Integriti Setiap Wakil
Rakyat Atau Pemimpin
Maksud integriti
NTEGRITI adalah kewibawaan. Integriti juga boleh ditakrifkan sebagai keutuhan.
Sebenarnya integriti itu adalah keseluruhan pembawaan kita dari segi peribadi, akhlak,
tutur kata dan sopan santun.
Integriti berasal daripada bahasa Inggeris yang lebih kurang maknanya berpegang teguh
kepada prinsip kejujuran serta mempunyai prinsip moral yang tinggi.
Secara kasarnya integriti seseorang itu adalah manifestasi keperibadian dan tingkah lakunya setelah mengharungi
dan mengalami proses pendidikan, pelajaran dan sosialisasi. Oleh itu, peranan keluarga, sistem persekolahan dan
keadaan sekeliling boleh mempengaruhi integriti seseorang. Secara kasar juga integriti tidak boleh dikuatkuasakan
menerusi undang-undang.
Walau bagaimanapun sistem perundangan dan peraturan-peraturan dan pentadbiran boleh membentuk
peribadi seseorang juga dengan memastikan tindak-tanduk mereka adalah selaras dengan norma-norma
masyarakat dan tidak melampaui batasan tertentu khususnya yang bersabit dengan kepentingan orang awam.
Sebagai contohnya etika kita memandu kereta boleh juga dipengaruhi dengan pematuhan kepada undang-
undang jalan raya dan syarat-syarat pemanduan yang baik.
Usaha meningkatkan integriti perlu juga meliputi usaha memupuk budaya yang baik dan etika yang positif dalam
segala bidang termasuk pekerjaan, perniagaan, penulisan, sukan dan sebagainya.
Integriti memerlukan kita mematuhi undang-undang negara dan syarat-syaratnya, dan menghormati sistem dan
tatacara yang diwujudkan oleh institusi ataupun badan ikhtisas serta mengamalkan etika yang positif dalam
kegiatan kita setiap hari yang dipupuk secara amnya oleh masyarakat ataupun dari sesebuah badan sukarela
(NGO) yang tertentu.
Integriti juga boleh dikaitkan dengan sesebuah institusi, misalnya integriti institusi itu akan ditakrifkan sebagai sejauh
mana kenyataan visi dan misi serta tadbir urusnya dan etika-etika tertentu diwujudkan dan diamalkan oleh setiap
ahli institusi itu tidak kira sama ada ia merupakan satu badan sukarela, satu badan korporat mahupun jabatan
kerajaan.