The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Teks Cerita Tahap Satu-converted

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by elisyasofea6268, 2022-05-16 02:02:26

Teks Bercerita Tahap 1

Teks Cerita Tahap Satu-converted

SYAZWANI TELAH INSAF

Assalamualaikum warahmatullahhiwabarakatuh.
Salam kemesraan buat Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan

rakan sekalian.
“Indah sungguh pagi ini, satu cerita dikongsi bersama.”
Saya,__________, dari Sekolah Kebangaan Bangi akan memulakan kisah, “Syazwani Telah

Insaf”.
Ceritanya begini,

Syazwani ialah murid tahun 3. Dia belajar di sebuah sekolah di ibu kota. Dia anak orang
kaya. Rumahnya besar dan cantik. Keretanya pun banyak. Ada pemandu pula. Pendek kata
Syazwani hidup dalam kemewahan. Segala kehendaknya pasti akan dituruti. Dia dilayan
bagaikan puteri. Kasih sayang yang dicurahkan kepadanya ibarat menatang minyak yang
penuh. Oleh sebab kekayaannya itulah, dia bersikap sombong, hidung tinggi dan biadap.

Malangnya, Syazwani ibarat kera sumbang. Semua orang tidak mahu berkawan
dengannya. Syazwani juga seorang pembuli. Dia suka membuli kawan-kawan sekelasnya
termasuklah murid-murid lelaki. Hanya Farah sahajalah yang sudi berkawan dan
menemaninya.

Bukan itu sahaja, dia seorang yang pemalas. Farahlah yang menyiapkan kerja sekolahnya.
Guru-guru pernah menasihatinya agar berubah sikap. Malangnya, “umpama mencurah air ke
daun keladi”. Dia langsung tidak mengendahkan nasihat itu.

Pada suatu hari, sewaktu rehat, Sufian dan kawan-kawannya dimarahi oleh pengawas
kerana berebut-rebut untuk membeli makanan. Syazwani mentertawakan Sufian dan kawan-
kawannya itu. Lantas, Sufian dan kawan-kawannya naik angin lalu menolak Syazwani.
Kebetulan Farah lalu dan menolong Syazwani. Sebagai balasannya, Syazwani ingin
membelanja Farah makan, tetapi Farah menolak. Farah bimbang, jika dia menerima pelawaan
itu, dia terpaksa menyiapkan kerja sekolah Syazwani.

Hari berganti hari, namun sikap Syazwani tetap tidak berubah. Perangainya masih
sama,…pemalas, pemarah, sombong, kasar dan biadab. Walau bagaimanapun, Farah tetap
berkawan dengannya dan berharap agar Syazwani akan berubah.

Sehinggalah suatu ketika, semua murid bergembira kerana cuti sekolah akan bermula.
Syazwani hanya mendiamkan diri. Dia kelihatan murung. Pada wajahnya tergambar
kesedihan. Farah datang menghadiri dan bertanya,sebab Syazwani berkeadaan begitu.

Lantas Syazwani menyatakan hasratnya ingin mengikut Farah pulang ke kampung. Seumur
hidupnya, ibu bapanya tidak pernah membawanya pulang ke kampung. Kata Syazwani lagi,
hidupnya penuh dengan kebosanan. Ibu bapanya sentiasa sibuk. Makan pakainya, orang
gajilah yang menguruskannya. Farah amat simpati dengan Syazwani. Kini, barulah dia tahu
mengapa Syazwani bersikap begitu. Lantas dia bersetuju mengajak Syazwani pulang ke
kampungnya semasa cuti sekolah.
Kawan-kawan,

Di kampung pula, Syazwani tiba-tiba berubah sikap. Dia tidak lagi bersikap sombong dan
kasar. Wajahnya nampak begitu ceria. Dia makan apa sahaja yang dihidang, mandi air perigi,
bermain lumpur di sawah dan bergurau senda dengan anak-anak kampung yang comot.
Syazwani benar-benar telah berubah. Dari seorang yang biadap, Syazwani bertukar menjadi

seorang budak perempuan yang baik dan peramah. Semua orang kampung senang dengan
sikapnya itu.

Suatu petang, ketika asyik bermain, Syazwani menghampiri Farah. Katanya, dia amat
seronok tinggal di kampung. Dia tidak akan melupakan kenangan yang paling manis ini. Farah
tersenyum lalu memegang erat tangan Syazwani. Tiba-tiba kelihata air jernih mengalir di pipi
Syazwani. Kehidupan di kampung benar-benar mengubah sikap Syazwani. Farah bersyukur.
Harapannya agar Syazwani berubah menjadi kenyataan.

Syazwani benar-benar telah insaf. Dia sedar, sikap kasar dan biadap tidak memberi apa-
apa faedah. Dia bertekad untuk menjadi manusia yang berakhlak mulia dan berguna kepada
masyarakat.
Kawan-kawan,

Demikianlah kisah “Syazwani Telah Insaf’. Semoga cerita ini dapat menjadi tauladan
kepada kita. Jika kita mempunyai kebolehan, janganlah bersikap sombong. Jadilah seperti
padi, semakin berisi semakin tunduk. Kita juga haruslah bijak memilih kawan. Jika kita
berkawan dengan orang baik, kita juga akan menjadi baik. Ibarat bersahabat dengan pembuat
minyak wangi, wangian itu akan terlekat di badan kita. Jika berkawan dengan pembuat besi,
hitamnya terpalit kepada kita.

Semoga semuanya terhibur dan mendapat pengajaran daripada cerita yang saya
sampaikan ini.
Puteri Sejati mengundur diri, sekian terima kasih. Wassalamualaikum
warahmatullahhiwabarakatuh.

MAT PINTAR BERADU DENGAN GERGASI

Mat Pintar tinggal bersama ibunya di sebuah kampung. Dia seorang yang rajin berniaga.
Barang-barang yang dijual olehnya adalah seperti sayur-sayuran, ikan masin, tepung dan
sebagainya. Dia berjaja dari rumah ke rumah.

Suatu hari, Mat Pintar meminta kebenaran dari ibunya untuk berjaja ke kampung lain pula.
Dia akan pergi bersama sahabat-sahabatnya. Dia akan membawa burung pipit
kesayangannya.

Pada keesokan harinya, Mat Pintar dan sahabatnya berjalan ke kampung Kaduk melalui
hutan rimba. Tidak lama kemudian, mereka tiba di sebuah gua dan berehat di situ. Mereka
tertidur. Tiba-tiba mereka dikejutkan oleh satu suara yang sangat kuat. “Hai manusia, sanggup
kau menceroboh ke kawasan aku”, kata suara itu. Mat Pintar dan sahabatnya terkejut melihat
gergasi di pintu gua. Mereka melarikan diri. Semasa berlari Mat Pintar tersepak guni tepung.
Tepung pun bertaburan. Gergasi sangat hairan melihat perkara itu. ‘Aik kuat sungguh manusia
itu, batu besar itu hancur disepaknya’, kata gergasi itu. Dia menyangka guni tepung itu adalah
batu besar. Gergasi pun mengajak Mat Pintar beradu kekuatan. Mat Pintar takut dan hanya
menurut sahaja.

Gergasi pun mengambil seketul batu besar lalu membaling ke gua. GOOMMMMM
GOMMMMM, Mat Pintar mengambil seketul belacan lalu meramasnya sehingga hancur.
Gergasi belum berpuas hati, dia mengambil seketul batu lalu melemparnya jauh-jauh. Mat
Pintar teringat akan burung pipit kesayangannya. Dia mengambil burung pipit itu lalu
melemparkannya. Burung itu pun terbang jauh. Gergasi sangat hairan dan ingin mengetahui
rahsia kekuatan Mat Pintar. “Hai manusia, apakah rahsia kekuatan kamu, badan kamu kecil
sahaja tetapi kamu gagah perkasa”, kata gergasi itu. Mat Pintar mengeluarkan cili dari dalam
bakulnya. “Nah, inilah rahsia kekuatanku, aku memakannya setiap hari, oleh sebab itu
menjadi gagah”, kata Mat Pintar. Gergasi pun mengambil kesemua cili dan memakannya.
HUMM YUM YUM HUMMMMM, gergasi kepedasan, HAAA HAAA HA, dia berlari mencari air.
Mat Pintar dan sahabatnya terus melarikan diri.

Semasa mencari air, kaki gergasi tersangkut ke akar pokok lalu terjatuh ke gaung dan mati.
Mat Pintar dan sahabat-sahabatnya meninggalkan tempat itu dengan selamatnya.
Kawan-kawan, nilai dan pengajaran di dalam cerita ini ialah kita mestilah mengatasi sesuatu
masalah dengan bijak dan berfikir dengan tenang.

Hang Tuah pahlawan berani,
Keris Taming Sari senjata diri;
Sekian sahaja cerita ini,
Semoga kita berjumpa lagi.

Sekian dan terima kasih.

PADAH TIDAK MENDENGAR KATA

Assalamualaikum pembuka bicara,
Di gelanggang pentas kita bersua,
Datangnya saya untuk bercerita,
Padah tidak mendengar kata.

Kawan-kawan nak tahu apa akibatnya tidak mendengar kata?
Nah, dengarlah cerita saya.

Di dalam sebuah kampung tinggal dua orang sahabat yang berkawan baik. Seorang
bernama Sam manakala seorang lagi bernama Dol.

Sam sangat gemuk seperti tempayan, suka membuli dan suka memerintah…manakala Dol
pula badannya kurus seperti lidi…pendiam dan lebih banyak mendengar kata.

Pada suatu petang, mereka berdua berjalan-jalan pulang dari sekolah agama. Sebelum
sampai ke rumah, mereka singgah di taman permainan berdekatan dengan rumah mereka.
Mereka ingin bermain jongkang-jongket, buaian, gelongsor dan kejar-mengejar. Sedang asyik
bermain, tiba-tiba Sam terlihat sebatang pokok mangga berdekatan taman permainan itu.
Banyak buah mangga sudah masak, kuning-kuning belaka. Sam terus berlari ke arah pokok
itu. Dol cuba melarang Sam supaya tidak memanjat pokok mangga itu…tapi larangannya tidak
diendahkannya. Rasa-rasanya bolehkah Sam memanjat pokok itu? Dah lah badannya gemuk
pasti mengundang bahaya.

Sampai di situ, dia terus memanjat pokok itu. Sedang asyik memanjat dan terus memanjat,
Sam tidak sedar dahan yang dipijaknya hampir patah. Rupa-rupanya dahan kering yang
dipijaknya.

Sam tidak sempat berpaut pada dahan lain. Ah….. Gedebob!! Tolong!!... Tolong!!..Aduh,
Aduh!!..Sakitnya..Sakitnya!! Sam terjatuh, kakinya tertusuk kayu. Kakinya terluka, darah
mengalir laju dan sungguh banyak. Sam meraung kesakitan. Dol yang melihat kejadian itu
berlari mendapatkan Sam. Hu.. hu.. Sam menangis semahu-mahunya. Dengan tidak
melengahkan masa, Dol terus mengoyakkan samping sekolah agamanya lalu membalut luka
Sam. Selepas itu, Dol pun memapah Sam pulang ke rumah.

Sejak kejadian itu, Sam terus berubah menjadi seorang yang baik. Dia menyesal dengan
perbuatannya.
Haa.. itulah kawan-kawan… akibat tidak mendengar kata. Biar siapa pun yang menasihati kita,
kita patut mendengar nasihat mereka.

Kawan-kawan…
Cerita saya bukan sekadar cerita, pasti ada pengajarannya, apa dia?
1) Kita tidak boleh mengambil barang orang lain sesuka hati kerana ia buka hak kita.
2) Kita hendaklah melihat keadaan diri kita dan kemampuan diri dahulu sebelum melakukan
sesuatu.
3) Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Tamatlah sudah cerita… sekian dahulu dari saya… terima kasih untuk semua.

BATU BELAH BATU BERTANGKUP

Selamat sejahtera diucapkan kepada pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana,
rakan-rakan seperjuangan dan para hadirin yang dihormati sekalian. Tajuk cerita yang akan
saya sampaikan pada hari ini ialah ‘ Batu Belah Batu Bertangkup’.

Pada zaman dahulu, ada sebuah keluarga yang tinggal di hujung sebuah kampung. Mereka
ialah Mak Tanjung dan anak-anaknya, Melur dan Pekan. Walaupun kehidupan mereka miskin
namun mereka sekeluarga hidup bahagia. Mak Tanjung sentiasa berusaha untuk
menggembirakan anak-anaknya.

Pada suatu hari, Mak Tanjung teringin makan telur ikan tembakul. Dia bercadang untuk
pergi menangkap ikan tembakul di sungai berhampiran rumahnya. Melur dan Pekan gembira
dengan cadangan emaknya itu. Mereka juga sudah terbayangkan hidangan ikan tembakul
untuk makan malam nanti.

Mak Tanjung tidak sabar untuk makan telur ikan tembakul. Akhirnya, Mak Tanjung dapat
menangkap ikan tembakul. Dia berjalan cepat untuk berjalan ke rumah. Setiba di rumah, Mak
Tanjung memberi ikan tembakul kepada anaknya, Melur. Dia menyuruh Melur untuk
memasak gulai ikan tembakul. Mak Tanjung berpesan dengan Melur supaya menyimpa telur
tersebut untuknya.

Kemudian Mak Tanjung pun keluar mencari akar kayu di hutan. Tanpa berlengah-lengah
lagi Melur menyiang ikan tembakul itu. Melur tidak sabar untuk menikmati ikan tembakul
dengan emak dan adiknya. Melur pun memasak gulai ikan tembakul. Dia ingat akan pesan
emaknya tadi. Bau gulai ikan tembakul menyebabkan Pekan berasa lapar. Pekan menanti
kepulangan emaknya dengan sabar. Dia tahu emaknya akan pulang dengan cepat.

Setelah gulai ikan tembakul masak, Pekan berjumpa kakaknya. Pekan mengadu yang dia
berasa lapar. Melur meminta Pekan untuk bersabar sehingga emak mereka balik. Namun,
adiknya Pekan degil dan menjerit-jerit hendak makan. Melur berasa serba salah. Sudah puas
dia memujuk adiknya. Melur juga berasa kasihan melihat Pekan yang menahan kelaparan.

Mak Tanjung pulang lewat. Melur berasa lapar juga. Maka, mereka pun makan bersama.
Melur dan Pekan menikmati hidangan gulai ikan tembakul dengan enak sekali. Namun, Melur
sentiasa mengingati pada pesanan emaknya itu. Melur juga memberitahu pesanan emak
mereka kepada adiknya. Malangnya, Pekan yang terlalu lapar telah makan semua telur ikan
tembakul.

Melur berasa terkejut melihat semua telur ikan tembakul telah habis. Dia tidak tahu
bagaimana untuk memberitahu perkara itu kepada emaknya. Akhirnya, Mak Tanjung pun
pulang. Melur berasa serba salah untuk memberitahu emaknya yang Pekan telah makan
semua telur ikan tembakul yang disimpan untuknya.

Melur menerangkan situasi sebenar kepada Mak Tanjung. Namun, Mak Tanjung tidak
dapat menerima kenyataan. Mak Tanjung berasa sangat sedih. Air mata Mak Tanjung
mengalir tidak henti-henti. Dia teringin benar hendak makan telur ikan tembakul itu tetapi
hajatnya tidak kesampaian.

Tanpa disangka-sangka, Mak Tanjung pun berlari ke arah batu belah batu bertangkup.
Batu itu memiliki kuasa ajaib. Melur dan Pekan cuba menahan emak mereka tetapi gagal.
Melur dan Pekan menjerit dengan kuat meminta ibu mereka supaya tidak meninggalkan
mereka. Mak Tanjung sudah tidak mempedulikan anak-anaknya lagi.

Mak Tanjung meminta batu itu supaya menelannya kerana dia tidak dapat makan ikan
tembakul. Dia menjerit-jerit sambil menangis. Melur dan pekan menyesal kerana tidak
mendengar pesanan emak mereka. Kini, mereka hilang emak yang mereka sayangi.

Jadi, kawan-kawan jangan sesekali kita menyakiti hati ibu bapa kerana mereka banyak
berjasa kepada kita.
Sekian, terima kasih.

HATI YANG MULIA

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Para Hakim yang bijksana,
Guru-guru yang dihormati dan rakan-rakan saya sekalian. Nama saya ialah _____. Umur saya
ialah __ tahun. Saya belajar di Sekolah Kebangsaan Bangi. Tajuk cerita saya pada pagi ini ialah
“Hati Yang Mulia”.

Hakim ialah pelajar istimewa di kelas Lima Mawar. Dia dilahirkan dengan kaki kiri yang
tidak sempurna. Namun dia tidak kesal dengan kakinya tetapi bersyukur kerana dikurniakan
akal fikiran.

Hakim juga merupakan pelajar yang cemerlang di dalam pelajaran. Guru-guru sayang dan
ambil berat tentang dirinya. Walau bagaimanapun, kehadiran Hakim tidak disenangi segelintir
pelajar di sekolah. Antaranya Amir.

Amir memandang rendah terhadap Hakim yang tidak sempurna. Kawan-kawan Amir
sering mengejek dan mempersendakan keadaan Hakim. Kadang kala Amir menghasut pelajar-
pelajar lain agar menyisihkan Hakim.

Hakim tetap sabar dan menjadikan dia matang dan tabah. Dia menganggap sebagai ujian
Tuhan terhadap hambanya. Hakim berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan
kekurangan dirinya tidak menjadi alasan untuk menempa kejayaan.

Petang itu, hujan turun dengan agak lebat. Hakim baru pulang dari sekolah. Keadaan jalan
agak licin. Ketika itu, Hakim berjalan berhati-hati dengan bantuan tongkatnya.

Ketika Hakim berjalan menyusuri tepi sebuah longkang besar, Hakim terdengar suara
orang meminta tolong. Hakim mencuba cari arah bunyi tersebut. Dengan berhati-hati dia
segera pergi ke arah suara itu.

Hakim terkejut mendapati Amir sedang berpaut pada tebing longkang besar itu. Amir
sedang berusaha menyelamatkan dirinya daripada dihanyutkan arus yang deras. Hakim cuba
meminta bantuan, malangnya tiada sesiapa.

Hakim terpandang tongkatnya. Tanpa membuang masa, dia menghulurkan tongkatnya
kepada Amir. Hakim menggunakan sepenuh tenaga yang ada untuk menyelamatkan Amir.
Amir terkejut dan berterima kasih kepada Hakim.

Amir malu terhadap Hakim. Dia menyesali dengan sikapnya. Amir meminta maaf, berjanji
tidak mengulangi perbuatannya dan menghormati setiap orang tanpa mengira taraf dan
rupa.
Nilai murni yang dapat kita belajar daripada cerita ini ialah kesempurnaan dan kemuliaan
seseorang terletak pada hatinya.
Sekian, terima kasih.

SI KECIL

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Terima kasih saudari pengerusi majlis, barisan panel
hakim, saudari penjaga masa yang setia dengan waktunya, guru-guru dan rakan-rakan
sekalian sekalian.

Saya akan menyampaikan sebuah sebuah cerita yang bertajuk “Si kecil”, diselenggarakan
oleh Othman Puteh dan Aripin Said, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Rakan-rakan sekalian,

Di hujung sebuah negeri, tinggallah seorang perempuan. Suaminya telah meninggal dunia.
Kerjanya sehari-hari adalah bercucuk tanam. Dia mempunyai tujuh orang anak perempuan
yang jelita.

Anak sulungnya sudah besar, dan telah ada pemuda yang telah meminangnya. Malangnya
perempuan itu tidak bersetuju. Anak keduanya turut dipinang orang. Perempuan itu menolak
juga. Anak perempuan ketiganya telah dirisik orang. Dia memberikan jawapan yang anaknya
belum pandai apa-apa. Begitulah juga anak keempat, kellima dan keenam. Sudah ada pemuda
yang mahu memperisterikan mereka. Malah kesemuanya tidak dipersetujui.

Sebenarnya kawan-kawan, pemuda itu tidak tahu kenapa perempuan itu menolak lamaran
mereka. Perkara yang sebenarnya ialah, semua anak perempuannya itu belum belajar tentang
hidup. Mereka tidak pernah mengikut ibu mereka bekerja. Di rumah mereka tidak pernah
memasak. Cuma Si Kecil anak yang bongsu rajin ke dapur.
Teman-teman yang budiman,

Pada suatu hari, perempuan itu menyuruh anak-anaknya belajar memasak. Anak
sulungnya membantah. Anak yang keduanya juga menolak. Adik-adiknya menyebelahi kakak
mereka. Hanya Si Kecil membela ibunya. Keenam-enam kakak itu marah benar dengan Si
Kecil, lalu teraniayalah adik mereka. Ibu mereka memarahi mereka. Kakak sulung berlari
keluar. Lima orang lagi menuruti kakak mereka. Maka…. Sejak itu tinggallah Si Kecil bersama
ibunya.
Rakan-rakan yang disayangi,

Pada suatu hari, perempuan itu jatuh sakit. Dia berpesan jepada Si Kecil, sekiranya dia
meninggal dunia nanti, jenazahnya kelak perlulah dikuburkan di belakang rumah. Dia
meminta Si Kecil agar mengambil sesuatu yang tumbuh di atas kuburnya nanti dan
menaburkan di bawah rumah, di dalam rumah dan di dapur. Beberapa hari kemudian, ajal
telah menjemput perempuan itu pergi. Dengan hati yang sedih, Si kecil menurut segala wasiat
ibunya.

Kawan-kawan,
Tidak lama selepas itu, ada cendawan tumbuh di atas kubur ibunya. Si Kecil memetik

cendawan itu lalu menaburnya di bawah rumah, di dalam rumah dan di dapur. Esoknya, Si
Kecil amat terkejut. Dilihatnya di bawah rumah ada banyak ayam dan itik. Lembu dan kerbau
ada di sekeliling rumah. Di dalam rumah ada pakaian yang cantik-cantik dan barang kemas. Di
dapur pula ada banyak makanan. Setiap kali diambil, akan bertambah pula yang baru.

Sementara itu kesemua kakak Si Kecil hidup menderita. Kakak sulung berkunjung ke rumah
Si Kecil. Dia pulang dan bercerita dengan adik-adik yang lain. Kesemua adiknya hendak kaya
dan senang. Mereka berpakat hendak ke kubur ibu mereka.
Kawan-kawan sekalian,

Keenam-enam kakak Si Kecil pergi ke kubur ibu mereka. Mereka tidak melihat cendawan,
yang ada cuba rumput-rampai. Mereka mencabut rumput itu hingga bersih. Mereka
membawa rumput-rampai ke rumah. Kakak yang sulung menabur rumput-rampai di sekeliling
rumah. Dia mengharapkan, esok akan banyaklah binatang ternakan. Kakak kedua, menabur
di dalam rumah. Dia hendakkan pakaian yang cantik-cantik dan barang kemas. Kakak-kakak
yang lain, manaburkan rumput-rumpai di dapur. Mreka hendakkan makanan yang enak.

Kawan-kawan hendak tahu apa yang terjadi? Esoknya kakak sulung terkejut. Sekeliling
rumahnya dipenuhi ular berbisa. Kakak kedua terjerit-jerit. Rumahnya dipenuhi beribu-ribu
ekor biawak. Kakak-kakaknya yang lain berkelakuan bagaikan orang gila. Dapur mereka penuh
dengan ulat. Begitulah cerita ini kawan-kawan.
Sekian, terima kasih. Wabillahhitaufik walhidayah wassalamualaikum warohmatullah.

ORANG TAMAK SELALU RUGI

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, yang dihormati para hakim yang adil lagi bijaksana,
guru-guru serta rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Assalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh. Pada hari yang indah ini, saya akan menyampaikan sebuah cerita yang amat
menarik bertajuk, ‘Orang Tamak Selalu Rugi’. Cerita ini diterjemahkan daripada sebuah buku
cerita Bahasa Inggeris yang berjudul ‘ The Greedy Boatman” karya Joan Miles.
Ha, nak dengar cerita saya?

Di dalam sebuah kampung, tinggal seorang lelaki bernama Pak Kundur. Dia mempunyai
sebuah sampan. Dia mengambil upah untuk membawa orang-orang kampung ke seberang
dengan sampannya. Tetapi, dia selalu mengenakan tambang yang sangat mahal. Isy.. isy…
isy.. kasihan orang-orang kampung yang miskin itu. Pak Kundur bagaikan tidak bersimpati
dengan nasib mereka.
Nak tahu apa jadi seterusnya?

Pada suatu hari, kampung mereka telah diserang oleh lanun. Bertempiaranlah mereka
lari untuk menyelamatkan nyawa dan harta masing-masing. Tolong..tolong..(kepenatan dan
lelah) tolong…Apalagi, Pak Kundur pun terus mengambil kesempatan itu, bagaikan,
“menangguk di air yang keruh”.

Tanpa belas kasihan, Pak Kundur memaksa semua penduduk kampung menyerahkan
harta mereka kepadanya. Setelah mendapat wang dan harta benda mereka barulah Pak
Kundur membawa penumpang-penumpang itu ke seberang sungai. Dengan berat hati orang
kampung menyerahkan harta benda mereka. Sedih bukan kepalang.
Kawan-kawan,

Pak Kundur hendak mengambil semua harta orang kampung menjadi miliknya. Dia
berulang-alik ke seberang tanpa berhenti, dari pagi hingga ke senja. Pak Kundur asyik
mengejar harta.

Pada suatu hari, ketika Pak Kundur mengira hasil pendapatannya, tiba-tiba muncul
seorang tua yang miskin di hadapannya. Orang tua itu meminta bantuan daripada Pak
Kundur untuk membawanya ke seberang sungai. Pak Kundur melayan orang tua itu dengn
kasar tanpa belas kasihan.

Orang tua itu merayu untuk dibawa ke seberang sungai. Dengan lagak sombongnya Pak
Kundur bersetuju untuk membawa orang tua itu, jika orang tua itu mempunyai sesuatu yang
boleh menggantikan wang.

Orang tua itu menyatakan bahawa dia mempunyai sebatang tongkat yang boleh
bertukar menjadi emas. Taksub dan percaya dengan tongkat itu, dia telah memuja kesaktian
tongkat itu. Dengan rakusnya Pak Kundur lalu mengetuk tongkat itu agar bertukar menjadi
emas. Tiba-tiba tongkat tadi bertukar menjadi emas yang mengganda-ganda banyaknya.

Dengan perasaan tamak halobanya, Pak Kundur mengira wang emas di atas sampan.
Tanpa disedari, sedikit demi sedikit sampan tenggelam. Pak Kundur pun meminta tolong
tetapi tiada sesiapa yang mendengar jeritannya. Akhirnya Pak Kundur tenggelam bersama
emasnya.
Begitulah berakhirnya riwayat Pak Kundur yang tamak lagi sombong itu. Kini telah mendapat
balasannya.
Kawan-kawan,

Inilah akibat terlalu percaya dengan khurafat. Kita hendaklah berusaha denan
bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu. Selain itu, kita perlu bantu-membantu
antara satu sama lain untuk meringankan beban seseorang.

Akhir sekali,janganlah kita bersifat tamak. Ingat ya kawan-kawan orang yang tamak selalu
rugi.
Untuk mengakhiri cerita ini, terimalah serangkap pantun daripada saya.

Dalam semak ada duri,
Ayam kuning buat sarang;
Oang tamak selalu rugi,
Bagai anjing dengan bayang-bayang.
Sekian, terima kasih.

PENJUAL KAIN YANG BERHATI JUJUR

Pada suatu masa dahulu, ada seorang pemuda yang kerjanya menjual kain-kain batik serta
pelekat. Pemuda itu bernama Taruna. Taruna merupakan seorang pemuda yang sangat jujur
serta baik hati. Taruna menjual kain-kain batikvdan pelekat yang bermutu tinggi denganharga
yang sangat murah. Oleh sebab itulah semua penduduk kampung suka membeli kain daripada
Taruna.

Ini membuatkan seorang penjual kain yang bernama Usop iri hati dengan kesenangan
Taruna. Kain-kain yang dijual olehnya tidak laku langsung. Penduduk kampung hanya suka
membeli kain daripada Taruna memandangkan harganya lebih murah daripada harga yang
ditawarkan oleh Usop.

Usop membuat satu rancangan. Dia berpura-pura membeli beberapa helai kain daripada
Taruna. Apabila sampai di rumah, Usop segera mengoyakkan kain-kain tersebut. Selepas itu
dia pergi ke pekan sambil memekik dengan kuat.

“Lihatlah wahai orang-orang kampung! Kain ini baru aku beli daripada Taruna. Sebaik
sahaja aku memakainya, tiba-tiba kain ini koyak! Ini menunjukkan kain buatannya tidak elok
dan sebab itulah dia menjual dengan harga yang sangat murah!” kata Usop.

Orang kampung yang mengerumuni Taruna untuk membeli kain, tiba-tiba bersurai.
Mereka tidak mahu membeli kain daripada Taruna. Malah Taruna juga telah dituduh sebagai
penipu dalam berniaga. Ini membuatkan Taruna berasa sangat sedih dan berdukacita.

Kejadian itu merupakan peluang keemasan buat Usop. Dengan memfitnah Taruna, maka
dia boleh menjual kain-kainnya semula. Usop adalah seorang penipu. Dia menjual kain yang
tidak bermutu kepada orang-orang kampung dengan harga yang mahal.

Usop mendapat hasil yang sangat lumayan dengan menipu. Dia berasa sangat gembira
dan seronok kerana perniagaannya kembali pulih. Namun Usop tidak tahu bahawa Taruna
telah lama memerhatikan gerak-gerinya. Usop tidak menggunakan kain yang baik dan
bermutu, sebaliknya dia menjual kain-kain yang telah rosak dan buruk. Usop hanya
mewarnakan semula kain-kain yang lusuh dengan warna yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu malam, semasa Usop sedang nyenyak tidur, Taruna telah masuk ke dalam
rumahnya. Dia mengambil beberapa helai kain serta warna-warna yang dibuat oleh Usop.
Setelah mendapat apa yang diingini, Taruna pun beredar dari situ.

Pada keesokan harinya, seperti biasa Usop pergi ke pekan untuk menjual kain-kainnya.
Setibanya di sana, alangkah terkejutnya Usop apabila mendapati orang-orang kampung
sedang memegang kain-kain yang mereka beli tempoh hari. Ini membuatkan hati Usop berasa
sangat hairan.

“Itulah dia penipu yang paling besar! Dialah yang sepatutnya dihukum. Dia telah menjual
kain yang tidak bermutu dengan harga yang mahal. Aku juga mempunyai bukti untuk
ditunjukkan kepada kamu semua!” kata Taruna sambil menunjukkan bukti-bukti yang
diperolehinya.

Orang-orang kampung menjadi sangat marah lalu melemparkan kain-kain tersebut ke
muka Usop. Mereka juga telah membawa Usop menghadap sultan. Sultan telah menjatuhkan
hukuman penjara seumur hidup kerana telah menipu orang-orang kampung.

Semenjak dari hari itu perniagaan Taruna kembali pulih. Orang-orang kampung membeli
kain-kain kepunyaan Taruna. Taruna juga berasa sangat gembira kerana Usop telah menerima
huukuman yang setimpal atas perbuatannya.

Kawan-kawan, pengajaran yang boleh kita ambil dari cerita tadi ialah kita perlu sentiasa
mengamalkan sikap jujur. Kita tidak boleh bersikap iri hati dan hasad dengki terhadap
kelebihan dan kesenangan orang lain. Sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Mengetahui
segalanya. Setiap perbuatan ituakan mendapat balasannya. Perbuatan yang baik akan dibalas
baik dan perbuatan yang tidak baik akan dibalas setimpal. Oleh itu, marilah kita mengamalkan
sikap jujur dalam melakukan apa sahaja pekerjaan.
Sekian, terima kasih.


Click to View FlipBook Version