KANSER
E-PAMERAN SEMASA
FEBRUARI 2022
UNIT RUJUKAN DAN
MULTIMEDIA PERPUSTAKAAN
AWAM KULIM
DISEDIAKAN OLEH:
SITI MARIAM BINTI DIN
Apa itu kanser?
• Barah adalah sejenis penyakit yang
berkaitan dengan ketidak seimbangan
replikasi dan tindak balas sel dalam
badan. Biasanya, sel ini akan bertambah
(replikasi) mengikut aturannya bagi
membolehkan tumbesaran badan dan
pemulihan selepas berlakunya
kecederaan. Namun ada kalanya sel ini
bertambah secara tidak normal
menyebabkan berlakunya ketumbuhan
tidak normal atau juga dikenali sebagai
tumor.
• Tumor boleh dikategorikan sebagai
bukan barah (benign) ataupun barah
(malignant). Tumor bukan barah tidak
merebak ke bahagian tubuh badan atau
organ yang lain. Barah pula terdiri
daripada sel-sel barah yang sekiranya
tidak dirawat boleh merebak ke
bahagian tubuh badan yang lain. Sel
barah boleh merebak ke organ yang lain
menyebabkan komplikasi sistemik.
Komplikasi dan kehilangan fungsi multi
organ akan menyebabkan kematian.
• Apabila sel ini sampai ke bahagian tubuh
badan yang lain, ketumbuhan baru boleh
terjadi di organ tersebut. Keadaan
barah merebak ini adalah dikenali
sebagai barah sekunder atau
metastasis. Perkataan barah juga boleh
digunakan dalam keadaan pertambahan
sel yang tidak normal tetapi tidak
diikuti dengan ketumbuhan atau tumor.
Ini adalah seperti yang berlaku dalam
penyakit yang melibatkan sel penghasilan
darah iaitu penyakit leukimia.
RAWATAN BARAH
Rawatan barah adalah bergantung kepada jenis
barah, bahagian anggota tubuh yang dihidapi
barah dan juga sekiranya barah telah merebak.
Malah faktor jenis rawatan barah ini juga
dipengaruhi oleh umur pesakit. Kebanyakkan
barah dirawat secara pembedahan, radioterapi
(terapi sinar-X) atau kemoterapi. Satu atau
lebih cara mungkin digunakan dalam merawat
pesakit yang menghidapi barah.
APA ITU KEMOTERAPI?
• Kemoterapi adalah ubat-ubat yang digunakan
untuk merawat barah dengan cara membunuh sel
barah. Ubat kemoterapi ini berfungsi dengan
cara menghalang sel barah daripada terus
membahagi dan bertambah. Sel barah tersebut
akhirnya rosak dan mati. Memandangkan ubat
tersebut disuntik ke dalam darah, ubat tersebut
juga boleh membunuh sel barah di bahagian
tubuh yang lain.
• Ubat kemoterapi yang berlainan mempunyai
kesan yang berbeza terhadap sel barah. Oleh
yang demikian gabungan beberapa ubat mungkin
digunakan untuk memberi kesan rawatan yang
terbaik. Namun begitu, ubat kemoterapi ini
turut memberi kesan kepada sel-sel badan yang
normal dan ini menyebabkan beberapa kesan
sampingan terjadi. Berbeza dengan sel barah,
sel yang normal boleh bertambah dengan kadar
segera menyebabkan kesan sampingan yang
berlaku hanyalah bersifat sementara. Malah
kesan sampingan ini akan hilang sebaik sahaja
rawatan kemoterapi tamat.
• Pada kebanyakan keadaan, beberapa ubat
kemoterapi diberikan serentak kepada pesakit.
Hanya dalam kes-kes tertentu, sejenis ubat
kemoterapi sahaja yang digunakan dalam
rawatan.
MENGAPA RAWATAN
KEMOTERAPI DIBERIKAN?
• Tujuan rawatan kemoterapi adalah untuk
menyembuhkan, mengawal penyakit barah atau
mengurangkan gejala penyakit barah.
• Tempoh rawatan dan kekerapan rawatan
adalah bergantung kepada jenis barah dan
ubat yang digunakan. Secara amnya, rawatan
kemoterapi diberikan dalam tempoh enam
hingga 12 bulan walaupun adakalanya ianya
boleh diberikan dalam tempoh yang lebih
singkat atau lebih panjang. Individu adalah
digalakkan untuk berbincang dengan doktor
yang merawat.
BAGAIMANA KEMOTERAPI
DILAKUKAN?
• Ubat kemoterapi mestilah memasuki salur darah
untuk sampai ke sel barah dalam tubuh badan.
Ubat kemoterapi memasuki salur darah dengan
segera sekiranya ia disuntik ke dalam salur darah.
Sekiranya diberikan secara kaedah lain, ubat
tersebut mestilah menyerap masuk ke dalam salur
darah (contoh: ubat kemoterapi dalam bentuk biji
yang dimakan dan diserap melalui dinding perut
atau usus).
• Ubat kemoterapi ini akan berada dalam sistem
peredaran darah dan boleh memasuki serta
memusnahkan sel-sel tertentu. Sel yang
dipengaruhi oleh ubat kemoterapi adalah sel-sel
yang bertambah dengan kadar segera seperti sel
barah. Kadar kemusnahan sel barah adalah
berbeza dan ianya bergantung kepada jenis barah
itu sendiri.
• Sel tubuh normal yang bertambah cepat juga boleh
terganggu oleh kesan ubat kemoterapi tetapi sel-sel
normal tersebut berkeupayaan untuk pulih dan
bertambah semula berbanding sel barah.
• Tempoh rehat di antara dua rawatan dapat memberi
peluang kepada sel-sel yang normal pulih sebelum tiba
masa rawatan yang selanjutnya.
• Doktor yang merawat pesakit barah akan mengambil
kira beberapa faktor dalam membuat perancangan
rawatan kemoterapi kepada pesakit. Antara faktor
penting tersebut adalah jenis barah, bahagian
anggota tubuh yang dihidapi barah dan juga sekiranya
barah telah merebak. Faktor lain yang perlu diambil
kira adalah umur pesakit dan tahap kesihatan pesakit
secara umumnya. Ini bermakna setiap pesakit
berkemungkinan mendapat rawatan kemoterapi yang
berbeza.
• Kekerapan rawatan kemoterapi dan tempoh
rawatan adalah bergantung kepada jenis barah,
ubatan yang diberikan, tindakbalas sel barah
terhadap ubat dan kesan sampingan ubatan.
• Kemoterapi biasanya diberikan dalam beberapa
tahap. Tempoh bagi setiap tahap rawatan
mengambil masa beberapa jam hingga kepada
beberapa hari bergantung kepada ubatan yang
diberikan. Setiap tahap rawatan itu akan diikuti
dengan tempoh rehat untuk beberapa minggu bagi
membolehkan tubuh badan pulih daripada kesan
sampingan rawatan. Jumlah keseluruhan tahap
rawatan bergantung kepada tindak balas barah
terhadap rawatan. Rawatan kemoterapi mungkin
mengambil masa beberapa bulan untuk merawat
penyakit barah. Bagi sesetengah pesakit pula,
mereka dikehendaki memakan ubat kemoterapi
untuk beberapa minggu atau bulan sebelum
diberikan tempoh rehat.
Pesakit mungkin diperlukan untuk menjalani
ujian darah, sinar-X atau berjumpa dengan
doktor sebelum diberikan rawatan kemoterapi
dan ini sememangnya mengambil masa. Kesemua
ubatan kemoterapi disediakan dengan cara
tertentu dan pesakit mungkin perlu menunggu
seketika sebelum memperolehi ubatan tersebut
daripada Jabatan Farmasi hospital. Bagi
membantu pesakit mengisi masa menunggu,
mereka disarankan untuk membaca buku, surat
khabar, melakukan silang kata atau menulis
surat.
PERUBAHAN DALAM PELAN
RAWATAN
Doktor yang merawat pesakit barah akan sentiasa
melakukan pemeriksaan bagi memastikan tindakbalas
barah terhadap rawatan kemoterapi. Bagi tujuan ini,
pesakit diperlukan untuk menjalani ujian darah,
sinar-X dan ujian imbasan. Hasil daripada ujian-
ujian ini akan menunjukkan tahap tindakbalas barah
terhadap rawatan kemoterapi. Kadangkala pelan
rawatan perlu diubah berdasarkan keputusan ujian
kerana ada masanya rawatan yang diberikan tidak
memberi sebarang kesan seperti yang dikehendaki.
Sekiranya pesakit mendapat kesan sampingan seperti
rasa loya, ubat penahan muntah akan dibekalkan.
Pesakit digalakkan untuk mengambil ubat penahan
muntah sebelum mendapatkan rawatan kemoterapi
yang berikutnya. Tanya doktor, jururawat atau ahli
farmasi bagaimana anda perlu mengambil ubat yang
ditetapkan.
MASALAH USUS
• Sesetengah pesakit mungkin menghadapi
masalah seperti sembelit atau cirit-birit
(setelah diberikan rawatan kemoterapi).
Mereka ini digalakkan untuk meminum lebih air
bagi mengatasi masalah ini.
• Sembelit boleh dielakkan sekiranya pesakit
mengambil makanan berserat tinggi seperti
roti gandum dan pasta , bijirin, buah-buahan
dan sayur-sayuran.
• Bagi mengatasi masalah cirit-birit pula, pesakit
dinasihatkan mengambil makanan dalam jumlah yang
sedikit secara kerap berbanding memakan makanan
dalam jumlah yang banyak. Ambil makanan yang
bersuhu suam atau sedikit sejuk berbanding
makanan yang panas atau telalu sejuk. Elak
makanan yang pedas, makanan berserat yang
kasar, makanan berlemak atau yang digoreng,
berkuah atau bersos, sosej dan buah-buahan atau
sayuran yang mentah, berkulit atau berbiji. Makan
makanan snek yang bersesuaian seperti sup, roti
bakar, biskut, keju atau nasi. Apabila cirit-birit
telah sembuh, penting bagi pesakit untuk
mengambil makanan yang seimbang meliputi buah-
buahan segar, sayuran dan bijirin.
• Pesakit perlu melaporkan masalah sembelit, cirit-
birit atau sakit perut kepada doktor yang
merawat.
MASALAH MULUT
• Ubat anti-barah juga boleh memberi kesan
kepada lapisan dalam mulut dan adakalanya
menyebabkan luka / ulser atau jangkitan mulut.
Penjagaan kebersihan mulut adalah penting bagi
semua pesakit yang mendapat rawatan
kemoterapi. Pesakit digalakkan menggosok gigi
dua kali sehari dengan menggunakan berus gigi
yang lembut. Pesakit mungkin dibekalkan dengan
ubat kumuran bagi mengelakkan jangkitan mulut
seperti jangkitan kulat.
Pesakit tidak digalakkan mengguna ubat kumur
komersil tanpa merujuk dengan doktor terlebih
dahulu kerana ianya berkemungkinan merengsa
lapisan dinding mulut. Penggunaan sesudu garam
dalam segelas air suam juga boleh digunakan
bagi tujuan yang serupa.
• Jika mulut anda kering, banyakkan mengambil
cecair, terutamanya air dan makanlah makanan
lembut seperti kaserol. Makan juga buah-
buahan masam atau gula-gula berangin.
Bincangkan masalah pergigian anda dengan
doktor. Maklumkan dahulu kepada doktor gigi
anda yang sedang menjalani rawatan kemoterapi
sebelum menjalani rawatan pergigian.
RAMBUT GUGUR
• Keguguran rambut adalah disebabkan kesan sampingan
sementara ubat pada rambut. Walaupun begitu tidak
semua ubat kemoterapi menyebabkan keguguran
rambut. Tahap keguguran rambut adalah bergantung
kepada individu dan jenis ubat yang diberikan.
Rambut baru akan tumbuh dalam tempoh dua hingga
tiga minggu selepas rawatan kemoterapi diberikan.
• Selain daripada keguguran rambut, pesakit juga
mungkin kehilangan bulu pada bahagian anggota badan
yang lain. Sekiranya pesakit dijangkakan akan
menghadapi masalah keguguran rambut, penggunaan
rambut palsu, topi atau skaf mungkin dapat
membantu. Elakkan kulit kepala terdedah kepada
sinar matahari atau keadaan sejuk yang melampau.
Pesakit hendaklah menjaga kebersihan rambut dan
kulit kepala. Sekiranya bulu mata turut gugur,
gunakan kaca mata untuk melindungi mata. Pada hari
yang berangin, anda perlu memastikan rambut dan
kulit sangat bersih.
• Rawatan bagi barah boleh mengubah persepsi pesakit
terhadap dirinya dan hubungan dengan orang lain.
Sesetengah pesakit menganggap barah tidak memberi
apa-apa perubahan tetapi bagi sebahagian yang lain
ia membuatkan hubungan dengan pasangan lebih
rapat. Pesakit juga adakalanya mempunyai kurang
minat dalam hubungan intim atau hubungan intim tidak
penting lagi buatnya untuk sementara waktu.
• Kesan sampingan kemoterapi seperti loya atau
keletihan juga menjadi penyebab pesakit kurang
berminat mengadakan hubungan seksual dengan
pasangan. Malah perubahan fizikal badan
menyebabkan pesakit merasakan dirinya kurang
menarik di mata pasangan mereka. Adakalanya
pesakit lelaki mempunyai masalah mati pucuk manakala
bagi pesakit wanita mereka adakalanya mengadu
mempunyai masalah faraj yang kering. Penggunaan KY
Jelly sebagai pelincir boleh membantu dalam masalah
kekeringan faraj. Sungguhpun begitu masalah ini
hanyalah bersifat sementara dan ia biasanya pulih
setelah rawatan tamat.
• Sekiranya pesakit merasakan terdapat perubahan
dalam hubungan intim, adalah digalakkan
berbincang dengan pasangannya. Pasangan mungkin
tidak menimbulkan hal tersebut berikutan
kebimbangannya membuatkan pesakit berasa
bersalah atau membuat permintaan yang melampau
dalam keadaan pesakit yang tidak sihat.
Perbincangan yang terbuka antara pesakit dan
pasangan boleh membantu menyakinkan perasaan
pesakit akan keperluan berkasih-sayang dan
memerlukan pasangan.
• Walaupun pesakit mungkin tidak berminat dengan
hubungan seksual, terdapat banyak cara untuk
memastikan keintiman berterusan. Bersentuhan,
berpelukan, bercium adalah antara aktiviti intim
yang boleh dilakukan bersama sementara pesakit
pulih secara perlahan untuk membolehkan hubungan
seksual dilakukan seperti kebiasaan.
KESUBURAN
• Kemoterapi boleh memberi kesan sementara atau
kekal kepada kesuburan pesakit. Pesakit wanita
mungkin menghadapi kitar haid yang tidak teratur
atau putus haid tetapi keadaan ini hanyalah
bersifat sementara. Walaupun kebarangkalian
untuk mengandung menurun berikutan rawatan
kemoterapi, masih ada pesakit wanita yang hamil
setelah tamat rawatan.
• Bagi pesakit lelaki, rawatan kemoterapi boleh
mengurangkan jumlah penghasilan sperma. Bilangan
sperma dalam air mani boleh berkurang dalam
jumlah yang sedikit atau dalam keadaan yang
ekstrem – tiada penghasilan sperma. Kesan
sampingan ini boleh bersifat sementara atau kekal.
Sesetengah pesakit membuat keputusan untuk
menyimpan sperma sekiranya ia diperlukan untuk
kegunaan persenyawaan luar rahim kelak.
MERANCANG KELUARGA
• Walaupun kadar kesuburan berkurangan
berikutan rawatan kemoterapi, proses
kehamilan masih boleh berlaku. Memandangkan
kemoterapi boleh memberi kesan kepada telur
(ova) dan sperma maka kehamilan tanpa
dirancang adalah tidak digalakkan baik bagi
pesakit wanita, pesakit lelaki atau pasangan.
Maka kaedah cegah hamil yang sesuai perlu
digunapakai. Sekiranya kehamilan berlaku,
pesakit perlu berbincang dengan doktor
secepat mungkin.
• Pil perancang keluarga / cegah hamil mungkin
diberikan kepada pesakit wanita muda bukan
sahaja bertujuan untuk mencegah kehamilan
tetapi juga untuk melindungi ovari daripada
kesan sampingan ubat kemoterapi.
SUMBER RUJUKAN
http://www.myhealth.gov.my/apa-itu-kanser/