The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by drmmyusof, 2021-07-10 20:09:00

Article_DRMAS_Chapter In Book IPGKRM

Article_DRMAS_Chapter In Book IPGKRM

KESAN DAN KAEDAH MENANGANI ISU PERUBAHAN IKLIM
DALAM TEMPOH PEMULIHAN DAN PASCA COVID-19

Masitah Hj Mohammad Yusof, PhD
Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar

Kementerian Pendidikan Malaysia

PENGENALAN

Penularan pandemik COVID-19 bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi Malaysia,
malahan kepada seluruh ekonomi dunia. Semua sektor utama ekonomi telah terjejas akibat
penularan wabak ini. Namun begitu, proses penutupan dan penyekatan (lockdown) akibat
penularan Covid-19 yang masih berjalan di beberapa buah negara di dunia, menunjukkan
bahawa hal ini bukan sahaja memberi kesan yang buruk terhadap sektor ekonomi tetapi
sebaliknya membawa kesan yang baik kepada alam sekitar dunia kerana proses penutupan dan
penyekatan menjadikan manusia kurang melakukan aktiviti pencemaran akibat daripada aktiviti
ekonomi dan sosial yang terhenti. Walau bagaimanapun, janganlah menganggap isu alam
sekitar ini akan lenyap begitu sahaja kerana dijangkakan akan terdapat kenaikan semula
pelepasan karbon di seluruh dunia yang mempengaruhi alam sekitar, kesihatan, dan ekonomi
apabila terdapat beberapa buah negara besar dunia menarik balik perintah penutupan dan
penyekatan untuk memberi laluan kepada pembangunan semula sektor ekonomi.

Sekiranya kita melihat kembali keadaan sebelum bermulanya pandemik Covid-19,
dapat dilihat bahawa udara di persekitaran sangat berbahaya untuk pernafasan, bumi mengalami
kenaikan suhu, pencairan glasier, dan kenaikan paras air laut. Dengan kata lain, kemerosotan
alam sekitar berlaku dengan begitu pantas. Namun terdapat laporan oleh WUSF Public Media
yang menyatakan bahawa semasa permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau
Movement Control Order (MCO) dijalankan di seluruh dunia, terdapat perubahan kecil
terhadap alam sekitar seperti terjadinya penurunan pelepasan oksida nitrat dan air jernih di
Venice, Itali (Athena, 2020). Perkara ini menjadi satu berita yang mengembirakan sekiranya
keadaan ini dapat dikekalkan, namun sayangnya hal ini hanya sementara kerana segala ancaman
terhadap bumi kita perlu diteruskan demi kelangsungan ekonomi global.

Dunia telah memberi gambaran bahawa berbilion-bilion penduduk dunia berisiko
menjadi mangsa penularan penyakit berjangkit, banjir, ribut, kemarau, dan kebuluran berikutan
keadaan perubahan iklim. Malah, sekurang-kurangnya 30 peratus spesies dunia akan lenyap
jika perubahan iklim berterusan iaitu apabila suhu global terus meningkat. Sekurang-kurangnya
3.2 bilion penduduk akan berdepan dengan masalah kekurangan air hasil Laporan Panel Antara
Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim PBB atau Intergovernmental Panel on Climate Change
(IPCC) yang dikeluarkan oleh seramai 2,500 saintis daripada 130 buah negara berkaitan
implikasi perubahan iklim (IPCC Report, 2018). Ini merupakan isu sejagat iaitu isu tanpa
sempadan dan Malaysia turut tidak terkecuali daripada menerima kesannya. Namun sejauh
manakah isu ini dapat ditangani? Walaupun dunia diancam pandemik Covid-19 sejak Disember
2019 sehingga Oktober 2020 (ketika artikel ini ditulis) namun arahan penutupan dan
penyekatan antara sebuah negara dengan negara yang lain di dunia ini adalah berbeza. Adakah
disebabkan faktor ekonomi maka faktor alam sekitar dan kesihatan terpaksa dikorbankan?

Pada peringkat antarabangsa pula, menurut Farhan (2020) berdasarkan Laporan IPCC
kelima, pelepasan karbon global dianggarkan sekitar 36 bilion tan setahun dan dianggarkan
akan meningkat secara beransur-ansur di semua negara, selepas pasca Covid-19. Statistik
terkini menunjukkan bahawa China dianggap sebagai penyebar karbon dioksida (CO2) yang

1

terbesar di dunia, menyumbang lebih daripada satu perempat pelepasan diikuti oleh 15% oleh
Amerika Syarikat, 10% oleh Negara-negara Eropah, 7% oleh India dan 5% oleh Rusia.
Berdasarkan laporan dari Climate Analytics, Asia Tenggara adalah antara wilayah yang paling
mudah terdedah di dunia, dengan pertambahan populasi yang besar memberi pendedahan
kepada risiko iklim yang sangat tinggi dan melampau kerana pertumbuhan pelepasan karbon
yang pesat.

Apabila kerajaan Malaysia mengeluarkan arahan supaya melaksanakan PKP yang
bermula pada 18 Mac 2020, kemudian kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan
Diperketatkan (PKPD), diikuti pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),
seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan pada 14 Oktober 2020,
kerajaan Malaysia telah melaksanakan semula PKPB di beberapa buah negeri. Semua lapisan
masyarakat termasuk pemimpin politik dan rakyat membincangkan tentang kesan ekonomi dan
sosial kepada rakyat tetapi tidak ramai yang membincangkan tentang isu alam sekitar serta
perubahan cuaca dan iklim yang melanda bumi dan ruang angkasa akibat perintah kawalan
pergerakan ini.

Ketika PKP dilaksanakan, aktiviti ekonomi dan sosial dihentikan. Tidak berlaku
pergerakan dan mobiliti sosial baik dari segi pergerakan manusia mahupun pergerakan
kenderaan bermotor yang selama ini menyumbang kepada pencemaran udara melalui asap-
asap kenderaan dan kilang yang dilepaskan ke udara serta aktiviti sosial manusia yang
menyumbang kepada peningkatan sampah-sarap di merata-rata tempat. Ketika ini, bumi yang
terdiri daripada flora dan fauna dapat bernafas dengan menghirup udara yang segar dan bersih.
Bumi kita dapat berehat daripada dibelenggu oleh gas-gas rumah hijau dan ruang udara seolah-
olah bertafakur dengan kejadian yang menimpa. Namun begitu, apabila wang dan keuntungan
mengatasi segala-galanya maka PKP telah ditarik semula dan aktiviti ekonomi serta sosial
kembali rancak, maka kita dapat melihat bahawa bumi telah kembali kepada keadaan asal
dengan masalah pencemaran melalui pelepasan asap dari sektor pengangkutan dan kilang-
kilang yang telah kembali beroperasi semula demi untuk memenuhi permintaan sektor
ekonomi.

Samadi Ahmad (2020) dalam artikel bertajuk Covid-19: Kualiti alam sekitar semakin
baik ketika PKP yang disiarkan di Berita Harian Online bertarikh 22 April 2020 memetik
ucapan YB Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar dan Air) semasa merasmikan Hari
Bumi pada 22 April 2020 dengan tema ‘Tindakan Menangani Perubahan Iklim’ baru-baru ini,
telah menyatakan bahawa, kualiti alam sekitar khususnya udara dan air sungai bertambah baik
sepanjang tempoh PKP diadakan. Laporan dunia juga turut menunjukkan bahawa, kualiti alam
sekitar semakin baik ketika berhadapan dengan wabak Covid-19. Namun begitu, cabaran utama
yang bakal dihadapi adalah selepas fasa PKP, iaitu bagaimana manusia perlu terus menjaga
alam sekitar dengan mengamalkan gaya hidup hijau kerana hal ini menjadi tanggungjawab
bersama-sama dan selaras dengan prinsip Islam yang menyeru manusia agar membangunkan
bumi secara adil, seimbang, dan makmur.

Menurut laporan Redzuan Muharam dalam Harian Metro bertarikh 5 Jun 2020,
Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay dan Duta Besar Itali ke Malaysia,
Cristiano Maggipinto telah berucap sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun
2020 yang lalu. Mereka menyatakan bahawa, Malaysia boleh mengambil pendekatan mesra
alam atau laluan hijau sebagai alternatif bagi pemulihan pasca Covid-19. Tindakan sesebuah
negara berkaitan pandemik Covid-19 boleh memberi impak besar terhadap negara lain.
Ekonomi dan struktur masyarakat boleh terganggu oleh perkembangan eksogen yang berada di

2

luar kawalan. Malah, dalam keadaan tergesa-gesa untuk memberi tumpuan kepada pemulihan
ekonomi kesan Covid-19, manusia berisiko kehilangan peluang untuk menghadapi cabaran
eksistensial yang lain.

Menurut Charles dan Cristiano lagi, perubahan iklim hasil pelepasan gas karbon
dioksida daripada aktiviti sosio-ekonomi sedang berlaku pada masa sekarang ini. Tindakan
pantas dan tegas Malaysia dalam menguruskan pandemik Covid-19 sangat mengagumkan.
Justeru, mereka mengharapkan agar Malaysia mengambil pendekatan yang sama untuk
menangani isu kecemasan iklim dan hidupan liar. Pelepasan gas karbon secara global turun
dengan mendadak ketika masyarakat berkurung di rumah semasa PKP. Penutupan perniagaan
dan kilang juga menjadikan udara di bandar bersih. Kita semua mahu mengekalkan nikmat ini
tetapi PKP akibat Covid-19 bukanlah jalan penyelesaian jangka panjang untuk mengawal isu
perubahan iklim memandangkan berlakunya masalah ekonomi dan sosial seperti pengangguran
besar-besaran dan pengurangan kualiti hidup maka kaedah lain sama ada melalui badan
perundangan dan bukan perundangan perlu difikirkan.

Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang dikenali
sebagai CoP26 atau UN Climate Change Conference (UNFCCC COP 26) The 26th session of
the Conference of the Parties (COP 26) yang sepatutnya berlangsung pada November tahun
ini, terpaksa ditunda pada 1 hingga 12 November tahun hadapan di Glasgow, United Kingdom,
akan menjadi medan paling sesuai bagi menunjukkan kemajuan secara nyata dalam menangani
isu perubahan iklim. Covid-19 memberi tamparan hebat tetapi ia tidak seharusnya menjadi
penghalang untuk menikmati masa depan yang lebih selamat, sihat, berdaya tahan, lestari, dan
hijau (Redzuan Muharam, 2020).

Lantaran itu, apakah kaedah yang sesuai untuk mengatasi masalah perubahan iklim ini?
Adakah melalui sistem perundangan iaitu dengan menggunakan kaedah pendakwaan dan
pengadilan atau pun melalui sistem bukan perundangan iaitu dengan cara perundingan?
Kesemua kaedah mempunyai peranannya yang tersendiri dalam menangani isu perubahan
iklim. Ini bermakna tiada satu kaedah pun yang paling berkesan malah kesemua kaedah adalah
penting dalam menangani isu tersebut. Ini adalah kerana isu perubahan iklim merupakan isu
antarabangsa. Jika di peringkat kebangsaan iaitu dalam negara Malaysia kaedah melalui sistem
perundangan (pendakwaan dan pengadilan) lebih berkesan tetapi jika di peringkat antarabangsa
kaedah melalui sistem bukan perundangan (perundingan) adalah lebih sesuai dan berkesan.
Justeru itu, artikel ini akan membincangkan tentang kesan-kesan akibat daripada perubahan
iklim serta kaedah dalam menangani isu perubahan iklim.

AKTIVITI SOSIO-EKONOMI MEMPENGARUHI PERUBAHAN IKLIM

Professor Raimund Bleischwitz dari Bartlett School of Environment, Energy & Resources
(BSEER), University College London, telah menggariskan beberapa cadangan untuk
membangunkan kembali infrastruktur di bumi ini supaya menjadi lebih hijau iaitu bagaimana
perubahan perlu dilakukan dari aspek pembangunan yang lebih mesra alam sehinggalah kepada
infrastruktur yang lebih tahan lasak (Raimund, 2020).

Menurut Professor Raimund lagi, walaupun keadaan kemelesetan ekonomi yang
dijangkakan akan berpanjangan akibat penularan virus Covid-19, namun keadaan ini
merupakan masa yang sangat tepat untuk melaksanakan rancangan “pemulihan hijau” yang
selama ini sukar untuk dipulihkan akibat aktiviti ekonomi yang rata-rata telah memusnahkan
alam sekitar. Sungguhpun banyak model ekonomi yang agak ketinggalan zaman dikemukakan
dalam menangani isu kemelesetan ekonomi namun begitu berdasarkan penyelidikan baru-baru
ini oleh pakar ekonomi dan pakar kesihatan telah mendapati bahawa keadaan sebaliknya boleh

3

berlaku iaitu ketika dunia mengalami era kemelesetan ekonomi tetapi berlaku era pemulihan
bumi atau alam sekitar yang disebut sebagai "pemulihan hijau" yang sudah pasti bukan sahaja
memberi manfaat kepada perubahan iklim malahan dapat meningkatkan tahap kesihatan dan
kesejahteraan manusia yang tinggal di muka bumi ini (Raimund, 2020).

Menurut Global Climate Change (Vital Sign of the Planet), isu perubahan iklim
bukanlah merupakan isu yang baharu. Perubahan iklim adalah kenaikan suhu permukaan bumi
yang disebabkan oleh peningkatan emisi karbon dioksida dan gas-gas lain yang dikenali sebagai
gas rumah kaca yang menyelimuti bumi dan memerangkap panas. Kenaikan suhu akibat
daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan merubah iklim, menyebabkan berubahnya pola cuaca
yang menyebabkan peningkatan curahan hujan yang luar biasa, peningkatan suhu secara
ekstrim sama ada di daratan dan lautan, aktiviti puting beliung, ribut taufan, hakisan pantai serta
peningkatan aras air laut dan sebagainya (Holly Shaftel, 2020).

Perubahan iklim juga merupakan suatu fenomena yang berlaku yang menjadikan dunia
semakin panas hasil daripada aktiviti ekonomi seperti perindustrian, pembalakan,
perlombongan, dan pengangkutan. Perubahan iklim atau climate change pada saat ini menjadi
isu di seluruh pelusuk dunia. Isu tersebut timbul kerana perubahan iklim mempunyai kesan
yang sangat besar bagi dunia dan kehidupan seluruh makhluk yang hidup. Akibat daripada
kenaikan suhu dunia yang mendadak serta kenaikan aras air laut, kehidupan manusia, flora, dan
fauna menjadi semakin terancam dan menuju kepada kemusnahan. Fenomena perubahan iklim
ini mempunyai kaitan langsung dengan kesan rumah hijau. Punca utama pemanasan sejagat
ialah karbon dioksida (yang terhasil daripada aktiviti ekonomi) telah menyumbang hingga 81%
gas rumah hijau, diikuti oleh gas-gas lain iaitu metana (10%) dan oksida nitrat (7%). Rajah 1,
menunjukkan kandungan gas-gas hijau yang menyumbang kepada perubahan iklim. Manakala
Rajah 2, menunjukkan sektor yang menyumbang kepada peningkatan gas karbon dioksida.

Rajah 1: Kandungan gas-gas hijau yang menyumbang kepada perubahan iklim
(Sumber: EPA: United States Environmental Protection Agency
https://www.epa.gov/ghgemissions/overview-greenhouse-gases)

4

Rajah 2: Sektor (aktiviti ekonomi dan sosial) menyumbang peningkatan karbon dioksida
(Sumber: EPA: United States Environmental Protection Agency
https://www.epa.gov/ghgemissions/overview-greenhouse-gases)

Karbon dioksida secara relatifnya tidak berbahaya kepada manusia tetapi
memudaratkan alam. Perubahan iklim secara umumnya disebabkan oleh gas-gas yang
dibebaskan ke atmosfera bumi seperti karbon dioksida. Ini menyebabkan atmosfera bumi
semakin nipis dan menjadi insulator yang memerangkap sinar matahari dan memanaskan bumi.
Dari manakah datangnya gas-gas ini? Rajah 3 menunjukkan punca atau dari mana datangnya
gas-gas hijau ini terutama sekali gas karbon dioksida iaitu kebanyakannya daripada aktiviti
ekonomi dan aktiviti seharian (sosial dan semulajadi) yang dilakukan oleh manusia di muka
bumi ini.

Rajah 3: Aktiviti ekonomi dan aktiviti seharian yang menjadi punca kehadiran gas-gas hijau
(Sumber: https://www.betterworldsolutions.eu/actual-report-greenhouse-gas-
emissions-need-for-changing/)

5

Faktor-faktor lain yang menyebabkan berlakunya perubahan iklim ialah penebangan
hutan secara besar-besaran yang tidak disusuli dengan penanaman semula (penyahhutanan),
kegiatan industri perkilangan yang melepaskan asap dan kenderaan terutamanya kenderaan
berenjin diesel turut melepaskan asap ke udara. Perubahan iklim juga adalah berkaitan dengan
perubahan cuaca tetapi dalam konteks perubahan cuaca dari keadaan normal kepada sesuatu
keadaan yang tidak normal. Di latitud tinggi misalnya, perubahan dari satu musim ke satu
musim bukanlah perkara yang luar biasa akan tetapi yang menjadi isu adalah apabila sesuatu
musim itu amat ketara perbezaannya dari yang biasa dialami. Ini merupakan perubahan iklim
yang bukan semulajadi. Cuaca dan iklim adalah faktor penting mencirikan sesuatu persekitaran.
Kegiatan manusia banyak dipengaruhi oleh keadaan cuaca dan iklim.

Keselesaan dan kesesuaian sesuatu tempat ditentukan oleh julat parameter-parameter
meteorologi seperti suhu hujan dan kelembapan. Flora dan fauna sesuatu persekitaran
dipengaruhi atau dicorakkan oleh perubahan cuaca dan iklim. Suhu bumi meningkat pada kadar
berbeza mengikut benua dan kawasan tertentu dan pemanasan sistem iklim bukan perkara kecil
yang boleh diabaikan. Manusia adalah punca gangguan sistem iklim dan paling ketara, sejak
pertengahan abad ke-20. Perubahan suhu dunia berpunca daripada pemanasan global yang
berterusan dengan purata suhu permukaan bumi meningkat lebih 1ºC sejak era praindustri, satu
penanda aras yang digunakan secara meluas untuk mengukur pemanasan global.

Menurut United Nation (2019), suhu global meningkat 0.85ºC dari tahun 1880 hingga
tahun 2012 diramal meningkat sebanyak 6ºC dalam tempoh satu abad yang akan datang.
Rentetan itu, aras laut meningkat 0.19 meter dari tahun 1901 hingga tahun 2010 dan dijangka
meningkat hingga 1 meter pada tahun 2100. Kandungan gas karbon dioksida dalam atmosfera
turut meningkat 40% kepada 391 ppm pada tahun 2011 berbanding 320 ppm pada tahun 1960.
Di kebanyakan tempat di dunia ini, terdapat satu kemungkinan yang sangat ketara di mana iklim
setempat yang selama ini dianggap stabil sebenarnya berubah pada kadar yang cepat berbanding
dengan perubahan semulajadi yang mengambil masa beratus ribu tahun. Ramalan yang dibuat
menunjukkan berlaku peningkatan suhu purata dunia.

Berdasarkan Laporan IPCC 2007 (IPCC Report, 2017), menyatakan bahawa dari
tempoh tahun 1990 hingga tahun 2100 diramalkan suhu purata dunia meningkat antara 1.4ºC
hingga 5.8ºC. Perubahan drastik ini dijangkakan akan mengakibatkan peningkatan paras laut,
perubahan corak taburan hujan di mana sebahagian kawasan akan mengalami kemarau teruk
manakala kawasan yang lain akan menerima hujan yang berlebihan sehingga menyebabkan
banjir yang besar. Ada kawasan yang akan mengalami cuaca yang melampau seperti
peningkatan aktiviti puting beliung dan ribut taufan, musim sejuk melampau dan jumlah salji
berlebihan. Pada musim panas pula akan berlaku peningkatan suhu yang tinggi. Keadaan
melampau ini akan menyebabkan impak negatif kepada persekitaran mahupun aspek sosio
ekonomi. Antara yang akan berlaku adalah penyeseran ekologi dan populasi, peningkatan
penyakit berjangkit dan kematian akibat kegagalan beradaptasi kepada perubahan cuaca ini.

Perubahan iklim dunia secara drastik dilihat sebagai akibat daripada aktiviti-aktiviti
ekonomi dan sosial manusia berbanding perubahan yang berlaku secara semulajadi. Walaupun
secara amnya perkara ini diterima, namun isu ini masih hangat diperdebatkan dari segi
kesahihannya. Akibatnya, ada pihak yang memperlekehkan saranan-saranan yang dibuat ke
arah menstabilkan peningkatan suhu dunia. Kerajaan Amerika Syarikat misalnya menolak
Perisytiharan Protokol Kyoto yang menyarankan agar Amerika Syarikat sebagai pengeluar gas
rumah hijau terbesar di dunia menghadkan pelepasan gas tersebut ke atmosfera dengan alasan
tindakan sedemikian akan menjejaskan ekonomi Amerika. Begitu juga apabila dunia dilanda
pandemik Covid-19, negara-negara besar tidak mahu melaksanakan penutupan dan penyekatan
kerana bimbangkan implikasi kepada ekonomi negara.

6

PUNCA PERUBAHAN IKLIM GLOBAL

Perubahan iklim global adalah fenomena pemerangkapan gas yang dikenali sebagai gas rumah
hijau membabitkan kumpulan gas (karbon dioksida (CO2), karbon monoksida (CO),
kloroflorokarbon (CFC), metana, nitrogen oksida) yang menghalang dan memerangkap haba
bumi daripada terbebas keluar ke angkasa. Kumpulan gas ini membenarkan bahang matahari
menembusinya tetapi menghalang pembebasan semula bahang bumi ke atmosfera. Peningkatan
kepekatan CO2 akan memerangkap haba dalam sistem iklim bumi dan sejak tiga dekad lalu
laporan dari IPCC juga mendapati sistem iklim bumi berada tidak seimbang, iaitu menerima
lebih haba daripada matahari berbanding haba yang keluar daripada sistem berkenaan.

Haliza (2020), dalam artikel yang disiarkan oleh Bernama bertarikh 10 Julai 2020,
mengambil pandangan dari bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1, IPCC, Prof. Dr. Fredolin
Tangang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata perubahan iklim berlaku
disebabkan pemanasan sistem iklim global dan ia perkara yang nyata. Menurut beliau, kajian
mendapati suhu global meningkat 0.85ºC dalam tempoh seabad lalu dan dijangka terus
meningkat dengan purata 6ºC dalam tempoh seabad akan datang. Punca utama perubahan iklim
adalah peningkatan gas rumah hijau yang dikaitkan dengan penipisan lapisan ozon serta aktiviti
ekonomi dan sosial manusia. China dan Amerika Syarikat menyumbang kira-kira 40%
pelepasan gas rumah hijau global. Perubahan suhu secara dramatik berpunca daripada
penggunaan lebih banyak bahan api fosil seperti minyak, gas dan batu arang, menyebabkan
peningkatan kepekatan gas rumah hijau. Malahan, penebangan hutan secara berleluasa dan
tidak terkawal serta perubahan guna tanah yang tidak lestari turut menyumbang kepada isu ini.

KESAN PERUBAHAN IKLIM GLOBAL

Menurut Haliza (2020), perubahan iklim bukan sahaja memberi tekanan kepada persekitaran
malah menjejaskan sistem ekonomi, sosial dan politik. Justeru, isu perubahan iklim
‘menjanjikan’ ancaman besar buat komuniti miskin di negara membangun seperti India,
Indonesia dan Filipina. Golongan yang dalam kesempitan hidup itu tidak mampu melindungi
diri mereka daripada impaknya. Berikut adalah kesan-kesan akibat perubahan iklim:

1. Pencairan Ais dan Kenaikan Aras Laut

Garisan salji di kawasan tropika dan hampir tropika semakin mengundur ke atas seperti glasier
Qori Kalis di kawasan pergunungan Peruvian, Andes yang mengundur dengan kadar empat
meter (13 kaki) setiap tahun antara tahun 1963 dan 1978. Menjelang tahun 1995, kadar ini
akan mencapai 30m (99 kaki) setahun. Glasier di kawasan Eropah semakin mengundur dan ais
di Artik semakin menipis. Ais di kawasan Artik tidak menganjur jauh ke lautan berbanding
dengan musim-musim sejuk yang dahulu dan suhu di beberapa tasik di Kanada telah naik
beberapa darjah Celcius.

Peningkatan suhu sejagat juga sedang mencairkan glasier dari Banjaran Andes di Peru
hingga ke pergunungan Alps di Switzerland. Worldwatch Institute (WWI) dalam laporan State
of The World 2000 menyatakan bahawa, ais yang melitupi kawasan Antartik beransur-ansur
menipis. Selepas setengah abad pada tahun 1997, kawasan tersebut kehilangan air seluas 7,000
kilometer persegi (kmp) tetapi pada tahun 2000, kawasan itu kehilangan 3,000 kmp lagi, hanya
dalam tempoh tiga tahun sahaja. Kenaikan aras lautan juga akan menyebabkan ombak akan
memasuki lebih ke dalam kawasan daratan pinggir pantai lalu menyebabkan hakisan pukulan
ombak yang semakin ke arah daratan.

7

Menurut Haliza (2020), perubahan iklim boleh menyebabkan kenaikan paras air laut.
Di kutub utara atau artik adalah antara rantau yang paling terkesan akibat perubahan iklim.
Kutub Utara panas dua kali lebih cepat berbanding planet lain sejak lebih seabad lalu dan sejak
enam tahun lalu Artik mencatatkan suhu paling panas di rantau itu. Ini boleh menyebabkan
suhu air laut juga meningkat dari semasa ke semasa. Paling membimbangkan, setiap tahun, ais
yang mencair di Greenland sebuah pulau ais terbesar selepas Antartika meningkatkan paras laut
dunia sebanyak 0.7 milimeter. Jika semua ais di Greenland cair atau menjadi bongkah ais,
lautan dunia akan naik sebanyak 7.4 meter. Ais yang mencair dari kutub Antartika, Artik dan
Greenland akan menaikkan paras air laut yang berisiko menenggelamkan sebahagian besar
daripada penempatan manusia. Para saintis turut memberi amaran bahawa paras laut dijangka
meningkat sebanyak 1.3 meter menjelang tahun 2100 seandainya suhu permukaan bumi
mencecah 3.5ºC.

Satu penyelidikan daripada organisasi iklim sains bukan berasaskan keuntungan di
Amerika Syarikat, Climate Central pula mendedahkan bahawa perubahan iklim akan
meletakkan 300 juta orang di seluruh dunia dalam bahaya disebabkan limpahan air laut
menjelang tahun 2050. Golongan ini merupakan yang pertama akan dibadai ombak dan
limpahan air laut akibat realiti perubahan iklim. Selain kenaikan paras air laut, para saintis juga
meramalkan perubahan iklim ini akan mengakibatkan kejadian cuaca ekstrem di seluruh dunia
seperti kemarau dan banjir. Kemarau misalnya telah dilaporkan mengancam dan menjejaskan
1 bilion penduduk dalam tempoh 10 tahun lalu.

2. Perubahan Cuaca yang Ganjil

Di seluruh dunia telahpun terjadi perubahan cuaca yang ganjil. Musim dingin yang kurang
dingin, tetapi kadang-kadang dikejutkan dengan ribut yang sangat sejuk. Fenomena El Nino
pada tahun 1997 yang menyebabkan banjir besar dan kemarau teruk di beberapa negara
hakikatnya berpunca daripada perubahan iklim yang mengganggu iklim dunia. El Nino
melibatkan pemanasan permukaan Lautan Pasifik sehingga menyebabkan kemarau dan banjir
buruk di Asia Timur dan mengubah keadaan iklim di serata dunia.

3. Ribut dan Taufan

Pada Oktober 1998, taufan Mitch melanggar Amerika Tengah selama lebih seminggu. Lebih
10,000 orang mati. Di Honduras saja, separuh daripada penduduknya terpaksa dipindahkan
dan 95 peratus tanamannya musnah sama sekali. Taufan ini dipercayai kesan daripada
perubahan iklim. Pakar-pakar kaji cuaca percaya ribut dan taufan yang banyak berlaku pada
tahun 2005 ada kaitan dengan perubahan iklim seperti Taufan Katrina, Taufan Rita, Taufan
Nabi dan pada Jun 2020, Taufan Nisarga mula membadai Mumbai, India. Ribut taufan dari
Lautan Arab mula membadai Pantai Barat India dan bandar Mumbai sehingga memaksa
puluhan ribu penduduknya dipindahkan. Menurut Ketua Pengarah Pasukan Tindak Balas
Bencana Nasional Negara, Satya Narayan Pradhan, taufan tersebut bergerak melalui laluan
yang diramalkan dan semua persiapan sudah dilakukan dan taufan ini menelan jutaan kos untuk
tujuan pemindahan dan pembaikpulihan. Dianggarkan kira-kira 90 kejadian ribut terjadi setiap
tahun akibat perubahan iklim.

4. Kesan Terhadap Flora dan Fauna

(i) Kesan Positif

8

Pada tahun 1981 perubahan iklim di kawasan 40 darjah latitud ke atas dari bandar New York
ke Madrid dan ke Beijing telah menggalakkan kadar pertumbuhan tumbuhan. Ini dibuktikan
dengan gambar satelit. Musim pertumbuhan juga telah bertambah untuk beberapa hari khasnya
di kawasan Eurasia. Pengeluaran ladang di utara Siberia mungkin meningkat kerana selama ini
tumbuhan tidak subur di kawasan beriklim sejuk di situ.

(ii) Kesan Negatif

Kenaikan suhu global akan menyebabkan negara-negara yang beriklim sederhana sejuk mulai
mengalami iklim jenis Mediterranean. Ini akan menimbulkan masalah penyesuaian tumbuhan
dan haiwan dengan perubahan iklim ini. Sesuatu spesies flora dan fauna adalah sesuai untuk
iklim yang tertentu. Pada masa perubahan iklim, kebanyakan spesies perlu menyesuaikan diri
dan spesies yang tidak boleh menyesuaikan diri akan mati. Spesies yang dapat menyesuaikan
diri akan menjadi kurang kompleks dan tidak pelbagai. Kawasan alpine gunung akan menjadi
semakin panas lalu membawa kepupusan spesies fauna dan flora alpine seperti di Taman
Negara Yellowstone. Kawasan sejuk Artik semakin panas lalu menyebabkan kepupusan spesies
fauna kawasan Artik seperti karibu, muskox, anjing laut, dan beruang polar. Perubahan nisbah
jantina fauna, iaitu jantina alligator dan beberapa spesies penyu bergantung kepada suhu semasa
penetasan. Suhu yang panas sepanjang tahun menyebabkan nisbah jantina mereka akan menjadi
tidak seimbang.

Suhu yang panas menyebabkan kenaikan aras laut lalu menyebabkan pencerobohan air
lautan ke kawasan daratan. Oleh itu, fauna air tawar semakin berkurangan iaitu kawasan tanah
lembap yang menjadi habitat untuk banyak burung akan ditenggelami air lautan. Kenaikan aras
lautan menyebabkan ombak mara lebih jauh ke arah pedalaman daratan lalu memusnahkan
kawasan paya bakau seperti di Port Dickson dan Tanjung Aru, Negeri Sembilan. Suhu yang
panas menyebabkan kekurangan oksigen dalam air, kadar kemasinan dan bahan pencemar
bertambah lebih pekat. Ini akan menjejaskan kehidupan fauna dan flora air.

5. Kerosakan Terumbu Karang

Satu lagi akibat pemanasan sejagat ialah kemusnahan banyak terumbu karang di Pasifik pada
beberapa dekad akan datang. Karang merupakan hidupan yang sangat sensitif dan hanya boleh
hidup dalam air bersuhu antara 18 ºC hingga 30ºC. Peningkatan suhu walaupun 1ºC akan
melunturkan karang sebelum karang tersebut mati perlahan-lahan. Terumbu karang akan
mengalami keadaan seperti kelapukan (bleaching) jika suhu dunia meningkat lebih daripada
1ºC, iaitu suhu yang panas akan menyebabkan kematian alga zooxanthellae (coral bleaching).

Alga merupakan sumber makanan utama bagi polipah. Kematian alga ini menyebabkan
kekurangan makanan untuk polipah lalu membawa kemusnahan terumbu karang seperti
Terumbu Karang Millepora (Amerika Selatan). Suhu yang panas menyebabkan hujan ribut
yang kuat lalu menyebabkan pengaliran baja dan air kumbahan ke lautan. Ini menggalakkan
pertumbuhan alga jenis toksik yang cepat lalu menyebabkan kematian polip dan membawa
kemusnahan terumbu karang.

6. Migrasi Burung

Perubahan iklim memberi kesan yang merugikan bagi burung-burung yang bermigrasi dengan
jarak tempoh jauh, baik dari mahupun ke Eropah. Sebaliknya, burung yang bermigrasi ke
tempat yang tidak terlalu jauh mendapat semacam keuntungan dengan perubahan iklim ini.

9

7. Kesan Terhadap Manusia

Menurut IPCC, sebarang kenaikan suhu yang menyumbang kepada pemanasan global akan
memberi kesan negatif terhadap kesihatan manusia. Antara lain meningkatkan risiko beberapa
penyakit bawaan vektor, seperti malaria dan demam denggi yang dijangka meningkat dengan
pemanasan dari 1.5°C ke 2°C. Perubahan iklim juga boleh memburukkan lagi penyakit kronik
yang boleh menyebabkan kematian akibat heat stroke berlaku jika suhu melebihi 40.6°C.

Menurut Haliza (2020), data Bank Dunia pada tahun 2017 mendedahkan, kemarau
memusnahkan hasil keluaran yang boleh memberi makan 81 juta orang setiap hari untuk
setahun bermula pada tahun 2001. Paling membimbangkan, antara tahun 2030 dan 2050,
perubahan iklim dijangka membunuh 250,000 orang setiap tahun akibat malnutrisi dan pelbagai
penyakit selain membahayakan udara bersih, sumber air minuman dan bekalan makanan.

Gangguan terhadap aktiviti pertanian akan menjejaskan pengeluaran makanan yang
berpotensi menyebabkan berlakunya kekurangan serta krisis makanan yang membawa kepada
kebuluran, kekurangan zat dan penyebaran wabak penyakit. Suruhanjaya bagi Pelarian
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations High Commissioner for Refugees
(UNHCR) melaporkan kira-kira 22.5 juta orang dipindahkan akibat iklim atau bencana yang
mempunyai kaitan dengan cuaca antara tahun 2008 hingga tahun 2015.

Hal tersebut turut menjejaskan pertumbuhan dan hasil tanaman seperti tomato, bit gula
dan kentang yang mengurangkan pendapatan petani dan bekalan makanan. Menurut para
saintis, perubahan iklim dikhuatiri akan menjerumuskan berjuta-juta orang ke dalam kancah
kebuluran pada abad ini. Mereka berkata, pengeluaran makanan akan menurun di Asia,
sementara Australia dan New Zealand menghadapi kekurangan bekalan air. Negara-negara
Eropah akan diancam banjir besar dan pantai timur Amerika lebih kerap dilanda taufan.
Ancaman yang dihadapi oleh Afrika pula adalah bertambahnya benua padang pasir di situ.

ISU PERUBAHAN IKLIM PASCA COVID-19

Menurut Suzalina Halid (Suzalina, 2020), dalam artikel yang disiarkan oleh Berita Harian
Online bertarikh 17 Mei 2020, pandangan oleh Penasihat Perubahan Iklim dan Kelestarian,
Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS), Dr. Renard Siew, menyatakan bahawa
kesan manusia terhadap alam sekitar, selain perubahan iklim dipercayai mampu meningkatkan
risiko pandemik termasuk Covid-19 dan wabak lain, pada masa akan datang. Menurut Dr.
Renard lagi, ketika ini tiada kepentingan mendesak untuk menangani isu perubahan iklim
kerana isu penularan Covid-19 lebih penting. Walau bagaimanapun, kita boleh menjadikan
penularan Covid-19 ini sebagai peluang keemasan untuk melakukan sesuatu dan mengambil
tindakan sewajarnya seperti memindahkan pelaburan kepada ekonomi hijau yang boleh
diperbaharui. Pencemaran alam sekitar mungkin akan bertambah buruk dalam tempoh pasca
Covid-19 berikutan pengoperasian semula aktiviti ekonomi seperti perindustrian dan
pengangkutan yang dijangka akan dipertingkatkan lagi bagi menebus kejatuhan pengeluaran
dan produktiviti.

Apakah kaedah atau langkah yang terbaik dalam menangani isu ini? Perubahan iklim
merupakan isu sejagat iaitu isu tanpa sempadan. Bagaimanakah negara-negara maju ingin
mengurangkan masalah pelepasan gas-gas hijau yang menjadi punca kepada perubahan iklim
ini? Apa pula peranan negara-negara membangun? Dalam hal ini, adakah melalui meja
perundingan dapat menyelesaikan masalah? Adakah negara kuasa-kuasa besar ini mahu tunduk
dengan kehendak negara-negara membangun? Apa pula tindakan para pejuang alam sekitar?

10

Jika tidak, adakah melalui kaedah sistem perundangan iaitu dengan mengenakan dakwaan
dengan mengheret pesalahnya ke muka pengadilan? Sesetengah negara sedang berhadapan
dengan realiti ini dan sedang mencari strategi yang terbaik dan paling berkesan untuk
mengurangkan pelepasan karbon.

Di Malaysia sebagai contohnya, telah ada Dasar Perubahan Iklim Negara yang digubal
sejak tahun 2009 lagi. Kenyataan dasar ini ialah bagi memastikan pembangunan yang berdaya
tahan terhadap perubahan iklim bagi memenuhi aspirasi negara dalam menerajui kelestarian.
Manakala objektif Dasar Perubahan Iklim Negara adalah untuk mengarusperdanakan
perubahan iklim melalui pengurusan sumber yang bijaksana dan pemuliharaan alam sekitar
yang dipertingkatkan untuk memperkukuhkan daya saing ekonomi dan kualiti hidup,
mengintegrasikan respons bagi memperkuatkan daya tahan pembangunan terhadap perubahan
iklim yang semasa dan yang dijangka ke dalam dasar nasional, pelan, dan program negara dan
mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan untuk memanfaatkan peluang baru dalam
mengurangkan impak negatif perubahan iklim (Dasar Perubahan Iklim Negara, 2009).

Terdapat juga pelbagai dasar yang diguna pakai oleh rantau ini untuk mempromosikan
tahap pelepasan yang tinggi dan ketidakcekapan teknikal, seperti subsidi menyeluruh untuk
bahan api fosil. Oleh itu, tindakan sewajarnya haruslah diambil sekarang untuk mengurangkan
pelepasan karbon ini, merangkumi semua negara di dunia tanpa ada pengecualian, dan
kerjasama yang kuat antara negara diperlukan untuk memimpin jalan dalam kedudukan iklim
global dengan mencadangkan sasaran pengurangan pelepasan karbon bagi menghindari risiko
ekonomi jangka panjang.

Menurut Farhan Kamarulzaman (Farhan, 2020), dalam artikel yang disiarkan di
MalaysiaKini bertarikh 9 Julai 2020, Asia Tenggara perlu menyahkarbon sistem tenaganya
pada tahun 2050, dengan meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan
penyahkarbonan sektor penggunaan akhir melalui elektrifikasi atau penggunaan tenaga boleh
diperbaharui secara langsung, serta pengurangan permintaan yang besar di seluruh sektor
penggunaan akhir. Tambahan pula, peralihan ke arah sistem ekonomi rendah karbon adalah
digalakkan kerana perkara ini akan menyediakan asas untuk sumber yang lebih cekap, kurang
intensif karbon, keselamatan tenaga dan makanan, kelestarian alam sekitar, jalan pertumbuhan
yang seimbang, dengan faedah yang berkaitan untuk kelangsungan ekosistem dan kesihatan
manusia.

Sekiranya Malaysia, Indonesia, dan Thailand melaksanakan sasaran yang ditetapkan
dalam Perjanjian Paris 2015 untuk Sumbangan Nasional Yang Ditentukan atau Intended
Nationally Determined Contributions (INDC), maka mereka akan mengalami pengurangan
pelepasan karbon yang ketara selepas 2030. Pakar-pakar juga mengatakan Malaysia dijangka
menghadapi kos kerosakan marginal yang lebih rendah manakala Indonesia dan Thailand
dijangka menghadapi kos kerosakan marginal yang lebih tinggi untuk 2010-2050.

World Resources Institute (WRI) mendefinisikan INDC sebagai perjanjian
antarabangsa baharu berdasarkan perjanjian iklim antarabangsa pada Persidangan Kerangka
Konvensyen Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Perubahan Iklim atau United Nations
Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) pada bulan Disember 2015. Perjanjian
Paris mempunyai tiga teras utama iaitu untuk mengekalkan kenaikan suhu purata global di
bawah 2°C, mengambil langkah-langkah dalam menyekat kenaikan suhu sehingga 1.5°C dan
mencapai pelepasan bersih-sifar karbon pada separuh akhir abad ini.

Selain itu, strategi pengurangan pelepasan karbon juga seiring dengan teras Matlamat
Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang ke-13 (climate action)
iaitu mengambil tindakan segera untuk memerangi perubahan iklim dan kesannya atau take

11

urgent action to combat climate change and its impacts yang bertujuan untuk mengambil
tindakan segera untuk memerangi perubahan iklim dan kesan-kesannya. Di Malaysia,
percubaan rendah karbon yang dilakukan oleh beberapa buah bandar di Malaysia harus
dipertingkatkan dan terus kembali ke landasan yang betul setelah ekonomi domestik dipulihkan
semasa pasca Covid-19 untuk mengurangkan kesan kerosakan yang seakan-akan ‘tidak
kelihatan’ di bumi ini.

KAEDAH MENANGANI PERUBAHAN IKLIM

Perubahan iklim lebih sukar ditangani secara politik, walaupun lebih mudah ditangani secara
ekonomi. Secara hakikatnya, perubahan iklim akan lebih sukar dikalahkan daripada pandemik
Covid-19. Kita sudah melihat kemunculan norma baharu dalam dunia pasca Covid-19 setelah
beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) dan rawatan yang berkesan muncul. Walau
bagaimanapun, dalam menstabilkan perubahan iklim, memerlukan transformasi dan amalan
yang lebih bertahan lama dan dalam jangka masa panjang yang perlu dilaksanakan sebelum
perubahan iklim mencapai dimensi bencana.

Raimund Bleischwitz (2020), dari University College London menyatakan bahawa
memang terdapat ramai pemimpin ekonomi (bidang perniagaan) dunia sudah menyuarakan
supaya tindakan untuk mengembalikan kerugian (kemusnahan) alam iaitu matlamat karbon
bersih-sifar dicapai serta ekonomi hijau dipertahankan. Sekiranya misi seperti ini berjaya,
perkara ini memerlukan beberapa tindakan segera untuk membina sokongan dan penyertaan
dalam kalangan rakyat dan pelabur yang mempunyai pemikiran yang sama. Oleh itu, Raimund
telah mencadangkan 5 langkah yang boleh diambil bagi memulakan proses pemulihan hijau
dunia pasca COVID-19. Lima langkah tesebut adalah:

1. Bangunan yang lebih baik dan berkonsepkan biofilik (biophilic),
mesra pengguna dan mesra alam

Banduan yang berada di dalam penjara, pekerja yang berada di dalam bangunan dan orang
ramai yang bosan terkurung di dalam rumah berikutan penularan Covid-19, sudah pasti
memerlukan sistem pengudaraan dan penebat yang kondusif agar dapat mengawal suhu diluar
bangunan/rumah sama ada ketika cuaca panas ataupun sejuk. Oleh itu, langkah pemulihan hijau
boleh bermula dari sini. Ini bermaksud pengubahsuaian besar-besaran untuk meningkatkan
sistem penebat, mengganti tingkap, mengurangkan kebocoran udara, memperbaiki sistem
pemanasan (dan penyejukan), menukar bahan bakar dari arang batu, gas dan minyak ke tenaga
yang boleh diperbaharui seperti angin dan solar perlu dilakukan oleh pihak kerajaan dan pihak
yang bertanggungjawab. Konsep bangunan biofilik harus difikirkan kerana kajian mendapati
bahawa Biophilic Design adalah rekabentuk yang trending dan terkini yang menyediakan
kesempatan bagi manusia untuk hidup dan bekerja pada tempat yang sihat, mampu
meminimakan tahap stress, sekaligus menyediakan kehidupan yang sejahtera dengan cara
menyatukan rekabentuk bangunan dengan alam.

Penerapan Biophilic Design pada hiasan dalaman (interior design) bangunan dipercayai
memiliki berbagai manfaat, seperti menstabilkan tekanan darah, meningkatkan kenyamanan
dan kepuasan dalam ruang, memgurangkan munculnya gejala penyakit dan meningkatkan
kesihatan tubuh badan. Cara untuk menghasilkan rekabentuk dalaman di pejabat adalah sangat
mudah iaitu dengan mengabungkan tumbuhan flora di dalam sesebuah rekabentuk arkitek
bangunan atau rumah. Jika manusia lebih banyak menghabiskan masa tinggal di dalam

12

bangunan/rumah sudah pasti kadar penggunaan tenaga elektrik dan sumber air meningkat
dengan mendadak. Ini akan menyumbang kepada pelepasan CFC ke atmosfera dan
menyebabkan penipisan lapisan ozon dan sumber bekalan air terganggu. Kerajaan dan pihak
yang terlibat dalam sektor pembinaan (bangunan dan perumahan) harus mula memikirkan
untuk menggunakan ruang atap yang boleh menyerap haba yang lebih baik bagi kawasan
pembangunan dan perumahan yang baharu, penggunaan tenaga suria, stor simpanan air, ruang
(kawasan) untuk akiviti berkebun, bercucuk tanam, kawasan taman hijau untuk beriadah,
aktiviti kitar semula, pembuatan baja kompos dan banyak lagi aktiviti lain yang berkaitan
dengan pemeliharaan alam sekitar. Penggunaan bumbung yang tidak mesra alam dan
penggunaan tenaga hidroelektrik (penyaman udara, kipas, peti ais, lampu, alat elektronik dan
teknologi) bukan sahaja menyebabkan kos yang tinggi malah turut mengundang risiko
pencemaran udara, kelembapan meningka,t dan kemunculan biohazard.

2. Akses makanan yang lebih baik

Semasa perintah penutupan dan penyekatan akibat Covid-19, permintaan terhadap makanan
meningkat, dan kegemukan menjadi faktor yang memburukkan lagi keadaan apabila orang
ramai tidak dibenarkan keluar untuk melakukan aktiviti riadah. Oleh itu, diet yang sihat adalah
langkah pencegahan yang terbukti, menyokong sistem imun serta meningkatkan kecergasan
dan kekuatan. Orang ramai dinasihatkan supaya makan lebih banyak buah, sayuran, dan bijirin.
Maka dengan itu, pihak kerajaan disarankan untuk menurunkan kadar harga makanan seperti
buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, dan bahan makanan organik serta memberi pelepasan
cukai kepada pembekal yang membekalkan makanan yang sihat ini. Langkah ini juga dapat
mengurangkan pembuangan sampah (lebihan makanan) serta membangunkan inovasi dalam
sektor pembuatan dan pembekalan makanan selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan.

3. Mobiliti pintar

Apabila sistem pengangkutan kembali kepada norma yang biasa, masalah kesesakan lalu lintas
dan pencemaran udara akan kembali meruncing. Sekiranya fokus pemulihan ekonomi pasca
Covid-19 kepada ekonomi hijau dan amalan sektor pekerjaan yang fleksibel seperti bekerja dari
rumah (BDR), mesyuarat, latihan dan perkhidmatan dalam talian diteruskan maka mobiliti
manusia setiap hari ke tempat kerja dapat dihadkan. Fenomena bekerja dari rumah dan
menggunakan perkhidmatan jual beli dan bayaran bil secara dalam talian perlu diteruskan
dalam tempoh pasca Covid-19 bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang
seterusnya dapat mengurangkan masalah pencemaran udara dan darat.

Sekiranya perlu melakukan pergerakan atau mobiliti ke tempat kerja apabila tempat
kerja dibuka semula, sistem penggiliran dan penggunaan pengangkutan awam boleh disarankan
agar masalah kesesakan dan pencemaran dapat dikurangkan. Penyelidikan oleh ahli akademik
di Pusat Penyelidikan Permintaan Tenaga di United Kingdom menunjukkan bahawa tindakan
terbaik untuk mengurangkan jejak karbon (carbon footprint) adalah dengan mengurangkan
penggunaan kereta dengan melaksanakan "mobiliti pintar". Mobiliti pintar bermaksud
melaksanakan kaedah berkongsi kereta (carpooling), berbasikal, dan penggunaan
pengangkutan awam ke tempat kerja. Tempoh pasca Covid-19 adalah masa yang sangat sesuai
untuk menjauhkan kawasan bandar dari kesesakan kenderaan bermotor. Setiap pemulihan
kawasan hujau terutama di kawasan bandar harus memikirkan untuk menyediakan sistem dan
infrastruktur pintar bagi menggalakkan orang ramai berbasikal ke tempat kerja seperti
kemudahan laluan berbasikal, stesen penguncian basikal dan sistem sewaan basikal yang pintar
dan selamat serta sistem pengisian semula sewaan e-basikal dan e-skuter yang efisien di lokasi
yang strategik. Lokasi mobiliti pintar strategik dapat membantu orang ramai bergerak dari satu
tempat ke satu tempat dengan mudah sekiranya mereka ingin menggunakan pelbagai mod

13

(jenis) pengangkutan awam. Bandar Copenhagen, Denmark, dan Amsterdam, Belanda boleh
dijadikan contoh bahawa semua ini telah dapat dilakukan dengan sempurna.

Rajah 4 menunjukkan kedudukan Bandar Copenhagen (Denmark) dan Amsterdam (Belanda)
sebagai bandar mesra basikal

(Sumber: Youtube https://www.youtube.com/watch?v=zoWNtx1tD5Q)

4. Mewujudkan lebih banyak taman hijau di kawasan bandar

Mewujudkan, memelihara dan memperbaiki taman-taman hijau di kawasan bandar harus
menjadi keutamaan dalam tempoh pasca Covid-19. Inisiatif seperti Nesta's Rethinking Parks
atau Heritage Fund's Future Parks Accelerator di London misalnya boleh dijadikan contoh
bagaimana mencari kaedah untuk mengurus dan membiayai taman-taman hijau, tasik, kolam,
dan ruang hijau terbuka di kawasan Bandar di seluruh dunia. Orang ramai terutamanya ahli
perniagaan disarankan supaya dapat mengubah suai kawasan terbengkalai dan terbiar di bandar-
bandar agar dapat mencipta dan mengubah kembali kehidupan masyarakat dengan membaik
pulih kawasan-kawasan tersebut menjdi taman-taman hijau dengan sokongan pihak berkuasa
tempatan dan program pemulihan hijau oleh pihak kerajaan. Semua tindakan ini dapat
membantu dan menyesuaikan perancangan dalam bidang pembangunan dengan mengalihkan
keutamaan daripada keuntungan ekonomi semata-mata kepada keutamaan ke arah kelestarian
dan kesejahteraan manusia jangka panjang.

5. Prasarana yang lebih berdaya tahan dan lestari

Walaupun $2.5 trilion setahun telah dibelanjakan untuk projek infrastruktur di seluruh dunia,
lebih banyak pelaburan seharusnya diperlukan bagi memastikan akses kawasan perumahan,
mobiliti, perkhidmatan dan ruang hijau diberi perhatian dalam keadaan norma baharu dan
dalam tempoh pasca Covid-19. Pengurusan sumber air di kawasan perumahan misalnya
perlulah diberi perhatian sewajarnya agar sistem pengurusan air yang efisien dan berkesan dapat
ditingkatkan demi menjamin kualiti air bersih untuk keselesaan para pengguna pada masa
hadapan. Hal ini dapat dilakukan dengan pemeliharaan dan pengurusan kawasan loji rawatan
air dan kawasan tadahan hujan yang lebih efisien. Kemudahan tangki yang berteknologi tinggi
untuk menadah air hujan perlu disediakan supaya air hujan dapat diurus dan dipelihara dengan
baik untuk kegunaan berkebun dan membersihkan kawasan luar rumah. Sementara itu, inisiatif
yang disebut sebagai ‘bandar sponge’ atau bandar yang menyerap air dengan meningkatkan
ruang hijau, memulihkan tanah lembap dan menggunakan bahan binaan baru yang boleh
meresap dan menyerap air hujan serta boleh menunda aliran air sangat diperlukan bagi
mengurangkan risiko banjir kilat dan mengelak kerosakan harta benda awam di kawasan
bandar. Begitu juga dengan penggunaan tenaga dari tenaga solar dan penggunaan kereta hybrid
di kawasan bandar dapat melahirkan masyarakat yang lestari dan sejahtera dalam jangka masa
panjang.

14

Menangani Isu Perubahan Iklim Melalui Sistem Perundangan

Perundangan alam sekitar merupakan alat yang digubal bagi mengawal alam sekitar daripada
dicemari, mengalami kemerosotan ataupun dicemari semula. Di Malaysia, perundangan alam
sekitar cuba menetapkan aktiviti manusia yang mungkin secara langsung ataupun tidak
langsung mempengaruhi kualiti alam sekitar, dan juga lebih merupakan suatu sistem
pencegahan jangka pendek dan jangka panjang bagi mengawal wujudnya semula punca
pencemaran baru dan menyekat kemungkinan berlakunya kemerosotan alam sekitar.

Secara keseluruhannya dan berdasarkan konteks masa kini, kawalan secara
perundangan di Malaysia dapat dianggap sebagai membolehkan kemerosotan alam sekitar
wujud dalam suatu keadaan pertengahan dan tidak terus merosot kerana undang-undang
sentiasa digubal bagi menyesuaikan keadaan dan menuju ke arah yang lebih mantap sekiranya
disokong dengan sistem penguatkuasaan yang berkesan.

Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Jabatan Alam Sekitar, 2015) telah digubal sebagai
perundangan yang komprehensif yang memberikan asas undang-undang yang sama bagi
mengkordinasikan kesemua aktiviti berkaitan pengawalan alam sekitar di seluruh negara. Akta
ini merupakan asas bagi perkembangan perundangan alam sekitar di negara ini. Seksyen 3 (1)
Akta tersebut membenarkan perlantikan Ketua Pengarah untuk melaksanakan akta dan
mengkordinasikan kesemua aktiviti berkaitan pembuangan bahan buangan ke alam sekitar dan
untuk menyekat atau mengawal pencemaran dan memulihkan kualiti alam sekitar. Sebenarnya
akta ini bukan hanya bertujuan menghalang kemerosotan alam sekitar tetapi juga untuk
mempertingkatkan atau memperbaiki kualiti alam sekitar.

Bagi tujuan tersebut, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mempunyai peruntukan yang
jelas tentang beberapa masalah pencemaran alam sekitar, iaitu pencemaran udara (Seksyen 20),
pencemaran oleh bunyi bising (Seksyen 23), pencemaran tanah (Seksyen 24), pencemaran
perairan daratan (Seksyen 25) serta pencemaran minyak dan bahan yang bercampur minyak ke
dalam perairan Malaysia (Seksyen 29). Kesemua larangan yang terdapat dalam seksyen yang
dinyatakan itu tertakluk kepada syarat yang ditentukan oleh Menteri setelah berunding dengan
Majlis Kualiti Alam Sekeliling (ternyata dalam Seksyen 21). Selain itu, dalam Seksyen 34 (A)
Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan), 1985, yang telahpun dikuatkuasakan pada 9 Januari
1986, mengkehendaki laporan temtang kesan kepada alam sekeliling akibat aktiviti yang
ditetapkan yang hendak dijalankan dikemukakan kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam
Sekeliling untuk diteliti, disiasat dan sama ada meluluskan atau menolak aktiviti berkenaan.

Pencemaran udara yang menjadi punca perubahan iklim terangkum di bawah Peraturan-
peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 1978, Peraturan-peraturan Kualiti Alam
Sekeliling (Kawalan Kepekatan Plumbum dalam Gasolin Motor) 1985 dan Peraturan
Kenderaan Motor (kawalan Pelepasan Asap dan Gas) 1977. Dalam peraturan yang ditujukan
khas bagi mengawal pencemaran udara, kedua-dua kategori punca pencemaran udara
dirangkumi iaitu punca tak bergerak dan punca bergerak.

Peraturan tentang udara bersih mengandungi syarat yang melarang dan mengawal
pelepasan beberapa jenis pencemar udara melalui pengwujudan standard serta rujukan khas
kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling bagi mendapatkan lesen atau kelulusan bertulis
bagi operasi sesuatu premis atau aktiviti. Sementara itu, peraturan pelepasan pencemar oleh
kenderaan bermotor terkandung dalam kawalan ke atas kepekatan plumbum dalam gasolin
motor serta pelepasan asap dan gas yang standard tertentu perlu dipatuhi berhubung kepekatan
plumbum dalam gasolin motor serta pelepasan asap oleh kenderaan motor. Walaupun terdapat

15

berbagai-bagai jenis gas yang dilepaskan oleh kenderaan bermotor, namun tiada suatu standard
yang ditetapkan bagi rujukan penguatkuasaan.

Sejauh manakah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Seksyen 20) ini dipatuhi oleh pesalah
alam sekitar? Atau bagaimanakah keberkesanan mengheret si pesalah dengan menggunakan
Akta ini dalam menangani isu perubahan iklim? Berdasarkan Laporan Tahunan Jabatan Alam
Sekitar (JAS), 2018 (Jabatan Alam Sekitar, 2018), kes pembakaran terbuka dikesan melalui
operasi rondaan mencegah pembakaran terbuka yang dilaksanakan oleh JAS Negeri di
kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan yang berisiko berlaku kebakaran dan
sering menerima aduan daripada orang awam. Di samping itu, maklumat hotspots juga
diperoleh melalui satelit yang dipantau dan dilaporkan oleh ASEAN Specialised Meteorological
Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura. Pada tahun 2018 sebanyak 520 hotspots di seluruh
negara telah dilaporkan melalui satelit dan sebanyak 2,768 kes pembakaran terbuka pula telah
dikesan yang menjadi punca kepada kenaikan suhu dan menyumbang kepada perubahan iklim.

Kejadian pembakaran terbuka yang utama sering berlaku adalah pembakaran sampah
sarap di kawasan perumahan, pembakaran sampah sarap di tepi bahu jalan dan pembakaran
untuk aktiviti keagamaan atau penyembahan yang dikategorikan sebagai lain-lain aktiviti
(1,767 kes), belukar (297 kes) dan pertanian (233 kes) terutamanya semasa cuaca panas dan
kering iaitu pada bulan Julai (377 kes) dan Ogos (585 kes).

Sehingga akhir tahun 2018, sebanyak 29,956,525 buah kenderaan bermotor telah
berdaftar di Malaysia, iaitu pertambahan sebanyak 1,218,331 buah kenderaan (4.24%)
berbanding tahun 2017. Dari sejumlah 1,218,331 buah kenderaan baru yang didaftarkan dalam
tahun 2018, kategori kereta merupakan yang tertinggi iaitu sebanyak 608,417 unit (49.77%)
diikuti motosikal sebanyak 552,888 unit (45.23%), manakala sebanyak 57,026 unit (5.00%)
adalah dari lain-lain jenis kenderaan termasuk lori, bas, van dan sebagainya. Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur mendahului negeri-negeri lain dengan mempunyai bilangan
kenderaan yang tertinggi iaitu sebanyak 6,553,527 unit (atau 21.88%) daripada keseluruhan
bilangan kenderaan yang berdaftar di negara ini, diikuti oleh negeri Johor, Selangor, P. Pinang,
dan Perak.

Pelepasan asap serta gas-gas pencemar seperti karbon monoksida (CO), hidrokarbon
(HC), oksida-oksida nitrogen (NOx) serta partikulat (PM) yang dilepaskan melalui ekzos
kenderaan bermotor adalah dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling
(Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996 dan PeraturanPeraturan Kualiti Alam
Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Petrol) 1996. Kawalan pelepasan asap hitam
berlebihan dari ekzos kenderaan diesel dipantau melalui operasi statik secara bersepadu dengan
agensi penguatkuasa lain (JPJ dan Trafik Polis PDRM), operasi pemerhatian melalui video
kamera dan Program AWASI (Area Watch And Sanction Inspection).

Melalui program ini, skuad peronda JAS akan menjalankan penguatkuasaan, rondaan,
pemerhatian pelepasan asap hitam dari ekzos kenderaan dan memberhentikan kenderaan untuk
menjalankan uijan asap ke atas kenderaan-kenderaan diesel yang diperhatikan mengeluarkan
asap hitam berlebihan. Tindakan kompaun akan diambil serta merta kepada pemandu dan tuan
punya kenderaan yang didapati gagal mematuhi had pelepasan asap 50% kelegapan. Kompaun
serta perintah larangan (larangan mengunakan kenderaan) akan dikeluarkan sekiranya
kenderaan didapati melepaskan asap melebihi 70% kelegapan. Pada tahun 2018, sebanyak
4,336 program penguatkuasaan telah dilaksanakan di bandar-bandar di seluruh negara.
Sejumlah 435,701 buah kenderaan diesel telah diperiksa secara visual. Dari jumlah tersebut,
sebanyak 415 buah kenderaan telah dikompaun kerana gagal mematuhi had pelepasan asap
hitam sebanyak 50% kelegapan. Manakala 235 kenderaan telah dikenakan perintah larangan
beroperasi sehingga lulus ujian asap semula oleh JAS.

16

Sepanjang tahun 2018 sejumlah 492 buah kenderaan berenjin petrol telah diuji
pelepasan CO dan HC dengan menggunakan meter gas CO-HC Analyzer melalui kaedah ‘ujian
idling’ di jalan raya. Dari jumlah ini, sebanyak dua buah kenderaan telah dikompaun kerana
gagal mematuhi had pelepasan yang ditetapkan. Peratus pematuhan keseluruhannya adalah
99.59% iaitu peningkatan sebanyak 0.85% berbanding dengan tahun 2017. Surat amaran juga
telah dikeluarkan kepada pemandu-pemandu kenderaan yang gagal mematuhi had-had
pelepasan CO dan HC supaya segera menyelenggara kenderaan bagi memastikan kenderaan
sentiasa mematuhi had pelepasan yang ditetapkan oleh undang-undang. Malaysia telah
memperkenalkan standard pelepasan pencemar untuk model baru kenderaan yang
menggunakan petrol dengan tujuan memperbaiki pelepasan pencemar menggunakan
rekabentuk enjin baru dan teknologi kawalan pelepasan.

Mana-mana model baru kenderaan bermotor pada atau selepas 1 Januari 2000 adalah
dikehendaki mematuhi standard pelepasan pencemar yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga,
Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Petrol), 1996
yang berdasarkan Arahan Majlis 94/12/EEC dan 93/59/ EEC. Pada tahun 2018, Jabatan Alam
Sekitar telah mengeluarkan 52 Sijil Ujian Kelulusan Jenis bagi model baru kenderaan petrol
yang akan dipasarkan di Malaysia.

Pada tahun 2018, sejumlah 174 kes kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling
(AKAS) 1974 telah didakwa di mahkamah dengan denda yang dikenakan berjumlah RM
2,562,250.00 dan hukuman penjara selama 3 hari. Daripada jumlah keseluruhan kes tersebut,
sebanyak 45 (25%) kes mahkamah adalah melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 16(1), Akta
Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan jumlah denda sebanyak RM 567,000.00. Sebanyak 45
(25%) kes mahkamah melibatkan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam
Sekeliling (Efluen Perindustrian) dengan jumlah denda sebanyak RM 876,000.00 sementara 84
(50%) kes yang selebihnya melibatkan kesalahan-kesalahan lain di bawah AKAS 1974.
Sejumlah 2,299 kompaun telah dikeluarkan sepanjang tahun 2018 kepada premis dan syarikat
untuk pelbagai kesalahan di bawah AKAS 1974.

Pada tahun 2018, sejumlah 7,927 aduan pencemaran alam sekitar telah diterima oleh
Jabatan Alam Sekitar. 4,684 kes aduan telah diambil tindakan di bawah peruntukan Akta
Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya oleh pejabat JAS
Negeri, manakala 879 kes aduan adalah di luar bidangkuasa JAS dan telah dirujuk kepada
agensi lain yang berkaitan untuk diambil tindakan. Seperti tahun-tahun yang sebelumnya,
bilangan aduan pencemaran yang tertinggi adalah berkaitan dengan pencemaran udara iaitu
sebanyak 5,740 kes (78.7%), sebanyak 671 kes (9.2%) berkaitan pencemaran air, sebanyak 264
kes (3.6%) berkaitan pencemaran bunyi, sebanyak 143 kes (2%) berkaitan buangan terjadual,
sebanyak 92 kes (1.3%) berkaitan tumpahan minyak, sebanyak 52 kes (0.7%) berkaitan
pencemaran tanah dan sebanyak 330 kes (4.5%) lain-lain aduan.

Berdasarkan tindakan mahkamah (pendakwaan dan pengadilan) serta kompaun yang telah
dikenakan ke atas pesalah alam sekitar yang mengeluarkan asap hitam dan membuat
pembakaran terbuka yang menjadi punca kepada perubahan iklim, adakah masalah ini sudah
dapat diatasi dengan berkesan? Penulis berpendapat bahawa dalam menangani isu perubahan
iklim langkah melalui sistem perundangan adalah perlu kerana melalui undang-undang
sahajalah pesalah boleh dihukum. Tetapi sejauh mana pihak berkuasa mampu meyakinkan
masyarakat Malaysia khasnya dan masyarakat dunia amnya bahawa kesalahan tersebut tidak
akan berulang dan Malaysia bebas daripada menyumbang kepada gas-gas hijau yang
menyebabkan perubahan iklim ini.

17

Pada pandangan penulis dalam menangani isu tanpa sempadan ini, selain daripada
kaedah pendakwaan dan pengadilan, kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar adalah penting
kerana isu perubahan iklim ini perlu ditangani secara bersama-sama dan serius dalam mengawal
kenaikan suhu dari terus meningkat sehingga mampu mengurangkan masalah perubahan iklim.

Menangani Isu Perubahan Iklim Melalui Sistem Bukan Perundangan (Perundingan)

Kaedah perundingan dalam menangani isu perubahan iklim ini sesuai dilaksanakan di peringkat
antarabangsa. Kaedah rundingan merupakan cara terbaik bagi menyelesaikan isu-isu global
kerana setiap negara mempunyai peraturan dan undang-undang alam sekitar mereka yang
tersendiri. Melalui konvensyen, persidangan atau perjanjian yang dimeterai antara ketua-ketua
negara maka kata sepakat dapat dicapai. Namun begitu, sejauh mana negara-negara yang
menyertai konvensyen ini mematuhi syarat-syarat yang telah dipersetujui?

Tidak ada negara di dunia ini yang sanggup menghadapi perubahan iklim dan begitu
juga tidak ada yang sanggup menghindari dari tidak menyumbang kepada berlakunya
perubahan iklim. Hasil daripada Laporan IPCC (IPCC, 2013) jelas menunjukkan bahawa
pembakaran bahan bakar fosil merupakan penyumbang terbesar kepada emisi gas rumah hijau
dan sudah pastilah negara-negara maju merupakan antara penyumbang utama kepada gas
rumah hijau ini. Oleh kerana itulah, kerajaan Amerika Syarikat menolak Perisytiharan Protokol
Kyoto yang menyarankan agar mereka (Amerika Syarikat) sebagai pengeluar gas rumah hijau
terbesar di dunia menghadkan pelepasan gas tersebut ke atmosfera dengan alasan tindakan
sedemikian akan menjejaskan ekonomi mereka.

Sehubungan itu, negara-negara pengeluar minyak (OPEC) perlu bekerjasama untuk
mengatasi masalah ini kerana seluruh negara akan menerima kesan perubahan iklim tersebut
terutamanya bagi negara-negara miskin dan pulau-pulau kecil. Bukan hanya itu, gelombang
panas, hujan badai, angin taufan, dan gelombang laut dikhuatiri bakal dan sering terjadi sejak
akhir-akhir abad ini.

Sikap OPEC yang kritis dan sangat prihatin terhadap isu perubahan iklim ini dapat
digunakan sebagai senjata untuk mendesak Amerika Syarikat dan negara sekutunya supaya
bersedia menandatangani Protokol Kyoto bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Hampir 40% import minyak Amerika Syarikat adalah dari negara-negara anggota OPEC. Oleh
kerana itu, wajarlah pihak Amerika Syarikat mengikut, menyokong dan mendukung hasrat
OPEC dalam menangani isu perubahan iklim ini (Maizar Rahman, 2004). Di sini jelas
menunjukkan bahawa, kerjasama yang erat melalui perundingan sahajalah maka isu perubahan
iklim tersebut dapat ditangani.

Negara-negara OPEC perlu menunjukkan komitmen yang tinggi dan bersama-sama
mendesak negara-negara maju supaya menandatangani Protokol Kyoto jika mahu menghadkan
pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera. Negara-negara anggota OPEC perlu sebulat suara
memboikot penjualan minyak kepada Amerika Syarikat selagi Amerika Syarikat tidak
mengurangkan had pelepasan gas rumah hijau mereka.

Hutan berfungsi sebagai penyerap gas karbon dioksida yang terbaik di muka bumi ini.
Sehubungan dengan itu, kebanyakan negara-negara membangun termasuk Malaysia, yang
memiliki hutan yang amat luas mempunyai peranan penting dalam penyerapan emisi karbon
dioksida dan seterusnya dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera. Negara-
negara membangun telah didesak olen negara-negara maju supaya tidak melakukan
penebangan hutan. Ini kerana degradasi hutan atau penyahutanan akan menyebabkan
kurangnya penyerapan emisi karbon dioksida. Oleh kerana itu, adakah negara-negara
membangun yang masih mempunyai hutan ini perlu tunduk kepada kuasa-kuasa besar (negara

18

maju) supaya tidak melakukan penebangan hutan semata-mata untuk menyerap gas karbon
dioksida yang dilepaskan dengan begitu banyak oleh mereka (negara-negara maju).

Negara-negara maju telah mendesak supaya negara-negara membangun mengurangkan
aktiviti penggondolan hutan, melakukan penghijauan, menanam semula hutan dan melakukan
usaha-usaha konservasi. Dalam konvensyen United Nations Framework Convention on
Climate Change (UNFCCC) yang telah di adakan di Nusa Dua Bali pada 3-12 Desember 2007,
Amerika Syarikat dan negara-negara sekutunya enggan menandatangani Protokol Kyoto kerana
alasan yang diberi dengan mengurangkan emisi gas karbon dioksida akan menjejaskan ekonomi
negaranya. Lantaran itu, bagaimanakah isu perubahan iklim ini hendak ditangani? Negara
Amerika Syarikat dengan kedegilannya tidak mahu mengurangkan pelepasan gas karbon
dioksida sedangkan negara membangun didesak supaya tidak menebang hutan supaya dapat
menyerap gas kaorbon dioksida yang dilepaskan oleh mereka.

Di sini, penulis berpandangan bahawa kaedah perundingan adalah cara yang terbaik
dalam menangani isu perubahan cuaca dan iklim ini. Setiap negara sama ada negara
membangun mahupun negara maju perlu mencari jalan penyelesaian dan menjadikan ia sebagai
isu perdamaian supaya pada masa hadapan akan menjadi agenda utama Dewan Keamanan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Di meja rundingan sahajalah isu ini dapat
diselesaikan dengan semua negara anggota mematuhi ketetapan yang telah dicapai supaya
masing-masing tidak menyalahi antara satu sama lain dan mencari jalan bagi mengurangkan
peningkatan emisi gas rumah hijau. Selain itu, setiap orang juga harus mengambil tindakan
untuk mengubah gaya hidup dan sikap yang lebih prihatin terhadap perubahan cuaca dan iklim
ini.

Manusia Perlu Berubah Ke Arah Kehidupan Yang Lestari

Menurut Haliza (2020), dalam Matlamat Pembangunan Lestari 2030 atau Sustainable
Development Goals (SDG 2030) yang ke-13, Climate Action telah mencadangkan tindakan
segera untuk memerangi perubahan iklim dan kesan buruknya. Laporan Risiko Global 2020
oleh World Economic Forum (WEF) juga meletakkan kegagalan langkah-langkah mitigasi dan
penyesuaian terhadap perubahan iklim sebagai ancaman terbesar yang dihadapi dunia saat ini.
Bahkan laporan terbaru oleh IPCC telah menekankan bahawa perubahan mendadak dan segera
perlu dilakukan untuk mengatasi masalah pemanasan global dan perubahan iklim dengan
menurunkan kandungan gas rumah kaca di atmosfera.

Kesan negatif dari perubahan iklim tidak dapat dielakkan selama beberapa dekad ke
hadapan dan langkah-langkah pengurangan yang diambil hanya bertujuan untuk mengurangkan
kesan fenomena tersebut. Namun, jika tidak ada langkah-langkah mitigasi yang dilaksanakan,
sistem semula jadi bumi tidak akan dapat menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim.
Pada peringkat ini, sebarang tindakan adaptif yang dilakukan akan melibatkan kos sosial dan
ekonomi yang sangat tinggi.

Oleh itu, langkah yang paling penting dan paling berkesan adalah mengajak semua
manusia yang merupakan komuniti global di muka bumi ini untuk mengamalkan gaya hidup
hijau, lestari, dan mesra alam. Perubahan teknologi melalui inovasi baru yang lebih mesra alam
perlu dilaksanakan untuk menggantikan pendekatan teknologi yang ada untuk mengurangkan
pencemaran gas rumah hijau. Oleh itu, setiap individu, antara lain, digalakkan berjalan kaki
atau berbasikal untuk jarak dekat serta mengurangkan perjalanan udara untuk tujuan
perniagaan, berkomunikasi melalui persidangan video, mengurangkan penggunaan plastik dan
menanam lebih banyak pokok.

19

Di Malaysia, walaupun pelepasan gas rumah kaca kurang dari 1%, peranan kita dalam
menangani pemanasan global tetap penting dan kita berterima kasih atas komitmen pemerintah
untuk mengurangkan pelepasan karbon hingga 40 peratus pada tahun 2020. Dasar Perubahan
Iklim Nasional akan terus membimbing penyatuan kita. iklim dalam perancangan dan
pelaksanaan program pembangunan dan proses membuat keputusan; menggalakkan
pertumbuhan ekonomi dan pembangunan manusia yang mampan; serta pemuliharaan alam
sekitar.

PENUTUP

Tidak ada satu kaedah yang spesifik dalam menangani isu-isu alam sekitar terutama isu
perubahan iklim. Walaupun hal ini dapat ditangani melalui sistem perundangan nam,un perkara
ini hanya melibatkan pesalah alam sekitar dalam sesebuah negara sahaja. Ini adalah kerana
tanpa undang-undang pesalah alam sekitar tidak boleh dikenakan hukuman. Manakala kaedah
perundingan atau sistem bukan perundangan adalah bagi menangani isu alam sekitar di
peringkat antarabangsa. Ini adalah kerana masing-masing negara saling menunding jari dan
menyalahi antara satu sama lain. Negara maju mengeluarkan gas rumah hijau yang terbesar di
dunia atas faktor ekonomi sedangkan negara membangun didesak supaya tidak menebang hutan
supaya hutan tersebut dapat menyerap gas rumah hijau yang dilepaskan oleh negara maju.
Maka dengan itu, bagi mengatasi masalah ini, usaha menangani isu alam sekitar terutamanya
isu pemanasan global dan perubahan iklim perlu dilakukan secara lebih agresif. Langkah IPCC
yang mencadangkan agar mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida (CO2) sebanyak 45%
menjelang 2030 perlu disambut baik oleh semua negara di dunia ini. Pihak PBB pula, perlu
memainkan peranan proaktif melalui rundingan supaya kedua-dua negara iaitu negara
membangun dan negara maju berada dalam situasi menang-menang (win-win situations).

Sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara pada 21 Oktober 2020 ini marilah kita
bersama-sama meningkatkan kesedaran dan keinsafan serta berusaha untuk mengurangkan
pencemaran dengan mengurangkan aktiviti yang boleh menyumbang kepada kenaikan suhu
serta mengambil langkah proaktif ke arah menyelesaikan isu alam sekitar. Perlindungan alam
sekitar melalui amalan-amalan mesra alam sepatutnya menjadi sebahagian daripada aktiviti
seharian kita. Sokongan dan komitmen daripada semua pihak beserta dengan tahap kesedaran
alam sekitar masyarakat yang tinggi akan menjadikan kita mampu untuk mengurus alam sekitar
dengan baik terutamanya dalam tempoh apabila berakhirnya penularan Covid-19.

Rujukan

20

Athena Masson (2020). COVID-19 May Have Temporarily Lessened Our Carbon Footprint.
Retrieved 1st, October 2020 from https://wusfnews.wusf.usf.edu/2020-06-15/covid-19-
may-have-temporarily-lessened-our-carbon-footprint).

Farhan Kamarulzaman (2020). Target emissions reduction for a cleaner planet June 23, 2020.
Retrieved 21st, September 2020 from
https://www.nst.com.my/opinion/letters/2020/06/602755/target-emissions-reduction-
cleaner-planet

Farhan Kamarulzaman (2020). Keperluan mengurangkan pelepasan karbon. Retrieved 21st,
September 2020 from https://www.malaysiakini.com/news/533612

Haliza Abdul Rahman (2020). Menangani isu perubahan iklim melalui gaya hidup lestari.
Retrieved 5th, October 2020 from
https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=1858901

Holy Shaftel (2020). What is the greenhouse effect? Retrieved 4th, October 2020 from
https://climate.nasa.gov/faq/19/what-is-the-greenhouse-effect/.

IPCC (2007). AR4 Climate Change 2007: Synthesis Report, Fourth Assessment Report of the
Intergovernmental Panel on Climate Change. Retrieved 20th, August 2020 from
https://www.ipcc.ch/report/ar4/syr/.

IPCC (2013). Fifth Assessment Report - Climate Change 2013. Retrieved 28th, August 2020
from www.ipcc.ch/report/ar5/wg1/.

Jabatan Alam Sekitar (2015). Akta Kualiti Alam Sekeliling (1974). Retrieved 05th, October
2020 from https://www.doe.gov.my/portalv1/wp-
content/uploads/2015/01/Akta_Kualiti_Alam_Sekeliling_1974_-_ACT_127.pdf

Jabatan Alam Sekitar (2018). Laporan Tahunan 2018. Retrieved 05th, October 2020 from
https://enviro2.doe.gov.my/ekmc/wp-content/uploads/2019/12/Laporan-Tahunan-JAS-
2018-2.pdf

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (2010). Dasar Perubahan Iklim Negara 2019.
Retrieved 12th, September 2020 from
https://www.myasnb.com.my/uh/uhlogin/index?id=520

Ketua Pengarang (2020). Hari Bumi 2020: Teruskan Amalan Budaya Gaya Hidup
Hijau. Retrieved 28th, September 2020 from https://Malaysianview.Com/Hari-
Bumi-2020-Teruskan-Amalan-Budaya-Gaya-Hidup-Hijau/.

Maizar Rahman (2004). OPEC Statement to the 10th Conference of the Parties to the UN
Framework Convention on Climate Change. Retrieved 29th, September 2020 from
https://www.opec.org/opec_web/en/press_room/1722.htm

Ove Hoegh-Guldberg (2018). Impacts of 1.5ºC Global Warming on Natural and Human
Systems 3SM Supplementary Material. The final report was approved at the 48th
Session (Incheon, Republic of Korea 1-5 October 2018). Retrieved 30th, September
2020 from https://www.ipcc.ch/sr15/chapter/chapter-3/

Raimund Bleischwitz (2020). COVID-19: 5 ways to create a green recovery. Retrieved 2nd
October 2020 from https://www.weforum.org/agenda/2020/06/five-ways-to-kickstart-a-
green-recovery/.

Redzuan Muharam (2020), Pendekatan mesra alam penting dalam pemulihan pasca-Covid-
19. Retrieved 2nd October, 2020 from
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/06/586413/pendekatan-mesra-alam-
penting-dalam-pemulihan-pasca-covid-19.

Samadi Hamad (2020). COVID-19 : Kualiti alam sekitar semakin baik ketika PKP. Retrieved
17th, September 2020 from
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/680144/covid-19-kualiti-alam-
sekitar-semakin-baik-ketika-pkp.

21

Suzalina Halid (2020). Tidak terkejut COVID-19 berlaku akibat aktiviti manusia terhadap
alam sekitar - Ahli akademik. Retrieved 3rd, October 2020 from
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/689980/tidak-terkejut-covid-19-
berlaku-akibat-aktiviti-manusia-terhadap-alam.

Tanja Nolten (2018). Actual report Greenhouse gas emissions. Need for changing? Retrieved
13th, October 2020 from https://www.betterworldsolutions.eu/actual-report-greenhouse-
gas-emissions-need-for-changing/.

United Nations (2019). Climate Change. Retrieved 7th September 2020 from
https://www.un.org/en/sections/issues-depth/climate-change/.

United States Environmental Protection Agency (EPA) (2020). Greenhouse Gas Emissions,
Overview of Greenhouse Gases. Retrieved 1st, September 2020 from
https://www.epa.gov/ghgemissions/overview-greenhouse-gases.

World Economic Forum (2020). Strategic Intelligence, Climate Change. Retrieved 23th,
September 2020 from
https://intelligence.weforum.org/topics/a1Gb0000000LHVfEAO?tab=publications

22


Click to View FlipBook Version