The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

MIOR KARYA TERPILIH - KITA TAK SAMA TAPI SERUPA

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by MIOR DARUL RIDZUAN BIN KAMARUN ZAMAN Moe, 2020-11-30 20:05:51

MIOR KARYA TERPILIH - KITA TAK SAMA TAPI SERUPA

MIOR KARYA TERPILIH - KITA TAK SAMA TAPI SERUPA

INSTITUT AMINUDIN BAKI CAWANGAN UTARA
BANDAR DARUL AMAN , 06000 JITRA, KEDAH

KARYA TERPILIH

NAMA PESERTA
MIOR DARUL RIDZUAN BIN KAMARUN ZAMAN

NAMA PENYELIA
DR. ILHAM BINTI ISMAIL

KELAS / AMBILAN
SRUT 3 AMBILAN 1/2020

LOKASI KURSUS
IAB CAWANGAN UTARA

PENGENALAN

Syukur alhamdulillah dengan limpah dan rahmat-Nya dapat memberi ruang dan
peluang kepada saya untuk mengikuti kursus NPQEL (National Professional
Qualification for Educational Leaders) ambilan 1/2020 sehingga tamat. Pengalaman
bermakna sepanjang kursus akan saya garapkan dalam penulisan karya terpilih ini
sebagai satu wadah perkongsian bersama. Jika dibandingkan dengan kumpulan
peserta NPQEL terdahulu, mod kursus yang saya lalui amat berbeza sekali. Keadaan
ini berlaku kerana dunia dilanda Pademik Covid 19. Inilah yang dikatakan “kita tak
sama tapi serupa”. Tidak sama dari segi gaya pembelajaran tapi serupa dari segi
pengisian ilmu yang diterapkan di dalam mod pembelajaran maya (google meet).
Walaupun sekadar 6 hari bersama pensyarah-pensyarah Institut Aminudin Baki
Cawangan Utara, tetapi perkenalan sesingkat itu tidak menjadi penghalang kepada
pembelajaran saya. Tunjuk ajar daripada pensyarah penyelia (Dr. Ilham binti Ismail)
dan pensyarah kelas (Pn. Adz Jamros binti Jamali dan Dr. Rozita binti Abdullah) yang
sentiasa “up to date” terhadap aktiviti atau tugasan, membuatkan saya merasakan
sentiasa dibimbing secara profesional sebagai persediaan menjadi pemimpin sekolah
masa hadapan.

Penulisan karya terpilih ini juga, telah memberi ruang kepada saya dalam
membuat refleksi terhadap ilmu yang diperolehi semasa kursus. Antaranya, terdapat
empat domain yang telah saya pelajari iaitu berwawasan, menerajui perubahan,
mencemerlangkan organisasi dan keterampilan. Kesemua domain ini meliputi
sepuluh (10) kompetensi yang perlu dihadam oleh seorang pemimpin yang hebat.
Antaranya berfikiran strategik, membuat keputusan, memimpin perubahan,
menyelesaikan masalah, memimpin pembelajaran, membangun kapasiti, membina
jaringan dan jalinan, berkomunikasi berkesan, berkepimpinan dan berkeperibadian
tinggi. Domain-domain ini telah menyedarkan saya, sebagai seorang pemimpin
perlulah sentiasa peka tentang kepentingan pendidikan sepanjang hayat dalam
memartabatkan diri dan masa depan pendidikan negara.

Secara keseluruhannya bagi saya, kursus NPQEL ini memang sangat berimpak
tinggi dan bermakna yang wajib dilalui oleh bakal pemimpin sebagai persediaan
menerajui sesebuah organisasi. Sejajar dengan anjakan ke lima dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Negara (2013-2015) yang ingin memastikan pemimpin
berprestasi tinggi di setiap sekolah. Syukur alhamdulillah, modul kursus ini akan saya
jadikan sebagai kamus rujukan utama semasa memimpin kelak. Bersesuaian dengan
hasrat saya untuk menjadi pemimpin yang berkualiti dan berimpak tinggi bagi

2

merealisasikan visi dan misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Bak kata
orang, hadirnya dinanti hilangnya ditangisi. “Kita tak sama tapi serupa”.

PENGALAMAN LEPAS

Sejarah tidak mungkin akan berulang, tetapi rentetan sejarah itu memberi erti
yang besar dalam pengalaman hidup sebagai pemimpin sekolah kelak. Julai 2020
merupakan permulaan kerjaya saya sebagai pendidik di SK Tanjong Tokong, Pulau
Pinang. Pada tahun 2006 saya bertugas sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan 2 di
Pusat Kegiatan Guru Tanjung Bunga. Pada Januari 2010, saya dinaikkan pangkat ke
DG32 dan telah ditukarkan ke PKG Tasek Gelugor sebagai Ketua PKG . Disebabkan
gred DG41 tiada jawatan di PKG saya ditukarkan ke SK Bertam Indah (SKBI) pada
Oktober 2011 sebagai PK Kokurikulum. Pada Disember 2012 SKBI telah dinobatkan
sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Terdapat satu isu dalam bidang kokurikulum ialah dari aspek Key Performance Index
(KPI) berkenaan penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum di peringkat
kebangsaan dan antarabangsa yang mana menjadi kayu pengukur kepada kejayaan
sesebuah sekolah SBT. Pada mulanya, sukar dibayangkan untuk melibatkan murid di
peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Itulah pentingnya kepimpinan yang
mempunyai hala tuju yang ditonjolkan oleh Guru Besar ketika itu (Pn. Hajah
Halimatun Saadiah binti Said dan En. Ismail bin Awang). Mereka sentiasa berfikiran
positif dan memberi kepercayaan kepada saya dan pasukan untuk memikirkan cara
dan kaedah yang sesuai bagi mencapai KPI yang telah ditetapkan oleh Bahagian
Pengurusan Sekolah Kluster dan Kecemerlangan. Bagi mengatasi masalah ini, saya
bersama jawatankuasa telah menggalakkan murid untuk menyertai pertandingan
secara maya. Kami juga telah menganjurkan beberapa program yang melibatkan
pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Saya telah diberi peluang
membawa murid ke pertandingan Sudoku di peringkat antarabangsa di Brunei
Darussalam dan pernah menganjurkan pertandingan bola sepak peringkat
kebangsaan di SKBI dengan kerjasama Kelab Bola Sepak Bintang Biru Assumption.
Saban tahun KPI untuk kokurikulum menunjukkan peningkatan yang
memberansangkan. Usaha yang ditunjukkan ini tidak dipersiakan oleh Guru Besar,
pada tahun 2014 saya telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan
sekali lagi ketika sambutan hari guru tahun 2015 saya telah menerima Anugerah
Guru Inspirasi Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang.

3

November 2015 saya telah ditukarkan ke SK Kampong Selamat (SKKS) sebagai
PK Pentadbiran. kecemerlangan akademik perlu menjadi agenda utama saya. Isu
yang timbul ialah dari aspek kemenjadian murid. Saya bersama - sama barisan guru
yang komited telah menyelesaikan isu murid yang Tidak Melepasi Tahap Minimum
(TMTM) dalam subjek UPSR dengan melaksanakan program DaLCA (Duduk dan
Lihat Cara Anak) serta program KETAM (Kumpulan E, Target Akan Melepasi). Bagi
mengatasi masalah murid Tahap 1 yang tidak menguasai 3M (Membaca, menulis dan
mengira). Kami telah mengadakan Program Insan Terpilih (PIT). Alhamdulillah
semuanya mempunyai perubahan yang positif. Saya memegang prinsip setiap
amanah yang diberi harus dilakukan sehabis baik dan kepentingan hubungan
insaniah amat penting dalam merealisasikan pengurusan dan pentadbiran kita.

Sejak dari tahun 2014 lagi saya telah diberi galakkan oleh Guru Besar untuk
mengikuti kursus NPQEL. Memandangkan usia yang masih muda serta pengalaman
yang agak sedikit. Saya merasakan diri, masih tidak layak untuk memimpin sesebuah
organisasi. Tapi kini, berbekalkan pengalaman hampir 10 tahun sebagai Penolong
Kanan, serta atas sokongan rakan-rakan dan pegawai-pegawai PPDSPU saya
merasakan sudah tiba masanya untuk saya maju setapak lagi sebagai seorang
pemimpin sekolah. Akhirnya, saya telah mengambil keputusan mengisi borang
NPQEL seterusnya menghadiri temuduga lisan dan ujian kecergasan yang mana
telah melayakkan saya menyertai kursus NPQEL ambilan 1/2020 ini.

3 REFLEKSI DAN PERANCANGAN

Terdapat empat domain kompetensi di dalam NPQEL, berdasarkan 4 domain
tersebut saya akan mengulaskan tentang kompetensi Berfikiran Strategik di dalam
domain Berwawasan, kompetensi Menyelesai Masalah di dalam domain Menerajui
Perubahan, kompetensi Memimpin Pembelajaran dan Membangun Kapasiti di dalam
domain Mencemerlangkan Organisasi dan kompetensi Berkepemimpinan di dalam
domain Keterampilan.

3.1 Berfikiran Strategik

Pemimpin berwawasan adalah pemimpin yang mempunyai pemikiran strategik.
Pemimpin yang berfikiran strategik bermaksud keupayaannya berfikir secara kreatif,
inovatif dan futuristik bagi menentukan hala tuju organisasi berdasarkan jangkaan
persekitaran masa hadapan. Budaya pemikiran berstrategik ini telah diperkenalkan di
dalam tugasan pembentangan eksekutif 1 kepimpinan berwawasan. Melalui tugasan

4

ini, saya telah diberi pendedahan bagaimana cara membuat analisis persekitaran,
analisis SWOT, tulang ikan ishikawa dan matrik rangking dalam pemilihan isu yang
menjadi keutamaan dalam menentukan hala tuju. Alat-alat ini banyak membantu saya
dalam mencari isu, punca isu, merancang strategi dan seterusnya membina
intervensi.

Seorang pemimpin yang hebat atau berfikiran futuristik perlu berani menetapkan
jangkaan masa hadapan dengan membuat perancangan atau menetapkan sasaran
dengan penyediaan perancangan strategik yang dibincang bersama barisan
pentadbir (SLT) dan barisan pemimpin pertengahan (MLT). Domain berfikiran
strategik ini saya telah aplikasikan semasa sesi Perantisan 2 di sekolah sendiri
(SKKS). Pada mulanya, saya dengan bantuan barisan SLT dan MLT perlu
mengenalpasti isu persekitaran, analisis SWOT dan matrik rangking bagi
menentukan strategi dan merancang intervensi dalam menetapkan hala tuju program
yang ingin dilaksanakan. Di sini saya telah menetapkan hala tuju program iaitu ingin
menjadikan SKKS sebagai sebuah sekolah model pembelajaran koperatif di
peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara (PPDSPU) pada masa
akan datang.

Elemen kreativiti juga harus diterapkan sebagai pemimpin yang mana
kemampuan untuk mencipta sesuatu yang unik, asli, berguna, bernilai dan berkait
rapat dengan kemahiran membuat dan imaginasi. Dengan menggunakan kreativiti di
samping tambahan daripada unsur futuristik saya dapat menilai kembali hasil yang
telah dibuat supaya hala tuju pada masa hadapan dapat dihasilkan. Saya telah
mengaplikasikan elemen ICT dalam merekodkan pemantauan yang boleh diakses
dan sebagai data “driven” bagi memudahkan saya membuat analisis terhadap
dapatan pemantauan program yang dilaksanakan. Ringkasnya, berfikiran strategik
adalah keupayaan untuk menjana pilihan dalam membuat jangkaan pada masa
hadapan.

Dengan kreativiti yang ada, bersama SLT dan MLT saya telah menyediakan
pelan tindakan untuk menyelesaikan isu yang berlaku. Unsur inovatif juga dapat
digunakan untuk bagi membentuk pasukan saya dengan kemampuan yang ada bagi
menyelesaikan isu-isu tersebut. Sebagai contohnya dengan penggunaan Diamond
Nine, unsur kreatif dan inovatif dapat diserapkan melalui teknik sumbangsaran dalam
mencari isu utama yang berlaku dan perlu diberi keutamaan untuk diselesaikan.

Tidak semua warga guru dapat menerima perubahan ini terutama guru-guru
yang sudah selesa dengan cara dan kaedah lama. Bagi menyampaikan hala tuju

5

sekolah sudah semestinya ada suara-suara protes yang tidak berpuas hati dengan
kehendak Guru Besar. Ketidakpuasan ini kerana mereka tidak memahami dan tidak
dapat menterjemahkan hala tuju tersebut di dalam tugas mereka dan menganggap ia
adalah satu bebanan yang perlu dipikul. Guru-guru yang tiada pendedahan
berkenaaan cara menganalisis persekitaran, membuat analisis SWOT , penggunaan
Pelan Intervensi Transformasi Sekolah (PInTaS) dan One Page Project Manager
(OPPM) menjadi satu tekanan bagi mereka .

Saya akan merangka 3 pembangunan organisasi yang boleh dilaksanakan pada
masa hadapan antaranya :

i. Memperkasakan barisan SLT dan MLT dengan memantapkan
pemahaman mereka mengenai cara menetapkan hala tuju yang mana perlu melalui
beberapa proses sebelum dikongsikan bersama seluruh warga sekolah dan
pemegang taruh lain.

ii. Membudayakan pengunaan data dalam membincangkan sesuatu isu.
Saya akan memperkasakan penggunaan google form di kalangan semua guru dalam
memperolehi data secara maya yang boleh diakses dengan kadar segera. Bagi
memantapkan pengurusan data ini saya akan mengadakan bengkel ringkas
mengenai cara memperolehi data menggunakan google form.

iii. Pendedahan mengenai pembinaan PInTas dan OPPM yang mana
biasanya telah didedahkan kepada sekolah-sekolah TS25. Walaupun begitu sebagai
persediaan menghadapi TS25 difikirkan pendedahan ini sangat berguna kepada
guru-guru dalam merancang pelan operasi dan pelan intervensi. Ini akan menjadikan
perancangan lebih bersistematik dan terancang.

Kesimpulannya, pemimpin sekolah perlu menguasai, memahami, boleh
menyampaikan dan menterjemahkan matlamat hala tuju misi dan visi secara jelas.

3.2 Menyelesaikan masalah

Mengikut definisi kamus kompetensi, menyelesaikan masalah ialah keupayaan
membuat pilihan yang relevan dan mempunyai justifikasi berasaskan maklumat
dengan mempertimbangkan pelbagai aspek dan alternatif. Di dalam kursus ini melalui
tugasan pembentangan saya telah diperkenalkan dengan peringkat proses berfikir
yang diperkenalkan oleh Chang dan Kelly (1993). Terdapat 6 peringkat dalam
menyelesaikan masalah (memahami masalah, analisis punca masalah, kenalpasti

6

penyelesaian yang mungkin, memilih penyelesaian terbaik, membina pelan tindakan
dan melaksanakan penilaian serta menilai kemajuan).

Menyelesaikan masalah merupakan kemahiran yang penting kepada pemimpin
sekolah dan semua warga pendidik dalam usaha menambah baik sekolah. Setiap
pemimpin perlu membimbing guru-guru di bawah seliaanya supaya bukan sahaja
berkebolehan menggunakan alat dan teknik serta cara-cara untuk menyelesaikan
masalah, bahkan perlu juga menanam kesedaran tentang bagaimana proses
penyelesaian masalah mampu meningkatkan kualiti peribadi mereka seterusnya
membangunkan sekolah secara berterusan. Melalui penyelesaian masalah, seorang
pemimpin dapat melakukan analisis jurang antara situasi semasa dengan matlamat
yang hendak dicapai. Setelah mengenalpasti punca dan membuat pilihan yang
terbaik melalui alat dan teknik yang tertentu bagi menentukan skor bagi setiap idea
yang dikemukakan dan memilih idea dengan skor yang paling terbaik.

Melalui kompetensi ini juga saya diberi pendedahan oleh pensyarah berkaitan
penggunaan alat dalam penyelesaian masalah. Saya didedahkan dengan cara untuk
mengenal pasti punca sebenar masalah dan simptom. Saya dapat membezakan
antara punca sebenar masalah dan simptom dan saya faham bahawa sesuatu
tindakan terhadap simptom akan menyebabkan masalah akan berulang. Analisis
punca masalah adalah pendekatan sistematik bagi menentukan punca sebenar suatu
masalah. Saya juga telah diperkenalkan dengan alat-alat penyelesaian masalah
seperti Enam Topi Pemikiran, Diamond Nine dan Matrik Keputusan. Alat-alat tersebut
telah diaplikasikan oleh saya dalam menyiapkan bahan perbentangan untuk
Pembentangan Eksekutif. Bagi mengaplikasikan kompetensi ini semestinya ada
cabaran yang perlu ditempuhi. Antara cabarannya ialah penggunaan alat yang terhad
dalam membuat analisis. Ini kerana faktor masa dan pengetahuan guru untuk
menggunakan alat yang sesuai.

Melalui kompetensi ini, saya akan merangka 3 pembangunan organisasi yang
boleh dilaksanakan pada masa hadapan antaranya :

i. Membudayakan kepada warga sekolah dalam menganalisis data
untuk menentukan punca masalah sebelum merancang intervensi-intervensi yang
bersesuaian. Guru-guru perlu dilatih untuk menilai kembali kekuatan dan kelemahan
intervensi yang telah diadakan agar ia dapat dijadikan persediaan pada masa
hadapan.

7

Ii. Menggalakkan PLC dikalangan guru untuk menggunakan alat/teknik seperti
Matrik keputusan, rajah tulang ikan, diamond nine, 6 topi pemikiran, 5W 1H, 5 Whys,
dan lain-lain yang perlu diaplikasikan semasa membuat keputusan dan
menyelesaikan masalah.

Iii, Mengadakan bengkel motivasi kepada semua guru mengenai cara
menyelesaikan masalah secara profesional.

Kesimpulannya, kompetensi ini telah memperkenalkan kepada saya
model-model yang boleh digunakan dan diamalkan dalam menyelesaikan isu-isu
yang berlaku di sekolah.

3.3 Memimpin Pembelajaran

Memimpin pembelajaran dari aspek kompetensi bermaksud keupayaan
membuat pilihan yang relevan dan mempunyai justifikasi berasaskan maklumat
dengan mempertimbangkan pelbagai aspek dan alternatif. PGB adalah seorang
pemimpin pembelajaran dalam menjalankan penyeliaan dan penilaian, menyelaras
kurikulum dan memantau kemajuan murid.

Secara umumnya memimpin pembelajaran berkait rapat dengan kepimpinan
instruksional yang merupakan amalan seorang pemimpin sekolah yang mengambil
berat dan prihatin terhadap pengajaran guru dan pembelajaran murid serta
perkembangannya dan sentiasa mengambil tahu serta membina iklim pembelajaran
yang kondusif di sekolahnya. Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti di dalam buku
Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) telah mengeluarkan garis panduan
kepada pemimpin sekolah dalam melaksanakan tugas. Antaranya ialah menjadi
rujukan berkaitan teori pembelajaran, pedagogi dan memimpin pelaksanaan
pengajaran secara berkesan di samping menyebarkan amalan terbaik pengajaran
dan pembelajaran kepada gurunya di peringkat sekolah. Pada masa yang sama,
pemimpin sekolah perlu melakukan pencerapan pengajaran dan pembelajaran
semua guru dan menggunakan maklum balas pencerapan untuk meningkatkan kualiti
pengajaran dan pembelajaran selain daripada mewujudkan suasana pembelajaran
yang kondusif bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran yang berkesan untuk
meningkat pencapaian akademik dan sahsiah murid. Ringkasnya, memimpin

8

pembelajaran ialah keupayaan untuk menerajui pelaksanaan kurikulum dan
mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menggalakkan budaya belajar.

Melalui kompetensi ini saya lebih memahami peranan dan tanggungjawab
sebagai pemimpin sekolah. Saya perlu mempamerkan diri saya sebagai pemimpin
instruksional yang boleh menjadi rujukan, memberi bimbingan dan membuat
penyeliaan kepada guru-guru saya. Bagi mencapai ke peringkat tersebut saya perlu
menguasai ilmu-ilmu pedagogi dan pengurusan serta dapat menentukan matlamat
dan ketetapan yang jelas, tepat dan berfokus mengenai pelaksanaan kurikulum
sekolah. Saya telah didedahkan dengan kemahiran kepimpinan yang perlu dikuasai
oleh pemimpin sekolah antaranya kemahiran merancang, mengelola, memimpin dan
mengawal kurikulum yang mana ia perlu diaplikasikan.

Setelah melalui pelbagai fasa kursus, bermula dengan eNPQEL sehinggalah ke
fasa Perantisan 2, kompetensi ini telah memperkenalkan kepada saya beberapa
kerangka memimpin pembelajaran yang boleh dipratikkan kelak. Antara model yang saya
perolehi seperti kerangka Kepimpinan Instruksional Hallinger & Murphy (1985), kerangka
ini telah membantu saya dalam menerajui pelaksanaan kurikulum di peringkat sekolah.

Melalui kompetensi ini, saya akan merangka 3 pembangunan organisasi yang
boleh dilaksanakan pada masa hadapan antaranya:

i. Menggalakkan penyediaan bahan bantu belajar berbentuk digital di
kalangan guru. Guru yang berjaya menyiapkan bahan perlu dikongsi ke google form
yang disediakan oleh saya dan mereka akan mendapat sijil penghargaan untuk
didaftarkan dalam SPLKPM.

ii. Untuk mengekalkan penglibatan aktif murid dalam PdPc. Saya telah
mengadakan bengkel “Google Meet” Pembelajaran koperatif yang mana guru-guru
perlu aplikasikan elemen pembelajaran koperatif dalam sesi Pdpc mereka.

iii. Mewujudkan susana pembelajaran yang kondusif. Bagi menarik minat
murid hadir ke sekolah, saya akan memastikan iklim sekolah perlu diubahsuai agar
menjadi lebih kondusif di samping pembelajaran guru perlu lebih bermakna dan
menyeronokkan.

Kesimpulannya, kompetensi ini telah mendedahkan kepada saya bagaimana
untuk memahami tugas, melengkapkan diri dengan ilmu, melaksanakan tindakan
penyeliaan dan bimbingan, mengadakan pembangunan profesional serta
mempelbagaikan sumber pembelajaran dan mewujudkan hubungan yang baik

9

dengan pemegang taruh serta PIBG dan sektor koperat bagi memastikan
murid-murid memperolehi pengajaran yang bersifat holistik.

3.4 Membangun Kapasiti

Di dalam tugasan pembentangan eksekutif 4 yang berfokus kepada
membangun kapasiti, di mana kompetensi ini menekankan tentang pemimpin yang
berkeupayaan menyelia dan membangunkan kapasiti orang bawahannya bagi
meningkatkan kemahiran dalam melaksanakan tugasan sejajar dengan hala tuju
organisasi. Pada asasnya melalui stimulus yang diberikan dalam tugasan
pembentangan eksekutif 4, saya belajar cara menyediakan perancangan yang
bersesuaian menggunakan proses pengurusan program iaitu bermula dengan
membuat kajian keperluan, mereka bentuk program latihan, pelaksanaan, penilaian
dan tindakan susulan di samping menggunakan proses PDCA iaitu “Plan, Do, Check
dan Action”. Tugasan yang diberikan, banyak memberi pendedahan kepada saya
untuk menghadapi isu-isu berkaitan dengan guru dan intervensi-intervensi yang perlu
dilaksanakan bagi menangani isu tersebut. Setiap intervensi yang dirancang
hendaklah berlandaskan kepada data analisis keperluan dan analisis jurang.

Saya telah menggunakan sumber rujukan utama yang terdapat di dalam
e-resos serta khidmat bimbingan oleh pensyarah penyelia untuk merancang dan
memilih program intervensi berdasarkan kepada analisis keperluan yang telah dibuat
bagi melaksana program intervensi supaya lebih berstruktur dan berfokus.
Kompetensi guru harus dibangunkan sesuai dengan hala tuju sekolah.

Kebiasaannya, usaha untuk membangunkan kapasiti guru ini pada awalnya
sering akan menghadapi tentangan dan cabaran. Saya sedar, tidak semua warga
guru dapat menerima perubahan yang hendak dibuat dengan hati yang terbuka.
Walau bagaimanapun, cabaran ini perlu dilalui dan dihadapi dengan bijaksana, ilmiah
dan penuh berhemah supaya ia tidak memberi kesan calar kepada organisasi dan
murid-murid.

Melalui kompetensi ini, saya akan merangka 3 pembangunan organisasi yang
boleh dilaksanakan pada masa hadapan antaranya :

i. Saya akan memperkasakan Profesional Learning Comunity (PLC) di
kalangan guru. Menggalakkan guru-guru merekodkan pelaksanaan PLC dalam
google form dan SPLKPM . Perbincangan berkenaan isu dalam PLC akan dibawa ke
dalam dialog prestasi yang akan diadakan sekurang-kurang sebulan sekali.

10

ii. Mewujudkan “buddy” sistem dikalangan guru atau mentor mentee di
kalangan guru yang berpengalaman atau berpengetahuan. Melalui sistem ini
perkongsian ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat akan berlaku.

Iii. Memberi ruang dan peluang kepada pembangunan individu, dengan
menyediakan dan menghebahkan sebarang aktiviti yang melibatkan pembangunan
organisasi yang meliputi pembangunan sumber manusia, pembelajaran sepanjang
hayat dan pembelajaran sepasukan .

Secara keseluruhannya, melalui kompetensi ini saya sedar pentingnya peranan
pemimpin sekolah dalam membangun kapasiti guru sejajar dengan keperluan
semasa dan hala tuju sekolah.

3.5 Berkomunikasi Berkesan

Berkomunikasi berkesan iaitu berkeupayaan mendengar, menyampaikan idea
dengan lancar dan meyakinkan secara lisan dan/atau bertulis serta boleh menerima
pandangan orang lain. Pemimpin seperti ini harus mempunyai interpersonal dan
intrapersonal yang baik. Dalam tempoh pembelajaran ini, saya serta rakan-rakan lain
telah mengadakan pembentangan secara online (Google meet). Saya dapat rasakan
seperti satu latihan pembentangan yang akan saya sampaikan kepada pemegang
taruh kelak di mana beberapa aspek dinilai termasuklah idea, kelancaran dan
berkeperibadian tinggi. Pengalaman menyediakan powerpoint dan pembentangan
secara lisan ini memberi keyakinan kepada saya untuk menyampaikan idea dan hala
tuju yang secara jelas kepada warga sekolah atau pemegang taruh sekiranya diberi
peluang untuk memimpin sekolah. Disamping itu pemimpin juga seharusnya
mengetahui cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah, bersosialisasi yang tinggi
dan pengkongsian idea bersama.

Saya sedar kemahiran dwi bahasa sangat penting dalam komunikasi berkesan.
Adalah satu kelebihan kepada seseorang pemimpin yang mempunyai kemahiran dwi
bahasa. Cabaran yang saya hadapi semasa kursus ini ialah sewaktu membuat teks dan
membuat pembentangan menggunakan laras bahasa Inggeris dalam aktivti Lawatan
Penandaarasan Institusi Swasta (LPIS). Walau bagaimanapun dengan kemahiran
berkomunikasi yang baik, saya sedia dibantu oleh Ketua Panitia Bahasa Inggeris sekolah
saya dalam menterjemahkan semula teks daripada bahasa Melayu kepada bahasa
Inggeris. Cabaran seterusnya, apabila sesi pembentangan dan soal jawab dalam bahasa

11

Inggeris, memang tidak dinafikan terasa gementar untuk membentang dan menjawab
dalam bahasa Inggeris. Atas keyakinan diri, saya mampu melakukannya dengan sehabis
baik.

Bukan senang untuk mengadakan jalinan pintar koperat, sekiranya kita tidak
mempunyai hubungan yang baik ataupun mempunyai kepentingan bersama. Pemimpin
seharusnya pandai mencari ruang dan peluang untuk berkomunikasi secara berkesan
untuk mengadakan program jaringan dan jalinan. Melalui kemahiran yang diperolehi
dalam elemen komunikasi berkesan ini, saya telah berjaya mengadakan hubungan
jalinan pintar koperat bersama McDonalds Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang
semasa melaksanakan program Perantisan 2. Saya yakin, pemimpin yang mempunyai
kemahiran komunikasi dengan mudah mampu menguruskan organisasi dengan baik di
samping menjalinkan hubungan dengan pihak luar. Selaras dengan anjakan 9 dalam
PPPM 2013-2025 iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara
meluas. Pastinya sama-sama akan menyokong kepada sistem pembelajaran dan
seterusnya memacu kecemerlangan sesebuah sekolah.

Melalui kompetensi ini, saya akan merangka 3 pembangunan organisasi yang
boleh dilaksanakan pada masa hadapan antaranya :

i. Saya akan mengadakan bengkel komunikasi berkesan di kalangan
guru dengan menjemput motivator luar sebagai penceramah.

ii. Saya akan mewujudkan kumpulan ‘Think Tanks’ dikalangan guru, bagi
membincangkan atau berkongsi idea serta memperkasakan Program Imersif Tinggi
(HIP) di kalangan guru dan semua warga sekolah dengan menetapkan setiap hari
Selasa adalah “English Day”.

iii. Menekankan konsep kerja sepakat membawa berkat, ini bermakna setiap
perkara yang dilaksanakan perlulah dibuat secara bersama tanpa mengira pangkat,
jantina dan usia bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Kesimpulannya, pemimpin yang mempunyai kompetensi berkomunikasi
berkesan mampu untuk merubah segalanya. Tetapi keadaan ini akan berlaku
sebaliknya sekiranya hanya pandai berkomunikasi tetapi tidak dikotakan. Bak kata
orang ‘cakap tak serupa bikin’ maka akan pincanglah sesebuah organisasi.

12

4 RUMUSAN
Kesimpulannya, saya dapati pihak IAB telah mengambil peluang dalam situasi

semasa iaitu mengaplikasikan secara maksimum anjakan ke 7 Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 (memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti
pembelajaran) peserta NPQEL. Tindakan proaktif ini memberi keyakinan kepada
saya bahawa setiap cabaran mesti ada jalan penyelesaiannya. Secara jujurnya,
kursus NPQEL ini telah memberi impak yang besar kepada anjakan paradigma saya
sebagai seorang pemimpin di sekolah. Saya bertambah yakin dalam memimpin dan
menguruskan organisasi dengan baik. Walaupun sibuk dengan tugasan hakiki, saya
telah belajar tentang pembahagian masa yang perlu dirancang dengan baik. Saya
yakin setiap peserta kursus mempunyai cita-cita sebagai pemimpin sekolah.
Sememangnya “kita sama, tapi tak serupa”. Cara kepimpinan, idea, dan pelaksanaan
juga mungkin berbeza tetapi kita mempunyai hasrat yang sama iaitu untuk
merealisasikan visi dan misi serta hala tuju sekolah ke arah kecemerlangan.

Saya akhiri penulisan ini dengan serangkap pantun, dedikasi khas kepada
semua pensyarah IAB Cawangan Utara yang begitu komited menaburkan ilmu
kepada semua peserta kursus NPQEL.

Tersergam indah IAB Utara,
Mengajar ilmu kepimpinan dan pengurusan,
Walaupun di sana hanya sementara,
Ilmu manfaat akan saya aplikasikan.

13

RUJUKAN
Abdul Ghaffar Mahmud (2010). Mencetus Kegemilangan Melalui Kepimpinan

Cemerlang. Prosiding Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan
Pendidikan ke-17 2010. Genting Highlands: IAB
Ayob Jantan. (2018). PAK21 Mentransformasikan Kepimpinan Berprestasi Tinggi.
Majlis Guru Besar Sekolah Malaysia: Bahagian Sekolah Harian Putrajaya
Institut Aminuddin Baki (2016). Program Kelayakan Profesional Pemimpin
Pendidikan Kebangsaan. Dasar dan Hala Tuju.
Institut Aminuddin Baki (2018). Kamus Kompetensi Program Kelayakan Profesional
Pemimpin Pendidikan Kebangsaan. Bandar Enstek: IAB
Institut Aminuddin Baki. (2018). Modul 2 Menerajui Perubahan, e-NPQEL 2018.
Institut Aminuddin, Kementerian Pendidikan Malaysia.
https://www.academia.edu/35634112/_Pelan_Pembangunan_Pendidikan_Malaysia_
2015_2025_Pendidikan_Tinggi_

14


Click to View FlipBook Version