KEISTIMEWAAN
MALAYSIA
SEBAGAI
DESTINASI
PELANCONGAN
Salah satu sektor yang menyumbang kepada kerancakan ekonomi di Malaysia
adalah sektor pelancongan. Saban hari, jumlah pelancong yang masuk ke dalam
negara semakin meningkat dari tahun ke tahun. Industri pelancongan negara kini
menjadi penyumbang keenam terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan
sejumlah RM 161 bilion atau 14.9 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) pada tahun 2014 berdasarkan petikan akhbar Berita Harian Online bertarikh
17 Oktober 2015. Angka tersebut telah melebihi jangkaan 8.1 juta orang pelancong
yang diramalkan akan datang ke Malaysia pada tahun tersebut. Statistik tersebut
menunjukkan bahawa pelancongan mempunyai potensi yang besar untuk
dikembangkan dan kekal menjadi penyumbang kepada ekonomi negara.
Persoalannya, apakah sebab-sebab para pelancong memilih Malaysia sebagai
destinasi pelancongan mereka?
Antara sebab utama Malaysia menjadi pilihan dalam kalangan pelancong
khususnya pelancong asing adalah kerana kekayaan semula jadi yang terdapat di
serata negara. Tanah air kita terletak di garisan khatulistiwa yang memberikan iklim
berbeza berbanding negara-negara di Eropah, Amerika dan Asia Barat. Kebanyakan
mereka gemar mengunjungi Malaysia pada musim sejuk atau musim panas kerana
cuaca di Malaysia memberikan suasana yang disukai oleh mereka. Kerajaan Malaysia
bertindak proaktif dengan mewartakan taman-taman negara yang kaya dengan
keindahan alam semula jadi serta menjadi penyumbang kepada industri pelancongan.
Pengunjung dari luar negara akan melancong di taman-taman negara seperti Taman
Negara Pahang yang merangkumi hutan belantara, gunung-ganang, sungai serta
pelbagai flora dan fauna. Di samping menikmati keindahan alam yang tidak didapati
di negara lain, pelancong dapat melakukan pelbagai aktiviti seperti mendaki gunung,
memancing, berkhemah dan pelbagai lagi. Pengalaman menghabiskan masa dikelilingi
alam semula jadi menjadi antara tarikan utama pelancong ke Malaysia.
Sebab lain pelancong memilih Malaysia sebagai negara yang ingin dikunjungi adalah
dikelilingi dengan pulau-pulau serta pantai yang indah. Kekayaan alam semula jadi di
tanah air kita bukan sahaja terletak di daratannya sahaja malah di kawasan laut juga
memberikan pelbagai kecantikan alam semula jadi yang kita boleh nikmati. Misalnya,
Pulau Tioman di Pahang dan Pulau Sipadan di Sabah yang menjadi tumpuan pelancong
kerana keindahan pantai serta terumbu karang yang menjadikan aktivti menyelam
atau skuba lebih menarik. Bahkan di Malaysia, mereka bukan sahaja boleh
mengunjungi dua atau tiga pulau tetapi mereka boleh melawat hampir 30 buah pulau
yang memberikan suasana pelancongan yang menarik. Selain itu, pantai-pantai di
sekeliling Semenanjung Malaysia tidak kurang cantiknya. Pelancong dapat menikmati
angina sepoi-sepoi bahasa sambil memakan juadah tradisional masyarakat Malaysia
seperti Ikan Celup Tepung dan Sata yang popular di negeri pantai timur.
Dari sudut pandang yang lain, Malaysia menjadi pilihan pelancong adalah kerana
kemudahan infrastruktur yang kondusif. Sebelum memilih destinasi pelancongan,
mereka tentunya mencari kaedah pengangkutan yang selesa dan menawarkan
perkhidmatan yang terbaik. Pujian harus diberi kepada industri pengangkutan negara
seperti syarikat-syarikat penerbangan yang berjaya menjadi ejen keunikan negara di
mata dunia. Dengan perkhidmatan mereka yang bertaraf dunia, pelancong berasa
selesa melancong dan sampai ke destinasi yang ditujui dengan selamat. Jaringan
lebuh raya dan rel seperti sistem transit aliran ringan (LRT), komuter, dan monorel
juga menyenangkan mobiliti para pelancong. Tambahan pula, jaringan komunikasi
yang menyediakan perkhidmatan internet di kawasan tumpuan pelancong juga
memberikan nilai tambah kepada kawasan tersebut. Pelancong boleh berehat dan
juga tidak ketinggalan dengan urusan kerja di mana internet merupakan sumber
utama jaringan komunikasi ke seluruh pelusuk dunia. Hasil infrastruktur yang
kondusif dan bertaraf dunia, lebih ramai pelancong akan datang berkunjung ke
kawasan-kawasan pelancongan di seluruh negara.
Pelancong-pelancong gemar melancong di Malaysia adalah kerana kekayaan budaya
dan sejarah masyarakat berbilang kaum yang kita miliki. Umum sedia maklum,
kemajmukan masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain hidup bersama menjadi
satu tarikan kepada para pelancong kerana kebanyakan budaya yang dikongsi
bersama. Tamsilnya, penganjuran rumah terbuka pada hari perayaan menjadi simbol
perpaduan masyarakat di Malaysia seperti ketupat, rendang, hidangan kaum India
seperti kari, tosei sehingga hidangan Cina seperti yee sang dan kuih bulan. Pelancong
juga dapat mengunjungi muzium dan memorial untuk mengenali dengan lebih
mendalam mengenai sejarah, budaya dan tradisi masyarakat tempatan. Tidak
dinafikan, keramahan dan budi bahasa tinggi yang ditunjukkan oleh masyarakat
Malaysia dijadikan sebagai nilai tambah kepada industri pelancongan negara
menyebabkan pelancong gemar untuk berkunjung ke negara ini.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai sebab utama yang menjadikan Malaysia sebagai
pilihan pelancong khususnya pelancong asing. Siapa sangka aktiviti makan angin yang
ditawarkan di kawasan perkampungan turut menjadi penyumbang utama ekonomi
negara. Oleh itu, pihak kerajaan seharusnya menyusun dasar dan strategi terbaik
dalam mengembangkan industri pelancongan di samping memelihara kekayaan alam
semula jadi. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia juga merupakan inisiatif yang baik
untuk dianjurkan kerana ia menggalakkan pemain industri ini untuk turut bersama
dalam menaikkan nama negara di persada dunia. Ibarat peribahasa Melayu, kalau
tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
TTAAMMAATT