The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by RAK BUKU DIGITAL SK DATUK KELANA, 2021-06-02 18:48:51

TETAMU iSTIMEWA

Cerpen Tetamu Istimewa

Cerpen:
Tetamu Istimewa

Oleh:
Mohd Helmi Ahmad

Cerpen: Tetamu Istimewa
Oleh Mohd Helmi Ahmad

2010/07/24

KATA Emak semenjak Adik pulang dari sekolah, dia sentiasa
mengurungkan diri di dalam rumah, tidak mahu keluar bermain mahupun
menghirup udara. Umurnya baru berusia lapan tahun, agak janggal bagi
kanak-kanak yang seusianya tidak memanfaatkan waktu itu untuk bermain.
Agak rugi kiranya dilepaskan begitu sahaja. Bukan senang untuk
memperuntukkan waktu sebegitu. Masa tidak akan berpatah kembali. Apa
yang ada harus diharungi. Begitulah perjalanan hidup.

Adik pulang dari sekolah. Pakaian seragam sekolah dibuka. Kasut
dibiarkan terbengkalai di depan pintu. Stokin yang masam-masam itu
diletakkan di atas meja kopi. Beg sekolah dicampakkan di atas kusyen.
Emak yang sibuk memasak ketika itu tidak menghiraukan gelagat Adik.
Adik terus mengurung diri di dalam bilik. Ada tetamu yang dibawa balik dari
sekolah kata Emak. Tetamu itu tidak dipelawa untuk datang, tetapi mahu
juga mengikut Adik pulang.
Adik tidak kenal akan tetamu itu, bercakap pun tidak, inikan pulak untuk
bertanya khabar. Apa yang menghairankan Emak kenal akan tetamu yang
tidak diundang itu. Seolah-olah sudah serasi dengan Emak, walaupun
sebelum ini tidak pernah berkunjung ke rumah kami. Tetapi kata Emak
tetamu yang ini lain sedikit sikapnya, dia tidak meminta makan dan minum.
Dia hanya minta untuk tumpang tinggal sahaja di rumah kami. Dia mahu
berlindung dari hujan panas. Dia mahu tinggal bersama Adik. Dia mahu
berkawan bersama Adik. Dan juga dia mahu bermain bersama Adik. Tetapi
Adik tidak mahu berkawan dengannya. Adik tidak mahu bermain
dengannya. Malahan Adik tidak mahu berkongsi bilik dengannya. Adik
rimas. Setiap kali tetamu itu menyondol-nyondol ke tubuhnya Adik, dia
akan rasa rimas, gatal merenyam dan tidak selesa. Setiap kali itu juga Adik
akan menangis. Meronta-ronta menyeru tetamu itu pulang saja ke
rumahnya. Tetapi tetamu itu masih tegar untuk tidak mahu pulang.

Seketika cuma Adik, tenang. Tetamu itu tidak mengganggunya. Namun
semenjak itulah Adik tidak lagi ke sekolah. Kawan-kawannya yang lain
tidak mahu berkawan dengannya lagi. Dikatakan Adik seorang yang
sombong. Tidak mahu berkawan dengan mereka. Adik hanya berkawan
dengan tetamu barunya itu saja. Adik pentingkan diri sendiri. Adik hanya
tahu mengurung diri di dalam rumah. Dah macam anak dara.
Sementelahan itulah adik hilang banyak kawan. Pelajarannya juga
terganggu.

Terang-terang tangan Emak sudah menyediakan sarapan. Nasi lemak
bungkus bersama teh kepada kami. Adik sudah pun bangun. Tetamunya
juga begitu. Emak membuka bungkusan nasi lemak itu. Kemudian Emak
menyuapkan nasi ke mulut Adik. Adik nganga lalu menelan setiap butir
nasi yang masuk ke dalam mulutnya. Kami adik beradik yang lain hanya
melihat sahaja. Layanan Emak kepada Adik lain sekali. Sebelum ini Adik
tidak mahu dilayan sebegitu rupa. Adik sudah besar. Tidak suka
diperlakukan macam budak-budak lagi. Adik sudah boleh makan, mandi
dan uruskan diri sendiri. Tanpa bantuan Emak lagi.

Adik malu jika kawan-kawannya melihat Emak mandikan Adik. Suapkan
makan ke mulutnya. Tetapi pagi ini Adik tidak membantah. Adik seakan
rela. Kami menganggapkan bahawa Adik hanya mahu menunjuk-nunjuk
kepada tetamunya itu. Dia tidak mahu Emak melayan tetamunya itu seperti
Emak melayannya sewaktu kecil-kecil dahulu. Adik akan rasa cemburu.
Adik merasakan hanya dia seorang yang wajar menerima layanan seperti
itu.

Selepas makan, Emak memandikan Adik pula. Emak mencampurkan
sedikit air yang berada di dalam botol ke dalam besen yang disediakan.
Lain sedikit cara memandikan Adik. Sebelum ini Adik hanya dimandikan
dengan air paip yang mentah-mentah itu saja, tetapi kali ini Emak
memasukkan sedikit campuran air yang dibawa balik oleh Ayah dari rumah
Haji Soot. Air itu dalam keadaan keperangan. Kandungannya seperti
campuran akar kayu yang telah dihancurkan dan dicampurkan dengan air
biasa.

“Air apa ni mak?”

“Ni air penawar.”

“Air penawar?”

“Air penawar ni untuk memulihkan kau.”

Kami adik beradik yang lain curi-curi dengar perbualan Emak bersama
Adik. Kami tergelak bersama-sama. Mudah benar Adik ditipu. Ternyata
Adik bukanlah seorang yang bijak kerana terang-terang Emak
memasukkan sedikit air dari sumber lain kemudian mencampurkan ke
dalam air itu. Tujuannya adalah untuk meyakinkan Adik supaya mudah
untuk mandi. Adik memanglah seorang yang ketegar untuk mandi. Dia
takut dengan air. Seboleh-bolehnya dia akan mandi sehari sekali sahaja.
Itupun jika diingatkan Emak.

Tetamu yang mengikut Adik pulang masih tidak mahu pulang. Sudah
seminggu dia bertamu di rumah kami. Kawannya adalah dengan Adik. Dia
tidak mahu berkawan dengan kami semua. Termasuk Emak.

“Mak boleh Ijam tanya sikit?”

“Ada apa?”

“Kenapa dengan Adik?”

“Kenapa pulak dengan dia?”

“Iyalah kenapa Adik dilayan begitu?”

“Kenapa kamu pun cemburu?”

“Bukannya cemburu, tapi kenapa Adik disuap makannya, dimandikan
dengan air penawar?”

“Adik kamu tu sakit.”

“Sakit! Adik sakit apa mak?”

“Dia demam baik.”

“Demam baik!”

Kami adik beradik yang lain ketawa terbahak-bahak. Jawapan yang
diberikan Emak kepada kami amat melucukan. Kalau sudah demam baik
buat apa lagi susah-susah nak mandikan dengan air penawar. Sahlah
jangkaan kami sebelum ini Adik sudah kena tipu. Adik yang dikatakan bijak
dalam matematik sebelum ini senang-senang ditipu Emak. Dia tidak dapat
mengira setiap butir kata Emak yang membelit akal fikirannya. Jelasnya
kemahiran adik untuk menafsir masih pada tahap yang rendah.

Adik menangis lagi. Adik tidak dapat tidur malam. Tidurnya sentiasa
diganggu tetamu yang mengikutnya pulang. Kami sudah mengagak Adik
hanya pandai bermuka-muka. Sebelah siangnya memanglah Adik buat tak
layan sahaja dengan tetamunya itu, sebaliknya pada waktu malam dia
akan kembali cergas. Dia seperti burung hantu yang aktif pada waktu
malam. Dia akan bermain-main dengan tetamunya itu. Dia akan berkawan
dengan tetamunya itu. Sehinggalah lewat malam. Pandai sungguh Adik
bersandiwara.

Apabila sudah letih, sendi-sendinya akan terasa lenguh. Badannya akan
terasa gatal-gatal. Tenaganya sudah tentu kehabisan ketika bermain
bersama tetamunya itu. Kulitnya akan mudah dinaiki bintil-bintil
kemerahan. Keadaan itu disebabkan peluh yang berlinangan di badannya.
Angin sukar menyelinap masuk ke bilik Adik. Jadi keadaan bilik Adik
terpeluwap.

Setelah Adik kalah dalam permainannya Adik akan menangis. Adik akan
meronta-ronta. Sudah agak dah Adik macam itu. Hanya dia seorang yang

boleh menang. Orang lain tidak akan berpeluang jika bermain dengan Adik.

“Kenapa ni Adik?”

“Badan Adik gatal-gatal.”

“Itulah mak cakap jangan main sampai lewat malam. Nanti gatal-gatal
susah.”

“Adik tak main apa-apa pun.”

“Dah mari sini mak tengok!”

Kami sekali lagi terkesima. Bualan Adik bersama Emak seakan tidak
masuk akal. Sekali lagi Adik ditipunya Emak hidup-hidup. Tabiat Adik yang
sukar diubah adalah suka tidur lewat. Sewaktu usianya ini tidak elok
baginya berjaga lewat malam. Kesihatannya akan mudah terganggu.
Keesokannya apabila Adik ke sekolah Adik akan mengantuk. Mata Adik
akan jadi merah. Mahu tidak mahu Adik akan tidur di dalam kelas. Dia tidak
akan dapat menumpukan perhatiannya terhadap pelajaran lagi.

Keesokannnya Emak tidak lagi menggoreng ikan dan menumis
masakannya. Emak hanya merebus ikan yang dibeli Ayah. Ikan itu direbus
semata-mata untuk menjamu Adik dan tetamunya. Kami gelisah. Ternyata
Adik dan tetamunya itu betul-betul menyusahkan. Makan minum Adik dan
tetamunya dijaga begitu rapi. Tidak boleh silap sedikit. Emak sangat
berhati-hati dalam menyediakan makanan kepada Adik.

Sebelum ini Emak tidak mengambil kisah akan bab-bab masak-memasak
ini. Maksudnya Emak akan memasak mengikut cita rasanya sahaja. Tapi
lain untuk kali ini. Lauk mesti direbus setiap hari. Emak tidak akan
menggoreng lauk lagi. Tidak ada lagi masakan yang melibatkan tumis-
menumis. Semuanya rebus semata-mata. Dikatanya jika Emak menumis,
tetamu Adik akan meronta-ronta. Keadaan ini menyebabkan Adik turut
meronta-ronta juga. Emak tidak sanggup melihat Adik dalam keadaan itu.

Sangat terseksa.

“Adik kamu tu demam biji. Tak boleh sembarangan. Nanti merebak susah.
Mak kena jaganya baik-baik.”

Kelucuan yang Emak ciptakan sememangnya menggeletek perut kami.
Seketika itu kami ketawa tidak henti-henti. Seakan mahu pecah perut
dibuatnya. Sekejap demam baik, sekejap demam biji. Mana satu yang
betul pun tidak tahu. Orang-orang dulu ada-ada saja istilah yang
diciptakan. Melihat saja badan penuh dengan bintil-bintil dikatakan demam
biji.

Adik semakin pulih. Dia tidak lagi menangis pada waktu malam. Tidurnya
lena dibuai mimpi-mimpi indah. Tetamunya tidak mengganggunya lagi.
Sebaliknya Angah pula yang mengurungkan diri di dalam bilik. Tidak mahu
bercakap dengan orang lain. Tetamu Adik itu seolah-olah mahu berkawan
dengan Angah. Dia tidak mahu berkawan dengan Adik lagi. Malahan tidak
mahu bermain dengan Adik lagi. Agaknya tetamu Adik itu sudah bosan
untuk bermain dengan Adik. Tiada permainan baharu yang dimainkan. Dia
mahu mencari kawan baharu. Angah adalah orangnya. Sebelum ini Angah
menunjukkan minat untuk berkawan dengan tetamu Adik. Angah selalu
melawat bilik Adik. Di mana saja Adik berada di situlah Angah juga berada.
Termasuk tetamu Adik.

Selepas Adik dan Angah, tetamu Adik itu beralih pula kepada kami
sekeluarga. Dia menyondol-nyondol kami semua; dia menyondol punggung
Emak, dia menyondol badan Along, dia menyondol kaki dan tangan Ayah.
Dan juga dia menyondol muka Emak. Kami semua mengurungkan diri di
dalam rumah. Makan ikan rebus setiap hari. Mandi air penawar. Hampir
setiap malam tidur kami diganggunya tetamu Adik. Sendi-sendi kami terasa
lenguh. Badan kami mudah terasa gatal merenyam. Bintil-bintil kemerahan
tumbuh di mana-mana sahaja di tubuh kami semua. Orang kampung
mengatakan keluarga Deris sombong belaka. Tidak mahu bertegur sapa.
Hanya mengurungkan diri di dalam rumah.

Setelah itu datanglah Kiah Murai melawat kami semua. Sementelahan itu,
berita tetamu yang dibawa pulang Adik tersebar ke seluruh pelusuk
kampung. Habis semua rumah penduduk kampung dilawati tetamu Adik.
Tetamu Adik itu mahu berkawan dengan semua penduduk kampung. Dia
mahu bermain-main dengan penduduk kampung. Dia mahu menyondol-
nyondol tubuh penduduk kampung. Habis semua penduduk kampung
mengurungkan diri di dalam rumah. Mereka sedang bermain-main dengan
tetamu Adik.

Sekarang baru kutahu bahawa tetamu yang dimaksudkan Emak. Di tempat
kami demam itu dikenali sebagai demam baik, demam biji dan juga demam
campak. Sebab itulah tidur malam Adik terganggu. Tidur malam penduduk
kampung yang lain juga terganggu. Seluruh tubuh mereka gatal-gatal.
Sejurus selepas itu kampung kami dibina sebuah klinik desa untuk
merawat penyakit campak yang dihidapi penduduk kampung. Penduduk
kampung dinasihati agar membawa anak-anak yang baru dilahirkan untuk
pemeriksaan doktor. Kanak-kanak di kampung kami selepas itu diberi
suntikan campak bagi mencegah daripada diserang campak. Setelah diberi
suntikan campak kampung kami kembali aman damai. Tidak ada lagi
tetamu yang datang tanpa diundang.

BIODATA Penulis:

MOHD Helmi Ahmad, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa
dan Linguistik Melayu), di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia (2006 -2009), terbabit dalam penulisan puisi,
cerpen, drama, novel dan esei. Pernah mendapat bimbingan daripada
Prof Madya Dr Lim Swee Tin dan Dr Kamariah Kamarudin.

Johan pertandingan Menulis Esei Bulan Kemerdekaan 2005 anjuran
Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Aziz.

dan Pertandingan Menulis Esei Pendermaan Organ, Kementerian
Kesihatan Malaysia, New Straits Times-Berita Harian 2009 (Kategori
Institusi Pengajian Tinggi-Bahasa Malaysia).


Click to View FlipBook Version