APLIKASI GLOSARI
BAHASA ISYARAT ISLAMI
i-Sign
LATAR BELAKANG
Pada masa kini terdapat seramai 611,168 Orang Kurang Upaya (OKU)
pelbagai kategori yang berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Daripada jumlah tersebut 41,568 orang terdiri daripada Komuniti OKU
Pendengaran dan 60% daripadanya adalah Muslim.
Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak Kerajaan dan pelbagai agensi
termasuk NGO OKU ke arah memperkasa komuniti OKU Pendengaran
dalam mempelajari dan menghayati konsep hidup bersyariat. Namun, hak dan
akses Pendidikan Islam dalam kalangan komuniti OKU Pendengaran masih
terhad khususnya dalam inovasi teknologi asistif yang inklusif selaras dengan
potensi, tahap keupayaan dan keperluan OKU.
Persidangan Ketua-ketua Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri seluruh
Malaysia pada 21 September 2018, di Hotel Dorsett, Labuan yang
telah memutuskan supaya aktiviti keagamaan kepada OKU Pendengaran
ditingkatkan dengan melatih Pegawai Hal Ehwal Islam yang ditempatkan di
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)
dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Justeru, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Pusat
Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),
Yayasan Pendidikan Quran bagi Anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang
Pekak Negeri Sembilan (NESDA) dan Persatuan Kebajikan OKU
Pendengaran Kawasan Seputih (PKOPKS) telah mengambil inisiatif
membangunkan Aplikasi pertama seumpanya, Glosari Bahasa Isyarat Islami
(i-Sign) bagi mendepani isu dan cabaran OKU Pendengaran beragama.
Inisiatif ini bermula sejak tahun 2019 bagi meningkatkan kefahaman komuniti
istimewa ini terhadap istilah-istilah Islam yang terkandung dalam Akidah,
Syariah dan Akhlak.
APLIKASI i-Sign
Aplikasi Glosari Bahasa Isyarat Islami atau ringkasnya i-Sign
merupakan aplikasi (Android dan iOS) menawarkan glosari Islam versi
Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) berasaskan istilah-istilah asas ajaran
Islam merangkumi Akidah, Syariat (Ibadah, Munakahat, Muamalat, Jenayat)
dan Akhlak.
Projek pembangunan aplikasi ini adalah hasil kerjasama JAKIM melalui
Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), USIM melalui Pusat Penyelidikan Ibnu
Ummi Maktum dan NGO OKU melalui Yayasan FAQEH, NESDA dan
PKOPKS dengan dana khas yang disumbangkan oleh Lembaga Zakat
Selangor (LZS) sebanyak RM181,800.00.
OBJEKTIF
Objektif utama pembangunan Aplikasi i-Sign adalah
seperti berikut:
• Mengupaya institusi pentadbiran Islam yang inklusif
dalam memenuhi tuntutan fardu kifayah
kepada komuniti OKU.
• Memperkasa komuniti OKU Pendengaran
dalam mempelajari dan menghayati asas-asas ajaran
Islam berasaskan potensi, tahap keupayaan dan
keperluan mereka.
• Menawarkan platform mudah alih sebagai
medium pembelajaran OKU Pendengaran
berasaskan integrasi teknologi asistif.
• Membuka ruang kepada para pendakwah dalam
mempelbagaikan kaedah dan teknik
penyampaian dakwah di lapangan.
PEMBANGUNAN APLIKASI i-Sign
Aplikasi i-Sign buat permulaan mengandungi glosari bahasa
isyarat Islam dalam bidang Akidah dan bidang syariah
(Ibadah). Bidang akidah mempunyai 117 istilah dan bidang
Syariah (Ibadah) 274 istilah. Keistimewaan aplikasi ini adalah
memaparkan makna istilah dan penerangannya berbantukan
video Jurubahasa Isyarat Malaysia (JBIM). Pembentukan Bahasa
Isyarat Malaysia bagi Glosari Islam ini melalui kajian khusus
berasaskan garis panduan pembentukan Bahasa Isyarat Malaysia
bagi terminologi Agama Islam yang mendapat kelulusan Panel
Pakar Syariah (PPS) kali ke-104 yang bersidang pada 26
November 2020. Selain itu, glosari Islam bidang Syariah (Ibadah)
yang dibangunkan dibentangkan dan mendapat kelulusan Panel
Pakar Syariah (PPS) kali ke-106 yang bersidang pada 25 Ogos
2021. Manakala glosari Islam bidang Akidah pula dibentang dan
mendapat kelulusan Panel Pakar Akidah (PPA) kali ke-63 yang
bersidang pada 8 September 2021.
Pembangunan glosari Islami ini disediakan oleh barisan panel
yang diketuai oleh Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum,
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM). Panel-panel penilai yang dilantik terdiri daripada
Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Putra
Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Munsyi
Dewan, Dewan Bahasa Pustaka, Panel Pakar JAKIM dan Panel
OKU Pendengaran.
Pembangunan aplikasi ini telah melalui lima (5) proses
pembangunan yang terangkum dalam tiga (3) fasa kajian
saintifik iaitu:
Fasa I: Menganalisis keperluan glosari Islami berasaskan asas
ajaran Islam iaitu,Akidah, Syariah dan Akhlak.
Fasa II: Mereka bentuk dan membangunkan aplikasi melalui
platform android dan iOS.
Fasa III: Menilai kebolehgunaan aplikasi i-Sign kepada komuniti
OKU Pendengaran.
APLIKASI i-Sign
Aplikasi i-Sign ini boleh di muatnaik (download) di platform:
WAY FORWARD
Melengkapkan dua bidang (Syariah dan Akhlak) yang
telah dan sedang dibangunkan glosarinya iaitu:
• Syariat - Munakahat
• Syariat - Muamalat
• Syariat - Jenayat dan Akhlak
PENUTUP
Sebagai agama yang syumul, Islam mengangkat
kedudukan OKU sama seperti komuniti tipikal dan
mereka berhak mendapat layanan dan akses yang
adil berlandaskan Maqasid Syariah. Pembangunan
aplikasi i-Sign ini secara tidak langsung membuka
lembaran baharu kepada komuniti OKU khususnya
mereka yang diuji dengan kurang upaya
pendengaran untuk mempelajari dan menghayati
tuntutan agama dengan lebih berkesan.
KERJASAMA STRATEGIK