HAMKA ADLI
Nama saya Hamka. Saya mempunyai dua orang adik iaitu Haris dan Hana. Setiap kali pulang ke kampung, saya pasti gembira kerana akan berjumpa Atok. “Atok! Tunggu Hamka sampai.”
Atok akan membelikan kami buku cerita. Atok juga akan membawa kami ke kedai dan belikan kami ais-krim. Atok sangat baik hati.
Pada waktu petang, atok mengajar saya menunggang basikal. Saya juga akan membantu atok menyiram pokok bunga
Atok akan mengajar saya mengaji selepas kami solat Maghrib berjemaah. “Kita mesti membaca AlQuran pada setiap hari. Barulah Allah sayangkan kita,” pesan Atok
Selepas makan malam, Atok akan bercerita kisah Nabi dan haiwan teladan kepada saya dan adik - adik. Kami sangat gembira dan suka mendengar cerita atok yang penuh dengan nasihat.
“Hamka dan adik-adik jangan bergaduh. Adik-beradik kena saling menyayangi. Sentiasa tolong-menolong dan dengar cakap mama abah. Kalau nak tenang dalam hidup, hamka kena ingat tiga pesanan ini. Pertama, jangan mengambil hak orang. Kedua, jangan aniaya orang dan ketiga jangan menyusahkan orang,” nasihat atok. “Hamka akan ingat pesan atok.” Saya memeluk atok erat-erat.
“Hamka, dah siap ke? Semua orang sedang menunggu kamu ni.” Ketukan pintu dan suara mama menghentikan lamunan saya.
Saya bergegas keluar dari bilik. Kami memulakan perjalanan pulang ke kampung untuk menziarahi jenazah Atok. Menurut abah, Atok meninggal dunia kerana terjatuh.
Air mata mengalir laju di pipi saya. Semuanya tinggal kenangan. Begitu cepat Atok meninggalkan kami semua. Atok menghembuskan nafas terakhir pada 29 Oktober 2016 pukul 6.30 petang. Hanya kiriman doa yang dapat saya hadiahkan kepada atok setiap hari.
Banyak sungguh kenangan saya bersama atok. Semuanya akan menjadi kenangan terindah dan kekal selamanya dalam ingatan saya. Hamka sayang atok.