The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by RAK BUKU DIGITAL SK DATUK KELANA, 2021-06-02 11:38:41

CERPEN BIBIK

CERPEN BIBIK

CERPEN

TAJUK;
Bibik

Oleh :
MD Ishak A Rahman

Bibik
Oleh MD Ishak A Rahman

2010/05/29

INILAH masa yang paling tepat. Inilah masa yang paling benar. Tiba-tiba
hatinya berdebar-debar. Apakah benar pilihanku? Bibik masih maju
mundur. Bungkusan plastik hitam yang dibimbit digenggam erat. Di
dalamnya ada sepasang pakaian dan kain tebal. Dia melangkah penuh
hati-hati. Langkah menjinjit. Langkah hujung jari kaki menapak ke lantai.
Tapak kaki tidak menyentuh lantai. Biar langkah itu tidak didengar oleh
sesiapa. Dia menyentuh balutan di dahi. Sakit. Kesakitan itu menguatkan
tekad Bibik. Inilah masa paling tepat.

“Bibikkk ...!” suara Puan Nyonya beralun dari ruang tengah. Sewaktu
ditinggalkan tadi, Puan Nyonya pejam mata tersadai di sofa. Mungkin
keletihan. Alunan suara keras Puan Nyonya itu mengesahkan dia tidak
tertidur. Lalu, ini bukanlah masa yang paling tepat, bisik hati Bibik.
Bukan sekali. Bukan dua kali. Malah beberapa kali Bibik sebenarnya
membuat perhitungan yang maju mundur. Setakat ini tidak pernah tepat.
Dia sudah nekad. Tapi, bila memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang
menggodam ketakutan, dia menarik keputusan itu.
Dulu, ketika di Desa Mediun, selepas enam bulan menjadi ibu tunggal,
tidak betah menyara dua orang anak, dia mengambil keputusan nekad.
Tiada maju mundur lagi. Dia membayar dua juta kepada agensi, bertekad
bulat demi masa depan anak-anak. Keputusan itu, biar berat untuk
meninggalkan dua orang anak, tapi keyakinan masa depan, mendorongnya
membuat keputusan itu. Tanpa gusar ragu. Anak-anak dititipkan pada
orang tuanya.

Kali ini, bukan kerana takut kemungkinan, tapi ternyata Puan Nyona itu
tidak benar-benar lena. Ternyata Puan Nyona tidak alpa. Bukan sahaja
pintu pagar sentiasa terkunci, malah setiap gerak dalam rumah itu
digambar.

“Mau ke mana, Bibik?” pertanyaan itu sukar diduga. Apakah Puan Nyonya
curiga? Mungkin juga, Puan Nyonya melihat gerak-gerinya dari gambar
CCTV. Tapi, Puan Nyonya tadi terpejam di sofa. Tidak mungkin dia
mengawasinya dari CCTV.

“Mau buang sampah, Puan Nyonya,” suara Bibik agat terketar. Dia
mengangkat tinggi plastik hitam agar dilihat Puan Nyonya. Debar hatinya
masih kencang. Walaupun cuba dikawal agar tidak terkesan Puan Nyonya.
Debar itu tetap ada. Kadang-kandang memang sukar untuk
menyembunyikan ketidakjujuran.
“Apa jengkit-jengkit? Sakit kaki? Nanti gua tambah kasi sakit,” Puan
Nyonya menyandarkan kepala di sofa. Berat benar agaknya kepala Puan
Nyonya. Namun, ancamannya tetap menggerunkan Bibik. Setakat tampar
terajang sudah jadi basahan Puan Nyonya. Bila tega melayangkan pisau
sayur ke dahi, Bibik semakin ngeri. Tidak mustahil, suatu masa
melayangkan nyawa.

“Bukan Puan Nyonya. Saya tidak mahu ganggu Puan Nyonya lagi tidur di
Sofa,” kecut perut Bibik. Seolah-olah Puan Nyonya yang berbadan gempal
dengan rambut keriting diwarnakan perang itu dapat membaca hati Bibik.
Bertambah kecut Bibik. Puan Nyonya selalu buat apa yang dia cakap.
Kalau dia kata katuk, katuklah. Dia tidak teragak-agak mengayunkan apa-
apa yang dipegang ke tubuh Bibik. Kalau ke punggung, kenalah punggung.
Kalau dihayun ke muka, kenalah muka. Bibik meraba balutan luka di dahi.
Pedihnya mengatasi sakit lebam-lebam di bibir dan di badan. Puan Nyonya
menggarit pisau sayur ke dahi Bibik. Darah menintis-nitis. Puan Nyonya
bertambah-tambah kemarahan. Sedikit pun tidak risau Bibik yang hampir
pengsan.

Bibik sendiri menekup luka itu dengan kain buruk. Kemudian Bibik
membasuh darah di bilik air. Bibik membalut luka itu. Puan Nyonya tidak
ambil peduli. Dia sudah membayar khidmat Bibik. Sakit derita, malah kalau
mati sekali pun, dia tidak ambil peduli.

“Siapa cakap gua tidur,” Puan Nyonya membuka mata lebar-lebar. Mata

sepetnya itu menonjolkan hitam merah biji matanya. Macam biji mata
patung singa yang dibuat main anak lelaki Puan Nyonya yang berumur
lima tahun, menjelang sambutan Tahun Baru.

Budak terjal itu masih membuku di hati Bibik. Puan Nyonya tidak mahu
mendengar penjelasan Bibik langsung. Ketika mendengar bunyi sesuatu
jatuh di bilik budak terjal itu, Bibik sedang menyapu sampah. Tanpa
menyampakkan penyapu, Bibik meluru ke bilik. Padan muka. Bibik
mengacu batang penyapu pada budak terjal yang tersungkur. Bibik tidak
sangka perbuatannya itu digambar CCTV. Puan Nyonya meluru lalu
memukul Bibik. Konon Bibik mendera anak Puan Nyonya dengan batang
penyapu.

“Ini,” Tuan Nyonya menunjuk arah lantai mar-mar. Bau masam sudah
menyedak hidung Bibik sebelum melihat lambakan cecair kekunigan itu.
“Kasi bersih cepat, sebelum Tuan Tauke balik.”

Puan Nyonya bangun. Terhuyung-hayang. Dia berpaut pada dinding. Bibik
berkejar mahu menyambut Puan Nyonya. Walau benci, Puan Nyonya itu
tetap majikannya. Hati kemanusiaannya tidak tega melihat Puan Nyonya
jatuh terduduk atau jatuh tersungkur. Kalau Puan Nyonya luka parah, nanti
tuduh Bibik mendera pula.
Bibik menyembunyikan kebencian itu saat ini agar tidak terkesan
rancangan yang telah separuh bulat. Dia masih dipagut serba salah untuk
bertindak. Takut kalau gagal, lebih dahsyat penangannya. Hari itu,
mujurlah pisau dihayun ke dahi. Kalau dikelar ke leher, alangkah ...!

“Gua bukan mabuk. Gua boleh jalan sendiri. Cepat. Bersihkan. Jangan
keluar rumah. Itu pagar, gua sudah kunci,” Puan Nyonya menepis tangan
Bibik, lalu melangkah ke bilik Bibik. Sepatutnya Puan Nyonya naik ke
biliknya di tingkat atas. Sesat bilik lagi, keluh Bibik. Bermakna, Bibik
terpaksa tidur di luar lagi malam ini. Itu tidak mengapa, pastinya akan
meninggalkan lambakan lendir kekuningan yang masam di tempat Bibik
selalu membentangkan sejadah. Terpaksalah Bibik basuh air tanah tempat
itu esok. Kalau tidak, bau seminggu tidak hilang. Basuh sembunyi-

sembunyi. Kalau Puan Nyonya nampak, pasti kemarahannya akan
membuak-buak.

Bibik mengambil kain mop dan baldi. Bau masam yang meloyakan itu
semakin pekat menusuk hidung ketika dilanyah mop. Hampir terlonjak isi
perut Bibik ketika membawa kotoran itu ke bilik air. Bibik sempat menjeling
ke bilik sewaktu melewati pintu yang terbuka. Puan Nyonya sudah
terbaring di katil besi tempat Bibik selalu tidur. Biarlah Puan Nyonya
nyenyak. Mudahlah Bibik bertindak.

“Inilah masa yang paling tepat,” bisik hati Bibik. Jika ditunggu, sebentar lagi
tentu Tuan Tauke akan balik. Tuan Tauke itu akan kunci pintu pagar. Bibik
sudah tahu benar kebiasaan Puan Nyonya. Dia tidak mengunci pintu pagar
rumah. Tuan Tauke yang balik kemudian akan menguncinya. Anjing hitam
besar yang berbaring berhampiran pintu itu akan menyalak sapa setiap
orang asing yang melewati hampir pintu pagar itu.

Setahun lalu, ketika mula menjejakkan kaki di rumah agam ini, anjing hitam
itulah yang diperkenalkan oleh Tuan Tauke. Anjing itu meronta-ronta mahu
melepaskan ikatan rantai. Mahu menerkam Bibik. Menyalak hingga
berdesing telinga Bibik. Antara gentar terperanjat dan rasa takut, Bibik
menghampiri anjing itu. Mengelus-ngelus hangat kepala dan geli tubuh
anjing itu. Kata orang, semakin takut kita pada anjing, semakin berani
anjing itu kepada kita.

Sungguh, mudah menjinakkan anjing garang itu. Lebih sukar menjinakkan
Puan Nyonya dan Tuan Tauke. Puan Nyonya memberi tugas rutin Bibik
memandi dan membersihkan tempat tinggal anjing itu. Anjing itu tidak
menyalak ketika Bibik keluar masuk rumah yang ditungguinya. Lebih tunak
lagi kalau Bibik mencampakkan tulang ba atau tulang apa-apa kepada
anjing garang itu.

Bibik tidak hairan lagi dengan daging ba. Dulu dengar sahaja sudah loya.
Jijik. Rasa itu sudah tidak ada lagi pada diri Bibik. Resepi pertama yang
diminta oleh Puan Nyonya untuk makan malam, sebelum Bibik sempat

berkemas bilik pada malam pertama tinggal di sini itulah daging ba. Puan
Nyonya tengking apabila Bibik keberatan. Mahu tak mahu, Bibik terpaksa.
Bayangkanlah, bagaimana mahu menyentuhnya benda yang dirasa amat
jijik dalam hidupnya selama ini.

Selepas itu, Bibik ambil tanah di belakang rumah. Bibik mandi air tanah.
Malah, hari-hari Bibik mandi air tanah. Bibik sembahyang. Mengadu
kepada Allah dalam sembahyang. Bibik tidak tahu mengadu kepada siapa
lagi di bumi asing ini.

Tekad Bibik semakin kukuh. Sudah tidurkah Puan Nyonya? Senyap. Dia
perlu cepat bertindak sebelum Tuan Tauke balik. Bila Tuan Tauke balik,
pintu pagar akan dikunci. Tak mungkin Bibik panjat pagar yang dua kali
lebih tinggi daripada ketinggian Bibik. Malah, bunyi kelengkang-kelengkung
pintu pagar besi itu bergoyang mungkin akan mengejutkan isi rumah Tuan
Tauke.

Bibik cepat-cepat ke pintu rumah. Masih belum berkunci. Puan Nyonya
yang balik lewat malam dengan terhuyung-hayang itu lupa mengunci pintu.
Bibik membimbit karung plastik hitam. Mana tahu, tiba-tiba Puan Nyonya
menyergah sebelum sempat menyeberang pintu pagar. Bibik akan kata,
mahu buang sampah.

Bibik meredah malam. Lampu tepi jalan menyuluh dataran jalan raya. Dia
berselindung di belakang pokok tepi jalan ketika lampu kereta menyuluh.
Mana tahu kereta Tuan Tauke. Anjing di rumah kediaman tetangga
menyalak. Bibik melebarkan langkah. Yang penting jauh dari tempat itu.
Bibik tidak tahu ke mana arah tuju di malam pekat begini. Meski siang, dia
tidak pernah melalui jalan-jalan ini. Dunianya hanya di rumah agam itu.

Bibik tidak takut lagi kalau ada hantu kopek mengekori. Bibik tidak takut
kalau dikeroyok anjing. Bibik tidak bimbang kalau jatuh ke tangan
penyangak. Bibik tidak takut kalau kena tangkap polis. Bibik tidak takut
apa-apa lagi. Asal bebas dari rumah agam itu. Kalau dicekup pihak
berkuasa, lalu dipenjara, Bibik sudah tidak takut lagi. Kalau dunianya habis

setakat ini juga Bibik reda.
Bibik berjalan pantas. Berlari-lari anak. Berjalan cepat-cepat. Kadang-
kadang terasa juga ada bayang-bayang hitam mengejar. Bibik berlari dan
terus berlari sehingga Bibik rasa dunia ini hitam, tiada lagi lampu tepi jalan.

Ketika tersedar siang itu, Bibik berada di sebuah bilik. Ada polis yang
berkawal. Bibik dipapah dan duduk di meja pertanyaan. Ketakutan itu
bukan apa, bimbang kalau dikembalikan semula kepada Tuan Tauke.

“Tolong, pak. Saya tidak mahu kembali,” Bibik merayu.

“Saya tidak ada dokumen. Semua Tuan Tauke simpan,” jelas Bibik ketika
disoal-siasat pegawai polis yang bertugas. Bibik menceritakan segala-
galanya tanpa satu pun tertinggal.

Esoknya kisah Bibik tersebar luas. Pegawai kedutaan juga datang
menjenguk Bibik. Bibik diberitahu, Puan Nyonya dan Tuan Tauke telah
ditahan. Bibik melihatnya di kaca televisyen yang ditunjukkan di tempat
tahanan. Sayu dan kasihan juga Bibik melihat Puan Nyonya dan Tuan
Tauke digari, digiring ke kenderaan polis. Sayu Bibik tidak dapat
menyiapkan yee sang yang telah disiapkan bahan-bahannya termasuk isi
ikan segar salamon dalam peti dingin. Tahun lalu, Puan Nyonya yang
tunjuk cara masak pada hari ke tujuh Tahun Baru Cina. Tahun ini,
sepatutnya Bibik sudah boleh buat sendiri.

Bibik sempat mendengar suara Puan Nyonya ketika diwawancara, “Dia
ada bukti, gua ada saksi.”

Bibik meraba luka di dahi. Balutannya telah ditukar dengan kain bersih dan
berubat. Bibik terbayang Desa Mediun. Dua orang anak dan orang tuanya.
Bibik ingin kembali. Di bumi asing ini, bukan tempat menjanjikan
kesenangan hidupnya.

Biodata

MD Ishak A Rahman dilahirkan di Muar, Johor, pada 6 Mac 1955,
menerima pendidikan di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor
Bahru pada 1975 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) (1989). Mula
berkarya pada 1978 dan genre yang diceburi ialah cerpen, puisi, rencana,
berita dan buku rujukan Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.

Pernah menerima Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank (1985 -
1987), Hadiah Sastera Malaysia (1986/87) dan Hadiah Puisi Johor (2004).


Click to View FlipBook Version