TRAGEDI
KEPALA AIR
E-PAMERAN SEMASA
SEPTEMBER 2021
UNIT RUJUKAN DAN MULTIMEDIA
PERPUSTAKAAN AWAM KULIM
DISEDIAKAN OLEH :
SITI MARIAM BINTI DIN
PERPUSTAKAAN AWAM KULIM
KEPALA AIR
Kepala air atau sumber sungai bermaksud gelombang aliran
air mengejut dalam kuantiti yang besar mengalir dari hulu
sungai atau air terjun ke sungai utama. Lazimnya, ia berpunca
daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai.
Aliran air ini boleh terjadi apabila berlaku hujan yang sangat lebat
dan ianya berupaya membawa segala macam kelodak, batu dan
kayu balak. Selain itu, ia akan merempuh apa sahaja halangan di
hadapannya. Fenomena ini berlaku di seluruh dunia dan
kadangkala meragut banyak nyawa.
Tanda-tanda awal kejadian kepala air antaranya:
• Keadaan langit yang gelap di bahagian hulu
sungai (kawasan puncak bukit) disertai dengan
bunyi guruh yang kuat.
• Bunyi dentuman gerakan batu-batan atau air
dari hulu sungai.
• Air sungai berbuih dan meningkat secara tiba-
tiba (kelodak, daun reput atau ranting kayu
muncul dengan banyak di permukaan air).
• Siren amaran berbunyi (di sesetengah tempat
sahaja, seperti di kawasan Air Terjun Sekayu).
Punca atau sumber kepala air:
1.Hujan dihulu sungai dengan kadar luar biasa, akibat
daripada itu itu akar pokok tidak dapat memainkan peranan
menahan air untuk diserap kedalam tanah maka ia terus
melimpah dan masuk kesungai dengan banyak.
2.Berlaku tanah runtuh akibat pembalakan atau semulajadi,
pokok-pokok yang dipotong dibiarkan atau runtuhan
semulajadi menumbangkan pokok dan ini akan menghasilkan
empagan-empagan kecil yang menakung air. Kesannya, jika
ia tidak dapat menahan tekanan untuk menakung air ia akan
pecah dan berlakulah limpahan air yang besar.
3.Hujan dikawasan tanah tinggi (gunung)lebih dari kebiasaan,
walaupun akar pokok memperlahankan proses air mengalir
kesungai namun jika hujan berlaku lebat dan lama, maka air
akan melimpah masuk kesungai dengan kadar yang banyak
dan laju.
4.Jika berlaku empangan pecah dan gempa bumi (jarang
berlaku).
PUNCA TRAGEDI KEPALA AIR DI GUNUNG
JERAI, YAN, KEDAH
Tragedi di puncak Gunung Jerai, Kedah yang meragut
empat nyawa kelmarin berlaku disebabkan fenomena
dipanggil aliran debris atau aliran puing.
Pakar geobencana, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo
berkata, ia hampir sama dengan bencana di Pos Dipang,
Perak pada 1996 yang memusnahkan kampung Orang Asli
dan mengorbankan 44 orang.
“Hujan yang sangat lebat di bahagian hulu sungai atau
lembangan menyebabkan kejadian tanah runtuh. Bahan
runtuhan mengempang alur sungai membuatkan paras air
naik secara mendadak dan air yang penuh dengan lodak
(kotoran tanah pasir) meluru turun ke bawah.
“Dalam aliran turun, ia akan menghakis tebing sungai
membawa bersama kayu kayan dan bongkah batuan.
Gerakan air yang banyak bersama kayu kayan dan
bongkah batuan itu dikenali sebagai aliran debris yang telah
mengorbankan banyak jiwa,” katanya ketika dihubungi
Kosmo! semalam.
Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi
Profesor Malaysia itu berkata, aliran debris
mempunyai kuasa pemusnah sangat tinggi yang
mendorong bongkah dan kayu kayan diendapkan di
kaki bukit, sementara air terus mengalir di dataran
rendah menyebabkan banjir kilat.
Seterusnya, bahan runtuhan akan berkumpul di alur
sungai membentuk ’empangan sementara’
menyebabkan air sungai di hulu naik dengan
mendadak dan akibat tekanan air, empangan
sementara akan pecah, menyebabkan air dengan
isipadu besar meluru ke bawah dan fenomena ini
dipanggil ‘kepala air’.
“Kepala air berbeza dengan aliran debris. Kepala air
biasanya berlaku apabila hujan terlampau lebat di hulu
sungai dan aliran laju pada peringkat awalnya dikenali
sebagai kepala air.
“Kepala air kurang berbahaya berbanding dengan aliran
debris kerana ia mungkin hanya membahayakan mereka
yang berada di dalam alur sungai, tetapi tidak di tebing
sungai,” jelasnya.
Menurutnya, persoalan sama ada aliran debris boleh
berlaku di lokasi sama pada masa hadapan bergantung
kepada ciri morfologi dan kestabilan cerun dengan
ulangan kejadian seumpama itu di setiap lembangan
dianggarkan antara 30 hingga 50 tahun sekali.
Beliau berkata, cara terbaik untuk mengetahui risiko aliran
debris adalah dengan membuat pemetaan dan
pemantauan berkala di lokasi-lokasi berpotensi berlaku
fenomena alam tersebut.
“Peristiwa bencana seperti ini agak lumrah di Jepun dan
Indonesia dan mereka telah melakukan banyak langkah
mitigasi di sungai berisiko tinggi dan kita boleh mengambil
pengajaran daripada kedua-dua negara ini,” jelasnya.
Lokasi kawasan kejadian limpahan air besar dari puncak
Gunung Jerai, kelmarin.
Katanya, apabila curahan hujan melampaui keupayaan alur
sungai untuk mengalirkannya, air sungai akan naik hingga
melimpah di tebing sungai manakala dalam situasi khas,
hujan lebat menyebabkan terjadi tanah runtuh di kawasan
hulu.
PANDANGAN MENGENAI
KEJADIAN KEPALA AIR DI
GUNUNG JERAI
Negara kita dikejutkan dengan kejadian banjir kilat dan
fenomena kepala air yang berlaku di Kedah. Antara
kawasan yang terjejas teruk adalah Hutan Simpan
Gunung Jerai.
Sejak itu, ramai warganet yang membuat spekulasi
bahawa wujud aktiviti pembalakan atau kuari di sana.
Namun kerajaan negeri dalam kenyataan mereka
menafikan semua tuduhan tersebut.
Terbaharu, Ahmad Zulqurnain Ghazalli, seorang P. Geol
(Professional Geologist) dan pengarah urusan di
Geoventure Solution Sdn Bhd telah memberi pandangan
beliau mengenai kejadian alam yang terjadi di Kedah
baru-baru ini.
Berikut adalah tulisan beliau mengenai banjir kilat dan
fenomena kepala air yang berlaku di Hutan Simpan
Gunung Jerai:
Tertarik untuk saya cuba menghadami sudut geologi
kawasan berlakunya tragedi Gunung Jerai semalam. Saya
kira sebagai seorang ahli geologi profesional mungkin saya
mampu memberi sedikit input kepada masyarakat.
1. Secara umumnya batuan di Gunung Jerai terdiri daripada
Batuan Granite dan Formasi Jerai. Formasi Jerai ini terdiri
daripada batu syis dan kuartzit.
2. Sekarang kita lihat kepada geomorfologi kawasan (Rujuk
gambar 1). Terdapat morfologi (bentuk muka bumi) di
kawasan itu yang menunjukkan ianya merupakan kawasan
Old Dormant Landslide.
Bahasa melayunya adalah “Tanah runtuh pendam-lama”.
Tanah runtuh yang berlaku lama dahulu cuma kita dah tak
nampak dengan jelas kerana dilitupi pokok dan tumbuhan.
Untuk kawasan ini hasil-hasil desk study sahabat saya P. Geol
GS Hairil Azwan di gambar 3 menunjukkan morfologi yang lebih
jelas.
3. Sebenarnya bukan pertama kali Old Dormant Landslide
menjadi antara punca berlakunya bencana di Malaysia.
Umpamanya kes tanah runtuh di Amber Court, Genting
Highland. Hasil kajian lapangan pasukan geologist kami di
Geoventure Solution Sdn Bhd menujukkan Old Dormant
Landslide turut menjadi faktor penyebab tanah runtuh selain
daripada faktor-faktor lain.
4. Ramai juga yang tidak tahu sebenarnya banyak lagi lokasi Old
Dormant Landslide di Malaysia. Bahkan seminggu sebelum mentor
saya, arwah Prof Tajul Anuar Jamaluddin pergi menghadap ilahi.
Sempat kami rancak merancang cadangan kajian berkenaan Old
Dormant Landslide ini.
Di saat bencana geologi sebegini berlaku, pastinya ulasan dari
arwah sangat dirindui. Al-Fatihah buat beliau.
5. Kembali kepada Gunung Jerai. Menarik apabila saya semak
nota kuliah Prof. Madya Dr. Kamal Roslan Mohamed (UKM) yang
menunjukkan di dalam peta semenangnya telah dinyatakan akan
kewujudan tanah runtuh di kawasan tragedi (rujuk gambar 2). Yang
warna kuning itu merupakan tanah runtuh yang telah dicerap
dahulu. Ternyata tanah runtuh ini telah dikesan awal oleh pengkaji
terdahulu.
6. Jadi secara asasnya. Kawasan ni sememangnya tidak stabil
dari sudut geologinya.
7. Namun pastinya ada faktor pencetus berlakunya kejadian ini.
Terlalu ramai yang telah berkongsi di laman sosial. Ianya kerana
intensiti hujan turun mencurah-curah pada 18hb Ogos 2021 yang
luar dari kebiasaan. (Rujuk gambar 4).
8. Ianya tiada kaitan dengan pembalakan. Elevation di kawasan
yang dikatakan itu adalah 120m dari aras laut. Elevation puncak
Old Dormant Landslide itu pula adalah 623m dari aras laut. Mana
mungkin air naik ke atas bang. Posisi pun berbeza sisi dan lokasi
yang jauh. (Rujuk gambar 1).
9. Namun semestinya kajian lebih menyeluruh perlu dilakukan
oleh pihak berautoriti. Saya yakin pihak berwajib telah
memulakan langkah kajian. Cuma desk study ini sekadar hasil
kajian melalui imej satelit dan pembacaan saya.
10. Akhir sekali saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada
seluruh mangsa. Moga Allah SWT menjadikan asbab ujian ini
untuk mengangkat martabat kita orang beriman.
GAMBAR KESAN DARIPADA
TRAGEDI KEPALA AIR DI GUNUNG
JERAI, YAN, KEDAH
Sumber rujukan
https://ms.wikipedia.org/wiki
/Gunung_Jerai
www.bharian.com.my/renca
na/komentar/2021/08/85723
3/tragedi-kepala-air-
gunung-jerai-serlah-
semangat-kekitaan
https://www.thevocket.com/
tiada-kaitan-dengan-
pembalakan-tragedi-
gunung-jerai-dari-sudut-
pandang-ahli-geologi/
https://www.kosmo.com.my/
2021/08/20/kuasa-
pemusnah-tinggi-fenomena-
aliran-debris/