SI PENYU GERGASI I z z N a q i u d d i n
Cerita ini mengisahkan pemuda bernama Gambit yang merupakan seorang nelayan yang hidup sebagai orang biasa. Gambit juga seorang yang tidak percayakan cerita-cerita penduduk dan dianggap dongeng. Namun, pada suatu hari, satu pertemuan yang tidak dijangka berlaku antara Gambit dengan seekor penyu gergasi yang dianggap sebagai legenda. Pertemuan antara dua makhluk ini mewujudkan satu hubungan yang jarang berlaku. Adakah hubungan ini ke arah kebaikan atau keburukan? SINOPSIS 1
watak perwatakan 2 Penyu Gergasi Seekor haiwan legenda Seekor haiwan yang baik dengan manusia Seekor haiwan yang mempunyai kuasa. Gambit Pemuda berumur 30-an Seorang nelayan handalan Seorang yang sayang dan prihatin terhadap haiwan Ahmad Seorang nelayan kampung Kawan baik kepada Gambit Seorang yang tidak boleh dipercayai Raja Melewar Raja bagi kerajaan Melewar Seorang yang kejam dan tamak Seorang yang mementingkan diri sendiri
Pada suatu ketika dahulu, terdapat sebuah pulau yang tersembunyi daripada pandangan manusia. Pulau tersebut dipercayai sebagai tempat tinggal bagi seekor Penyu Gergasi, makhluk laut legenda bagi masyarakat kerajaan Melewar. Cerita Penyu Gergasi ini tersebar luas dalam kalangan rakyat kerajaan Melewar. Mereka percaya bahawa penyu ini memiliki azimat dan kuasa yang dapat memberikan mereka petunjuk dalam menyelesaikan kesusahan hidup. Berita ini juga tersebar kepada Raja Melewar yang turut berminat dalam menangkap penyu legenda ini demi kepentingan diri sendiri iaitu mendapat kuasa. Bagi Gambit, seorang nelayan handalan yang tinggal di kerajaan itu sejak lahir, cerita itu hanya dongeng baginya. Dia tidak menghiraukan sebarang kata-kata raja dan penduduk kampung. Dia hanya hidup seperti orang biasa. 3
Suatu hari yang cerah, Gambit memutuskan untuk mencari rezeki lebih jauh daripada kebiasaannya. ‘Cerah betul cuaca hari ini, harap dapat rezeki lebih untuk hari ini’ ujar Gambit dalam hatinya. Dia membawa perahunya dan memulakan perjalanan dengan penuh semangat. Gambit tidak tahu bahawa hari tersebut akan mengubah hidupnya selamanya. Setelah beberapa jam berlayar, Gambit tiba di sebuah pulau yang tidak pernah dia temui sebelum ini. “Wah, pulau apa ini! Siap ada pokok kelapa lagi. Cantiknya” ujar Gambit dengan penuh kekaguman. Dia menambat perahu lalu mengambil parangnya untuk memetik buah kelapa. 4
Sedang menikmati air kelapa yang segar, Gambit terdengar satu bunyi hembusan nafas binatang yang kuat. Bunyi itu belum pernah didengari sepanjang hidupnya yang berumur 30 tahun. Dia terus meletakkan buah kelapa dan menyelinap di sebalik hutan di pulau tersebut. Alangkah terkejutnya Gambit apabila ternampak seekor Penyu Gergasi yang telah lama disebut-sebut oleh penduduk kampungnya. Tanpa berfikir panjang, Gambit terus bergerak meninggalkan tempattersebut. 5
Tanpa disedarinya, dia terpijak ranting pokok sehingga mengeluarkan bunyi. ‘Alamak, mati aku’ kata Gambit dalam hatinya dengan penuh gelisah. Penyu Gergasi terdengar bunyi tersebut dan terus bergerak ke arahnya. Gambit bertentang mata dengan Penyu Gergasi. Gambit memulakan langkah seribu tanpa menghiraukan perkara dibelakangnya. Penyu Gergasi mengejarnya dengan gerakan berjarak besar. Walaupun Gambit melarikan diri dengan pantas, namun dia tetap ditangkap oleh Penyu Gergasi tersebut. Haiwan legenda itu menggigit kolar baju dan mengangkat Gambit dengan mulutnya yang besar. “Lepaskan aku!” jerit Gambit. Dia seterusnya menikam mulut penyu tersebut menggunakan parang yang berada di tangannya. Tikaman itu telah berjaya membuatkan Gambit meloloskan diri. Gambit terus ke perahunya dan berlayar pulang ke kampung dengan secepat mungkin. 6
Setibanya di kampung, Gambit terus bertemu kawan baiknya yang juga seorang nelayan, Ahmad. “Ahmad, tadi aku berlayar ke sebuah pulau cantik. Tiba-tiba, aku terjumpa Penyu Gergasi yang kau cakapkan itu” kata Gambit. “Kau biar betul Gambit. Setahu aku, kau yang paling tidak percaya akan Penyu Gergasi ini” ujar Ahmad. “Betul, kali ini aku tidak tipu dan aku percaya kata-kata kau dan penduduk kampung yang lain. Penyu tersebut memang betul-betul gergasi Ahmad” . “Macam mana laluan ke pulau itu Gambit?” tanya Ahmad. “Pulau tersebut jauh ke timur dan perlu melalui beberapa laluan kecil. Tapi, kau jangan pergi Ahmad, haiwan itu sangat buas. Aku juga minta kau jangan beritahu perkara ini kepada sesiapa. Aku percayakan kau sebagai kawan aku” jawab Gambit. “Ya Gambit, aku tidak akan pergi dan tidak akan beritahu kepada sesiapa” kata Ahmad. Mendengar jawapan Gambit, Ahmad terus berlalu. Melihat Ahmad pergi, Gambit bergerak ke rumahnya untuk merehatkan badan dan menenangkan diri. 7
Tanpa pengetahuan Gambit, Ahmad terus berlari ke pintu istana untuk melaporkan perkara yang diberitahu oleh kawannya itu. Ahmad berbuat demikian kerana dia tahu bahawa sekiranya sebarang maklumat mengenai Penyu Gergasi diberikan kepada pihak istana, orang itu akan diupah dengan sepuluh syiling emas. Ahmad yang sedang mengalami masalah wang, sanggup membelot kawannya demi sejumlah syiling emas. Raja Melewar yang mendengar cerita tersebut, terus memerintah askarnya untuk mengekori Gambit bagi mendapatkan petunjuk yang selanjutnya. Gambit termenung di rumahnya sambil memikirkan sesuatu. Gambit berasa menyesal akan perbuatannya menyakiti Penyu Gergasi itu. 8
Keesokan harinya, Gambit keluar berlayar lebih awal daripada kebiasaan. Dia berharap dapat berjumpa lagi dengan penyu tersebut. Askar istana yang melihat pergerakan Gambit, terus mengekorinya. Gambit berlayar jauh dan pergi semula ke pulau tersebut sambil membawa buah-buahan. Sesampainya dia di pulau itu, dia terus menjelajah hutan dan menjumpai penyu tersebut sedang tidur. Dia beranikan dirinya mendekati penyu tersebut dan meletakkan buah-buahan sebelah penyu tersebut. Semasa hendak melarikan diri, tiba-tiba. “Kamu buat apa di sini?” tanya Penyu Gergasi tersebut. Penyu Gergasi tersebut merupakan penyu ajaib yang boleh bercakap. Mendengar kata-kata tersebut, Gambit terkejut. “Aku, aku hendak minta maaf kerana menikam kau. Jadi, aku bagi buah ini” jawab Gambit dengan penuh takut. 9
“Tidak mengapa, sudah biasa orang takut melihatku dan mencederakan aku. Kau tengok di kaki aku itu” kata penyu. Gambit melihat begitu banyak lembing yang tercucuk di kaki penyu tersebut. “Aku cuma ingin berkawan dengan manusia, namun tidak aku sangka bahawa aku hanya mendatangkan ketakutan kepada mereka termasuklah kamu” kata penyu lagi. Melihat keadaan penyu yang kesedihan, Gambit terus mencabut lembing-lembing di kaki penyu itu. “Apa kau buat ini?” tanya penyu. “Aku sedih melihat keadaan kau, aku tidak sangka ada manusia sekejam ini kepada binatang” ucap Gambit dengan penuh sayu. Penyu Gergasi terharu dengan perbuatan Gambit. Askar istana yang mengekori Gambit terkejut melihat perkara yang berlaku di depannya dan terus melaporkan kepada pihak istana. Setelah beberapa jam bersama Penyu Gergasi, Gambit berlayar kembali ke kampungnya. 10
Menjelang esok, Gambit berlayar kembali ke pulau tersebut dengan membawa beberapa ekor ikan untuk diberikan kepada penyu gergasi. Setelah tiba di sana, Gambit berasa terkejut apabila melihat berpuluh buah kapal perang istana mengelilingi pulau tersebut yang dipimpin oleh Raja Melewar. Dia terus berlayar dengan laju dan mendekati kapal raja tersebut. “Apa yang Tuanku buat ini? Tuanku hentikan tangkapan ini sekarang. Penyu itu haiwan baik” jerit Gambit. “Ahhh, tidak akan beta dengar kata-kata nelayan miskin ini! Tangkap dia sekali” balas Raja Melewar. Gambit yang seorang diri tidak mampu berbuat apa-apa, terus ditangkap dan dipengsankan oleh askar istana. Gambit dan Penyu Gergasi dibawa ke istana. 11
“Woi, bangun nelayan!” jerit askar istana sambil menyimbah sebaldi air. Gambit yang penuh kebingungan terus bangun. Gambit dan Penyu Gergasi diikat di hadapan semua penduduk. “Wahai penduduk sekalian, lihatlah manusia pembelot ini, sanggup mengkhianati kerajaan demi berkawan dengan haiwan merbahaya itu. Disebabkan itu, hukuman bunuh akan dijatuhkan ke atasnya” jerit Raja Melewar. Askar istana terus mengambil pedang untuk memancung Gambit. Penyu Gergasi yang melihat perkara itu akan berlaku, terus bertindak liar dan melepaskan ikatan. Penduduk berdekatan mula ketakutan dan terus melarikan diri. Penyu Gergasi terus menghampiri Gambit lalu mengambilnya dan diletakkan di atas cengkerangnya. Askar istana bertungkus-lumus menembak penyu tersebut namun semuanya dihalang dengan mudah. Penyu tersebut meluru laju ke arah Raja Melewar dengan niat untuk membunuh raja tersebut. Raja yang kejam itu terus terjatuh akibat ketakutan. Penyu Gergasi terus mengangkat tangannya yang besar dan menjatuhkan ke arah raja tersebut. 12
“Hentikan Penyu Gergasi!” jerit Gambit dengan keras. Jeritan kuat tersebut telah menghentikan pergerakan Penyu Gergasi. Semua penduduk terdiam. askar menghentikan tembakan. “Kau bukan haiwan yang jahat dan ganas penyu” kata Gambit. Mendengar kata kata itu, Penyu Gergasi terus membatalkan niat membunuhnya. “Dengar wahai penduduk semua, penyu ini bukanlah penyu jahat seperti yang diceritakan tetapi dia ialah penyu yang hanya ingin mencari keharmonian. Hanya kita yang manusia selalu menyakiti binatang tanpa menghiraukan perasaannya. Jadi, ayuhlah sedar dan sayang binatang di sekeliling kerana mereka adalah khazanah yang dikurniakan kepada kita” jerit Gambit dengan penuh perasaan. Penduduk kampung yang mendengar kata-kata Gambit terus berasa insaf dan tidak lagi memandang takut dan menzalimi Penyu Gergasi. 13
Sejak pada hari itu, Penyu Gergasi tersebut tidak lagi diburu. Penyu itu juga mula disayangi kerana dengan kuasa ajaibnya, banyak kesusahan penduduk kampung dapat diselesaikan. Gambit pula terus berkawan dengan Penyu Gergasi dan menjadi nelayan seperti biasa kerana baginya hidup begitu lebih aman buatnya. Gambit berasa bersyukur kerana kini ramai manusia mula menyayangi dan menghargai binatang. 14
TAMAT