The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Hj Zulheimy Maamor, 2022-02-11 03:59:32

BARRY FELL - MELAKA

BARRY FELL - MELAKA

Mat Saleh Ni Dakwa Orang Melaka Jumpa Benua
Amerika Terdahulu

04/08/2021 By Yusrin Faidz Yusoff

Menurut kajian Howard Barraclough Fell (1917-1994) atau Barry Fell dalam
bukunya ‘Saga America’ (1980) (Gambar 2), terdapat prasasti yang dijumpai dalam
sebuah gua di wilayah Corinto di El Salvador, Amerika Tengah yang membuktikan
bahawa Christopher Columbus adalah bukan orang pertama yang “menjumpai”
benua Amerika.

Prasasti tersebut dikatakan ditulis dalam aksara Arab (Jawi) pada sekeping batu
yang mencatat perkataan “Khatib Melaka Haji Mi Malaya” .

Menurut Fell (1980), Yucel (2007) dan Hassan (2018) ukiran pada sekeping batu ini
dibuat sekitar kurun ke-13, dan bukti kukuh bahawa pedagang Islam Nusantara
yang telahpun mengerjakan haji berjaya sampai ke benua Amerika sebelum
kedatangan Christopher Columbus.

Apa yang menjadi sandaran utama kesahihan hipotesis Barry Fell ini adalah beliau
seorang pengkaji dari universiti terulung di Amerika Syarikat iaitu Harvard.
Berdasarkan logik ini, mungkin ramai yang berpendapat beliau tidak mungkin
terkhilaf dalam hipotesis yang dibuat.

Persoalannya adakah kita perlu terima bulat-bulat hipotesis beliau tanpa meneliti
pandangan dan penyelidikan lain tentang hasil kajian dari Harvard ini?

Pertamanya, Barry Fell ini adalah seorang ahli biologi marin dan bukannya seorang
ahli arkeologi mahupun sejarah. Kajian asas beliau adalah dalam bidang zoologi
invertebrata. Sememangnya kelainan bidang kajian tidak semestinya membuat
sesuatu rumusan akademik itu lemah atau dangkal.

Akan tetapi dalam kes Barry Fell ini, kelemahan kajiannya dikatakan amat ketara.
Pakar arkeologi terkemuka bernama David H Kelley (1990) mencatat pandangan
berikut tentang penulisan Barry Fell berkenaan arkeologi dan kajian prasasti:-

“Fell’s work [contains] major academic sins, the three worst being distortion of data,
inadequate acknowledgment of predecessors, and lack of presentation of
alternative views.”

Williams (1991) dan Feder (1996) merumuskan bahawa teori dan dapatan Barry Fell
berkenaan kajian prasasti adalah tidak diterima umum. Kajian empirikal yang
dibuat oleh Feder (1984) berdasarkan sampel 340 orang tenaga pengajar dalam
bidang arkeologi merumuskan bahawa 95.7% darinya mempunyai pandangan
negatif terhadap hipotesis Barry Fell dan mengklasifikasikannya sebagai “pseudo-
archaeology”.

Lihat juga kritikan yang dibuat terhadap Barry Fell dalam “Bad History – The
America BC Series by Barry Fell”:-

Berbalik kepada catatan Barry Fell berkenaan tulisan Jawi yang kononnya wujud di
zaman Maya dan Aztec di El Salvador, tiada maklumat tentang lokasi tepat prasasti
tersebut dan juga tiada bukti fizikal mahupun fotografi dirakamkan.

Secara spesifik, Lesser (1983) iaitu seorang ahli sejarah dan arkeologi menyatakan
rumusan dan dapatan Barry Fell tentang prasasti yang kononnya membuktikan
‘Brendan of Clonfert’ (c. AD 484 – c. 577) dari Ireland telah sampai ke West Virginia,
Amerika Utara, pada abad ke-6 dalam bukunya ‘Saga America’ adalah pseudo-
saintifik dan tidak boleh dipercayai.

Berdasarkan dapatan yang sama, Oppenheimer dan Wirtz (1989) dalam mengkaji
‘Saga America’ merumuskan bahawa hipotesis Barry Fell tentang prasasti di West
Virginia tersebut adalah suatu “deliberate fraud” iaitu penipuan yang disengajakan.

Seterusnya, hipotesis Barry Fell ini juga bercanggah dengan garis masa penubuhan
Kesultanan Melayu Melaka itu sendiri. Melaka dirumuskan beliau sudah wujud
pada kurun ke-13, walhal sumber primer membuktikan bahawa ianya ditubuhkan
Parameswara pada awal kurun ke-15.

Manakala perkataan “Malaya” pula adalah suatu “exonym” iaitu perkataan nama
tempat yang berasal atau disebut oleh pihak luar, khususnya pihak Inggeris yang
tiba ke Semenanjung Tanah Melayu pada kurun ke-18. Semenanjung Tanah Melayu
dibawah kedatuan Srivijaya pada kurun ke-13 tidak mungkin disebut “Malaya” oleh
rakyatnya.

Kemungkinan besar Barry Fell ingin mereka-cipta individu seperti dalam catatan
Shih-pi iaitu pengembara semasa Dinasti Yuan / Mongol (1271–1368) yang pernah
mencatat kewujudan “Ha-ji-ka-ta-na-ka-la”.

W. George Maxwell (1909) merumuskan “Ha-ji-ka-ta-na-ka-la” adalah transliterasi
dari nama Haji Kadir Nakhoda.

Ha-ji-ka-ta-na-ka-la dari kepulauan Jawa dikatakan telah mengutus watikah yang
ditulis dalam dakwat emas kepada Maharaja Mongol sekitar 1292. Rumusan W.
George Maxwell ini adalah tidak tepat kerana Jawa (Singhasari) ketika itu diperintah
Sri Kertanegara yang beragama Hindu-Buddha. Jadi “Ha-ji-ka-ta-na-ka-la” mungkin
adalah transliterasi bagi nama Sri Kertanegara dan bukannya Haji Kadir Nakhoda.

Dengan itu, sama dengan dapatan prasasti West Virginia dalam ‘Saga America’,
rumusan Barry Fell tentang kewujudan pengembara bernama Khatib Melaka Haji
Mi Malaya di Amerika Tengah pada kurun ke-13 adalah dangkal dan juga
berkemungkinan hasil dari penipuan arkeologi yang disengajakan.

Sejarah tentang kemahiran pelayaran masyarakat Nusantara sememangnya kukuh
dan tidak perlu ditokok tambah dengan bukti-bukti yang tidak sahih dan menjurus
kepada penipuan.

RUJUKAN:

1. Feder, Kenneth L. (1984). “Irrationality and Popular Archaeology”. American
Antiquity, Vol. 49, No. 3, pp. 525-541.

2. Feder, Kenneth L. (1996). Frauds, Myths, and Mysteries: Science and
Pseudoscience in Archaeology. Mountain View: Mayfield. pp. 101–107.

3. Fell, Barry (1980). Saga America. Time Books, New York.
4. Hassan, Syed Ali (2018). Muslim Roots of America, Murray State University.
5. Kelley, D. H. (Spring 1990). “Proto-Tifinagh and Proto-Ogham in the Americas:

Review of Fell; Fell and Farley; Fell and Reinert; Johannessen, et al.; McGlone
and Leonard; Totten”. The Review of Archaeology.
6. Lesser, W. Hunter (1983). “Cult Archaeology Strikes Again: A Case for Pre-
Columbian Irishmen in the Mountain State?”
7. Maxwell W.G. (1909). Groeneveldt’s Notes on the Malay Archipelago and
Malacca. Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society. No. 52
(March, 1909), pp. 105-110.
8. Oppenheimer, Monroe; Wirtz, Willard (1989). “A Linguistic Analysis of Some
West Virginia Petroglyphs”

9. Williams, Stephen (1991). Fantastic Archaeology. Philadelphia: University of
Pennsylvania Press. pp. 264–273.

10. Yucel, Salih (2007). Islam & Muslims in America before Columbus, Fountain
Magazine.

5 FEBRUARY 2022 > 4 REJAB 1443H: 8.53 PM


Click to View FlipBook Version