The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Panduan Pelaksanaan PBD Secara Dalam Talian

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by g-00371505, 2021-10-06 22:26:50

Panduan Pelaksanaan PBD Secara Dalam Talian

Panduan Pelaksanaan PBD Secara Dalam Talian

PANDUAN PELAKSANAAN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH
SECARA DALAM TALIAN

1.0 Pengenalan

Pentaksiran bilik darjah (PBD) merupakan satu proses pengumpulan
maklumat yang membantu guru mengesan tahap penguasaan murid
terhadap pembelajaran mereka. Maklumat yang terkumpul ini memberi
petunjuk kepada guru untuk merancang tindak susul bagi membantu
perkembangan pembelajaran murid. Sejajar dengan kemajuan dunia
digital dalam pendidikan, kaedah PdP dan pentaksiran juga mengalami
perubahan. Pelbagai alat digital dan aplikasi baharu dicipta, maka
penggunaannya boleh dioptimumkan mengikut kesesuaian untuk
pelaksanaan PdP dan PBD. PBD secara dalam talian merujuk kepada
kaedah pentaksiran yang menggunakan pelbagai bentuk komunikasi
dan aplikasi untuk mentaksir murid.

Antara peralatan komunikasi yang sesuai digunakan untuk PBD dalam
talian adalah seperti telefon, komputer, tablet, mesin faksimili dan
sebagainya. Manakala aplikasi komunikasi pula adalah seperti sistem
pesanan mesej, suara, e-mel atau sidang video. Contoh aplikasi yang
boleh digunakan adalah seperti Google Meet, Telegram, WhatsApp,
Zoom dan lain-lain. KPM juga menyediakan pelantar pembelajaran
Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) atau pelantar
pembelajaran lain yang sesuai dan membolehkan guru mengakses
Google Classroom serta aplikasi pembelajaran seperti Quizizz, Kahoot,
Wordwall, Padlet dan sebagainya. Pelbagai aktiviti pembelajaran seperti
kerja projek, kuiz, pembentangan, tunjuk cara dan lain-lain boleh
dilakukan secara dalam talian dengan menggunakan pelantar
pembelajaran yang sesuai.

1.1 PBD Dalam Talian

Konsep PBD dalam talian adalah sama seperti konsep PBD dalam Bab 2,
melalui penggunaan aplikasi yang sesuai. Kaedah pentaksiran secara
pemerhatian, lisan dan bertulis masih kekal dan sesuai digunakan,
namun begitu guru perlu mengubah suai kaedah pentaksiran agar
bersesuaian dengan PdP yang dijalankan. Internet merupakan medium
komunikasi utama PBD secara dalam talian.

1.2 Kaedah Pentaksiran Secara Pemerhatian

Pentaksiran secara pemerhatian boleh dijalankan dengan menggunakan
aplikasi yang sesuai seperti Google Meet, Telegram, WhatsApp, Zoom
atau aplikasi lain bagi membolehkan guru memerhati dan mentaksir
proses kerja murid dalam setiap mata pelajaran. Murid boleh membuat
rakaman video proses melaksanakan sesuatu tugasan seperti aktiviti
dan eksperimen yang diberikan oleh guru. Guru memberikan maklum
balas atau membuat pentaksiran berdasarkan rakaman video. Guru juga
boleh memerhati dan mentaksir tingkah laku murid semasa mereka
berinteraksi dengan guru atau dengan murid lain melalui aplikasi yang
bersesuaian.

1.3 Kaedah Pentaksiran Secara Lisan

Pentaksiran secara lisan boleh dijalankan apabila guru mengadakan sesi
soal jawab dan memberikan maklum balas secara lisan kepada murid
tentang pembelajarannya. Guru juga boleh mengajukan soalan yang
efektif untuk mencungkil pemahaman murid tentang sesuatu perkara
yang dipelajarinya. Kaedah ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan
aplikasi dalam talian yang sesuai seperti Google Meet, Microsoft Teams,
Zoom, WhatsApp, Telegram atau aplikasi lain yang boleh digunakan
untuk mentaksir jawapan murid secara lisan. Murid juga boleh merakam
dan menghantar hasil kerja dengan menggunakan aplikasi tersebut.

1.4 Kaedah Pentaksiran Secara Bertulis

Pentaksiran secara bertulis melibatkan aktiviti menyemak dan
memeriksa hasil penulisan murid seperti karangan, laporan projek,
latihan bertulis dan sebagainya melalui pelbagai aplikasi dalam talian
seperti Telegram, Zoom, WhatsApp, atau aplikasi yang lain. Guru boleh
menyediakan lembaran kerja dengan menggunakan aplikasi Google
Docs, Google Slides, Google Forms atau aplikasi yang sesuai. Murid juga
boleh menghantar hasil kerja bertulis melalui aplikasi yang digunakan
oleh guru atau peralatan lain seperti kamera, video dan pengimbas.
Guru juga menyemak hasil kerja bertulis murid dengan memberikan
maklum balas melalui aplikasi dan medium yang sesuai.

1.5 Pentaksiran Kendiri dan Pentaksiran Rakan Sebaya

Pentaksiran kendiri dilaksanakan dengan murid mentaksir hasil
kerja mereka sendiri. Murid boleh bersoal jawab dengan guru
melalui pelbagai aplikasi seperti Google Meet, WhatsApp, Telegram,
e-mel dan lain-lain.

Pentaksiran rakan sebaya dilaksanakan dengan murid mentaksir
hasil kerja rakan mereka. Pentaksiran rakan sebaya juga memberi
peluang kepada murid untuk berinteraksi antara satu sama lain
melalui Google Meet, WhatsApp, Telegram, e-mel dan lain-lain.

1.6 Sistem Sokongan Guru

KPM menyediakan sumber dalam Komuniti Guru Digital Learning yang
memberikan latihan kepada guru untuk membina kemahiran
menjalankan e-pembelajaran dengan murid. Guru boleh mengakses
Komuniti Guru Digital Learning melalui pelantar DELIMa.

Terdapat lima modul yang melatih dan membantu guru menyediakan
perancangan, membina bahan serta menjalankan pentaksiran secara
dalam talian. Modul tersebut juga dilengkapi dengan video tutorial,
visual dan contoh untuk menggunakan aplikasi dalam talian. Lima modul
tersebut ialah:

a. Modul 1 – Jom mula e-pembelajaran!
b. Modul 2 – Bina bahan pengajaran digital
c. Modul 3 – Menambah elemen interaktif untuk pembelajaran aktif
d. Modul 4 – Membina penilaian dalam talian
e. Modul 5 – Membina persekitaran digital yang positif

Guru dibimbing cara menanda dalam Google Form, menggunakan rubrik
untuk penandaan serta tugasan kolaboratif yang seiring dengan
kemahiran abad ke-21 dalam Modul 4. Cara membina Google Form,
Google Docs, Google Slides serta rakam layar pula diterangkan dalam
Modul 2. Guru-guru digalakkan menggunakan sistem sokongan ini agar
dapat membantu pelaksanaan PdP dan PBD dalam talian.

1.7 Merekod dan Pelaporan PBD

Guru perlu merekod maklumat pentaksiran yang dijalankan dari semasa
ke semasa mengikut kesesuaian masing-masing. Rekod ini boleh
digunakan bagi membantu guru menentukan tahap penguasaan murid.
Guru masih menggunakan templat pelaporan PBD yang sedia ada di

portal BPK untuk tujuan pelaporan PBD walaupun melaksanakan PdP
dan PBD secara dalam talian. Pelaporan masih dilakukan sekurang-
kurangnya dua kali setahun.

1.8 Peranan Guru

Peranan guru dalam melaksanakan PBD dalam talian adalah seperti
dalam Bab 5. Guru boleh membina instrumen dengan menggunakan
aplikasi yang sesuai. Ketua panitia bersama-sama guru mata pelajaran
boleh berbincang dan membuat penyelarasan berkaitan kaedah serta
instrumen pentaksiran yang boleh digunakan secara dalam talian
mengikut kreativiti guru. Guru dalam panitia yang sama juga boleh
melakukan moderasi (perbincangan) sesama mereka secara dalam
talian bagi menetapkan tahap penguasaan murid.

Guru boleh menjalankan PBD secara individu atau berkumpulan
contohnya lima atau enam orang murid dalam satu-satu masa jika
terdapat murid yang ramai dalam sebuah kelas supaya pentaksiran
boleh dilaksanakan dengan berkesan. Guru boleh menetapkan jadual
dan ahli dalam kumpulan yang akan ditaksir.

1.9 Peranan Pentadbir dan Penjaminan Kualiti

Penjaminan kualiti bagi PBD masih beroperasi seperti perkara 5.2. Pihak
pentadbir perlu sentiasa memantau, membimbing, membantu,
memudah cara dan meningkatkan pengetahuan guru tentang PBD
walaupun dilaksanakan secara dalam talian dengan menggunakan
aplikasi yang sesuai. Pihak pentadbir perlu memastikan panitia mata
pelajaran mengadakan perbincangan dan penyelarasan berkaitan
kaedah serta instrumen yang sesuai berdasarkan keperluan setempat.
Selain daripada itu, pihak pentadbir perlu memastikan guru mengambil
tindakan susulan yang sesuai bagi meningkatkan tahap penguasaan
murid.

1.10 Pelaksanaan PBD Berasaskan Projek

PBD Berasaskan Projek boleh dilaksanakan secara dalam talian, seperti
pelaksanaannya yang dinyatakan di Bab 6. Pihak sekolah boleh
merancang mesyuarat, perbincangan, perjumpaan, penyeliaan,
bimbingan dan pentaksiran secara dalam talian. Setiap sekolah
mempunyai ciri dan budaya tersendiri serta mempunyai strategi khusus
untuk melaksanakan projek.

Guru boleh mengadakan perjumpaan secara dalam talian dengan
kumpulan murid yang telah ditetapkan melalui aplikasi yang sesuai.

Murid-murid boleh mengadakan perbincangan dengan rakan-rakannya
secara dalam talian mengikut ketetapan waktu yang telah ditentukan
oleh murid ataupun guru. Guru harus menyelia, membimbing dan
mentaksir murid sepanjang pelaksanaan kerja projek.

Pelaporan projek boleh dihantar melalui aplikasi yang sesuai dan
dikongsi secara dalam talian. Showcase (persembahan) boleh
dilaksanakan secara dalam talian yang berbentuk video atau kaedah
persembahan lain yang sesuai. Pihak sekolah boleh merancang dan
melaksanakan showcase mengikut kreativiti sekolah.

1.11 Sokongan kepada Murid yang Tiada Akses Internet

Bagi murid yang tiada akses internet, pihak sekolah boleh membantu
murid melalui pelbagai cara dengan bantuan JPN atau PPD. Salah satu
cara adalah menghantar bahan ke rumah murid atau ke pusat komuniti
yang telah dikenal pasti untuk membantu murid-murid tersebut dengan
kebenaran pihak PPD. Cara lain ialah ibu bapa/penjaga dan komuniti
boleh ke sekolah untuk mengambil bahan PdP untuk pembelajaran anak
mereka. Murid menyiapkan tugasan yang diberikan dalam lembaran
kerja atau modul dan diserahkan kepada pihak sekolah semula bagi
tujuan pentaksiran. Pihak sekolah boleh berunding dengan ibu
bapa/penjaga dan komuniti cara terbaik untuk membantu murid supaya
pembelajaran murid tidak terjejas.

1.12 Contoh PBD dalam Talian – Kaedah Pemerhatian

Mata pelajaran: Sains - Tahun 3

Tajuk: Pengukuran
Standard Kandungan:

6.1 Pengukuran luas dan isipadu
Standard Pembelajaran:

6.1.2 Mengukur luas permukaan sekata menggunakan petak yang
berukuran 1 cm x 1 cm.

Objektif Pembelajaran: Pada akhir pembelajaran, murid dapat:
Mengukur luas permukaan sekata menggunakan kertas petak
1 cm x 1 cm.

Penerangan aktiviti:

1. Guru mendapatkan maklumat daripada murid melalui Google
Meet mengenai kaedah yang boleh digunakan untuk
mengukur luas permukaan sekata. Guru menerangkan
bagaimana kertas petak 1 cm x 1 cm digunakan untuk
mengukur luas permukaan sekata.

2. Guru memberikan tugasan kepada murid untuk mengukur
luas permukaan kad 4 cm x 2 cm dengan menggunakan kertas
petak 1 cm x 1 cm. Setiap murid perlu menyediakan kertas
petak tersebut menggunakan kertas graf.

3. Murid diminta untuk menunjukkan cara mengukur luas
permukaan kad 4 cm x 2 cm melalui skrin kepada guru. Guru
membuat pentaksiran melalui pemerhatian dan memberi
maklum balas kepada murid.

Catatan:
Guru juga boleh meminta murid lain menilai cara mengukur luas
permukaan yang telah ditunjukkan oleh rakan mereka.

Mata pelajaran: PJPK
(Komponen Pendidikan Kesihatan - Tingkatan 1)

Tajuk: Perkembangan Seksual Sekunder

Standard Kandungan:
1.1 Kemahiran membuat keputusan dalam konteks kesihatan diri
dan reproduktif - Perkembangan seksual sekunder

Standard Pembelajaran:
1.1.3 Mengaplikasikan kemahiran membuat keputusan dalam
menangani perubahan emosi semasa perkembangan
seksual sekunder

1.1.4 Menilai perubahan emosi semasa perkembangan seksual
sekunder.

Objektif Pembelajaran: Pada akhir pembelajaran, murid-murid dapat:

a. Menjelaskan dengan contoh perubahan emosi semasa
perkembangan seksual sekunder

b. Mencadangkan cara-cara menangani perubahan emosi semasa
perkembangan seksual sekunder

Penerangan Aktiviti:

1. Murid berbincang dengan lebih awal sebelum kelas dalam talian
berkaitan perkembangan seksual sekunder diri sendiri.
Perbincangan murid dalam kumpulan kecil boleh dilaksanakan
secara dalam talian mengikut waktu murid berdasarkan:

a. Perubahan dari aspek fizikal
b. Perubahan dari aspek emosi
c. Cara menangani perubahan emosi

2. Guru boleh menyertai perbincangan murid dan melakukan
pemerhatian terhadap perbincangan mereka. Sewaktu kelas
dalam talian, murid membentangkan hasil perbincangan
kumpulan melalui screen sharing. Guru dan murid mentaksir
dengan memberi maklum balas terhadap pembentangan murid
berdasarkan pemerhatian yang dilakukan.

1.13 Contoh PBD Dalam Talian – Kaedah Lisan

Mata pelajaran: Bahasa Melayu - Tahun 1

Tajuk: Keluarga Saya
Standard Kandungan:

1.1 Mendengar dan memberikan respons

Standard Pembelajaran:
1.1.1 Mengajuk dan menyebut perkataan, frasa dan ayat yang
mengandungi pelbagai bunyi;
i. vokal
ii. konsonan

Objektif Pembelajaran: Pada akhir pembelajaran murid dapat:

a. Mendengar, mengajuk dan menyebut perkataan yang
mengandungi huruf vokal dan huruf konsonan dengan betul.

Penerangan aktiviti:

1. Murid melihat gambar dan mendengar bunyi yang
diperdengarkan daripada bahan multimedia yang dimuat
turun oleh guru melalui Google Meet. Contoh: perkataan dan
gambar emak, adik, bapa, kakak, datuk dan lain-lain perkataan
yang mempunyai sebutan huruf vokal.

2. Murid mengecam sebutan yang diperdengarkan berdasarkan
paparan gambar yang ditayangkan. Murid mengajuk bunyi
perkataan tersebut dengan menekankan sebutan bunyi huruf
vokal.

3. Murid ditayangkan gambar semula, kemudian murid diuji
mendengar dan menyebut semula mengikut sebutan yang
betul. Guru mendengar sebutan murid dan memberi maklum
balas kepada murid secara lisan. Murid menyebut semula
dengan sebutan yang betul berdasarkan maklum balas guru.

Mata pelajaran: Pendidikan Sains Sosial dan Alam Sekitar -
Tingkatan 4 Pendidikan Khas

Tajuk: Pengetinan dan Pembotolan dalam Pengawetan Makanan

Standard Kandungan:
4.1 Pengetinan dan pembotolan

Standard Pembelajaran:
4.1.1 Mengenal pasti makanan yang boleh:
i. ditinkan
ii. dibotolkan

4.1.3 Menjelaskan kepentingan pengawetan makanan

Objektif Pembelajaran: Pada akhir pembelajaran murid dapat:

a. Mengenal pasti makanan yang boleh ditinkan dan dibotolkan.
b. Menjelaskan secara lisan atau menggunakan bahasa isyarat

contoh makanan yang boleh ditinkan dan dibotolkan.
c. Menyatakan secara lisan atau menggunakan bahasa isyarat

tiga kepentingan pengawetan makanan dalam kehidupan
harian.

Nota: Bagi MBK bermasalah pendengaran medium
pengantaraannya adalah dengan menggunakan bahasa isyarat
manakala MBK bermasalah penglihatan adalah dengan
menggunakan media sensori.

Penerangan Aktiviti:

1. Murid ketidakupayaan pendengaran dan masalah
pembelajaran dipertontonkan tayangan video di sebuah pasar
raya yang mempamerkan rak makanan di dalam tin dan botol
manakala murid bermasalah penglihatan diperdengarkan
dengan video yang bersuara.

2. Guru meminta murid menyatakan secara lisan atau
menggunakan bahasa isyarat apa yang dapat dilihat melalui
video tersebut. Manakala murid ketidakupayaan penglihatan
akan diperdengarkan contoh makanan yang terdapat di dalam
tin dan botol yang ada di pasar raya berkenaan.

3. Guru meminta murid menyatakan secara lisan contoh
makanan lain yang terdapat di dalam tin dan botol. Guru
memberikan maklum balas secara lisan atau menggunakan
bahasa isyarat kepada jawapan murid.

4. Guru menunjukkan beberapa sampel makanan seperti ketulan
nanas, ikan sardin, rendang daging, cendawan, cili dan jagung
kepada murid. Murid diminta menyatakan secara lisan atau
menggunakan bahasa isyarat beberapa jenis makanan yang
sesuai untuk ditinkan atau dibotolkan dan menjelaskan
sebabnya. Manakala murid ketidakupayaan penglihatan akan
diperdengarkan contoh makanan yang sama.

5. Guru meminta murid menyatakan secara lisan untuk
menggunakan bahasa isyarat jenis makanan yang sesuai untuk
ditinkan atau dibotolkan dan menjelaskan sebabnya. Guru
memberi maklum balas secara lisan atau menggunakan
bahasa isyarat kepada jawapan murid.

6. Guru meminta murid menyatakan secara lisan atau
menggunakan bahasa isyarat kepentingan pengawetan
makanan melalui pengetinan dan pembotolan dalam
kehidupan harian. (Antara jangkaan jawapan murid adalah
supaya makanan tahan lama, mengelakkan pembaziran,
mudah untuk dibawa dan untuk tujuan eksport). Guru
memberi maklum balas kepada penjelasan murid secara lisan
atau menggunakan bahasa isyarat.

1.14 Contoh PBD Dalam Talian – Kaedah Bertulis

Mata pelajaran: Matematik - Tahun 3

Tajuk: Wang

Standard Kandungan:
4.1 Tambah wang

Standard Pembelajaran:
4.1.1 Menyelesaikan ayat matematik tambah melibatkan dua nilai
wang dan hasil tambahnya hingga RM10 000.

Objektif Pembelajaran: Pada akhir pelajaran, murid-murid dapat:
a. menyelesaikan ayat matematik tambah melibatkan dua nilai
wang dan hasil tambahnya hingga RM10 000.

Penerangan aktiviti:

1. Guru menunjukkan beberapa keping wang dan duit syiling
RM100, RM50, RM10, RM5, RM1, 50 sen, 20 sen, 10 sen dan
5 sen. Guru meminta murid menyebut nilai wang tersebut.

2. Guru menunjukkan sejumlah nilai wang dan duit syiling yang
tidak sama nilai kepada murid. Guru meminta murid mengira
gabungan nilai wang yang guru tunjukkan. Murid
menjumlahkan nilai wang yang mereka perolehi. Seterusnya,
guru menggabungkan dua pasangan kepada satu kumpulan
bagi mendapatkan jumlah nilai wang yang baharu.

3. Setiap murid diberikan lembaran kerja dalam bentuk google
form berkaitan menyelesaikan ayat matematik tambah
melibatkan dua nilai wang dan hasil tambahnya hingga
RM10 000 dalam bentuk ayat matematik persamaan dan
dalam bentuk lazim.

4. Murid diminta menyelesaikan setiap soalan. Perbincangan
jawapan dilaksanakan secara kelas dan murid diminta
membuat pembetulan dalam buku latihan jika berlaku
kesilapan.

Mata pelajaran: Geografi – Tingkatan 3

Tajuk: Kitar Semula

Standard Kandungan:
5.2 Kitar Semula

Standard Pembelajaran:
5.2.4 Membandingkan amalan kitar semula di negara lain.

Objektif Pembelajaran: Pada akhir pembelajaran, murid-murid dapat:
a. Membandingkan amalan kitar semula di negara Malaysia
dengan Singapura, Jepun, Taiwan, German dan Denmark.

Penerangan aktiviti:

1. Guru berbincang dengan murid kepentingan amalan kitar
semula. Dalam perbincangan, murid juga memberi contoh
aktiviti kitar semula seperti Kempen Kitar Semula di sekolah.

2. Murid membuat perbandingan amalan kitar semula di negara
ini dengan negara lain seperti Singapura, Jepun, Taiwan,
German dan Denmark secara berpasangan dengan rakan.
Murid mendapatkan informasi di internet.

3. Murid menulis perbandingan dalam Google Form yang
disediakan oleh guru, melalui pautan dalam Google
Classroom. Guru memeriksa hasil kerja murid dan berbincang
dengan murid pada pelajaran seterusnya serta memberi
maklum balas kepada mereka.

Bahagian Pembangunan Kurikulum
Kementerian Pendidikan Malaysia
Julai 2021


Click to View FlipBook Version