The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

PRAKTIKAL PENYEDIAAN DOKUMENTASI HIBAH DAN WASIAT PROFESIONAL

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Dhalia Shah, 2024-03-04 02:55:40

PRAKTIKAL PENYEDIAAN DOKUMENTASI HIBAH DAN WASIAT PROFESIONAL

PRAKTIKAL PENYEDIAAN DOKUMENTASI HIBAH DAN WASIAT PROFESIONAL

1 PRAKTIKAL PENYEDIAAN DOKUMENTASI HIBAH DAN WASIAT PROFESIONAL1 PRACTICAL PREPARATION OF PROFESSIONAL HIBAH AND WILL DOCUMENTATION AHMAD TERMIZI ABDULLAH2 Abstrak Dokumentasi hibah dan wasiat hendaklah patuh syariah dan dalam masa yang sama selari dengan undang-undang. Kertas kerja ini menekankan keperluan dokumentasi hibah dan wasiat supaya menepati kehendak undang-undang di Negara kita supaya dokumentasi hibah dan wasiat yang dibuat tidak dianggap sebagai satu pelarian undang-undang (escapism) dan/atau sebagai pintu belakang bagi membolehkan perpindahan harta, walhal pada asalnya perpindahan sesuatu harta itu tertakluk kepada undang-undang mengenai harta terbabit yang dikawal mengikut undang-undang sivil. Peguamcara dan peguam syarie dalam penderafan dokumentasi hibah dan wasiat hendaklah memahami amalan terbaik dokumentasi. Penulis menyediakan beberapa contoh penderafan sebagai panduan. Kata kunci: Dokumentasi hibah dan wasiat Abstract The documentation of hibah and will must be shariah-compliant and at the same time in line with the law. This paper emphasizes the need for hibah and will documentation to meet the requirements of the law in our country so that the documentation of hibah and will is not considered as a legal escape and/or as a backdoor to enable the transfer of property, while the transfer of a property is subject to the law on that particular property, which is regulated in accordance with civil law. Solicitors and syarie counsels in the draft of hibah and will documentation should understand the best practices of documentation. The authors provide some examples of draft as a guide. Keywords: Hibah and will documentation PENDAHULUAN Isu tentang penyediaan dokumentasi hibah dan wasiat sentiasa bermain di fikiran pengamal undang-undang sama ada pengamal undang-undang syariah dan juga pengamal undang-undang sivil. Bagi peguam syarie, mereka bimbang jika dokumen yang sediakan ada yang bercanggah dengan undang-undang hartanah, atau undang-undang amanah, atau statutstatut khusus mengenai harta hibah dan wasiat yang terlibat, menyebabkan hibah dan wasiat tidak dapat didaftarkan atau dilaksanakan. Bagi peguamcara sivil pula, mereka 1 Kertas kerja ini dibentangkan semasa Bengkel Pemakaian Perintah Mahkamah Syariah Di Pejabat Tanah & Bank bertempat di TH Hotel Kelana Jaya pada 9 Mac 2024 anjuran bersama Solusi Shariah dan Lakarcitra Design. 2 Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie di Tetuan Termizi & Co., 29-2 Jalan 3/4C, Desa Melawati, 53100 Kuala Lumpur.


2 bimbang jika dokumen yang mereka sediakan tidak menepati rukun dan syarat sah hibah / wasiat menyebabkan dokumentasi hibah dan/atau wasiat adalah tidak sah apabila dicabar kesahihannya. Kertas kerja ini menyorot tentang dokumentasi hibah dan wasiat dari aspek rukun dan syarat hibah/wasiat, perbezaan pandangan ulama’ tentang beberapa aspek rukun dan syarat hibah/wasiat, dan kategori hibah yang dipraktikkan di Malaysia sama ada hibah tunai dan juga hibah hartanah. Walau bagaimanapun, kertas kerja ini hanya menumpukan pada aspek dokumentasi hibah hartanah memandangkan bagi dokumentasi hibah tunai, ia selalunya sudah disediakan oleh institusi yang terlibat seperti Lembaga Tabung Haji, Perbadanan Nasional Berhad, dan syarikat-syarikat amanah yang menyediakan produk terbabit. Dari satu aspek lagi, kertas kerja ini juga akan menyorot tentang beberapa peruntukan undang-undang di negara kita yang perlu diambil berat bagi memastikan dokumen hibah dan wasiat adalah selari dan boleh dikuatkuasakan seperti peruntukan dalam Kanun Tanah Negara 1965 (KTN), Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960, Akta Hakmilik Strata 1985, enakmen rizab melayu negeri-negeri, dan undang-undang lain yang berkaitan.3 KATEGORI HIBAH Hibah boleh dibahagikan kepada dua kategori mengikut jenis harta hibah iaitu sama ada hibah hartanah atau hibah tunai. Hibah hartanah itu pula boleh dibahagikan kepada dua kategori dari segi sifat hibah iaitu sama hibah hartanah bersifat mutlak, atau hibah hartanah dengan syarat. Bagi hibah hartanah yang bersifat mutlak pula, ia boleh juga dibuat secara pengamanahan, atau boleh dibuat secara mutlak tanpa pengamanahan. Bagi hibah hartanah yang dengan syarat pula, ia boleh jadi hibah ‘umra, atau hibah ruqba. Bagi hibah ruqba itu pula, ia sama ada hibah ruqba yang biasa atau ia adalah hibah ruqba kerana hartanah masih dalam gadaian. Bagi hibah tunai pula sama ada ia bersifat mutlak seperti hibah amanah Tabung Haji (TH), atau hibah tunai bersifat ruqba seperti hibah amanah oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Kesemua hibah tunai ini dikaitkan dengan hibah amanah kerana wujudnya elemen pengamanahan apabila syarikat-syarikat yang terbabit dilantik sebagai pemegang amanah gantian bagi pemberi hibah melalui konsep wakalah (kuasa wakil).4 PERANAN PEGUAMCARA DALAM PELAKSANAAN HIBAH HARTANAH Bagi hibah hartanah, oleh sebab ia melibatkan urusan berkaitan hartanah, mengikut seksyen 37(2) Akta Profession Guaman 1976,5 hanya peguamcara yang diiktiraf sebagai mereka yang mempunyai otoriti untuk menyediakan dokumen atau instrumen yang berkaitan dengan harta alih dan pengamanahan. Oleh hal yang demikian, secara umumnya hanya 3 Ahmad Termizi Abdullah, Dokumentasi Hibah, Pustaka Mizi, Kuala Lumpur, 2021, hlm.. 1-2. 4 Ahmad Termizi Abdullah, Dokumentasi Hibah, hlm.. 21-22. 5 37(2) Without prejudice to the generality of subsection (1), any unauthorised person who either directly or indirectly – (a) draws or prepares any document or instrument relating to any immovable property or to any legal proceedings or to any turst; … shall, unless he proves that the act was not done for or in expectation of any fee, gain or reward, be guilty of an offence under this subsection.


3 penguamcara yang boleh menyediakan dokumen atau instrumen berkaitan hibah hartanah. Ini bukanlah bermaksud bahawa dokumen yang disediakan oleh pihak lain itu tidak sah, tetapi maksud peruntukan ini adalah untuk mengelakkan berlakunya penyamaran oleh orang awam sebagai peguamcara apabila turut serta menyediakan instrumen berkaitan harta tak alih yang dalam urusan peguamcara. Walau bagaimanapun, seksyen 386 Akta yang sama telah memberikan pengecualian kepada beberapa institusi bagi menyediakan dokumen atau instrumen berkaitan harta tak alih seperti Peguam Negara, Syarikat Amanah, dan Jabatan Insolvensi. Seksyen 37 tidak terpakai bagi penyediaan dokumen berkaitan wasiat, bermaksud sesiapa sahaja dibenarkan untuk menyediakan dokumen atau instrumen wasiat. Oleh hal yang demikian, peguamcara hendaklah memastikan bahawa dokumen hibah hartanah benar-benar mematuhi kesemua elemen syariah bagi memastikan dokumen atau instrumen hibah hartanah adalah sah dan berkuatkuasa.7 AMALAN TERBAIK DOKUMENTASI HIBAH Penulis berpendapat bahawa Surat Pengisytiharan Hibah adalah dokumen wajib bagi hibah hartanah, walaupun keperluannya tidak diwajibkan oleh Kanun Tanah Negara 1965 (KTN). Jika pihak pemberi hibah hanya bergantung kepada terma ‘pindahmilik kasih sayang’ sahaja sebagai hujah berlakunya hibah, ia agak sukar kerana elemen-elemen lain dalam pengesahan hibah seperti ijab kabul adalah tidak jelas dalam dokumen Borang 14A atau Surat Ikatan Amanah. Sebaliknya elemen ijab kabul adalah jelas dalam Surat Pengisytiharan Hibah. Di samping itu juga, lafaz ijab dan kabul itu sendiri boleh ditulis secara jelas dalam Surat Pengisytiharan Hibah. Oleh hal yang demikian, dari segi praktis terbaik, penulis memang mencadangkan supaya semua dokumentasi hibah hartanah hendaklah dimulai dengan Surat Pengisytiharan Hibah sebagai dokumen induk, dan kemudian diikuti oleh dokumen lanjutan seperti Borang 14A KTN, Surat Ikatan Amanah, Surat Ikatan Penyerahan Hak, Surat Kuasa Wakil, dan lainlain sebagainya bergantung kepada kes. Dari satu segi yang lain, sekiranya penyediaan dokumen hibah hanya menitikberatkan Surat Pengisytiharan Hibah sebagai dokumen solo tanpa bergantung kepada dokumen-dokumen tambahan yang lain, penulis berpendapat bahawa hal ini bukanlah amalan terbaik kerana kesukaran akan berlaku pada kemudian hari apabila berlaku kematian salah satu pihak yang berakad hibah sedangkan pemilikan pada hakmilik hartanah masih atas nama pemberi hibah. CONTOH-CONTOH PENYEDIAAN INSTRUMEN HIBAH HARTANAH Contoh-contoh penyediaan instrumen hibah hartanah berdasarkan kategori-kategori hibah adalah sebagaimana berikut: 1. Hibah mutlak: (a) Surat Pengisytiharan Hibah Mutlak 6 38. Certain persons can act as advocate and solicitor. 7 Ahmad Termizi Abdullah, Dokumentasi Hibah, hlm.. 26-28.


4 (b) Borang 14A KTN (bagi hakmilik individu / strata); atau (c) Surat Ikatan Penyerahan Hak Secara Hibah (bagi hakmilik induk) 2. Hibah ruqba: (a) Surat Pengisytiharan Hibah (b) Surat Akuan Hibah Ruqba 3. Hibah amanah secara pendaftaran pemegang amanah: (a) Surat Pengisytiharan Hibah Amanah Mutlak (b) Surat Ikatan Amanah (melantik pemilik tanah sendiri); atau (c) Surat Ikatan Amanah (melantik pihak ketiga), dan Borang 14A KTN / Surat Ikatan Penyerahan Hak (bagi hakmilik induk) 4. Hibah amanah secara wakalah (kuasa wakil): (a) Surat Pengisytiharan Hibah Amanah Ruqba (b) Surat Ikatan Amanah (Pelantikan Pemegang Amanah Utama dan Gantian) (c) Surat Kuasa Wakil (Kepada Pemegang Amanah Gantian) 5. Hibah amanah secara wisoyah (wasiat pentadbiran): (a) Surat Pengisytiharan Hibah Mutlak (b) Surat Ikatan Amanah (Pelantikan Pegemang Amanah Utama dan Gantian) (c) Wisoyah (Wasiat Pentadbiran) (d) Permohonan Pengesahan Hibah atau Permohonan Pembatalan Pemegang Amanah 6. Hibah Hartanah Dalam Gadaian: (a) Surat Pengisytiharan Hibah Ruqba (Hartanah Dalam Gadaian) DOKUMENTASI HIBAH HARTANAH MUTLAK Umumnya terdapat tiga kaedah dalam penyediaan dokumentasi hibah hartanah secara mutlak seperti berikut: 1. Surat Pengisytiharan Hibah + Borang 14A Kanun Tanah Negara (KTN) bagi hartanah hakmilik individu atau hakmilik strata; 2. Surat Pengisytiharan Hibah + Surat Ikatan Penyerahan Hak Secara Hibah bagi hartanah hakmilik induk; 3. Surat Pengisytiharan Hibah + Surat Ikatan Amanah di bawah seksyen 344 KTN. Surat Ikatan Amanah ini pula terdapat dua cara sama ada pemilik melantik dirinya sebagai pemegang amanah, atau pemilik melantik pihak ketiga sebagai pemegang amanah bagi pihak benefisiari. Sesetengah peguamcara tidak menyediakan Surat Pengisytiharan Hibah sebab bagi mereka dokumen 14A KTN atau Surat Ikatan Penyerahan Hak atau Pendaftaran Amanah di bawah seksyen 344 KTN sahaja sudah memadai untuk membawa maksud berlakunya hibah antara pemberi dan penerima hibah.


5 Penulis kurang bersetuju dengan praktis sebegini sebab ijab kabul hibah tidak berlaku secara jelas dalam dokumen-dokumen tadi. Bagi penulis, dokumen induk bagi hibah ialah Surat Pengisytiharan Hibah, manakala dokumen pematuhan kepada undang-undang tanah adalah dokumen tambahan sebagai pelengkap kepada qabadh (penerimaan harta hibah) selepas ijab kabul hibah berlaku. Lagi pun, jika ada Surat Pengisytiharan Hibah, permohonan untuk menarik balik hibah adalah lebih mudah sebab niat hibah ada dinyatakan secara jelas. Manakala sesetengah pihak pula hanya menyediakan Surat Pengisytiharan Hibah tanpa menyediakan dokumen-dokumen tambahan bagi memenuhi perundangan berkaitan hartanah atas alasan segala rukun dan syarat hibah sudah sempurna melalui Surat Pengisytiharan Hibah sahaja. Penulis juga kurang bersetuju dengan cara sebegini sebab selagi tiada pendaftaran pindahmilik dibuat, penerima hibah masih dalam risiko tentang pemilikan tidak boleh sangkal mereka. Surat Pengisytiharan Hibah masih boleh dicabar dan ini menyulitkan benefisiari di kemudian hari. Oleh hal yang demikian, sempurnakanlah hibah mutlak dengan dokumen yang sempurna. Dengan praktis dokumentasi yang sempurna, niat hibah antara pemberi dan penerima hibah tidak boleh ditakwil-takwil lagi, dan pemilikan penerima hibah juga tidak boleh disangkal lagi.8 DOKUMENTASI HIBAH RUQBA Bagi mengatasi isu supaya hibah ruqba tidak dicabar kesahihannya di Mahkamah Syariah, sebagai contohnya, ada pihak yang menyediakan dokumentasi hibah ruqba sebagaimana berikut: 1. Dokumen Pengisytiharan Hibah; beserta 2. Surat Akuan Sumpah Dalam Dokumen Pengisytiharan Hibah, tidak dinyatakan langsung bahawa hibah yang disediakan adalah bersifat ruqba. Ia adalah dokumen hibah mutlak, terdapat ijab kabul seperti biasa, cuma tiada disusuli dengan dokumentasi pindah milik seperti Borang 14A Kanun Tanah Negara (bagi hak milik individu), atau Surat Ikatan Penyerahan Hak Secara Hibah (bagi hak milik induk).9 Walau bagaimanapun, pihak penerima hibah selepas itu membuat pula Surat Akuan Sumpah menyatakan bahawa hibah yang diterimanya adalah hibah yang bersifat ruqba. Contoh kandungan Surat Akuan Sumpah oleh Penerima Hibah adalah sebagaimana berikut: “Saya walaubagaimana pun, secara sukarela berwa’ad dan bersetuju seperti berikut bahawa: i) Penghibahan Pemberi Hibah ini adalah bersifat ruqba di mana sekiranya Pemberi Hibah meninggal dunia terlebih dahulu sebelum saya, maka hartaharta hibah tersebut akan hanya dipindahmilik dan ditukarmilik kepada saya sepenuhnya; 8 Ahmad Termizi Abdullah, Soal Jawab Pusaka (Siri II), Pustaka Mizi, Kuala Lumpur, 2021, hlm. 8-10. 9 Ahmad Termizi Abdullah, Dokumentasi Hibah, Kuala Lumpur, Pustaka Mizi, 2021, hlm. 23.


6 ii) Sekiranya saya meninggal dunia terlebih dahulu sebelum Pemberi Hibah, maka harta-harta hibah tersebut akan dikembalikan kepada Pemberi Hibah secara serta merta dan ditadbirkan sepenuhnya oleh Pemberi Hibah. iii) Harta-harta hibah tersebut di atas tidak boleh dituntut oleh mana-mana waris saya kecuali Pemberi Hibah.” Jika Pemberi Hibah meninggal dunia, dan ada waris Pemberi Hibah mempertikaikan hibah ruqba tersebut, dokumen yang akan dikemukakan ke Mahkamah Syariah hanyalah Dokumen Pengisytiharan Hibah sahaja tanpa Surat Akuan Sumpah. Waris yang mempertikaikan kesahihan hibah oleh si mati pula selalunya tidak mendapat akses kepada Surat Akuan Sumpah yang dibuat secara ex-parte (sebelah pihak) oleh defendan (Penerima Hibah). Maka, dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah, pihak yang mencabar kemungkinan besar akan gagal membuktikan bahawa hibah yang dibuat oleh si mati adalah hibah bersifat ruqba. Sebaliknya, jika Penerima Hibah pula yang meninggal terlebih dahulu sebelum Pemberi Hibah, dan jika ada waris Penerima Hibah yang mendakwa bahawa harta hibah sepatutnya menjadi harta pusaka peninggalan Penerima Hibah, maka Pemberi Hibah membuktikannya pula dengan Surat Akuan Sumpah oleh Penerima Hibah itu pula. Dalam hal ini, hasrat Pemberi Hibah dan hasrat Penerima Hibah dilindungi oleh undang-undang secara teknikal dengan cara menyembunyikan niat Pemberi Hibah bahawa hasrat pemberiannya secara ruqba dalam dokumen induk Dokumen Pengisytiharan Hibah, walhal dalam masa yang sama menyimpan pula Surat Akuan Sumpah oleh Penerima Hibah sebagai ‘back up’ atau perisai jika harta-harta hibah dituntut oleh waris Penerima Hibah. Helah licik (atau mungkin lebih manis disebut sebagai helah cerdik) dokumentasi sebegini sememangnya mengambil manfaat atas kelompangan (lacuna) undang-undang berkaitan hibah ruqba di negara kita. Dibimbangi bahawa dokumentasi hibah ruqba itu akan diisytiharkan sebagai tidak sah, maka lahirlah kreativiti penghasilan dokumen sebegini rupa yang dihujahkan sebagai makharij atau solusi dokumentasi hibah. Sama ada ia benar-benar solusi atau memang sekadar berhelah, saya serahkan kepada pembaca untuk menilainya. Ada juga sesetengah pihak yang memang menyediakan dokumen hibah ruqba secara telus. Hal ini lebih jujur, tanpa helah. Pemberi Hibah dan Penerima hibah membuat akad ijab kabul secara telus dan mulus dalam Surat Pengisytiharan Hibah yang dinyatakan secara terang-terang bahawa hibah yang berlaku adalah hibah bersyarat ruqba. Contoh dokumentasi hibah ruqba berbentuk sebegini adalah dengan dimasukkan terus klausa oleh Pemberi Hibah seperti berikut: “Pendaftaran Penerima Hibah sebagai pemilik ke atas Harta Hibah adalah selepas saya meninggal dunia. Sekiranya Penerima Hibah meninggal dunia sebelum saya, maka Harta Hibah dikembalikan kepada saya, bukan milik waris-waris Penerima Hibah. Sementara saya masih hidup, saya memiliki dan boleh memanfaatkan Harta Hibah, boleh berurusan dengan Harta Hibah, melakukan transaksi dengan Harta Hibah terhadap pihak-pihak ketiga, menambahbaik Harta Hibah dan apa-apa perbuatan selaku pemilik asal Harta Hibah.


7 Saya memahami bahawa hibah ini adalah hibah bersyarat yang dikenali sebagai hibah ruqba. Saya telah diterangkan oleh Peguam-peguam saya yang menyaksikan akad hibah ini bahawa terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ tentang hibah ruqba. Saya cenderung untuk memilih pendapat yang membenarkannya. Saya juga berharap agar semua waris saya menghormati pendapat saya ini dan tidak mempertikaikan kesahihan surat pengisytiharan hibah ini.” Kesan hibah ruqba yang secara terus sebegini ialah, pihak Pemberi Hibah menyerahkan sepenuhnya kepada waris-waris pemberi hibah sama ada mahu mencabar kesahihan hibah yang dibuat, atas asas ruqba dan atas asas pindahmilik belum dibuat (tiada al-qabdh). Cuma mungkin sedikit pesanan oleh Pemberi Hibah boleh menyebabkan wariswaris penghormati pilihan yang dibuat. Penerima Hibah pula dalam kes sebegini memang sudah sedia maklum tentang risiko hibah ruqba yang dibuat mempunyai kebarangkalian boleh dicabar, tetapi berasa sedikit lega kerana hasrat Pemberi Hibah itu dinyatakan secara hitam putih berbanding hanya pengakuan lisan. Adakah pembaca cenderung kepada dokumentasi secara berhelah mengikut cara yang pertama, atau dokumentasi secara jujur seperti contoh yang kedua, tidaklah penulis ketahui. Para pembaca boleh membuat penialian sendiri, setelah benar-benar memahami tentang hibah ruqba ini.10 DOKUMENTASI HIBAH AMANAH SECARA PENDAFTARAN PEMEGANG AMANAH Terdapat dua cara mewujudkan amanah hartanah secara pendaftaran pemegang amanah, iaitu: a. Membuat pengisytiharan amanah (tanpa membuat pemindahan harta); atau b. Pemindahan harta dengan niat mewujudkan amanah. Bagi cara yang pertama ini, contoh yang mudah difahami di sini ialah pindahmilik tanah yang dilakukan oleh seorang bapa kepada anaknya yang masih kecil. Memandangkan undang-undang tidak membenarkan waris-waris yang belum dewasa memiliki tanah, maka nama anak tersebut tidak boleh didaftarkan, sebaliknya apa yang boleh dilakukan ialah si bapa melantik dirinya sebagai “pemegang amanah” tersebut, seterusnya mendaftarkan nama kanak-kanak yang telah dewasa tersebut sebagai pemilik sah.11 Mengikut cara ini, oleh sebab tiada pertukaran pindahmilik pada hakmilik individu hartanah, maka tiada duti setem dikenakan.12 Pendaftaran hanya dibuat daripada pemilik sebagai pemilik berdaftar kepada pemegang amanah bagi si fulan bin si fulan. Pemilik berdaftar juga menandatangani Surat Ikatan Amanah bagi maksud pendaftaran pengamanahan tersebut mengikut sekysen 344 KTN13 . 10 Ahmad Termizi Abdullah, Hibah Bersyarat, Pustaka Mizi, Kuala Lumpur, 2021, hlm. 45-51. 11 Abdullah Muhamad, Pengamanahan Harta Orang Islam di Malaysia, dalam Siti Mashitoh Mahamood (2016), Editor, Harta Amanah Orang Islam di Malaysia: Perspektif Undang-undang dan Pentadbiran, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hlm: 127. 12 Walau bagaimanapun, dalam praktis sekarang ini, terdapat juga pejabat tanah yang mengenakan bayaran duti setem walaupun pendaftaran pemegang amanah kepada pemilik tanah itu sendiri. 13 344. Registration as trustee or trustees, and deposit or trust instrument. (1) Where, by any instrument of dealing or order of the Court or Land Administrator, or alienated land or share or interest therein is transferred or transmitted to, vested in or created in favour of any person


8 Seksyen 344 KTN tersebut dengan jelas menyebut bahawasanya pendaftaran pengamanahan akan dibuat apabila terdapatnya instrumen atau dokumen, atau melalui perintah Mahkamah, atau perintah Pentadbir Tanah. Ini bermaksud, pendaftaran pengamanahan tidak berlaku jika hanya pengamanahan dibuat secara oral. Oleh hal yang demikian, Surat Ikatan Amanah akan ditandatangani oleh pemilik berdaftar sebagai dokumen pelantikan dirinya sebagai pemegang amanah kepada si fulan bin si fulan. Bagi cara yang kedua ini pula, satu pindahmilik perlu dibuat menggunakan Borang 14A KTN. Bersama dengan Borang 14A tersebut, pihak-pihak juga menandatangani dokumen Surat Ikatan Amanah bagi maksud mewujudkan pengamanahan bagi penerima pindahmilik sebagai pemegang amanah kepada si fulan bin si fulan. Instrumen Surat Ikatan Amanah adalah bagi memenuhi keperluan seksyen 344 KTN bagi mewujudkan pengamanahan secara berdaftar dan seterusnya mendaftarkan pengamanahan tersebut. Bagi cara yang kedua ini, satu duti setem pindahmilik perlu dibayar oleh penerima pindahmilik kerana ia melibatkan pendaftaran pindahmilik dari pemilik berdaftar kepada pihak ketiga terlebih dahulu. Cuma selepas itu penerima pindahmilik mendaftarkan dirinya sebagai pemegang amanah berdasarkan Surat Ikatan Amanah dan didaftarkan menurut seksyen 344 KTN. Kedua-dua cara di atas adalah cara tradisional bagi peguamcara mewujudkan pengamanahan hartanah. Walau bagaimanapun, penulis mencadangkan supaya niat pihakpihak sebelum berlakunya pengamanahan itu adalah sebagai pindah milik kasih sayang yang sebenarnya adalah menepati konsep hibah, maka penulis berpendapat bahawa instrumen hibah perlu didokumenkan di antara pihak-pihak. Hal ini adalah bagi menunjukkan dengan jelas (sarih) bahawa hibah berlaku terlebih dahulu di antara pihak-pihak sebelum pemilik tanah melantik dirinya sendiri sebagai pemegang amanah atau melantik satu pihak lain menjadi pemegang amanah bagi pihak penerima hibah hartanah. Hibah ini perlu jelas kerana jika sekiranya ia melibatkan hibah daripada bapa atau datuk/nenek (usul) kepada anak atau cucu (furu’), maka pemberi hibah boleh menarik balik hibah yang diberikan.14 Jika, penerima hibah enggan memindahmilik hartanah secara sukarela kembali kepada pemberi hibah, maka pemberi hibah boleh mendapatkan perintah penarikan balik hibah, dan status hartanah akan kembali status quo kepada pemberi hibah. Bayangkan jika pemberi hibah tidak menyediakan dokumen Surat Pengisytiharan Hibah contohnya, maka agak sukar bagi pemberi hibah untuk membuat permohonan penarikan balik hibah jika situasi dan keadaan memerlukannya berbuat demikian. Oleh hal yang demikian, penulis berpendapat bahawa Surat Pengisytiharan Hibah adalah dokumen wajib bagi hibah amanah hartanah, walaupun keperluannya tidak diwajibkan oleh KTN. Jika pihak pemberi hibah hanya bergantung kepada terma ‘pindahmilik kasih sayang’ sahaja sebagai hujah berlakunya hibah, ia agak sukar kerana elemen-elemen lain dalam pengesahan hibah seperti ijab kabul adalah tidak jelas dalam dokumen Borang 14A atau Surat Ikatan Amanah. or body “as trustee”, or two or more persons or bodies “as trustees”, the Registrar shall so describe him, it or them in the memorial of registration. 14 Perbincangan tentang penarikan balik hibah dan penarikan balik hibah bapa kepada anak contohnya ada dimuatkan dalam Ahmad Termizi Abdullah, Rancang Harta, Pustaka Mizi, Kuala Lumpur, 2021, hlm: 68-74.


9 Sebaliknya elemen ijab kabul adalah jelas dalam Surat Pengisytiharan Hibah apabila diletakkan klausa pelantikan pemegang amanah terlebih dahulu sebelum pemberi hibah menandatangani ijab, dan pemegang amanah (dirinya sendiri atau pihak ketiga) menandatangani kabul. Di samping itu juga, lafaz ijab dan kabul itu sendiri boleh ditulis secara jelas dalam Surat Pengisytiharan Hibah. Oleh hal yang demikian, dari segi praktis terbaik, penulis memang mencadangkan supaya semua dokumentasi hibah amanah hartanah hendaklah dimulai dengan Surat Pengisytiharan Hibah sebagai dokumen induk, dan kemudian diikuti oleh dokumen lanjutan seperti Borang 14A KTN, Surat Ikatan Amanah, Surat Ikatan Penyerahan Hak, dan lain-lain sebagainya bergantung kepada kes.15 DOKUMENTASI HIBAH HARTANAH DALAM GADAIAN Selalunya klausa tentang staus harta hibah (mawhub) dimasukkan selepas selesai ijab kabul antara pemberi hibah dengan penerima hibah. Memandangkan terdapat khilaf dalam isu ini, dan hanya Negeri Selangor sahaja yang mengeluarkan fatwa mengenainya, sementara hanya Negeri Kelantan yang mengeluarkan Enakmen Hibah, contoh dokumentasi adalah seperti berikut: “Saya memahami bahawa hibah ini adalah hibah yang dikenali sebagai hibah hartanah dalam gadaian memandangkan Harta Hibah masih tertakluk kepada gadaian kepada Hong Leong Islamic Bank Berhad (No. Syarikat: 686191-W) sebagai pemegang gadaian. Kesahihan hibah ini juga adalah tertakluk kepada pembayaran tebus hutang ke atas Harta Hibah, sama ada melalui bayaran takaful atau apa-apa bayaran bagi pihak Pemberi Hibah ke atas Harta Hibah. Kesediaan pihak pemegang gadaian menerima pembayaran hutang ke atas Harta Hibah hendaklah dianggap sebagai keizinan secara tersirat dari pemegang gadaian terhadap pengisytiharan hibah ini. Dengan penebusan hutang, maka syarat pelaksanaan akad hibah hendaklah dikira sebagai sempurna.” “Saya telah diterangkan oleh Peguam saya yang menyaksikan akad hibah ini bahawa terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ tentang hukum hibah hartanah dalam gadaian. Walau bagaimanapun, selaku penduduk di Selangor, saya berpegang kepada perkara no. 9 dalam Fatwa Hibah Negeri Selangor 2021 yang membenarkan hibah harta dalam gadaian sekiranya ia dilindungi oleh takaful atau mendapat izin dari pemegang gadaian. Saya juga berharap agar semua waris saya menghormati Fatwa Hibah Negeri Selangor 2021 tersebut, dan tidak mempertikaikan kesahihan surat pengisytiharan hibah ini.” DOKUMENTASI HIBAH TUNAI Penulis mengkategorikan hibah tunai kepada empat (4) kategori sebagaimana berikut: 1. Hibah Amanah Tabung Haji; 2. Hibah Amanah Permodalan Nasional Berhad; 3. Hibah Amanah di Syarikat Amanah; dan 4. Hibah Takaful. 15 Ahmad Termizi Abdullah, Hibah Amanah, Pustaka Mizi, Kuala Lumpur, 2021, hlm. 19-25.


10 Bagi kesemua hibah tunai di atas, dokumentasi hibah disediakan oleh pihak-pihak yang terlibat, iaitu syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan hibah yang dinyatakan. Peguamcara, jika terlibat pun hanyalah peguamcara panel bagi syarikat terbabit bagi memberi nasihat perundangan yang perlu. Jika pun ada penglibatan peguamcara yang bukan panel, ia mungkin hanyalah sekadar menjadi saksi kepada dokumen surat kuasa wakil bagi hibah amanah yang memerlukan penyaksian oleh peguamcara dan didaftarkan di Mahkamah Tinggi Sivil. Contoh dokumentasi adalah sebagaimana berikut: ”Penerima Hibah melantik Penghibah sebagai Pemegang Amanah Utama bagi harta hibah tersebut bagi pihak Penerima Hibah”. ”Penghibah dengan ini bersetuju dilantik sebagai Pemegang Amanah Utama kepada Penarima Hibah dan Penghibah dengan suci hati dan sukarela menerima untuk dipertanggungjawabkan sebagai Pemegang Amanah Utama kepada Harta demi menjaga kepentingan Penerima Hibah sehingga tempoh matang iaitu kematian Penghibah.” Juga perlu dinyatakan dalam klausa Surat Ikatan Amanah Hibah iaitu: ”Pemegang Amanah Utama (penghibah) bersetuju memegang dan mentadbir Harta Hibah tersebut sehingga kematian Pemegang Amanah Utama (penghibah).”16 Bagi wang simpanan tunai di institusi-institusi kewangan seperti perbankan, dokumentasi hibah boleh dikatakan tidak diperlukan kerana hibah tunai secara mutlak berlaku apabila berlakunya pemindahan wang tunai dari pemilikan Pemberi Hibah kepada Penerima Hibah. Wang tunai yang dihibahkan hendaklah dipindahkan dari akaun Pemberi Hibah kepada Penerima Hibah, barulah qabdh dikira sebagai berlaku dan sempurnalah hibah. Jikapun perlu kepada dokumentasi hibah, ia hanyalah untuk mengisytiharkan bahawa Pemberi Hibah sudah pun menghibahkan sekian jumlah wang kepada Penerima Hibah sebagai rekod pihak-pihak sahaja. Adapun hibah tunai yang dinyatakan di atas bukanlah hibah mutlak yang biasa tetapi disulami dengan hibah amanah, atau pun hibah bersyarat ruqba. DOKUMENTASI HIBAH HARTA SEPENCARIAN Bagi hibah yang melibatkan harta sepencarian antara suami dan isteri, pemilik harta hendaklah mendapatkan keizinan bertulis daripada pasangan masing-masing terlebih dahulu sebelum dokumentasi hibah boleh disempurnakan. Hal ini adalah kerana harta bersama suami isteri ini adalah termasuk perkongsian atau syarikah/syirkah. Harta ini juga dinamakan harta al-musyak. Al-Musyak adalah harta yang dikongsi dengan orang lain yang tidak boleh dibahagikan, seperti dua orang pemilik sebuah kereta, salah seorang pemilik menghibahkan kereta tersebut. Harta musyak iaitu harta yang telah bercampur dan tidak dapat dikenal pasti milik siapa. Hibah dalam bentuk ini berlaku apabila seseorang memiliki bahagian harta yang 16 Shofiyyah Moidin, Mohd Afandi Mat Rani, Faezy Adenan, Mohd Izzat Amsyar Mohd Arif, Muhamad Zuhaili Saiman, S. Salahudin Suyurno, Norazlina Mamat, Muhammad Hamizan Ab. Hamid & Muhammad Syahrul Deen Rosli, Hibah Amanah Di Industri Kewangan Islam Di Malaysia: Analisa Isu Syariah Terhadap Akad Hibah, Al-Qanatir International Journal of Islamic Studies, eISSN: 2289-9944, Vol. 30 No. 2 (2023), hlm. 53.


11 tidak pasti, sama ada ukuran ataupun jumlahnya, kemudian Pemberi Hibah menghibahkannya kepada orang lain atau orang tersebut memiliki sesuatu yang kemudian menghibahkannya kepada dua orang atau lebih.17 Peruntukan seksyen 122 (1), (3) dan (5) menjelaskan dengan terperinci konsep harta sepencarian iaitu: i. Harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan dengan usaha bersama suami dan isteri; ii. Harta yang diperolehi dengan usaha tunggal satu pihak dalam perkahwinan tersebut; dan iii. Harta yang diperolehi sebelum perkahwinan tetapi diusaha sebahagian besarnya dalam tempoh perkahwinan sama ada dari usaha bersama atau tunggal. Bagi harta-harta yang berupa warisan, hadiah, hibah, pemberian orang tua atau mahar yang diberikan suami, bukanlah dikategorikan sebagai harta sepencarian. Penentuan terhadap sepencarian hanya boleh dibuat apabila wujud tiga keadaan iaitu sama ada berlakunya poligami, perceraian, atau kematian. Oleh hal yang demikian, Tindakan menghibahkan harta sepencarian yang belum ditentukan bahagian (portion) suami atau isteri itu adalah tidak sah dan tidak dibenarkan kerana disyaratkan harta yang hendak dihibahkan itu merupakan milik orang yang menghibahkan secara sempurna (milk al-tam), tidak bercampur dengan harta orang lain. Kegagalan memastikan hak suami dan isteri terlebih dahulu bagi harta yang tergolong sebagai harta sepencarian boleh menyebabkan rukun hibah pada mauhub (barang hibah) menjadi tidak sempurna dan secara tidak langsung menggagalkan transaksi hibah tersebut. Penelitian terhadap isu ini, pada kebiasaannya menjadi elemen utama pertimbangan Mahkamah untuk menentusahkan sesuatu hibah yang dibuat. Ia juga menjadi senjata utama bagi pihak yang tidak berpuas hati dengan instrumen hibah tersebut untuk membangkit bantahan bagi membatalkannya dan seterusnya menjadi igauan kesahihan hibah tersebut. Justeru itu, pengendali instrumen hibah ini harus memastikan keadaan harta yang hendak dihibahkan oleh Pemberi Hibah adalah sunyi dari tuntutan mana-mana pihak sebagai tuntutan harta sepencarian yang tidak ditentukan pembahagiannya lagi. Jika pengenalpastian ini tidak dilaksanakan, maka ia pasti mengundang permasalahan kelak.18 KABUL HIBAH OLEH PENJAGA HARTA Bagi pemberian hibah kepada penerima hibah yang tergolong dalam kategori mereka yang tidak tidak layak atau belum layak menguruskan harta (mahjur ‘alaihi) seperti kanakkanak dan golongan tidak sempurna akal, maka kabul hibah hendaklah dibuat oleh penjaga harta (wali mal) kepada golongan tersebut. Sebelum penjaga harta atau pemegang amanah boleh melaksanakan kabul bagi pihak penerima hibah, hendaklah dinyatakan di dalam dokumen hibah tentang pelantikan 17 Mohamad Redzuan Idrus, Ahmad Termizi Abdullah, dan Mawardi Che Man, Analisis Hibah Semasa: Mutlak, Amanah, Cagar Dan Syarat, Pustaka Mizi, Kuala Lumpur, 2020, hlm. 89. 18 Mohamad Redzuan Idrus, Ahmad Termizi Abdullah, dan Mawardi Che Man, Analisis Hibah Semasa: Mutlak, Amanah, Cagar Dan Syarat, hlm. 98-100.


12 penjaga harta. Jika penjaga harta ini belum dilantik, dan hibah yang berlaku adalah daripada bapa kepada anak bawah umur, yang mana ibu kepada kanak-kanak tersebut ingin dilantik sebagai penjaga harta, maka pemberi hibah (bapa) hendaklah melantik ibu kanak-kanak tersebut terlebih dahulu sebagai penjaga harta. Satu klausa pelantikan penjaga harta hendaklah dimuatkan dalam dokumen hibah. Contoh klausa pelantikan penjaga harta adalah sebagaimana berikut: “Saya dengan ini melantik isteri saya ______________________________ (No. K/P: _____________________) sebagai penjagai harta (wali mal) bagi pihak Penerima Hibah untuk menerima Harta Hibah bagi pihak Penerima Hibah.” PENYAKSIAN Dokumen hibah hendaklah disaksikan oleh dua (2) orang saksi lelaki muslim. Jika perempuan muslimah yang menjadi saksi, kiraannya adalah seorang lelaki muslim bersamaan dengan dua (2) orang perempuan muslimah. Bilangan saksi yang ramai ini adalah sebagai sandaran sekiranya seorang saksi terlupa atau kurang ingatan, maka seorang lagi boleh membantu dalam memberi keterangan jika dokumen hibah dipertikaikan. Saksi-saksi ini juga hendaklah di kalangan orang-orang Islam. Ini adalah kerana dokumen hibah dikira sebagai dokumen transaksi muamalat Islam yang bukan sekadar transaksi sivil yang biasa. Bagi mengelakkan permasalahan jika dokumentasi hibah dicabar di Mahkamah Syariah, syarat beragama Islam perlu diberi perhatian. Saksi-saksi ini boleh disediakan sendiri oleh Pemberi Hibah atau Penerima Hibah, atau boleh disediakan oleh peguamcara atau pihak-pihak yang menyediakan instrumen hibah. Allah SWT berfirman: “Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi dari kalangan lelaki kamu. Maka sekiranya tiada dua orang saksi lelaki, cukuplah seorang lelaki dan dua orang perempuan dari kalangan saksi-saksi yang kamu redhai.” (Surah al-Nisa’ (4):15) Ayat ini memberi petunjuk berkenaan kaedah memilih saksi dan bilangan saksi yang layak dalam urusan mudayanah. Para fuqaha’ telah mengiaskan ayat ini kepada semua urusan mal (harta) dan apa yang berkaitan dengan harta.19 Berkata Rasulullah SAW: “Bukankah kesaksian seorang wanita menyamai setengah kesaksian seorang lelaki? Mereka berkata: Bahkan. Baginda SAW bersabda: Maka itulah yang (menunjukkan) kurang akalnya. Bukankah apabila wanita sedang haid, dia tidak solat dan tidak berpuasa? Mereka berkata: Bahkan. Sabda Rasulullah SAW: Maka itulah yang menunjukkan kurang agamanya.” 19 Perbincangan lanjut, lihat Wan Nor Ainon Wan Abdullah, dan Nurhafilah Musa, Kedudukan Wanita Sebagai Saksi Dalam Perundangan Islam, dalam Nurhafilah Musa, dan Najah Nadiah Amran (editor), Inspirasi Muslimah: Ke Arah Matlamat Pembangunan Mapan, Jilid 2, Persatuan Ulama’ Malaysia, Selangor, 2019, hlm. 569.


13 Sebab utama disyaratkan bilangan dua orang saksi wanita telah dijelaskan pada potongan ayat yang berbunyi ‘supaya jika salah seorang terlupa maka yang seorang lagi boleh mengingatkan.’ Manakala hadis ini selari dengan maksud ayat sebelum ini dalam memberi pengertian dua orang wanita sama tahapnya dengan seorang lelaki dalam hal kesaksian.20 Maka saksi-saksi bagi dokumen hibah adalah sama ada: 1. Dua orang lelaki muslim; atau 2. Seorang lelaki muslim, bersama dua orang perempuan muslimah; atau 3. Empat orang perempuan muslimah. PENYETEMAN Surat Pengisytiharan Hibah hendakah disetemkan. Bagi hibah mutlak, pembayaran duti setem ad valorem hendaklah dibuat pada dokumen pindahmilik sama ada pada Borang 14A KTN bagi hak milik individu / hakmlik strata, dan pada Surat Ikatan Penyerahan Hak bagi hak milik induk. Penyeteman bukan sahaja dibuat pada dokumen induk, tetapi juga pada dokumendokumen tambahan. Pastikan penyeteman dokumen-dokumen tersebut mematuhi Jadual 1 Akta Setem 1949 merujuk kepada senarai ‘conveyance’ yang perlu disetemkan atau dikecualikan. Menurut seksyen 16 Akta Setem 1949, mana-mana ‘conveyance’ atau urusan pindahmilik yang dilakukan secara sukarela mestilah dikenakan cukai setem seakan akan ia satu urusan jual beli. Untuk urusan hibah yang melibatkan pindahmilik di antara Pemberi Hibah dan Penerima Hibah yang mempunyai hubungan suami – isteri, terdapat satu perintah khas mengenai pengecualian duti setem sebanyak 100%.21 Untuk urusan hibah yang melibatkan pindahmilik di antara Pemberi Hibah dan Penerima Hibah yang mempunyai hubungan ayah – anak, atau ibu – anak, terdapat satu perintah khas mengenai pengecualian duti setem sebanyak 100%. Anak dalam maksud ini adalah termasuk anak kandung, anak tiri, dan anak angkat yang berdaftar.22 Dokumen-dokumen yang tidak disetemkan tidaklah menjadikan dokumen tersebut tidak sah, namun ia tidak menjadi satu dokumen yang boleh dijadikan bukti di Mahkamah untuk sebarang pertikaian. DOKUMENTASI HIBAH/WASIAT TIDAK BOLEH MENGECEWAKAN STATUT Mana-mana dokumentasi hibah sepatutnya tidak boleh mengecewakan statut atau bercanggah dengan apa-apa peruntukan khusus yang berkaitan dengan hartanah yang menjadi harta hibah. Oleh hal yang demikian, dokumentasi hibah hartanah hendaklah meraikan segala statut berkaitan hartanah seperti Kanun Tanah Negara 1965, Akta Tanah 20 Wan Nor Ainon Wan Abdullah, dan Nurhafilah Musa, Kedudukan Wanita Sebagai Saksi Dalam Perundangan Islam, hlm. 573. 21 PU (A) 420. 22 PU (A) 178.


14 (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960, Akta Hakmilik Strata 1985, enakmen rizab melayu negeri-negeri, dan undang-undang lain yang berkaitan. Sekiranya wujud dokumentasi hibah yang bercanggah dengan statut, maka boleh dihujahkan bahawa hibah tersebut tidak sah lantaran tidak memenuhi aspek al-qabdh, dan tasarruf. Contoh-contoh dokumentasi hibah yang tidak meraikan statut adalah sebagaimana berikut: i. Hibah hartanah mutlak tetapi tidak menyediakan dokumen Borang 14A KTN. Tidak ada juga apa-apa dokumentasi tambahan lain seperti Surat Ikatan Amanah, atau Pengesahan Hibah di Mahkamah Syariah, dan lain-lain sebagainya. Hal ini boleh menyebabkan litigasi antara penerima hibah dengan waris-waris faraid pemberi hibah. ii. Hibah hartanah secara pengamanahan tetapi tidak menyediakan dokumen suratikatan amanah bagi maksud pendaftaran amanah di bawah seksyen 344 KTN. Hal ini akan menyebabkan hartanah terbabit masih menjadi milik pemegang amanah secara mutlak dan boleh dipusakakan kepada waris pemegang amanah lantaran pengamanahan yang tidak didaftarkan. iii. Hibah hartanah Felda tanpa mendapat kebenaran daripada pihak Felda. Hal ini bercanggah dengan sekatan-sekatan kepentingan atas tanah Felda dan boleh dibatalkan. iv. Hibah hartanah mutlak bagi hartanah di atas hakmilik induk tetapi tanpa penyediaan dokumen Surat Ikatan Penyerahan Hak. Hal ini menyebabkan tiada notifikasi kepada pemaju menyebabkan pemaju tidak mengiktiraf hibah yang disediakan. Hal ini akan menjadi sesuatu yang rumit sekiranya hak milik strata atau hakmilik individu dikeluarkan selepas pemberi hibah meninggal dunia. v. Menyediakan dokumen surat kuasa wakil antara pemberi hibah dengan penerima hibah. Hal ini tidak membatalkan kuasa pemberi hibah yang sedia ada pada hartanah yang dihibahkan. Hal ini juga berpotensi untuk menjadi perbalahan contohnya bagi kes suami membatalkan surat kuasa wakil yang diberikan kepada bekas isteri selepas bercerai, walhal hartanah tersebut sudah dihibahkan secara mutlak semasa elok-elok menikmati manisnya berumahtangga. vi. Menyediakan dokumen hibah bagi hartanah di bawah enakmen rizab melayu negeri-negeri kepada penerima hibah yang bukan melayu. Definisi melayu bagi setiap negeri adalah berbeza dan ilmu mengenai hal ini perlu digali sebelum dokumen hibah hartanah rizab melayu didokumenkan. vii. Menyediakan dokumen hibah kepada penerima hibah yang bukan bertaraf warganegara tanpa melihat kepada aspek kebolehmilikan penerima hibah untuk memiliki hartanah di Malaysia. viii. Menyediakan dokumen hibah bagi hartanah bertaraf kos rendah kepada penerima hibah yang tidak layak memiliki hartanah kos rendah. ix. Menyediakan hibah hartanah kategori pertanian berkeluasan kurang satu ekar atau kurang setengah ekar bagi negeri Kelantan kepada penerima hibah lebih daripada seorang.


15 x. Hibah tunai wang yang terkumpul dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak diiktiraf oleh KWSP. Akta KWSP menyatakan bahawa bagi orang Islam, wang KWSP yang terkumpul dalam akaun si mati dikira sebagai harta pusaka si mati dan hendaklah dibahagikan secara faraid. Penamaan di KWSP hanyalah penamaan wasi atau pemegang amanah untuk mentadbir harta pusaka si mati dan membahagikannya kepada ahli waris si mati. Hal ini berlainan dengan situasi di Singapura apabila wang CPF (seperti KWSP di negara kita) boleh dihibahkan secara bersyarat ruqba oleh pemilik akaun CPF.23 Apa yang perlu difahami ialah, dokumentasi hibah bukanlah satu ‘pelarian’ undangundang. Dokumentasi hibah bukanlah pintu belakang bagi maksud memindahmilik hartanah atau harta hibah yang dihalang oleh statut. Apa-apa sahaja dokumentasi yang mengecewakan statut adalah terbatal dan tidak boleh dilangkau dengan perintah pengesahan hibah sekali pun. Ada yang berhujah bahawa perintah pengesahan hibah oleh Mahkamah Syariah adalah mutlak dan perlu diberi pengiktirafan yang sewajarnya oleh pihak pendaftar atau pentadbir tanah atau pihak-pihak yang lain. Perlu kita fahami bahawasanya perintah pengesahan hibah perlu disahkan pula sama ada melalui perintah perletakhakkan di Mahkamah Tinggi Sivil atau melalui perintah turunmilik atau perintah pindahmilik di Unit Pembahagian Pusaka Kecil. Seksyen 417 dan/atau seksyen 421A KTN hanya terpakai bagi perintah-perintah yang berkait dengan statut di peringkat persekutuan seperti Akta Probet dan Pentadbiran 1959 dan/atau Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Perintah Mahkamah Syariah per se masih tidak boleh berdiri secara kediri lantaran kuasa Mahkamah Syariah itu sendiri yang mendapat punca dari negeri-negeri.24 DOKUMENTASI WASIAT Dari segi dokumentasi wasiat di negara kita, terdapat pihak yang memang berpegang kepada zahir hadis “Tiada wasiat kepada waris.”, maka mereka tidak menyatakan pembahagian harta melalui wasiat kepada waris. Bagi mereka, pembahagian harta melalui dokumentasi wasiat adalah untuk bukan waris sahaja pada kadar tidak melebihi satu per tiga dari keseluruhan harta pewasiat. Walau bagaimanapun, terdapat pula banyak pihak, termasuk syarikat-syarikat amanah yang meletakkan klausa pembahagian harta kepada waris pewasiat dengan memasukkan syarat bahawa pembahagian tersebut adalah dengan izin waris-waris pewasiat. Contoh penderafan syarat keizinan waris tersebut adalah seperti berikut: “Walaupun peruntukan di klausa ____ wasiat ini, pemberian dan pembahagian wasiat saya ini hanya akan terpakai dan dilaksanakan selepas kematian saya sekiranya mendapat persetujuan dan keredhaan semua waris-waris saya. Tetapi sekiranya ada di antara waris-waris saya yang menentang pembahagian yang dibuat dalam wasiat 23 Bacaan lanjut tentang isu CPF ini contohnya pada buku karangan penulis berjudul ‘Hibah Bersyarat’. 24 Ahmad Termizi Abdullah, Dokumentasi Hibah, hlm. 63-70.


16 ini, maka hendaklah dibahagikan kepada beliau/mereka hak mengikut Hukum Faraid. Sekiranya semua waris saya menentang pembahagian yang dibuat dalam wasiat ini, maka harta saya hendaklah dibahagikan mengikut Hukum Faraid.” Walau bagaimanapun, memandangkan terdapat beberapa negeri yang membenarkan pembahagian harta melalui wasiat kepada waris sendiri walaupun tanpa izin waris faraid yang lain, asalkan pada kadar tidak melebih 1/3 dari nilaian keseluruhan harta, terdapat juga penderafan wasiat yang mengambil klausa ini dalam dokumentasi wasiat mereka. Contoh penderafan yang dibuat adalah sebagaimana berikut: “Tanpa menafikan hakikat Hukum Faraid sebagai cara pembahagian pusaka yang ditentukan oleh Allah swt DAN saya sedar perbezaan pendapat ulama’ berkenaan pembahagian secara wasiat kepada ahli waris DAN bersandarkan dan berpegang kepada peruntukan Seksyen 26 Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Kelantan) 2009, saya DENGAN INI MEMBERIKAN DAN MEMBAHAGIKAN Satu Per Tiga (1/3) daripada harta pusaka saya setelah ditolak segala perbelanjaan yang dinyatakan di dalam Klausa ______ di atas kepada _________________________ (No. K/P: _________________).”25 PENUTUP Kemahiran dalam disiplin kedua-dua bidang ilmu sama ada undang-udang syariah dan undang-undang sivil adalah penting dalam dokumentasi hibah hartanah. Hal ini bukanlah kerana penulis mahu menaiktarafkan ‘peguam dua alam’ yang mempunyai pentauliahan dari kedua-dua bidang syariah dan sivil, tetapi hal ini perlu difahami secara tuntas bagi mereka yang terlibat dalam dokumentasi hibah hartanah lantaran aspek perundangan yang sebegitu di negara kita. Ini bermaksud, bagi peguam-peguam syarie, mereka hendaklah sentiasa bersedia untuk menambah ilmu tentang guaman hartanah, manakala bagi peguamcara pula, mereka hendaklah sentiasa bersedia untuk menambah ilmu tentang aspek syariah. Kedua-dua pihak sama ada peguam syarie, dan peguamcara hendaklah saling bekerjasama dalam penyediaan dokumentasi hibah hartanah yang sempurna.26 Wallahu a’lam. 25 Ahmad Termizi Abdullah, Rancang Harta, hlm. 183-184. 26 Ahmad Termizi Abdullah, Dokumentasi Hibah, hlm. 71-72.


17 RUJUKAN: 1. Abdullah Muhamad. 2016. Pengamanahan Harta Orang Islam di Malaysia, dalam Siti Mashitoh Mahamood. Editor. Harta Amanah Orang Islam di Malaysia: Perspektif Undang-undang dan Pentadbiran. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. 2. Ahmad Termizi Abdullah. 2021. Hibah Amanah. Kuala Lumpur: Pustaka Mizi. 3. Ahmad Termizi Abdullah. 2021. Hibah Bersyarat. Kuala Lumpur: Pustaka Mizi. 4. Ahmad Termizi Abdullah. 2021. Dokumentasi Hibah. Kuala Lumpur: Pustaka Mizi. 5. Ahmad Termizi Abdullah. 2021. Soal Jawab Pusaka (Siri II). Kuala Lumpur: Pustaka Mizi. 6. Mohamad Redzuan Idrus, Ahmad Termizi Abdullah, dan Mawardi Che Man. 2020. Analisis Hibah Semasa: Mutlak, Amanah, Cagar Dan Syarat. Kuala Lumpur: Pustaka Mizi. 7. Wan Nor Ainon Wan Abdullah, dan Nurhafilah Musa. 2019. Kedudukan Wanita Sebagai Saksi Dalam Perundangan Islam, dalam Nurhafilah Musa, dan Najah Nadiah Amran (editor), Inspirasi Muslimah: Ke Arah Matlamat Pembangunan Mapan, Jilid 2, Selangor: Persatuan Ulama’ Malaysia.


Click to View FlipBook Version