INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS BAHASA MELAYU
59990 LEMBAH PANTAI, KUALA LUMPUR
PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN
(AMBILAN JUN 2021 SEMESTER 2)
BMMB 1144
KESANTUNAN BERBAHASA
DISEDIAKAN OLEH:
NAMA NUR AISHAH BINTI RASID
NO. KAD PENGENALAN 030807-03-0348
ANGKA GILIRAN 2021192310143
KUMPULAN
PPISMP H6 AMBILAN 2021
TAJUK TUGASAN PENGHASILAN PRODUK
NAMA PENSYARAH ZANARIAH BINTI HAMID
TARIKH HANTAR 3 APRIL 2021
TARIKH TERIMA MAKLUM BALAS
Di sebuah kawasan perkampungan, tinggal seorang pemuda yang bernama
Aril. Kerjanya sehari-hari adalah memburu binatang di dalam hutan. Kebiasaanya
dia akan masuk ke hutan pada waktu pagi dan pulang pada petang hari. Jika
nasibnya untung, maka pulanglah Aril ke rumah dengan membawa hasil seperti
ayam hutan, arnab mahupun kancil. Pada suatu hari, Aril seperti biasa ingin menuju
ke hutan untuk mencari rezeki. Dia membawa alatan untuk memburu berserta
dengan sedikit bekalan makanan untuk dibuat alas perut ketika di dalam hutan nanti.
Setelah hampir empat jam berlalu, dia masih tidak dapat menangkap apa-
apa. Penat merayau di dalam hutan, Aril kemudiannya membuat keputusan untuk
berhenti beristirahat sebentar. Sedang dia mencari tempat yang sesuai untuk
berehat, tiba-tiba dia terserempak dengan seekor harimau yang terperangkap di
bawah serawan jaring. Harimau itu kelihatan lemah, tidak bergerak. Terkejut dengan
apa yang dilihatnya, Aril cuba melarikan diri, namun kakinya tidak mampu
digerakkan.
Sedar akan kewujudan manusia di sekitarnya, harimau itu mula berkata,
"Wahai manusia, aku tahu hati kau mulia. Maka bukakanlah jaring ini dari badanku".
Mendengar harimau itu bercakap, membuatkan Aril semakin gugup. Hampir sahaja
dia pengsan di situ, sebelum Sang Harimau itu menyambung lagi katanya, "Aku tahu
kau takut melihat aku. Tapi apakah kau rasa aku akan membaham kau sekiranya
kau melepaskan aku dengan keadaan aku sebegini, yang sudah tidak berdaya
begini?".
Melihat Aril yang masih lagi terkaku, tidak bergerak, Sang Harimau
menyambung lagi, "Beginilah, sekiranya kau melepaskanku, aku berjanji akan
membantu kau. Ungkap saja apa yang kau mahu, akan aku tunaikan”. Setelah diam
beberapa seketika, Aril akhirnya membuka mulutnya. "Aku mahu kau menolong aku
memburu setiap hari. Itu permintaanku", ujar Aril.
Sang Harimau kemudiannya bersetuju dan mengarahkan Aril segera
membuka jaring berkenaan sebelum pemburu tiba. Selesai membuka jaring
tersebut, Aril dan Sang Harimau segera melarikan diri dari tempat berkenaan.
Setelah berlari agak jauh, mereka pun berhenti. Dalam keadaan takut-takut, Aril
bertanya kepada Sang Harimau adakah dia boleh mempercayai Pak Belang itu.
Sang Harimau tenang menjawab bahawa dia tidak akan sesekali memungkiri
janjinya.
Sejak hari itu, Aril memburu bersama-sama Sang Harimau. Setiap pagi, dia
akan masuk ke hutan untuk memburu bersama Pak Belang itu dan hasil buruan itu
dibahagikan sama rata antara mereka. Aktiviti pemburuan mereka bertambah
seronok kerana hasil tangkapan mereka semakin meningkat.
"Wah tidak pernah aku sangka, bahawa memburu dengan seeokor harimau
akan membawa tuah kepadaku. Hasil tangkapan buruanku semakin meningkat dari
hari ke hari. Terima kasih wahai harimau", ucap Aril setelah berjaya menangkap dua
ekor kancil pada suatu hari. "Sama-sama. Tetapi aku juga harus mengucapkan
terima kasih kepadamu kerana telah menolong melepaskanku tempoh hari dan juga
kerana sudi mempelawa aku memburu bersamamu", balas Sang Harimau. "Jikalau
begitu, mahukah kau bersahabat denganku? Dengan cara ini, kita akan saling
berjanji untuk menjaga antara satu sama lain", ujar Aril . "Iya, sudah tentu!
Semestinya aku mahu. Inilah kali pertama aku bersahabat dengan manusia, dan
siapa sangka kau telah banyak membantuku", kata Sang Harimau teruja. Bermula
dari detik itulah, Aril dan Sang Harimau mula bersahabat. Mereka sangat gembira
dan seronok memburu.
Aril dan sahabat harimaunya itu setiap hari akan berjumpa di tepi tasik
sebelum pergi memburu pada setiap pagi. Di situlah tempat biasa mereka
bersarapan dan berehat. Aril selalunya akan membawa sedikit bekalan makanan
kepada Sang Harimau. Aril berasa seperti satu tanggungjawab baginya untuk
memberi Sang Harimau makan setiap hari. Kadang kala Aril sanggup memberi
semua hasil tangkapan buruan mereka bersama kepada Sang Harimau. Kasih
sayang Aril terhadap sahabatnya amatlah besar sehingga Aril menganggap Sang
Harimau sebagai ahli keluarganya sendiri.
Tibalah suatu hari apabila Aril tidak masuk ke hutan kerana demam. Namun
Sang Harimau di hutan tidaklah tahu akan keadaan Aril ketika itu. Sang Harimau
setia menunggu Aril selama beberapa hari di tepi tasik. Setelah lima hari tiada
khabar berita dari sahabatnya itu, Sang Harimau membuat keputusan untuk mencari
Aril. Maka berjalanlah Sang Harimau sehingga tiba di sebuah kawasan
perkampungan. Ketibaan Sang Harimau di kampung itu disambut dengan jeritan
orang kampung. Suasana kampung bertukar kalut setelah orang kampung melihat
Pak Belang. Ada yang berlari untuk menyelamatkan diri dan ada yang mencari
senjata untuk melawan Sang Harimau. Sang Harimau yang keliru dan turut terkejut
dengan situasi itu cuba melarikan diri, namun malangnya badannya tertusuk lembing
yang dilempar oleh orang kampung. Sang Harimau yang tidak berdaya, rebah ke
tanah.
Suasana bising di luar menarik perhatian Aril untuk menjengah jendela
rumahnya. Alangkah terkejutnya Aril apabila mendengar khabar seekor harimau
telah dibunuh orang kampung. Aril yang masih dalam keadaan lemah berlari ke arah
tempat kejadian. Ternyata apa yang disangkanya memang benar terjadi. Sang
Harimau, sahabatnya, kelihatan lesu tidak bermaya ditikam oleh penduduk
kampung. Aril terus memeluk Sang Harimau dan menangis. Aril meminta maaf
kepada Sang Harimau kerana telah memungkiri janji mereka, iaitu untuk saling
menjaga antara satu sama lain. Orang kampung yang melihat keadaan itu terkejut
dan cuba melarang Aril, namun dia tidak mempedulikan orang di sekelilingnya dan
terus menangis di samping sahabat hutannya itu.
Kini, tiada lagi teman Aril untuk memburu. Walaupun Aril redha dengan
ketentuan Tuhan kerana dia percaya akan setiap pertemuan pasti akan ada
perpisahan namun, Aril juga sentiasa dihurung rasa bersalah terhadap Sang
Harimau. Begitulah berakhirnya persahabatan antara dua makhluk Tuhan yang
berbeza. Situasi ini bersesuaian dengan pepatah Melayu yang mengatakan burung
pipit sama enggang, mana boleh sama terbang yang bermaksud perhubungan atau
perjodohan yang tidak sama padan, manakan boleh selamat.
Pergi ke kebun mencari delima,
Elok dipetik di pohon redup,
Suka duka dilewati bersama,
Menjadi kenangan pada yang hidup.