The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by fatinifandi98, 2021-11-21 05:24:38

KIBARKAN JALUR GEMILANG

KIBARKAN JALUR GEMILANG

KIBARKAN JALUR GEMILANG

Written By Fatini Fandi

Hasil karya:
Nor Fatini Binti Mohd Fandi (262992)

Kringgggggg! Kedengaran bunyi loceng sekolah menandakan waktu sesi
pembelajaran sudah bermula. Di dalam sebuah kelas, Cikgu Haikal sudah
mula mengajar anak muridnya dengan bersungguh-sungguh sekali.
Memandangkan bulan Ogos iaitu hari Kemerdekaan sudah hampir tiba,
cikgu Haikal mengajar dan bertanyakan pelbagai soalan kepada anak
muridnya tentang topik kemerdekaan. “Semua dah bersedia?” Soal cikgu
Haikal kepada anak muridnya sambil menggerakkan isyarat tangannya
supaya semua murid berdiri dari tempat duduk masing-masing. Dengan
bersemangat semua murid berdiri dari kerusi masing-masing lalu
menjawab secara serentak “Dah cikgu!”

Cikgu Haikal menyebut nama Aiman dan bertanya “Aiman, bilakah tarikh
kemerdekaan negara kita?” Aiman berfikir seketika dan terus menjawab
“Mmm… Haa! 31 Ogos 1957.” “Tepat sekali Aiman!" Jawab Cikgu Haikal.

Haa Rani, siapa bapa kemerdekaan negara kita?” Tanya cikgu Haikal
kepada Rani pula. Dengan yakin Rani menjawab “Tunku Abdul
Rahman, cikgu!” Lalu dia dipuji oleh cikgu Haikal.

“Siti, berapa jalur yang terdapat di bendera Malaysia?” Soal cikgu
Haikal lagi kepada Siti. Lalu Siti menjawab dengan penuh semangat
“14 jalur, cikgu!” Siti juga turut mendapat pujian dari cikgunya.

“Ah Ming! Siapakah yang mencipta bendera Malaysia?” Soalan cikgu Haikal
mengejutkan Ah Ming yang sedang termenung panjang. Ah Ming berfikir
seketika lantas mengeluarkan bicara, “Emm.. Emm.. Haa! Saya tahu. Encik
Saiful Bahari!”

“Salah Ah Ming. Itu yang cipta lagu Negaraku. Bendera Malaysia dicipta oleh
Encik Mohamad Hamzah.” Jelas cikgu Haikal sambil memberikan senyuman
dan menerangkan jawapan yang betul kepada semua muridnya. “Ooo..
Macamtuuu..” Balas anak muridnya serentak sambil mengangguk-
anggukkan kepala. Sambung cikgu Haikal lagi, “Jadi, untuk sambutan
kemerdekaan tahun ini, sekolah akan adakan pertandingan kibarkan Jalur
Gemilang. Kumpulan yang berjaya kibarkan Jalur Gemilang paling tinggi
akan dikira sebagai pemenang.”

“Wahh!” Balas anak muridnya serentak dengan perasaan yang sangat
teruja. Siti segera memandang ke arah Rani sambil tersenyum, kemudian
mereka berdua menoleh ke arah Aiman dan juga Ah Ming menandakan
isyarat bahawa mereka berempat bersetuju menjadi satu kumpulan untuk
menyertai pertandingan tersebut.

Pada keesokan harinya, Siti dan kawan-kawan berkumpul di bawah satu
pondok yang berhampiran dengan rumahnya. Mereka berempat berbual
sesama mereka mengenai maksud setiap warna yang ada pada Jalur
Gemilang serta berbincang tentang bagaimana cara ingin mengibarkan
Jalur Gemilang dengan tinggi. Lalu Siti bertanya “Kawan-kawan! Sebelum
kita nak kibarkan bendera, awak semua dah kenal ke Jalur Gemilang?” Rani
menjawab “Saya tahu! Putih bermaksud kesucian. Merah pula bermaksud
keberanian.”

“Berani macam saya. Hahaa.. Kuning pula bermaksud kedaulatan kepada
Raja dan Negara.” Celah Aiman. Lantas Ah Ming juga turut bersuara “Biru
pula bermaksud perpaduan. Macam kita semua lah.”

“Baguslah kalau semua dah kenal. Tapi macamana kita nak kibarkan
bendera dengan tinggi ye?” Tanya Siti sambil berfikir.

Tanpa berfikir panjang, Aiman bersuara “Alahh.. Senang je Siti. Apa kata
biar saya panjat bumbung sekolah dan kibarkan bendera dari sana? Mesti
kumpulan kita menang!” Lalu cepat-cepat Ah Ming membantah “Tak boleh
tak boleh! Mama saya kata bahayalah panjat bangunan tinggi.”

“Deyy! Saya tau saya tau. Apa kata kita bina roket dan terbangkan ke
angkasa. Sebaik sahaja roket sampai ke langit, ia akan meletup. Belon
helium akan apungkan Jalur Gemilang. Kumpulan kita pasti akan menang.”
Balas Rani dengan penuh semangat.

Lalu Ah Ming berkata “Saya suka saya suka! Tapi kita mana ada roket.”
“Haah betul tu. Kalau belon tu meletup macamana? Mesti bendera kita
jatuh punya.” Celah Aiman pula. Kerisauan membuatkan dahinya berkerut.

Rani mengeluh “Aiyoyoo.. Banyak juga tugasan yang cikgu Haikal bagi
kalini.” “Adoii. Macamana ye? Saya pon takde idea lagi.” Siti berfikir sejenak
sambil matanya melihat dedaun kering yang telah gugur ditiup angin.
Perbualan mereka berempat ketika itu menjadi sepi seketika.

Tiba-tiba Siti bersuara “Haa! Saya ada idea. Apa kata kita kibarkan angin
untuk naikkan Jalur Gemilang? Contohnya, kita buat layang-layang Jalur
Gemilang.” “Wah! Idea yang menarik tu Siti. Saya setuju. Kita boleh
mencubanya nanti.” Kata Rani sambil tersenyum. Aiman dan Ah Ming juga
mengangguk-anggukkan kepala sambil tersenyum menandakan bahawa
mereka juga bersetuju dengan cadangan Siti.

Beberapa hari kemudian, sewaktu hari pertandingan sedang berlangsung.
kelihatan kumpulan-kumpulan lain sedang membuat persediaan sebelum
pertandingan bermula. Terdapat juga kumpulan yang membawa batang
paip dan menyambungnya supaya menjadi tinggi.

“Wah! Tingginya bendera mereka. Hm.. Kalau macamni, kalahlah kumpulan
kita nanti.” Keluh Rani yang sedikit bimbang. Siti tersenyum tenang dan
berkata “Takpe. Kita semua kan ada cara kita sendiri.” “Awak semua
jangan risau. Saya dah bersedia nak lari.” Celah Aiman dengan penuh
semangat sambil membuat pemanasan badan. “Saya pon sudah sedia!”
Ah Ming juga turut mencelah.

Tidak lama kemudian, wisel ditiup menandakan pertandingan telah
bermula. Semua kumpulan bertungkus-lumus sesama mereka untuk
menaikkan Jalur Gemilang dengan tinggi.

Aiman mula berlari dengan pantas sambil memegang tali layang-layang.
Layang-layang mereka kelihatan terbang semakin tinggi. “Bendera kita
dah terbang dengan tinggi!” Kata Siti bersorak gembira. “Lari laju lagi!
Aiman cepat Aiman!” Rani memberikan kata-kata semangat kepada
Aiman. Suasana ketika itu sangat meriah sekali.

Sedang Aiman berlari, tiba-tiba dia mengeluh “Letihlah pulak lari laju-laju
ni. Saya dah tak laratlah.” Larian Aiman makin lama makin perlahan
membuatkan bendera mereka hampir jatuh. Aiman kelihatan penat.
“Bendera kita dah nak jatuh. Kita kena tolong Aiman. Jom kawan-kawan!”
Arah Siti sambil berlari menuju ke arah Aiman. Mereka berempat saling
bekerjasama dengan berlari secara bergilir-gilir untuk menaikkan bendera
mereka.

Akhirnya, bendera mereka terbang dengan tinggi sekali sehingga berjaya
memperoleh tempat pertama dalam pertandingan tersebut. Mereka
semua bersorak gembira setelah keputusan pemenang diumumkan.

“Tahniah kepada kumpulan yang menang dalam pertandingan ni. Bagi yang tak
menang, kamu semua jangan bersedih ye sebab kamu semua pon hebat. Haa..
Murid-murid, kamu semua tahu tak kenapa cikgu buat pertandingan kibarkan
Jalur Gemilang?” Soal Cikgu Haikal kepada anak muridnya. “Kenapa cikgu?” Tanya
Siti. “Supaya kamu semua ingat dan menghormati Jalur Gemilang sebagai
lambang yang penting kepada negara kita. Jalur Gemilang berkibaran inilah
lambang kemerdekaan kita. Yang paling penting, kita mestilah tanam semangat
patriotik dalam diri kita semua.” Terang Cikgu Haikal sambil tersenyum. Siti dan
kawan-kawannya mengangguk tanda faham.

Mereka semua sangat gembira kerana dapat mempelajari sesuatu yang
baru. Mereka dapat belajar tentang semangat kerjasama dan saling
bantu-membantu dalam kumpulan serta dapat mengetahui dan
memupuk semangat patriotik dalam diri mereka. Dengan ini, perjuangan
tokoh-tokoh tanah air kita akan sentiasa diingati oleh masyarakat hari ini.

Tamat.


Click to View FlipBook Version