BAB 1
PENGENALAN
Buku ini, yang didedikasikan sebagai perhargaan kepada Abdul Rahman Haji Ismail yang
merupakan ahli akademik di Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusian, Universiti
Sains Malaysia, memaparkan satu tema sejarah yang menjadi tumpuan utama kajiannya.
Abdul Rahman menghasilkan banyak kajian menarik tentang sejarah Kesultanan Melaka,
dengan penelitian yang mendalam dan ketekunannya diserlahkan melalui penghasilan
beberapa artikel dan buku penting, antara yang paling menonjol ialah teks Sulalat-us-Salatin
yang dirumikan oleh beliau dan diterbitkan oleh Malaysian Branch Royal Asiatic Society
(MBRAS) pada 2009. Malah Abdul Rahman merupakan antara penulis yang banyak
memberikan tafsiran baharu tentang sejarah Kesultanan Melaka yang mampu mengisi
kelompangan atau mengubah tafsiran sedia ada.
Sebagai bahagian penting sejarah Malaysia, Kesultanan Melaka diakui telah banyak dikaji
oleh sarjana di dalam mahupun di luar negara. Malah sehingga kini, masih wujud perdebatan
dan kontroversi tentang pelbagai isu yang menyentuh tentang sejarah kemunculan,
perkembangan dan warisan Melaka. Kesultanan Melaka turut mendapat tempat dalam
pameran sejarah dan budaya di pelbagai muzium termasuk Muzium Negara mahupun muzium
di Melaka. Kepentingan Melaka dalam sejarah Malaysia telah digarap dengan kemas oleh
Abdul Rahman Ismail dalam sebuah buku bertajuk Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan
Politik, yang diterbitkan pada 2005. Beberapa tahun kemudian buku tersebut telah diulang
cetak oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Melaka juga kerap menjadi tumpuan
persidangan yang diadakan oleh pelbagai pihak termasuk Institut Kajian Sejarah dan
Patriotisme Malaysia (IKSEP). IKSEP, yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Melaka pada
1994, banyak menerbitkan kajian tentang Melaka yang disumbang oleh para penyelidik dan
ahli sejarah terkenal. Persidangan anjurannya beberapa tahun lalu menarik perhatian dunia
akademik dengan pandangan yang menggemparkan iaitu Melaka telah dibangunkan 100
tahun lebih awal daripada tahun 1399/1400 walaupun pandangan tersebut dipandang sepi oleh
ramai pengkaji termasuk ahli sejarah dan pakar arkeologi Malaysia. Sementara itu,
1
Kesultanan Melaka terus dipolemik dengan seminar tentang Hang Tuah yang diadakan di
Universiti Sains Malaysia beberapa tahun lalu dan mendapat sambutan luar biasa pelajar
sains, kesusasteraan dan sejarah daripada kalangan pelbagai kaum.
Kumpulan esei ini merupakan kertas kerja yang pernah dibentangkan dalam seminar
kebangsaan yang diadakan pada Oktober 2011 berjudul “Sejarah Kesultanan Melaka:
Menyingkap Kebenaran dan Menyelami Pengertian”. Seminar ini berlangsung di Dewan
Pembangunan Siswa Kompleks Cahaya Siswa, Universiti Sains Malaysia melalui anjuran
Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dengan Abdul Rahman sendiri menjadi
pengerusinya. Seminar ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada para
pengkaji sejarah serta pelajar universiti dan sekolah. Sebanyak 15 kertas kerja telah
dibentangkan tetapi tidak kesemuanya dimasukkan dalam himpunan esei ini.
Bab-bab dalam buku ini telah disusun agar mencakupi setiap tahap yang menyentuh tentang
sejarah perkembangan kerajaan Melaka, daripada zaman kemunculan, kegemilangan hingga
kejatuhannya. Pada bab 2 Badriyah Haji Salleh menilai sejarah dari masa kini ke belakang
dengan menggunakan sumber-sumber tangible seperti Bukit St Paul yang sebelumnya
dikenali dengan nama Bukit Melaka, Sungai Melaka serta beberapa bangunan selain sumber
intangible seperti budaya, kepercayaan, senibina, landskap atau apa-apa yang mempunyai
nilai sejarah. Perbincangan Badriyah yang pernah mengajar sejarah di USM dan kemudiannya
menjadi pengarah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dibuat mengikut tema atau tajuk
tertentu dengan memberi penjelasan kepada apa yang boleh dilihat pada masa kini di samping
kesan daripada pelbagai peristiwa sejarah sebelumnya supaya masyarakat masa kini dapat
memahami sejarah dengan lebih praktikal dan bermakna sama seperti seorang pelancong yang
datang ke Melaka. Bagi bekas pengarah PERZIM ini, sejarah Melaka sejak 1400 hingga 1957
yang merangkumi zaman Kesultanan Melaka dan penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris dan
Jepun mempunyai signifikannya dari sudut kesan penjajahan, kewujudan masyarakat
pelbagai kaum dan masyarakat antara masyarakat seperti Serani, Chetty dan Baba Nyonya
yang terhasil daripada fenomena sejarah lebih 600 tahun.
Bab 3 yang disumbang oleh Abu Talib Ahmad merujuk kepada Kesultanan Melaka, sejarah
dan warisannya yang dipamerkan di pelbagai muzium di Malaysia seperti Muzium Sejarah
Kebangsaan (telah ditutup pada 2007), Muzium Negara dan pelbagai muzium di Melaka. Di
Muzium Negara, sejarah kerajaan Melaka mendapat tempat utama kerana telah melahirkan
2
institusi kesultanan di negeri-negeri Melayu seperti Pahang, Johor, Perak dan Terengganu.
Pengaruh Melaka juga wujud dari segi pembentukan masyarakat campuran. Misalnya di
Melaka pada zamannya orang Melayu bersedia menerima kehadiran dan persemendaan
dengan orang asing seperti saudagar India mahupun guru agama yang berbangsa Arab. Bab
ini turut membincangkan tentang kekuatan dan kelemahan pameran-pameran yang terdapat di
muzium, sumber-sumber tradisional tentang kerajaan Melaka dan warisan Melaka dari sudut
perundangan yang diamalkan di Semenanjung dan Dunia Melayu sehingga pertengahan kurun
ke-19 apabila undang-undang Barat mengambil alih tempat mereka.
Nazarudin Zainun dan Nasha Rodziadi Khaw pula membincangkan kemunculan kerajaan
awal sejak kurun ke-2 Masihi di pesisir kepulauan Melayu akibat interaksi perdagangan China
dan India. Kerajaan-kerajaan itu bermula dari feeder point yang bertukar kepada pelabuhan
bebas dan kemudiannya kepada talasokrasi iaitu empayar maritim dengan substruktur
ekonominya berdasarkan perdagangan. Menariknya perbincangan ini dibuat berdasarkan
perbahasan teoritis pendekatan Marxis. Kedua penulis menyentuh beberapa nama seperti
P’an-P’an, Chih-T’u, Langkasuka, Ko Lo, Fo Lo An dan Kedah Tua dengan menyatakan
lokasi kerajaan-kerajaan itu di Semenanjung. Evolusi kerajaan ini bermula dengan feeder
point yang berubah kepada entreport dan kemudiannya kepada negara atau kota kecil dengan
naik turun mereka bergantung kepada persekitaran politik dunia Melayu.
Perbincangan oleh kedua-dua penulis yang sama tentang masyarakat Melayu Melaka dalam
bab 5 dibuat berasaskan sumber Portugis iaitu tulisan Emanuel Godinho De Eredia yang tiba
di Melaka pada kurun ke-17 sebelum pelabuhan tersebut jatuh ke tangan Belanda pada 1641.
Eredia banyak menulis tentang Melaka dan ciri-ciri persekitarannya seperti haiwan yang
terdapat di situ, jenis-jenis pokok, ciri-ciri orang Melayu, makanan dan minuman termasuk
kecenderungan dalam kalangan orang Melayu meminum tuak/arak walaupun mereka
beragama Islam, persenjataan Melayu, perkapalan dan perdagangan Melayu. Menurut kedua-
dua penulis, gambaran ini boleh diaplikasi untuk memahami tentang sifat-sifat atau ciri-ciri
orang Melayu di seluruh Semenanjung. Eredia banyak menyebut nama tempat, pokok, haiwan
dan sebagainya: ada yang boleh ditentukan nama mereka dalam bahasa Melayu tetapi banyak
juga yang sukar dipastikan.
Dalam bab seterusnya Yahaya Abu Bakar telah menggunakan kemahirannya meneliti sumber
Portugis untuk menjelaskan catatan sumber tersebut tentang Melaka. Menurut Yahaya,
3
terdapat tidak kurang daripada 500 dokumen bertulis tangan yang kini tersimpan di merata-
rata arkib di Portugal, Sepanyol, ltali dan Britain, yang sungguh berguna dalam sebarang
usaha meneliti kehadiran dan kesan kedatangan orang Portugis di Melaka. Antara beberapa
sumber yang terkenal dan sering menjadi rujukan pengkaji termasuklah Suma Oriental oleh
Tomé Pires, Livro de Duarte Barbosa oleh Barbosa, Declaram de Malacca e India
Meridional Com O Cathay oleh Manuel de Eridia, Asia Decadas oleh Joao de Barros, Gaspar
Correa dengan Lendas Da India, Decadas oleh Diogo de Couto, Historia do Descobrimento e
Conquista de India pelos Portugueses oleh Lopes Castanheda dan tidak kurang pentingnya
ialah The Commentaries of the Great Afonso D'Albuquerque (Braas de Albuquerque). Selain
itu, Yahaya turut menekankan keperipentingan dokumen-dokumen lain seperti warkah-
warkah diraja, laporan-laporan pentadbiran oleh Wizurai Portugis di India dan pegawai
pemerintah Portugis di Melaka, laporan-laporan paderi atau ahli agama dan gereja Melaka,
termasuklah surat menyurat para tahanan Portugis di Melaka di bawah pimpinan Rui de
Araujo, semuanya merupakan antara sumber penting yang dapat membantu ahli sejarah
mengkaji tentang kegiatan Portugis di Timur.
Sumber-sumber tersebut memaparkan tentang beberapa aspek penting meliputi minat orang
Portugis untuk mencari, mendekati, berdagang seterusnya menakluki Melaka, kegiatan politik
dan pentadbiran Portugis di Melaka dengan tumpuan kepada hubungannya dengan jiran-jiran
dan kuasa tempatan di persekitaran Selat Melaka, organisasi dan sistem perdagangan Melaka
sewaktu berada dalam tangan Portugis selama lebih satu kurun sejak 1511 dan institusi
keagamaan yang diperkembangkan oleh Portugis melalui penubuhan gereja-gereja dan
peranannya di Melaka dalam pelbagai aspek. Selain menerangkan tentang kehadiran Portugis
dan usaha-usaha penaklukan Melaka, sumber-sumber Portugis juga memaparkan gambaran
tentang usaha yang dibuat untuk mempertahankan Melaka, masalah pentadbiran yang wujud
selepas mengambil alih Melaka, serta perihal yang menyentuh tentang hubungan diplomatik
mahupun perseteruan antara pihak Portugis di Melaka dengan negara jirannya seperti Johor
dan Aceh, serta kehadiran kuasa Eropah lain seperti Belanda yang memberikan cabaran
kepada pengekalan kuasa Portugis di Melaka.
Pada bab 7 Ahmat Adam memfokus kepada satu resensi Sulalat-us-Salatin atau Sejarah
Melayu iaitu resensi Krusentern yang diterbitkan di Rusia pada kurun ke-18. Menurut Ahmat
Adam, mengkaji Sulalat-us-Salatin untuk meneliti sejarah Melaka bukanlah mudah kerana
terdapat 4 resensi Sejarah Melayu iaitu (1) naskhah Shellabear (2) naskhah Raffles No. 18 (3)
4
naskhah yang diberi kata pengantar oleh Abdullah Munshi yang telah diterbitkan pada 1831;
dan (4) resensi Krusentern yang diterbitkan dalam bahasa Rusia dengan faksimili Jawinya
diterbitkan sekali. Apapun, sehingga kini naskhah Raffles No. 18 merupakan naskhah yang
paling banyak dikaji.
Dalam tulisannya itu, Ahmat Adam menjelaskan pengarang Sulalat-us-Salatin mempunyai
motif khusus iaitu mengungkapkan keagungan kerajaan Melaka dan raja-rajanya dengan
Melaka dilihat sebagai cakerawala sementara raja-rajanya mempunyai salasilah yang hebat.
Malah salasilah ini mempunyai kesinambungan yang tidak pernah putus. Ahmat Adam
melihat historiografi jenis ini sebagai sejarah yang fungsional. Sejarah jenis ini bersifat
hagiografik dengan mengutamakan penggaluran utuh sejarah kebesaran raja-raja Melayu.
Satu perkara menarik tentang perbincangan ini ialah rujukan yang dibuat kepada tulisan
Profesor O. W. Wolters yang cuba mentafsir salasilah raja-raja Melayu berdasarkan kepada
sumber China. Contoh yang diberikan ialah tempoh pemerintahan Parameswara, sama ada 25
atau 35 tahun termasuk ketika di Palembang, Temasek, dalam perjalanan ke Melaka dan
selepas menubuhkan Melaka. Ahmat Adam menolak tanggapan bahawa Megat Iskandar Shah
itu orang yang sama dengan Parameswara yang telah memeluk Islam. Beliau turut
membangkitkan kesukaran untuk mengesahkan kebenaran mutlak sejarah hubungan Melaka
dengan Siam atau pun salasilah raja-rajanya tanpa membandingkannya dengan sumber lain
khususnya sumber China Ming Shih-lu sebagaimana yang dirujuk oleh Wolters ataupun Geoff
Wade. Di samping naskhah Raffles No. 18 yang disalin pada kurun ke-19 daripada sebuah
draf yang lebih awal yang mungkin telah ditulis pada 1536, Ahmat Adam mengajak pembaca
memberi perhatian kepada satu lagi naskhah yang disalin pada 1798 yang juga bersumberkan
naskhah lama yang hampir sama tuanya dengan naskhah prototaip yang digunakan pada 1536.
Hal ini bermakna sebarang kajian mengenai Melaka, raja-rajanya serta golongan elit istana
perlu melihat kepada kedua-dua naskhah. Para pengkaji juga perlu membaca kisah-kisah
dalam Sejarah Melayu bukan dari segi face value dengan tujuan penceritaan pengarang yang
tersirat perlu difahami dengan pemberian maknanya mengikut kerangka pemikiran dan sistem
nilai Melayu.
Pada bab 8 Ahmad Jelani Halimi membincangkan tentang kepentingan kegiatan perkapalan
dan perdagangan sebagai pemangkin kekuatan ekonomi Kesultanan Melaka. Antara faktor
yang dikaitkan dengan kemakmuran Melaka dalam kegiatan itu ialah kedudukan Melaka yang
strategik, pemerintah yang bijaksana serta penerimaan agama Islam yang menjadikan Melaka
5
sebagai pusat perdagangan yang menjadi tumpuan ramai pedagang Islam dari rantau Melayu
mahupun antarabangsa. Dalam bab ini, Ahmad Jelani memfokuskan dua aspek yang
membentuk identiti Melaka sebagai pusat perdagangan penting iaitu pengenalan matawang
dan latar belakang pedagang di Melaka. Menurut Jelani, pada tahun-tahun awal
penubuhannya, kegiatan perdagangan di Melaka dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai
jenis bahan gentian seperti serbuk dan ketulan emas, kepingan-kepingan perak dan bungkalan
(jongkong) timah. Namun dengan keperluan serta kepesatan perdagangannya, Melaka mula
memperkenalkan matawangnya sendiri yang berfungsi bukan sahaja untuk kegiatan transaksi
tetapi juga bagi sebagai alat pembayaran denda sesuatu kesalahan. Pihak Portugis dikatakan
mencatatkan bahawa kerajaan Melayu Melaka mempunyai mata wang mereka sendiri yang
disebut sebagai calaim, reis, ceitis atau cashes yang kesemuanya diperbuat daripada timah.
Dari segi latar belakang pedagang yang melakukan kegiatan perdagangan di Melaka, Ahmad
Jelani menjelaskan daripada bukti-bukti yang diperolehi daripada sumber tempatan mahupun
asing menjelaskan tidak ramai penduduk tempatan menceburkan diri dalam perdagangan
antarabangsa selain pembesar tertentu seperti Tun Muzahir yang terkenal dengan
kekayaannya. Berdasarkan catatan sumber Cina dan Portugis, didapati sebahagian besar orang
Melayu terlibat dalam kegiatan ekonomi lain seperti menjadi nelayan, pelaut dan tentera
(mungkin juga perompak laut). Kalau pun mereka berdagang, kegiatan perdagangan mereka
hanya dilakukan secara kecil-kecilan sahaja seperti menjadi pembekal barang-barang
keperluan harian kepada pedagang-pedagang asing dan pelaut seperti barang makanan dan
hasil-hasil hutan yang diperoleh dari kawasan sekitar Melaka. Mereka juga merupakan petty
traders, pedagang kecil-kecilan yang menperdagangkan barang-barang import dan tempatan
di kota itu sendiri dan juga di kawasan perdalaman.
Namun bukan semua raja Melaka mengeluarkan matawang yang boleh digunakan sebagai
bukti pemerintahan mereka. Hal ini telah dibincangkan oleh Supian Sabtu dalam bab 9
dengan melihat pelbagai matawang yang telah dikeluarkan oleh Sultan Muzaffar Shah, Sultan
Mansur Shah, Sultan Mahmud Shah, Sultan Ahmad Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah.
Matawang ini dikeluarkan dalam nilai 1 pitis, setengah pitis, suku pitis dan satu per lapan
pitis. Gelaran yang digunakan di permukaan syiling jelas menunjukkan hubungan dengan ciri
pemerintahan Islam yang diamalkan ketika itu. Gelaran-gelaran ini tidak ditemui dalam
sumber bertulis dan menjadi peringatan kepada raja-raja Melaka dalam menegakkan ajaran
Islam. Menurut Supian, terdapat 11 gaya tulisan yang digunakan bagi perkataan sultan dan al-
6
adil. Perkara ini hanya digunakan oleh kesultanan Melaka dan tidak di tempat lain di
Nusantara. Tidak kurang menariknya ialah perbincangan tentang tiga keping syiling yang
dikeluarkan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah yang kini dipamerkan di Galeri Numismatik
Ahmad di Alor Setar yang diperbuat daripada timah dan mempunyai persamaan dari segi
tulisan yang digunakan oleh syiling sebelumnya.
Pasang surut hubungan Melaka-Ayudhya/Siam dalam usaha masing-masing untuk hidup,
untuk mendapat dan mengekalkan kuasa, untuk mendominasi atau untuk diiktiraf setaraf
dengan kuasa lain dibincangkan dengan mendalam oleh Kobkua Suwannathat-Pian pada bab
10. Sumber Melayu dan Thai telah memberi tafsiran yang berbeza tentang perkara ini. Namun
daripada sumber yang pelbagai termasuk kajian Wolters yang banyak merujuk kepada sumber
China dan Tomé Pires yang tiba di Melaka beberapa tahun selepas emporium tersebut
ditakluki Portugis, selain sumber tradisional Melayu dan Thai, Kobkua mendakwa kejayaan
Melaka sebagai entreport dan empayar maritim di Selat Melaka banyak bergantung kepada
dasar imperial China ketika Ayudhya, yang juga pencabarnya, menumpu perhatian di
kawasan lain. Menariknya kuasa Eropah turut mengakui Melaka masih di bawah kepertuanan
Siam sehingga 1511. Justeru itu, Portugis segera mengutus utusan ke Ayudhya untuk
mendapat restunya sebaik sahaja menguasai Melaka.
Dalam Bab 11 M. Adli Abdullah membincangkan tentang hubungan negeri Pasai dengan
kerajaan Melayu Melaka dan peranan yang dimainkan oleh ulama-ulama Pasai dalam
penyebaran Islam ke seluruh dunia Melayu. Dalam bab ini dibincangkan sejauh mana
wujudnya hubungan antara kerajaan Melayu Melaka dengan negeri Samudera-Pasai
berdasarkan catatan sumber-sumber Pasai tentang kerajaan Melaka baik yang menyentuh
aspek agama, politik, pemerintahan dan perdagangan. Dengan menekankan peranan
Samudera-Pasai, M. Adli menjelaskan kerajaan itu telah berhasil meletakkan dasar tamadun
Melayu-Islam di Nusantara menggantikan tamadun Hindu-Buddha yang diasaskan oleh
Majapahit dan Srivijaya. Perubahan tersebut, menurut M. Adli, memberikan impak yang luar
biasa terhadap penyatuan dan pengembangan kekuatan politik, budaya dan agama di seluruh
Alam Melayu. Bahkan kerajaan Samudera-Pasai telah telah berjaya memainkan peranan
penting mengembangkan bahasa Melayu sebagai persatuan di rantau Alam Melayu. Sebagai
sebuah model sejarah identiti Muslim di rantau Melayu, Samudera-Pasai telah mempengaruhi
pembentukan dan perkembangan kerajaan beridentitikan Islam di Melaka sehingga disebutkan
bahawa Samudera-Pasai dan Melaka merupakan dua kawasan permata peradaban Melayu.
7
Dalam bab 12 Abdullah Zakaria Ghazali membicarakan tentang soal kepimpinan dan
pergolakan dalam perkembangan sejarah kesultanan Melaka. Menurut Abdullah, kepimpinan
memainkan peranan menentukan kemajuan dan kemakmuran Melaka. Melaka mencapai
kemakmuran dan kepesatannya di bawah beberapa kepimpinan yang berkaliber seperti Sultan
Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah, Sultan Alauddin Riayat Shah, dan zaman awal
pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Di samping itu, kerajaan Melaka mempunyai seorang
pembesar yang cekap dan berkarisma iaitu Bendahara Tun Perak yang banyak menyumbang
kepada keutuhan Melaka. Namun di sebalik kemakmuran dan kepesatan itu, Melaka turut
mengalami ujian dan zaman pergolakannya disebabkan peperangan mahupun pergolakan
dalam istana. Dengan memberi contoh beberapa peristiwa seperti perebutan takhta yang
menyaksikan pembunuhan Sultan Abu Syahid, penderhakaan Hang Tuah dan Hang
Jebat/Kasturi serta konflik-konflik luar istana yang akhirnya mencapai kemuncaknya dengan
serngan Portugis dan kejatuhan Melaka, Abdullah menyimpulkan bahawa kemakmuran
Melaka adalah dipengaruhi oleh corak kepimpinan yang adil, sehingga membolehkan Melaka
menjadi sebuah kerajaan yang begitu makmur, aman berkembang sebagai pusat perdagangan
dunia. Namun apabila kepimpinan itu mula dipengaruhi oleh unsur penyelewengan,
ketidakadilan, fitnah, rasuah, dengki dan khianat, Kesultanan Melaka mula mengalami
kemerosotannya sehingga gagal menangkis serangan Portugis pada 1511.
Dalam bab 13 pula yang bertajuk “Peperangan Pada Era Kesultanan Melayu Melaka”
Mardiana Nordin menggunakan teks Sejarah Melayu untuk menjelaskan tentang sejarah, sifat
dan bentuk peperangan yang berlaku pada zaman Kesultanan Melaka. Terdapat pelbagai
bentuk perang dijelaskan seperti perang antarabangsa, perang serantau, perang saudara dan
perang antipenjajahan. Dalam Sejarah Melayu, perang pertama dalam bentuk perang saudara
melibatkan konflik antara Raja Kassim dan Sultan Abu Syahid. Persaingan ini berlaku selepas
kemangkatan Sultan Muhammad Syah pada tahun 1444. Sejarah Melayu juga menyentuh
tentang perang yang melibatkan Melaka dengan kerajaan-kerajaan serantau seperti Pahang,
Siak, Semerluki, Pasai, Kampar dan juga perang dengan kuasa-kuasa luar seperti Siam dan
Portugis. Dorongan perang pada zaman itu, menurut Mardiana, berpunca daripada keinginan
untuk mempertahankan atau meninggikan darjat serta kedaulatan seseorang raja dan
kerajaannya. Selain itu, perang juga dimanfaatkan untuk menonjolkan ketaatan para pembesar
dan kemahiran mereka dalam seni peperangan.
8
Mardiana turut menyentuh tentang faktor kejayaan Melaka dalam beberapa siri
peperangannya yang didokong oleh penggunaan tenaga manusia atau tentera yang besar.
Sejarah Melayu mencatatkan bahawa kawasan-kawasan taklukan Melaka memainkan peranan
penting dalam membekalkan tentera atau tenaga manusia dalam peperangan mereka. Catatan
Portugis pula menyebut tentang betapa besarnya jumlah tentera upahan di Melaka semasa
mereka melancarkan seranan pada tahun 1511 itu. Dianggarkan daripada sejumlah 20 ribu
tentera yang mempertahankan Melaka daripada serangan Portugis, separuh daripadanya
merupakan tentera upahan dengan askar upahan Jawa merupakan jumlah yang terbesar selain
daripada askar Gujerat, Turki dan Parsi. Dari segi persenjataan, Melaka didapati bergantung
kepada beberapa penggunaan kapal, perahu dan gajah untuk berperang. Begitu juga Melaka
dikatakan masih bergantung kepada peralatan senjata tradisional dalam peperangan seperti
parang, lembing, tombak, busar dan panah, sumpit dan kerambit walaupun menurut Mardiana,
tidak banyak maklumat tentang jenis-jenis senjata yang diperihalkan di dalam Sejarah
Melayu. Dari segi strategi dan sifat peperangan pula, khususnya antara Portugis-Melaka,
dicatatkan dalam peperangan tersebut Portugis telah dapat memenanginya disebabkan
kesilapan strategi atau salah faham pemerintah Melaka tentang tujuan sebenar kehadiran
Portugis dan pembelotan askar-askar asing yang berkhidmat dengan Melaka.
Pada bab 13 Azmi Arifin menilai dan membahaskan semula pendapat tentang punca-punca
utama yang mendorong kepada kemerosotan dan kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis
pada Ogos 1511. Menurut Azmi, sehingga kini para pengkaji secara umumnya cenderung
menyalahkan faktor dalaman yang dikaitkan dengan gejala ‘feudalisme Melayu’ iaitu
kelemahan sistem politik Melaka, institusi kesultanannya yang kejam dan ‘berkuasa mutlak’
serta budaya perpecahan dalam kalangan pembesar sebagai punca utama kejatuhan Kota
Melaka. Namun kajian Azmi menolak kecenderungan tafsiran sedemikian yang dianggapnya
terlalu longgar. Beliau menegaskan bahawa faktor kelemahan dalaman, dalam sesetengah
keadaan, telah diperbesar-besarkan. Walaupun tidak menafikan wujudnya kecelaruan politik
semasa pemerintahan raja-raja Melaka terakhir, khususnya di bawah kepimpinan Sultan
Mahmud Syah yang telah menggoncang perpaduan politik Melaka pada masa itu, namun
Azmi menegaskan bahawa kecelaruan tersebut tidak pernah sampai ke tahap yang boleh
melumpuhkan sama sekali kelicinan pentadbiran dan kekuatan pertahanan Melaka. Di sebalik
kecenderungan para pengkaji menyalahkan institusi pemerintahan beraja dan amalan
politiknya yang dianggap mundur dan kejam sebagai punca utama kejatuhan Melaka, kajian
Azmi menjelaskan jalinan elemen manipulasi kuasa dan pengkhianatan ‘unsur-unsur asing’ di
9
Melaka merupakan sebab utama yang memainkan peranan melemahkan Melaka dan
setersunya memudahkan usaha Portugis menakluki Kota Melaka pada 1511.
Pada bab terakhir Ahmad Suryadi Nomi membicarakan tentang sejarah 500 tahun jatuhnya
Melaka sebagai satu tragedi yang boleh diambil pengajaran untuk membina semula perpeduan
yang pernah wujud di Alam Melayu. Menurut Suryadi, kejatuhan Melaka merupakan
peristiwa simbolik perubahan drastik sejarah umat Melayu, titik permulaan kekalahan seluruh
dunia Islam dan kemenangan bangsa Eropah terhadap apa yang dinamakan sebagai peradaban
Nusantara Raya. Sejak saat itu menyaksikan kehancuran kepada nilai-nilai, identiti, tradisi,
dan karakter bangsa Nusantara Raya yang telah terjalin begitu lama. Pembentukan tradisi dan
identiti bersama yang hilang kini digantikan dengan identiti kebangsaan baharu yang begitu
terasing mengikut logik kolonialisme, yang semakin memisahkan dan mengentalkan jiwa
kebangsaan sempit yang pada masa dahulunya pernah bersatu. Sehingga ke hari ini bangsa
Nusantara Raya menurut Suryadi masih belum dapat menemukan jati diri asalnya.
Penyesuaian terhadap gagasan demokrasi Barat tidak membawa kepada penyatuan sebaliknya
mewujudkan lagi perpecahan sosial dan masyarakat. Menyedari tentang perpecahan dan
kegagalan menghargai sejarah kebangsaan lampau mendorong penulis menyeru agar
masyarakat Nusantara Raya kembali membangunkan semula nilai dan manifesto peradaban
Melayu-Nusantara Raya dengan belajar daripada perpaduan kebangsaan Eropah yang
terbentuk melalui Kesatuan Eropah yang sehingga kini, yang mampu membangunkan susunan
sosial yang bersifat regional tanpa harus menegaskan kewujudan dan garis sempit negara-
bangsa yang ditetapkan mengikut acuan kolonialisme Barat.
Setiap pandangan yang dikemukakan dalam setiap bab buku ini membawa tafsiran berbeza
sesuai dengan keunikan disiplin sejarah yang menekankan soal kebebasan tafsiran dan
penghujahan. Namun setiap satunya sengaja dihimpunkan dan disusun untuk menjadi satu
pemaparan yang agak menyeluruh walaupun mungkin tidak lengkap bagi keseluruhan aspek
sejarah Melaka. Dengan itu, himpunan esei-esei ini dapat menyumbang satu rujukan yang
luas dan amat berguna untuk pelajar, penyelidik dan seluruh masyarakat dalam memahami
dan meneliti tentang perkembangan sejarah Melaka. Pokok pangkalnya, setiap tafsiran itu
sering berubah bergantung kepada rujukan atau bukti-bukti baharu yang ditemui. Dalam
konteks sejarah Melaka, walaupun perbincangan tentangnya sudah dilakukan dengan begitu
lama dan meluas, namun masih ada kelompangan yang belum terisi dan memerlukan tafsiran-
tafsiran serta pembuktian baharu. Dalam aspek ini, sebahagiannya telah dicapai melalui usaha
10
para penulis yang cuba untuk melihat daripada pelbagai sudut yang berbeza tentang aspek
sejarah Melaka yang sebahagiannya masih lagi diperdebatkan sehingga kini.
11