Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Universiti Malaysia Kelantan sebagai penaja geran penyelidikan UMK Fundamental Research Grant (UMK FUND), kod penyelidikan R/FUND/A0400/01972A/001/2022/01113 serta pihak Puan Aida dari bahagian Harta Intelek Dewan Bahasa dan Pustaka kerana mengizinkan cerpen ini didigitalkan. Disediakan oleh : Dr. Tuan Rusmawati Raja Hassan (UMK) Profesor Dr. Abdul Halim Ali (UPSI) Prof. Madya Dr. Nor Hashimah Ismail (UUM) Dr. Mohd Faradi Mohamed Ghazali (UnisZA) Ts. Dr. Mohd Saipuddin Suliman (UMK) Nooratikah Daud (UPM)
ALAHAI! Dahulu rasa-rasanya aku sedang tenggelam asyik berkhayal memerhatikan gunung Gayamahatumpul; sebuah gunung yang sebelumnya begitu teguh ditapaki bumi luas, begitu utuh dipayungi langit saujana. Puncaknya menirus tajam mempamerkan sebutir noktah di hujung bagaikan secekak kuasa bupala yang benar-benar mengancam segala. Kelmarin rasa-rasanya kau sedang tenggelam asyik berkhayal memerhati keruntuhan gunung Gayamahatumpul itu. Kepingan-kepingan tanah yang membalut tubuh Gayamahatumpul sedang berelaian jatuh dan berkecai dan akhirnya lumat apabila diusap bumi. Batu-batunya yang bulat bersegi, yang lonjong dan pipih, yang kerikil dan bermanik-manik, yang selama, ini mengasak dan mengejap tubuh Gayamahatumpul sudah mulai berserpihan gugur ke bumi bagaikan diperoi-peroi. Rasa-rasanya akar-akar yang memilit dan memintal Gayamahatumpul, tanah-tanah yang mengejap dan memadat Gayamahatumpul sedang gelut terhakis; dihakiskan oleh udara kering yang sering membedal, dihakiskan oleh hujan yang jenuh menimpa, dihakiskan oleh sinar mentari yang tidak habis-habis menerik dan menerik. Sesungguhnya kini – sekarang ini – aku benar-benar sedang melihat gunung Gayamahatumpul beruntuhan. Ia bukan lagi satu khayalan. Bukan satu keasyikan yang terkunang-kunang. Bukan lagi tenggelam dalam kemabukan rasa. Sesungguhnya aku benar-benar sedang menunggu keluputan sebuah gunung yang selama ini maha berkuasa, yang selama ini maha perkasa. Sebelum ini dalam mimpiku, gunung Gayamahatumpul pernah muncul dalam bentuk seorang insan yang amat biasa sekali. Ada kakinya. Ada tangannya. Ada matanya. Ada telinganya; malah lengkap seperti aku dan juga seperti anda. Bezanya ia adalah seorang bupala, sebutir noktah yang bertapak di puncak gunung yang teguh mengenggam segala. Tetapi, kemunculannya kali ini benar-benar meremuk rasa; baik rasaku mahupun rasanya. Kukira lebihlebihlah rasanya sendiri sebagai sebutir noktah, sebagai seorang bupala. Keadaan sekeliling sungguh sepi. Dan pada saat-saat tertentu, sepi amat memagut-magut. Aku sendiri tidak mahu percaya dengan keadaan yang ada itu. Tidak seorang jelataan pun yang menunggu kemunculannya itu. Tidak sepertiGUNUNG
ketika-ketika dahulu yang kehadirannya digamatkan oleh suara-suara menjeritjerit, meraung-raung, diriuhkan lagi oleh, tepukan gemuruh bersipongang sampai ke malam hari, ditengikkan lagi oleh bau-bau tubuh yang beratus berhimpitan, berlanyak-lanyakkan untuk sekadar menatap gunung Gayamahatumpul dalam wajah seorang bupala itu. Suaranya berbahana menembusi angkasa dan menikam bumi yang sentiasa setia untuk dipijak itu. Biji halkum bupala melonjak naik melonjak turun mengikut irama liur yang ditelan apabila selesai saja ikrar untuk hidup bersama-sama, mati bersama-sama, bersusah payah bersamasama, bersenang-lenang bersama-sama dan bersama-sama dalam segala. Kesepian langsung tidak berkesempatan bertapak sedikit pun waktu itu. Ruang untuk kesepian tidak mampu diwujudkan lagi kerana setiap relung dan lekuk diisi oleh raung jelataan yang sudah pun bersumpah untuk hidup bersama-sama dengan bupala, bersusah payah bersama dengan bupala, bersenang-lenang bersama-sama dan bersama dengan bupala dalam segala. “Gayamahatumpul! Gayamahatumpul!” jerit para pak pacak yang sememangnya patuh setia terpacak memagari Gayamahatumpul dari seberang seteru. Kini, kesepian memagut-magut pula mengambil alih kekuasaan. Kehadirannya boleh dikatakan sebatang kara kecuali tubuh-tubuh sasa pak-pak pacak yang terus setia memagari Gayamahatumpul berwajah bupala itu. Yang sekitaran hanya bayu dan sinar mentari serta selingan-selingan ciapan caktuli yang sesat. Ribuan dan jutaan jelataan yang sebelumnya berlanyak-lanyakan kini lesap diganyang kesepian. Kesepian yang benar-benar memagut dan menghentak hulu-hulu hati. Dan di tengah-tengah samudera kesepian itulah kelihatan bupala menggeleng-geleng kepala beberapa liuk bak pancang di tengah arus. Kemudian bupala menitiskan beberapa manik air mata. Kemudian bupala nampak teresak-esak menelurkan ingusan yang cair. Dan kemudian lagi gagah-gagah menyusun serangkap dua rangkap kata-kata yang berbebel-bebel. Pak-pak pacak yang berupa tubuh-tubuh pejal sasa yang memagarinya entah dari musuh mana, cuba gagah-gagah menepuk tangan, tetapi bahana tepukan berubah wajah menjadi satu jenis ramuan sindiran yang pedas pula. Esakannya beralih wajah dan ingusannya juga berubah menjadi liat dan bergetah. GUNUNG
Dan di kala itulah aku mendengar raung yang memekak telinga berpecah menembusi ruang melanggar angin dan mencabuli kesepian. “Mu seorang bupala belah buluh!” “Mu seorang bupala belah buluh!” Raung semakin bercempera, semakin bersipongang tingkah-meningkah sampai membengangkan telinga. Setiap bucu daerah memancutkan slogan itu. Bahananya menerpa setiap lekuk dan terus menerjahkan kesepian yang berlabuh di mana-mana. Bupala yang tadinya cuma dipujuk-pujuk oleh pak-pak pacak tersepuk kebingungan. Kepalanya dicekak cuba mentafsirkan erti belah buluh yang bersipongang. Orang belah buluh selalunya menjulang sebelah buluh dan sebelah lagi dipijak-pijak sampai ranap ke bumi. Yang satu pihak disayangi yang satu lagi dibenci. Esakan kembali merungus-rungus di hidung dan kemudian berubah wajah menjadi tangisan yang benar-benar kebayi-bayian. Ingusan yang lengket yang berjela-jela keluar sehingga banyak jaluran yang terus berlabuh di retak-retak bibir. Bupala terus tersepuk, semakin mengecil semakin menirus, luruh ke dalam bumi yang taat setia bagaikan sesentil perca buruk yang lusuh. Sepukan bupala terus mengecil dan menirus hingga tamat sebagai satu noktah di puncak Gayamahatumpul. Dan aku pun terjaga. Dan gunung Gayamahatumpul ternampak sungguh-sungguh renggeh; bergayutan dengan serpihan-serpihan batu, akar-akar yang lusuh lilitannya dan pokok-pokok yang condong bagaikan kereputan tunjangnya. Rasa-rasanya bagaikan mereka tahu benar kedudukan tumang yang mereka dasari. Kekuatannya sudah tidak ada lagi. Kekuasaannya lusuh, selusuh kepingankepingan daging seorang buyut, renggeh serengeh medang di tanah gersang dan layu selayu wajah bayi yang diwabaki penyakit kesi. GUNUNG
Nah! Aku sekarang benar-benar sedang memerhati keruntuhan; benar-benar melihat keruntuhan kekuasaan sedang bergelut dan berkejang-kejangan. Kepingan-kepingan tanahnya yang tertampal ke tubuh gunung sudah banyak yang terpukah dan relai menjadi butir-butir sehalus debu. Dan butir-butir itu gugur tidak mengikut gilirannya lagi. Dan ini terlaksana bersama dengan batu-batu yang dahulunya pernah mengutuhkan Gayamahatumpul. Kini, batu-batu itu tidak mengapuk mengukuhkan lagi Gayamahatumpul. Kapukannya sudah tidak seerat dan semesra dahulu lagi; malah pecah berkecai apabila jatuh ke permukaan bumi. Akar-akar yang dahulu tegang perkasa melilit dan membelit tubuh Gayamahatumpul, kini longgar selonggar tumang di lubang mengkarung. Uraturatnya landuh berserabai terpuing-puing ditarik keruntuhan. Tadi pun ternampak sebatang merbau terbokeh akar-akar tunjang dengan mudahnya dan tumbang melintang ruang. Kapukannya pada tubuh dan urat saraf Gayamahatumpul sudah tidak secinta dahulu lagi. Ini dituruti lagi dengan landuhan akar semakin labuh dan percikan batu-batu yang sudah tidak berdaya lagi menumpang selekuk di tubuh Gayamahatumpul. Gayamahatumpul benar-benar dalam keruntuhan, sungguhsungguh dalam perjalanan menuju arah kehakisan dan kepakuman diri. “Mu seorang bupala belah buluh!” Jeritan itu menyerbu kembali di dalam lopak ingatan. Ini dahulu. Dan jeritan itu terjelma daripada mulut-mulut jelataan yang memamah dan mengunyah hakikat kehidupan di bawah naungan di bawah bupala. Fiil orang belah buluh memang kejam, memang tidak adil, terang-terang menyogokkan kepimpinan kuasa bogel. Tidak beradab. Tidak bersopan. Tidak bersusila. Kurang ajar. Mengapa tidaknya!, Sebelah buluh diangkat dan dijulang dan diampu. Sebelah buluh lagi dipijak dengan kaki yang kematu. Dan selagi buluh tidak terpukah dua, selagi itulah yang satu diangkat-angkat dan yang satu lagi dipijak-pijak. Mimpi itu memanjang betul dan benar-benar membahanakan keruntuhan Gayamahatumpul. “Belah buluh! Belah buluh! Belah buluh!” GUNUNG
Rasanya raung dan jeritan itu terngiang kembali menujah telinga apabila keduadua belah mata tertumpu ke wajah Gayamahatumpul. Ini bukan satu impian atau jelmaan lagi. Gayamahatumpul benar-benar dalam keruntuhan; diruntuhkan oleh ketumpulannya sendiri. Penyakit yang memakan dalam, yang melumatkan urat saraf sedikit demi sedikit, seutas demi seutas. Itu pun seketul batu renggang daripada tubuhnya. Nah! Cuba perhatikan betul-betul. Itu lagi seperdu pinang baik tercabut. Lihat akar-akarnya. Reput dan gelumang. Rantingnya dan dahannya renggeh serenggeh buyut. Lihat saja keruntuhan Gayamahatumpul di depan mata itu; keruntuhan yang berpunca dari dalamannya sendiri. Keruntuhan yang berasal dari adab belah buluhnya. Dari ketumpulan tindakannya. Tidak lama lagi keruntuhan itu pasti tamat. Seluruh tubuh Gayamahatumpul akan luruh selonggok ke atas bumi yang setia. Akan luput dikibas angin. Akan lenyap dicairkan obor mentari. Akan luput dari ingatan. Dan batu-batu, kepingan-kepingan tanah, pokokpokok serta akar-akar yang selama ini menumpang semangkuk diperkasaan Gayamahatumpul akan turut luruh bersama dengan Gayamahatumpul. Akan turut lenyap dan lesap bersama-sama Gayamahatumpul. Dan jauh sebelum itu pun, sebenarnya Gayamahatumpul pernah muncul dalam wajah bupala yang diusung oleh oknum-oknum dan dipagari oleh pak-pak pacak. Waktu itu bupala sudah mula menunduk dan bertafakur bagaikan bernostalgik pula melalui monolog-monolog yang seribu selekoh untuk menghukum diri sendiri. Entah kali ke berapa bupala menziarahiku dalam mimpi. Tetapi, kali itu wajah bupala sugul dan dahinya terbatas-batas dengan retak-retak yang terculang-caling di sana sini mempamerkan kebuyutannya yang pantas betul memamahnya. Kesugulan yang merata di muka itu pun menokokkan lagi kesugulan yang sebenar bertapak di hati, di relung-relung hempedu dan usususus. Aku bukan bupala. Aku bukan bupala. Demikian ulitan kalbu bupala melalui monolognya yang panjang lebar. Seorang bupala adalah seorang yang menghentam buta tuli dan menggunakan kuku besi. Aku bukan bupala. “Mu seorang bupala berkuasa bogel!” GUNUNG
Bisikan itu membalas dengan sendirinya. Aku bukan bupala berkuasa bogel tanpa malu tanpa silu tanpa segan tanpa sopan santun tanpa susila. Demikian monolog bercanggah dengan monolognya sendiri, bertelagah dan berperang dalam gelanggang sangkar kerangkanya. Mungkin juga aku seorang bupala, tetapi bukan bupala yang berkuasa bogel. Aku hanya seorang pemimpin yang bijaksana, yang bervisi yang bersopan dan yang bersusila. Aku sendiri tidak pernah berbogel kecuali sekali-sekala apabila bersiput babi bersama cewek-cewek. Dan aku amat perlu cewek-cewek itu untuk memudahkan kebuyutannya. Aku bukan bupala. Aku hanya seorang hamba kepada rakyat jelata. Akulah tunjang mereka. Akulah obor mereka. Akulah yang memberi kesejahteraan mereka. Tetapi, kau seorang bupala belah buluh dan seorang bupala kuasa bogel. Monolog itu berterusan lagi cuba menegak kebenaran masing-masing. Gayamahatumpul dalam wajah bupala nampak terdongak dan menyeringai sedikit bagaikan teringat wajah cewek-cewek yang lampau. Monolognya cukup panjang kali itu kerana cuba menepis tuduhan-tuduhan liar dari para musuh dalamannya yang cepat betul tambah angkanya. Dan dalam wajah seorang bupala itu dia bangun berjalan ulang-alik di atas permukaan bumi yang belum balik kuang ketaatannya. “Mu seorang bupala yang kejam.” Bupala tersentak mematikan langkahnya. Kejap kedua-dua belah tapak kakinya mencengkam bumi yang setia. Sentakannya jelas bukan dari gangguan di luar diri. Ia sendiri yang mencipta ungkapan nista itu. “Tidak!Aku bukan bupala yang kejam!” “Mu seorang bupala bogel!” “Tidak! Aku bukan bupala bogel!” GUNUNG
Di luar sepi memagut-magut. Beberapa garis lintasan cahaya memancar dan dari jauh kedengaran deruan angin mengumpul tenaga untuk melahirkan taufan yang maha-maha. “Mu seorang bupala bentuk baharu!” Melonjak lagi suara itu dalam dirinya. “Tidak! Aku bukan bupala bentuk baharu.” Melonjak pula suara lain dari dalam dirinya juga. “Mu sebuah gunung yang menapak di bumi setia. Bupala puncaknya. Kemudian pak-pak pacak. Kemudian oknum-oknum. Kemudian baru jelataan.” “Tidak! Aku bukan gunung.” “Mu sebuah gunung.” Dan dalam mimpi itu aku melihat lintasan cahaya yang amat pantas menyelinap dalam bentuk tiga segi bagaikan sebuah piramid dengan sebutir titik dalam wajah bupala di puncaknya. Titik itu begitu perkasa dan gagah. Dan di bawah bupala itu berderetan pula pak-pak pacak dengan dagingdaging sasa mereka siap siaga menggawang tangan apabila disuruh, menjerit apabila diminta dan menunduk merenungi jari-jari kaki apabila bupala melintas pandangan. Dan di bawah pak-pak pacak itu tertegak lagi oknum-oknum dua kali lima dan lima kali dua. Di sinilah berkubangnya okabaokaba, juak-juak kelapa muda, cewek-cewek dan sipondek-sipondek. Hanya selepas itu barulah tertiarap wajah-wajah jelataan yang kerjanya menghidu bumi gersang, kaya dengan kepapakedanaan. Begini gunungmu. GUNUNG
Garis-garis cahaya melintasi begitu cepat berbentuk tiga segi itu tiba-tiba saja sirna dari pandangan; diganti dengan kerangka jasad manusia yang benar-benar bolos. Secebis daging pun tidak terpalit ke tulang-tulang kerangka itu. Ada terasa gegaran kemudiannya bagaikan hingutan raksasa. Dan kerangka itu luruh selonggok ke atas bumi yang setia; lintang-pukang tindih-menindih tulang-tulang itu bagaikan puntung-puntung mancis yang dibuang oleh perokok tujuh bungkus sehari. Api yang masih membara di kepala-kepala puntung tiba-tiba mendesis nyalanya menyambar saki-baki yang wujud. Habis rentung segala. Ranap diserap masuk bumi bagaikan dilanyak-lanyak oleh kaki-kaki jelataan. Dan aku pun terjaga. Gunung Gayamahatumpul renggeh serengeh buyut. Kepingan-kepingan tanah yang seiras daging-daging sudah tidak erat lagi kapukannya. Hampir lekang dan luruh berkecaian. Batu-batu yang tersusun berlapisan yang selama ini mengutuhkan Gayamahatumpul sudah sirna segala; hancur dan jatuh bermanik-manik hingga menutup retak-retak bumi gersang. Pokokpokok dengan perdu-perdu yang membadang gagahnya seiras wajah-wajah pak-pak pacak yang sebelumnya tegak menatang bupala di puncak, langsai di bokeh oleh kebiadaban dan kegelojohan sendiri. Dan akar-akar yang landuh melondeh dan pernah sebelumnya diberi nama julukan sebagai oknum-oknum yang kerja hanya menjilat bupala di puncak, kini habis berselerak tabak relai menaburi bumi yang gersang. Yang tinggal hanya renggehan kerangka. Sudah luput segala kekuasaan dan keperkasaan yang dahulunya begitu ketara dipamerkan di mana-mana. Semuanya bolos danGUNUNG
telanjang bogel. Pak-pak pacak serta oknum-oknum lenyap tidak kelihatan lagi. Yang ada hanya jelataan. Aku benar-benar terjaga sekarang. Ia bukan satu keasyikan dalam khayalan lagi. Bukan satu mimpi. Aku meraba tanganku dan cuba mengutil daging yang membalut tulang. Sakit dan benar-benar aku mengaduh. Aku meletakkan tapak tangan kanan ke dada sebelah kiri. Degup jantung rancak amat. Aku melihat apa yang ada di sekeliling. Daun-daun yang hijau dengan lenggoknya apabila dipuput bayu. Ada ciapan caktuli sekali-sekala. Bunyinya menipis dan menirus apabila ciapan itu dipecahkan oleh ulitan kayu yang kencang. Tiba-tiba saja aku terdengar desiran-desiran di atas bumi yang setia. Semakin lama desiran itu semakin kuat dan merebak sehingga tercetus gegaran yang berbahana jauh saujana. Dan gegaran itu pula diiringi dengan wajah-wajah jelataan bagaikan kebangkitan sesuatu yang selama ini tidak terbangkit. Jelas bahawa wajah-wajah itu adalah wajah-wajah jelataan. Mereka bergerak dan berhimpitan, bergerak dan menyerbu, bergerak dan berlasak dan bergerak serta di tengah samudera; berpintal memintal dan tamat dengan bedalan di pantai. Aku masih nampak bupala di puncak Gayamahatumpul. Bupala goyah dan terliuk-liuk apabila Gayamahatumpul direntap oleh jelataan. Akhirnya dia melayah gugur di tengah-tengah gelombang jelataan yang gamat. Pak-pak pacak dan oknum-oknum yang selama ini menenggek untuk tumpang semangkuk terus puyeng, berkelam-kabut dan akhirnya tersungkur rebah apabila dilanyak jelataan. Dan gelombang jelataan menyapu bersih segala sisa-sisa Gayamahatumpul. Aku masih kurang pasti sama ada aku terjaga atau tertidur, bermimpi atau tidak. Yang pasti jantungku masih berdegup. Dan Gunung Gayamahatumpul sudah sirna dalam fikiranku. GUNUNG
Sekian Terima Kasih