CERPEN
Strawberi Dari Pergunungan
Oleh Mohamad Kholid Hamzah
2010/05/22
SINAR pagi mencelah, memecahkan kabus yang memutih menguasai
kehijauan. Sesekali bayu pergunungan berhembus, dingin menggigit.
Mengemaskan tubuh yang dibalut dengan baju panas, memerangkap
haba yang mahal harganya tika suhu persekitaran hanya sekitar 18°C.
“Sayur! Sayur! Lima belas paket sepuluh!”
Teriakan penjual-penjual sayur yang rata-rata gadis-gadis manis dari
tanah seberang menggamit. Sesekali Solleh menoleh, melayani
keramahan gadis-gadis apatah lagi dia boleh berbahasa seperti mereka.
“Melayu semakin tersisih di mana-mana,” jelas Adzlan Sulong,
mahasiswa Tahun Akhir yang menjalankan penyelidikan beberapa
minggu di daerah tanah tinggi itu.
“Kenapa? Bukankah pegawai kerajaan, penguatkuasa semuanya
berbangsa Melayu?
Masakan boleh tersisih,” tukas Solleh. Setiap orang mempunyai
kewajipannya dan jika mereka menunaikan kewajipan mengikut laras
undang-undang dan kemanusiaan – dunia ini sudah cukup sempurna.
“Lihat pemilikan harta dan perniagaan. Lihat rumah-rumah setinggan
Melayu di pinggir-pinggir kota malah mungkin di sini juga. Bukankah
seharusnya mereka mendapat pembelaan?” ujar Adzlan Sulong tegas.
Solleh faham perasaan Adzlan Sulong. Mahasiswa yang penuh idealis,
antikapitalisme dan beranggapan dirinya pejuang rakyat marhaen.
“Kita semua mempunyai pilihan,” kata Solleh tenang. “Desakan hidup
mungkin menjadi satu sebab tetapi kita sebagai manusia mempunyai
pilihan untuk mengatasinya. Malangnya, orang sukar mahu berubah.
Apatah lagi mahu berhijrah.
Malah dalam membuat pilihan, mereka sering membuat pilihan yang
salah.
Contohnya kaulihat antara pekebun sayur di tanah tinggi ini dan
pekebun di kampung – pekebun di sini membeli kenderaan serba guna
atau pick-up, sebaliknya pekebun di kampung membeli kereta.
Bukankah pekebun sewajarnya memerlukan kenderaan pick-up untuk
memasarkan hasil pertanian?”
Kata-kata Solleh ada benarnya, harga getah melambung dan ramai
penoreh getah yang membeli kereta. Sewajarnya mereka membeli lori
atau pick-up yang kemudian boleh digunakan untuk kegunaan
pengangkutan pertanian.
“Kau kena hentikan sikap menyalahkan Adzlan. Melayu tak mungkin
akan maju jika bersikap menyalahkan. Lihat, apabila bencana alam
melanda – ada yang menyalahkan kerajaan kerana sistem saliran cetek.
Malah ada yang menyalahkan Tuhan barangkali kerana rumah dan
keretanya hapus ditelan bah. Bukankah ia takdir dan sebagai manusia
yang beriman kita harus menerima dengan pasrah,” kata Solleh panjang
lebar. Dia sudah berumur lewat empat puluhan, sudah masak dengan
hukum perniagaan, hukum rimba dan hukum alam.
Mereka mencari sebuah bangku di sudut kebun strawberi. Bernaung di
bawah teduhan para-para strawberi yang bergantungan. Seorang pelayan
manis, ramah menanyakan pesanan.
“Kita juga kena lihat bagaimana peluang dibuka untuk mereka hidup.
Bagaimana mahu memulakan langkah mahu berniaga jika ruang dan
peluang tidak dibuka?” tanya Adzlan Sulong dengan mata yang
mengecil.
Solleh ketawa kecil.
“Manusia tidak akan belajar dengan mudah. Kau tidak pernah baca buku
Budaya Usahawan oleh Salleh Majid? Mahasiswa dan lepasan sekolah
hendaklah berfikir untuk menjadi majikan dan bukan menjadi pekerja.
Setiap langkah yang gagal akan menjadikan seorang usahawan lebih
kuat biar berapa kali pun dia rebah.”
Solleh mencintai buku, bukan hanya sebagai peminjam di perpustakaan,
tetapi dia membeli dan membaca dengan tekun. Malah setelah beberapa
kali menghadirkan dirinya ke perpustakaan, Solleh kecewa.
Perpustakaan hanya layak menjadi santapan remaja – dengan buku-buku
remaja, sedikit buku ilmu dan tidak mengikut keluaran terkini.
Dirasakan himpunan buku-buku di rumahnya lebih bermakna dari
bangunan indah perpustakaan yang sunyi. Entah di mana silapnya,
Solleh tidak pasti. Tetapi dia pasti satu perkara – mungkin pustakawan
juga sudah jelak melihat buku-buku yang menimbun di hadapan
matanya. Lantas mengambil mudah dalam persembahan kepada
khalayak. Tiada majlis bersama penulis, pertandingan bercerita atau
membaca, diskusi mengenai buku mahupun lontaran suara daripada
pengucapan puisi. Perpustakaan sepatutnya lebih hidup.
“Ya, benar katamu itu. Melayu sepatutnya lebih kuat dan berdaya
saing,” Adzlan Sulong mengakui.
“Suatu masa dahulu ada seorang Orang Asli pernah mengadu pada kami.
Buruh-buruh Bangladesh, Indonesia dan Nepal sudah menguasai tanah
tinggi ini. Mereka sudah kehilangan pekerjaan. Jika dahulu Orang Asli
yang bekerja di kebun-kebun, sekarang tidak lagi. Mereka hanya
mengambil upah mencari kayu pancang tomato.
Aku fikir-fikir – ada rasionalnya majikan ambil buruh asing untuk
perkebunan.
Mereka rajin dan tidak kuat mengelat seperti buruh-buruh yang lama
itu.”
“Sekarang kau faham – antara kehendak majikan dan keperluan pekerja
hendaklah sealiran,” balas Solleh sambil menepuk bahu temannya itu.
Sekali lagi dia membalas lirikan penjual strawberi itu dengan senyuman.
“Strawberi, bang. Manis,” pujuk penjual sayur itu.
“Tentu semanis anda,” balas Solleh.
Adzlan Sulong ketawa dengn gelagat Solleh. Sahabatnya itu bukan
orang Melayu sejati, sebaliknya Melayu celup katanya. Lahir dan
dibesarkan di Christchurch. Hanya berdarah Melayu mengikut jurai
bapa. Malah hanya belajar berbahasa Melayu setelah meningkat umur.
“Itulah kekurangan untuk menghidupkan wajah Melayu perlu berfikir
dan hidup seperti orang Melayu. Bukan Melayu celup dan kemudian
mengeluarkan idea dan pandangan seperti Melayu sejati,” sanggah
Adzlan Sulong satu waktu dahulu sebaik sahaja mereka berkenalan
dalam satu persidangan.
Solleh memahami kini dan dia sudah melihat bangsanya melalui mata
orang Melayu juga. Orang Melayu yang sepatutnya jarang marah-marah,
jarang menyalahkan orang lain dan melebihkan ibadat berbanding
kepentingan yang lain.
“Tetapi wajah Melayu itu semakin hilang,” beritahu Solleh.
“Bagaimana?”
“Mudah. Sudah ramai yang tidak membaca buku dan akhbar tulisan
orang Melayu.
Ramai yang membaca akhbar Inggeris kerana pada pandangan mereka
akhbar Inggeris lebih keras dan lantang mengupas isu. Sedang akhbar
Melayu sepatutnya lebih jujur,” jelas Solleh tanpa berselindung.
“Ayuh,” ajak Adzlan Sulong lalu bangkit dari bangkunya.
“Kenapa?” tanya Solleh, masih enggan untuk melepaskan bangku enak
di bawah payungan para-para strawberi yang mula merah jingga.
“Terasa bahangnya kata-katamu itu,” balas Adzlan Sulong sambil
tersenyum.
“Nah. Itulah jiwa Melayu. Mengakui apa yang sebenarnya berlaku,”
jelas Solleh sambil ketawa, menyelongkar isi hati Adzlan Sulong dengan
jujur.
Mereka berjalan beriringan antara ratusan pelancong yang mengerumuni
Ladang Kea. Sesekali penjual sayur menggamit mengajak mereka
singgah dan hanya dibalas dengan senyuman yang mesra. Tanah tinggi
ini hidup kerana cuacanya, hutannya yang menghijau, perkebunan sayur
dan strawberi yang menguasai lembah.
Memberikan nafas yang indah, tenaga dan menakjubkan. Menjadi
tempat persinggahan walau hanya sebentar untuk insan lari daripada
kepanasan dan kesibukan kotaraya.
“Hari ini aku akui yang Solleh bukan Melayu celup lagi,” kata Adzlan
Sulong sewaktu mahu berpisah.
“Kau sudah berfikir seperti orang Melayu dan itu yang bukan mudah
untuk difahami. Bila kita bercakap mengenai integrasi dan perpaduan,
mungkin hanya lidah kita yang menggerakkan. Bukan lidah orang lain.”
“Setiap sesuatu mesti dimulai dengan satu langkah – pastikan langkah
itu kita sendiri yang lakukan. Sedar atau tidak budaya dan pemikiran
inilah yang menjadi ikutan,” balas Solleh bersungguh-sungguh.
Solleh melepaskan Adzlan Sulong pergi. Mereka berpisah dengan
fikiran yang sarat daripada perbualan panjang. Adzlan Sulong akan
kembali ke kampus di kota raya dengan sebekas strawberi jingga ranum
dari pergunungan. Kata orang manis jika digigit dalam hawa yang
nyaman di pergunungan, masam apabila melalui kepanasan perjalanan
ke tanah datar.
PROFIL
MOHAMAD Kholid Hamzah dilahirkan di Tanjung Karang, Selangor
pada 15 hb Disember 1970. Mendapat pendidikan rendah di Sekolah
Kebangsaan Datuk Manan, Tanjung Karang dan menengah di Sekolah
Menengah (Lelaki) Bukit Bintang, Petaling Jaya. Beliau kemudian
melanjutkan pelajaran di Universiti Pertanian Malaysia dan mendapat
Diploma Pembangunan Manusia pada 1991. Mendapat Diploma
Psikologi (Kaunseling), Universiti Kebangsaan Malaysia, pada 2001.
Menulis dalam genre puisi, cerpen, novel kanak-kanak dan novel
dewasa. Cerpen dan puisinya mendapat tempat dalam di Mingguan
Malaysia, Berita Minggu, Utusan Melayu Mingguan dan Tunas Cipta.
Novel kanak-kanaknya, Siri Penyiasat Ekstrovert mendapat sambutan di
kalangan pembaca. Terowong Rahsia, Sesat di Bukit Fraser, Serangan
Amfish, Lolongan Misteri, Pedang Yamashita, Misteri Vila Penn,
Kucing Utusan, UFO, Nota dari Laut dan Merpati Pelumba Maraton
ialah antara tajuk novel dalam Siri Penyiasat Ekstrovert yang diterbitkan
PTS One Sdn Bhd. Novel dewasanya, Kabus di Perbukitan (DBP, 2006),
Desir Angin di Perbukitan (DBP, 2007) dan Rahang Maut (PTS, 2009).
Cerpennya, Anugerah, memenangi hadiah sagu hati Hadiah Sastera Berunsur Islam XI, 2005.
Novel Kabus di Perbukitan memenangi hadiah sagu hati Sayembara Mengarang Sempena Jubli
Emas Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006. Cerita Bersiri Pengembaraan Si Belimbing memenangi
hadiah utama katogeri kanak-kanak, Pertandingan Menulis Cerita Bersiri Kanak-kanak/Remaja
Karyanet-DBP, 2006.