Topik : Keluarga Saya
Nama Guru : SITI AISYAH BINTI AHMAD MALIKI
Tahun : 6 AKTIF
Mata Pelajaran : BAHASA MELAYU
Masa : 9:00a.m - 10:00a.m
Kemahiran : Mendengar dan bertutur
Standard Kandungan : 1.3 - Mendengar, memahami dan memberikan respons terhadap sesuatu
arahan, soalan dan pesanan yang didengar dengan betul.
Standard Pembelajaran : 1.3.2 - Mendengar, memahami dan memberikan respons terhadap ayat tanya
dengan betul.
Analisis Pelajar
Umur: 6 Cergas
Bilangan murid: 23 orang
Tahap: Murid mempunyai tahap kecerdasan yang sama iaitu berkeupayaan untuk memberikan
respons terhadap arahan yang diberikan.
Gaya pembelajaran: Auditori dan visual.
Latar Sosioekonomi: Murid terdiri daripada masyarakat bandar yang kebanyakan ibu bapa mereka
mempunyai kerjaya yang baik. Murid-murid sering didedahkan dengan media elektronik oleh ibu bapa
serta guru mereka. Oleh itu, tidak asing lagi penggunaan teknologi dalam kehidupan mereka.
Kompentasi Khusus: Murid sememangnya sudah didedahkan dengan penggunaan ayat tanya dalam
kehidupan seharian. Namun, masih terdapat teknik dan kaedah penggunaan ayat tanya yang tidak
tepat dan mempunyai kekeliruan dalam proses menjawab dan memberikan respons kepada ayat tanya
tersebut.
Penilaian terhadap murid : Penilaian kemahiran bertutur murid akan dilakukan dengan murid perlu
memuat naik audio bertutur mereka ke dalam tapak padlet.
Nyatakan Objektif
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran,
1. Murid dapat memberikan respons sekurang-kurangnya 3 daripada 5 ayat tanya yang
didengar dengan betul.
Pemilihan Media, Kaedah dan Bahan
SET INDUKSI
Media : Visual
Kaedah : soal jawab berasaskan pengalaman
Bahan : Komputer, gambar peta pokok, aplikasi Google Form
Rasional pemilihan : Penggunaan visual peta pokok yang menarik, berwarna warni dan
mengandungi figura kartun dapat menarik minat murid bagi suatu sesi pengajaran. Visual peta pokok
itu juga dapat merangsang mental murid untuk menjawab soalan-soalan ringkas yang diberikan oleh
guru. Penggunaan aplikasi Google Form digunakan untuk memberikan soalan dan menerima respons
murid. Penggunaan aplikasi Google Form tersebut dapat membantu guru menilai pengalaman sedia
ada murid berdasarkan soalan-soalan yang diberikan, sebelum masuk ke aktiviti seterusnya.
LANGKAH 1
Media : Video
Kaedah : Penerangan
Bahan : Komputer, video pengajaran, aplikasi whiteboard.chat
Rasional pemilihan :
Murid akan didedahkan dengan video pengajaran berkaitan dengan ayat tanya dan kaedah
memberikan respons kepada ayat tanya. Video dibina dengan memasukkan unsur figura kartun, audio
penerangan, penggunaan tema yang menarik dan pemilihan font yang sesuai dengan murid.
Aspek-aspek tersebut diambil kira supaya dapat memberikan rangsangan terhadap deria-deria murid
seperti deria penglihatan, deria pendengaran dan deria rasa. Dengan kaedah ini, objektif penerangan
topik akan tercapai.
Kemudian, berdasarkan tayangan video penerangan tersebut, murid dikehendaki untuk membuat
rumusan pemahaman mereka tentang topik yang diterangkan dengan menggunakan aplikasi
Whiteboard.chat. Aplikasi Whiteboard.chat dipilih kerana murid bebas membina peta minda dengan
menggunakan aplikasi ini. Bukan itu sahaja, terdapat pelbagai tools yang disediakan yang membantu
membina perkembangan kreativiti murid. Malah, murid juga dapat melihat hasil-hasil peta minda
rakan-rakan lain tentang rumusan topik ini.
LANGKAH 2
Media : Video
Kaedah : Pemerhatian
Bahan : Komputer, video perbualan, aplikasi Padlet, audio respons murid, aplikasi Google Form
Rasional pemilihan : Penggunaan video akan merangsang deria pendengaran murid untuk
mendengar, selaras dengan objektif sesi pengajaran. Terdapatnya penggunaan figura kartun, audio
suara perbualan dan terjemahan audio bagi membantu pemahaman murid terhadap bahan yang
ditayang.
Seterusnya, terdapat penggunaan aplikasi Padlet yang digunakan setelah murid menonton video.
Pemilihan aplikasi ini adalah kerana dapat digunakan secara interkasi dan terus oleh murid. Bukan itu
sahaja, aplikasi ini juga berkebolehan untuk memuat naik audio secara terus oleh murid.
Tambahan itu juga, penggunaan Google Form adalah untuk memperoleh respons daripada murid
secra terus. Murid akan menjawab beberapa soalan berdasarkan isi kandungan video yang telah
ditonton. Malah, terdapat markah yang akan diberikan apabila mereka menjawab dengan betul.
LANGKAH 3
Media : Visual
Kaedah : Soal jawab antara murid secara berpasangan
Bahan : Komputer, flashcard roda digital, aplikasi padlet, audio respons murid.
Rasional pemilihan : Flashcard roda digital dipilih supaya murid-murid dapat membuat pilihan
terhadap tema untuk melakukan aktiviti soal jawab secara berpasangan. Kemudian, berdasarkan
pilihan flashcard tersebut, murid perlu melakukan aktiviti soal jawab pada tapak padlet. Pemilihan
aplikasi padlet adalah kerana aplikasi ini menawarkan murid berinteraksi dan memberikan respons
secara langsung bersama pasangan masing-masing. Tambahan itu juga, murid boleh memuat naik
audio bertutur mereka pada tapak padlet ini sebagai aktiviti pengukuhan dan penilaian.
PENUTUP
Media : Visual
Kaedah : Membuat rumusan
Bahan : Komputer, aplikasi Whiteboard.chat dan aplikasi ClassDojo
Rasional pemilihan : Aplikasi Whiteboard.chat dipilih kerana murid dapat membuat rumusan secara
bebas dengan menggunakan kreativiti mereka yang tersendiri. Sebagai contohnya sama ada ingin
membuat peta minda, muat naik video dan sebagainya. Tambahan itu juga, murid-murid lain turut
dapat melihat rumusan rakan-rakan mereka disamping menambah pengetahuan baharu. Kemudian,
berdasarkan penglibatan, respons dan jawapan murid sepanjang aktiviti pembelajaran, guru akan
memberikan ganjaran dengan menggunakan aplikasi ClassDojo. Pemilihan aplikasi ini adalah kerana
semua murid dapat mengakses dan melihat ganjaran tersebut. Bukan itu sahaja, ibu bapa mereka juga
dapat melihat prestasi anak-anak mereka.
Penggunaan Media, Bahan dan Kaedah
SET INDUKSI
Bahan Visual Gambar Peta Pokok : Gambar visual peta pokok dapat membuka minda murid
terhadap gambaran awal tentang isi pelajaran yang akan dipelajari. Penggunaan media ini akan
memudahkan pemahaman murid dan menarik minat murid untuk mengikuti sesi pembelajaran yang
seterusnya.
Bagaimana disemak/dipratonton : Guru menggunakan gambar visual peta pokok yang
mengandungi figura kartun yang dapat menarik minat murid.
Persediaan persekitaran :.Guru dapat memastikan murid berada dalam keadaan bersedia kerana
murid telah memberikan tumpuan mereka terhadap bahan visual tersebut.
Persediaan pengalaman pembelajaran : Pembelajaran lebih berpusatkan murid dan bahan
pembelajaran. Murid akan menjawab soalan-soalan yang diberikan oleh guru pada aplikasi Google
Form. Guru seterusnya akan mengaitkan bahan pembelajaran dengan isi yang akan dipelajari.
LANGKAH 1
Murid melihat video yang ditayangkan.
Bahan video: Video yang dipaparkan terkandung topik utama pembelajaran iaitu ayat tanya dan
kaedah memberikan respons jawapan kepada ayat tanya.
Bagaimana disemak/dipratonton : Guru memastikan kualiti video yang disediakan dalam keadaan
baik. Isi kandungan video haruslah mudah difahami. Dari aspek visual pula, terdapat penggunaan
figura kartun untuk menarik minat murid. Namun begitu, penggunaan visual tidaklah perlu keterlaluan
supaya fokus murid terhadap isi kandungan tidak lari.
Persediaan persekitaran : Murid duduk dengan selesa untuk menonton tayangan video penerangan
ini. Persekitaran perlulah berada dalam keadaan yang kondusif supaya isi kandungan video akan
dapat difahami dengan baik oleh murid.
Persediaan pengalaman pembelajaran : Pengajaran yang berlangsung adalah berpusatkan murid
dan bahan pembelajaran. Murid akan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap video penerangan
tersebut. Ini kerana, setelah itu murid perlu membuat rumusan pemahaman tentang apa yang
dipelajari daripada video tersebut.
Aktiviti pengukuhan : Murid membina peta minda dengan menggunakan aplikasi whiteboard.chat.
Peta minda yang dibina adalah berdasarkan tahap pemahaman murid tentang video penerangan
tersebut. Maka, guru dapat menilai dapatan murid tentang isi kandungan yang ditayangkan.
LANGKAH 2
Murid menonton video simulasi perbualan yang mengandungi penggunaan ayat tanya dan respons
jawapan bagi ayat tanya.
Bahan video: Video yang dipersembahkan terkandung simulasi perbualan antara ahli keluarga besar.
Perbualan tersebut mengandungi penggunaan ayat tanya dan respons bagi ayat tanya tersebut. Video
yang ditayangkan mempunyai penggunaan visual seperti figura ahli keluarga, terjemahan audio
(subtitle) dan audio suara. Aspek-aspek tersebut dapat merangsang deria penglihatan, pendengaran
dan rasa murid.
Bagaimana disemak/dipratonton : Guru memastikan video berada dalam kualiti yang baik.
Penggunaan audio dan terjemahan audio (subtitle) haruslah selari dengan durasi video. Malah, guru
memastikan agar figura kartun yang digunakan adalah menarik supaya dapat menarik minat murid.
Persediaan persekitaran : Guru memastikan murid dapat mengakses video tersebut. Keberadaan
murid haruslah dalam keadaan selesa dan dapat mendengar audio dengan jelas.
Persediaan pengalaman pelajaran : Pembelajaran adalah berpusatkan bahan dan murid. Murid akan
mendengar dan menonton video yang disediakan. Kemudian, murid akan menjawab soalan pada
aplikasi Padlet dan Google Form dibawah. Aplikasi tersebut dapat diakses secara terus oleh semua
murid tanpa perlu log-in.
Aktiviti pengukuhan : Kefahaman murid tentang perbualan dalam video tersebut dinilai dengan
menjalankan aktiviti soal jawab pada aplikasi Padlet. Murid perlu memuat naik audio jawapan terhadap
soalan ayat tanya yang didengar menerusi aplikasi tersebut. Aktiviti ini bagi memastikan murid dapat
memberikan respons terhadap ayat tanya dengan baik disamping memahami tentang perkara yang
dibincangkan dalam video tersebut.
LANGKAH 3
Murid melakukan soal jawab audio secara berkumpulan berpasangan.
Bahan flashcard roda digital :Bahan flashcard roda ini dicipta dengan menggunakan pusingan roda
secara terus. Flashcard roda adalah berbentuk digital dan tersebut mudah diakses oleh murid-murid
tanpa perlu ke laman tab yang baharu. .
Bagaimana disemak/dipratonton: Guru memastikan bahan flashcard roda ini haruslah mempunyai
visual warna yang menarik. Hal ini supaya perkara tersebut dapat menarik minat dan semangat murid
untuk meneruskan aktiviti pembelajaran. Guru memastikan bahan ini perlulah dapat diakses oleh
semua murid.
Persediaan persekitaran : Guru memastikan murid dapat mengakses bahan flashcard dengan baik
tanpa ada sebarang gangguan. Guru juga perlu memastikan murid mengakses tapak Padlet dengan
baik tanpa gangguan.
Persediaan pengalaman pelajaran : Pembelajaran berpusatkan murid. Murid menerima pemilihan
tema aktiviti soal jawab menerusi pusingan roda flashcard. Seterusnya, berdasarkan tema yang
diperoleh, murid perlu menjalankan soal jawab secara berpasangan.
Aktiviti pengukuhan : Guru menilai keupayaan murid bertutur memberikan respons. Iaitu dengan
murid menjalankan soal jawab secara berpasangan. Ahli kumpulan pasangan masing-masing
menghasilkan 5 ayat tanya. Kemudian, masing-masing perlu memberikan respons jawapan bagi
soalan pasangan mereka. Respons jawapan adalah berbentuk audio dan dimuatnaik pada tapak
Padlet.
PENUTUP
Murid membuat rumusan tentang dapatan bagi sesi pembelajaran tersebut.
Bahan : Guru menggunakan medium Whiteboard.chat untuk mendapatkan respon murid tentang
rumusan dapatan mereka. Murid juga dapat mengakses rumusan kawan-kawannya dalam aplikasi
tersebut.
Bagaimana disemak/dipratonton : Guru memastikan tapak Whiteboard.chat dapat diakses oleh
semua murid. Tapak aktiviti adalah secara individu bagi setiap murid.
Persediaan persekitaran : Guru memastikan murid dapat mengakses Whiteboard.chat tersebut. Guru
juga memastikan murid masih dalam keadaan terkawal kerana sudah berada di hujung sesi
pembelajaran.
Persediaan pengalaman pelajaran : Pembelajaran berpusatkan murid. Murid perlu membuat
rumusan tentang dapatan mereka pada sesi pembelajaran tersebut di tapak Whiteboard.chat. Murid
juga perlu mendengar rumusan yang diberikan oleh guru.
Aktiviti Pengukuhan : Murid menerima ganjaran berdasarkan respons, penglibatan dan keupayaan
murid bertutur memberikan respons terhadap ayat tanya dengan baik. Ganjaran murid diberikan
melalui aplikasi ClassDojo.
Penglibatan Pelajar
SET INDUKSI (5 Minit)
1. Murid membaca objektif pembelajaran dan kriteria kejayaan pada halaman utama.
2. Murid melihat gambar visual peta pokok tentang salasilah keluarga besar.
3. Murid perlu menjawab soalan ringkas daripada guru melalui aplikasi Google Form.
4. Respons murid adalah bergantung kepada pengalaman sedia ada mereka mengenai topik
keluaga besar.
LANGKAH 1
1. Murid menonton video penerangan guru berkaitan dengan ayat tanya dan kaedah memberikan
respons jawapan kepada ayat tanya.
2. Murid membuat rumusan pemahaman mereka dalam bentuk peta minda dengan
menggunakan aplikasi whiteboard.chat.
3. Murid dapat melihat jawapan yang diberikan oleh rakan-rakan sekelas yang lain.
LANGKAH 2
1. Murid menonton video simulasi perbualan antara ahli keluarga besar. Dalam video tersebut,
terkandungnya teks perbualan yang menggunakan ayat tanya dan respons jawapan terhadap
ayat tanya tersebut.
2. Murid memahami topik kandungan yang dibualkan dengan menerapkan kaedah memberikan
respons terhadap ayat tanya dengan baik.
3. Murid diberikan soalan berkaitan dengan isi kandungan perbualan video melalui aplikasi
Padlet.
4. Secara individu, murid menjawab soalan yang diberikan pada tapak Padlet tersebut. Aktiviti ini
adalah untuk menguji tahap pengaplikasian murid tentang kaedah memberikan respons
kepada ayat tanya dengan baik.
5. Murid perlulah memuat naik audio jawapan ayat tanya pada tapat Padlet tersebut.
LANGKAH 3
1. Murid memutarkan roda flashcard digital bagi mendapatkan penentuan tema untuk aktiviti
seterusnya.
2. Kemudian, secara berpasangan, murid menjalankan aktiviti soal jawab dengan menghasilkan
3 ayat tanya dan tiga respons kepada ayat tanya pasangan mereka. Soalan haruslah
berdasarkan tema yang diperoleh daripada pemilihan flashcard.
3. Contoh pelaksanaan aktiviti adalah seperti: murid A dan murid B masing-masing membina 5
ayat tanya berkaitan dengan tema yang diperoleh. Kemudian, murid A memberikan respons
jawapan bagi ayat tanya murid B dengan menggunakan rakaman audio. Begitu juga bagi
murid B memberikan respons jawapan bagi ayat tanya murid A dengan menggunakan
rakaman audio. Oleh itu, murid perlu bertutur memberikan respons jawapan tersebut.
4. Rakaman audio respons jawapan ayat tanya tersebut perlu dimuat naik pada tapak padlet
yang disediakan.
5. Melalui tapak tersebut, murid-murid lain juga dapat mendengar respons jawapan
kawan-kawannya.
PENUTUP
1. Murid kemudiannya mendengar rumusan guru berkaitan dengan topik dan tema pembelajaran.
2. Murid membuat rumusan berkaitan dengan pembelajaran sesi tersebut pada tapak
Whiteboard.chat.
3. Murid menerima ganjaran berdasarkan respons, penglibatan dan keupayaan murid bertutur
memberikan respons terhadap ayat tanya dengan baik. Ganjaran mereka akan diberikan
melalui aplikasi ClassDojo.
Menilai dan Menyemak Semula
PENCAPAIAN MURID:
1. Murid memberikan respons jawapan dengan tepat terhadap sekurang-kurangnya tiga daripada
lima ayat tanya yang diberikan, dengan betul.
2. Murid mengikuti sesi pembelajaran dengan seronok dan penuh minat.
3. Murid yang masih belum menguasai kemahiran bertutur dengan baik, akan diberikan
bimbingan khas melalui aktiviti pemulihan secara individu pada sesi pembelajaran seterusnya.
PENILAIAN GURU:
1. Guru mencapai objektif yang dirancang melalui penilaian terhadap audio dan respons murid.
2. Guru menerapkan penggunaan TMK dalam pengajaran.
IMPAK/KEBERKESANAN:
1. Tayangan video penerangan ayat tanya dan respons jawapan kepada ayat tanya dapat
membantu murid memahami konsep dan kaedah yang tepat untuk mengaplikasikan
pengetahuan tersebut dalam kehidupan seharian.
2. Tayangan video simulasi perbualan pula membantu murid meningkatkan kemahiran
komunikasi dengan baik dalam realiti kehidupan sebenar mekera.
a. Komunikasi yang baik adalah merangkumi aspek memahami soalan yang diterima dan
berkemahiran memberikan respons jawapan dengan baik dan tepat.
3. Aplikasi padlet membantu guru menilai kemahiran bertutur murid bagi memberikan respons
jawapan terhadap ayat tanya dengan baik.
a. Respons dimuat naik secara audio melalui aplikasi padlet.