PENGENALAN e-MODUL PEMBINAAN
SAHSIAH, SOSIOEMOSI & KEROHANIAN
e-Modul Pembinaan Sahsiah, Sosioemosi & Kerohanian
merupakan satu modul digital yang diciptakan sebagai
panduan kepada ibu bapa atau sesiapa sahaja yang ingin
melakukan aktiviti bersama kanak-kanak di rumah. Sasaran
modul ini adalah ibu bapa atau penjaga bersama kanak-kanak
yang berumur 2 hingga 4 tahun. Modul ini diciptakan bagi
tujuan membina atau memperkembangkan sahsiah,
sosioemosi dan kerohanian kanak-kanak. Selaras dengan
hasrat awal pembangunan Kurikulum PERMATA Negara,
penumpuan khusus diberikan kepada membina sahsiah kanak-
kanak supaya mereka membesar menjadi insan yang akan
memilih jalan kehidupan yang sihat dan mulia. Penekanan
tersebut bertujuan membina asas ketahanan emosi dan
kemantapan kemahiran sosial kanak-kanak agar mereka
mampu menghadapi cabaran-cabaran hidup masa hadapan,
dan dapat menyesuaikan diri dalam semua keadaan, bukan
sahaja di peringkat lokal tetapi juga global. Oleh itu, modul
ini diciptakan untuk memberi idea kepada ibu bapa dan
membolehkan ibu bapa melakukan aktiviti bersama anaknya
bagi tujuan meningkatkan perkembangan sahsiah, sosioemosi
dan kerohanian anaknya di rumah selain belajar di sekolah.
Modul ini mengandungi 3 aktiviti dan disertakan dengan
contoh alat bantu mengajar yang digunakan yang boleh
diciptakan melalui bahan terpakai, pautan video untuk
membuat alat bantu mengajar menggunakan bahan terpakai
serta panduan bertulis yang menerangkan langkah-langkah
melaksanakan aktiviti yang dicadangkan.
0BJEKTIF
Pembinaan e-Modul Pembinaan Sahsiah, Sosioemosi dan
Kerohanian ini diharapkan dapat:
1. Membantu memberi idea kepada ibu bapa untuk melakukan
aktiviti bersama kanak-kanak di rumah bagi tujuaan membina
sahsiah, sosioemosi dan kerohanian yang positif dalam diri
kanak-kanak.
2. Membantu kanak-kanak untuk berkembang dari segi
sahsiah, sosioemosi dan kerohanian melalui aktiviti yang
menyeronokkan dan bermakna.
KONSEP SAHSIAH, SOSIOEMOSI DAN
KEROHANIAN
Sahsiah membawa maksud keperibadian di mana ianya
merujuk kepada ciri-ciri dalaman seseorang yang unik dan
boleh dizahirkan dalam bentuk tingkah laku dan cara berfikir
contohnya seperti sikap, perangai, minat, cita-cita, nilai-nilai
dan kepercayaan. Sosioemosi pula merujuk kepada emosi
seseorang yang wujud melalui hubungan sosial dengan orang
lain dan ianya wujud oleh kerana ada kesedaran sosial dalam
diri seseorang individu contohnya seperti gembira, marah,
sedih, bangga, bersyukur, murung dan lain-lain. Manakala,
kerohanian merujuk kepada pemupukan nilai-nilai murni
berkaitan keagamaan dalam diri seseorang untuk membina
kekuatan dalamannya. Perkembangan kerohanian mencakupi
beberapa aspek seperti keyakinan kepada Tuhan, kepercayaan
kepada agama, penghayatan nilai murni dan norma
masyarakat, kemantapan jiwa nurani, beretika dan bermoral
tinggi serta berbudi pekerti yang mulia. Contohnya seperti
bersikap jujur, ikhlas dan patuh arahan. Secara ringkasnya,
perkembangan sahsiah, sosioemosi dan kerohanian memberi
fokus kepada pembinaan dalaman seseorang individu seperti
kebolehan mengawal emosi dan perasaan, membina
tingkahlaku yang sopan, identiti diri yang positif, self-esteem
dan keyakinan diri yang tinggi, kemahiran sosial, kebolehan
mematuhi arahan, menghayati nilai-nilai murni, dan
mensyukuri kebesaran Tuhan.
KURIKULUM permata negara
Kurikulum Permata Negara adalah sebuah dokumen
kurikulum yang digubal khas untuk kanak-kanak berumur 0
hingga 4 tahun yang bertujuan untuk menyediakan program
asuhan dan didikan awal yang bersepadu bagi
mengembangkan kemahiran dan peribadi kanak-kanak yang
terbaik agar lebih bersedia untuk memasuki alam
persekolahan formal. Kurikulum ini juga menyediakan
peluang kepada kanak-kanak untuk mendapat pengalaman
pembelajaran awal yang berkualiti untuk melahirkan modal
insan negara yang mempunyai sahsiah mulia, kerohanian yang
mantap, kecerdasan intelek yang tinggi, menghargai
kepelbagaian budaya, patriotik dan mengamalkan gaya hidup
sihat. E-Modul ini dibina berdasarkan Kurikulum PERMATA
Negara sebagai panduan. Aktiviti-aktiviti yang dirancang dan
disertakan dalam modul ini adalah merujuk kepada
Kurikulum PERMATA Negara sebagai kurikulum kerana
sasaran modul ini adalah kanak-kanak berumur 2 hingga 4
tahun selari dengan sasaran umur Kurikulum PERMATA
Negara.
bidang pembelajaran: sahsiah,
sosioemosi dan kerohanian
e-Modul ini dibina berfokuskan kepada salah satu bidang
pembelajaran dalam Kurikulum PERMATA Negara iaitu
sahsiah, sosioemosi dan kerohanian. Bidang ini memberi
fokus kepada pembentukan sahsiah dan kemahiran-kemahiran
sosial, interpersonal, intrapersonal, dan kerohanian kanak-
kanak. Setiap kanak-kanak mesti diberi pengalaman dan
sokongan untuk membina persepsi positif terhadap diri sendiri
dan orang lain, mempunyai kemahiran sosial yang baik serta
bermotivasi dan serta kompeten belajar. Modul ini dibina
untuk membantu meningkatkan perkembangan sahsiah,
sosioemosi dan kerohanian dalam diri kanak-kanak berumur 4
tahun ke bawah.
RANCANGAN pengajaran aktivi
Objektif Pembelajaran
Kanak-kanak dapat:
1. Mengawal perasaan dan mematuhi arahan mudah.
2. Bercerita dengan keyakinan diri yang tinggi.
3. Membina kemahiran sosial dengan baik.
Langkah/Aktiviti
1. Induksi
Ibu bapa/pengajar berkumpul bersama kanak-kanak dang
memberitahu kanak-kanak tentang aktiviti yang akan
dijalankan.
Ibu bapa/pengajar memasang video lagu berkaitan semut
dan menonton, menyanyi serta bersoal jawab dengan
kanak-kanak tentang kandungan video lagu yang
ditayangkan. (Sila klik butang “Video lagu” di modul
digital untuk melihat video lagu berkaitan semut yang
sesuai).
2. Aktiviti 1: Jom Cari Semut (sila klik butang “Aktiviti 1”
di modul digital untuk melihat panduan bertulis, bahan bantu
mengajar yang digunakan dan video cara menghasilkan bahan
bantu mengajar menggunakan bahan-bahan terpakai yang
sesuai sebagai panduan.
Ibu bapa/pengajar memberi penerangan tentang aktiviti
yang ingin dilakukan iaitu mencari semut.
Ibu bapa/pengajar meminta kanak-kanak membaca doa
harian sebelum keluar dari rumah pakai topi , pakai
selipar dan berjalan bersama ibu bapa (jika ingin mencari
semut di luar kawasan rumah).
Ibu bapa/pengajar membawa kanak-kanak mencari semut
di sekitar rumah sambil menyanyi lagu “semut
berkawad”.
Ibu bapa/pengajar meminta kanak-kanak untuk melihat
pergerakan semut dengan teliti bersama-sama.
Ibu bapa/pengajar mengajukan beberapa soalan kepada
kanak-kanak tentang fizikal semut dan aktiviti yang
dilakukan oleh semut.
Ibu bapa/pengajar membimbing dan mengawasi aktiviti
kanak-kanak.
3. Aktiviti 2: Bercerita Tentang Semut (sila klik butang
“Aktiviti 2” di modul digital untuk melihat panduan bertulis,
bahan bantu mengajar yang digunakan dan video cara
menghasilkan bahan bantu mengajar menggunakan bahan-
bahan terpakai yang sesuai sebagai panduan.
Ibu bapa/pengajar berkumpul di tempat yang sesuai dan
selamat setelah melakukan aktiviti mencari semut.
Ibu bapa/pengajar melakukan aktiviti bercerita tentang
semut dengan cara meminta kanak-kanak untuk
menceritakan semula tentang pengalaman mereka
semasa melihat semut.
Ibu bapa/pengajar bersoal jawab dengan kanak-kanak
dengan mengajukan beberapa soalan mudah untuk
meransang idea kanak-kanak untu bercerita. Contohnya
seperti bilangan semut yang ditemui, warna semut, apa
yang ada pada badan semut, apa yang dilakukan oleh
semut dan sebagainya.
Untuk melakukan aktiviti ini, kanak-kanak akan
diberikan stik lidi untuk digunakan oleh kanak-kanak di
mana kanak-kanak perlu mengangkat stik tersebut
sebelum bercerita atau mengutarakan sesuatu. Ini bagi
tujuan menerapkan adab bercakap mengikut giliran dan
semangat dalam diri kanak-kanak untuk bercakap atau
bercerita.
Ibu bapa/pengajar menyokong dan memberi pujian
terhadap pendapat yang diceritakan oleh kanak-kanak
tentang semut yang dilihat.
4. Aktiviti 3: Puzzle Semut (sila klik butang “Aktiviti 3” di
modul digital untuk melihat panduan bertulis, bahan bantu
mengajar yang digunakan dan video cara menghasilkan bahan
bantu mengajar menggunakan bahan-bahan terpakai yang
sesuai sebagai panduan.
Ibu bapa/pengajar memperkenalkan bahan bantu
mengajar (Puzzle Semut) kepada kanak-kanak dan
memberitahu aktiviti yang ingin dilaksanakan.
Ibu bapa/pengajar menunjukkan langkah atau membuat
demonstrasi bagaimana cara untuk bermain atau
menyiapan puzzle semut.
Ibu bapa/pengajar melakukan aktiviti puzzle semut
bersama kanak-kanak dengan memberi peluang kepada
kanak-kanak untuk bermain puzzle semut sambil bersoal
jawab tentang soalan mudah seperti warna semut dan
anggota badan yang ada pada semut.
5. Aktiviti Pengukuhan: Lembaran kerja puzzle anggota
badan semut (sila klik butang “Lembaran kerja” di modul
digital untuk melakukan aktiviti ini.