Auni Husna Binti Zamri
Pesan Nenek Pesan nenek, Jadi anak baik, jangan malu Hormat orang yang lebih tua Budi bahasa jangan dilupa. Pesan nenek, Jangan sombong, jangan marah Kalau menipu, hidup gelisah Jujur selalu hati tak resah. Pesan nenek, Baca buku tambah ilmu Bantu ibu bantu ayah Hati senang, hidup indah. Pesan nenek, Rajin usaha, jangan putus asa Kalau gagal, cuba semula Pasti berjaya, hidup sejahtera. Pesan nenek, Akan ku ingat selalu Hidup bahagia penuh ceria Sayang nenek selamanya.
Pengajaran 1.Kita haruslah sentiasa bersopan santun, menghormati orang tua, dan menjaga budi bahasa dalam pergaulan. 2. Kita haruslah menuntut ilmu dengan rajin membaca dan belajar agar dapat mencapai masa depan yang lebih baik. 3. Kita haruslah berlaku jujur dan tidak sombong kerana kejujuran membawa ketenangan, manakala sifat sombong dan menipu hanya menimbulkan kegelisahan. 4. Kita haruslah bertanggungjawab terhadap keluarga dengan membantu ibu bapa, meringankan beban mereka, serta menunjukkan kasih sayang dan hormat.
Glosari Pesan – Nasihat atau peringatan yang diberikan kepada seseorang. Baik – Bersifat elok, tidak jahat, dan melakukan perkara yang betul. Malu – Perasaan segan atau tidak selesa ketika melakukan sesuatu yang dianggap kurang sesuai. Hormat – Sikap menghargai dan menghormati orang lain, terutamanya yang lebih tua. Budi bahasa – Adab sopan dan tingkah laku yang baik dalam pergaulan. Sombong – Sikap bangga diri yang berlebihan dan merendahkan orang lain. Marah – Perasaan tidak puas hati atau geram terhadap sesuatu. Menipu – Perbuatan berkata atau berbuat sesuatu yang tidak benar. Gelisah – Rasa tidak tenang atau resah dalam hati. Jujur – Bersikap benar dan tidak berbohong dalam perbuatan serta percakapan. Ilmu – Pengetahuan yang diperoleh melalui pembelajaran dan pengalaman. Bantu – Memberikan pertolongan atau sokongan kepada seseorang. Indah – Cantik, menarik, atau menyenangkan hati. Hati – Perasaan atau jiwa seseorang. Ceria – Keadaan yang gembira dan penuh keceriaan. Sayang – Perasaan kasih dan cinta terhadap seseorang.
Pesan Nenek "Pesan nenek, bekal hidup – budi disemai, bahagia dituai."