SISTEM PEMERINTAHAN
Dewan sedang bersidang
Dalam sistem pemerintahan Malaysia, terdapat tiga buah badan utama iaitu:-
• Badan Perundangan.
Badan ini hanya membuat undang-undang dan tidak boleh menyerahkan kuasa ini kepada mana-mana pihak dan tidak boleh
mempunyai kuasa lain;
• Badan Pemerintah.
Badan ini hanya menjalankan kuasa eksekutif dan tidak boleh membuat undang-undang dan penghakiman; dan;
• Badan Kehakiman
Badan ini hanya menjalankan penghakiman dan tidak boleh membuat undang-undang atau menjalankan kuasa eksekutif. Ketiga-
tiga badan ini mempunyai kuasa, bidang tugas dan peranan masing-masing. Namun begitu, Badan Perundangan dan Badan
Pemerintah berkait antara satu sama lain kerana Malaysia mengamalkan sistem kerajaan di mana ahli-ahli Badan Perundangan
adalah juga Badan Pemerintah. Contohnya, Jemaah Menteri bertanggungjawab kepada Badan Perundangan (Parlimen Malaysia).
Badan Kehakiman sahaja merupakan sebuah badan berasingan dan bebas daripada politik, bagi menjamin keadilan di negara ini.
KOMPONEN UTAMA DALAM SISTEM KERAJAAN MALAYSIA
Badan Perundangan
Badan Perundangan (Parlimen Malaysia) memiliki kuasa menggubal undang-undang persekutuan dan juga negeri-negeri di
dalamnya. Parlimen terdiri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan dua Dewan, iaitu Dewan Negara dan
Dewan Rakyat.
Parlimen adalah badan kuasa perundangan untuk persekutuan yang membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di
seluruh persekutuan. Parlimen juga mengawal kewangan kerajaan. Cukai-cukai dan kadar-kadar persekutuan boleh dinaikkan
hanya dengan kuat kuasa Parlimen seperti yang dinyatakan dalam undang-undang persekutuan. Semua hasil yang diperoleh
hendaklah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Persekutuan Yang Disatukan dan semua wang hanya boleh dibelanjakan
dengan kuasa Parlimen. Parti yang memenangi kerusi majoriti dalam pilihan raya umum dan dapat sokongan majoriti di Dewan
Rakyat akan membentuk kerajaan. Pemimpin parti majoriti yang mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat
dilantik sebagai Perdana Menteri.
Yang di-Pertuan Agong
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara yang mengambil keutamaan mengatasi semua orang
dalam persekutuan dan tidak boleh dikenakan dakwaan dalam apa-apa juga perbicaraan dalam mana-mana mahkamah. Yang di-
Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja mengikut peraturan yang termaktub dalam Jadual Ketiga Perlembagaan
Persekutuan. Yang di-Pertuan Agong akan memegang jawatannya selama lima tahun kecuali baginda meletakkan jawatan atau
dilucutkan jawatannya oleh Raja-Raja Melayu.
Sebagai ketua utama negara, baginda mempunyai kuasa eksekutif. Baginda berkuasa memanggil, membatalkan dan
membubarkan Parlimen. Dalam melaksanakan kuasa, baginda mendapat nasihat daripada Jemaah Menteri. Yang di-Pertuan
Agong boleh melaksanakan tiga perkara mengikut budi bicara baginda sendiri iaitu melantik Perdana Menteri, tidak
mempersetujui pembubaran Parlimen dan meminta supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan,
kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja. Baginda juga mempunyai kuasa pengampunan bagi semua kesalahan yang
dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan dan kesalahan-kesalahan tertentu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Baginda
adalah Ketua Agama bagi Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa
orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak. Selain memegang tampuk tertinggi dalam Angkatan Tentera
Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong juga berperanan menentukan rizab orang Melayu dan bumiputera, jawatan perkhidmatan,
biasiswa, bantuan keistimewaan pendidikan atau latihan, kadar permit atau lesen dan juga mengisytiharkan darurat.
Dewan Negara
Dewan Negara adalah Majlis Tertinggi yang berperanan membahaskan sesuatu rang undang-undang dengan lebih terperinci. Ia
juga bertanggungjawab membincangkan perkara-perkara yang menjadi kepentingan umum. Mengikut Perkara 68, Perlembagaan
Persekutuan, Dewan Negara tidak mempunyai kuasa menolak sesuatu rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat
sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan. Walau bagaimanapun, Dewan Negara boleh
menangguhkan pelaksanaan sesuatu rang undang-undang itu.
Dewan Negara mempunyai 70 orang ahli yang mana 44 orang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
daripada warganegara yang pada pendapat baginda “telah berbakti dengan cemerlangnya atau telah mencapai taraf gemilang
dalam perkhidmatan awam, perdagangan, perusahaan, pertanian, kegiatan kebudayaan, perkhidmatan masyarakat atau wakil-
wakil kaum yang terkecil bilangannya atau yang boleh mewakili kepentingan Orang Asli”. Wilayah Persekutuan dianggotai oleh
empat orang ahli iaitu dua orang ahli mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli mewakili Wilayah Persekutuan
Labuan dan seorang ahli mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya juga dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong. Sebanyak 26 orang lagi dipilih oleh Dewan Undangan Negeri dari 13 buah negeri di Malaysia, iaitu tiap-tiap sebuah
negeri mengemukakan dua orang Senator.
Seorang Yang di-Pertua Dewan dan Timbalannya dipilih terlebih dahulu bagi mengendalikan Persidangan Dewan dari kalangan
ahli-ahli sendiri. Keanggotaan Dewan ini dihadkan kepada warganegara yang berumur 30 tahun ke atas. Tempoh jawatan
seseorang Ahli Dewan Negara ialah tiga tahun dan Ahli Dewan Negara boleh dilantik untuk kali kedua dan memegang jawatan
Senator bagi tempoh tiga tahun lagi. Hanya dua penggal sahaja dibenarkan bagi setiap Senator memegang jawatannya. Tempoh
memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Negara ini tidaklah terjejas dengan pembubaran Parlimen. Parlimen diberi kuasa oleh
Perlembagaan untuk mengubah keahliah Dewan Negara, seperti menambah bilangan ahli-ahli dewan yang dipilih oleh Dewan
Undangan Negeri menjadi tiga orang, memperuntukkan supaya ahli-ahli Dewan Negara itu dipilih oleh pengundi-pengundi, atau
mengurangkan jumlah ahli-ahli Dewan Negara yang dilantik.
Dewan Rakyat
Dewan Rakyat merupakan majlis khas untuk rakyat menyuarakan hasrat dan pendapat serta mendapatkan pembelaan menerusi
wakil-wakil mereka. Ahli-ahli Dewan Rakyat dipilih secara langsung oleh rakyat keseluruhannya dalam pilihan raya umum.
Yang di-Pertua dan Timbalannya dipilih oleh Dewan Rakyat. Namun demikian, terdapat pula satu syarat dalam perlembagaan
yang membolehkan Yang di-Pertua dipilih dari luar Dewan Rakyat. Orang yang dipilih seperti ini dianggap sebagai ahli
tambahan Dewan dan satu tambahan kepada ahli yang dipilih. Keanggotaan Dewan Rakyat dihadkan kepada warganegara yang
berumur 21 tahun ke atas dan tidak boleh menjadi ahli Dewan Negara. Tempoh Dewan ini ialah lima tahun. Walau
bagaimanapun, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkuasa, menurut kebijaksanaannya, untuk membubarkan
Parlimen sebelum tempoh tersebut iaitu setelah memperoleh nasihat dari Perdana Menteri.
Ahli Dewan Rakyat pada masa ini ialah 222 orang yang mewakili kawasan pilihan raya di seluruh Malaysia. Pecahan kerusi
Dewan Rakyat adalah 153 kerusi untuk negeri-negeri di Semenanjung, 25 kerusi untuk Sabah dan 31 kerusi untuk Sarawak,
sementara Wilayah Persekutuan pula 13 kerusi iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11 kerusi), Wilayah Persekutuan
Labuan (1 kerusi) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1 kerusi).
BADAN PEMERINTAH
Badan pemerintah atau eksekutif merupakan badan yang bertanggungjawab melaksanakan kuasa-kuasa eksekutif mengikut
Perlembagaan dan undang-undang.
Mengikut Perkara 39, Perlembagaan Persekutuan, kuasa memerintah Persekutuan Malaysia adalah terletak pada Yang di-Pertuan
Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, kuasa ini boleh
dijalankan oleh Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri. Tetapi Parlimen boleh dengan
undang-undang memberi tugas-tugas pemerintah kepada orang lain. Timbalan Yang di-Pertuan Agong adalah Timbalan Ketua
Utama Negara. Apabila berlaku kekosongan disebabkan Yang di-Pertuan Agong tidak berupaya menjalankan tugas kerana sakit,
tidak berada dalam Persekutuan Malaysia lebih daripada 15 hari atau kerana sebab-sebab lain maka Timbalan Yang di-Pertuan
Agong bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong.
Jemaah Menteri
Jemaah Menteri merupakan badan yang menjalankan kuasa eksekutif yang dipegang oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong. Di bawah Perkara 43, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik barisan Jemaah Menteri
untuk menasihatkan baginda dalam hal ehwal menjalankan tugas-tugasnya. Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti berikut:
a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik seorang daripada ahli Dewan Rakyat yang pada pendapat baginda
mendapat kepercayaan sebilangan besar daripada ahli-ahli Dewan itu sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri;
dan
b) Atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-menteri lain dalam kalangan ahli-ahli
Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Majlis Raja-Raja
Majlis Raja-Raja mengandungi semua Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong. Tugas majlis ini seperti yang tercatat dalam
Perkara 38, Perlembagaan Persekutuan adalah untuk:-
• Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan-peruntukan
Jadual Ketiga, Perlembagaan Persekutuan;
• Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh persekutuan;
• Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa
pelantikan yang menurut Perlembagaan memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau
selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Badan Kehakiman
Badan Kehakiman adalah badan ketiga dalam sistem kerajaan Malaysia. Kuasa kehakiman ini terletak pada Mahkamah Tinggi
dan Mahkamah Rendah. Kuasa Kehakiman juga terletak pada Mahkamah Agung yang mempunyai kuasa tertentu seperti yang
termaktub dalam Perkara 126, 128 dan 130 Perlembagaan Persekutuan.
Fungsi Badan Kehakiman
Fungsi Badan Kehakiman bergantung pada taraf mahkamah-mahkamah seperti Mahkamah Agung, Mahkamah Tinggi dan
Mahkamah Rendah. Mahkamah Tinggi terdiri daripada dua buah, iaitu Mahkamah Tinggi Malaya – sebuah bagi Semenanjung
Malaysia dan sebuah lagi bagi Sabah dan Sarawak (yang dahulunya dinamakan Borneo). Mahkamah Rendah di Semenanjung,
Sabah dan Sarawak terdiri daripada Mahkamah Seksyen, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Penghulu di Semenanjung
manakala, Mahkamah Adat/Negeri di Sabah dan Sarawak. Di samping itu, terdapat juga Mahkamah Juvana bagi membicarakan
kanak-kanak dan mereka yang di bawah umur 18 tahun. Fungsi-fungsi ini dijalankan mengikut kuasa-kuasa yang diberikan oleh
Perlembagaan Persekutuan kepada mahkamah-mahkamah tersebut.
Pelantikan Hakim
Ketua Hakim Negara, Kedua-dua Hakim Besar Malaya dan Sabah dan Sarawak serta Hakim-hakim Besar Mahkamah
Persekutuan dan Hakim-hakim lain Mahkamah Tinggi adalah dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang
bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Bilangan hakim di negara ini ditentukan oleh
Perlembagaan Persekutuan meskipun keanggotaan mereka boleh diubah atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Sumber : Buku Malaysia 2009, Buku Rasmi Tahunan
Jabatan Penerangan Malaysia
Artikel dimasukkan pada : 28 Februari 2011