berhasrat untuk menghantar Aizat ke sekolah
berasrama penuh namun Izzati akan belajar di sekolah
harian biasa sahaja. Kedua-dua anak mereka hanya
menurut kata-kata daripada ayahnya. Mereka tidak
berani untuk membantah walaupun di dalam hati
Izzati sangat tidak berpuas hati dengan pernyataan
ayahnya. Dia juga ingin belajar di sekolah berasrama
penuh sama seperti kembarnya, Aizat. Namun dia
terpaksa akur dan terima dengan hati yang terbuka
segala keputusan ayahnya. Dia sedar bahawa dia tidak
sebijak Aizat dalam pelajaran.
Setelah itu, Aizat dan Izzati mula mengikut haluan
masing-masing. Aizat telah menjejakkan kaki ke
sekolah berasrama penuh manakala Izzati hanya
ulang alik dari rumahnya untuk ke sekolah dengan
menaiki sebuah basikal. Setiap hujung minggu, Pak
Mail dan Mak Cik Zainab akan menziarahi Aizat di
asrama sambil membawa segala keperluan yang
diperlukan oleh Aizat. Setiap permintaan yang diminta
olehnya akan segera ditunaikan Pak Mail. Setiap kali
Pak Mail melawat Aizat, dia tidak akan membawa
Izzati pergi bersama malah meninggalkan dia di
rumah sahaja. Ini menyebabkan hubungan Aizat dan
Izzati semakin renggang dan menjauh. Dulunya
mereka sangat rapat bagai isi dengan kuku namun
sekarang mereka ibarat orang yang tidak pernah kenal
antara satu sama lain. Ini kerana mereka jarang sekali
berjumpa disebabkan oleh Aizat tinggal di asrama.
Di dalam hati Izzati, terselit juga perasaan cemburu
dan kecil hati dengan kelakuan ayahnya yang lebih
mementingkan kembarnya berbanding dirinya. Dia
sangat sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku.
Hatinya hancur bagai kaca terhempas ke batu.
Lebih kurang lima bulan Aizat berada di asrama, maka dia
diarahkan untuk pulang ke rumah pada cuti pertengahan
tahun. Apabila dia sampai ke rumah, dia terus mencari
kembarnya, Izzati. Aizat sangat merindui Izzati. Hampir lima
bulan dia tidak berjumpa dengannya. Dia mendapati
bahawa Izzati sedang menolong ibunya memasak di dapur.
Dengan pantas dia terus berjumpa dengan Izzati dan
menyapanya. Namun Izzati hanya membalas dengan
senyuman tanpa mengeluarkan sebarang kata. Walaupun
dia juga merindui Aizat, tetapi kelakuan yang ditunjukkan
oleh ayahnya, Pak Mail membuatkan kerinduannya
terhadap Aizat berkurang. Sikap pilih kasih yang
ditunjukkan oleh Pak mail terhadap anak-anaknya
memberi kesan yang buruk dalam hubungan keluarganya
terutamanya Aizat dan Izzati.
Beberapa hari setelah Aizat pulang ke rumah, Pak Mail
mendapati bahawa sesuatu yang pelik berlaku di
rumahnya. Dia mendapati bahawa Aizat dan Izzati tidak
pernah berbual bersama malah bertegur pun tidak. Dia
hairan dan kebingungan.
“Mungkin ada perkara yang terjadi antara Aizat dan Izzati
namun dia tidak tahu dan menyedarinya” bisik hati Pak
Mail.
Pak Mail ingin mendapatkan kepastian. Dia terus ke
dapur untuk bertanyakan kepada isterinya, Mak Cik
Zainab sama ada dia perasan perkara yang sama
ataupun tidak. Isterinya bersetuju dengan Pak Mail
dan mengatakan perkara yang sama. Ini berlaku
semenjak Aizat pulang ke rumah. Mereka berdua
kebingungan memikirkan perkara tersebut terjadi.
Lama juga Pak Mail memikirkan perkara tersebut.
Setelah sekian lama Pak Mail memikirkan kedua-dua
anak kembarnya iaitu Aizat dan Izzati yang mana
mereka tidak pernah bertegur malah berbual, dia tiba-
tiba mendapat petunjuk. Dia sedar bahawa dialah
punca mereka tidak bertegur apatah lagi berbual.
Sebelum ini, dia lebih mementingkan Aizat dalam
semua perkara dan tidak mempedulikan Izzati.
Perkara ini bermula semenjak Aizat mendapat
keputusan yang cemerlang dalam UPSR namun Izzati
kurang bernasib baik dan mendapat keputusan yang
kurang memuaskan. Dia juga tidak pernah membawa
Izzati berjumpa dengan Aizat sepanjang Aizat berada
di asrama. Pak Mail mengingat kembali peristiwa lepas
yang mengakibatkan hubungan anak-anaknya
semakin renggang. Dia kini mula sedar dan menyesal
dengan segala perbuatan yang telah dilakukan
sebelum ini.
Pak Mail tidak ingin perkara ini berlanjutan lebih
lama. Dia tahu bahawa dia adalah puncanya dan ingin
masalah tersebut dapat diselesaikan dengan kadar
segera. Dia terus memanggil anak-anaknya dan juga
Mak Cik Zainab berkumpul di ruang tamu. Mereka
semua kelihatan sangat pelik dengan tindakan Pak
Mail yang tiba-tiba memanggil mereka untuk
berkumpul.
Tanpa melengahkan masa, Pak Mail berterus terang
dengan ahli keluarganya tentang apa yang berlaku.
Pak Mail menjelaskan satu persatu apa yang terbuku
di hatinya. Aizat dan Izzati hanya menadah telinga
mendengar apa yang dikatakan. Kemudian, Pak Mail
meminta maaf atas kesalahan yang dia telah lakukan.
“Ayah sangat menyesal dengan sikap ayah dahulu
yang lebih mementingkan Aizat berbanding Izzati.
Ayah minta maaf sangat-sangat terutamanya Izzati.
Ayah tahu ini adalah salah ayah. Disebabkan ayah,
kamu berdua semakin jarang bertegur dan berbual”
luah Pak Mail kepada anak kembarnya.
Aizat dan Izzati menganggukkan kepala menandakan
mereka maafkan kesalahan Pak Mail. Begitu juga
dengan Aizat dan Izzati, mereka juga meminta maaf
kepada Pak Mail. Pak Mail terus memeluk kedua-dua
anak kembarnya. Dia begitu kesal akan perbuatannya
dahulu. Dia berjanji tidak akan mengulanginya lagi
dan akan berlaku adil terhadap anak-anaknya. Aizat
dan Izzati pula bersalam-salaman antara mereka dan
berpelukan.
Selepas daripada hari itu, hubungan antara Aizat dan
Izzati semakin rapat. Aizat memutuskan untuk
menukar sekolah dan belajar di sekolah yang sama
dengan Izzati. Dia ingin belajar bersama-sama dengan
kembarnya seperti dahulu. Mereka sangat rindu akan
kenangan mereka semasa di sekolah rendah. Kini
mereka hidup dalam keadaan aman dan bahagia.
Kehidupan mereka diibaratkan seperti air yang
dicincang tidak akan putus. Walaupun pelbagai
cabaran yang telah dihadapi oleh mereka, namun
mereka tidak akan berpisah dan meninggalkan antara
satu sama lain.
PERIBAHASA :
BAGAI AUR DENGAN TEBING
Tolong-menolong di antara satu sama lain
BAGAI MENATANG MINYAK YANG PENUH
Memelihara anak dengan penuh kasih sayang.
HENDAK SERIBU DAYA TAK HENDAK SERIBU DALIH
Berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan apa
yang diinginkan
BAGAI ISI DENGAN KUKU
Sesuatu hubungan yang sangat rapat dan akrab
AIR YANG DICINCANG TIDAK AKAN PUTUS
Perselisihan antara adik-beradik tidak akan kekal
lama dan akhirnya akan berbaik semula.
PENGAJARAN :
Sebagai ibu bapa, kita hendaklah berlaku adil
dengan anak-anak dan tidak memilih kasih agar
dapat membentuk keluarga yang bahagia. Sikap
memilih kasih dalam keluarga akan mengakibatkan
hubungan ahli keluarga semakin menjauh dan
renggang. Oleh itu, sikap pilih kasih haruslah dijauhi
agar perkara yang tidak diingini tidak berlaku.
SEKIAN
TERIMA KASIH