TAJUK PIDATO:
BUDAYA MEMBACA MEMBUKA CAKERAWALA
Assalamualaikum wa RahmatulLahi wa Barakaatuh dan
salam sejahtera.
Salam aspirasi seharum kasturi, salam sejahtera sejambak
kenangan buat peneraju acara. Barisan respektatif
intelektual berkarisma, penjaga masa yang setia,
seterusnya hadirin pencetus minda.
Kata pertama pada Al-Quran, ‘Iqra’ yang bererti ‘Bacalah’
diturunkan. Carilah ilmu, didiklah dirimu, jadilah orang
berpengetahuan.
Gelanggang pidato saya buka “BUDAYA MEMBACA
MEMBUKA CAKERAWALA”.
Permata intelektual negara, Almarhum Profesor Diraja
Ungku Aziz, menyebutkan tentang budaya membaca iaitu
kita harus belajar benda baharu agar seiring dengan
peredaran zaman. Mengaitkannya dengan membuka
cakerawala, iaitu amalan membaca yang dilakukan
secara berterusan, membolehkan kita menjangkau
sesuatu yang tidak bertepian, membolehkan kita
menjelajah ke seluruh dunia bahkan dapat
melangkauinya.
Hadirin,
Entiti pidato saya yang pertama saya kupas supaya jelas,
“Aplikasi menarik, pembaca tertarik”.
Adakah anda membuka dan membaca Facebook,
Twitter, e-mel setiap hari? Bukankah aktiviti ini juga
merupakan amalan membaca yang bersifat silang
budaya? Kita boleh berkongsi apa sahaja maklumat
secara interaktif yang menggabungkan semua elemen –
lisan, tulisan, visual dan data dengan masyarakat dari
seluruh dunia. Contohnya, kes positif Covid-19 seluruh
dunia melebihi 171 juta setakat 3 Jun 2021 hanya dengan
membaca berita melalui aplikasi secara di hujung jari.
Tuntasnya, kehadiran aplikasi e-book, laman web, dan
sebagainya tidak menggugat industri penerbitan bahan
bacaan bercetak, bahkan merancakkan lagi budaya
membaca serta tradisi ilmu di negara kita.
Hadirin,
Entiti pidato saya yang kedua,
“Revolusi maklumat dimanfaat, masyarakat hebat”.
Perpustakaan Negara Malaysia giat melaksanakan
pelbagai usaha menggalakkan budaya membaca dan
pada masa kini turut menggalakkan pembacaan melalui
media elektronik. Ia tidak lagi terhad kepada media cetak
seperti buku, majalah dan surat khabar sahaja.
Contohnya, Platform Perpustakaan Digital Negara atau
Portal u-Pustaka boleh diakses secara global melalui
internet dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh
masyarakat seperti OverDrive, e-Law.my, iG Library dan
banyak lagi. Tuntasnya di sini, sekiranya amalan membaca
ini menjadi budaya rakyat Malaysia, ianya boleh
meningkatkan industri penerbitan di negara kita.
Entiti pidato saya yang terakhir merujuk kepada,
Pelajar Bermaklumat, Bacaan di Media Sosial diManfaat”
Sesuai dengan pepatah Melayu menyatakan “pucuk
dicita ulam mendatang” dan “orang mengantuk
disorongkan bantal”, segala maklumat yang diingini boleh
diperolehi dengan menggunakan enjin carian Google
dan Yahoo tanpa perlu pergi ke perpustakaan. Dengan
menaip tajuk yang berkaitan, enjin carian ini akan
mencadangkan beberapa ratus laman sesawang media
sosial yang membincangkan tajuk yang berkaitan. Selain
boleh memuat turun buku elektronik secara percuma
ataupun berbayar, pelajar juga boleh mendapatkan
pelbagai bahan tugasan untuk dijadikan rujukan.
Tuntasnya, semua maklumat bacaan ini hanya berada di
hujung jari dan menjadi benih subur budaya membaca
yang positif.
Kesimpulannya,
Budaya Membaca Membuka Cakerawala ini,
menjadikan kita tidak berada dalam kepompong kita
sahaja, ‘seperti katak di bawah tempurung’, malah
ledakan ilmu yang dibaca ini melalui fenomena besar
teknologi maklumat seluruh dunia.
Sekian. Terima kasih.