The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by azmiarifin, 2021-07-25 19:45:49

2 Abdul Rahman - Raja

2 Abdul Rahman - Raja

2
KEDAULATAN NEGARA BANGSA: MENYOROT PEMERINTAHAN

RAJA BERPERLEMBAGAAN DI MALAYSIA

Abdul Rahman Haji Ismail

Perlembagaan ialah satu sistem undang-undang dan adat yang diadakan
oleh pemerintah sesebuah Negara untuk menjadi panduan bagi dirinya
sendiri. Ia bukanlah semata-mata undang-undang tetapi juga asas bagi
semua undang-undang sesebuah Negara. Perlembagaan juga adalah sebuah
dokumen menyeluruh (comprehensive) tentang perundangan, pelaksanaan
dan kehakiman bagi Negara tersebut. Berasaskan semua inilah setiap
Negara/Kerajaan ada Perlembagaan. (Syed Ibrahim, “Publisher’s Note”,
Constitution of the States of Malaysia, 1991)

Pendahuluan

Dalam buku teks Sejarah untuk Tingkatan 3 terbitan Kementerian Pelajaran
Malaysia yang diguna di sekolah pada masa kini, dinyatakan bahawa “Antara ciri
utama yang terdapat dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 ialah:-
Konsep Raja Berperlembagaan diperkenalkan”.1 Penyataan itu seakan-akan
mendakwa bahawa gagasan Raja Berperlembagaan tidak pernah wujud di Tanah
Melayu sebelum 1948. Bab ini akan menyorot perkara ini dengan lebih teliti dengan
meninjau sejarah Malaysia dalam tempoh yang lebih panjang dan kemudian
membuat kesimpulan yang difikirkan lebih tepat tentangnya.

42

Pemerintahan Berperlembagaan di Malaysia

Sebagai sebuah negara persekutuan, Malaysia kini mempunyai empat belas buah
perlembagaan moden yang terdiri daripada satu perlembagaan bersama iaitu
Perlembagaan Persekutuan dan satu perlembagaan negeri bagi setiap daripada tiga
belas negeri di dalamnya. Perkembangan ke arah negara persekutuan selepas
kedatangan British ini bermula dengan pembentukan Jajahan Selat pada 1826,
penubuhan persekutuan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1896 yang
melibatkan empat buah negeri di Semenanjung yang menerima Residen British, dan
penubuhan Majlis Persekutuan pada tahun 1910 setelah Britain campurtangan dalam
urusan pentadbiran semua negeri Melayu di Semenanjung susulan Perjanjian Great
Britain-Siam 1909.2 Ini diikuti pula dengan pengenalan pentadbiran Malayan Union
pada tahun 1946, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 bagi menggantikan
Malayan Union, penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada 1957,
dan penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963.3 Semua perkembangan ini adalah
berkaitan dan hasil daripada peranan aktif Britain dalam kegiatan penjajahan dan
dekolonisasinya di rantau Nusantara bermula dengan pendudukannya di Pulau
Pinang pada 1786. Di Semenanjung, negeri-negeri Jajahan Selat yang terdiri
daripada Pulau Pinang, Melaka dan Singapura dikuasai Britain secara langsung
(mula-mula dengan perantara Syarikat Hindia Timur Inggeris) melalui perjanjian,
peperangan, dan penipuan, manakala sembilan negeri Melayu yang masih dapat
mengekalkan warisan kepimpinan tradisionalnya dikuasainya pula secara beransur-

43

ansur melalui perjanjian-perjanjian berhelah bermula dengan Perjanjian Pangkor
dengan sebahagian para pemimpin Melayu Perak pada bulan Januari 1874.

Berdasarkan perjanjian-perjajian itu raja-raja Melayu kekal diiktiraf sebagai
Sultan atau Raja negeri masing-masing tetapi dikehendaki akur segala nasihat
Residen dan kemudiannya Penasihat British (di negeri-negeri Melayu tidak
bersekutu) kecuali dalam hal-ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu.
Penjajahan berselindung ini berterusan sehinggalah British memaksakan pula
rancangan Malayan Union pada tahun 1946 untuk menjajah seluruh Tanah Melayu
secara langsung dan rasmi. Kewajipan Raja memerintah dengan nasihat adalah
intipati sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan. Cuma bezanya, seperti yang
disebut Tun Salleh Abas, setelah merdeka,

raja-raja kini dikehendaki menerima nasihat daripada menteri-
menteri mereka dan bertindak menurut nasihat-nasihat itu.... Yang
di-Pertuan Agong... hendaklah menurut nasihat Kabinet, dan Raja
sesebuah Negeri pula hendaklah bertindak atas nasihat Majlis
Mesyuarat Kerajaan.4

Inilah gambaran umum yang sering ditampilkan apabila membicarakan sejarah
sistem raja berpelembagaan di Malaysia. Ia adalah penyataan yang lebih baik
berbanding kesimpulan yang dibuat di dalam buku teks sekolah Tingkatan 3 itu.
Namun, penjelasan sedemikian pun sebenarnya masih dibelenggu pedekatan dari

44

sudut pandangan Eropah (Eurocentric) yang melihat segala perubahan sebagai
bermula di Eropah dan hasil daripada kegiatan orang Eropah.

Persoalannya ialah apakah sistem pemerintahan yang terlaksana di Malaysia
sebelum campurtangan British di Tanah Melayu bermula akhir kurun ke-18 itu?
Belum wujudkah undang-undang bertulis atau perlembagaan di negara-negara
Melayu sebelum kurun ke-19 dan adakah gagasan raja berperlembagaan atau raja
memerintah dengan nasihat itu sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam masyarakat
Melayu sebelum itu?

Kedudukan dan Peranan Raja dalam Kenegaraan Melayu Tradisional

Negara Melayu tradisional sering dipaparkan sebagai mengamalkan sistem „feudal‟
dengan pemerintahan „Raja berkuasa mutlak‟.5 Raja-raja Melayu dikatakan berkuasa
melakukan apa sahaja sesuka hati dan rakyat Melayu pula sentiasa akur kehendak
dan perintah raja secara membuta tuli. Negara-negara Melayu digambarkan sebagai
diperintah tanpa undang-undang, dan kalau ada pun, undang-undang itu hanya
diperturunkan secara lisan dan bersifat berat sebelah memihak kepada raja dan
umumnya menindas rakyat. Kedudukan dan kuasa raja kononnya berasaskan daulat
yang diperoleh raja secara semula jadi selaras dengan kejadiannya yang istimewa.
Rakyat yang melanggar tata perhubungan yang mengutamakan raja atau ingkar
kehendak raja akan ditimpa tulah seandainya tidak diampun raja.6 Keadaan inilah,
kata sarjana yang beranggapan begini, yang menyebabkan raja-raja Melayu boleh
memerintah sesuka hati dan pentadbiran negara kadangkala menjadi bercelaru.

45

Rakyat pula, walaupun dizalimi, kononnya patuh segala kehendak raja dan tunduk
pada semua peraturan tanpa soal.7 Maka disebabkan keadaan seperti inilah, dakwa
para penjarah asing yang mempelopori campurtangan British dalam hal ehwal Tanah
Melayu dalam kurun ke-19, keadaan politik di negara-negara Melayu tradisional
sentiasa bergolak (anarki) dan negara menjadi mundur lalu memerlukan nasihat dan
tunjuk ajar British untuk maju ke hadapan.

Sejauh manakah gambaran demikian tepat dalam sejarah kenegaraan Melayu
tradisional? Adakah cara pemerintahan di negara-negara Melayu zaman dahulu
begitu semberono dan hodoh? Kalau benar demikian, bagaimana pula mahu
diterangkan kehadiran kerajaan-kerajaan Melayu yang terkenal pada masa lampau?
Apakah pula faktor yang menyebabkan kerajaan-kerajaan Seriwijaya, Majapahit dan
Melaka misalnya begitu berjaya dan masyhur ke seluruh dunia? Apakah pula
penjelasan bagi pengekalan kerajaan-kerajaan kesultanan di Tanah Melayu dan
Brunei dalam kurun ke-21 ini sedangkan hampir seluruh kerajaan beraja yang lain di
Timur termasuk di China, India, Indo-Cina dan Burma hancur diasak gelombang
penjajahan barat dan kebangkitan rakyat dalam kurun ke-19 dan ke-20?

Hakikatnya ialah walaupun wujud zaman-zaman gerhana dalam sejarah
kerajaan-kerajaan Melayu sejak dahulu, secara umumnya pemerintahan kerajaan-
kerajaan Melayu lama sebelum kedatangan barat itu tidaklah seburuk yang
diandaikan. Seperti yang dinyatakan Prof. Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned
dalam buku mereka Sistem Undang-Undang Malaysia, memang terdapat banyak
undang-undang adat pada zaman dahulu yang hanya diperturunkan secara lisan tetapi
undang-undang adat dalam bentuk bertulis juga telah wujud di merata tempat di

46

Nusantara dari Aceh hingga ke Makasar dan Mindanao. Di Semenanjung sahaja
misalnya, terdapat antaranya Undang-Undang Melayu atau Undang-Undang Melaka
dan Undang-Undang Laut Melaka; Undang-Undang Pahang yang dipercayai diguna
pakai juga di Perak dan Johor; Undang-Undang 99 Perak; kumpulan Undang-
Undang Kedah; kumpulan Undang-Undang Selangor, kumpulan Undang-Undang
Johor dan sebagainya.8

Merujuk naskhah-naskhah undang-undang negara-negara Melayu tradisional
ini dan takrif “perlembagaan” yang dinyatakan di awal perbincangan, tidaklah dapat
disangkal bahawa kebanyakan negara Melayu sebelum kedatangan barat telah pun
mempunyai perlembagaan masing-masing. Cuma, yang mungkin masih menjadi soal
ialah sejauh manakah perlembagaan-perlembagaan itu benar-benar menunjangi
pemerintahan di negara-negara tersebut. Juga, sejauhmanakah perlembagaan-
perlembagaan itu mendukung sistem pemerintahan raja dengan nasihat.

Untuk meninjau perkara ini, lihat misalnya Undang-Undang Melayu atau
Undang-Undang Melaka (UUM) yang juga dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka.
UUM telah ditulis dan dimaktub pada zaman Sultan Muzaffar Syah (1445-1456TM)
berasaskan penggubalan oleh ayahendanya Sultan Muhammad Syah (1424-
1444TM).9 UUM kemudian diperturunkan kepada pemerintah-pemerintah seterusnya
sehinggalah ditulis semula dengan perintah Sultan Mahmud Syah di Bintan setelah
Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511. Pada asasnya UUM mencakupi semua
perkara dasar yang ada kena mengena dengan pemerintahan sesebuah negara,
daripada falsafah kepimpinan sehinggalah perkara-perkara yang berkaitan dengan
kehidupan seharian rakyat jelata. Raja pada asasnya tidaklah memerintah sesuka hati.

47

Baginda dikehendaki mematuhi empat syarat asas secara berturutan sebagai lunas
dalam pemerintahan iaitu menjadi seorang yang: [peng]ampun, [pe]murah, perkasa
dan melaksanakan hukum dengan tegas [kahar].10 Pengadilan dan pelaksanaan
hukum hendaklah berasaskan undang-undang yang telah dikanunkan itu.

Peri menyeluruhnya kuatkuasa UUM ternyata misalnya dalam bahagian
mukadimah dan penutup undang-undang tersebut. Dalam bahagian mukadimah
UUM dinyatakan:

Maka inilah suatu risalat pada menyatakan hukum kanun yaitu
pada segala negeri yang besar-besar dan pada segala raja-raja
yang besar-besar dan wazir dan pada adat yang takluk dan
dusun supaya manfaat atas negeri dan raja-raja. Maka hendaklah
raja-raja itu menjadikan orang besar-besar akan gantinya, supaya
tiada datang masyghul kepadanya.... maka adalah ia itu akan teladan
ganti raja-raja pada hal memerintahkan segala adat yang tersebut
itu, terhimpun pada segala menteri11

Peri meluasnya undang-undang itu disebarkan ternyata juga di bahagian
akhir UUM yang berbunyi:

Undang-undang Melayu yang dititahkan Duli Yang Dipertuan, yang
tersurat di atas ini, dilimpahkan kepada segala negeri, daripada
suatu negeri kepada suatu negeri, daripada suatu dusun kepada

48

suatu dusun, daripada suatu teluk kepada suatu teluk, daripada
suatu anak sungai kepada suatu anak sungai sekaliannya.12

Kemudian disiytiharkan pula bahawa,

Barangsiapa melalui seperti yang tersebut di dalam undang-undang
ini durhakalah ia ke bawah Duli Yang Dipertuan, kerana undang-
undang ini pun turun temurun daripada zaman Sultan Mahmud
Syah hingga sampai dua puluh tiga raja-raja datang sekarang ini,
tiadalah berubah adat undang-undang ini kepada segala raja-raja
yang besar-besar itu ... kita minta kepada Allah ta‟ala supaya
jangan berbuat aniaya kepada segala hamba Allah, nescaya kararlah
kepada pekerjaan kamu masing-masing.13

Tidaklah dapat disangkal lagi bahawa pemerintahan Melayu tradisional adalah
berasaskan undang-undang atau perlembagaan yang sebahagiannya diperturunkan
secara lisan dan sebahagian lagi dimaktubkan secara bertulis. Kebanyakan negara
Melayu sebelum campurtangan British telah mempunyai Perlembagaan sendiri
sebagai panduan dalam pemerintahan, pentadbiran dan kehakiman kerajaan masing-
masing.

Maklumat tentang perkara ini tidaklah terhad pada kitab-kitab undang-
undang semata-mata. Sebahagian daripadanya terdapat di dalam kitab hikayat atau
sejarah seperti Hikayat Raja Pasai, Sulalat-us-Salatin, Hikayat Siak, Hikayat Petani,

49

Hikayat Merong Mahawangsa, Tuhfat-un-Nafis dan lain-lain. Sebahagian lagi
terakam dalam kitab nasihat dan pedoman pemerintahan bagi raja-raja seperti Taj-us-
Salatin dan Thamarat al-Muhimmah yang dihasilkan para cendekiawan silam
sebagai panduan kepada para raja dan pentadbir.

Di dalam Sulalat-us-Salatin contohnya, dimuatkan pelbagai peristiwa sebab
dan akibat sebagai teladan bagi pemerintah. Juga disisipkan tunjuk ajar dan
penegasan dalam bentuk penyataan dan wasiat sebagai panduan kepada bakal raja
dan pembesar. Seperti yang ternyata daripada wa‟ad Seri Teri Buana-Demang Lebar
Daun dan beberapa peristiwa lain di dalam kitab tersebut, raja dikehendaki
memerintah dengan tegas tetapi adil, ihsan, mengambil kira pandangan dan nasihat
pegawai dan tidak melakukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai sengaja
menjatuhkan nilai diri dan air muka rakyat. Secara jelas, seperti UUM Sulalat-us-
Salatin juga mencatatkan betapa undang-undang dan peraturan diatur secara rasmi
semasa pemerintahan Sultan Muhammad Syah dan dimaktubkan secara bertulis
semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.14 Raja amat berkuasa tetapi
kekuasaannya tidaklah mutlak. Yang lebih utama ialah tatasusila dan adat lembaga
yang sebahagiannya diwarisi sama ada secara lisan mahupun bertulis. Secara
umumnya para raja akur pada tata peraturan yang telah ditetapkan, menyesali
kesilapan yang telah dilakukan, dan bersedia menghukum diri kerana keterlanjuran
sendiri. Nilai diri dan kawalan kendiri adalah lebih utama. Atas dasar seperti inilah
Sultan Mansur Syah “membuang” anak kesayangannya, Raja Muhammad, ke
Pahang kerana membunuh Tun Besar setelah destarnya terjatuh terkena bola raga
yang ditendang Tun Besar. Demikianlah, menginsafi keterlanjuran diri, Sultan

50

Mahmud Syah menyerahkan gundik kesayangannya kepada Tun Biyajid sebagai
gantian, dan kemudian turun takhta sebagai tanda menyesal kerana menghukum
bunuh Bendahara Seri Maharaja dan beberapa pembesar lain pada 1510. Para raja
sendiri pun umumnya menyedari keperluan untuk tunduk pada tata adat bersama dan
kepentingan umum serta seboleh-bolehnya tidak mahu dilihat sebagai zalim,
menindas dan tidak senonoh.15

Selain itu di dalam hikayat ini juga terdapat contoh betapa orang yang
dihukum termasuk oleh Sultan berhak menuntut bukti mengapa dia dihukum. Kisah
hukuman mati yang dijatuhi Sultan Mahmud Syah terhadap seorang pembesarnya,
Seri Bija Aldiraja kerana tidak hadir dalam perhimpunan sempena hari raya di istana
sekitar tahun 1489 adalah suatu contoh yang berkaitan. Dalam Sulalat-us-Salatin
diceritakan:

Sekali persetua Seri Bija Aldiraja tiada mudik; sudah hari raya,
maka Seri Bija Aldiraja mudik. Maka Sultan Mahmud Syah
murka.... Maka disuruh baginda bunuh Seri Bija Aldiraja. Maka
kata Seri Bija Aldiraja pada orang yang hendak membunuh itu,
„Apa dosa hamba pada Yang Dipertuan? Kerana dosa hamba sedikit
inikah maka hendak dibunuh?‟ Maka segala kata Seri Bija Aldiraja
itu semuanya dipersembahkan orang kepada Sultan Mahmud Syah.
Maka titah baginda, „Jikalau Seri Bija Aldiraja tiada tahu akan
dosanya, tunjukkan surat ini padanya‟. Adapun dalam surat itu
segala dosa Seri Bija Aldiraja adalah, empat lima perkara.

51

Setelah Seri Bija Aldiraja memandang surat itu, maka Seri Bija
Aldiraja pun diamlah; maka iapun dibunuh oranglah. Maka anak
Seri Bija Aldiraja yang bernama Sang Setia Bentayan itulah
memegang Singapura.16

Nyatalah bahawa ketidakhadiran dalam pertemuan hari raya itu bukanlah “dosa”
utama yang menyebabkan Seri Bija Aldiraja dihukum. Beliau telah melakukan
“empat lima” kesalahan yang mewajarkan hukuman mati dikenakan ke atasnya.
Peristiwa ini memberi petunjuk kepada beberapa perkara yang berkaitan. Pertama,
orang tertuduh boleh menyoal dan berhak diberi tahu kesalahan yang dilakukannya
walaupun hukuman itu oleh raja sendiri. Kedua, tuduhan itu hendaklah dinyatakan
dengan jelas; dalam kisah di atas tuduhan itu dirakamkan secara bertulis. Ketiga,
hukuman berat terhadap „kesalahan‟ Seri Bija Aldiraja itu hanya terkena pada dirinya
sahaja. Ia tidak memberi kesan negatif kepada orang lain termasuk ahli keluarganya
yang terdekat. Anaknya, Sang Setia Bentayan, tidak dilarang mewarisi kedudukan
istimewa bapanya (yang bersalah itu) sebagai pemegang Singapura.

Kedudukan Raja dan Kedaulatan Undang-Undang Sejak 1890-an

Oleh kerana kekurangan maklumat, peristiwa yang melibatkan kerajaan Melaka
sahaja itu tentunya tidak dapat digunapakai sepenuhnya untuk membuat
penyeluruhan yang jitu bagi seluruh Tanah Melayu dalam tempoh yang panjang
meliputi beberapa kurun. Usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk

52

menyiasat tatacara mahkamah dan perbicaraan di semua negara Melayu dalam
kurun-kurun tersebut. Namun, gambaran yang lebih jelas mula kelihatan menjelang
akhir kurun ke-19. Penggubalan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (UTKJ)
pada 1890-an yang berkemuncak dengan pengisytiharannya secara rasmi oleh Sultan
Abu Bakar sendiri pada 24 Rabiulawal 1313 Hijriyah (bersamaan 14 September
1895) adalah satu peristiwa penting dalam sejarah sistem raja berperlembagaan di
Tanah Melayu.

Namun, seperti yang dinyatakan di awal perbincangan, tanggapan umum
ialah sistem raja berperlembagaan baru bermula di Malaysia apabila berlakunya
Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada awal 1948. Dr. Ramlah Adam yang
banyak membuat kajian tentang perkembangan politik di Tanah Melayu selepas
Perang Dunia Kedua17 misalnya, ada membicarakan tentang UTKJ dan Undang-
Undang Tubuh Negeri Terengganu (UTNT) tetapi hanya menganggapnya bersama-
sama dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 sebagai “garis pemisah di
antara tradisi kesultanan Melayu yang beradat lembaga dengan suatu tradisi yang
menggunakan undang-undang bertulis sebagai suatu dokumen perlembagaan”18.
Beliau tetap dengan kesimpulan bahawa konsep Raja Berperlembagaan baru
diperkenalkan di Tanah Melayu melalui Perjanjian Persekutuan 1948.19

Memang benar bahawa bermula daripada perjanjian Persekutuan Tanah
Melayu 1948 itulah setiap negeri dengan secara rasmi, dengan persetujuan kerajaan
British dan perkenan raja-raja Melayu, hampir serentak dan bersama, menggubal dan
mengisytiharkan perlembagaan terkini masing-masing serta bersetuju dengan
perlembagaan bersama di peringkat Persekutuan.20 Secara kebetulan pula,

53

perkembangan ini sesuai dengan kehendak dan keperluan pihak British dan
kebangkitan rakyat Melayu menghadapi British dan raja-raja Melayu ekoran
Rancangan Malayan Union. Telah jelas daripada peristiwa Malayan Union bahawa
banyak kekeliruan boleh berlaku seandainya raja-raja dibiarkan bertindak sendirian
tanpa berunding atau mendapat nasihat daripada para pemimpin yang mewakili
pandangan rakyat terbanyak. Pemerintahan beraja berasaskan nasihat inilah yang
menjadi asas dalam sistem raja berperlembagaan21 tetapi Perjanjian Persekutuan
Tanah Melayu bukanlah pemula pemerintahan raja berperlembagaan di Malaysia.
Semangat raja berperlembagaan telah lama wujud dalam pemerintahan negeri-negeri
Melayu di Semenanjung dan penegasannya secara nyata dan bertulis dalam bentuk
baru bermula dengan UTKJ 1895. Kelainan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu
1948 hanyalah dari segi peranannya sebagai pemangkin yang menggerakkan semua
negeri beraja di Semenanjung mewartakan pelaksanaan pemerintahan raja
berperlembagaan yang induknya seragam.

Dalam khazanah kepustakaan masa kini terdapat beberapa penulisan tentang
sejarah sistem pemerintahan di Malaysia. Tetapi apabila membicarakan amalan
sistem raja berperlembagaan, tumpuan umumnya adalah pada zaman selepas
campurtangan British terutama dengan terlaksananya Perjanjian Persekutuan Tanah
Melayu 1948 itu. Tan Sri Abdullah Ayub dalam bukunya Cara Pemerintahan
Tanah Melayu yang dihasilkan pada tahun 1961 telah meninjau sejarah
pemerintahan di Tanah Melayu dalam ruang waktu yang lebih panjang. Beliau tidak
menumpu hanya pada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 tetapi masih
membataskan ruang waktunya kepada zaman selepas campurtangan British di Perak,

54

Selangor dan Negeri Sembilan pada tahun 1874.22 Demikianlah juga dengan tulisan
bekas hakim mahkamah tinggi, Muhammad Kamil Awang, pada tahun 1998 berjudul
The Sultan and The Constitution; beliau juga lebih menumpu pada kisah selepas
campurtangan British dan selepas Peperangan Dunia Kedua.23 Selain itu terdapat
tulisan-tulisan khusus tentang undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu dan Malaysia bermula dari tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu
pada 1957. Ini termasuklah tulisan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed
Suffian Hashim, An Introduction to the Constitution of Malaysia pada 197224 dan
tulisan seorang lagi mantan Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Salleh Abas berjudul
Unsur-Unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia25 dan Pemerintahan
Malaysia26. Sebahagian daripada tulisan ini ada menyentuh tentang Undang-Undang
Tubuh Kerajaan Johor (UTKJ) tetapi tidak melihatnya sebagai perlu diberi perhatian
khusus.

Sehingga kini hanya Ahmad Fauzi Mohd. Basri yang pernah membicarakan
dengan agak panjang lebar UTKJ. Dalam tulisannya Johor 1855-1917: Pentadbiran
dan Perkembangannya27, Ahmad Fauzi menghuraikan latar belakang sejarah yang
membawa kepada penggubalan UTKJ lalu melampirkan undang-undang tersebut
berserta pindaan-pindaan yang dibuat dalam tahun-tahun 1908, 1912, 1914 dan 1918.
Dalam tulisannya yang lain Ahmad Fauzi membandingkan pula UTKJ dengan
Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu (UTNT) 1911.28 Beliau menganggap
Johor sebagai “negeri Melayu yang pertama mempunyai perlembagaan bertulis”.29
Seorang sarjana lain, Abdullah Zakaria Ghazali, pernah juga membicarakan UTKJ

55

dalam konteks pelaksanaan undang-undang di Johor dari 1528 hingga 1946 tetapi
tidak menyebutnya sebagai contoh sistem raja berperlembagaan.30

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895

Sebenarnya walaupun tidak dinamakan „Perlembagaan‟, Undang-Undang Tubuh
Kerajaan Johor (UTKJ) ini adalah bukti kukuh betapa sistem Raja Berperlembagaan
telah diamalkan di sebuah negara Melayu di Tanah Melayu lebih setengah kurun
sebelum Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 itu. UTKJ yang
diluluskan dan diisytihar secara rasmi oleh Sultan Abu Bakar meletakkan
„Perlembagaan‟ dan kepentingan negara dan bangsa Johor di atas kepentingan
peribadi individu termasuk Sultan sendiri. Segala syarat asas berkaitan dengan
pengwujudan dan ruang kuasa serta tugas raja dan institusi-institusi kerajaan
ditetapkan sebagai panduan dan hukum untuk melicinkan pemerintahan negara
Johor. Semuanya dinyatakan dengan terang secara bertulis.

Institusi kesultanan kekal sebagai tonggak dan paksi negara dan kebangsaan
Johor tetapi Sultan tidaklah berkuasa mutlak. Fasal 3 UTKJ menetapkan bahawa
yang teraula dijadikan raja bagi negara Johor ialah keturunan Sultan Abu Bakar dan
kemudian, menurut keutamaan, keturunan Temenggung Ibrahim dan Temenggung
Abdul Rahman. Namun keturunan sahaja tidak melayakkan seseorang menjadi raja
secara automatik. Bakal raja hendaklah seorang yang tiada “kecatatan yang besar-
besar dan berat-berat, yang menyalahi sifat-sifat raja, seperti gila; dan buta; dan bisu;

56

atau mempunyai sifat-sifat yang kejian, yang tiada dibenarkan oleh hukum syariat
menjadi raja”.31 Sebelum itu, dan paling asas, dalam Fasal 2 disyaratkan bahawa:

Raja [Johor] itu hendaklah daripada bangsa Melayu ... dan laki-
laki, dan beragama Islam...

Kemudian, untuk mengatasi masalah sekiranya tiada lagi waris daripada keturunan
tiga keluarga Temenggung di atas yang layak menjadi raja, ditetapkan pula dalam
Fasal 5:

Sekiranya sampai pada suatu masa, tiada seorang pun tinggal lagi
daripada ketiga-tiga zuriat pemerintah-pemerintah yang tersebut
dalam fasal-fasal yang telah lalu itu, atau jika ada pun, tiada yang
mempunyai sifat-sifat seperti yang diwajibkan oleh undang-undang
ini dan hukum syarak, maka terpulanglah hal memilih, melantik dan
menjadikan raja itu kepada maklum dan fikiran dan timbangan
Mesyuarat Kerajaan bersama-sama dengan Jemaah Pangkuan
Negeri, atau Ahli al-Hal wal-Akad; akan tetapi adalah disyaratkan
hendaklah diambil, dipilih, dilantik, dan dijadikan raja itu,
seorang laki-laki yang cukup umur dan sempurna akal
daripada bangsa Melayu Johor betul, dan rakyat kerajaan Johor,
serta beragama Islam, dan ahli daripada darah yang merdeheka
dan baik, yang diaku sah dan halal; dengan ada pula

57

pengetahuannya boleh membaca dan menulis bahasanya; dan ada
mempunyai nama, budi pekerti, tabiat, perangai, dan tingkah laku
yang baik dan kepujian...32

Setelah ditetapkan syarat-syarat yang membolehkan seseorang diangkat menjadi raja,
ditentukan pula batas-batas kuasa raja yang dilantik itu. Peruntukan yang paling asas,
misalnya terdapat dalam Fasal 15 yang menetapkan bahawa:

Raja itu tiada sekali-kali boleh menyerahkan atau berbuat
sebarang perjanjian atau ikhtiar hendak menyerahkan akan negeri
atau suatu bahagian daripada negeri dan kerajaan Johor itu
kepada sebarang kerajaan atau kuasa bangsa Eropah atau
sebarang lain kerajaan atau bangsa sama ada oleh kerana pada
fikirannya susah atau keberatan padanya menjadi raja atau oleh
kerana tiada suka dia memerintah atau oleh kerana hendak
mendapat, mengambil dan menerima sebarang bayaran atau pencen
daripada bangsa atau kerajaan lain.33

Jelaslah di sini bahawa UTKJ Johor 1895 tidak menganggap negara Johor sebagai
milik peribadi Sultan. Johor adalah milik bangsa Melayu Johor atau bangsa politik
Johor34 yang dianggap waris dan empunya sebenar negara Johor. Walaupun Sultan
Johor dan kaum keluarga Temenggung diperakukan kedudukan dan layanan yang
istimewa, kedudukan dan kuasa mereka tidaklah abadi dan mutlak. Larangan

58

terhadap Sultan dalam Fasal 15 itu adalah penuh dan tanpa syarat. “Larangan dan
tegahan” ini juga, dikehendaki meliputi “dan terhukum di atas segala dan tiap-tiap
seorang daripada waris dan kerabat raja”. Fasal ini kemudian disambung dengan
pernyataan tegas berikut:

Maka jikalau dilalui atau dicuba lalui larangan dan tegahan ini,
jika raja sendiri disifatkanlah dia berdosa memecahkan amanah
yang diletakkan Tuhan atasnya dan demikian tiada diwajibkan
rakyat negeri melanjutkan setia lagi padanya; dan jika kerabat
raja, derhaka ia kepada raja dan kerajaan dan demikian bolehlah
dihukumkan dengan sebarang hukuman yang ditimbangkan patut.35

Walaupun tidak dinyatakan dengan terang, Raja yang berikhtiar menyerahkan
seluruh atau mana-mana bahagian negeri Johor kepada kuasa asing akan terlucut
kedudukannya dan seperti yang dibincangkan di bawah, akan hilang segala
keistimewaan yang dinikmati sebagai raja.

Larangan ini kemudian, dalam Fasal 16, meliputi pula dua institusi utama
yang lain iaitu Menteri dan Jama‟ah Pangkuan Negeri:

Menteri-menteri dan Jama’ah Pangkuan Kerajaan tiada juga
boleh sekali-kali berikhtiar atau berbuat sebarang perjanjian dengan
sebarang kuasa atau kerajaan Eropah atau lainnya dengan maksud
hendak menyerahkan negeri atau kerajaan Johor. Maka jikalau

59

dilanggar atau dicubanya hendak melanggar akan tegahan ini
terjatuhlah ia pada hukuman orang yang derhaka kepada raja dan
kerajaan dan bolehlah dihukum sekalian yang berdosa itu dengan
hukuman yang berpadan dengan dosanya.36

Beberapa sekatan lain juga dikenakan ke atas raja. Antaranya dalam Fasal 12 dan 13
dinyatakan bahawa sekiranya raja meninggalkan negeri terlalu lama (yakni sehingga
lima tahun) tanpa sebab yang dibenarkan, jawatan „raja‟ itu akan terlucut daripada
individu tersebut dan (Majlis) Mesyuarat Kerajaan akan melantik seorang lain untuk
menjadi raja berasaskan syarat-syarat yang juga telah ditetapkan dalam UTKJ. Fasal
17, 18 dan 19 pula membenarkan seseorang raja itu berhenti daripada menjadi raja
secara sukarela. Namun, sekiranya ini berlaku, dalam Fasal 20 ditegaskan bahawa
bekas raja tersebut “tiada sekali-kali boleh campur, atau ganggu, atau campur mulut
dalam sebarang perkara negeri dan kerajaan” kecuali “dengan permintaan raja yang
memerintah yang telah menggantikan dia yang disertai oleh Mesyuarat Kerajaan,
atau dengan permohonan Mesyuarat Kerajaan yang diterima dan diperkenankan oleh
raja yang memerintah”.37 Dalam Fasal 22 dinyatakan bahawa bekas raja yang
melanggar peruntukan Fasal 20 akan ditahan belanja hidup sebagai bekas raja; dan
kalau dia terlibat pula “mengacum-acum orang pada berbuat derhaka, atau muafakat
dengan sebarang orang atau kerajaan asing, dengan niat hendak berbuat atau
mendatangkan kecederaan atas negeri” maka belanja hidupnya akan dipotong terus
dan dia dianggap “seorang yang berdosa kepada kerajaan” yang diketuai oleh
seorang raja (Sultan) yang baru.38

60

Berkaitan dengan perbelanjaan rasmi oleh raja, Fasal 25 UTKJ
mengesyorkan supaya satu peruntukan perbelanjaan yang cukup, padan dan
berpatutan hendaklah disediakan untuk kegunaan raja Johor. Namun, Sultan Abu
Bakar bersetuju menegaskan:

...adalah kita dengan surat ini, menjadikan undang-undang dan
hukuman yang kuat dan terang, bahawa bagi raja-raja Johor yang di
belakang daripada kita, tiada sekali-kali boleh seorang pun
mengambil dan memakai bagi penggunaan dirinya, satu duit pun
lebih dari jumlah yang telah ditentukan daripada suatu masa kepada
suatu masa oleh Mesyuarat Kerajaan.39

Sebenarnya UTKJ menetapkan bahawa institusi terpenting yang menentukan
perkara-perkara utama dalam pemerintahan negara Johor ialah (Majlis) Mesyuarat
Kerajaan. Cakupan tugas dan kuasa institusi ini yang meliputi perkara-perkara
perundangan dan pentadbiran sebahagiannya terdapat dalam Fasal 49 yang berbunyi:

Adapun pekerjaan-pekerjaan Mesyuarat Kerajaan itu, iaitu
terutamanya membantu akan raja dan Jemaah Menteri dalam hal-
hal mentadbirkan negeri dan rakyat, iaitu seperti membuat dan
menjadikan, membetul dan menambah, atau meminda akan undang-
undang dan aturan daripada segala jenis rupa; melainkan undang-
undang agama dan hukum syarak. Dan memikirkan hal membuka

61

negeri, dan mengerjakan amar negeri, dan memberi ikhtiar yang
baik bagi menerbitkan hasil, dan menambah akan perniagaan, dan
membaikkan hal-hal kedudukan rakyat, serta mengadakan syor bagi
mengekalkan aman dalam negeri dan daerah takluk jajahan Johor,
dan memanjangkan muhibah dan perdamaian dengan kerajaan-
kerajaan asing.40

Seperti yang dinyatakan dalam Fasal 45, ahli Mesyuarat Kerajaan adalah terdiri
daripada para menteri dan pegawai-pegawai besar serta ketua-ketua jabatan yang
dilantik raja dengan syor Jemaah Menteri. Segala keputusan dan syor Majlis
Kerajaan akan menjadi undang-undang “setelah dapat lulus dan kebenaran raja”
(Fasal 53). Jika tidak, rang undang-undang41 itu bolehlah dibawa semula untuk
perbincangan lanjut dalam Mesyuarat Kerajaan dan dikemukakan sekali lagi kepada
raja untuk mendapatkan kelulusan. Bagi keputusan yang berulang kali dibuat oleh
Mesyuarat Kerajaan tetapi tidak diluluskan oleh raja, jalan keluarnya diperuntukkan
dalam Fasal 55 UTKJ yang antara lain berbunyi:

jika sudah tiga kali berturut-turut tiada lulus dan dibenarkan oleh
raja, tiadalah boleh perkara itu dibawa lagi, melainkan setahun di
belakang daripada masa yang akhir telah dipersidangkan. Maka
jikalau ditetapkan demikian jua timbangan perkara itu oleh
Mesyuarat Kerajaan, pada kali yang keempatnya haruslah lulus dan
dibenarkan oleh raja, kerana yang demikian hapuslah taksir raja.42

62

Peruntukan terakhir ini lagi sekali menunjukkan bahawa berasaskan UTKJ kehendak
dan keputusan raja tidaklah muktamad mahupun mutlak. Raja berkuasa
menangguhkan kelulusan sesuatu rang undang-undang hanya selama kira-kira
setahun setelah ia dikemukakan dan ditolak oleh baginda sebanyak tiga kali.
Kehendak (Majlis) Mesyuarat Kerajaan mengatasi kehendak raja. UTKJ menjadikan
raja Johor sebagai kuasa penapis dan penasihat terakhir sebelum sesuatu rang
undang-undang menjadi undang-undang. Berasaskan UTKJ yang diisytiharkan pada
1895 itu jelaslah bahawa sistem pemerintahan raja berperlembagaan moden telah
pun terlaksana di negara Johor sejak akhir kurun ke-19 lagi. Kuatkuasa Undang-
Undang Tubuh atau Perlembagaan Johor moden ini telah pun berlaku hampir
sepuluh bulan lebih awal daripada penubuhan persekutuan Negeri-negeri Melayu
Bersekutu pada 1 Julai 1896.

UTKJ tidaklah terhenti setakat itu. Pindaan dan pengemaskinian terus dibuat
dari semasa ke semasa yang memperkukuhkan lagi gagasan raja berperlembagaan.
Sebagai contoh, Fasal 1 Undang-Undang Tambahan UTKJ (UTUTKJ) yang
diluluskan pada 22 April 1908 menjamin rakyat diberi perlindungan daripada
tahanan secara tidak menurut undang-undang. Menurut peruntukan tersebut:

Tiadalah boleh seseorang itu dihilangkan kemerdekaannya,
ditahan akan dia, atau dipenjarakan melainkan dengan
mengikuti perjalanan yang betul bagi undang-undang (law)
walau oleh Sultan sendiri sekalipun. Kebebasan dan

63

kemerdekaan segala orang-orang yang tidak ditegah oleh
perbuatan benar dan adil bagi undang-undang (law) ialah asas
bagi kesemua government yang baik.43

Perkara ini terus diikuti dengan penegasan tentang kedaulatan undang-undang dan
kebebasan para hakim daripada pengaruh atau tekanan dalam menjalankan
perbicaraan dan menjatuhi hukuman. Peruntukan ini berbunyi:

Oleh tersangatlah wajib suatu perjalanan yang betul bagi keadilan
dan bagi perjagaan nyawa kemerdekaan dan harta bagi tiap-tiap
orang maka hakim-hakim dan pengadil-pengadil hendaklah
semata-mata merdeka dirinya daripada sebarang asuhan yang
datang terus atau tiada terus padanya supaya menyempurnakan
pekerjaan yang patut dijalankan dengan adil; jika tidak demikian
nescaya tiadalah boleh berlaku keadilan atau kepercayaan rakyat
pun tiadalah membetuli atas pekerjaan menjalankan undang-undang
(law) itu dengan sepertinya. 44

Tidaklah boleh Sultan atau barang siapa daripada menteri-
menterinya memberi perintah kepada mereka itu (hakim-hakim
dan pengadil-pengadil) dalam sebarang perkara yang ada di
hadapan mahkamah.45

64

Peri kuasa dan perilaku raja terus dibendung ternyata daripada peruntukan dalam
Fasal 4 yang menyatakan:

Hendaklah Sultan membawa dirinya kepada semua rakyat-
rakyatnya dengan kelakuan yang hormat dan adil dengan
menunjukkan kasih sayang dan timbangan kepada semua mereka
itu dan memerintah mengikut undang-undang (law) kerana
bukanlah seorang pemerintah yang sebenarnya jika kehendak dan
kesukaan hatinya yang memerintah dan bukan undang-undang (law)
yang memerintah, dan lagi hendaklah memelihara agama Islam
yang ada itu serta hak-hak dan kemerdekaan-kemerdekaan rakyat-
rakyat; ingatlah yang Sultan itu telah dilantik atas tempat yang
tinggi itu oleh rakyat-rakyat negeri dengan kepercayaan mereka
itu yang ia boleh menyempurnakan harapan mereka itu
atasnya.46

Seluruh intipati gagasan raja berperlembagaan sebenarnya tersimpul dalam Fasal 4
UTUTKJ di atas. Selain daripada perlu “hormat dan adil dengan menunjukkan kasih
sayang dan timbangan” terhadap rakyat, raja hendaklah “memerintah mengikut
undang-undang”, bukan menurut “kehendak dan kesukaan hatinya”.

Penggubalan UTKJ bukan sahaja menyerlahkan semangat pemerintahan raja
berperlembagaan yang meletakkan kepentingan bangsa dan negara Johor di atas

65

sebarang unsur lain termasuk raja tetapi juga telah menyumbang kepada
terselamatnya negara Johor daripada campurtangan British seperti yang berlaku di
Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Walaupun amat kuat dipengaruhi
oleh kehadiran British di Singapura, Fasal 15 dan 16 UTKJ menyukarkan British
menyelinap menguasai Johor melalui orang perseorangan atau kumpulan tertentu di
Johor temasuk Sultan.

Kejayaan inilah, nampaknya, yang telah mempengaruhi Sultan Zainal Abidin
III dan para pembesar Terengganu untuk menggubal “Itqan Al-Muluk Bita‟dil Al-
Suluk” atau Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu (UTNT) pada 1911.
Dengan ubahsuaian tertentu hampir seluruh isi UTKJ diambil untuk melahirkan
UTNT. Fasal 15 UTKJ diubahsuai untuk menjadi Fasal 14 UTNT dan Fasal 16
UTKJ menjadi Fasal 26 UTNT. Fasal 14 UTNT contohnya berbunyi:

Maka tiada lulus dan tiada sah sekali-kali raja membuat perjanjian
atau ikhtiar melepas atau menyerahkan negeri dan kerajaannya atau
sebahagian daripada kuasa kerajaan atau hukumnya itu kepada
sebarang mana-mana kerajaan atau kepada kuasa-kuasa bangsa
Eropah atau lain-lainnya.

Maka jikalau raja cuba lalui larangan dan tegahan itu, nescaya
disifatkanlah akan dia memecahkan amanah yang diletakkan
atasnya, serta tiada sah perbuatan yang demikian itu. Maka tatkala
itu tiadalah diwajibkan di atas ahli-ahli kerajaan dan segala rakyat

66

bersetia lagi dengan dia. Haruslah diturunkan dia daripada
takhta kerajaannya dan diangkatkan pula gantinya.47

Dilihat secara lebih dekat, nyata bahawa kawalan UTNT terhadap perilaku raja
berkaitan dengan soal kedaulatan negara Terengganu adalah lebih tegas daripada
UTKJ. UTNT menyatakan dengan terang bahawa tindakan raja cuba menyerahkan
mana-mana bahagian negeri Terengganu kepada kuasa asing adalah tidak sah dan
raja tersebut hendaklah “diturunkan” daripada takhta “dan diangkatkan pula
gantinya”.

Raja Berperlembagaan Sejak 1957

Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957 Persekutuan tersebut
mempunyai sebuah perlembagaan bersama (Perlembagaan Persekutuan) dan sebuah
perlembagaan khas bagi setiap daripada sebelas negeri di dalamnya. Apabila
Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu dijadikan asas bagi Perlembagaan Persekutuan Malaysia, dan tiga lagi
perlembagaan negeri bagi Sabah, Sarawak dan Singapura ditambah menjadikan
keseluruhannya empat belas buah. Dengan keluarnya Singapura daripada
Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965 jumlah perlembagaan negeri pun susut satu
menjadi tiga belas semuanya. Daripada tiga belas negeri yang masing-masing
mempunyai perlembagaan sendiri ini, sembilan -- Perlis, Kedah, Kelantan,
Terengganu, Pahang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor -- adalah negeri

67

beraja. Empat buah negeri lagi – Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak –
masing-masing diketuai oleh seorang Yang di-Pertua Negeri yang dilantik oleh Yang
di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Ketua Menteri negeri berkenaan.48

Dalam konteks perbincangan kita, perlembagaan adalah undang-undang
utama dalam pemerintahan sama ada di peringkat pusat mahu pun negeri.49 Semua
orang termasuk Yang di-Pertuan Agong di peringkat Persekutuan dan raja-raja di
peringkat negeri perlu bertindak selaras dengan peruntukan-peruntukan dalam
Perlembagaan masing-masing. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Yang di-
Pertuan Agong memerintah dengan nasihat Kabinet atau Jamaah Menteri yang
diketuai oleh seorang Perdana Menteri. Di peringkat negeri pula Raja atau Yang di-
Pertua Negeri memerintah dengan nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai
seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri. Sungguhpun demikian, semua rang
undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara mestilah
mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (yang menjadi sebahagian daripada
Parlimen) dan diwartakan sebelum menjadi undang-undang yang berkuatkuasa.
Demikianlah juga perkenan raja diperlukan untuk membolehkan sesuatu undang-
undang berkuatkuasa di peringkat negeri.

Peruntukan yang terdapat dalam Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan ini
yang fungsinya kira-kira sama dengan Fasal 53 UTKJ tahun 1895, membolehkan
Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan penting sebagai pengimbang keputusan
yang dibuat di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Namun dengan pindaan kepada
Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1983 semua rang undang-undang
yang telah diluluskan Parlimen akan menjadi undang-undang secara automatik, sama

68

ada diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ataupun tidak, tiga puluh hari
setelah dipersembahkan untuk perakuan baginda.50 Dengan pindaan yang terdapat
dalam Perkara 66 (4 dan 4A) ini, melainkan dalam perkara khusus yang melibatkan
Majlis Raja-raja, Yang di-Pertuan Agong tidak lagi boleh berperanan sebagai
penegur atau “penapis terakhir” bagi rang undang-undang yang telah diluluskan oleh
Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Kecuali bagi negeri Kelantan, semangat
peruntukan ini kemudian diterapkan pula ke dalam perlembagaan-perlembagaan
negeri lalu memansuhkan kuasa para raja untuk melengah-lengahkan atau tidak
memperkenankan sebarang rang undang-undang yang telah diluluskan dalam
mesyuarat Dewan Negeri masing-masing.

Satu hal penting lain yang perlu disebut ialah bahawa semua perlembagaan
negeri beraja dan secara tidak langsung Perlembagaan Persekutuan juga, telah
memperuntukkan satu Fasal/Perkara51 yang akan memastikan pemerintahan beraja –
yakni raja berperlembagaan – akan kekal di Malaysia. Secara umumnya dalam
peruntukan tersebut dinyatakan bahawa sekiranya tiada keturunan atau waris diraja
yang telah ditetapkan sebagai berhak menjadi Raja di sesebuah negeri, atau
walaupun ada waris tetapi tidak memenuhi syarat kesempurnaan untuk menjadi Raja,
seorang lelaki Melayu peranakan tempatan yang beragama Islam yang memenuhi
syarat-syarat kesempurnaan minimum yakni yang tidak mempunyai kecacatan besar
dan berat52 hendaklah dilantik untuk mengisi kedudukan sebagai Raja atau Sultan
bagi negeri tersebut. Tertakluk kepada syarat-syarat kesempurnaan minimum atau
larangan kerana kecacatan seperti yang telah ditetapkan dalam perlembagaan-
perlembagaan negeri itu keturunan “Raja” yang baru dilantik ini akan mewarisi

69

kedudukan tersebut selagi terdapat waris yang layak. Jika tidak, orang baru pula,
yang memenuhi syarat kesempurnaan minimum itu, akan dipilih untuk mengisi
kedudukan sebagai Raja. Dalam Perkara 12 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah,
contohnya, syarat atau kelayakan minimum untuk dipilih menjadi Raja adalah seperti
berikut:

Seorang lelaki yang cukup umur, berfikiran waras, berbangsa
Melayu Kedah, rakyat Negeri Kedah, beragama Islam Ahli Sunnah
wal-Jama‟ah, berdarah baik tetapi tidak semestinya berketurunan
diraja, dilahirkan secara halal dan sah menurut undang-undang, dan
sebagai tambahan boleh membaca dan menulis dalam bahasanya
sendiri [Bahasa Melayu], dan memiliki nama baik, kefahaman,
perwatakan, perilaku dan penampilan yang baik dan terpuji.53

Dalam Fasal/Perkara 18 Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan pula peruntukan
ini berbunyi:

Seorang lelaki yang cukup umur, berfikiran waras, berbangsa
Melayu dan dilahirkan di Negeri Kelantan daripada seorang bapa
yang juga dilahirkan di Negeri Kelantan, rakyat kepada Sultan yang
lepas, beragama Islam Ahlu-s Sunnah wal Jama‟ah, berdarah baik,
dan disahkan dilahirkan secara halal dan sah menurut undang-
undang, dan sebagai tambahan boleh membaca dan menulis dalam

70

bahasanya sendiri [Bahasa Melayu], dan memiliki nama baik,
kefahaman, perwatakan, perilaku dan penampilan yang baik dan
terpuji.54

Peruntukan yang sama, dengan perbezaan-perbezaan kecil dari segi pernyataan,
terdapat dalam Perkara 6 (1) Perlembagaan Negeri Pahang, Perkara 12 (1)
Perlembagaan Negeri Perlis, dan Perkara 8 Perlembagaan Selangor. Peruntukan ini
pada asasnya sama dengan peruntukan dalam Fasal 5 UTKJ yang telah diisytiharkan
pada 1895 dan Fasal 5 UTNT 1911 dahulu. Fasal 5 UTKJ itu berbunyi seperti
berikut:

Sekiranya sampai pada suatu masa, tiada seorang pun tinggal lagi
daripada ketiga-tiga zuriat pemerintah-pemerintah yang tersebut
[yakni zuriat Sultan Abu Bakar, Temenggung Ibrahim dan
Temenggung Abdul Rahman] dalam fasal-fasal yang telah lalu itu,
atau jika ada pun, tiada yang mempunyai sifat-sifat seperti yang
diwajibkan oleh undang-undang ini dan hukum syarak, maka
terpulanglah hal memilih, melantik, dan menjadikan raja itu kepada
maklum dan fikiran dan timbangan Mesyuarat Kerajaan bersama-
sama dengan Jemaah Pangkuan Negeri, atau Ahli al-Hal wal-Akad;
akan tetapi adalah disyaratkan hendaklah diambil, dipilih,
dilantik dan dijadikan raja itu, seorang laki-laki yang cukup
umur dan sempurna akal daripada bangsa Melayu Johor betul,

71

dan rakyat kerajaan Johor, serta beragama Islam, dan ahli
daripada darah yang merdeheka dan baik, yang diaku sah dan
halal; dengan ada pula pengetahuannya boleh membaca dan
menulis bahasanya; dan ada mempunyai nama, budi pekerti,
tabiat, perangai dan tingkah laku yang baik dan kepujian.55

Akhir sekali, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang disalah anggap
sebagai pemula sistem raja berperlembagaan di Malaysia itu tidak dapat tidak
dikaitkan pula dengan peranan penting yang dimainkan oleh jawatankuasa bersama
British, raja-raja Melayu dan UMNO yang diwujudkan pada bulan Julai 1946 ekoran
kebangkitan besar-besaran orang Melayu menentang Malayan Union. Malahan
adalah amat jelas bahawa syor-syor jawatankuasa inilah yang membawa kepada
Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang ditentang hebat oleh pertubuhan-
pertubuhan politik golongan kiri pada waktu itu. Perjanjian Persekutuan Tanah
Melayu ini kemudian diperkukuhkan pula oleh Suruhanjaya Reid 1956 yang
merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Satu hal yang jarang disebut apabila membicarakan perkara ini ialah bahawa
golongan kiri yang mengkritik rundingan dan perancangan British-Raja-raja-UMNO
juga pada dasarnya menyokong penerusan sistem pemerintahan raja
berperlembagaan. Lunas keempat Perlembagaan Rakyat yang dikemukakan
PUTERA-AMCJA hasil daripada persidangan bersama mereka dari 4 hingga 7 Julai
dan pada 10 Ogos 1947 berbunyi:

72

Raja-raja Melayu akan memegang kedudukan sebagai raja yang
sepenuhnya berdaulat dan berperlembagaan, yang menerima
nasihat, bukan daripada “penasihat” British, tetapi daripada rakyat
melalui institusi-institusi demokratik.56

Hakikat bahawa beberapa pertubuhan yang menganggotai All-Malaya Council of
Joint Action (AMCJA) adalah sama ada telah ditaja Parti Komunis Malaya (PKM)
atau mempunyai hubungan yang rapat dengan PKM dan bahkan mungkin barisan
hadapan komunis, menjadikan pendirian pertubuhan tersebut tentang perkara ini
lebih penting dan bermakna dari sudut sejarah. Antara pertubuhan-pertubuhan itu
termasuklah Malayan Democratic Union, the Malayan New Democratic Youth
League, the Malayan People‟s Anti-Japanese Ex-Service Comrades Association dan
Pan-Malayan Federation of Trade Unions.57 Biar apa pun niat sebenar mereka atau
bagaimanapun helah gerak politik mereka, hakikatnya ialah bahawa pertubuhan
politik bukan Melayu, malahan pertubuhan haluan kiri dan komunis juga secara
rasmi dan terbuka menyokong amalan pemerintahan Raja Berperlembagaan bagi
Tanah Melayu.

Gabungan itu antaranya meluahkan bantahan terhadap rancangan
Persekutuan Tanah Melayu yang dirangka British-Raja-raja-UMNO yang pada
pendapatnya sebenarnya adalah penjajahan British ke atas Tanah Melayu. Penerusan
amalan mewajibkan raja-raja Melayu menerima nasihat Raja Britain melalui
Pesuruhjaya Tinggi British dan para Penasihat British tiada bezanya dengan apa yang

73

berlaku sebelum Perang Dunia Kedua dahulu.58 Kritikan gabungan itu antara lain
berbunyi:

“Kewajiban menerima nasihat” yang terkandung dalam perjanjian-
perjanjian dahulu dengan Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu, yang
kini diulangi dalam Draf Perjanjian Negara Jawatankuasa Kerja
adalah dongengan undang-undang yang dirangka untuk
menyembunyikan sedapat mungkin hakikat bahawa pemerintahan
British di Tanah Melayu, sama ada di koloni Singapura, atau
Jajahan Pulau Pinang dan Melaka, atau di Negeri-negeri Melayu,
adalah mutlak dan tanpa kekangan.

Cadangan Jawatankuasa Kerja [British-Raja-raja-UMNO]

mengekalkan kuasa sewenang-wenang Raja Britain ke atas Tanah

Melayu, di sebalik dongengan perundangan yang sama yang telah

menipu generasi-generasi yang lalu, tetapi yang kini tidak lagi dapat

ditutup daripada orang ramai Tanah Melayu kenyataan terpampang

bahawa Tanah Melayu, dari Perlis ke Singapura, adalah tanah
jajahan British.59

Maka dengan kehendak hampir semua pihak, sistem pemerintahan raja
berperlembagaan pun terus hidup di Tanah Melayu. Dengan berterusannya
pemerintahan beraja di sembilan buah negeri kesultanan itu terisi dan kekallah

74

kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong pada peringkat Persekutuan.
Kecuali berlaku sesuatu yang amat revolusioner, perlembagaan-perlembagaan negeri
dan Perlembagaan Persekutuan sedia ada jelas menjamin penerusan sistem
pemerintahan raja berperlembagaan di Malaysia.

Rumus Bicara

Menggunakan undang-undang bertulis sebagai panduan dalam pemerintahan
bukanlah suatu fenomena baru dalam sejarah kenegaraan Melayu. Cebisan-cebisan
bukti yang ada menunjukkan gejala ini telahpun bermula pada zaman sebelum
kedatangan Islam dan menjadi kenyataan yang tidak dapat disangkal lagi setelah
berkembangnya pengaruh Islam di Nusantara. Bermula dengan kitab-kitab panduan
ketatanegaraan dalam bahasa Arab dan barangkali juga Farsi, terkaranglah pula
kitab-kitab yang serupa dan naskhah-naskhah kanun dalam bahasa Melayu. Taj-us-
Salatin dan Undang-Undang Melayu atau Hukum Kanun Melaka adalah antara
contoh terawal. Selain itu hampir semua negara kesultanan Melayu selepas Melaka
mempunyai kitab Undang-undang atau Perlembagaan sendiri. Kedudukan, peranan
dan tanggungjawab jawatan dan institusi tertentu, daripada sultan ke kepimpinan
tempatan, serta hukuman berkaitan dengan perkara-perkara khusus dan umum
diterakan secara bertulis. Cuma yang masih memerlukan penyelidikan lebih
mendalam ialah sejauh manakah kitab-kitab itu benar-benar menunjangi pemikiran
dan pelaksanaan pemerintahan di negara-negara Melayu tradisional itu.

75

Dalam sistem raja berperlembagaan yang unggul kesejahteraan dan
kedaulatan negara-bangsa adalah utama dan mengatasi kedudukan dan kepentingan
individu termasuk raja. Undang-undang negara atau Perlembagaan yang mungkin
ditampilkan dalam bentuk sebuah buku atau terdiri daripada himpunan piagam dan
peraturan yang telah dipersetujui pada masa lampau menjadi rujukan muktamad
untuk menyelesaikan sebarang masalah berkaitan dengan pemerintahan dan
pentadbiran.60 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bolehlah dianggap
sebagai contoh terawal perlembagaan moden Malaysia yang berpaksikan semangat
raja berperlembagaan. Ini diikuti oleh Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu
1911 dan Undang-Undang Tubuh negeri/negara Melayu yang lain menjelang dan
selepas pendudukan Jepun.

Tidaklah dapat dinafikan bahawa pentadbiran British ada menyumbang
menyerlahkan rupa sistem raja berperlembagaan baharu di Malaysia terutama selepas
Perang Dunia Kedua. Namun, semangat pemerintahan raja berperlembagaan telah
lama berakar umbi di dunia Melayu, terutama setelah Islam menjadi agama utama
rantau itu. Tanggapan kononnya sistem raja berperlembagaan di Malaysia bermula
dengan perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 sebenarnya terhasil
daripada pendekatan sejarah “kontot” yang gagal melihat perkembangan sejarah
dalam kerangka yang luas, jangka panjang dan berkesinambungan. Perjanjian
Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 cuma penting sebagai asas terhasilnya sebuah
perlembagaan bertulis bersama yang baharu bagi seluruh Semenanjung Tanah
Melayu dan kemudiannya Malaysia yang digabungkan menjadi sebuah negara
persekutuan. Ia juga menjadi pembuka jalan kepada termaktubnya perlembagaan-

76

perlembagaan baharu yang hampir seragam bagi setiap negeri di Tanah Melayu dan

Malaysia dari akhir 1940-an hingga pertengahan 1960-an.

Rujukan:

A. Samad Ahmad. 1989. Serangkai Warisan Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Abdullah Ayub, Tan Sri Dato‟. 1978. Cara Pemerintahan Tanah Melayu (1957-1963). Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Rahman Haji Ismail. 1985. Kewibawaan mutlak raja dan kesetiaan mutlak rakyat
kepada raja: satu penilaian semula tentang lunas perhubungan raja-rakyat Melayu tradisional
seperti yang terdapat di dalam kitab-kitab sastera sejarah Melayu. Kajian Malaysia, 3:1, hlm.
32-57;

Abdul Rahman Haji Ismail. 1985. Sejarah Melayu: Antara Sejarah dan Dakyah. Kajian
Malaysia, 3:2, hlm. 25-35.

Abdul Rahman Haji Ismail. 1993. Kekerasan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka:
Penelitian berdasarkan Sejarah Melayu. Dlm. Qasim Ahmad, (penyt.), Kekerasan Dalam
Sejarah: Masyarakat dan Pemerintah, K. Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 37-65.

Abu Bakar Abdullah. 1986. Ke arah PerlaksanaanUndang-Undang Islam di Malaysia:
Masalah dan Penyelesaiannya. Kuala Terengganu: Pustaka Damai.

Ahmad Fawzi Basri. 1988. Johor 1855-1917: Pentadbiran dan Perkembangannya. Petaling
Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

Ahmad Fawzi Mohd Basri.1999. Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor Tahun 1895: Suatu
Pemerhatian Terhadap Aspek Ketatanegaraan dan Persuratan. Dlm Zainal Abidin Borhan dll.
Warisan Persuratan Johor II: Perundangan dan Ketatanegaraan Melayu. Johor Bahru:
Yayasan Warisn Johor. hlm. 383-410.

Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned. 1992. Sistem Undang-Undang Malaysia, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,.

Chandra Muzaffar. 1979. Protector?, Pulau Pinang: Aliran.

Hall, Kenneth R. 1985. Maritime Trade and Development in Early Southeast Asia. Honolulu:
University of Hawaii Press.

77

Hikayat Raja Pasai. 1987. Russel Jones (Penyelenggara). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

International Law Book Service. 1991. Constitution of the States of Malaysia. Kuala Lumpur:
International Law Book Service.

Liaw Yock Fang. 1976. Undang-Undang Melaka – The Laws of Melaka. The Hague: Martinus
Nijhoff.

Mohamed Suffian Bin Hashim, Tan Sri. 1972. An Introduction to The Constitution of
Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan Cetak Kerajaan.

Mohd. Salleh Abas. 1987. Pemerintahan Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Mohd. Salleh Abas. 1992. Unsur-unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Kamil Awang. 1998. The Sultan and The Constitution. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka,

Muhammad Yusoff Hashim. 1991. Terengganu Darul Iman: Tradisi Persejarahan Malaysia.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Yusoff Hashim. 1992. The Malay Sultanate of Malacca. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Perlembagaan Persekutuan. 2002. Kuala Lumpur: International Law Book Services,

Qasim Ahmad (penyt.). 1993. Kekerasan Dalam Sejarah: Masyarakat dan Pemerintah. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Risalah Hukum Kanun (MS Or. 1364)

Shaharuddin Maaruf. 1988. Malay Ideas on Development: From Feudal Lord to Capatalist,
Singapore: Times Books International.

Sulalat-us-Salatin. 1998. Abdul Rahman Haji Ismail (Penyelenggara). Dlm. Sejarah Melayu –
The Malay Annals. Cheah Boon Kheng (Penyusun). Kuala Lumpur: Malaysian Branch of the
Royal Asiatic Society.

Taj Us-Salatin. 1992. Khalid M Hussain (Penyelenggara). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

The People’s Constitutional Proposal for Malaya. 1947. Kuala Lumpur: Tan Chong Press.

78

Wan Arfah Hamzah & Ramy Buban, An Introduction to tha Malaysian Legal System, Syah
Alam: Oxford Fajar, 2003

Winstedt, Sir Richard. 1972. A History of Classical Malay Literature. Kuala Lumpur: Oxford
University Press.

1Sejarah Tingkatan 3, Kementerian Pelajaran Malaysia & Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004, hlm. 77.

2Dengan Perjanjian Great-Britain-Siam itu sebahagian lagi negeri Melayu yang terdiri daripada Patani dan
beberapa daerah yang asalnya milik Kedah seperti Setul dan Jala terus dikuasai oleh Siam sehingga ke hari ini.

3Lihat juga Wan Arfah Hamzah & Ramy Buban, An Introduction to the Malaysian Legal System, Syah
Alam: Oxford Fajar, 2003, hlm. 26.

4Mohd. Salleh Abas, Unsur-unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia, DBP, 1992, hlm. 1.

5 Muhammad Kamil Awang,. The Sultan and the Constitution. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1998, hlm. ix, 1.

6Pernyataan-pernyataan seperti ini kerap dibuat oleh ramai penulis suatu ketika dahulu terutama dalam
bidang kesusasteraan dan sains politik Lihat misalnya R.O. Winstedt, “Kingship and Enthronement”, JMBRAS,

vol. xx, Part 1, y, hlm. 45-56.; J. M. Gullick, Indigenous Political System, hlm. 45.

7Lihat misalnya, Chandra Muzaffar, Protector?, Pulau Pinang: Aliran 1979; Shaharuddin Maaruf, Malay
Ideas on Development: From Feudal Lord to Capatalist, Singapore: Times Books International, 1988.

8Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned, Sistem Undang-Undang Malaysia, DBP, 1992, hlm. 29.

9Risalah Hukum Kanun (MS Or. 1364), hlm. 2-3. Dalam naskhah ini nama “Sultan Muhammad Syah”
ditulis “Sultan Mahmud Syah”. Pertukaran nama antara “Mahmud” dengan “Muhammad” ini adalah fenomena

biasa dalam manuskrip lama, kemungkinannya kerana kesilapan menyalin. Selain daripada catatan dalam UUM,
dalam Sulalat-us-Salatin juga dinyatakan bahawa Sultan Muhammad Syah-lah yang “mengatur takhta kerajaan”
Melaka dan Sultan Muzaffar Syah-lah “yang menyuruhkan menyurat kitab undang-undang supaya jangan lagi
bersalahan segala hukum menterinya”. Lihat Sulalat-us-Salatin, hlm. 122 dan 134. Tarikh pemerintahan raja-raja

Melaka yang diterakan adalah berdasarkan persetujuan umum seperti yang terdapat dalam penulisan ramai

sarjana. Namun, kini terdapat pandangan baru yang memberikan tarikh yang berbeza.

10 “Adapun syarat segala raja-raja itu atas empat perkara: pertama ampun, kedua murah, ketiga perkasa,

keempat melakukan hukumnya dengan kaharnya. Itulah sifat segala raja-raja itu pada zaman dahulu kala turun
temurun datang sekarang. Inilah kanun namanya.” Lihat Liaw Yock Fang, hlm. 66.

11Liaw Yock Fang, hlm. 62.

12Liaw Yock Fang, hlm 174-176.

79

13Ibid., hlm. 176.

14 Lihat catatan 16 di atas.

15Lihat Abdul Rahman Haji Ismail. 1993. Kekerasan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka: Penelitian
berdasarkan Sejarah Melayu. Dlm. Qasim Ahmad, (penyt.), Kekerasan Dalam Sejarah: Masyarakat dan
Pemerintah, K. Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 37-65.

16Sulalat-us-Salatin Raja Bungsu, dlm. Sejarah Melayu (The Malay Annals) , MBRAS Reprint No. 17,
1998, hlm. 214.

17Lihat Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Universiti Malayu,
1998, hlm. 293-295; Ramlah Adam, „Warisan Ketatanegaraan Melayu dalam Perjanjian Persekutuan 1948:
Dengan Rujukan Khas kepada Pentadbiran Negeri Melayu‟, Dlm Zainal Abidin Borhan dll. Warisan Persuratan
Johor II: Perundangan dan Ketatanegaraan Melayu. Johor Bahru: Yayasan Warisan Johor, 1999, hlm. 424.

18Ramlah Adam, „Warisan Ketatanegaraan Melayu „, hlm. 424

19Ibid., hlm. 525.

20Lihat Constitution of the States of Malaysia. Kuala Lumpur: International Law Book Service, 1991..

21Mohd. Salleh Abas, Unsur-unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia, DBP, 1992, hlm. 1. Lihat
catatan 4 di atas.

22Abdullah Ayub, Tan Sri Dato‟. 1978. Cara Pemerintahan Tanah Melayu (1957-1963). Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

23Muhammad Kamil Awang,. The Sultan and the Constitution. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1998.

24Mohamed Suffian Bin Hashim, Tan Sri. 1972. An Introduction to The Constitution of Malaysia. Kuala
Lumpur: Jabatan Cetak Kerajaan. Lihat juga Wan Arfah Hamzah & Ramy Buban, An Introduction to the
Malaysian Legal System, Syah Alam: Oxford Fajar, 2003.

25Mohd. Salleh Abas. 1992. Unsur-unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

26Mohd. Salleh Abas. 1987. Pemerintahan Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

27Ahmad Fawzi Basri. 1988. Johor 1855-1917: Pentadbiran dan Perkembangannya. Petaling Jaya:
Penerbit Fajar Bakti.

28Ahmad Fawzi Mohd Basri.1999. Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor Tahun 1895: Suatu
Pemerhatian Terhadap Aspek Ketatanegaraan dan Persuratan. Dlm Zainal Abidin Borhan dll. Warisan
Persuratan Johor II: Perundangan dan Ketatanegaraan Melayu. Johor Bahru: Yayasan Warisan Johor. hlm.
383-410.

29Ibid., hlm. 384. Dalam Johor 1855-1917: Pentadbiran dan Perkembangannya (hlm. V) Ahmad Fauzi
menganggap Johor „negeri Melayu yang pertama cuba melaksanakan sistem kerajaan beraja yang
berperlembagaan‟.

80

30Abdullah Zakaria Ghazali, „Perlaksanaan Peraturan dan Undang-Undang dalam Kerajaan Johor‟, dlm. .
Dlm Zainal Abidin Borhan dll. Warisan Persuratan Johor II: Perundangan dan Ketatanegaraan Melayu. Johor
Bahru: Yayasan Warisan Johor. hlm. 217-248.

31A. Samad Ahmad, Serangkai Warisan Sejarah, hlm. 92-93

32Ibid., hlm. 94.

33A. Samad Ahmad, Serangkai Warisan Sejarah, hlm. 98-99; Ahmad Fawzi Basri, Johor 1855-1917:
Pentadbiran dan Perkembangannya, Petaling Jaya, 1988, hlm. 158.

34Untuk pengertian „bangsa politik‟ lihat Abdul Rahman Haji Ismail, „Bangsa: Kea rah Ketepatan Makna
dalam Membicarakan Nasionalisme Melayu‟, dlm. Abdul Rahman Haji Ismail dll. (Pnyt), Nasionalisme dan
Revolusi di Malaysia dan Indonesia: Pengamatan Sejarah. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia,
2006, hlm. 1-15.

35A. Samad Ahmad, Serangkai Warisan Sejarah, hlm. 99,; Ahmad Fawzi Basri, Johor 1855-1917:
Pentadbiran dan Perkembangannya, Petaling Jaya, 1988, hlm. 158.

36Ibid.

37A. Samad Ahmad, Serangkai Warisan Sejarah, hlm. 100-101.

38Ibid., hlm. 103.

39Ibid.

40Ibid., hlm. 111.

41Tiada istilah „rang undang-undang‟ dalam UTKJ.

42A. Samad Ahmad, Serangkai Warisan Sejarah, hlm. 113

43Ahmad Fauzi Basri, Johor 1855-1917: Pentadbiran dan Perkembangannya. Petaling Jaya: Penerbit
Fajar Bakti, hlm. 169.

44Ibid.

45Ibid.

46Ibid., hlm. 170.

47Muhammad Yusoff Hashim, Terengganu Darul Iman: Tradisi Persejarahan Malaysia. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, hlm. 871.

48Mohamed Suffian Bin Hashim, Tan Sri. 1972. An Introduction to The Constitution of Malaysia, hlm. 30.

49Perkara 4 (1), Perlembagaan Persekutuan menyatakan: “Perlembagaan ini adalah undang-undang utama
Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan
Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.” Perlembagaan Persekutuan. 2002. Kuala
Lumpur: International Law Book Services, hlm. 3.

81

50Perlembagaan Persekutuan. 2002. Kuala Lumpur: International Law Book Services, hlm. 81. Lihat juga
Abdul Rahman Haji Ismail (Penyt.). 2005. Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik, hlm. 370.

51Secara umumnya istilah “Fasal” digunakan dalam tulisan-tulisan lama tetapi dalam Perlembagaan
Persekutuan ia diganti dengan istilah “Perkara”. “Fasal” dalam Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada
pecahan kepada “Perkara”.

52Tentang syarat kelayakan atau kesempurnaan minimum ini yang juga meliputi waris keluarga diraja
yang pada asasnya berhak menjadi raja, dalam Fasal 3 UTKJ dinyatakan:

Tiada layak dijadikan raja, iaitu yang ada kecacatan yang besar-besar dan berat-berat, yang
menyalahi sifat-sifat raja, seperti gila; dan buta; dan bisu; atau mempunyai sifat-sifat yang
kejian, yang tiada dibenarkan oleh hukum syariat menjadi raja.
Lihat A. Samad Ahmad. 1989. Serangkai Warisan Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, hlm. 93.
53Constitution of the States of Malaysia. 1991. Kuala Lumpur: International Law Book Service, hlm. 72.
Dalam bahasa Inggeris pernyataan tersebut berbunyi: “be a male of mature age, sound mind, a Kedah Malay, a
subject of the State of Kedah, professing the Muslim Religion Ahli Sunnah Waljama‟ah, of good but not
necessarily of Royal blood, and acknowledged to be legitimately and lawfully begotten, in addition able to read
and write his own language, and pessessing a reputation, an understanding, a nature, temper, disposition and
deportment which are good and praiseworthy”.
54Constitution of the States of Malaysia. 1991. hlm. 155.
55A. Samad Ahmad. 1989. Serangkai Warisan Sejarah, hlm. 94
56The People’s Constitutional Proposal for Malaya. 1947. Kuala Lumpur: Tan Chong Press, hlm. 3.
57Ibid. hlm.
58 The People’s Constitutional Proposal for Malaya. 1947, hlm.
59Ibid., hlm. 8.
60Lihat misalnya Abdullah Ayub, Tan Sri Dato‟. Cara Pemerintahan Tanah Melayu (1957-1963). Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 1978, hlm.2.

82


Click to View FlipBook Version