TAHALUF SIYASI, DAP DAN GERAKAN ISLAM
“Allah SWT tidak akan mengizinkan musuh-musuh dari luar menghancurkan Islam dan
kekuatan umatnya, tetapi gerakan Islam itu akan dihancurkan sendiri oleh ancaman dari dalam
diri mereka”
Fadzil Mohd Noor
Oleh Hantu Raya TKP
Tahaluf Siyasi adalah kerjasama politik atas kesepakatan bersama. Para
ulama Islam mempunyai dua pendapat menyokong atau membantah
tahaluf siyasi. Punbegitu hukumnya harus.
Perkara yang paling penting dalam bertahaluf ialah garis panduan yang
meliputi dalil, syarat dan sebab dalam mengeluarkan hukum
berkenaan tahaluf siyasi dalam suasana politik semasa.
Kita boleh belajar dan mengkaji tahaluf siyasi yang dilakukan pada
zaman Rasulullah SAW. Antara tahaluf siyasi tersebut ialah;
1. Perjanjian Rasulullah SAW bersama Abu Talib,
2. Kisah perlindungan orang kafir kepada sahabat Nabi SAW,
3. Perjanjian Half-al-Fudhul,
4. Perjanjian Mutayyibin,
5. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Muth’im bin ‘Adi dan Abdullah
Bin Uraiqith,
6. Perjanjian Bai’atul ‘Aqabah
7. Perjanjian Rasulullah SAW bersama Bani Khuza’ah
8. Tahaluf siyasi telah berlaku antara kerajaan Madinah dan
beberapa puak serta kabilah yang lain seperti Muhajirin dan
Ansar, bangsa Quraish dan puak Yahudi.
Pendapat Membantah Konsep Tahaluf Siyasi
Imam Hassan al Banna dan Sayyid Qutb antara tokoh Islam yang tidak
bersetuju dengan konsep tahaluf siyasi berdasarkan konteks zaman dan
realiti semasa ketika itu. Hassan al Banna menyatakan
“Ikhwan al Muslimin yakin idea persefahaman antara parti-parti tidak
mendatangkan apa apa kebaikan. Ikhwan yakin cara ini hanyalah
bersifat sementara bukannya penyelesai masalah sebenar. Lambat laun
parti-parti yang menjalinkan persefahaman ini akan berpecah semula.
Malah persengketaan mereka akan bertambah sengit lebih buruk
daripada persefahaman diwujudkan”1
Di Malaysia, PAS gagal dan tidak pernah serik melakukan tahaluf siyasi
dalam kerajaan campuran, Barisan Nasional, Angkatan Perpaduan
Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS pernah mencadangkan Kerajaan Perpaduan iaitu kerajaan
tanpa pembangkang antara usaha tahaluf siyasi.
Pengalaman PAS yang tidak pernah serik dalam tahaluf siyasi sangat
mengagumkan. Hassan al Banna telah memberitahu bahawa tahaluf
siyasi dengan pihak yang jelas menentang Islam bukanlah satu
penyelesaian masalah sebenar. Ia akan menghasilkan perpecahan yang
berulang-ulang.
Pendapat Menyokong Konsep tahaluf Siyasi
Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi menyatakan pengharaman tolong
menolong dengan orang berbuat zalim merupakan hukum asas atau
prinsip umum. Dalam keadaan tertentu menyebabkan terkeluar dari
hukum asas ini melalui pertimbangan yang masih diakui oleh syarat.
Antara pertimbangan tersebut ialah;
1. Tuntutan meminimunkan kejahatan dan kezaliman menurut
kesanggupan.
2. Melakukan mudarat yang paling ringan
3. Melepaskan nilai paling tinggi lalu turun ke realiti paling rendah.
4. Bertahap
Menurut Syeikh Muhammad Munir al Ghatban, prinsip-prinsip tahaluf
siyasi ialah
1. Tidak berkompromi dalam perkara akidah dan prinsip
2. Menjamin kemaslahatan ummah
3. Harakah Islam berada dalam keadaan kuat
4. Kepimpinan dan ahli jamaah kuat
5. Bertahaluf dengan pihak yang boleh bagi manfaat kepada jamaah
Islam
6. Menjamin kebebasan dakwah
7. Tidak berkrompomi dalam perkara batil
8. Perjanjian yang sesuai dengan Islam boleh dilaksanakan
Pada pendapat Mustafa Tahan, ciri-ciri penting yang dipertahankan
oleh Rasulullah SAW dalam pelaksanaan tahaluf siyasi;
1. Melindungi kepentingan komuniti muslim.
2. Mengeratkan ukhwah sesama Islam.
3. Kekuatan maksima pemimpin gerakan Islam
4. Kebebasan dakwah
5. Tidak bekerjasama dengan pemimpin zalim.
Menurut pengkajian dan perbandingan, Syeikh Muhammad Ahmad ar
Rasyid menyatakan agak sukar tahaluf siyasi boleh dilakukan pada
zaman ini. Beliau menyatakan tidak mustahil tetapi untuk memenuhi
syarat-syaratnya adalah terlalu jarang dan kecil kebarangkaliannya
boleh terlaksana.
Syeikh Muhammad Ahmad ar Rasyid menyatakan syarat tahaluf siyasi
ialah
1. Hukum Islam lebih dominan, syaukah (mempunyai dokongan kuat
daripada bangsa sendiri yang boleh mempertahankan kuasa
mereka) Islam lebih jelas dan nyata.
2. Dakwah Islam melepasi fasa ta’asis dan bina, sekarang menuju
fasa kemajuan.
3. Anggota terlibat dalam tahaluf mestilah pemimpin-pemimpin
yang mempunyai kedudukan yang sama tinggi dengan barisan
pemimpin dakwah.
4. Tahaluf itu benar-benar diperlukan dalam situasi untuk
menguatkan barisan pendakwah bukannya lambang semata-
mata.
5. Pihak yang menerima tahaluf adalah boleh dipercayaai.
6. Mengambil kira kadar negatif yang mungkin berlaku ketika
tahaluf.
Pengalaman PAS dalam Tahaluf Siyasi
1. Konvensi Nasional
2. Kerajaan Campuran (Perikatan-PAS)
3. Barisan Nasional
4. Kerjasama PAS-CCC
5. Angkatan Perpaduan Ummah
6. Barisan Alternatif
7. Pakatan Rakyat
Perbalahan, Kerjasama dan Perbalahan: Di mana Kesudahan Tahaluf
Siyasi?
Permisahan atas pengolakkan dalam sebuah gabungan bukanlah
bersifat mutlak. Kerjasama politik atas kesepakatan bersama datang
daripada kebijaksanaan politikus dan parti dalam usaha menangani
permasalahan semasa bergantung kepada situasi, persetujuan bersama
dan kepentingan rakyat serta kesejahteraan negara.
Pengalaman tahaluf siyasi di Malaysia, perbalahan bersifat sementara
ekoran pertembungan pendekatan dan dasar serta peribadi antara
parti dalam gabungan. Akhirnya, ia membawa kepada ‘penceraian’.
Penceraian yang bukan bersifat mutlak dan selamanya, ia bersifat
sementara untuk ‘merawat’ emosi. Keberangkalian untuk bersama
kembali cukup tinggi apabila melibatkan kepentingan negara dan
rakyat.
Apabila DAP keluar daripada Barisan Alternatif, Nik Abdul Aziz
melaporkan berkata ‘Saya tak nampak hubungan kami akan renggang
dengan DAP pada masa depan’.2 Kenyataan ini dibuktikan apabila DAP
kembali bersama PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat pada tahun 2008.
Dalam politik, kepentingan semasa berlatarbelakangkan situasi akan
mengatasi prinsip dan dasar sesebuah parti terutamanya apabila
melibatkan kepentingan rakyat dan negara.
Pemimpin politik muda perlu mencari nafas panjang menghadapi
situasi politik yang kacau bilau, keliru dan celaru ini. Melihat, merenung
dan mengelakkan diri daripada pengolakkan lebih baik untuk memberi
nafas yang panjang bagi seseorang politikus.
Isu Penubuhan Negara Islam dan DAP keluar Barisan Alternatif pada
tahun 2001.
DAP keluar Barisan Alternatif (BA) pada 21 September 2001 disebabkan
oleh isu penubuhan negara Islam. Isu ini disemarak apabila dunia ketika
itu sangat terkesan dengan Peristiwa WTC yang dilanggar oleh pesawat.
Peristiwa ini mengemparkan dunia dan menyemarakkan Islamfobia.
Orang Cina menekan DAP agar PAS menggugurkan perjuangan
penubuhan sebuah negara Islam. PAS terus bertegas dengan prinsip
menolak saranan DAP atas dasar menghormati dasar yang tak
dipersetujui secara bersama.
PAS3 yang diwakili oleh Nik Abdul Aziz (Mursyidul Aam), Abdul Hadi
Awang (Timbalan Presiden) dan Nasarudin Mat Isa (SUA) bermesyuarat
selama dua jam dengan DAP bagi berbincang isu penubuhan negara
Islam. Setelah kegagalan mesyuarat tersebut, DAP mengadakan
mesyuarat tergempar dan akhirnya memutuskan penarikkan diri dari
BA.4
Setiausaha Agung DAP Kerk Kim Hock menyatakan"Melihat kepada
kegagalan DAP dan PAS dalam menyelesaikan isu penubuhan negara
Islam, CEC memutuskan bahawa tidak ada lagi keperluan untuk DAP
terus bersama BA”.5
Dalam perbincangan dengan PAS, DAP telah mengemukakan lima
formula untuk menyelesaikan permasalahan. Menurut Malaysiakini,
hanya dua sahaja formula tersebut dipersetujui. Lima formula itu ialah
Pertama "Sebarang usaha oleh mana-mana parti komponen untuk
mengejar pengwujudan sebuah negara Islam, negara Buddhist atau
negara Kristian adalah bertentangan dengan Manifesto BA."
Kedua: "Suatu pengulangan yang jelas bahawa di bawah Manifesto BA,
undi untuk BA adalah undi untuk demokrasi, keadilan dan
pemerintahan baik dan bukan untuk sebuah negara Islam - dan PAS
mestilah bersetuju sepanjang tempoh BA, akan berganding bahu
dengan parti BA lain pada semua peringkat ke arah Malaysia yang adil
dan bukan sebuah negara Islam."
Ketiga: "Majlis BA harus diberi notis terdahulu tentang apa-apa
enakmen atau langkah cadangan negara negeri Kelantan dan
Terengganu yang mungkin menyinggung perasaan agama, masyarakat
dan parti politik yang berbeza supaya membenarkan perundingan dan
persetujuan sepenuhnya."
Keempat: "Suatu jawatankuasa BA khas harus ditubuhkan untuk
memastikan bahawa pengumuman dan kenyataan keagamaan yang
kontroversi atau sensitif terhadap manifesto BA dibuat hanya selepas
perundingan terdahulu dan untuk menangani kes-kes perlanggaran."
Kelima: "Walaupun PAS memegang kepada prinsip negara Islam tetapi
PAS sedia menerima hakikat bahawa di dalam sebuah negara yang
majmuk, penubuhan negara Islam tidak sesuai dan tidak praktikal bagi
Malaysia."
Menurut Nik Abdul Aziz, isu penubuhan negara Islam tidak berjaya
ditangani dalam dalaman DAP. ``Ia berpunca daripada ketidakupayaan
dan tekanan yang dihadapi oleh pucuk pimpinan DAP dalam menjawab
segala persoalan yang dibangkitkan oleh penyokongnya berhubung isu
negara Islam”.6
Penulis melihat DAP keluar BA pada 21 September 2001 ada beberapa
sebab iaitu
1. Aliran progresif dalam DAP yang mengkritik kepimpinan Lim Kit
Siang dalam Kongres Kebangsaan DAP ke-13 telah berlangsung
pada 18-19 Ogos 2001. Dalam kongres ini, ketua pemuda DAP
Teng Chang Khim yang secara terbuka meminta Lim Kit Siang
menolak pencalonan semula sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif
Pusat (CEC) bagi membuka jalan kepada pemimpin pelapis parti
DAP.7 Satu resolusi juga mencadangkan supaya jawatan
Setiausaha Agung dan Pengerusi parti dihadkan kepada tiga
penggal atau sembilan tahun saja. Tetapi resolusi ini tidak
dibahas. Resolusi dilihat dituju kepada Kit Siang, yang telah
menerajui DAP selama 32 tahun.
2. Pengaruh DAP Sarawak mengatasi DAP Pusat. Pengerusi DAP
Sarawak, Richard Wong Hong Leng juga telah mengumumkan
pakatan pembangkang tidak wujud di Sarawak. DAP Sarawak lebih
awal keluar BA Sarawak daripada DAP Pusat.
3. Isu penubuhan Negara Islam.
4. Islamfobia ekoran Peristiwa Pelanggaran WTC.
5. Pilihanraya Negeri Sarawak
6. Kes ‘pencurian’ atau penghijrahan ahli ke dalam sekutu BA. Bekas
ahli DAP seperti Low Chee Chong, Sim Kwang Yang, Teoh Teik
Huat, Gooi Hock Seng dan Dominic Ng telah diterima masuk oleh
Keadilan, malahan diberikan layanan 'permaidani merah'. Begitu
juga dengan penyertaan SK Soong ke PRM.8
7. Matlamat tak sama. Jika pada pilihanraya umum 1999, PAS,
Keadilan dan PRM bercita-cita besar untuk menumbangkan BN di
peringkat parlimen, tetapi cita-cita DAP hanyalah untuk
menafikan majoriti dua pertiga BN. Walaupun, kedua-dua cita-cita
itu gagal, namun ternyata cita-cita DAP lebih berpijak di bumi
yang nyata.9
Krisis Kerajaan Kelantan 197810
Krisis 1978 merupakan krisis paling besar dan paling rumit yang pernah
dialami oleh PAS kerana ia melibatkan rakyat, parti, antara parti dan
kerajaan.
Dato Muhammad Nasir dikatakan dilantik sebagai Menteri Besar
Kelantan atas restu Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ketika itu11. Ia
menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa pihak dalam PAS. Usaha
menyingkirkan Dato Muhammad Nasir pada bulan September 1977.
Kumpulan 20 yang terdiri daripada ADUN memberi dua pilihan kepada
Nasir sama ada meletak jawatan atau menghadapi undi tidak percaya
dalam sidang DUN bulan Oktober 1977.
Dewan Ulama PAS Kelantan mengalami kemelut apabila Ustaz Mahmud
Zuhdi, setiausaha Dewan Ulama Kelantan menyokong Nasir12 manakala
Naib Ketuanya Zakaria Ismail menafikan kenyataan Mahmud Zuhdi.
Nasir semakin kuat apabila rakyat Kelantan berada teguh dibelakang
kepimpinan beliau. Persatuan Pengajian Tinggi Nilam Puri, Badan
Pengembangan Kebudayaan Malaysia (BABAK), mahasiswa Kelantan
UKM (PERDANA) menyokong Nasir. Pada 24 September 1977, lebih
80000 orang berhimpun di Padang Merdeka untuk menyatakan
sokongan kepada Nasir.
Nasir dipecat daripada PAS pada 29 September 1977 oleh
Jawatankuasa Agung PAS. Lapan yang menyokong pemecatan Nasir
ialah Nik Abdul Aziz (Ketua Dewan Ulama PAS Pusat), Wan Ismail Wan
Ibrahim (Timbalan Menteri Besar Kelantan), Zahari Awang, Khaidir
Khatib, Sakinah Junid (Ketua Dewan Muslimat), Jamal Idris, Daud
Samad, Hakim Abdullah dan Asri Muda (Yang Dipertua PAS Pusat).
Mereka yang menentang pemecatan ialah Ali Taib dan Baharuddin
Latiff. Kelompok yang mengundi agar pemecatan tersebut
ditangguhkan ialah Mustafa Ali (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat),
Salmah Husein, Ishak Rejab, Harun Din, Hassan Shukri (SUA PAS Pusat),
Daeng Sanusi (Naib YDP), Wahab Yunus dan Suffian Mohamad. Walau
bagaimanapun, keputusan ini dianggap ‘kesilapan teknik’ yang
diumumkan pada 4 Oktober 1977. Satu rombongan telah dibawa ke
Kelantan untuk memohon maaf kepada Nasir.
Pada 10 Oktober 1977, sekali lagi sidang Jawatankuasa Agung PAS Pusat
memutuskan pemecatan Nasir. Mohd Asri Muda berkecuali dalam
mesyuarat ini. Kelompok menyokong pemecatan ialah Abu Bakar Omar
(Naib YDP), Nik Abdul Aziz, Sakinah Junid, Wahab Yunus, Zahari Awang,
Salmah Husein, Daud Abdul Samad, Wan Ismail Wan Ibrahim, Tengku
Kamaruzaman Tengku Hamid, Khaidir Khatib, Zabidi Ali, Jamahir Idris
dan Abdul Hakim Muhammad. Kelompok menentang pemecatan ialah
Hassan Adli (Timbalan YDP PAS Pusat), Hassan Shukri (SUA Agung),
Harun Din, Ishak Rejab, Abbas Alias (mantan YDP/AJK), Baharuddin
Latiff dan Sufian Mohammad. Mustafa Ali dan Daeng Sanusi berkecuali.
Pada 15 Oktober 1977, dalam Dewan Undangan Negeri, kumpulan 20
telah mengadakan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Dato
Muhamad Nasir dan usul berkenaan diluluskan. Kerajaan Kelantan
pimpinan Nasir digulingkan. Seramai 13 ADUN UMNO dan seorang
anggota MCA serta Nasir meninggalkan DUN semasa pengundian
diadakan.
Kemuncak pada 19 Oktober 1977, kacau bilau dan rusuhan melanda
Kota Bharu. Beberapa siri rusuhan berlaku di Kelantan. Perintah
berkurung 24 jam diadakan bagi menjamin keselamatan dan keamanan.
Pada 8 November 1977, Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat
dibentang dan diluluskan setelah 8 jam dibahaskan. PAS dan DAP
menentang rang tersebut. Seramai 118 anggota Parlimen termasuk
daripada PAS (Hassan Adli) manakala 18 menentang.
Kelulusan rang ini membawa krisis antara BN dengan PAS apabila PAS
melalui Asri, dua timbalan menteri dan dua setiausaha parlimen
daripada PAS meletak jawatan dalam kerajaan. Hassan Adli (Timbalan
YDP PAS Pusat) ingkar arahan dan tidak mahu meletak jawatan akhirnya
dipecat daripada PAS.
Darurat selama 95 hari. Nasir masih dikekalkan sebagai Menteri Besar
tanpa kuasa. Pengarah Kerajaan berkuasa. Kerajaan ini dinamakan
kerajaan MAGERAN.
Pada 5 Disember 1977, Dewan Majlis Tertinggi BN telah bersidang, 9
parti dalam BN mengundi PAS dipecat daripada BN, PPP berkecuali dan
PAS menentang. Maka, tamatlah riwayat PAS dalam BN.
Nasir telah menubuhkan parti baru ialah Barisan Jamaah Islamiyyah
SeMalaysia (BERJASA) pada 25 September 1977. Pada awalnya, Nasir
nak menamakan parti baru sebagai Parti Progresif Islam atau Parti
Tindakan Islam. Menurut sesetengah penulis politik, kelahiran BERJASA
mempunyai kaitan dengan UMNO dalam menumbangkan PAS
sebagaimana kelahiran BERJAYA menumbangkan USNO di Sabah.
Dalam BERJASA, antara tokoh ternama dalamnya ialah Nasir (YDP), Ali
Taib (Timbalan YDP), Hassan Adli (Naib YDP), Abu Bakar Hamzah (Naib
YDP), Wan Hashim Wan Ahmad (AJK), Mahmud Zuhdi (SUA), Ibrahim Ali
(Ketua Pemuda) dan Mohamad Che Wook (Ketua Dewan Ulama). Pada
pilihanraya Umum 1978, BERJASA berjaya mendapat 11 kerusi
manakala BN mendapat 23 kerusi.
Konvensi Nasional vs Konferensi Nasional
Di bawah kepimpinan Tuan Haji Ahmad Fuad juga, PAS telah dijemput
untuk menghadiri dua persidangan yang dianggap penting pada negara
ketika itu, iaitu persidangan yang dikenali sebagai National Conference
(Konferensi Nasional) yang ditaja oleh Datuk Onn Jaafar bersama tujuh
orang Menteri Besar dan National Convention (Konvensi Nasional) yang
ditaja oleh Tuanku Abdul Rahman Putra al-Haj (UMNO – MCA).
Tujuan persidangan ini diadakan ialah untuk menyelaraskan usaha bagi
mencapai kemerdekaan negara serta mencari satu formula dalam
menyelesaikan beberapa perkara berbangkit seperti status kerakyatan,
hak untuk mengundi dan sebagainya.
Ekoran daripada itu, satu Mesyuarat Agung Khas PAS telah diadakan di
Tanah Liat, Bukit Mertajam pada 23hb. September 1953 bagi
menentukan sikap PAS dalam menghadapi kehendak-kehendak Ahli
Jawatankuasa Agung pada masa itu yang berbeza-beza di antara yang
menyokong National Convention dengan yang menyokong National
Conference.
Hasil daripada mesyuarat tersebut, PAS telah menerima saranan yang
dikemukakan oleh PAS Pasir Mas menerusi wakilnya Amaluddin Darus.
Cadangan PAS Pasir Mas itu ialah mengambil sikap menyokong National
Convention, tetapi tidak terikat kepadanya sekiranya langkah-langkah
National Convention itu pada pendapat PAS akan merugikan bangsa
Melayu amnya dan umat Islam khasnya. PAS telah menolak gagasan
yang ditaja oleh Datuk Onn itu kerana pada pandangan PAS ia
mengiktiraf kerakyatan dan persamaan hak bagi seluruh kaum yang ada
di negara ini pada waktu itu.
Dengan itu, PAS bertegas tidak akan menyertai persidangan National
Conference yang ditaja oleh Datuk Onn, tetapi akan menghadiri dan
menyatakan pendapat di dalam persidangan National Convention yang
ditaja oleh UMNO-MCA (Tunku Abdul Rahman).
Mesyuarat Agung Khas pada 23hb. September 1953 itu juga telah
bersetuju untuk membebaskan PAS daripada dipengaruhi oleh mana-
mana pihak dengan mengekalkan PAS sebagai sebuah organisasi yang
bebas dan berdikari. Dengan itu, undang-undang tubuh PAS telah
dicadangkan supaya dipinda bagi menentukan tidak ada orang yang
menjadi anggota parti politik lain dibolehkan untuk dipilih sebagai Ahli
Jawatankuasa Agung PAS atau pegawai-pegawai yang mengendalikan
urusan PAS.
Semasa di bawah kepimpinan Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, PAS masih
berada pada tahap lemah dan kekurangan dari segenap segi. Tuan Haji
Ahmad Fuad Hassan adalah merupakan rakan dan penyokong kuat
kepada Datuk Onn Jaafar. Krisis UMNO-IMP (Independence of Malaya
Party) sedikit sebanyak telah menjejaskan kepimpinan beliau di dalam
PAS. Percubaan beliau untuk membawa PAS bekerjasama dengan IMP
telah ditolak oleh ahlinya - menyebabkan kepimpinan beliau telah mula
dipersoalkan dan dengan demikian juga telah memberi kesan terhadap
perjuangan politik PAS.
Ekoran kegagalan beliau membawa PAS untuk bersama-sama dengan
IMP pimpinan Datuk Onn Jaafar, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan telah
meninggalkan perjuangan politik PAS secara rasmi pada 26hb.
September 1953 - seterusnya beliau menyertai IMP dan Parti Negara
apabila IMP dibubarkan.
Krisis Dalam Angkatan Perpaduan Ummah.
Tengku Razaleigh Hamzah putera diraja Kelantan adalah tokoh politik
Kelantan yang seringkali dinobatkan sebagai Perdana Menteri dalam
pembikinan. Beliau dan kumpulan beliau telah tewas kepada Dr
Mahathir Mohamad dalam perebutan jawatan Presiden UMNO pada
tahun 1987. Kekalahan ini menyebabkan beliau dan bersama kumpulan
beliau menubuhkan Parti Semangat 46.
Dalam menewaskan UMNO-BN, Tengku Razaleigh dan Nik Abdul Aziz
Nik Mat telah sedia membentuk perikatan politik baru yang dikenali
sebagai Angkatan Perpaduan Ummah terdiri daripada PAS, Semangat
46, HAMIM, Berjasa, KIMMA (Kongres India Muslim Malaysia). Parti
Semangat 46 menubuhkan GAGASAN RAKYAT yang terdiri daripada
DAP, PRM, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Barisan Progresif India (IPF).
Penyelarasan, penyesuaian dan pengimbangan antara dua gabungan
yang bertentangan fahaman berjaya disatukan oleh Parti Semangat 46.
Masalah dalam pentadbiran, sentimen istana dan monopoli kuasa oleh
PAS menyebabkan perpecahan APU. Gerakan pemisahan mula dikesan
pada tahun 1991 apabila YB Ibrahim Ali tidak puas atas penguasaan PAS
dalam kerajaan Negeri Kelantan.
Pada 2 Jan 1996, keretakan hubungan PAS-S46 semakin ketara apabila
enam anggota S46 memulaukan upacara mengangkat sumpah sebagai
anggota MajlisPerbandaran Kota Baharu kerana tidak berpuas hati
dengan pembahagian kerusi.
Pada 7 Feb 1996 , Ketua Penerangan S46 Ahmad Shabery Chik berkata
partinya sedia menyertai perayaan ulangtahun ke-50 Umno pada bulan
Mei 1996 dan diikuti dengan kenyataan Tengku Razaleigh pada 10
Februari 1996.
Kemuncaknya apabila Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
mengumumkan cadangan kerajaan negeri meminda Perlembagaan
Negeri bagi menghadkan kuasa-kuasa Sultan dan mengelak
campurtangan Istana dalam pentadbiran negeri. Parti Semangat 46
segera membantah cadangan itu. Pada 26 April 1996, Dr Mahathir
mengesahkan telah bertemu Tengku Razaleigh. Sebagai reaksi Nik Aziz
berkata pertemuan bagi membincangkan kemasukan semula Tengku
Razaleigh ke dalam Umno itu bererti S46 telah berkubur.
APU gagal apabila Parti Semangat 46 kehilangan sinergi sehingga akur
kehendak Dr Mahathir yang menyeru ke arah penyatuan Orang Melayu.
Pada 6 Oktober 1996, Parti Semangat 46 dibubarkan menandakan
mereka telah meninggalkan APU.
Krisis Dalam Pakatan Rakyat
Krisis dalaman Pakatan Rakyat berpunca daripada krisis dalaman PAS,
Langkah Kajang oleh Yang Berhormat Rafizi dan campurtangan DAP
dalam urusan kepimpinan PAS.
Menurut Lim Sian See, PR berkrisis disebabkan oleh
1) tiada keputusan konsensus pakatan dalam kes Langkah Kajang. PAS
tidak bersetuju dan tidak dibawa berunding.
2) fitnah terhadap bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
3) PAS percaya PKR & DAP telah ‘mencuri’ 2 orang ADUN PAS.
4) PAS percaya PKR & DAP telah mungkir janji & tidak menghormati
keputusan konsensus untuk membenarkan pas melaksanakan kerajaan
islam serta hudud.
PAS menyatakan sikap DAP yang campur tangan dalam pemilihan
Muktamar PAS menjadi punca perpecahan PR manakala DAP
menyalahkan kepimpinan PAS terututamanya Presiden PAS.
Menurut YB Ir Khalid Samad, punca perpecahan dalaman PAS ialah
1. ‘ketidak selesaan’ pimpinan utama PAS
2. September 16 dan konsep UG
3. menangani ‘masalah’ pemimpin dan ahli ‘terlalu’ pro-PR
Perpecahan dalaman PR memberi impak kepada pembangkang apabila
kalah teruk dalam Pilihanraya Negeri Sarawak dan kalah dalam PRK di
Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Panduan dalam menghadapi kemelut dalam tahaluf siyasi.
Tahaluf Siyasi dengan Parti Semangat 46 dan Penubuhan Angkatan
Perpaduan Ummah.
Penulis tertarik pemikiran, pendekatan dan keberanian Fadzil Mohd
Noor dalam cubaan mengatasi kemelut isu penubuhan Negara Islam
yang ditentang oleh DAP. Fadzil Mohd Noor telah mengemukakan
panduan yang baik dalam menyelesaikan krisis dalam bertahaluf.
Fadzil Mohd Noor menegaskan:
PAS bersetuju Manifesto Bersama BA 1999 itu menjadi satu dokumen
perjanjian yang patut dipatuhi oleh semua parti terbabit.
PAS bersetuju untuk menggugurkan idealisme penubuhan negara Islam
dalam konteks pakatan BA kerana:
1. Tidak berbangkit soal negara Islam dalam Manifesto;
2. Tidak boleh memaksa ideologi PAS ke atas rakan dalam pakatan;
3. Dalam komposisi rakyat negara ini, tidak ada parti boleh memerintah
secara bersendirian;
4. PAS perlu berkerjasama dengan rakan pakatan BA atas perkara-
perkara yang sudah dipersetujui.
Dalam kes PR, Majlis Syura Ulama bertindak memberi beberapa garis
panduan dalam tahaluf siyasi Pakatan Rakyat yang perlu diikuti oleh
pemimpin dan anggota PAS iaitu
1. Tahaluf mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam,
memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang
untuk perlaksanaan Islam.
2. Tahaluf mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dapat
dipertahankan.
3. Intima’ hendaklah diberikan kepada kepimpinan Parti Islam Se-
Malaysia (PAS), bukan kepada
Pakatan Tahaluf.
4. Tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan
dakwah.
5. Matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan Tahaluf
secara mutlak.
6. Majlis Syura Ulamak mempunyai kuasa membuat keputusan
mengenai kesinambungan tahaluf siyasi berdasarkan kepada
maslahah dan mafsadah syar'iyyah dari semasa ke semasa.
Tahaluf Siyasi: Saranan Kepada PAS Pada Masa Depan.
Tahaluf Siyasi berpandukan ta’awun ala birri wa al takwa (kerjasama
atas kebaikan dan takwa). Di Malaysia, PAS menghadapi kesukaran
untuk kerjasama atas dasar takwa kerana sifat Islam PAS yang mahu
penubuhan Negara Islam dan pelaksanaan hukum Hudud. Realiti politik
Malaysia berteraskan perkauman menyukar perpaduan kebangsaan
dan pada masa yang sama perpaduan kaum atau permuafakatan kaum
itu sendiri adalah realiti politik Malaysia. Jika PAS mahu memerintah
Malaysia, mereka perlu melakukan tahaluf siyasi dengan kaum lain.
Pengalaman kerjasama dengan BN, DAP dan APU telah banyak