KARANGAN CONTOH (BAHAGIAN A)
Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang adab murid kepada
guru. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
memberi ucap selamat mematuhi arahan memberikan tumpuan
ketika belajar
Topik (dominan) : adab
Fokus (persoalan) : Bagaimanakah adab murid kepada guru?
Tunjang : murid, guru, cara-cara
(Binaan)Adab bermaksud perilaku, perbuatan, kesantunan, moral, sopan santun dan
kesusilaan. (Binaan)Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorak adab anak-anak sejak
merah tapak kaki agar mereka membesar menjadi insan yang disenangi ramai. (Tokoh)Menurut
Menteri Pendidikan yakni Dr. Maszlee Malik, adab murid-murid sekolah harus disemai
semenjak di bangku sekolah kerana mereka bakal menjadi modal insan yang mampu memacu
keharmonian negara. (Sejarah)Sebelum negara merdeka lagi, kesopanan masyarakat terdahulu
tidak pernah dipertikai kerana adat orang Melayu amat menitikberatkan tatasusila dan sentiasa
berbuat baik sesama jiran. (Semasa)Kini, adab dalam kalangan masyarakat kita mulai
longgar akibat lebih mementingkan diri sendiri, tidak menghormati guru, suka mencaci
pemimpin, menghina agama lain, dan melakukan gejala negatif sehingga menconteng arang
ke muka keluarga terutama golongan murid yang tidak pandai membezakan intan dan kaca.
(Persoalan)Sebelum kudis menjadi tokak, bagaimanakah adab murid kepada guru di sekolah
pula?
Pada hemat saya, seseorang murid tidak terkecuali daripada wajib memberi ucap
selamat tatkala hari pertama menginjak kaki ke sekolah. Adab atau tingkah laku positif ini
mula diperkenalkan kepada murid seawal alam tadika lagi. Guru-guru yang memasuki kelas
akan meminta semua murid berdiri tegak dan mengajar mereka cara untuk menyahut ucapan
seperti menyambut salam, mengucapkan selamat sejahtera, selamat pagi, selamat tengah hari,
dan banyak lagi ucapan lain yang memulukkan deria pendengaran. Tingkah laku ini adalah
wajib diulangi setiap hari persekolahan sehinggalah murid-murid terbiasa dengan ucap selamat
itu bukan sahaja di sekolah, malah di luar sekolah. Para guru yang mendengar ucap selamat
daripada mulut anak muridnya tentu berasa sejuk hati, bangga dan bersemangat tinggi untuk
mengajar mereka. Situasi ini lazim berlaku di dalam kelas, semasa perhimpunan dan di mana-
mana sahaja sudut sekolah ketika murid itu berada. Persis kata orang tua-tua, bahasa
melambangkan keperibadian seseorang. Sudah terang lagi bersuluh, adab murid-murid
kepada guru mereka adalah maha penting waima sekadar memberi ucap selamat dalam alam
persekolahan.
Seperkara lagi, pematuhan terhadap arahan guru-guru juga merupakan sebahagian
daripada adab murid yang wajib diamalkan di sekolah. Antara arahan yang sering diutarakan
oleh golongan pendidik ialah mengkehendaki murid-murid menyiapkan latihan di dalam kelas
mahupun di rumah. Murid-murid yang akur akan arahan guru pasti akan menyiapkan kerja
1
rumah itu untuk dihantar pada keesokan hari. Jika tidak, denda pasti akan menyusuli. Mematuhi
arahan lain seperti tidak membuat bising, tidak membuang sampah di merata-rata tempat, tidak
membuli murid lain, dan tidak tuang kelas juga amat dititikberatkan oleh pihak pentadbir
sekolah. Murid-murid yang mengingkari arahan sekolah itu akan dikenakan hukuman seperti
diberi demerit, mencuci tandas sekolah, dan sebagainya. Tujuan pematuhan terhadap arahan
tersebut sudah pasti untuk mendisiplinkan murid-murid agar menjadi warganegara yang
disegani suatu hari nanti. Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa adab murid
kepada guru yang melibatkan kepatuhan arahan sudah tidak dapat dikesampingkan umpama
isi dengan kuku.
Memberikan tumpuan ketika belajar juga merupakan adab murid kepada guru-guru
sekolah. Murid-murid sudah pasti tidak dibenarkan untuk bersembang kosong ketika
pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Hal ini kerana murid-murid yang suka
bersembang kosong tentu tidak akan memperoleh ilmu ketika gurunya sedang mengajar di
hadapan kelas. Kebaikan utama murid memberikan tumpuan ketika belajar di dalam kelas
supaya ilmu yang dicurahkan oleh guru itu tidak bagai masuk telinga kanan, keluar telinga
kiri. Murid-murid yang panjang akal tentu berazam untuk memperoleh keputusan peperiksaan
yang membanggakan diri sendiri dan keluarga. Sedar akan peri penting adab ini kepada guru,
imej sesebuah kelas juga terletak di atas pundak murid-murid. Murid-murid yang selalu
memberikan tumpuan ketika belajar ternyata akan memperoleh keputusan peperiksaan yang
memberangsangkan. Malahan, nama kelas tersebut akan disebut-sebut sebagai kelas contoh.
Izharnya, adab memberikan tumpuan ketika belajar tidak boleh dipinggiri demi kebaikan
murid-murid sekolah.
Sebagai pengitlakan, semua murid mestilah menjaga perilaku masing-masing
terhadap guru dengan memberi ucap selamat, mematuhi arahan guru, dan memberikan
tumpuan ketika belajar. Sehubungan dengan topik ini, pihak ibu bapa dan penjaga haruslah
memastikan agar anak-anak mereka lebih beradab terhadap guru-guru kerana gurulah
umpama ibu bapa kedua murid berkenaan di sekolah. Dengan keizinan Tuhan yang Maha
Penyayang, semoga semua murid tahu akan kepentingan mengamalkan adab terhadap guru
mereka agar mendapat keberkatan daripada-Nya.
Nukilan asli:
En. Eric Ting Ngee Kwang
Ketua Jabatan Umum,
Kolej Vokasional Kuching.
2