The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by pju18_d610, 2019-10-13 03:42:37

PENULISAN AKADEMIK SYAFIQAH

SYAFIQAH PBD

1.0 PENGENALAN

Dunia pendidikan pada masa kini semakin hari semakin mencabar terutama dalam kalangan
para guru. Hal ini kerana, guru-guru terpaksa berhadapan dengan variasi situasi dan ragam
murid yang pelbagai dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) termasuklah masalah
tingkah laku murid. Sesungguhnya, masalah tingkah laku dalam kalangan murid bukanlah
suatu isu yang baharu dalam arena pendidikan. Apakah yang dimaksudkan dengan tingkah
laku bermasalah? Mok (2011) dalam Noor Aini & Norhafizah Abu Hanifah (2015) menyatakan
bahawa tingkah laku bermasalah diklasifikasikan kepada dua iaitu tingkah laku bermasalah
positif dan tingkah laku bermasalah negatif. Antara tingkah laku bermasalah positif
termasuklah proaktif, ingin tahu, cepat belajar manakala tingkah laku bermasalah negatif pula
ialah perlakuan distruktif iaitu tingkah laku anti sosial, disruptif berkaitan tingkah laku
mengganggu dan tingkah laku bergantung yang berlebihan. Dalam konteks pendidikan,
tingkah laku bermasalah merujuk kepaa sebarang tingkah laku yang boleh mengganggu
kelancaran dan keberkesanan proses PdP khususnya di dalam bilik darjah. Sehubungan
dengan itu, guru mestilah peka terhadap permasalah ini supaya dapat dibendung sebelum
menjadi lebih parah. Oleh itu, tugasan kali ini akan membincangkan secara kritis berkaitan
pemilihan model pengurusan disiplin dan intervensi yang sesuai bagi menangani tingkah laku
bermasalah dalam bilik darjah untuk menjadikan murid KBAT.

2.0 ISU TINGKAH LAKU BERMASALAH DALAM BILIK DARJAH

Pengurusan disiplin murid perlulah diberi perhatian berat. Hal ini kerana kadangkala
kesabaran guru juga tergugat dek kerana tingkah laku murid yang mengganggu proses PdP.
Rogers (2004) berpendapat hal ini amatlah membimbangkan guru-guru. Di samping itu,
Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel (2016) menyokong pendapat ini dengan
menyatakan bahawa masalah disiplin dan tingkah laku murid sememangnya mengganggu
PdP, menjejaskan suasana sosioemosi di dalam bilik darjah serta menimbulkan tekanan oleh
guru. Berdasarkan kajian oleh Nur Bahirah Anuual & Mohd Jasmy (2018), tingkah laku
desruptif seperti kurang memberikan perhatian, hiperaktif, pendiam dan tidak menyiapkan
kerja oleh guru juga merupakan antara tingkah laku yang mengganggu proses PdP.
Sehubungan dengan itu, penyataan ini telah dikukuhkan lagi dengan kajian yang telah
dijalankan oleh Tiwi Kamidin (2004) dalam Ridzuan Kamis (2016) iaitu individu yang
mempunyai tingkah laku disruptif akan sentiasa mengganggu dan menjejaskan proses PdP.

Antara salah satu isu yang berkaitan tingkah laku disruptif termasuklah kurang
memberikan perhatian di dalam kelas. Hal ini terjadi kerana murid-murid ini cenderung kepada
mengganggu rakan-rakan mereka yang lain untuk mencari perhatian mereka. Tingkah laku
sedemikianlah yang menjadikan mereka tidak fokus di dalam kelas dan mengganggu proses

1

PdP yang sedang berlangsung. Mereka akan melakukan pelbagai cara untuk menarik
perhatian rakan yang lain. Berdasarkan maklumat yang telah dikumpulkan dengan Cikgu
Norzita daripada SK Bukit Tumbuh, antara perkara yang murid biasa lakukan untuk
mengganggu rakan mereka adalah seperti membaling kertas, pemadam ataupun pensil. Hal-
hal sebeginilah yang akhirnya dapat menjadikan mereka bergaduh sesama sendiri dan tidak
memberikan perhatian di dalam kelas. Kajian kes oleh Shidihas (2017) juga menyokong hal
ini melalui penyataan bahawa pelajar yang mempunyai tingkah laku bermasalah disruptif ini
terdiri daripada mereka yang tidak boleh mengawal diri sendiri dan sentiasa melakukan aktiviti
yang akan mengganggu rakan-rakan yang lain termasuklah membuat bising. Kesan daripada
perbuatan inilah yang akan menjadikan pengurusan bilik darjah sukar untuk dikawal.

Berdasarkan perbualan atas talian dengan pengkaji bernama Zentall S. Sydney
melalui jaringan email, beliau menerangkan bahawa terdapat beberapa punca murid kurang
memberikan perhatian di dalam kelas seperti mempunyai masalah keluarga, mengalami
attention deficit hyperactivity disorder (ADHD), tidak gemar dengan situasi kelas atau cuba
utnuk mengelak daripada guru. Oleh itu, guru perlulah bijak dalam memikirkan cara yang
sesuai untuk mengatasi isu ini daripada terus berlarutan.

Selain itu, isu tingkah laku bermasalah yang lain ialah murid gemar bercakap di dalam
kelas. Hal ini sering terjadi dalam proses PdP iaitu terdapat beberapa orang murid yang suka
bercakap sesama mereka walaupun guru sedang mengajar . Salah satu asbab terjadinya hal
ini ialah murid berasa bosan untuk menumpukan perhatian. Berdasarkan kajian oleh Kaarima
Maazouzi (2017) dalam jurnalnya yang bertajuk ‘Discipline problem in the classroom and its
remedies’, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan murid cepat bosan di dalam kelas.
Hal ini termasuklah, mereka terlalu penat untuk belajar kerana telah belajar berjam-jam
sebelumnya, pengajaran guru yang membosankan, topik yang dipelajari tidak dapat difahami
atau tiada apa yang menarik perhatian mereka. Murid-murid ini gemar untuk bercakap
walaupun ada tugasan yang diberikan. Perbualan mereka juga kadangkala terlalu kuat dan
mengganggu rakan yang lain.

Oleh itu, guru mestilah memberikan peraturan di dalam kelas dan dendaan supaya
murid takut untuk berbuat demikian. Guru tidak boleh marah dan bersikap kasar secara
langsung kepada murid kerana berisiko menjejaskan perkembangan emosi mereka. Walau
bagaimanapun, kebanyakan guru pada hari ini mengenakan hukuman kepada murid tanpa
melihat punca yang menyebabkan mereka berbuat demikian. Oleh itu, guru mestilah
mengambil kira perkara ini supaya murid tidak berasa terkongkong di dalam kelas
menyebabkan mereka tidak gemar berada di dalam suasana pembelajaran.

2

3.0 HUBUNGKAIT PEMILIHAN MODEL PENGURUSAN DISIPLIN DENGAN TINGKAH
LAKU BERMASALAH DALAM BILIK DARJAH

Pemilihan model pengurusan disiplin mestilah dititikberatkan oleh guru. Hal ini kerana
pengaplikasian model yang tepat merupakan salah satu cara bagi menangani isu tingkah laku
bermasalah dalam bilik darjah. Oleh itu, berdasarkan isu yang telah dibincangkan, penulis
telah memilih Model Disiplin Asertif Canter. Model disiplin ini diasaskan oleh Lee and Marlene
Canter pada tahun 1976. Canter merupakan antara penyumbang terbesar kepada
pengurusan bilik darjah kerana telah memperkenalkan konsep hak guru dan murid di dalam
bilik darjah. Terdapat beberapa hubungkait antara pemilihan model ini dengan isu tingkah laku
bermasalah dalam bilik darjah.

Isu-isu yang berkaitan dengan masalah disiplin dalam bilik darjah seperti kurang
memberikan perhatian, gemar bercakap, hiperaktif dan sebagainya sering berlaku kerana
persekitaran dan pengurusan bilik darjah yang tidak kondusif. Tambahan pula, terdapat
sesetengah guru yang hanya mengajar sekadar melepaskan batuk di tangga. Sekiranya hal
ini dibiarkan, maka isu ingkah laku bermasalah akan lebih serius (Johari Talib et. al, 2017).
Perkara sedemikanlah yang menyumbang kepada murid gagal untuk memberikan perhatian
di dalam kelas. Oleh itu, Piffner (2011) menjelaskan guru mestilah mengubah iklim dan
budaya bilik darjah seperti menggunakan teknik pengurusan bilik darjah yang sesuai.
Contohnya, membuat permainan sambil belajar, menyediakan bbm yang menarik dan
menyediakan suasana yang kondusif.

Oleh itu, berdasarkan isu yang telah dibincangkan, model pengurusan disiplin yang
sesuai dengan tingkah laku bermasalah tersebut ialah model dispilin Asertif Canter. Model ini
menjelaskan bahawa Disiplin Asertif dikenali sebagai pendekatan iaitu guru dapat
mengendalikan bilik darjah dengan berinteraksi secara tenang, serius dan konsisten dengan
murid. Penegasan diberikan oleh Canter iaitu murid-murid berhak mendapatkan suasana
pembelajaran yang tenang dan teratur manakala guru pula berhak untuk mengajar tanpa
gangguan. Oleh itu, antara langkah untuk menangani hal ini ialah guru perlu menyediakan
peraturan tingkah laku yang jelas di dalam bilik darjah. Dengan wujudnya peraturan ini, maka
murid tidak berpeluang untuk melakukan hal-hal yang melibatkan masalah tingkah laku.
Berdasarkan perbincangan dengan Cikgu Norzita, peraturan di dalam kelas penting untuk
memastikan kawalan kelas yang sempurna. Guru juga mesti bersifat autokratik, tetapi tidak
pada sepanjang masa. Hal ini hanyalah untuk memastikan murid bersikap menghormati guru
di dalam kelas. Tambahan pula, apabila murid mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,
guru perlu memberikan peneguhan seperti pujian dan penghargaan. Sekiranya murid

3

melanggar peraturan, guru boleh mengenakan peneguhan negatif yang berstruktur supaya
murid berusaha untuk mengelak daripada hukuman tersebut.

Guru perlulah memikirkan dendaan yang sesuai dan bermotivasi untuk mengelakkan
murid gerun dan tidak seronok untuk belajar. Berdasarkan kajian oleh Mohamad Aziz Shah et
al (2011), seseorang guru perlu berhati-hati dalam memberikan peneguhan negatif kepada
murid supaya peneguhan negatif itu dapat dijadikan sebagai motivasi kepada mereka untuk
lebih bertingkah laku positif. Contohnya, sekiranya murid mengganggu rakan yang lain seperti
membaling kertas, maka guru boleh menyuruh murid tersebut datang ke hadapan kelas untuk
menjawab soalan. Dengan itu, untuk mengelakkan perkara tersebut, murid akan fokus dan
menumpukan perhatian di dalam kelas. Kebiasaannya, murid yang kurang memberi fokus
adalah mereka yang dahagakan perhatian daripada orang lain. Selain itu, Canter juga
menegaskan bahawa guru boleh mengatasi isu masalah disiplin murid dengan membawa
perwatakan guru asertif. Guru asertif berupaya untuk menyediakan peraturan yang jelas dan
mudah difahami oleh murid. Tambahan pula, Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel (2016)
menjelaskan peraturan yang dibina perlulah dijelaskan sebabnya kenapa peraturan tersebut
diperlukan. Contoh peraturan yang boleh dibina ialah, ‘tidak dibenarkan membuat bising
ketika guru mengajar’ atau ‘siapa yang membuat bising perlu datang ke hadapan untuk
menjawab soalan’. Guru perlu menjelaskan alasan kenapa peraturan ditetapkan supaya murid
dapat memahami dengan baik dan dapat mematuhi peraturan dengan jelas. Rumusannya,
dapatlah dikatakan bahawa guru yang asertif membantu muridnya untuk memahami tingkah
laku yang dapat membawa kejayaan dan tingkah laku yang menyusahkan membawa kepada
kegagalan.

Selain itu, sistem token juga dapat membantu guru mengatasi isu tingkah laku
bermasalah dalam bilik darjah seperti gemar bercakap semasa guru mengajar. Tambahan
pula, ia menepati model pengurusan disiplin canter kerana tergolong dalam peneguhan
positif. Tujuan utama ekonomi token ini adalah untuk mengggalakkan tingkah laku yang
diinginkan dan mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini. Berdasarkan kajian yang telah
dijalankan oleh Zalina Katman et al (2016), terbukti ekonomi token dapat meningkatkan minat
murid terhadap PdP yang dijalankan di dalam kelas malah turut memberikan impak yang
positif kepada murid. Oleh itu, guru dapat melaksanakan sistem ekonomi token ini di dalam
kelas. Guru perlu menyatakan kepada murid terlebih dahulu tingkah laku yang ingin diubah.
Contohnya, murid perlu diam semasa guru mengajar untuk mengelakkan rakan yang lain
terganggu. Selain itu, kumpulan yang paling fokus dan mampu menjawab soalan semasa guru
bertanya akan mendapat hadiah. Sekiranya murid melakukan peneguhan positif, maka murid
akan menerima token dan pujian manakala sekiranya murid bertindak sebaliknya, murid akan
kehilangan token. Berdasarkan perbincangan bersama Cikgu Norzita, murid sekolah rendah

4

kebiasaannya akan berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik dalam kalangan mereka.
Oleh itu, mereka akan berusaha untuk sentiasa menunjukkan tingkah laku yang positif. Guru
juga boleh memberikan ganjaran kepada murid yang memiliki token dengan jumlah yang
tertinggi sebagai dorongan kepada murid-murid yang lain. Tambahan pula, ganjaran yang
diberikan akan menjadi motivasi yang boleh mengawal perilaku murid untuk berkelakuan
positif dan lebih baik serta konsisten secara berterusan.
4.0 RUMUSAN
Sesungguhnya, seseorang guru itu perlulah sentiasa peka dan bijak dalam mengurus
masalah tingkah laku murid dalam bilik darjah. Hal ini kerana, kawalan perilaku murid di dalam
kelas amatlah penting dalam menjamin keberkesanan proses pelaksanaan PdP. Jika
seseorang murid dapat mengawal tingkah laku bermasalah dalam bilik darjah, maka mereka
akan dapat belajar dengan lebih berkesan. Secara umumnya, terdapat pelbagai model
pengurusan disiplin yang dapat diaplikasikan oleh seeorang guru dalam mengatasi isu ini.
Walau bagaimanapun, guru mestilah peka dengan permasalahan yang dihadapi supaya
kawalan dapat dilakukan secara efektif. Sekiranya seseorang guru itu hanya memandang
enteng akan isu ini, maka akan wujud permasalahan yang serius semasa proses PdP. Guru
yang hebat adalah guru yang bukan sahaja dapat mengajar di dalam kelas, tetapi mampu
menarik minat murid untuk sentiasa memberi fokus di dalam kelas. Oleh itu, seseorang bakal
guru mestilah mendalami aspek pengurusan bilik darjah dengan baik termasuklah berkaitan
isu tingkah laku bermasalah dalam bilik darjah dan model pengurusan disiplin sebagai langkah
dan persediaan awal sebelum berhadapan dengan situasi sebenar di dalam bilik darjah.
Tuntasnya, seorang guru yang hebat mestilah berupaya untuk mengembangkan modal insan
yang menjurus ke arah pembangunan individu yang seimbang daripada aspek JERIS di
samping membentuk disiplin yang tinggi dalam kalangan murid selaras dengan Falsafah
Pendidikan Negara.

5

RUJUKAN
Haliza Hamzah & Samuel, J., N. (2016). Pengurusan bilik darjah dan tingkah laku. Kuala

Lumpur: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Johari Talib, Maharam Mamat, Maznah Ibrahim & Zulkifli Mohamad. (2017). Perbaikan

tingkah laku bermaslaah kanak-kanak sekolah rendah melalui terapi kognitif-tingkah
laku. Southest Asia Psychology Journal, 5, 1-11.
Karima Maazouzi. (2017). Discipline problem in the classroom and its remedies. London
Journals of Research in Humanities and Social Science, 17(3), 63-73.
Mohammad Aziz Shah, Fauziah Said, Norhidayah Jaapar, Khairiyah Ali & Hananie Adzthar.
(2014). Faktor, kesan, strategi menangani permasalahan kurang tumpuan pelajar
sekolah menengah di dalam satu kelas. suatu kajian kualitatif, 47-81.
Noor Aini Ahmad & Norhafizah Abu Hanifah. (2015). Tahap penguasaan guru pendidikan khas
apabila mengurus tingkah laku pelajar bermasalah pembelajaran. Asia Pacific Journal
of Educators and Education, 30, 73-88.
Nurul Bahirah Annual & Mohd Jasmy Abd Rahman. (2018). Tingkah laku desruptif dalam
kalangan pelajar. Prosiding seminar kebangsaan majlis dekan pendidikan universiti
awam, 563-570.
Piffner , L. J. (2011). All about ADHD: The complete practical guide for classroom teachers
(2nd edtiton). New York: Scholastic.
Ridzuan Kamis. (2016). Cegah sikap desruptif sebelum jadi deskruptif. Majalah Pendidik:
Terbitan Nivember 2016.
Rogers, B. (2004). How to manage children's challenging behaviour. London: A Paul
Chapman Publishing.
Shidihas. (2017). Tingkah laku bermasalah. Satu kajian kes, 1-5.
Zalina Katman, Mohd Hanafi Yasin & Mokhtar Tahar. (2016). Penggunaan peneguhan positif:
pujian dan token ekonomi untuk modifikasi tingkah laku murid. Prosiding seminar
modfikasi tingkah laku peringkat negeri Johor. Universiti Kebangsaan Malaysia. 16
Ogos.

6

LAMPIRAN
Temu bual atas talian: email bersama Zentall S Sydney, United States

7

Temu bual atas talian: whatsapp bersama Cikgu Norzita di SK Bukit Tumbuh, Kuala
Terengganu

8


Click to View FlipBook Version