Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Universiti Malaysia Kelantan sebagai penaja geran penyelidikan UMK Fundamental Research Grant (UMK FUND), kod penyelidikan R/FUND/A0400/01972A/001/2022/01113 serta pihak Puan Aida dari bahagian Harta Intelek, Dewan Bahasa dan Pustaka kerana mengizinkan cerpen ini didigitalkan. Disediakan oleh : Dr. Tuan Rusmawati Raja Hassan (UMK) Profesor Dr. Abdul Halim Ali (UPSI) Prof. Madya Dr. Nor Hashimah Ismail (UUM) Dr. Mohd Faradi Mohamed Ghazali (UnisZA) Ts. Dr. Mohd Saipuddin Suliman (UMK) Nooratikah Daud (UPM)
Perjalanan Terakhir RUMAH itu diselimuti kebimbangan. Angin selalu mendesah dari segenap penjuru, tetapi penghuni rumah itu tidak merasa damai lagi. Seolah-olah rumah batu yang terletak di kaki bukit yang sedang mereka diami sekarang akan runtuh oleh penderitaan yang tidak terelakkan. Rumah itu ada empat bilik tidur. Tiga bilik di tingkat atas dan satu bilik di tingkat bawah. Di tingkat atas, tinggal Lukman, isterinya dan anak perempuan mereka, Anita. Di tingkat bawah tinggal Mufrad seorang diri. Lukman telah hampir dua tahun lebih tersepuk saja di dalam rumah. Kedua-dua kakinya lumpuh. Kedua-dua tongkat yang selalu terkepit di bawah ketiaknya, sekarang menjadi temannya yang paling rapat. Rumah itu dalam kebimbangan sejak kedatangan Mufrad. Lukman awal-awal lagi membantah ketibaan Mufrad, katanya, isterinya Shuhada tidak berhak membenarkan Mufrad tinggal di dalam rumah kerana dia tidak suka. Shuhada terdiam sebentar. Dia melihat kedua-dua tongkat yang dipegang suaminya, kemudian dia bersuara dengan tenang, “Ya, Shuhada tahu abang tidak suka, tetapi menurut Shuhada, tidak ada salahnya membenarkan Mufrad tinggal bersama-sama kita.” “Abang tahu,” sambung Shuhada, “Mufrad seorang mahasiswa. Dia anak miskin. Kalau dia tinggal di kolej atau di tempat lain, dia terpaksa membelanjakan wangnya dengan banyak. Apa abang tidak fikir bagaimana susahnya orang-orang seperti dia menimba ilmu di kota besar begini?” Terlalu sukar hendak diucapkan Lukman bahawa dia cemburu jika ada lelaki lain di dalam rumahnya. Dia tahu, kedua-dua kakinya telah lumpuh, tenaganya juga lumpuh. Dan, dalam usia yang masih muda, Shuhada terpaksa menghadapi kekosongan jiwanya.
Perjalanan Terakhir "Shuhada tidak berniat membantah abang,” kata isterinya lagi sambil memandang ke luar jendela. “Tapi, kalau abang memberi alasan-alasan yang pada fikiran Shuhada munasabah, Shuhada tentu akur dengan abang dan tak payahlah membenarkan Mufrad tinggal bersama-sama kita di sini.” Mulut Lukman tidak kuasa bicara. Pada petang itu juga, Mufrad tiba membimbit beg pakaiannya dalam hujan gerimis. Anita terlonjak-lonjak menyambut kedatangan Mufrad, walaupun selama ini anak perempuan berumur lima tahun itu tidak pernah mengenali Mufrad. Shuhada juga riang seperti menyambut kedatangan adiknya atau saudaranya, padahal antaranya dengan Mufrad tidak ada apa-apa perhubungan. Dengan segera disambut Shuhada kedatangan Mufrad. Beg pakaiannya dibawa masuk ke dalam bilik tingkat bawah dan dia berkata, “Ah, hujan gerimis menyambut kedatanganmu Mufrad. Bajumu basah. Pergilah bersalin pakaian dulu, kemudian kemaskan bilik tidurmu ini. Bilik mandi di sana….” Mufrad mengangguk. Matanya merenung dari sudut ke sudut memerhatikan bahagian di dalam rumah itu. Mufrad merasakan kedatangan bentuk baru dalam jiwanya. Dan, sekali matanya terlempar ke anak tangga yang menyambung tingkat bawah dengan tingkat atas, dia ternampak Lukman sedang duduk memerhatikannya. “Tak kau bawa buku-buku kau sekali Mufrad?” tanya Lukman. “Kalau banyak buku dan kau rajin belajar, tentu kau akan menghabiskan masa menimba ilmu.” Dalam ucapan itu, Mufrad merasakan sesuatu yang ganjil di sebalik kata-kata Lukman. ‘Apakah lelaki lumpuh ini tidak suka kalau aku ada masa kosong?’ fikir Mufrad. “Oh, buku-buku belum saya bawa ke mari. Saya tinggalkan di rumah kawan,” kata Mufrad setelah lama terdiam, sambil bersalaman dengan Lukman. “Esok dan lusa tentu boleh saya bawa buku-buku itu ke mari.”
Perjalanan Terakhir “Kalau jauh, kau perlukan kereta barangkali,” kata Lukman. “Tak perlu,” jawab Mufrad. “Saya boleh naik bas. Dari jalan raya ke mari, saya boleh berjalan kaki.” Lukman yang buat pertama kali menemui Mufrad, terasa tersindir. Mufrad tidak tahu, dan sekali-kali tidak bermaksud menyindir. ‘Ah, mahasiswa ini,’ fikir Lukman, ‘dia sudah mula menyindir aku yang tidak boleh berjalan. Lelaki lumpuh itu menundukkan mukanya, dan Mufrad berasa ganjil. Dia tidak tahu berbuat apa-apa, tetapi mujurlah dengan segera Anita memanggilnya dari belakang. “Abang, abang hendak makan awal malam ini? Abang ada kelas tak malam ni?” “Abang tak ada kelas malam ini Anita. Tak mengapalah kalau makan lewat malam ini,” jawab Mufrad. Anita berlari-lari ke dapur dan kedengaran dia berkatakata dengan Shuhada. Dengan langkah yang tetap, Mufrad permisi ke biliknya Hari-hari berikutnya seperti biasa. Tetapi, perjalanan hati dan rasa Lukman tidak seperti biasa lagi. Dia dalam arus rasa kebimbangan yang bergelora. Pokok-pokok perbicaraannya dengan Shuhada tidak seperti biasa lagi. Dia selalu membicarakan hal Mufrad, walaupun dalam perkara-perkara yang remeh, menurut Shuhada. Tiga malam setelah ketibaan Mufrad, Lukman mula memperlihatkan sikapnya. “Apa kau tidak susah setelah Mufrad di sini Shuhada?” tanya Lukman dengan kuat. “Ah, apa disebut-sebut lagi nama Mufrad abang?” sahut Shuhada dengan perlahan. “Nanti didengarnya. Mufrad tidak ada tutorial malam ini. Kalau dia terdengar namanya abang sebut-sebut, tentu dia tak berasa senang.” Lukman tidak peduli.
Perjalanan Terakhir "Kau sepatutnya menguruskan keluarga kita saja Shuhada,” Lukman menyambung, “Aku mencintai engkau, dan aku tak suka kalau kau bekerja keras.” “Apakah kerja keras yang Shuhada lakukan?” “Kau sendiri tentu tahu Shuhada,” balas Lukman dengan bersahaja. “Pagi-pagi kau terpaksa ke market, pukul 10 kau mulai memasak. Petang pula kau mengajar.” “Jadi, abang suruh saya berhenti mengajar?” “Tidak, sekali-kali aku tak menyuruh kau berhenti menjadi guru Shuhada. Cuma kau sepatutnya tidak menjadikan Mufrad sebagai beban kau dan beban dalam rumah tangga ini!” Abang, abang salah tanggapan,” balas Shuhada dengan berani. “Mufrad sedikit pun tidak membebankan saya. Malah, kedatangannya ke sini meriangkan hati Anita, kerana dia boleh berbual-bual dengan Mufrad. Lagipun, telah menjadi tugas saya menguruskan rumah tangga ini, juga setiap penghuni di dalam rumah ini.” “Shuhada mencintai abang lebih daripada segala-galanya,” sambung Shuhada. Cinta yang jujur walau sekarang abang lumpuh. Shuhada memandang abang sebagai Lukman yang dulu, bukannya memandang wang berpuluh-puluh ribu, yang abang terima akibat kelumpuhan kerana kemalangan lebih dua tahun lalu.” Sambil memandang tepat-tepat muka Lukman, Shuhada meneruskan, “Wang gaji Shuhada cukup untuk makan, sewa rumah dan pakai kita seisi rumah. Sudah berkali-kali Shuhada katakan, abang tak perlu lagi mengeluarkan wang daripada bayaran ganti rugi kemalangan untuk sewa rumah ini, tetapi abang tetap membayar sewa rumah ini.” “Ya, ya, itu aku tahu Shuhada. Itu aku tahu,” kata Lukman tiba-tiba. “Aku juga berasa ada tanggungjawab di dalam rumah ini setelah aku lumpuh. Malah sebelum aku lumpuh lagi. Apakah sebenarnya kau tidak merasakan Mufrad ialah satu beban?”
Perjalanan Terakhir “Tidak abang. Mufrad bukan satu beban,” balas Shuhada dengan segera. Lukman dengan wajah tenang merapati perbaringan dan meletakkan kedua-dua tongkat ke dinding dan dia baring terlentang. Malam sangat kelam, di luar angin kencang, di langit mendung tebal dan sejuk di merata tempat. Di ranjang, Shuhada terbaring dan merasa sepi. Segala-galanya dingin. Sekali-sekali dipandangnya Lukman, tetapi suaminya telah tidur dalam kelumpuhan. Dengan hampa Shuhada menarik nafas panjang dan menutup tubuhnya dengan gebar. “Abang! Abang!” jerit Anita pada pagi esoknya semasa Mufrad sarapan. Masa itu Shuhada sedang membasuh pakaian dan Lukman di tingkat atas membaca surat khabar. “Malam tadi papa dan mama sebut-sebut nama abang.” “Mana Anita tahu? Selalukah papa dan mama berbual bila sudah malam?” tanya Mufrad. Dia berasa ada perkara baru yang menarik hatinya di dalam rumah yang ditumpanginya. “Ah, tentu Anita tahu,” jawab Anita sambil menarik-narik tangan Mufrad. “Waktu papa dan mama berbual malam tadi, Anita belum tidur lena.” “Apa kata mama?” “Entah, Anita tak jelas.” Serentak dengan itu, Lukman sudah memanggil Anita berkali-kali dari tingkat atas. Anita mengangkat bahu lalu berlari menaiki tangga sambil berkata dengan kuat, “Ya papa, Anita datang.” Hati Mufrad berdebar. Apakah dia sudah melakukan kesalahan di dalam rumah ini? Dia bertanya sendirian. Atau perlukah dia berpindah bilik? Kerana menurut Mufrad, tentu lebih baik Lukman tinggal di tingkat bawah. Jika Lukman masih tinggal di tingkat atas, tentu sekali merbahaya bagi Lukman naik turun tangga dengan menggunakan dua batang tongkat.
Perjalanan Terakhir Sebaik-baik saja Shuhada selesai membasuh dan hampiri Mufrad, dia pun berkata, “Bagaimana dengan suami kakak? Saya rasa dia perlu pindah ke tingkat bawah, supaya senang dia bergerak tanpa menggunakan tangga,” “Tidak perlu Mufrad,” jawab Shuhada segera. “Dia suka turun naik tangga dengan tongkat itu. Lagi pula, doktor menasihatinya supaya selalu menggunakan tongkat. Tahun depan mungkin dia akan ke Eropah untuk berubat.” “Oh begitu,” kata Mufrad, “Tapi suami kakak perlu pindah ke tingkat bawah, kerana barangkali perkara inilah yang kakak bincangkan berdua tadi malam.” Shuhada terkejut dan merenung Mufrad dengan tepat. Kemudian, Shuhada menarik nafas panjang, dan dia pun berkata dengan tenang, “Kau salah Mufrad. Tadi malam kami bincang fasal masa depan kau. Fasal pelajaran kau dan lain-lain lagi. Dari mana kau tahu kami ada menyebut namamu?” Mufrad mengangkat bahu dan tersenyum kecil. Kemudian, Mufrad meninggalkan meja makan dan sarapannya, lalu menuju pintu. Dia perlu ke kampus kerana kuliah. Sewaktu dia memakai kasut, dilihatnya Shuhada naik ke tingkat atas dan tidak lama kemudian terdengar tangis Anita. Dengan pantas Mufrad mengetap bibirnya. Dan sepanjang perjalanan ke kampus, kebimbangan mula memburunya dari belakang, mendekatinya, lalu memukul hatinya. Tidak perlu lama-lama bagi Mufrad menyiasat apakah yang dibicarakan Lukman dan Shuhada tentang dirinya, kerana seminggu setelah itu, pertengkaranpertengkaran mula berlaku antara Shuhada dengan Lukman. Pertengkaran itu berlaku hampir tiap-tiap malam, dan anehnya, pertengkaran-pertengkaran itu seolah-olah sengaja diadakan semasa Mufrad berada di rumah. “Kau selalu mempertahankan Mufrad saja Shuhada!” kata Lukman dengan keras. “Setiap kali aku memperkatakan tentang dia, kau menyebelahi dia. Apa mulai sekarang kau lebih menyebelahi dia daripada aku?”
Perjalanan Terakhir Kata-kata marah itu melayang menembusi telinga Mufrad. Dia membaringkan dirinya dan menutup muka dengan kedua-dua tapak tangan. Dari celah jarinya, menitis air mata yang panas dan jernih. Dan setelah Lukman marah-marah, selalu didengar Mufrad, Shuhada menangis teresak-esak. “Aku tahu Shuhada,” sambung Lukman dengan nada terharu, “telah dua tahun lebih aku lumpuh. Aku tak dapat memberikan engkau kepuasan. Tapi, bukan bererti kau mesti melupakan aku sekarang. Kau tak mesti menyebelahi orang lain… kau sekarang seolah-olah mula membenci aku yang lumpuh ini.” “Demi Tuhan, abang, Shuhada tidak melupakan abang,” tumpah rasa setia Shuhada, “Kalau abang berasa tidak senang Mufrad di sini, esok biar Shuhada minta dia keluar dari rumah ini.” Dan selalunya, kata-kata itu diikuti dengan tangis yang meninggi, seolah-olah tidak sanggup Shuhada mengeluarkan perintah kepada Mufrad. Mendengar ibunya menangis, Anita terjaga dan turut menangis. Sedu sedan tangisan itu memecah ke seluruh ruang di dalam rumah itu dan kadang-kadang melimpah hingga ke kaki bukit. Tangis pilu dan kesetiaan yang selalu dicurahkan Shuhada membuat hati Lukman terharu. Dipandangnya kedua-dua tongkatnya dan dia selalu berkata dengan muka muram, “Barangkali aku yang bersalah Shuhada. Barangkali aku yang bersalah.” Setiap pagi pertengkaran, Mufrad akan menemui Shuhada. Meminta mengundur diri dari rumah itu jika kehadirannya cuma akan menambah kegelisahan Lukman. Tetapi, Shuhada melarangnya, kerana kata Shuhada, Lukman lekas naik angin, tetapi lekas pula berasa dirinya bersalah. Tetapi, tiga malam selepas itu, terjadi lagi pertengkaran yang hebat. Suara keras Lukman bertambah lantang. Tangisan Anita dan Shuhada tidak bererti lagi. “Kau telah menduakan aku Shuhada!” jerit Lukman dengan berang. “Setiap kali aku ke hospital, apa yang telah kau lakukan di dalam rumah ini?”
Perjalanan Terakhir “Shuhada tidak berbuat apa-apa yang curang, abang.” “Ah, bohong! Aku ke hospital setiap hari Jumaat. Aku tahu, Mufrad tidak ada apa-apa kelas pun pada hari Jumaat!” sambung Lukman dengan muka merah. “Kau mengambil peluang ini ya?” “Demi Tuhan… Shuhada tidak pernah melakukan kerja terkutuk itu, abang. Percayalah pada Shuhada,” rayu isterinya. “Mufrad tidak pernah sekalipun menjejakkan kakinya ke bilik dapur, apalagi ke bilik kita. Dia selalu menghabiskan masanya di kampus.” “Lagi-lagi kau menyebelahi dia!” jerit Lukman. “Lagi-lagi kau menyebelahi dia. Ya, aku tahu, sebab dia boleh memuaskan batinmu! Sebab kau curang Shuhada! Kau curang!” Shuhada tidak boleh berkata apa-apa lagi. Kalau dia berkata pun, dirasakannya, kata-kata itu tidak akan melembutkan hati Lukman. Tetapi, sewaktu dilihatnya Lukman mengangkat tongkatnya, Shuhada merasa cemas. Mata merah Lukman menikam tepat mata Shuhada. Pandangan yang ganjil dan kejam itu membuat Shuhada segera bangun dan cuba keluar dari bilik di tingkat atas itu. Lukman mengikutinya dari belakang, bertapak dengan tongkat. Shuhada bertambah gugup dan lari menuju ke tangga. Lukman mengikut dari belakang. Apabila telah hampir dengan Shuhada, dengan cepat Lukman menyandarkan badannya ke dinding di bahagian atas tepi tangga. “Apa yang hendak abang buat kepada saya?” tanya Shuhada dengan cemas. Dari mulut lelaki lumpuh itu, pecah ketawa yang mengerikan. Tangannya yang tegap itu mengangkat tongkat yang tersepit di ketiak kanannya dan memukulkan ke leher Shuhada.
Perjalanan Terakhir Bunyi jerit menggema hingga ke bilik Mufrad, dan satu tubuh tergolek-golek di anak tangga, lalu tersadai di lantai di tingkat bawah. Terbit rasa pilu di hati Mufrad. Dia cuba menolong Shuhada, tetapi dari atas dia masih terdengar kemarahan Lukman. Kemarahan seperti api neraka. Dan Mufrad tidak berani mendedahkan dirinya kepada api, kalau kelak Shuhada juga turut terbakar. Dari dalam biliknya, jelas didengar Mufrad, Shuhada mengerang dan menangis tersedu-sedu. Dari bilik atas, Anita menangis juga. Hingga ke pagi, kebimbangan dan kegelisahan mengancam Mufrad. Matanya merah seperti matahari pagi di horizon, tetapi tiba-tiba angin pagi yang liar mendesah ke kawasan kaki bukit itu. Sekarang timbul fikiran baru. “Tidak ada faedahnya tinggal di rumah yang bergolak dengan kebimbangan, jika kebimbangan itu menenggelamkan sama sekali harapan masa depan,” fikir Mufrad. Pagi-pagi lagi Mufrad mengemas-ngemaskan pakaian dan bukunya. Dia perlu pindah segera. Pindah ke mana? Dia sendiri tidak tahu. Tetapi, yang pasti baginya, dia mesti meninggalkan rumah Shuhada seberapa segera yang boleh. Matahari pagi di horizon menghilang di sebalik awan hitam yang terapung di langit. Angin sejuk menikam tajam-tajam setiap rongga. Dan dalam selimut kedinginan itu, Shuhada bangun dari lantai. Tangisnya masih menitik, seperti permulaan gerimis. “Saya terpaksa pergi dalam gerimis, Kakak Shuhada.” Dia teringat kata Mufrad. “Kedatangan saya ke sini terlalu menyusahkan kakak. Saya telah memikirkan, bahawa inilah saat yang paling baik buat saya berangkat, walaupun sepatutnya tidak harus saya mengenali rumah ini. Kerana rumah ini menjadi kacau setelah ketibaan saya.” “Kau hendak pergi mana?” “Itu belum pasti,” balas Mufrad. "Tetapi, sekali-kali tidak akan saya hampakan cita-cita masa depan saya, iaitu menjadi pemimpin. Dan pengalaman saya di dalam rumah ini terlalu banyak untuk saya jadikan panduan hidup. Mulai saat ini, saya mesti membela diri saya, dan jika mungkin, membela kakak sekeluarga.”
Perjalanan Terakhir “Dengan cara apa?” “Itu akan saya fikirkan sedalam-dalamnya,” jawab Mufrad. “Sebelum meninggalkan rumah ini, saya ucapkan jutaan terima kasih atas budi baik kakak. Tetapi, saya terlalu dukacita kerana kakak jadi menderita setelah saya tiba. Ah, sungguh sayang. Lukman terlalu cemburu terhadap saya.” Dan, seperti hari ketibaannya, gerimis turun perlahan-lahan. Sewaktu teksi tiba untuk mengambil Mufrad dan barang-barangnya, Lukman masih lena. Lena daripada cemburunya. Kemudian, teksi menghilang. “Mufrad… Mufrad…” Tiba-tiba Shuhada berkata sendirian di tingkat bawah, seperti menyesali dirinya. “Aku kasihankan engkau Mufrad, tapi apa dayaku. Kau tentu tahu Mufrad!” “Kau bercakap dengan siapa Shuhada?” Tiba-tiba pecah suara Lukman dari tingkat atas. Wajah Mufrad terbayang di matanya yang merah. Dia membandingkan kecacatannya dengan kegagahan Mufrad. Dia membandingkan kelumpuhan jasmaninya dengan tenaga Mufrad. Dan, dia berasakan dirinya amat kecil. “Mengapa diam Shuhada? Kau bercakap dengan siapa? “Suara Lukman semakin jelas keras ke telinga Shuhada. Muka perempuan itu menjadi pucat dan dia menoleh ke atas. Lukman berlari-lari menuruni anak tangga lalu jatuh tersungkur di pertengahan jalan, terhempas ke lantai simen di tingkat bawah. “Abang!” jerit Shuhada dengan lantang. “Mana tongkat abang?” Lalu kepala suaminya yang berdarah diribanya dan Shuhada mulai mengerti bagaimana lelaki rupa dan bisa mengatasi kecacatan tanpa disedari, semata-mata kerana cemburu. Hujan gugur dengan lebatnya setelah matahari naik meninggalkan horizon. Liku-liku perjalanan mulai basah dan di kaki bukit itu angin dingin mendesah. Dewan Sastera, September 1971
Sekian Terima kasih