KEUNIKAN SENI BINA KEUNIKAN SENI BINA MASJID AL-HUSSAIN MASJID AL-HUSSAIN SEJARAH LISAN DAN PENDOKUMENTASIAN SJHK3223 INSTITUT PENDIDIKAN GURU Kementerian Pendidikan Malaysia
1 KANDUNGAN KANDUNGAN MUKA SURAT PENGHARGAAN i SENARAI AHLI KUMPULAN ii 1.0 PENGENALAN 1-2 SENI BINA MASJID AL-HUSSAIN 2.0 Latar belakang Masjid Al Hussain, Kuala Perlis 3 2.1 Seni Bina Masjid Al Hussain 4-8 2.2 Keunikan Seni Bina Masjid Al Hussain 8-10 MENJEJAK ORANG SUMBER 3.0 MAKLUMAT BERKAITAN ORANG SUMBER 3.1 Latar Belakang Orang Sumber 11 4.0 PENUTUP 12 RUJUKAN 13 LAMPIRAN 14-24
i PENGHARGAAN Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kami berjaya menyiapkan tugasan pentaksiran berterusan ini dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Dalam kesempatan ini, kami ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada puan Siti Rodziyah binti Nyan selaku pensyarah kursus Sejarah Lisan iaitu SJHK3223 di atas bimbingan dan tunjuk ajar yang beliau berikan maka dapatlah kami menyiapkan tugasan ini dengan sempurna. Selain itu, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan seperjuangan yang sudi menyumbang tenaga serta meluangkan masa dalam membantu dan memudahkan urusan kami untuk menyiapkan tugasan ini. Ucapan terima kasih ini turut ditujukan kepada orang sumber di atas kesudian mereka untuk berkongsi maklumat dan memudahkan urusan pengumpulan bahan sepanjang menyiapkan tugasan ini. Akhir sekali, tidak terlupa juga penghargaan terima kasih ini turut ditujukan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun secara tidak langsung diatas perkongsian maklumat dan sumbangan tenaga yang diberikan sepanjang melaksanakan kajian untuk menyiapkan tugasan ini. Semoga setiap jasa baik dan bantuan yang mereka berikan dibalas oleh Allah SWT dengan balasan yang lebih baik. Kami berharap agar penulisan ini dapat dijadikan rujukan dan memberi manfaat untuk semua bagi menelusuri keunikan seni bina Masjid AlHussain yang telah kami hasilkan. Sekian, terima kasih.
S E J A R A H L I S A N D A N P E N D O K U M E N T A S I A N S J H K 3 2 2 3 N U R N A JMI N A B I N TI MO H D N A S I R P I SMP AMB IL A N J U N 2 0 2 2 P E N G K H U S U S A N B A H A S A ME L A Y U S ITI MA R Y AM B I N TI K AMA R U Z AMA N P I SMP AMB IL A N J U N 2 0 2 2 P E N G K H U S U S A N B A H A S A ME L A Y U SENARAI AHLI KUMPULAN N U R F A Z IL A H B I N TI MA T R A H IM P I SMP AMB IL A N J U N 2 0 2 2 P E N G K H U S U S A N B A H A S A ME L A Y U IINNSSTTIITTUUTT PPEENNDDIIDDIIKKAANN GGUURRUU KKAAMMPPUUSS PPEERRLLIISS
1 1.0 PENGENALAN Menurut Rozeman Abu Hassan (2004), istilah sejarah merupakan kajian terhadap peristiwaperistiwa lalu khususnya yang melibatkan hal ehwal manusia. Sejarah lisan merupakan suatu kaedah penyelidikan sejarah, kaedah yang digunakan oleh penyelidik dalam mengumpul sumber sejarah berbentuk lisan sebagai suatu cara melengkapkan rekod bertulis (Nadzan Haron,2012). Sejarah lisan ini amatlah penting bagi merekod atau mengetahui sesuatu peristiwa sejarah yang berlaku dan dapat diiktiraf sebagai sejarah kerana mempunyai bukti-bukti yang kukuh dan dipelihara. Tujuan sejarah lisan ini ialah untuk mengumpulkan memori pengalaman orang sumber yang mempunya nilai signifikan dan menyaksikan peristiwa dalam isu sejarah tersebut. Oleh hal yang demikian, sejarah lisan dapat menghasilkan sebuah dokumen lisan dari keterangan orang sumber pertama, keterangan saksi mata, keterangan kata dengar atau tradisi lisan dalam bentuk rakaman atau transkrip. Secara umumnya, rakyat Malaysia mestilah sudah sebati dengan kelihatan masjid yang berada di setiap negeri, setiap daerah, setiap kampung malah berada di setiap hampir setiap lima kilometer terdapat sekurang-kurangnya satu masjid. Kita dapat lihat kepelbagaian seni bina masjid yang telah dibina berinspirasikan pelbagai idea-idea yang sangat bernas dan indah ciptaannya untuk melaksanakan ibadat bagi masyarakat beragama Islam. Masjid adalah sebuah institusi yang amat penting dalam pembangunan Islam dan umatnya. Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. selepas berhijrah dari Makkah ke Madinah adalah membina sebuah masjid yang diberi nama Masjid Quba'. Masjid telah menjadi tempat ibadah kepada seluruh umat Islam dan merupakan pusat penyebaran dakwah dan ilmu-ilmu Islam. Solat berjemaah, pengajian agama dan juga perhimpunan keagamaan juga turut diadakan di masjid. Seperti yang diketahui, kebanyakan seni bina yang dibina mempunyai seni-seni tersendiri serta makna yang ingin disampaikan daripadanya. Seni bina yang dipilih dalam dokumentasi ini adalah seni bina Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis yang menjadi salah satu tarikan pelancong dan tempat menunaikan ibadah utama bagi penduduk setempat. Masjid ini merupakan hasil daripada sumbangan penuh oleh seorang usahawan berjaya di Malaysia iaitu Tan Sri Ariffin Yusuf. Masjid ini merupakan suatu binaan masjid terapung yang dibina berhampiran dengan Jeti Kuala Perlis. Masjid ini telah dibina di tepi pantai Kuala Perlis menghadap laut Selat Melaka. Ia mengambil masa selama 4 tahun untuk siap sepenuhnya dan dibuka pada 8 Oktober 2011.
2 Oleh itu, bagi memenuhi kehendak soalan pentaksiran berterusan kedua bagi subjek Sejarah Lisan dan Pendokumentasian yang telah ditetapkan, tugasan untuk mengetahui seni bina Masjid Al Hussain berjaya didokumentasikan dengan menggunakan kaedah sejarah lisan. Pendokumentasian ini memfokuskan kepada struktur sebenar bahagian fizikal daripada seni bina Masjid Al Hussain tersebut. Tanpa sebuah dokumentasi dan kajian yang komprehensif dalam merungkai makna disebalik seni bina yang ingin disampaikan pada Masjid Al- Hussain ini maka pada akhirnya khalayak akan memberikan interprestasi yang kurang tepat kerana tiada penjelasan yang terperinci bagaimana sebenarnya unsur seni bina masjid ini. Maka salah satu usaha yang dilakukan bagi merekod kesemua fakta berkait dengan seni bina masjid ini adalah dengan menggunakan kaedah sejarah lisan. Kaedah sejarah lisan ini memerlukan orang sumber untuk mengumpul maklumat berkaitan dan kami telah mengenal pasti individu yang sesuai untuk dijadikan sebagai orang sumber untuk mendapatkan maklumat tersebut.
LATAR BELAKANG MASJID AL-HUSSAIN
3 2.0 LATAR BELAKANG MENGENAI MASJID AL HUSSAIN, KUALA PERLIS Sebelum menelusuri latar belakang Masjid Al Hussain ini, sudah pasti kita perlu mengenai negeri perlis terlebih dahulu. Jadi, seperti yang diketahui bahawa negeri Perlis atau Indera Kayangan ini dikenali sebagai negeri yang paling ‘bongsu’ jika hendak dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang terdapat di Malaysia. Perkara ini bertepatan dengan keluasan yang dimiliki iaitu negeri perlis mempunyai keluasan kira-kira 810 kilometer persegi dan terdiri daripada tiga jajahan iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar. Ibu negeri bagi negeri Perlis ini adalah berpusat di bahagian Kangar manakala Arau amat sinonim dengan bandar diraja dan Padang Besar pula terkenal sebagai syurga membeli-belah utama di Perlis. Pada mulanya, hasrat untuk membina masjid ini telah dihajati oleh arwah Datuk Dr. Mohd. Hussain, namun belum sempat beliau menunaikan hasrat tersebut, beliau telah meninggal dunia pada sekitar tahun 1999. Hasrat tersebut telah disambung oleh adiknya iaitu Tan Sri Mohd Ariffin Yusuf serorang ahli perniagaan perubatan. Oleh kerana itulah selepas siap dibina, masjid itu dinamakan sempena nama abangnya itu. Beliau juga mendirikan masjid ini diinspirasikan oleh bapanya yang juga membina masjid sebelum kewafatannya sebagai salah satu peninggalan amal jariah. Di samping itu, Masjid Kuala Perlis ini merupakan masjid yang telah diilhamkan oleh Raja Muda Perlis, iaitu Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalulail dan menjadi ikon baru di Kuala Perlis.
SENI BINA MASJID AL-HUSSAIN
4 2.1 SENI BINA MASJID AL HUSSAIN Gambar keseluruhan Masjid Al Hussain daripada luar. Secara umumnya, pembinaan masjid dapat dikaitkan dengan salah satu unsur daripada kesenian Islam. Unsur kesenian Islam ini memang tidak dapat dinafikan kerana Islam juga mempunyai peranan dalam perihal kesenian yang merangkumi bidang seni bina. Menerusi seni bina, ekspresi pemikiran manusia itu dapat diterjemahkan dan dilihat mengandungi sejarah yang mampu dijadikan sumber pengetahuan mengenai sesebuah masyarakat. Ekspresi pemikiran manusia ini merupakan satu manifestasi kekuatan rohani yang hidup di kalangan bangsa-bangsa iaitu setiap bangsa yang mencapai kemajuan pasti memiliki kepintaran ilmu bangunan. Merujuk kepada perihal seni bina sesebuah masjid, masjid adalah merupakan tempat rujukan untuk melihat seni bina Islam berkembang dari masa ke masa kerana seni adalah salah satu elemen yang terkandung dalam lingkungan budaya. Hasil seni masjid boleh dilihat menerusi bentuk fizikal seperti tulisan-tulisan yang diukir yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran dan seni yang ada pada kubah masjid tersebut. Jika diteliti, antara konsep utama yang dibawa dalam seni bina Islam adalah untuk membangkitkan rasa damai, aman dan merendahkan diri kepada yang Maha Esa dan justeru itu pengagungan dan perhiasan semata-mata bukan menjadi matlamat seni bina Islam kerana yang penting sebagai satu kemudahan kepada umat Islam untuk melaksanakan ajaran Islam itu sendiri. Ia dilahirkan hasil kreativiti dan inovasi umat, para arkitek muslim dan lain -lain dengan
5 menggabungkan nilai seni bermutu tinggi dengan penggunaan warna, corak dan reka bentuk yang bertunjangkan ajaran Islam. Misalnya, bahagian dalam kubah masjid Al Hussain ini diukir indah dalam gaya Ganch iaitu bentuk seni Islam kuno dari Uzbekistan. Ukiran indah ini diukir dengan pelbagai reka bentuk bunga dan geometri biru terang bagi menonjolkan seni ukiran yang ada pada kubah tersebut. Dalam pemilihan reka bentuk, kita dapat melihat bahawa kubah masjid Al Hussain sangat unit iaitu rekaannya berbentuk bintang berbucu lima yang mewakili lima rukun Islam ditulis dalam lima bahasa berbeza, termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Cina dan Tamil, di bahagian bawah kubah bahagian dalam, manakala frasa Allah diukir bulat di bahagian atas kubah masjid ini. Bahagian luaran bentuk kubah Masjid Al Hussain Kubah ini merupakan salah satu binaan yang penting dalam setiap seni bina masjid dan penggunaan kubah pula berdasarkan kepada budaya dan keadaan sesuatu tempat yang dilihat berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Kubah ini juga berfungsi sebagai siling bagi melindungi kesejukan dan kepanasan selain berfungsi sebagai simbol lengkungan langit dan pusatnya yang mengaitkan kewujudan alam kepada Yang Maha Esa. Melihat kepada ciri luaran utama yang ditonjolkan pada seni bina Masjid Al Hussain ini ada pada kubahnya. Jika diperhati,
6 bahagian luaran kubah masjid ini diwarna dengan warna kuning keemasan beserta motif biru yang sinonim dengan warna rasmi negeri Perlis itu sendiri. Kubah tersebut mempunyai keunikan yang tersendiri kerana binaannya diperbuat daripada dua lapisan aluminium dan diselaputi dengan lapisan polyvinyl double fluoride (PVDF) yang diimport khas dari negara Jepun. Gambar binaan dinding Masjid Al-Hussain Bagi melahirkan unsur alami dalam seni bina pada masjid ini yang diadaptasikan oleh faktor persekitarannya yang berlatar-belakangkan pantai dan lautan, binaan dinding masjid Al Hussain ini menggunakan batu-batuan jenis koral, kuartz, granit, marmar dan pebbles sebagai bahan kemasan bagi menggantikan fungsi cat. Batu granit yang menghiasi Masjid Al Hussain ini adalah berwarna kelabu. Fungsi penggunaan bahan kemasan ini adalah untuk menyerlahkan konsep masjid yang mesra alam manakala penggunaan cat bagi mengindahkan struktur masjid Al Hussain tidak sampai 10 peratus iaitu hanya meliputi bahagian siling masjid sahaja. Faktor utama masjid Al Hussain ini tidak dihias dengan sebarang warna dari cat secara keseluruhan pada dinding masjid adalah kerana lokasinya yang berhadapan lautan akan membuatkan cat terhakis dengan mudah.
7 Gambar ruang solat utama Masjid Al- Hussain Dalam dewan solat pula, terdapat kemudahan penghawa dingin yang pastinya mendinginkan persekitaran dalaman masjid supaya membangkitkan rasa keselesaan untuk beribadah. Dewan solat ini merupakan bahagian utama dan ruangan terbesar dalam masjid Al Hussain ini iaitu terletak di bahagian tengah masjid yang memanjang menghadap kiblat. Keluasan ruang solat masjid al Hussain yang tersergam indah dengan menampilkan rekaan seni bina Islam berciri moden resort tropika ini mampu memuatkan hingga 1500 jemaah dalam satu-satu masa. Secara keseluruhan ruang solat masjid ini dilengkapi permaidani yang direka khas dari Mesir bagi memberikan keselesaan dan kelembutan baldunya kepada para jemaah untuk menunaikan ibadat dengan selesa. Bahagian dinding masjid Al Hussain ini juga didatangi dengan tingkap yang luas serta dilengkapi cermin kaca berlukis yang diimport khas dari Amerika Syarikat bagi menyerlahkan lagi keindahan ruangan dalaman masjid ini. Masjid ini juga merupakan binaan yang tahan lasak dan mudah dijaga kerana batu-batuan yang berkualiti merupakan bahan utama yang digunakan dalam seni bina ini menyebabkan dinding-dinding masjid tersebut tidak mudah rosak dan tidak mudah terhakis apabila terkena pukulan ombak pantai yang boleh menjadi salah satu punca sesebuah binaan mudah rosak dan roboh. Di bahagian dataran masjid Al Hussain ini pula telah didirikan sebuah wakaf yang berfungsi sebagai tempat berehat bagi pengunjung dan jemaah masjid. Dengan ini, para jemaah
8 dan pengunjung berpeluang menikmati pemandangan luar masjid yang dan juga boleh berehat di sepanjang tembok sambil menghadap ke laut. Terdapat tiga batang pokok kurma yang didatangkan khas dari Tanah Arab diletakkan di laman masjid ini. Hal ini secara tidak langsung dapat menimbulkan satu suasana seperti di negara Arab untuk memberi kelainan kepada para pengunjung. 2.2 KEUNIKAN SENI BINA MASJID Al HUSSAIN Gambar menara puncak berkembar berbentuk heksagon Masjid Al Hussain Selain itu, masjid ini memiliki beberapa keunikan tersendiri dalam seni binaannya yang terapung di atas air. Masjid terapung ini memiliki menara puncak berkembar berbentuk heksagon atau segi enam pertama di dunia. Puncak menara yang berbentuk heksagon ini adalah melambangkan Rukun Iman dan ketinggian keseluruhan menara ialah 31.3 meter(m) termasuk puncak berkembar yang masing-masing memiliki ketinggian 7.1 meter (m). Menara masjid ini dianggap unik kerana lampu indikator yang dipasang dengan warna tertentu seperti merah, biru, putih dan hijau akan dinyalakan sebagai penanda masuk waktu solat. Pancaran ini akan dinyalakan pada setiap kali masuk waktu solat khusus Maghrib, Isyak dan Subuh. Oleh kerana bentuk demografi masjid ini berlatarbelakangkan pantai dan laut, para nelayan dan petugas-petugas di laut dapat mengenal pasti masuknya waktu solat melalui petanda daripada pancaran cahaya yang
9 dinyalakan yang memudahkan mereka berada di laut menunaikan solat. Menara berkembar masjid ini diserikan lagi dengan adanya warna-warna lampu tersebut. Lampu biru menandakan waktu Solat Subuh dan Solat Maghrib manakala hijau adalah Solat Isyak. Menara tersebut boleh dilihat dari jarak 10 kilometer. Bagi memasuki masjid tersebut, para jamaah akan melintasi sebuah jambatan sepanjang 50 meter yang menghubungkan daratan dan bangunan masjid tersebut sebelum sampai ke ruang dalam masjid. Gambar reka bentuk dalaman kubah masjid Al- Hussain Selain itu, batuan dinding masjid yang tertera tulisan ayat-ayat suci al-Quran turut mewujudkan kesinambungan nilai-nilai Islam dalam seni dekoratif masjid. Tulisan tersebut kebanyakannya menggunakan kaligrafi kufi iaitu seni ukiran dari Uzbekistan dengan tukangnya didatangkan dari negara tersebut. Seni kaligrafi kufi ayat-ayat suci al-Quran yang terdapat pada batuan dinding masjid ini berfungsi untuk melahirkan keharmonian kepada sesiapa yang beribadat di dalamnya dan menarik jemaah untuk berkumpul dalam satu kesatuan ibadat untuk mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Esa. Reka bentuk dalaman kubah masjid begitu indah merupakan antara tarikan utama dalam ruang solat dengan rekaan corak bunga-bungaan dan
10 geometri berwarna biru serta keemasan dalam ukiran Ganch daripada seni Islam Uzbekistan zaman silam. Di puncak dalaman kubah tersebut membulat diukir kalimah Allah sementara bahagian bawahnya bercorak bintang lima penjuru yang melambangkan lima Rukun Islam yang ditulis dalam lima bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Cina dan bahasa Tamil. Masjid ini juga boleh dilawati oleh orang bukan Islam kerana salah satu fungsinya adalah sebagai produk tarikan pelancongan negeri Perlis. Orang bukan Islam dapat melihat kecantikan dan keunikan yang hanya dapat dilihat daripada sebuah masjid yang lain seni binanya daripada masjid yang lain. Menariknya fakta berkaitan masjid Al Hussain ini ialah merupakan salah satu ikon baru di Kuala Perlis yang telah diilhamkan oleh Raja Muda Perlis, iaitu Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalulail.
MENJEJAK ORANG SUMBER
11 3.0 MAKLUMAT BERKAITAN ORANG SUMBER 3.1 Latar Belakang Orang Sumber Puan Azlina binti Othman merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Masjid Al Hussain, Kuala Perlis bagi sesi tahun 2023. Beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah dan sekarang menetap di Kuala Perlis sejak tahun 2010. Ketika ini, beliau berumur 46 tahun dan mempunyai 3 orang cahaya mata yang sangat disayangi. Beliau memegang jawatan sebagai timbalan pengerusi lajnah dan hal ehwal muslimat bagi masjid ini. Itulah serba sedikit pengenalan yang diujarkan tentang diri beliau kepada pengkaji. “...Saya berasal dari Kedah dan sekarang menetap di Kuala Perlis sejak tahun 2010 lagi. Saya merupakan ibu kepada 3 orang anak…” -Puan Azlina, 2023-
12 4.0 PENUTUP Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa tugasan ini dapat dihasilkan dengan jayanya. Masjid Al-Hussain ini bukan sahaja merupakan sebuah tempat ibadah semata-mata malah merupakan ikon bagi negeri Perlis yang dapat menarik minat banyak pengunjung dari luar negeri serta luar negara untuk singgah di masjid ini bagi mengamati keindahan seni binanya serta melakukan ibadah dengan selesa. Selain itu, dapat dirumuskan juga bahawa nama Masjid AlHussain ini diilhamkan daripada nama saudara lelaki seorang ahli perniagaan perubatan yang terkenal di Malaysia yang telah pulang ke rahmatullah. Penamaan masjid ini dilakukan adalah untuk meneruskan dan menunaikan hasrat arwah sebelum meninggal dunia iaitu untuk membina sebuah masjid. Di samping itu, menjurus ke arah konklusi yang seterusnya pula, masjid ini memiliki banyak keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri. Antaranya ialah masjid ini memiliki konsep seni bina yang menekankan konsep natural. Latar belakang masjid ini merupakan persekitaran perairan pantai dan laut. Hal ini menambahkan lagi unsur alam pada persekitaran masjid tersebut di samping terdapat beberapa pohon kurma yang ditanam di sekitarnya. Masjid ini juga sering mendapat perhatian orang ramai kerana suasana langit apabila matahari terbenam begitu cantik dan indah sekali. Akhir sekali, dapat dirumuskan bahawa Puan Azlina binti Othman merupakan orang sumber yang banyak memberi informasi kepada pengkaji untuk menyiapkan tugasan ini. Oleh kerana beliau merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Masjid Al-Hussain ini, banyak perkongsian yang diberikan oleh beliau mengenai latar belakang serta keistimewaan masjid ini secara terperinci dan mendalam.
13 RUJUKAN Azlina binti Othman. (2023). Temubual (orang sumber). Timbalan pengerusi lajnah dan hal ehwal muslimat. Perlis: Masjid Al- Hussain Nadzan Haron. (2012). Panduan penyelidikan & pendokumentasian Sejarah Lisan. Persatuan Sejarah Malaysia. Rozeman Abu Hassan. (2004). Mengenali dan mentafsir sumber-sumber sejarah. Shah Alam: Karisma Pub.
14 LAMPIRAN TRANSKRIPSI BERKAITAN MASJID AL HUSSAIN Transkripsi Teks Temubual bersama Puan Azlina, Timbalan Pengerusi Lajnah dan Hal Ehwal Muslimat dan Keceriaan di Masjid Al Hussain Penemu bual Assalamualaikum W.B.T kepada puan Azlina. Pertama nya, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana puan sudi meluangkan masa untuk diwawancara untuk disimpan wawancara ini bagi rujukan untuk menyiapkan tugasan pentaksiran berterusan kami ini. Terlebih dahulu saya ingin memperkenalkan diri sekali lagi, saya merupakan pelajar elektif sejarah semester dua tahun pertama dari Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis. Tujuan saya hari ini adalah untuk melakukan sesi temubual bersama orang sumber bagi melengkapkan tugasan pentaksiran sejarah lisan dan pendokumentasian. InsyaAllah dalam temubual ini kita akan bercakap tentang bukan sahaja seni bina Masjid Al Hussain Kuala Perlis malah latar belakang dan organisasi masjid ini. Baiklah pada pagi ini kita akan memulakan wawancara dengan mengetahui serba sedikit tentang latar belakang puan serta puan boleh ceritakan secara umum tentang masjid ini kepada kami terlebih dahulu. Kalau boleh, puan boleh mulakan dengan menyatakan nama penuh dan menetap di mana? Puan Azlina Assalamualaikum W.B.T, terima kasihlah ya kerana sudi menemu ramah dengan saya. Nama saya puan Azlina binti Othman atau orang panggil saya kak(kakak) lina atau kak (kakak) Az. Saya berasal dari Kedah dan sekarang menetap di Kuala Perlis sejak tahun 2010 lagi. Saya merupakan ibu kepada 3 orang anak. Cuba teka umuq (umur) saya? Haa umuq (umur) saya 46 tahun. Ohh lupa nak (hendak) bagitau (beritahu) yang saya memegang jawatan sebagai timbalan pengerusi lajnah dan hal ehwal muslimat dan keceriaan di Masjid Al Hussain ni (ini) sebab tulah (itulah) hampa (kamu) semua nak (hendak) temu ramah saya kan. HAHAHHAHAHAHA (ketawa).
15 Penemu bual Ya betul tu (itu) puan. Seterusnya, bolehkah saya terus ke soalan yang ingin ditujukan iaitu saya ingin mengetahui bagaimana tertubuhnya masjid ini kalau puan boleh terangkan secara mendalam tentang sejarah penubuhan masjid ini? Puan Azlina Okay boleh takda (tiada) masalah. Pertama sekali masjid ni (ini) dibina dekat dengan Jeti Kuala Perlis la. Kalau hampa (kamu) perasan kat (dekat) luar tu (itu) kita panggil pantai Kuala Perlis la.. Kalau ikut maps (peta) tempat kita duduk ni (ini) dalam kawasan Selat Melaka la. Kalau nak (hendak) habaq (beritahu) pasal sejarah penubuhan masjid ni (ini) dibina kira-kira dalam masa 4 tahun juga la sehingga siap seratus peratus tu (itu). Masa awal dulu pembinaan masjid ni (ini) merupakan hasil sumbangan Tan Sri Mohd. Ariffin Yusuf. Kalau hampa (kamu) nak tau (hendak tahu) beliau ni (ini) salah seorang ahli korporat dekat Malaysia ni (ini). Jadi dari situ la tertubuhnya Masjid Al-Hussain ni (ini). Nama masjid ni (ini) pula diinspirasikan daripada nama abang Tan Sri Ariffin iaitu Datuk Dr. Mohd. Hussain yang telah meninggal dunia sebelum sempat menunaikan hajat untuk membina sebuah masjid. Penemu bual Baik lah puan, boleh kita lanjutkan temu ramah kita pada hari ini, kalau boleh saya ingin tahu berkaitan seni bina masjid ini. Kalau kita dapat lihat sebahagian masjid ini dibina di atas air dan menghala ke laut Selat Melaka. Apakah yang menarik dengan seni bina Masjid Ini. Puan Azlina Okay, gini (begini). Sebenarnya ada fakta yang menarik yang ingin saya kongsikan bersama hampa (kamu) bertiga. Yang menariknya berkaitan seni bina Masjid ini iaitu, masjid ini sebenarnya menjadi ikon baru Kuala Perlis. Ikon baru Kuala Perlis ini kalau hampa (kamu) nak (hendak) tahu adalah diilhamkan oleh raja muda Perlis kita sekarang. Tuanku Syed Faizuddin putra Syed Sirajuddin Jamalullail. Jadi berkaitan soalan yang hampa (kamu) tanya saya sebentar tadi. Ermm apa yang menarik dengan
16 seni bina masjid al hussain ini. Apa yang saya boleh katakan iaitu seni bina masjid ini atau reka bentuk masjid ini sebenarnya cetusan tema daripada resort tropika moden seperti yang maklumat yang boleh hampa (kamu) peroleh di internet, tema seni bina ini ada dinyatakan di portal MAIPS Perlis. Berdasarkan apa yang dinyatakan di portal tersebut juga, tema seni bina yang ambil konsep resort tropika moden itu boleh lihat menerusi ada sentuhan laa orang katakan dari segi artistik pada masjid ini. Apa yang saya tahu juga, dikatakan konsep ini digunakan atau kita boleh lihat dekat laman luaq (luar) masjid ini dan konsep suasana yang santai kita boleh lihat di sekeliling masjid ini. Kalau kamu pgahati (perhati) pun, kalau kamu pernah singgah dan orang duduk lama dekat masjid ini, memang betul suasana luaq (luar) masjid ni (ini) kite dapat lihat tenang je (sahaja) kan. Tambah-tambah kalau kita duduk berehat dekat luaq (luar) masjid tu kita boleh tengok pantai kuala perlis lagi- lagi masjid ini dibina di tepi pantai kuala perlis. Haa mesti tenang kan kalau kamu berehat disitu. Hehe (ketawa). Penemu bual Oh begitu puan, menarik sungguh fakta yang puan kongsikan kepada kami ini. Baru saya tahu bahawa masjid ini sebenarnya merupakan ikon bagi negeri Perlis. Baiklah puan, bolehkah puan beritahu saya ciri-ciri binaan masjid ini pula. Saya juga ingin mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan binaan masjid ini. Puan Azlina Okay baiklah, insha Allah saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu hampa (kamu) semua kumpul maklumat berkaitan masjid ini. Baiklah kalau nak (hendak) ceghita (cerita) pasai (pasal) binaan masjid ni (ini), sebenarnya masjid ni (ini) dibina dengan ciri-ciri yang kukuh dan tahan lasak. Kenapa masjid ni (ini) perlukan binaan yang tahan lasak kerana sebahagian binaan masjid ini sendiri di bina di atas ayaq (air), jadi sudah semestinya binaan bawah masjid perlu di bina dengan kukuh untuk menampung binaan masjid ini supaya masjid ini teguh dan tidak mudah roboh orang katakan. Sebab tu (itu) uniknya binaan masjid ni(ini).
17 Penemu bual Oh begitu ya puan. Baiklah puan, kalau saya tengok bahagian hadapan, masjid ni (ini) ada satu wakaf didirikan. Boleh saya tahu, macam mana pula dengan wakaf ini. Boleh puan beritahu fungsi wakaf dan laman hadapan masjid ini. Puan Azlina Okay macam ni (ini), kalau kamu pi (pergi) tengok dekat luaq (luar) tu ada satu wakaf yang orang bina dekat dataran masjid ni (ini). Oh ya, berbalik kepada soalan kamu tadi pasal fungsi wakaf luaq (luar) masjid ni (ini), wakaf tu (itu) dibina untuk memudahkan pengunjung atau jemaah laa terutama nya yang mai (mari) atau singgah sembahyang dekat masjid ni (ini) untuk depa (mereka) nak (hendak) berehat dekat sepanjang tembok tu (itu) sambil tengok pantai kuala perlis ni (ini). Haaaa. Tambah-tambah wakaf tu (itu) menghadap ke laut. Pastu nak (hendak) habaq (beritahu), dekat laman masjid ni (ini) ada tanam pokok kurma. Ada laa tiga batang pokok kurma dekat dataran depan masjid ni (ini). Kalau hampa (kamu) nak (hendak) tahu, pokok kurma itu depa (mereka) bawak (bawa) mai sini (mari kesini) khas dari tanah arab nu. Pokok kurma yang depa (mereka) tanam dekat laman masjid ni (ini) sebenarnya depa (mereka ) nak (hendak) bawakan elemen asia barat di laman masjid ni (ini). Penemu bual Oh begitu yaa puan. Saya juga perhati yang dekat laman masjid ni (ini) ada pokok kurma. Itu sebenarnya konsep yang mereka ingin bawakan di sebalik seni bina masjid ni (ini). Jadi bolehkah kami nak (hendak) lanjutkan temu ramah ini puan? Puan Azlina Ya ya boleh. Penemu bual Baiklah puan, dari apa yang saya perhati seni bina luaran masjid ni (ini), saya lihat kubah masjid ni (ini) didatangkan dengan warna kuning keemasan dan terdapat juga motif warna biru pada kubah tersebut. Jadi bolehkah puan ceritakan serba sedikit mengenai elemen yang cuba dibawakan dari segi seni bina luaran masjid ini.
18 Puan Azlina Okay begini, sebenarnya kalau hampa (kamu) semua tengok ciri luaran seni bina masjid ni (ini) terutama kubah masjid ini sendiri. Haa dari pintu pagar masjid lagi hampa (kamu) mesti akan perasan yang warna kuning keemasan pada kubah tu (itu) dari jauh dah (sudah) terserlah laa orang katakan. Hhhahaha (ketawa). Sebenarnya motif warna yang digunakan pada kubah masjid ini adalah depa (mereka) membawakan warna rasmi negeri perlis ini. Itu pasai (pasal) warna kubah tu (itu) ada campuran warna kuning keemasan dan juga selitan warna biru adalah sinonim dengan warna rasmi bendera negeri perlis ni (ini) laa. Kiranya seni bina luaran ni (ini) orang yang mereka masjid ni (ini) sangat teliti dari segi elemen warna supaya masjid ni (ini) lebih menonjol dan berkonsepkan negeri perlis itu sendiri sebenarnya. Satu lagi, motif penggunaan warna ini juga adalah bertujuan untuk memberitahu pengunjung dari luaq (luar) bahawa ini lah masjid di negeri Perlis terutamanya yang biasa singgah ke masjid ni (ini) sebabkan masjid ni (ini) berdekatan dengan jeti kuala perlis, jadi memang ramai pengunjung yang mai (datang) ke masjid ni (ini). Penemu bual Ouh begitu rupanya puan, seterusnya puan, dari segi penggunaan bahan untuk membentuk kubah ni (ini) pula, mereka guna apa ya? Puan Azlina Ooo bahan yang depa (mereka) guna untuk bina kubah ni (ini) dari apa yang saya sedia maklum. Kubah ni (ini) diperbuat daripada dua lapisan aluminium. Lapisan aluminium tu (itu) pula disaluti dengan lapisan polyvinvyl double fluoride (PVDF) haih berbelit lidah nak (hendak) sebut pun hhahahaha. Haaa tu (itu) laa nama benda tuh (itu). Lapisan ini depa (mereka) import bawak (bawa) mai(mari) kesini dari Jepun nu. Haa jauh depa (mereka) import barang nak (hendak) bina kubah masjid ni (ini) kalau hampa (kamu) nak (hendak) tau (tahu). Bahan yang depa (mereka) guna memang berkualiti dan bagus laa nak bagi kubah ni (ini) kukuh. Penemu bual Baru saya tahu tentang bahan yang digunakan untuk membina kubah ini. Seterusnya puan, boleh puan terangkan tentang 5 tulisan yang terdapat
19 pada siling masjid ini?. Kerana saya tengok tulisan yang diukir di sekeliling bahagian kubah dalam ini menggunakan bahasa yang berlainan. Puan Azlina Okay, kalau hampa (kamu) nak (hendak) tahu 5 tulisan yang ada pada siling masjid ni (ini) merupakan 5 rukun Islam. Kalau hampa (kamu) perasan 5 tulisan tu (itu) mewakili 5 bahasa yang ada dalam dunia. Bahasa yang pertama ialah bahasa Melayu. Bahasa Melayu ni (ini) digunakan of course (semestinya) sebab bahasa ni (ini) merupakan bahasa rasmi negara kita. Seterusnya, bahasa yang kedua yang digunakan ialah bahasa Arab yang melambangkan bahasa yang digunakan dalam solat dan ibadah yang lain. Tulisan yang seterusnya pula ialah tulisan bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa Inggeris. Tulisan-tulisan tersebut diukir adalah untuk memudahkan jemaah dan pengunjung dari pelbagai bangsa dapat membaca dan menghayati isi kandungan rukun Islam tersebut. Penemu bual Sungguh menarik ya penerangan puan mengenai ukiran kalimat syahadah pada siling masjid ini. Seterusnya puan, saya sangat teruja untuk mengetahui tentang tarikan utama masjid ini yang menjadi buah mulut orang serata Malaysia. Puan Azlina Soalan menarik ya saudari. Kalau nak (hendak) habaq (beritahu) pasai (tentang) tarikan ni (ini) yang utamanya adalah dari segi kedudukan masjid ini yang terletak elok dekat pantai. Biasanya kalau pengalaman saya sendiri la duk (duduk) mai (datang) sini time (masa) sembahyang rasa tenang ja (sahaja) orang kata senang nak (hendak) khusyuk walaupun hampa (kamu) tau (tahu) kan dekat peghlih (Perlis) ni (ini) panaih (panas) lit lit la. Hahahaha. Tapi tula (itulah) suasana solat tepi pantai ni (ini) suasana dia lain daripada kita solat di masjid biasa. Ada timbul keinsafan sebagai seorang hamba yang kerdil dan hina bina ni (ini). Selain itu, masjid ni (ini) menjadi tarikan orang untuk mai (datang) sembahyang sebab masjid ni (ini) bersih. Kalau hampa (kamu) tengok kat luaq (luar) tu (itu) mana ada sampah merata-rata. Jadi, orang nak (hendak) sembahyang pun jadi selesa la. Lepastu, (Selepas itu,) masjid
20 ni (ini) menggunakan konsep flora dan tu (itu) pun jadi salah satu faktor tarikan orang nak (hendak) mai (datang) sembahyang sini. Hampa (kamu) tengok la dekat luaq (luar) tu (itu) ada pokok-pokok ditanam kat (dekat) situ. Kalau hampa (kamu) mai (datang) waktu-waktu senja nak (hendak) dekat maghrib, hampa (kamu) boleh tengok sunset (matahari terbenam) haaa. Cantik view (pemandangan) dia (nya). Memang orang kata mai (datang) la berpuluh kali pun tak (tidak) cemuih (bosan) aih dan tu (itu) merupakan salah satu faktor utama juga la orang nak (hendak) mai (datang) sembahyang kat (dekat) sini. Kita ni (ini) kena la hargai dan menghayati la keindahan ciptaan yang Allah cipta untuk kita lihat samasama kekuasaan Allah. Tengok sunset (matahari terbenam) tu (itu) pun salah satu keindahan ciptaan Allah. Akhir sekali, dari segi seni bina masjid ni (ini) memang unik sebab dinding masjid ni (ini) kan kalau hampa (kamu) perasan masjid ni (ini) menggunakan batu-batuan jenis koral, kuartz, granit, marmar dan pebbles dan masjid ini tidak dicat sebab orang kata tak (tidak) mau (mahu) dinding mudah terhakis sebab masjid ni (ini) dibina di sekitar pantai. Jadi itu lah antara faktor tarikan kepada jemaah dan pengunjung yang datang untuk sembahyang dekat sini. Penemu bual Wah sungguh padat ya penjelasan puan mengenai faktor tarikan masjid ini. Baiklah saya rasa semua soalan yang saya ingin ajukan kepada puan sudah terjawab dengan jelas sekali ya puan. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada puan kerana sudi untuk menjawab persoalan saya. Penjelasan daripada puan tersangat la padat dan penerangan yang diberikan oleh puan sangat mudah untuk difahami. Dengan ini, saya ingin menyusun sepuluh jari untuk memohon maaf sekiranya saya ada mengguris hati puan semasa sesi wawancara ini diadakan. Puan Azlina Takda (tiada) masalah pun. Sama-sama juga saya ucapkan. Semoga dengan penerangan yang saya diberikan dapat membantu kamu melengkapkan tugasan kamu dengan sebaiknya. Penemu bual Saya minta diri dulu ya puan.
21 LAMPIRAN GAMBAR REKAAN SENI BINA MASJID AL HUSSAIN
22
23
24 LAMPIRAN LINK RAKAMAN TEMUBUAL BERSAMA ORANG SUMBER • https://youtu.be/TpmCFEG0HkE
SEJARAH LISAN DAN PENDOKUMENTASIAN TAMAT