Beliau dilahirkan pada 4 November 1915 di Johor
Bahru, Johor. Beliau berasal dari keluarga yang berstatus
elit. Bapanya, Dato’ Abdul Rahman Mohamed Yassin pernah
bekerja sebagai kerani, pesuruhjaya daerah, majistret dan
bendahari negeri. Bapa beliau juga
merupakan Speaker Dewan Negara yang pertama. Bapanya
juga berperanan untuk menubuhkan Persatuan Melayu
Johor yang fungsinya adalah untuk menentang Malayan
Union. Sebagai ketua Orang Tujuh, mereka menuntut
Sultan Ibrahim meletak jawatan sebagai Sultan
Johor kerana menandatangani persetujuan penubuhan
Malayan Union 1946 yang bertentangan dengan Undang-
undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Anak kelahiran Johor Bahru ini mendapat pendidikan awal di
Sekolah Bukit Zaharah dan kemudian melanjutkan pelajaran
di English College, kedua-duanya di Johor Bahru. Setelah
lulus dengan cemerlang dalam pendidikan peringkat
menengah, beliau melanjutkan pelajaran ke King Edward
College of Medicine, Singapura dari tahun 1936 hingga 1939.
Setelah itu, beliau telah mendapat tawaran melanjutkan
pengajian di Queen's College, The University of Melbourne,
Australia sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda
Perubatan dan Pembedahan (MBBS) pada tahun 1945. Beliau
mendapat penghargaan dan menjadi kebanggaan negara
kerana menjadi anak melayu pertama lulus Ijazah Perubatan
dari Universiti tersebut. Sekembali ke Tanah Air, beliau
menyertai Jabatan Kesihatan Johor buat seketika dan
kemudian membuka klinik perubatannya sendiri yang
dikenali sebagai Klinik Tawakkal di Johor Bahru.
Beliau terdorong untuk menceburi politik selepas perletakan
jawatan Dato' Onn Jaafar sebagai Presiden UMNO dan digantikan
oleh Tunku Abdul Rahman. Beliau menceburkan arena politik setelah
dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO pada 1951.
Beliau merupakan duta pertama dari Malaysia ke Amerika
Syarikat pada tahun 1957. Beliau juga diberikan pentauliahan untuk
menjadi duta negara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Jawatan ini dipegang oleh beliau sehingga tahun 1959.
Beliau pernah menjadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada 1
September 1960 sehingga 21 Mei 1967, apabila beliau meninggalkan
kabinet atas sebab-sebab kesihatan. Kekosongan jawatannya
sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah diisi oleh Tun Abdul
Razak.
Beliau sekali lagi dilantik oleh Tun Abdul Razak menjadi menteri Hal
Ehwal Luar Negeri pada 14 Mei 1969 berikutan peristiwa berdarah 13
Mei. Tun Abdul Razak mempengerusikan MAGERAN dan meminta
beliau untuk menjadi Timbalan Pengarah MAGERAN (Mei 1969-
Februari 1971). Beliau kembali menjawat jawatan Kabinet dan kekal
sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri sehingga 1 Ogos 1973.
Semasa hayat beliau, beliau pernah menyandang jawatan
sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Menteri Hal
Ehwal Dalam Negeri. Jawatan terakhir yang dipegang oleh
beliau adalah sebagai Timbalan Perdana Menteri. Beliau
juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang
kedua selepas Tun Abdul Razak pada 1970.
Jasa yang paling besar dilakukan oleh beliau adalah
mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap
Kerajaan Malaysia.
Pada 2 Ogos 1973, Tun Dr. Ismail meninggal dunia
kerana serangan jantung dan jenazahnya telah
disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala
Lumpur dan menjadi pemimpin pertama yang
disemadikan di situ.