KISAH MAYA DAN HARIMAU PUTIH NURUL NABILAH MOHD NOR@BMD
Di sebuah pulau terpencil yang dikelilingi oleh hutan lebat, tinggal seorang kanak-kanak perempuan bernama Maya. Maya adalah seorang anak kampung yang ceria dan bersemangat. Setiap hari, dia suka menjelajah hutan di sekitar pulau dan menikmati keindahan alam. 1
Pada suatu pagi, ketika Maya meneroka di hutan, dia terdengar suatu tangisan yang lemah. Dengan pantas, dia mengikuti bunyi itu dan terkejut apabila melihat terdapat seekor anak harimau betina putih yang cedera dan kesakitan. Maya segera menghampirinya dengan berani. Dia berasa kasihan melihat keadaan harimau kecil itu. "Kasihannya kamu. Jangan takut, aku akan membantumu. Mari, biar aku bawa kau pulang dan merawat luka-lukamu, " kata Maya dengan lembutnya kepada anak harimau itu. 2
Anak harimau itu hanya mendesis lemah, memberi tanda bahawa dia dalam kesakitan. Maya menyangkakan bahawa harimau putih itu adalah seekor kucing, mungkin kerana bulunya yang lembut dan comel. Tanpa berfikir panjang, dia memutuskan untuk membawa pulang harimau kecil itu dan menjaganya dengan penuh kasih sayang. 3
Maya membawa anak harimau itu pulang ke rumahnya dan merawatnya dengan penuh kasih sayang. Dia memberi makan, minum, dan merawat luka-lukanya. Anak harimau itu, yang Maya beri nama Salju kerana bulunya yang putih bersih seperti salji, cepat sembuh di bawah penjagaan Maya. 4
Selama berbulan-bulan Maya menjaga Salju dengan penuh kasih sayang. Mereka menjadi sangat rapat, seperti kawan sejati. Salju tumbuh menjadi harimau yang kuat dan setia kepada Maya. Walaupun dia tahu Salju sebenarnya seekor harimau, Maya tetap melayannya seperti kucing kesayangannya. 5
Pada suatu hari, Maya membawa Salju ke dalam hutan untuk memburu dan meneroka hidupan liar yang terdapat di pulau itu. Maya menunggang badan Salju yang besar itu sambil mengelus lembut bulunya. Mereka berdua berjalan-jalan sambil menikmati keindahan alam. “Lihat di sana Salju, cantikya bunga-bunga itu. Mari kita ke sana, ” Maya menunjukkan jarinya ke arah taman bunga. 6
Salju, si harimau putih, mengangkat kepalanya, memandang ke arah yang ditunjukkan oleh gadis kecil itu. Mata besar harimau itu bersinar-sinar, seolah-olah turut terpesona dengan keindahan bunga yang berwarna-warni tersebut. Mereka berdua melangkah perlahan-lahan melalui rumput hijau ke arah taman bunga itu sambil bernyanyi dengan riangnya. “La la la la, Bunga-bunga yang indah, La la la la, Bunga berkembang mekar, Maya suka bunga, Warnanya cantik sekali, Ambil satu bunga, Wangi harumnya bunga ” “La la la la, Bunga-bunga yang indah, La la la la, Bunga berkembang mekar, Salju suka bunga, Bunga-bunga ceria, Merah, biru, kuning. Wah, banyaknya warna bunga. - Irama lagu Mandi oleh Didi & Friends 7
Setibanya di taman bunga, gadis itu melalui di celah-celah bunga sambil menghirup bau harum yang bunga itu keluarkan. Salju duduk sambil memerhatikan gadis kecil itu dengan pandangan yang penuh kasih sayang. "Kamu suka bunga ni, Salju?" tanya gadis itu sambil memetik bunga dan menghampiri Salju. Salju menghidu bau bunga itu, kemudian menganggukkan kepalanya perlahan. 8
Gadis kecil itu ketawa kecil. Kegembiraannya bergema melalui pepohonan dan bunga-bunga. “Mari kita bawa pulang bunga-bunga ini untuk menghiasi rumah pokok kita, ” katanya sambil mengumpulkan beberapa bunga yang paling cantik untuk dibawa pulang. 9
Tiba-tiba, Salju menghidu sesuatu dan berlari laju masuk ke dalam hutan ke arah bau itu. Maya terkejut melihat Salju berhenti di hadapan seekor harimau jantan yang berwarna oren sedang terperangkap di dalam jerat pemburu. Harimau jantan itu adalah raja hutan di kampung Maya. Dia adalah harimau yang gagah dan perkasa, tetapi sekarang kelihatan lemah dan kesakitan dalam jerat pemburu. "Oh tidak, itu Awang! haiwan terkuat di hutan kita! Kita kena tolong dia Salju, " seru Maya dengan panik. 10
Awang kelihatan sangat lemah. Matanya memancarkan harapan dan ketakutan apabila melihat Salju dan Maya menghampirinya. Maya berasa sedih apabila melihat riak wajah ketakutan harimau oren itu. Dia faham bahawa harimau itu mungkin takut dengan kehadiran mereka. 11
Apabila harimau oren itu mengaum dengan kuat, mahu mereka menjauh, Maya mengangkat tangannya perlahan-lahan, cuba untuk menenangkannya. "Kami tidak akan menyakiti kamu. Kami hanya ingin membantu kamu bebas daripada jerat itu, " kata Maya. Maya terus bersuara dengan suara yang lembut dan tenang, cuba untuk membina kepercayaan dengan harimau oren itu. Salju yang berlutut di sebelah Maya turut mengangguk setuju. Dia tahu bahawa mereka perlu bekerjasama untuk membebaskan harimau oren itu daripada jerat pemburu dengan segera. 12
13 Apabila Maya melihat ketakutan Awang sudah mulai reda, dengan bantuan Salju, Maya dengan berhati-hati mendekati jerat pemburu yang berbahaya itu. Dia cuba untuk membebaskan Awang. Walaupun tindakannya itu agak berisiko, Maya tetap tidak berputus asa. Salju turut membantu dengan memeriksa sekeliling kawasan jerat untuk memastikan tiada kelibat pemburu yang menghampiri. Maya memeriksa setiap simpulan yang mengikat tubuh Awang. Dia cuba meleraikan simpulan itu dengan berhati-hati agar tidak menambahkan kesakitan pada tubuh Awang yang dipenuhi oleh luka-luka kecil. Dia mengambil pisau lipat di dalam poketnya yang sentiasa dibawanya kemana-mana sahaja. Walaupun sukar, Maya tetap tidak berputus asa mencari cara untuk membuka simpulan jerat tersebut.
14
15 Sementara Maya menumpukan usahanya untuk melepaskan Awang, Salju tetap berjaga-jaga dan bersedia untuk memberikan isyarat jika terdapat sebarang bahaya yang menghampiri mereka. Setelah beberapa usaha yang gigih, Maya akhirnya berhasil membebaskan Awang daripada jerat pemburu tersebut. Awang kelihatan sangat lemah dan tidak berdaya untuk bergerak, tetapi Maya tidak menyerah atau meninggalkannya di situ. Dengan bantuan Salju, Maya membawa Awang pulang ke rumahnya.
Maya telah merawat Awang dengan penuh kesabaran dan ketekunan. Dia menggunakan segala pengetahuan yang dimilikinya tentang perubatan tradisional yang diajarkan oleh nenek moyangnya untuk merawat luka-luka pada tubuh Awang. Akhirnya, Awang sembuh sepenuhnya. Dia melihat Maya dan Salju sebagai penyelamatnya, dan kini mereka bertiga menjadi teman yang tidak dapat dipisahkan. 16
Sejak itu, hubungan antara manusia, harimau, dan hidupan liar di kampung Maya menjadi lebih kuat. Maya belajar untuk menghormati dan melindungi semua makhluk hidup di sekitarnya, sementara Salju dan Awang pula menjadi simbol perdamaian dan persahabatan di hutan yang luas itu. Cerita tentang keberanian Maya dan persahabatan yang tidak tergoyah antara manusia dan binatang menjadi lagenda di kampung itu, diceritakan dari generasi ke generasi. 17
18
-TAMAT-