PENGENALAN e-MODUL ASAS BAHASA AL-
QURAN (HURUF HIJAIYAH)
e-Modul Asas Bahasa Al-quran (Huruf Hijaiyah) merupakan
satu modul digital yang diciptakan sebagai panduan kepada
ibu bapa atau sesiapa sahaja yang ingin melakukan aktiviti
mengenal huruf hijaiyah bersama kanak-kanak di rumah.
Huruf hijaiyah merupakan asas bahasa Al-quran. Pengenalan
huruf hijaiyah sejak awal kepada kanak-kanak amat penting
bagi membolehkan kanak-kanak membaca Al-quran dengan
lancar di waktu kelak. Oleh itu, modul ini diciptakan untuk
memberi idea kepada ibu bapa dan membolehkan ibu bapa
melakukan aktiviti mengenal huruf hijaiyah bersama anaknya
di rumah selain belajar di sekolah. Sasaran modul ini adalah
ibu bapa atau penjaga bersama kanak-kanak yang berumur 4
hingga 5 tahun. Modul ini mengandungi 3 aktiviti berkaitan
mengenal huruf hijaiyah dan disertakan dengan contoh alat
bantu mengajar yang digunakan yang boleh diciptakan
melalui bahan terpakai, pautan video untuk membuat alat
bantu mengajar menggunakan bahan terpakai serta panduan
bertulis yang menerangkan langkah-langkah melaksanakan
aktiviti yang dicadangkan.
0BJEKTIF
Pembinaan e-Modul Asas Bahasa Al-quran ini diharapkan
dapat:
1. Membantu memberi idea kepada ibu bapa untuk melakukan
aktiviti mengenal huruf hijaiyah tunggal bersama kanak-kanak
di rumah.
2. Membantu kanak-kanak untuk belajar mengenali dan
menyebut bunyi huruf hijaiyah tunggal melalui aktiviti yang
seronok dan bermakna.
KONSEP asas bahasa al-quran (huruf
hijaiyah)
Al-Quran merupakan kalamullah yang mengandungi mukjizat
yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui
perantaraan Jibril a.s., ditulis dalam mashaf, dipindahkan
kepada kita secara mutawatir dan menjadi ibadat dengan
membacanya. Huruf Hijaiyah merupakan asas kepada bahasa
Al-Quran. Hal ini demikian kerana susunan Al-Quran terdiri
daripada cantuman 28 huruf Hijaiyah yang mana keseluruhan
Al-Quran mengandungi 323,671 huruf, 77,437 kalimah, 6236
ayat, 114 surah, 30 juzuk, 60 hizib dan 240 maqra’.
Pengenalan huruf hijaiyah sejak awal amat penting bagi
membolehkan seseorang membaca Al-Quran dengan lancar di
waktu kelak. Oleh hal yang demikian, diharapkan agar modul
ini dapat membantu memberi idea kepada ibu bapa yang ingin
memperkenalkan asas bahasa Al-Quran (Huruf Hijaiyah)
kepada anak mereka bagi membolehkan mereka membaca Al-
Quran dengan lancar di masa akan datang.
KURIKULUM STANDARD PRASEKOLAH
KEBANGSAAN (KSPK)
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan adalah sebuah
dokumen kurikulum yang digubal khas untuk kanak-kanak
berumur 4 hingga 6 tahun yang bertujuan untuk
memperkembangkan potensi murid berumur 4 hingga 6 tahun
secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek jasmani,
emosi, rohani, intelek dan sosial melalui persekitaran
pembelajaran yang selamat dan menyuburkan serta aktiviti
pembelajaran yang menyeronokkan, kreatif dan bermakna. Ini
adalah untuk meningkatkan kemahiran, menanam keyakinan
dan membentuk konsep kendiri yang positif pada diri murid
agar mereka bersedia untuk menghadapi cabaran dan
mengikuti pembelajaran seterusnya. E-Modul Asas Bahasa
Al-Quran (Huruf Hijaiyah) ini dibina berdasarkan Kurikulum
Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) sebagai panduan.
Aktiviti-aktiviti yang dirancang dan disertakan dalam modul
ini adalah merujuk KSPK sebagai kurikulum kerana sasaran
modul ini adalah kanak-kanak berumur 4 hingga 5 tahun
selari dengan sasaran umur KSPK.
TUNJANG: Kerohanian, sikap dan nilai
e-Modul Asas Bahasa Al-Quran (Huruf Hijaiyah) dibina
berfokuskan kepada salah satu tunjang dalam KSPK iaitu
tunjang kerohanian, sikap dan nilai. Tunjang kerohanian,
sikap dan nilai dalam modul ini merujuk kepada Pendidikan
Islam. Pendidikan Islam memberi penekanan terhadap
penguasaan asas Al-Quran dan jawi, pembentukan akidah,
pemupukan asas ibadah, penyuburan adab dan akhlak dan
pengenalan kepada sirah. Selepas mengikuti aktiviti
pembelajaran yang berteraskan Pendidikan Islam ini, murid
diharapkan boleh mengenal huruf-huruf hijaiyah, menghafaz
surah-surah pendek dan mempelajari bahasa Arab mudah,
memahami asas beriman dan beribadah kepada Allah,
mengenali sirah dan peribadi Rasulullah SAW serta berusaha
mencontohinya, mengamalkan adab dan akhlak yang mulia
dalam kehidupan dan membaca suku kata dan menulis huruf
jawi dengan betul. Modul ini dibina berfokuskan kepada
penguasaan asas Al-Quran dan jawi dan kanak-kanak yang
menjalankan aktiviti yang disarankan dalam modul ini
bersama ibu bapa diharapkan boleh mengenal huruf-huruf
hijaiyah.
STANDARD KANDUNGAN
PI 1.1 Mengetahui huruf hijaiyah
STANDARD PEMBELAJARAN
PI 1.1.1 Menyebut huruf hijaiyah tunggal
RANCANGAN PENGAJARAN
Objektif Pembelajaran
Kanak-kanak dapat:
1. Menyebut huruf hijaiyah tunggal.
2. Mengecam dan membunyikan huruf hijaiyah tunggal yang
disebutkan.
3. Menyusun huruf hijaiyah tunggal mengikut urutan yang
betul.
Langkah/Aktiviti
1. Induksi
Ibu bapa/pengajar memasang video lagu berkaitan huruf
hijaiyah dan menonton, menyanyi serta bersoal jawab
dengan kanak-kanak tentang kandungan video lagu yang
dipasangkan. (Sila klik butang “Video lagu” di modul
digital untuk melihat video lagu berkaitan huruf hijaiyah
tunggal yang sesuai dugunakan).
2. Aktiviti 1: Jom Kenal Huruf Hijaiyah Tunggal (sila klik
butang “Aktiviti 1” di modul digital untuk melihat panduan
pelaksanaan aktiviti, alat bantu mengajar yang digunakan dan
pautan video cara membuat alat bantu mengajar yang
dicadangkan.
Ibu bapa/pengajar mengeluarkan kad huruf hijaiyah
tunggal.
Ibu bapa/pengajar memperkenalkan kad huruf hijaiyah
tunggal kepada kanak-kanak.
Ibu bapa/pengajar bersoal jawab tentang kad huruf
hijaiyah tunggal dengan kanak-kanak (tunjukkan kad
huruf hijaiyah tunggal, menyebut bunyi huruf hijaiyah
yang ditunjukkan bersama kanak-kanak dan minta
kanak-kanak untuk menyebut atau membunyikan semula
kad huruf hijaiyah tunggal yang ditunjukkan).
3. Aktiviti 2: Mengecam Dan Membunyikan Huruf
Hijaiyah Tunggal (sila klik butang “Aktiviti 2” di modul
digital untuk melihat panduan pelaksanaan
Ibu bapa/pengajar memperkenalkan ABM kepada kanak-
kanak dan memberitahu aktiviti yang ingin dilaksanakan.
Ibu bapa/pengajar menjelaskan dan membuat
demonstrasi cara bermain atau belajar menggunakan
ABM yang disediakan
Ibu bapa/pengajar melakukan aktiviti mengecam dan
membunyikan huruf hijaiyah tunggal dengan kanak-
kanak menggunakan ABM yang disarankan.
4. Aktiviti 3: Menyusun Carta Huruf Hijaiyah Tunggal
(sila klik butang “Aktiviti 3” di modul digital untuk melihat
panduan pelaksanaan aktiviti, alat bantu mengajar yang
digunakan dan pautan video cara mengahasilkan alat bantu
mengajar yang disarankan .
Ibu bapa/pengajar memperkenalkan ABM kepada kanak-
kanak dan memberitahu aktiviti yang ingin dilaksanakan.
Ibu bapa/pengajar menunjukkan cara-cara atau
demonstrasi bagaimana untuk melaksanakan aktiviti
menyusun carta huruf hijaiyah tunggal dengan
menggunakan ABM yang disarankan.
Ibu bapa/pengajar melakukan aktiviti menyusun carta
huruf hijaiyah tunggal bersama kanak-kanak dengan
memberi panduan dan bimbingan sambil bersoal jawab
tentang bunyi huruf hijaiyah tunggal yang diajarkan.
5. Aktiviti Pengukuhan: Lembaran Kerja Huruf Hijaiyah
Tunggal (sila klik butang “Lembaran kerja” di modul
digital untuk melakukan aktiviti ini.